HIMPUNAN 10K PEMUDA PAS KELANTAN

Amanat Mursyidul Am PAS Sempena Muktamar Kali ke57


SERTA mengilhamkannya(untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa (8); Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambahtambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) (9). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) (10)”. (Surah Asy-Syams 91:8-10)

Sesuatu yang penting dihayati dan diambil iktibar ialah mengenai pengiktirafan masyarakat Mekah kepada Nabi Muhammad s.a.w sebelum baginda dilantik oleh sebagai Rasul. Sahsiah baginda sudah masyhur sebagai seorang ‘al-amiin’ sudah diterima baik oleh semua lapisan masyarakat.
Ini bererti sifat al-amiin itu sudah menghiasi sahsiah Nabi Muhammad s.a.w sehingga terserlah kepercayaan dan keyakinan masyarakat, betapa baginda seorang yang benar-benar ‘boleh diharap’ sama ada di dunia mahu pun di akhirat.

Justeru, semua individu yang bergelar pimpinan perlulah utamakan muhasabah diri supaya boleh diterima sebagai al-amiin. Ia sesuai dengan maksud firman Allah di atas (seperti maksud ayat di atas) yang meletakkan sifat membersih diri sebagai tangga kejayaan. Maknanya, seseorang itu perlu bersih diri dan cara membersih diri ialah dengan mengawal nafsu. Percayalah, sifat peribadi (sahsiah) seseorang itu tidak boleh baik dan sempurna kalau nafsu tidak boleh dikawal.

Selain itu, cara bersih diri dari pengaruh nafsu buruk ialah menggunakan ‘takwa’. Melalui takwa kepada Allah sahaja yang boleh menyebabkan masyarakat percaya dan yakin kepada seseorang pemimpin. Atas sifat taqwa jugalah apa sahaja yang kita buat, sembahyang, puasa, jaga keluarga hatta mengurus kemasyarakatan, masyarakat akan rasa yakin dan boleh percaya.

Begitu juga, bila seseorang itu bertaraf pemimpin, sahsiahnya akan dilihat baik atau sempurna bila ia tidak merokok, lekat sembahyang berjemaah, berterusan dengan amalan sunat, tidak kedekut bersedekah, ringan kaki tulang kerana kerja kebajikan rakyat atau seumpamanya. Ia sebagaimana sifat dan amalan Nabi Muhammad s.a.w. Apa yang utama, sifat Nabi itu hendaklah dijadikan asas melakukan muhasabah diri.

Ambillah pengajaran daripada kisah tatkala Nabi Muhammad balik dari Gua Hira’ selepas bertemu Malaikat Jibrail. Ketika itu, isteri baginda Siti Khadijah menjadi pendorong dan penguat semangat untuk Nabi berhadapan dengan tugas dan tanggungjawab setelah menerima wahyu. Kata-kata mulia Siti Khadijah berbunyi: “Sekalikali tidak! Demi Allah, sekali- kali Allah tidak akan menghinakan kamu selamanya. Sesungguhnya kamu benar-benar orang yang suka menyambung tali persaudaraan, menghormati tetamu, membantu orang yang sengsara, memenuhi keperluan orang yang memerlukan, dan membantu orang-orang yang ditimpa musiba.”

Dalam konteks masyarakat Malaysia yang diselubungi fahaman sekular dibawa oleh Umno, ia telah menjauhkan kehidupan rakyat dari agama. Oleh itu terlalu penting bagi setiap rakyat (kalangan Melayu, Cina dan India dan semuanya) menjaga diri masing masing supaya tubuh badan kita boleh menjadi bahan dakwah, contoh kepada semua orang.

Demikian pengalaman PAS di Kelantan yang sudah masuk 20 tahun memimpin rakyat ke jalan kehidupan beragama. Justeru. di Kelantan kini wujud senario atau suasana ke’Islam’an, sekaligus mendidik rakyat menghayati amalan mengikut syariat Islam. Wujud suasana di masjid-masjid sekitar bandar yang dimakmurkan dengan sembahyang berjemaah pada setiap waktu puncak.

Begitu pula, cukup terasa ketenangan dan keselamatan ketika berada di pusat bandar. Terasa perubahan suasana, apabila hotelhotel yang dulunya sinonim dengan aktiviti tidak sihat, sehingga ada toktok lebai terasa goyah bila ke hotel. Namun kini, berkat peraturan Islam, hotel sudah jadi tempat selamat didiami.

Diikuti pula, perkembangan baik berlaku dari segi sistem kewangan Negeri berikutan majoriti bank sudah bertukar kepada sistem kewangan Islam. Tidak ketinggalan, pihak bank luar negara turut membuka cawangan di Kelantan, seperti mana yang terbaru dari sebuah bank dari Kuwait. Ia disokong lagi dengan kemajuan sistem pajak gadai Ar-Rahn yang diperkenalkan oleh Kerajaan Kelantan turut diterima oleh Bank Rakyat dan Bank Islam. Malah yang terbaru, RHB Bank turut melancarkan pajak gadai Islam (ar-Rahnu).

Tidak ketinggalan, selama 20 tahun Kelantan di bawah kepimpinan Islam telah mencipta perkembangan baik di bidang pendidikan Islam. Sehingga merakam kejayaan sistem pengajian Yayasan Islam Kelantan (YIK). Malah turut berkembang sama sistem pengajian tahfiz al-Quran dan sains di bawah Kerajaan Negeri dan swasta. Kesannya telah lahir bijak pandai (intelek) Islam menguasai bidang profesional yang hafal al-Quran. Berkat daripadanya, wujud suasana kerukunan hidup masyarakat Kelantan dan hubungan harmoni antara kaum Melayu, Cina, India dan Siam hidup dengan aman dan sejahtera.

Kesemuanya meletakkan asas kukuh bahawa tanggungjawab kepimpinan ke arah memerintah secara Islam adalah wajib. Lihat sahaja perjalanan Nabi Muhammad s.a.w sepanjang menjadi nabi dan pemimpin negara. Ketika sistem pemerintahan telah zamanberzaman wujud di dunia, tetapi Nabi sendiri yang bawa Islam dan tatkala Islam berkuasa, maka Nabi tidak meniru sistem pemerintahan yang sedia ada. Nabi sendiri rela bergadai nyawa, demi menegakkan pemerintahan Islam. Ketika di Makkah pun, Nabi sendiri ditawar dengan serba-serbi kekuasaan dan kemewahan. Namun kesemuannya ditolak. Malah Nabi sendiri meninggalkan Makkah (berhijrah ke Madinah) demi menegakkan pemerintahan Islam.

Di Madinah pula, Nabi mengadakan tahaluf-siyasi dengan puak-puak bukan Islam (Yahudi dan Nasrani). Nabi sendiri memimpin dan mengendalikan semua urusan politik dan pentadbiran negara. Maka kepimpinan Nabi telah berlaku selama 23 tahun, bermula dari Makkah hinggalah ke Madinah. Biarpun selama itu, apa sahaja cara dan gaya kepimpinan Nabi dilihat ‘berlawan arus’ atas semata-mata untuk tegakkan Islam. Natijahnya, Nabi berjaya menunjukkan contoh kepimpinan terbaik (khudwah hasanah) yang mesti ditiru oleh semua pemimpin dari dahulu sampailah sekarang.

Di sebalik kebaikan kepimpinan Nabi, baginda sering mengutamakan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab atas apa yang dipimpin. Justeru Nabi bukanlah seorang yang bermewah kerana jawatan, malah pernah berhutang dengan seorang Yahudi dan sanggup mencagarkan baju rantai untuk membayar hutang. Walaupun ada sahabat sedia menyara Nabi, tetapi baginda tidak bersedia untuk hidup atas bantuan orang lain.

Pengajaran daripada sahsiah dan kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w itu, harapnya semua pemimpin PAS hari ini perlu meletakkan ‘peribadi Nabi’ sebagai khudwah. Maka, seorang pemimpin itu hendaklah bergantung bulat kepada apa yang Nabi tunjuk itu. Ia sesuai dengan apa yang kita baca di dalam sembahyang.

Sebab itulah, setiap kali sembahyang diwajibkan menyebut dan memuji Nabi. Dan sembahyang itu berlaku sebelum awal fajar dan ketika mata hari terbenam. Kesemuanya menuntut untuk kita sentiasa menyebut-nyebut sifat Nabi. Agar sifat itu sentiasa menjadi ikutan kita. Sesungguhnya, kebaikan kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w jelas membawa rahmat dan kesejahteraan untuk sekalian alam.

Justeru, kenapakah kita tidak mahu menjadikan Nabi sebagai khudwah hasanah?  menjadikan sahsiah Nabi Muhammad s.a.w sebagai khudwah hasanah. Kepimpinan akan beroleh kejayaan dan jemaah akan terus utuh menuju matlamat perjuangan, yakni kemenangan Islam.

Selamat bermuktamar.


TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Al-Mursyidul Am PAS.

Masjid kecoh, Eskay batal sumpah laknat

KUALA LUMPUR, 29 April: Majlis sumpah laknat yang mahu dilafazkan Datuk Shazryl Eskay Abdullah di Masjid Amru Al-As Bandar Baru Sentul hari ini bertukar kecoh sehingga ianya terpaksa dibatalkan.

Kekecohan berlaku sejurus selesai imam membaca doa selepas solat Jumaat apabila kumpulan menyokong Eskey bersumpah laknat bertembung dengan kumpulan yang membantahnya yang diketuai Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin.

Belum pun kelibat Eskay kelihatan, kedengaran laungan 'Allahuakbar' dan'kami mahu qazaf, bukan sumpah' bergema dalam masjid itu sejurus selesai berdoa.

Ekoran itu, semua hadirin yang baru sahaja keluar, masuk semula melihat apa yang berlaku sehingga ruang solat utama penuh sesak.

Kekecohan yang berlaku diruang solat uatama masjid itu berlarutan hampir 45 minit dengan pelbagai aksi tolak menolak dan berbalas laungan.

Turut kelihatan beberapa individu dipercayaai penyokong trio Datuk T ditarik dan dihalau keluar dari ruang solat selepas berlaku pertengkaran dengan kata-kata kesat sebelumnya.

Selain Shamsul, beberapa pimpinan AMK lain juga turut kelihatan mengedarkan buku bertajuk Qazaf yang diterbitkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) kepada hadirin.

Lebih memanaskan keadaan apabila mereka mendakwa ternampak pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali berada di sebelah mimbar.

Che Mat kemudian kelihatan keluar melalui pintu di belakang mimbar tetapi terdapat seorang penyokong PKR yang cuba mengejarnya untuk menyerah buku Qazaf itu.

Dalam kekecohan itu juga, penyokong Pakatan Rakyat sempat mengadakan solat hajat dan berdoa beramai-ramai memohon pemfitnah diberi pembalasan.

Memandangkan keadaan kecoh tersebut, pengerusi masjid berkenaan, Abdul Razak Husin naik ke atas mimbar untuk menenangkan keadaan.

Beliau meminta semua orang keluar dari masjid bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini.

Abdul Razak berkata, beliau dimaklumkan Eskay tidak hadir dan upacara sumpah laknat itu telah dibatalkan.

Bagaimanapun terdapat sumber yang mendakwa Eskay akan menunaikan solat Asar di masjid itu nanti.

Kepimpinan adalah amanah, bukan kebanggaan

ALQIADAH : TAKLIF LAA TASYRIF
Kepimpinan adalah institusi terpenting bagi sebuah organisasi. Tidak ketinggalan bagi sebuah Gerakan Islam seperti Parti Islam Semalaysia (PAS).
Justeru itu , ia mestilah menjadi institusi yang paling kukuh dan mantap bagi memastikan dasar perjuangan dapat direalisasikan dengan baik dan menepati objektif serta matlamat perjuangan itu pula dapat dicapai dengan cemerlang.
Menjawat atau menyandang status sebagai seorang pemimpin dipelbagai peringkat parti mestilah dengan segala keupayaan dan kelayakkan yang diiktiraf oleh syara' , berpandukan petunjuk Al - Quran dan As - Sunnah.
Kepimpinan ( Al Qiadah ) bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan (tasyrif) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah (taklif).
عن أبى ذرّ قال: قلت يا رسول الله ألا تستعملنى فضرب بيده على منكبي ثم قال: " يا أبا ذرإنك ضعيف وإنها أمانة وإنها يوم القيامة خزي وندامة إلا من أخذها بحقها وأدّى الذي عليه فيها.
Maksudnya: Daripada Abu Zar katanya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya."
(Riwayat Muslim)
Berasaskan realiti ini , janganlah sesiapa dikalangan ahli parti memanjat tangga kepimpinan ini dengan gopoh dan rakus. Perhatikan bilah bilah anak tangga dengan teliti dan cermat serta melangkahlah dengan tertib agar tidak termengah dan mencederakan diri sendiri mahupun orang lain .
Apatah lagi dalam keadaan permukaan anak tangga yang licin dan mudah tergelincir. Kesabaran dan kematangan dalam mengambil langkah dan memutuskan sikap adalah dua elemen penting yang dilihat mampu memperkasakan institusi kepimpinan ini.
عن أبى موسى قال: دخلت على النبى صلى الله عليه وسلم أنا ورجلان من بني عمي فقال أحدهما: يا رسول الله أمرنا على بعض ما ولاك الله, وقال الأخر مثل ذلك فقال عليه الصلاة والسلام
"إنَّا والله لا نولِّى هذا العمل أحدا سأله أو أحدا حرص عليه
Maksudnya : Dari Abu Musa RA, Aku menemui Nabi saw. bersama dua orang lelaki dari sepupuku. Seorang dari keduanya berkata: Wahai Rasulullah, angkatlah kami sebagai pemimpin atas sebahagian wilayah kekuasaanmu yang telah diberikan Allah azza wa jalla! Yang satu lagi juga berkata seperti itu. Lalu Rasulullah saw. bersabda: Demi Allah, kami tidak akan mengangkat seorang pun yang meminta sebagai pemimpin atas tugas ini dan tidak juga seorang yang tamak utk memperolehinya .
(Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)
Janganlah kita menjawat atau menyandang status kepimpinan dengan pengaruh pidato atau populariti , begitu juga tidak dengan pengaruh senioriti dan downline . Sebaliknya sandanglah melalui thiqah atau kepercayaan yang diberikan oleh ahli parti berasaskan kelayakan dan keupayaan syari'e.
Thiqah ini pula bukan dibina melalui penonjolan imej dan pembiayaan komunikasi kita dengan ahli ( kerana ia boleh dilakunkan aksinya menjelang muktamar yang ada pemilihan ) tetapi thiqah lahir dari kesungguhan berjuang dan keikhlasan berkorban . Bertunjang pula di atas ketaqwaan yang tinggi dan Himmah yang berwibawa.
Memberi laluan kepada yang layak memimpin dalam keadaan kita adalah calon popular adalah jauh lebih bermaruah daripada kita terus menandingi jawatan kepimpinan tersebut. Tidak memegang jawatan bukanlah bermakna kita tidak boleh menyumbang kepada Islam dan parti yang memperjuangkannya.
Demikian juga mengambil tanggungjawab sebagai seorang pemimpin setelah mendapat thiqah dari ahli dan jamaah adalah mempamerkan ia sebagai seorang pemimpin yang ada kesungguhan berjuang dan himmah yang berwibawa.
Muktamar parti adalah medan untuk bermuhasabah , mengatur strategi , memperkasakan dalaman parti , membina kader dan memberi amanah kepada yang berhak dan layak . Muktamar jangan sekali kali dijadikan papan percaturan politik peribadi dan kelompok yang sangat dinilai hina oleh syara' .
Perwakilan semestinya matang menilai dan memilih saf kepimpinan yang akan menerajui parti mengharungi badai perjuangan membelah episod cabaran baru dunia global hari ini.
Tidak didorong oleh sebarang sentimen yang asing dari apa yang kita pelajari melalui skima pentarbiyyahan parti , yang kita timba selama ini melalui usrah dan kuliah haraki di pelbagai peringkat.
Calon kepimpinan pula tidak meminta diundi atau dipilih dengan pelbagai penampilan dan lobi yang tidak berasaskan keupayaan dan kelayakkan sebenar. Justeru ia hanyalah hipokritisme yang akan merosakkan parti dan dirinya sendiri.
عن عبد الرحمن بن سمرة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم " يا عبد الرحمن لا تسأل الإمارة فإنَّك إن أوتيتها عن مسألة وكلت إليها وإن أعطيتها من غير مسألة أعنت عليها
Maksudnya: Daripada Abdul Rahman bin Samurah, daripada Nabi SAW sabdanya: “Wahai ‘Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau dibebankan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu (oleh Allah)
(Riwayat Bukhari dan Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Nasaie dan Ahmad)

Tunggang Nafsumu

Suatu hari,seorang pemuda diserahkan ayahnya kepada seorang guru.Beliau berharap guru tersebut dapat mendidik anaknya cara mengawal nafsu.Mudah-mudahan anaknya mampu menjadi anak yang soleh.
“Siapkan bekalan.Mari ikut saya bermusafir.”kata guru sufi tersebut kepada anak murid barunya.

Mereka pun memulakan perjalanan.Akhirnya,mereka sampai ke satu bukit.
“Kita akan mendaki bukit ini.”Kata sang guru.
“Tapi,kita akan membeli keldai terlebih dahulu.”tambah gurunya.
 Dalam hati si murid,dia berasa sangat lega kerana dia sudah mula merasa keletihan berjalan kaki.Setelah si guru membeli dua ekor keldai,dia berkata:

“Sekarang ada dua ekor keldai,saya akan menunggang seekor dan seekor lagi,kamu harus memikulnya!

“Apa?”soal si murid.

“Sudah,kamu jangan banyak soal,pikul keldai ini ke atas bukit ini.”Si guru bertegas.

Maka dengan penat lelah,dia memikul keldai menaiki bukit.Dia betul-betul keletihan.Namun,belum sampai separuh perjalanan,pemuda itu terjatuh kerana terlalu letih.Hampir dia pengsan.Namun sempat diredakan oleh si guru.

Setelah merawat si pemuda,dan memberinya minuman,guru sufi itu berkata:

“Anakmu,keldai itu umpama nafsumu,kau akan disusahkannya.Jiwa,hati dan badanmu akan keletihan.Nafsu itu kehendaknya tiada batas dan tidak akan pernah puas.Ia samalah dengan kamu menaiki bukit yang tinggi sambil memikul keldai.

Si murid terdiam.

“Sebaliknya,jika kau menunggangi nafsu dan mengawalnya dengan baik,kau akan dapat kemudahan dalam menjalani kehidupan.

Si murid tersenyum,walau keletihan.Kerana dia belajar sesuatu yang berguna daripada gurunya.

===================================

Nafsu itu sangat berguna,selagi nafsu itu menjadi hamba,dan kita tuannya.
Nafsu kita di bagaimana?Dikawal atau mengawal?
Mujahadah itu pahit,tapi syurga itu manis.

Kuasai Diri


Fitnah akan dibentangkan kepada manusia seperti tikar,satu demi satu.Mana-mana hati yang dipengaruhinya tercalitlah di hati itu satu titik hitam.Mana-mana hati yang mengingkarinya tercaltitlah pada hati itu satu titik putih.Hinggalah hati itu menjadi salah satu daripada dua jenis hati;sama ada putih seperti batu putih yang tidak akan dicacatkan oleh sebarang fitnah,atau menjadi hati yang hitam pekat,tidak mengenal maaruf dan mengingkari sebarang kemungkaran. [Riwayat Muslim]
Dalam menjalani liku-liku kehidupan sebagai seorang hamba,kita akan terus berjuang mencari keredhaan Allah S.W.T sehingga ajal datang menjemput,sama ada perjuangan itu berakhir dengan kejayaan ataupun kegagalan.Perjuangan itu bukannya mudah,malah  kadang-kadang terlalu payah untuk dihadapi.Kadang-kadang,rasa sebak itu menjengah di kalbu mengetahui betapa kritikalnya keadaan sekeliling sekarang.Bila berjumpa kawan-kawan lama,mereka sangat berbeza.
"Hang xpala,sekolah agama,SBP pulak tue.Aku susah,kawan semua xmau belajaq.Belajaq benda lain ada la"
Huh!

===============================

Dalam perjuangan hidup,manusia terbahagi kepada tiga golongan:

1.Golongan yang dapat ditewaskan oleh hawa nafsu mereka.Mereka terus-menerus menjadi hamba dunia,dan terus ditipu hidup-hidup.Bisikan syaitan di sebelah terus didengari,tetapi tawanya yang berdekah-dekah tidak pernah disedari.Inilah golongan yang Allah sebutkan di dalam Al-Quran: 
Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya []dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?[Al-Jaatsiyah 23]
2.Golongan yang kedua ialah golongan yang berjihad melawan hawa nafsunya.Kadangkala mereka menang dan kadangkala mereka kalah.Apabila mereka melakukan kesalahan,mereka bertaubat,menyesal dan memohon ampun kepada Allah.
Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri , mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.[Ali Imraan 135]
3.Golongan ketiga merupakan golongan maksum,iaitu para Rasul dan nabi.

Perkara ini juga terkandung dalam jawapan terhadap soalan yang dilemparkan Nabi Yahya kepada syaitan:
"Ceritakanlah kepadaku mengenai tabiat-tabiat anak-anak Adam di sisi kamu."soal nabi Yahya.
"Segolongan mereka adalah golongan seperti kamu,mereka itu maksu,kami tidak mampu sedikitpun menggoda mereka dan golongan yang kedua adalah golongan yang seperti bola di tangan anak-anak kamu.Hawa nafsu golongan ini telah membantu kami mempengaruhi mereka dan golongan yang ketiga pula adalah golongan yang amat sukar bagi kami,kami menemui salah seorang dari mereka sehinggalah kami berjaya mencapai apa yang kami kehendaki,tetapi kemudian beliau segera beristighfar,dengan istighfar itu telah merosakkan apa yang kami dapati daripadanya,kami tidak akan pernah berputus asa dan kami tidak akan mendapat kehendak kami daripadanya. 
Kita golongan mana? =,="

=============================

"Kau tak contact dia ke?"
"Tak,serius.Nanti dah halal nanti sembang la puas-puas."

OK?

=============================

Ini soal diri kita sendiri.Kalau diri kata tidak,insyaAllah tidak.Melainkan ada hikmah lain yang tersembunyi. Kuasai diri kita,jangan biar kita jadi boneka syaitan durjana.

Katakan tidak kepada mereka.

Tiket ke syurga.. Dah beli?

Ana pernah terbaca kisah mengenai salah seorang tokoh sufi,Ibrahim bin Adham nama beliau.

Suatu hari beliau ingin untuk memasuki sebuah tempat pemandian awam.
Penjaganya meminta wang untuk membayar tiket masuk.Ibrahim bin Adham hanya menggeleng kepalanya seraya mengaku bahawa beliau tak punya wang untuk membayar harga masuk.


Lantas penjaga tempat pemandian itu berkata,

"Maaflah,jika saudara tidak mempunyai wang,saudara tidak dibenarkan untuk masuk ke sini."

Tatkala itu juga,Ibrahim bin Adham tersungkur ke atas tanah..Terdengar ratapan-ratapan kesedihan keluar dari mulutnya.Jadi,pengunjung dan orang ramai yang berada di situ berusaha menenangkan beliau.Bahkan,ada yang bermurah hati menawarkan diri untuk membayar harga masuk ke yampat pemandian awam tersebut 

Seraya Ibrahim bin Adham menjawab, "Aku menangis bukan kerana tidak dapat masuk ke tempat pemandian ini. Ketika si penjaga meminta wang untuk membayar harga masuk, aku terus teringat pada sesuatu yang membuatku menangis. 

"Jika aku tak diizinkan masuk ke tempat pemandian dunia ini kecuali jika aku membayar harga masuknya, harapan apa yang boleh aku miliki agar diizinkan memasuki surga? Apa yang akan terjadi padaku jika aku  dituntut: 

"Amal soleh apa yang telah kau bawa sebagai bekalan?"

"Apa yang telah kau kerjakan yang cukup berharga untuk boleh dimasukkan ke surga?"

"Sama ketika aku diusir dari tempat pemandian kerana tak mampu membayar, aku tentu tak akan diperbolehkan memasuki surga jika aku tak mempunyai amal soleh apa pun. Itulah sebabnya aku menangis dan meratap."
Dan orang-orang di sekitarnya yang mendengar ucapan itu langsung terjatuh dan menangis bersama beliau.

Dah beli tiket ke syurga?
Persoalannya,mampu ke kita beli?

Kenapa wujud istilah bosan?

"Boring la camni,buat benda sama je.."

"Amirul,keluar jom..bosan la lepak rumah.."

Kalimah 'bosan' atau 'boring' seringkali digunapakai dalam kehidupan manusia sekarang yang mana menggambarkan perasaan seseorang yang jemu dengan cara hidup yang dihadapi.
Tapi,hakikatnya,kalimah 'bosan' atau 'boring' itu hanya wujud dalam kamus hidup manusia yang kosong jiwanya,malah lebih teruk ialah manusia yang menjadi hamba kepada budaya hedonisme.Hidup terasa kosong bila tiada hiburan yang melalaikan menjadi teman.

"Bosan nye,internet wat hal la pulak..Banyak la notification nanti tak terbalas."

"Ala,hujan lagi.. Sekejap lagi mula la astro buat hal.. Melepas tengok Jozan buat lawak.."

Bagi mereka yang kaya jiwanya,mereka akan terus sibuk dan sibuk mengimbangi amalan dunia dan bekalan di akhirat sehingga masa yang ada bagaikan tidak mencukupi bagi mereka.Seringkali mereka berjuang menggunakan setiap detik waktu yang masih bersisa.

Ingatlah,setelah dilahirkan ke dunia,kita diamanahan dengan misi yang penting.Kitalah hamba,dan kita jualah pemimpin.

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ
Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."[Al-Baqarah : 30]

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.
[Al-Dhariyat : 56]


Dua misi ini yang akan terus membuatkan kita berasa sibuk dan terus sibuk,sehingga kita tidak punya masa untuk merasa bosan dalam hidup.Berusahalah menghapuskan perkataan 'bosan' dalam kamus kehidupan seharian kita dengan mengabdikan diri kepada Allah dan mengimarahkan bumi Allah dengan menjadi khalifah yang soleh dan solehah.InsyaAllah..

Pesan Nenek


Seorang cucu bertanya kepada neneknya yang sedang menulis sebuah surat :

“Nenek menulis apa? Tentang cucu?”

Mendengar pertanyaan si cucu, sang nenek berhenti menulis dan berkata kepada cucunya,

“Iya, nenek sedang menulis tentang kamu cucuku sayang.."ujar nenek dengan penuh kasih sayang.

"Tapi ada yang lebih penting dari isi tulisan nenek ini, iaitu pensil yang nenek pakai sekarang ini ”tambah nenek lagi.

“Pensil ini mempunyai pengajaran berguna yang mampu membuat cucu selalu tenang dalam menjalani hidup, kalau cucu selalu memegang prinsip-prinsip berdasarkan pensel ini di dalam hidup cucu.”

Si nenek kemudian menjelaskan kepada cucunya :

==========================

“Dengan sebatang pensel,cucu mampu menghasillkan lukisan yang begitu cantik .Juga cucu mampu menulis puisi yang begitu indah.Tapi saat cucu menulis dan melukis itu,cucu hendaklah sentiasa sedar bahawa ada tangan yang mengorak haluan tangan cucu semasa menulis dan melukis.

Begitulah jua dalam kehidupan cucu,sehebat mana setiap perkara yang cucu lakukan,selalu ingat bahawa Allah lah yang membimbing dan membantu cucu menjadi manusia yang hebat.Jadi jangan cucu sombong dan takbur andai mana cucu menjadi manusia hebat kelak.Nenek risau andai "tangan" yang membimbing itu tidak lagi membantu.



===============

“Cucuku sayang, dalam proses menulis, kadang-kala beberapa kali kita harus berhenti dan menggunakan pengasah untuk menajamkan kembali pensil. Semasa meraut pensel untuk membuatnya tajam,pasti akan membuat si pensil menderita. Tapi setelah proses meraut selesai, si pensil akan mendapatkan ketajamannya kembali. 

Begitu juga dengan cucu, dalam hidup ini kamu harus berani menerima penderitaan dan kesusahan, kerana merekalah yang akan membuat cucu menjadi orang yang lebih baik kelak.Kata orang,bersusah-susah dahulu,bersenang-senang kemudian.Itulah rencah kehidupan cu..

=======================

"Cucu,apa cucu buat kalau tersalah tulis atau tersilap lukis? Pasti cucu cepat-cepat padam bukan..?

Begitulah juga dalam kehidupan cucu.Kita sentiasa diberikan kesempatan untuk menghapuskan kesilapan-kesilapan dahulu.Allah sentiasa memberikan ruang dan peluang kepada hambanNya untuk bertaubat memohon ampun kepadanya.Jadi cucuku,andai pernah melakukan dosa dan maksiat,ingatlah bahawa kita sentiasa diberi peluang untuk kembali ke jalan yang benar.Kesalahan yang lalu mampu dihapuskan,andai kita memadamkannya dengan bertaubat kepada Allah.



=======================

"Cuba cucu lihat pensel ini.Bahagian dalam pensel ini yang penting,iaitu karbonnya.Bahagian luarnya hanya sebagai pengukuh sahaja.

Begitulah juga dalam hidup cucu.Bahagian dalaman cucu itu yang penting,yang mampu menghasilkan sesuatu yang hebat.Allah juga melihat takwa dalam diri hambanya,bukan melihat pada rupa paras hambaNya.Kerana itu cucu,sentiasalah meningkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah,kerana dengan itulah cucu akan berada di taraf yang tinggi di sisi Allah S.W.T.

=======================

Perkara terakhir yang cucu perlu ambil pengajaran daripada pensel ini,cucu hendaklah sentiasa ingat.Setiap lakaran dan tulisan dari pensel ini meninggalkan kesan,meninggalkan garis-garis yang membentuk tulisan dan tulisan.Tapi cucu harus ingat,tidak semua tulisan dan lukisan itu disenangi semua orang.Ada yang benci,ada yang dengki dan mungkin juga akan ada yang mengkhianati.

Seperti juga kamu, cucu hendaklah sedar bahawa apapun yang cucu lakukan,hati-hatilah.Berwaspadalah dalam setiap tindakan.Cucu tidak akan sesekali mampu menyenangkan hati semua pihak.Mungkin ada manusia yang kecil hati dan iri hati dengan apa yang cucu lakukan.Oleh karena itu,cucu hendaklah selalu berusaha menjaga setiap tingkah laku cucu,agar cucu sentiasa dalam lindungan rahmatNya.
======================

Kepada cucu-cucu semua,sama-samalah mengambil iktibar.

Terima kasih nenek :)

-mengambil ibrah dari kisah-kisah dahulu :)

Rayuan Kepada Pengundi Dun Sarawak

Saya percaya bahawa sudah tiba masanya untuk seluruh pengundi di Sarawak, yang mengandungi berbagai resam budaya dan etnik, agama, untuk bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat bagi melakukan satu perubahan yang jelas dalam pilihan raya kali ini dengan satu mesej yang paling jelas, iaitu : Marilah Kita Berubah Dengan Menolak Barisan Nasional (BN) Dalam Pilihan Raya Kali Ini.
Cukuplah negeri Sarawak yang kaya dengan hasil bumi ini dipergunakan oleh BN selama puluhan tahun dengan meminggirkan rakyat sejak sekelian lama. Janji dan rasuah politik oleh BN sepanjang tempoh pilihan raya ini akan terus di ulang-ulang oleh pemimpin BN untuk mereka mengekalkan kuasa dan seterusnya mengumpulkan kekayaan untuk diri mereka sendiri. Akhirnya nasib rakyat masih tidak berubah sejak puluhan tahun ini. PAS akan memastikan konsep Federalisma terus dipelihara, dan perpaduan kaum akan menjadi keutamaan di negeri Sarawak ini.
PAS merayu kepada pengundi di Sarawak untuk memilih calon dari PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kali ini. PAS akan memastikan wakil rakyat dari PAS nanti akan berkhidmat dengan penuh dedikasi kepada rakyat, membawa aduan dan suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk melakukan sau perubahan bersama rakyat Sarawak.
Sekiranya menang di DUN Beting Maro, Sadong Jaya, Tanjung Datu, Muara Tuang dan Sebuyau dalam pilihanraya kali ini, PAS akan memastikan kawasan ini dibela dengan menjadikan DUN ini sebagai kawasan contoh di Malaysia, di mana seluruh petugas PAS akan menyumbang tenaga secara langsung di sini nanti. Di sinilah nanti PAS akan menunjukkan contoh Keadilan Islam Untuk Semua Golongan di negeri Sarawak tanpa mengira anutan agama dan keturunan. Itulah sebenarnya wajah Islam yang ingin kami bawa.

Presiden PAS
12. Apr.2011

17 kerusi dalam tangan, 11 jadi rebutan?

KUCHING, 13 April: Sekurang-kurangnya 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak didakwa sudah dalam genggaman Pakatan Rakyat manakala 11 kerusi lagi boleh jatuh bila-bila masa kepada Pakatan.

Dari 71 kerusi yang dipertandingkan, BN pula setakat ini didakwa hanya selesa di 43 kerusi, kata Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media PAS di Pejabat Badan Perhubungan PAS, di Matang Jaya di sini.
Menurut Malaysiakini pula, kerusi selamat untuk BN hanya 28 sahaja manakala 19 sudah dimenangi pembangkang manakala 24 kerusi lagi sedang menjadi rebutan.
Dr Dzulkefli yang juga bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP) berkata, biarpun maklumat itu hanya sekadar pandangan pemerhati politik, namun ianya sesuai dengan sokongan masyarakat terhadap Pakatan Rakyat setakat ini.

Maka tidak hairanlah katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak begitu bimbang sehingga beliau terpaksa turun sendiri berkempen di Sarawak.

"Najib memang tergugat, saya mendapat maklumat BN hanya boleh menang 43 kerusi yang mana mereka rasa betul-betul selamat. 17 kerusi milik pembangkang manakala 11 lagi jadi pertarungan sebenar," katanya.

Turut serta pada sidang media itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat.

Keadaan itu juga jelas beliau menyebabkan Najib kini seperti hilang kepercayaan kepada timbalannya sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengemudi jentera pilihan raya BN.

Ianya juga ditambah dengan faktor  kebencian rakyat terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Hampir seluruhnya kekayaan negeri ini dibolot secara rakus bukan sahaja oleh dirinya (Taib), tetapi juga oleh suku sakatnya, abang, adik, ipar dan menantu.

"Maka amat wajar Najib kalau berani menyatakan siapa pengganti Taib Mahmud dalam masa terdekat ini.

"Ataukah ini mainan Najib, atau mainan Muhyiddin dengan Taib Mahmud untuk mensabotaj Najib,"soalnya lagi.

Kebangkitan rakyat pada pilihan raya Sarawak kali ini dapat dilihat dengan jelas apabila penyertaan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya ini disambut bagai menatang minyak yang penuh.

Ceramah-ceramah Pakatan Rakyat juga turut mendapat sambutan luar biasa khususnya masyarakat Cina, apatah lagi dengan kehadiran pemimin utama PAS, PKR dan DAP seperti Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

Keadaan itu menyebabkan BN kini tidak senang duduk dan mula menumpukan kepada kawasan pedalaman yang mempunyai penduduk majoriti Melayu, Melanau dan Iban.

"BN kini sedang memperkemas bala tentera, bukan jentera tetapi wang ringgit mereka,"kata Dzulkefly lagi.

Pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini, semua kerusi ditandingi pembangkang termasuk Pakatan Rakyat iaitu PKR 47 kerusi, DAP 15 dan PAS 5, manakala Snap bertanding di 27 kerusi.

Calon PAS Pilihanraya Dun Sarawak 2011




Helikopter bawa rombongan TPM terbalik

07 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


Sebuah helikopter yang dipercayai membawa rombongan timbalan perdana menteri terbalik ketika hendak berlepas dari sebuah padang dekat Wisma Sanyan.


Kejadian itu berlaku selepas helikopter tersebut menurunkan penumpangnya di situ.

Menurut OCPD Sibu, ASP Shafie Ismail, kejadian itu berlaku pada jam 1.50 tengahari selepas helikopter itu menurunkan semua penumpangnya di Sibu Townsquare.
 
"Helikopter tersebut hendak berlepas balik ke lapangan terbang untuk disimpan, (tetapi) kemudian jatuh dari ketinggian 10 kaki," katanya.

Berikutan itu, juruterbangnya mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital.


Sebelum kejadian tersebut, tiga helikopter membawa rombongan timbalan perdana menteri balik dari Bintangor ke Sibu.


Dua daripadanya adalahmilik Hornbill Skyways, dan helikopter yang terhempas itu adalah dari Sabah Air.


Bagaimanapun, Tan Sri Muhyiddn tidak menaiki helikopter yang terhempas itu.


Malaysiakini/-

Kedudukan BN Sarawak kini 50:50


(Sambutan rakyat kepada ceramah Pakatan Rakyat di Batu Kawa, Kuching malam tadi)
BINTULU, 11 April: Laporan kedudukan Barisan Nasional (BN) Sarawak 50:50 bukan lagi perang saraf dalam alam siber tetapi kini sudah menjadi realiti di kalangan penduduk Sarawak bahkan menjadi igauan ngeri pemimpin BN Sarawak.

Mimpi ngeri ini bukannya lagi berada pada bibir-bibir mulut pemimpin Pakatan Rakyat tetapi kini dalam tubuh para pemimpin parti-parti komponen BN di Sarawak yang sudah terasa kehadirannya sejak kempen bermula.

Inilah laporan lapangan yang boleh dbuat dari Bintulu sekarang, kata jurucakap PAS Bintulu dalam laporannya kepada Harakahdaily.

"Yang paling kurang akan berlaku dalam pilihan raya ini menurut maklumat yang kami dapat dan mood rakyat Sarawak adalah BN akan hilang kuasa 2/3 dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak akan datang," tulis laporan itu.

Kenyataan dari pemimpin kecil PBB di peringkat cawangan bahawa tidak mengundi BN diibaratkan MENDERHAKA adalah ciri ketakutan dan bolehlah dijadikan satu slot dalam filem “Hantu Mak Limah balek Kampong”.

Ia dibuat untuk menambahbaik lagi kelucuan jalan cerita dalam filem tersebut, katanya.
"Kami berkeyakinan pertandingan sengit akan berlaku semasa pilihan raya di seluruh Sarawak,  bukan di bahagian-bahagian tertentu sahaja.

"Bak kata orang-orang bae (bintulu) “ yak lah masanya selau BN mulik mapun Kuala Lumpur” ( inilah masanya BN balik ke Kuala Lumpur)," katanya.

Penduduk tempatan tahu, keadaan pribumi Sarawak terutama kaum Iban sangat menyedihkan.
(Penempatan Iban di Kampung Sg Plan, DUN Kidurong, Bintulu)
Mereka menjadi alat penerokaan dan pemberi hasil lumayan untuk ekonomi Sarawak dalam keadaan mereka tidak sedar mereka  hanya menjadi alat untuk mengkayakan pemimpin kapitalis di bumi mereka sendiri.
Satu persoalan besar di sini, adakah bekas penyandang Ketua Menteri Sarawak ketika ini, Tun Patinggi Taib Mahmud masih tidak terasa malu dalam meminta undi agar rakyat tetap menyokong kerajaan beliau dan BN.

Usaha Najib tekan Taib gagal

Menjelang hari penamaan calon baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yasin dikatakan gagal untuk memujuk Taib Mahmud agar mengundurkan apabila kedua-dua tidak menerima syarat yang dikenakan Taib.
Ekoran itu, Taib tidak pernah memberikan kata putus bilakah beliau akan berundur walaupun Najib terus menekan beliau agar berundur dalam kempennya di Sarawak. Semalam Najib mengulangi lagi janji ini di depan rakyat Sarawak,  namun adakah Taib bersetuju, tidak diketahui.
Bagi penduduk Sarawak, cara paling baik untuk memastikan Taib berundur adalah mengalahkan BN di Sarawak dan memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir negeri itu.
"Tidak salah memberikan kepercayaan kepada Pakatan dalam usaha untuk memberikan kuasa kepada rakyat kerana selama ini rakyat hanya dipergunakan untuk kekayaan pihak Kuching dan Kuala Lumpur sahaja," kata seorang pensyarah universiti tempatan di Sarawak kepada Harakahdaily.
"Kalau pemilihan Pakatan tidak betul, kita boleh tukar balik dalam pilihan raya akan datang. Di Semenanjung, rakyat boleh buat di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Perak dalam pilihan raya umum lalu. Nampaknya rakyat di sana selesa bahkan banyak kebaikannya, kenapa tidak kita di Sarawak," tambah beliau yang enggan namanya disiarkan.

BN Sarawak kini hadapi masalah besar

MIRI, 11 April: Barisan Nasional (BN) Sarawak kini sedang menghadapi masalah besar, apabila semua bandar-bandar utama di negeri sudah berjaya di kawal oleh Pakatan Rakyat.

Kucing, Miri dan Sibu hampir pasti jatuh ke tangan Pakatan Rakyat ekoran sokongan yang sangat luar biasa diberikan kepada program yang dianjurkan oleh Pakatan di bandar-bandar utama itu.

Kini, mereka sedang bergerak ke kawasan-kawasan bandar kecil dan luar bandar yang belum mendapat maklumat yang secukupnya tentang apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.

Menurut laporan SarawakReport, ketika majlis sambutan yang luar biasa diberikan kepada program Pakatan Rakyat, sambutan yang amat buruk diterima oleh para pemimpin BN di Sarawak.
(Gambar: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, George Chan sedang berucap dalam majlis BN di Miri)

Ia turut dialami oleh para wakil rakyat BN sendiri termasuk Timbalan Ketua Menteri, George Chan di kawasannya sendiri iaitu di Miri.

Tidak sampai 100 orang yang hadir mendengar ucapan pemimpin SUPP itu walaupun ia disokong sama oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang hilang kerusi Ketua Menterinya di Pulau Pinang dalam pilihan raya umum 2008, Dr Koh Tsu Koon.

Di tempat yang samalah, hampir 20,000 orang mendengar ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Namun apakah ini akan diterjemahkan dalam kotak undi belum dapat dipastikan.
Ini kerana, BN sedang menggunakan segala jentera untuk mempastikan undi masih memihak kepada mereka walaupun sokongan memihak kepada Pakatan Rakyat.
(Gambar: Orang ramai yang mendengar ucapan Anwar di Miri)

"Saya rasa kali ini agak berbeza. Kalau benar azam untuk menjatuhkan Taib Mahmud menjalar di semua rakyat Sarawak, ia akan menjadi kenyataan. Duit hanya masuk poket tetapi undi mereka tidak akan bagi kepada BN," kata seorang pensyarah universiti tempatan Sarawak kepada Harakahdaily.
Pakatan tanding semua kerusi

Dalam pilihan raya ini, Pakatan meletakkan 71 calonnya iaitu di kesemua kawasan pilihan raya. PAS bertanding lima kerusi, DAP 15 dan selebihnya (51) adalah PKR.

Menurut kajian Merdeka Centre sebelum hari penamaan calon, DAP boleh menang sekurang-kurangnya 12 kerusi dan tidak mustahil menang kesemua 15 kerusi yang ditandinginya. Ketika itu, mereka belum dapat kenal pasti kedudukan PKR dan PAS.
Menurut laporan terkini, ketika DAP yakin dengan 12 ke 15 kerusinya, PKR dikatakan yakin menang 15 kerusi. PAS pula dikatakan akan menang sekurang-kurangnya satu hingga tiga kerusi.
Pakatan memerlukan sekurang-kurangnya 23 kerusi untuk menafikan kuasa 2/3 BN dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 36 kerusi untuk menamatkan kuasa BN di Sarawak.
Berikutan ketakutan dari sentimen benci kepada Taib Mahmud, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya di Sarawak berjanji kepada pengundi, Taib Mahmud akan bersara selepas pilihan raya ini.

Namun tidak diketahui apakah ianya dipersetujui oleh Taib kerana usaha Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyidin memujuk Taib agar bersara sebelum pilihan raya bermula gagal.

Ini kerana, kegagalan mereka memenuhi tuntutan dari Ketua Menteri Sarawak yang sudah 30 tahun menjadi 'raja' di negeri itu.

Menurut SarawakReport, kekayaan yang dimiliki Taib sudah terlalu melimpah ruah. Ia bukan sahaja milik beliau bahkan keluarganya iaitu anak-anak dan adik beradiknya.

Antaranya adalah pemilikan tanah yang sepatutnya dimiliki oleh rakyat Sarawak.

PAS hampir selesai temui pengundi

SANTUBONG, 11 April: PAS sudah hampir menyelesaikan misi menemui seramai mungkin pengundi di N03 Dun Tanjong Datu yang terdiri daripada Melayu, Cina, Iban dan Bidayuh.
Penyelaras Jentera Pilihan raya PAS bagi Dun ini, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, PAS dengan segala kekuatan jentera tempatan dan Semenanjung sedang sedaya upaya menyelesaikan misi ini sebelum hari membuang undi 16 April ini.
"Kita sedang berdepan cabaran untuk bertemu bertemu seramai mungkin pengundi dan hampir menyempurnakan lawatan ke rumah-rumah panjang yang kebanyakannya dihuni kaum Iban," katanya.
(Gambar: Nani bertemu dengan pengundi Tanjong Datu)
Beliau yang juga Bendahari PAS Pusat juga berkata, lawatan ke kawasan penempatan kaum Cina juga sudah selesai dilakukan termasuk mengenal pasti masalah yang dihadapi mereka.
PAS juga akan menemui kira-kira 134 pengundi di Kampung Telok Melano dua hari sebelum mengundi yang hanya boleh diakses melalui jalan air dan mengambil masa 45 minit dari Pekan Lundu.
Selain itu, Dr Hatta sendiri akan mengetuai program pemeriksaan kesihatan percuma dari rumah ke rumah.
"Kita akan adakan program kesihatan selama dua hari pada 14 dan 15 April termasuk memberi nasihat dan rawatan kepada mereka yang memerlukan," katanya.
Tambahnya, PAS turut dibantu jentera DAP dan PKR daripada pelbagai kawasan.
Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Sin Giaw akan turun sama berkampung di sini selama beberapa hari.
Ditanya mengenai sambutan pengundi-pengundi, Dr Hatta berkata mereka menerima PAS dengan senang hati.
"Setakat lawatan yang kita lakukan, mereka menyambut kita dengan ramah mesra dan senang hati," katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai aduan penduduk rumah panjang yang ditemui, Dr Hatta berkata secara keseluruhannya mereka masih dibelenggu masalah infrastruktur seperti bekalan air dan elektrik selain masalah hak milik tanah yang dirampas syarikat swasta.
"Mereka sangat memerlukan kemudahan asas terutamanya air dan elektrik kerana kebanyakannya masih bergantung kepada generator dan air dari gunung.
"Mereka juga mengadu mengenai tanah adat yang belum diberikan hak milik," katanya.
Ahli Parlimen Kuala Krai itu yakin PAS mampu merampas kerusi Dun ini daripada BN melihat kepada peluang yang ada sepanjang tempoh kempen.
(Gambar hari penamaan calon: Dr Hatta [kiri sekali] mengiringi calon PAS bersama pimpinan PAS yang lain)
"Kita mempunyai peluang yang sama dengan BN untuk menang dan PAS yakin dapat menyumbang kerusi Tanjung Datu untuk Sarawak," katanya.
Nani Sahari diberi kepercayaan oleh PAS bertanding di Dun Tanjong Datu menentang penyandang kerusi ini, Tan Sri Adenan Satem daripada BN-PBB dan calon Bebas, Gilbert Asson Kulong.

Calon wanita yang diketengahkan PAS ini berasal daripada Kampung Pula, Petrajaya, Sarawak dan merupakan seorang graduan UiTM pada tahun 1993.

Nani, 42, yang bertugas sebagai pembantu klinik di Sarawak merupakan bekas Ketua Wanita PKR Sarawak pada tahun 2009 sebelum menyertai PAS tahun lalu.

Pada tahun 2006, Adenan menang kerusi ini dengan mendapat 4,545 undi menewaskan Sobey Daud, PKR (409) dan Larry Dominic Linang, Bebas (357).

Jumlah Pengundi di Tanjung Datu seramai 7,936 dengan majoritinya Melayu (53.06%), Cina (19.63%), Iban (17.34%) dan Bidayuh (9.97%).

Pengundi Tanjong Datu alu-alukan kehadiran PAS

SANTUBONG, 11 April: PAS tidak silap membuat keputusan bertanding di N03 Dun Tanjong Datu apabila ternyata mendapat sokongan masyarakat setempat.

Meskipun PAS baru pertama kali bertanding di kawasan majoriti Melayu yang merupakan 53 peratus pengundi di Dun ini, namun sambutan yang diterima oleh masyarakat di sini sangat memberangsangkan.

Setakat hari kelima berkempen semalam, calon PAS, program Nani Sahari berjalan lancar dengan mengambil pendekatan melawat rumah ke rumah di setiap kampung termasuk masuk ke rumah panjang kaum Iban.

Sokongan masyarakat Cina juga tidak kurang hebatnya sehingga ada yang sudi menawarkan premis kedainya untuk program PAS.

Di kalangan masyarakat Melayu yang kebanyakannya bekerja sebagai petani dan nelayan, mereka tidak terlalu terdedah kepada dunia luar apatah lagi isu-isu semasa sebaliknya lebih menumpukan kepada usaha meningkatkan taraf ekonomi.

Namun apabila dijelaskan mengenai pentingnya pilihan raya dan sebab PAS bertanding, mereka menerima secara positif asalkan dapat membantu mereka dari sudut ekonomi.

Ada juga penduduk yang mengatakan PAS seharusnya menonjolkan diri lebih awal, sebelum pilihan raya negeri lagi.

Seorang penduduk yang ditemui yang merupakan penyokong PAS berpendapat, rakyat Sarawak yang pernah keluar dari Bumi Kenyalang itu lebih mudah untuk menerima PAS kerana mereka telah didedahkan dengan segala salah guna kuasa dan penipuan pemimpin BN.

Golongan ini sangat diperlukan di kawasan ini untuk menyebarkan kefahamannya kepada masyarakat setempat.

Selain itu,PAS juga amat memerlukan bantuan penduduk tempatan sepanjang tempoh kempen bagi memudahkan proses komunikasi dan memahami budaya dan adat resam mereka.

Ini kerana budaya dan adat resam mereka adalah perkara sensitif yang perlu dijaga.

Jika perkara ini tidak dititik beratkan sewaktu berkempen, sukar untuk PAS menembusi kubu BN-PBB di kawasan ini.
Seorang lagi wanita, Nani Sahari (gambar) diberi kepercayaan oleh PAS untuk merampas kerusi Dun Tanjong Datu daripada penyandang kerusi ini, Tan Sri Adenan Satem daripada BN-PBB.

Calon wanita yang diketengahkan PAS ini berasal daripada Kampung Pula, Petrajaya, Sarawak dan merupakan seorang graduan UiTM pada tahun 1993.

Nani,42 yang bertugas sebagai pembantu klinik di Sarawak merupakan bekas Ketua Wanita PKR Sarawak pada tahun 2009 sebelum menyertai PAS tahun lalu.

Di Dun ini, Nani akan menghadapi satu lagi pertanding tiga penjuru berdepan dengan penyandang kerusi, Adenan and calon bebas, Gilbert Asson Kulong.

Pada tahun 2006, Adenan menang kerusi ini dengan mendapat 4,545 undi menewaskan Sobey Daud, PKR (409) dan Larry Dominic Linang, Bebas (357).

Jumlah Pengundi di Tanjung Datu seramai 7,936 dengan majoritinya Melayu (53.06%), Cina (19.63%), Iban (17.34%) dan Bidayuh (9.97%).
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates