Ustaz Hassan kutubkhanah organisasi, perlembagaan PAS

KUALA LUMPUR, 15 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Ustaz Hassan Shukri adalah merupakan kutubkhanah organisasi dan perlembagaan PAS, terus berkhidmat dengan parti hingga ke saat beliau menemui Tuhan Rabbul Jalil.

Sehubungan itu, katanya PAS merakamkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga, ahli PAS, seluruh pendukung dan pejuang Islam yang dirundung kesedihan setelah pulangnya Ustaz Hassan ke rahmatullah pada petang semalam.

Menurutnya, sumbangan almarhum kepada perjuangan Islam di Malaysia dan dunia Islam tidaklah dapat diungkapkan dengan catatan tulisan yang memenuhi penulisan sejarah yang pernah dibukukan.

Beliau menambah, sesungguhnya, nadi perjuangan yang ditiupkan oleh almarhum akan terus berdenyut dalam PAS, merupakan satu contoh kepimpinan parti yang gigih dan istiqamah di kala senang dan susah, untuk memimpin ahli dan seluruh warga parti tanpa mengenal jemu dan lelah.

“Biar pun almarhum meninggalkan kita, tetapi jadikanlah ceramah, taklimat, perbualan beliau sebagai pemberi semangat kepada kita yang tinggal untuk meneruskan perjuangan Islam di muka bumi ini,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Bagi pihak seluruh kepimpinan dan ahli-ahli PAS, sekali lagi beliau merakamkan jutaaan takziah dan berharap seluruh keluarga, sahabat handai, pendukung dan penyokong PAS di serata tempat agar dapat bersabar dengan ketentuan Allah SWT itu.

“Saya berdoa semoga Allah SWT melimpahi rahmat ke atas roh beliau dan mudah-mudahan beliau ditempatkan bersama-sama roh para solihin dengan izin Allah SWT, insya Allah,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Sementara itu, jenazah Ustaz Hassan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selasih 2, Gombak kira-kira jam 10.25 pagi ini.

Sebelum itu, jenazah disolatkan di pekarangan Markas Tarbiah PAS Taman Melewar yang diimamkan oleh Tuan Guru Abdul Hadi yang disertai pimpinan utama PAS termasuk Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama kira-kira 1,000 orang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut serta.

Sekitar Muktamar PAS Pusat Kali Ke 56, Di PUTIK Kelantan















Sinar Islam memenuhi harapan

Harapan masyarakat Malaysia adalah untuk mewujud sebuah kehidupan aman, damai, sejahtera dan harmoni berteraskan agama. Besarlah harapan agar kita semua dapat menjernihkan pandangan kita terhadap Islam yang sekian lama disolekkan dengan wajah yang comot oleh pihak-pihak yang tertentu. Segala prejudis dan salah faham yang sering mengabui mata hendaklah dicuci sama sekali, agar kita semua dapat melihat warna Islam yang sebenar. Sesungguhnya sinar Islam adalah cahaya yang boleh memenuhi harapan kita semua. Sejarah sendiri menyaksikan bagaimana orang Cina dan India lebih dahulu menerima Islam berbanding orang Melayu. Ia berlaku kerana sinar Islam itu dipancarkan dengan baik kepada mereka. Ia cukup membuktikan bahawa Islam tidak asing di kalangan kedua-dua bangsa ini. Justeru, kepada sahabat sebangsa saya yang masih enggan menerima Islam, ingatlah, sesungguhnya Allah SWT hanya akan memuliakan sesuatu bangsa itu dengan Islam. Tanpa Islam, Allah SWT pastinya akan menggantikan kaum yang lain untuk menerajui pentadbiran di bumiNya sebagaimana firmanNya (surah Muhammad :38):

yang bermaksud : dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.

Semoga setiap amalan yang kita lakukan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT, maka bersetujulah kita dengan kemuliaan dan kebesaran-Nya yang merahmati umat manusia ini dengan sinar Islam.

Kuliah Bulan Jun





KUALA LUMPUR, 4 Jun: Lebih 50 ribu menyertai perarakan dari Kg. Baru ke Keduataan Amerika siang tadi bagi membantah kekejaman tentera Zionis Israel menyerang konvoi kemanusian antarabangsa ke Gaza awal minggu ini.

Himpunan anjuran Pakatan Rakyat bersama NGO itu diketuai Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

3.48 petang: Perhimpunan disudahi dengan bacaan doa oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa dan bersurai secara aman.

3.38 petang: Ustaz Nasarudin Mat Isa dalam sidang medianya berkata, perhimpunan ini melangkaui agama dan kaum bagi menyatakan bantahan kepada Washington berhubung tindakan kejam Israel Zionis.

Perhimpunan ini juga katanya menunjukkan sokongan rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin yang tidak pernah rela di atas pengainayaan zionis Israel.

3.32 petang: Penyerahan memorandum selesai dan delegasi keluar dari bangunan kedutaan.

Anwar dalam sidang media memberitahu, dalam pertemuan bersama Duta Besar Amerika Syarikat itu, Pakatan Rakyat dan NGO memohon untuk disampaikan memorandum tersebut secara terus kepada Presiden US, Barack Obama.

Dalam responnya, Duta Amerika itu kata Anwar berjanji akan menyerahkan sendiri memorandum tersebut kepada Obama minggu hadapan.

Pakatan Rakyat juga menjelaskan kepada duta besar tersebut bahawa tindakan kejam Israel terhadap konvoi kemanusiaan itu adalah disebabkan Amerika terlalu lembut menasihati israel.

3.30 petang: Turut berucap adalah Mohamad Sabu, Dr. Mahfodz Mohamad, Ustaz Azlee Musa dan Mustafa Akmil Ayub di hadapan menara See Hoy Chan berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat.

3.25 petang: Sementara menunggu delegasi serah memorandum selesai, pimpinan pakatan rakyat yang lain sedang memberi ucapan di hadapan lebih 50 ribu peserta himpunan. Antara yang berucap adalah Salahuddin Ayub dan Dr. Hatta Ramli.

3.10 petang: Polis membenarkan lima pimpinan utama iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Lim Kit Siang, Azmin Ali dan Syed Husin Ali untuk masuk ke bangunan kedutaan menyampaikan memorandum kepada pihak kedutaan US.

3.00 petang: Perarakan tiba berada di hadapan kedutaan. Kumpulan perarakan ditahan pihak polis kira-kira 20 meter sebelum tiba di hadapan kedutaan. Pimpinan yang mengepalai perarakan kini sedang berbincang dengan pihak polis. Turut serta Timbalan Presiden PAS, Ust Nasharudin Mat Isa dan Lim Kit Siang.

2.55 petang: Perarakan bersambung semula dan hampir tiba di hadapan bangunan Kedutaan.

2.51 petang: Dr. rani dari Yayasan Amal berucap menyatakan bukan sahaja orang Islam malah orang Kristian juga turut membela Palestin dan tidak boleh menerima tindakan kejam Israel.

2.50 petang: Perarakan sudah berada di hadapan menara Tabung Haji. Peserta barisan hadapan berhenti menunggu peserta barisan belakang tiba untuk sama-sama bergerak ke kedutaan US.

2.47 petang: Perarakan tiba di simpang menara Tabung Haji. Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Pengerusi Teras, Cikgu Azmi Abdul Hamid turut serta menaiki kenderaan pacuan empat roda mengepalai perarakan bersama pimpinan PAS.

2.38 petang: Peserta himpunan kini sudah berarak melepasi bangunan KLCC menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat.

2.35 petang: Dianggarkan lebih 50 ribu orang sedang berarak menuju ke Kedutaan US dan akan bergabung dengan sebahagian besar peserta himpunan yang sedang menunggu di sana.

2.30 petang: Terdapat empat buah trak ditempatkan di hadapan bangunan kedutaan. Wakil Aqsa Syarif Selangor sedang menyampaikan ucapan di hadapan kedutaan dan melaungkan 'Zionis Terrorist'. FRU mula memperketat kawalan.

Timbalan Presiden JIM, Syed Ibrahim Syed Noh berkata mereka berkumpul untuk mengutuk tindakan Israel dan menghargai usaha Turki memberikan kapal untuk misi kemanusiaan.

2.28 petang: Perarakan kini berada di hadapan Hotel Renaissance menuju ke Jalan Tun Razak. Kira-kira 3km untuk sampai ke Kedutaan Amerika Syarikat. Perarakan turut diiringi pihak Polis. Sekurang-kurangnya 7 buah trak FRU ditempatkan di Jalan Sultan Ismail.

2.20 petang: Sekumpulan NGO sudah menghampiri Keduataan Amerika dan melaungkan 'hancur Yahudi'.

2.10 petang: Lebih 1,000 orang terdiri daripada NGO berkumpul di Masjid Tabung Haji dan sedia bergerak ke Kedutaan Amerika. Sebuah trak polis berada di hadapan kedutaan. Sebuah helikopter berlegar-legar di ruang udara sekitar Masjid Tabung Haji dan Kedutaan Amerika.

2.05 petang: Perarakan dimulakan, pimpinan yang berada dibarisan hadapan termasuklah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Kamarudin Jaafar, Dr. Lo'lo' Ghazali, Khalid Samad, Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Saleh.

1.55 petang: Kg. Baru- Peserta mula berkumpul di hadapan masjid selepas selesai solat Jumaat sebentar tadi.

Pasukan Unit Amal mula mengawal keadaan. Poster bantah Israel mula diedar kepada peserta di hadapan pagar masjid.

Perarakan akan bermula bila-bila masa sebentar lagi. Pasukan anggota polis mula berkawal.

MB, ribuan rakyat solat hajat bantah kekejaman Israel



KOTA BHARU, 4 Jun: Ribuan rakyat Kelantan menunaikan solat hajat yang diimamkan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai membantah keganasan tentera Israel terhadap umat Islam di Palestin.

Solat hajat diadakan di Dataran Stadium Sultan Mohammad Ke IV pagi tadi turut disertai wakil Palestin, Abdul Hadi HJ Junaidi. Turut kelihatan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, anggota-anggota Exco dan Datuk Mohd Amar Abdullah dan Dr Mohamad Fadzli Hassan serta wakil-wakil rakyat.

Biar pun cahaya matahari panas memancar di atas kepala, orang ramai tidak menghiraukan dan tetap berdiri menunaikan solat bagi memohon kepada Allah Taala melindungi umat Islam yang sedang ditindas di Gaza.

Sebelum itu ribuan yang hadir sejak jam 8.30 pagi mendengar kuliah khas mengenai Palestin yang disampaikan Mohd Amar.

Kehadiran penduduk tempatan yang memenuhi segenap ruang Dataran Stadium kerana simpati terhadap konvoi kemanusiaan pelbagai negara yang diserang tentera Israel ketika membawa bekalan makanan ke Gaza Isnin lalu.

Ekoran serangan itu sembilan rakyat Turki yang menaiki kapal Mavi Marmara milik negara terbabit menjadi korban.

Seramai 12 rakyat Malaysia turut bersama misi kemanusiaan tersebut yang datang daripada 40 negara.

Berikutan tindakan tersebut kerajaan Turki di bawah Tayyed Erdogan memutuskan hubungan diplomatik dengan negara Yahudi itu.

Kerajaan Turki memberi beberapa syarat untuk memulih semula hubungan diplomatik iaitu membayar sejumlah pampasan kepada keluarga sukarelawan yang terbunuh, Israel perlu memohon maaf kepada dunia.

Selain itu mereka yang terbabit dengan jenayah hendaklah dihadapkan ke Mahkamah Antarabangsa.

Perkara itu didedahkan Abdul Hadi ketika berucap di ribuan rakyat Kelantan.

Menteri Besar berkata, kaum Yahudi tidak ada belas kasihan kepada kaum lain kerana menganggap kononnya mereka sebagai anak Tuhan.

”Pegangan yang salah itu menyebabkan mereka sanggup melakukan apa sahaja terhadap orang lain.

”Namun hairannya kezaliman yang serupa juga pernah berlaku di negara ini apabila Ustaz Ibrahim Libya bersama beberapa pengikut ditembak mati di Memali.

”Begitu juga tindakan kerajaan menangkap ulama dengan mengurungkan mereka dalam bilik gelap di Kem Tahanan di Batu Gajah. Ini adalah sebahagian tindakan tidak berperikemanusiaan yang turut berlaku di negara ini,” katanya diikuti laungan takbir orang ramai.

Pada ucapan itu beliau juga menjelaskan kekeliruan sesetengah pihak yang mendakwa tidak ada parti Islam pada zaman Rasulullah saw.

Pelbagai sepanduk mengutuk serangan ganas Yahudi dijulang anak-anak muda yang membantah keganasan Zionis Israel terhadap umat Islam di Palestin. Tabung Cakna Palestin juga dibuka bagi sumbangan orang ramai. Program itu berakhir kira-kira jam 10.45 pagi.

.






NAFSU


Engkau ciptakan Firaun, Haman dan Qarun
Mereka adalah sebesar-besar penderhaka terhadap-Mu
Namun Engkau kurniakan dunia seluruhnya kepada mereka
Itulah tandanya
Dunia ini tidak melebihi sebelah sayap nyamuk pada sisi-Mu
Tapi nafsu kami masih juga terliur
Melihat keagungan Firaun, kepintaran Haman dan kekayaan Qarun
Nafsu kami masih inginkan
Sayap nyamuk yang sebelah itu.
Nafsu sangat sabar menyembunyikan laparnya
Sesekali ia menghantar isyarat
Jika Engkau menjawab ia akan bangun
Di kala itu Engkau akan tertawan.

Nafsu umpama sebuah kenderaan
Enjinnya ialah tamak
Rodanya ialah dengki dan khianat
Seteringnya ialah tipudaya
Bila kenderaan ini berjalan
Ia meninggalkan asap kotor di belakang
Tetapi si pemandu asyik memandang ke hadapan
Tidak pernah melihat pencemaran yang ditinggalkan.

Nafsu adalah sebahagian daripada dirimu
Ia boleh diam dan tidur tetapi tidak berputus asa
Perlulah engkau sentiasa berwaspada

Judi bola: Umno bawa negara mundur ke belakang


Langkah pihak kerajaan ingin memperkenalkan lesen judi sukan dalam negara kita pada masa sekarang ini adalah satu tindakan yang jauh menyimpang dari ajaran Islam dan tatacara kehidupan yang diterima dalam masyarakat Malaysia pada waktu ini.

Ianya menggambarkan bahawa kerajaan pimpinan Umno-BN yang ada pada waktu sekarang ini telah bankrap idea dan sedang membawa negara mundur ke belakang ke arah yang lebih jauh dari ajaran Islam.

Inilah yang dirancang oleh penjajah dan Umno yang menjadi tulang belakang kerajaan yang ada di waktu ini telah membawa semakin banyak perkara-perkara negatif selepas negara mencapai kemerdekaan, malah lebih banyak dari yang dilaksanakan oleh penjajah itu sendiri.

Hasilnya wajah Islam yang cuba dibawa oleh Umno dengan mendirikan masjid, pusat islam dan aktiviti keagamaan ini menjadi topeng dan tempelan kosmetik sahaja, dan dalam masa yang sama mereka merobek Islam dari belakang. Akibatnya Umno juga telah menunjukkan satu wajah yang sangat salah dengan hakikat tasawwur ajaran Islam yang sebenar.

Maka sudah tiba masanya bagi orang melayu beragama Islam untuk memahami bahawa di sana terdapat perbezaan di antara Islam dengan bangsa. Islam adalah agama untuk seluruh manusia tanpa mengira bangsa dan kaum.

Dalam hal ini kita telah mendapat respon yang sangat baik dari kalangan orang bukan Islam, malah kita juga telah berjaya menarik sokongan rakan-rakan dari DAP dan PKR yang bukan Islam untuk menyokong bagi mengharamkan judi. Inilah kejayaan satu anjakan paradigma dalam aspek dakwah apabila kita memberi kefahaman kepada orang bukan Islam untuk menerima apa yang diharamkan oleh Islam.

PAS menyeru kepada penyokong-penyokong Umno yang cintakan agama untuk membuat muhasabah terhadap diri mereka supaya melaksanakan perubahan secara ilmu dan mengkaji kefahaman Islam yang betul melalui sumber-sumber Islam dan bukan melalui media-media yang memberikan maklumat yang salah yang terus menerus menjahilkan mereka dari ajaran Islam.

Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS

Judi bola: Pemuda PAS cabar Perkasa debat terbuka

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mencabar Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berdebat secara terbuka mengenai isu lesen judi bola sepak Piala Dunia 2010 yang diluluskan oleh Kerajaan Umno BN.

Ketuanya, Nasrudin Hassan (gambar) berkata, tajuk yang dicadangkan ialah ‘Kemungkaran Judi Bertambah Dalam Negara: Tanggungjawab Siapa?’.

Beliau berkata, DPPP bersiap sedia untuk berdebat dengan Perkasa dan menyerahkan kepada mereka untuk menentukan tempat dan tarikh asalkan tidak melibatkan tarikh muktamar PAS pada Jun ini.

"Saya cabar Perkasa untuk mengatur satu sesi debat perdana secara terbuka antara Perkasa dengan Dewan Pemuda PAS.

"DPPP bersedia di stadium mana, padang atau dewan mana. Tarikh, DPPP serahkan kepada Perkasa asalkan jangan jatuh pada hari PAS melangsungkan muktamar tahunannya pada 9 hingga 13 Jun ini," katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Harakahdaily.

Perkasa yang dipengerusikan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali sebelum ini mencabar DPPP mendesak Pakatan Rakyat menghapuskan lesen judi di negeri yang ditadbirnya.

Bagaimanapun, DPPP berkata, soal pemberian dan kelulusan lesen judi adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Pusat menerusi Kementerian Kewangan.

DPPP, ujarnya terus konsisten membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak Piala Dunia yang akan bermula Jun ini.

Sehubungan itu, DPPP akan mengadakan himpunan besar-besaran bagi membantah tindakan itu.

Satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong juga akan diserahkan pada himpunan tersebut.

Jumaat lepas, DPP setiap negeri mengadakan bantahan di negeri masing-masing selepas solat Jumaat sebagai protes terhadap kerajaan yang meluluskan judi bola sepak itu.

Persinggahan Di Majlis Makan Malam Bersama Masyarakat Cina Di Temangan


Diri ini ; barisan yang ke 2 (no 4 dari kiri)

Persinggahan Di Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan Tahun 2010







Muktamar Sayap Parti PAS Kelantan



 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates