Ada profesor ‘juling sejarah’ – pensyarah

KOTA BHARU, 13 Sept: Kenyataan Majlis Profesor Negara kononnya Tanah Melayu tidak pernah dijajah dan hanya dinaungi British disifatkan tokoh sejarah dari Universiti Malaya sebagai ‘juling sejarah’.
“Bukan sejarahwan sebenarnya kalau mengeluarkan kenyataan seperti itu. Saya tidak faham mengapa boleh berlaku begitu,” kata Prof Datuk Dr Mohamad Abu Bakar (gambar).
Menurutnya sejarah kalau tidak dinilai semula hanya akan diboloti pihak-pihak tertentu sahaja.
”Saya masih ingat kata-kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail meminta dinilai golongan kiri yang turut berjuang menuntut kemerdekaan,” katanya pada forum rakyat di Dataran Stadium Sultan Mohamad Ke IV malam tadi.
Forum berkenaan dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu juga bertindak sebagai panelis pada forum tersebut.
Sebelum itu perasmian dilakukan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Sebelum ini Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Zainal Kling menegaskan Tanah Melayu tidak pernah dijajah dan hanya dinaungi Inggeris.
Pandangan itu ditolak pelbagai pihak sehingga menjejaskan kewibawaan Majlis Profesor Negara yang baru ditubuh kerajaan.
Dr Mohamad berpengalaman selama 21 tahun sebagai profesor sejarah di UM berkata, tujuan mengkaji sejarah mempunyai dua makna iaitu untuk mengetahui peritiwa yang berlaku.
Dan keduanya menceduk pengetahuan tentang peristiwa tersebut.
Kata beliau sejarah hanya sahih sehingga ada penemuan bahan-bahan baru. Ini bermakna sejarah boleh berubah.
”Sebagai contoh sejarah Tembok Besar China diberi versi baru sekarang apabila ada kajian menyebut ribuan rakyat terkorban semasa membina tembok tersebut.
”Ini bermakna Tembok Besar China sedang ’bertutur’ dengan penderitaan rakyat,” ujarnya.
Oleh itu beliau membuat tanggapan Mohamad Sabu muncul sebagai penilai sejarah baru, bila mana sebelum ini kita hanya melihat melalui satu teropong sahaja.
Sebab itulah kata beliau bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kenyataan sejarah yang diajar di sekolah ada yang tidak betul.
”Permulaan isu ada penjernihan akhirnya. Kebatilan pasti luput apabila timbul kebenaran. Dan kebenaran sekarang mulai muncul sedikit demi sedikit,” ujarnya.
Beliau menyimpulkan sejarah merupakan sesuatu catatan tentang perkara yang lojik dan masuk akal.
Sementara itu, orang ramai yang hadir pada forum berkenaan dikejutkan dengan kejadian beberapa kenderaan disembur cat hijau oleh pihak tertentu.
Mohd Nasir Ismail, 45 dari Pasir Mas berkata, keretanya jenis Ulser Toyota yang di parkir berhampiran Gelanggang Seni disembur cat hijau.
Katanya, banyak lagi kenderaan milik orang lain yang diletak di situ menerima nasib yang sama.
”Ketika saya datang ke tempat kereta semasa hendak pulang saya lihat ada anggota polis di kawasan berhampiran, namun dia tidak menanyakan apa yang berlaku.
”Saya yakin pihak yang melakukan perbuatan khianat itu berani kerana kemungkinan besar mereka dilindungi kuasa politik.
”Kita boleh lihat sendiri apabila kes aktivis Gerakan Bertindak Kembali Royalti Rakyat Kelantan, Hishamuddin Ghazali yang ditampar veteran Umno beberapa bulan lalu tidak diambil sebarang tindakan biar pun laporan polis sudah dibuat,” ujarnya.
Turut menjadi mangsa perbuatan khianat tersebut kereta milik seorang wartawan tempatan. Difahamkan beliau sudah membuat laporan polis pagi ini.

Cukai 6% prabayar mesti dibatalkan bukan ditangguhkan

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik persetujuan pihak syarikat telekomunikasi untuk menangguhkan pelaksanaan cukai perkhidmatan 6% secara terus kepada pengguna. Malah DPPM menggesa supaya ianya dibatalkan terus demi kepentingan rakyat khasnya warga muda negara dan berharap pihak kerajaan sebagai penerima hasil cukai tersebut dapat mempertimbangkan mekanisma percukaian yang lebih efektif kepada pengeluar dan pengguna.

2. Mengikut pengumuman asal pada 8 September, pihak syarikat telekomunikasi akan mengenakan cukai perkhidmatan 6% secara terus (passed-through) kepada pengguna bagi setiap transaksi tambah nilai dan pembelian pek permulaan, bermula 15 September ini. Kadar 6% ini sebenarnya telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan semenjak tahun 1998 dan telah dikenakan secara terus kepada pengguna sistem pasca-bayar dan diserap (absorbed) oleh syarikat telekomunikasi bagi penggunaan sistem pra-bayar bagi memastikan kadar pakej yang kompetitif dan mampu milik.

3. Jika sistem cukai ini diteruskan, golongan yang paling menerima kesan adalah golongan muda, pelajar dan golongan berpendapatan rendah yang terpaksa mengikat perut menghadapi kos sara hidup yang makin tinggi, berbanding pihak kerajaan yang terus mengaut hasil cukai atas keperitan rakyat. DPPM juga berpendapat, impak langsung cukai ini kepada golongan pengguna adalah sama dengan impak cukai GST yang akan diperkenalkan oleh kerajaan dalam masa terdekat.

4. DPPM berpendapat, impak penyerapan cukai ini kepada syarikat telekomunikasi adalah minima, sebagaimana yang dianggarkan oleh Maybank Investment di dalam nota kajian bertarikh 9 September yang menganggarkan penurunan pendapatan sekitar 1% - 4% oleh syarikat telekomunikasi terbabit dan AmReseach pula menganggarkan impak kepada EBITDA (keuntungan operasi) adalah sekitar 2% sahaja.

5. Justeru, pihak DPPM menggesa pihak kerajaan sebagai pihak yang bertanggungjawab memperkenal dan mengutip hasil cukai ini agar tidak mengambil kesempatan untuk mengaut laba daripada penggunaan telekomunikasi yang tidak anjal (inelastic demand) dan mengharapkan cukai perkhidmatan 6% ini terus dimansuhkan sebagai tanda prihatin kepada generasi muda di dalam Bajet 2012 yang akan diumumkan pada Oktober ini.

Jika pihak kerajaan sekarang tidak mampu melaksanakan, pihak DPPM begitu yakin pihak kerajaan Pakatan Rakyat mampu melaksanakannya jika diberi mandat oleh rakyat bersesuaian dengan agenda Membangun Negara Berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS.

Tun M dicabar akui Umno bukan pejuang merdeka

KUALA LUMPUR, 13 Sept: Jika bersetuju bahawa Malaya tidak pernah dijajah, Tun Dr Mahathir Mohamad dicabar untuk mengakui bahawa Umno bukanlah pejuang kemerdekaan, cabar Dewan Pemuda PAS Pusat.

Ketua penerangannya Riduan Mohamad Nor berkata, kenyataan bekas perdana menteri itu yang menyokong kenyataan Datuk Zainal Kling bahawa Malaya tidak pernah dijajah oleh British boleh memberi maksud Umno bukan pejuang kemerdekaan.

"Apakah Dr Mahathir berani mengaku bahawa UMNO bukanlah pejuang kemerdekaan sebenar kerana negara tidak pernah dijajah.

"Apakah juga Dr Mahathir mahu menafikan sumbangan tokoh-tokoh kemerdekaan yang diangkat selama ini seperti Tunku Abdul Rahman, Dato’ Onn Jaafar, Datuk Panglima Bukit Gantang dan lain-lain," soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu beliau turut mencabar Tun Mahathir menyatakan pendirian sama ada British layak diangkat sebagai pejuang negara manakala Dr Burhanuddin Al Helmi, Ahmad Bostamam, Tok Janggut, Tuan Guru Abdul Rahman Limbong, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Mat Saleh, Rentap, dan lain-lainnya sebagai pengkhianat negara, atau sebaliknya.

Menurutnya, kenyataan Tun M kelmarin itu telah menambah kekusutan dalam pemikiran rakyat terhadap sejarah kemerdekaan negara.

Sebelum ini katanya, rakyat dikelirukan dengan kenyataan penuh kontroversi oleh Zainal yang juga Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) berhubung isu sama.

"Zainal Kling telah menimbulkan keserabutan dalam pemikiran rakyat Malaysia, Tun Dr Mahathir pula menambah lagi kekeruhan terhadap rakyat Malaysia.

"Banyak persoalan yang bermain di fikiran rakyat sekarang ini, jika Malaya tidak pernah dijajah, mengapa kita sambut Hari Kemerdekaan negara pada 31 Ogos setiap tahun? Dan jika Malaysia tidak pernah dijajah, apakah UMNO boleh dianggap pejuang kemerdekaan," soalnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata gerakan-gerakan menuntut kemerdekaan lebih dahulu ditubuhkan sebelum Umno.

Ianya termasuk Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuhkan pada 1938, diteruskan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan pada 1945 dan badan gabungannya seperti Angkatan Pemuda Insaf (API)yang ditubuhkan pada Februari 1946, Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Tanah Air (BATAS).

Umno pula ujarnya hanya ditubuhkan pada tahun 1946 lewat beberapa tahun selepas penubuhan gerakan-gerakan tersebut.

"Saat gerakan nasionalis kiri ini melaungkan slogan merdeka ,Umno masih dengan slogan “hidup Melayu”.

"Umno telah diharamkan pada tahun 1988. Umno yang ada kini hanya Umno baru yang ditubuhkan selepas diharamkan tahun 1988. Roh Umno zaman ‘kemerdekaan’ telah berkubur sejak itu," tegasnya.

Milik siapa sejarah Malaysia

13 SEPTEMBER – Adakah sejarah yang ditimbulkan pada peristiwa Bukit Kepong diisi dengan fakta-fakta yang tepat? Dan apakah nama ‘Mat Indera’ itu wajar dianggap sebagai pengkhianat bangsa atau pejuang kemerdekaan?
Isu Bukit Kepong dan penelitian semula
Tanggal 5.00 pagi, 23 Februari 1950, Malaya di bawah jajahan British dikejutkan dengan peristiwa berdarah serangan komunis terhadap rumah pasung (balai polis) Bukit Kepong sehingga melibatkan banyak nyawa terkorban.
Peristiwa ini menjadi titik hitam bagi seluruh anggota rumah pasung Bukit Kepong yang menyebabkan ramai keluarga kehilangan korban. Difahamkan, sekitar 200 gerila komunis yang diketuai Goh Peng Tun menyerang rumah pasung terbabit.
Berlaku pertempuran di antara pihak komunis dan anggota polis yang diketuai Sarjan Ray Dancey. Antara yang terlibat sama di dalam pertempuran terbabit termasuklah Sarjan Jamil Muhd Shah serta 15 anggota polis platun campuran tugas am dan konstabel polis marin yang dipimpin Sarjan Jamil.
Selepas pertempuran sengit berlangsung hampir 5 jam, pihak komunis berjaya menawan rumah pasung terbabit dan mereka membakar bangunan-bangunan di sekeliling mereka. Kesan ini meninggalkan kemusnahan dan menyebabkan banyak nyawa terkorban di kalangan pihak komunis dan anggota polis semasa berlaku pertempuran terbabit.
Namun, kisah berkenaan isu Bukit Kepong selalu diperdebatkan kerana tiada fakta-fakta sahih dikumpulkan secara rasmi, malah, kajian berkenaan kisah ini hanyalah diperoleh melalui sumber sekunder.
Penelitian dibuat berdasarkan naratif pengalaman mereka yang terlibat sendiri dengan peristiwa ini. Selain itu, versi penceritaan sejarahnya semakin kabur kerana ianya hanya diperolehi melalui cerita-cerita waris keturunan mangsa kejadian yang diperceritakan semula, yang bercampur aduk dengan mitos dan legenda.
Siapakah Mat Indera?
Mat Indera sering dikatakan seorang pejuang nasionalis kiri Melayu yang menyertai Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya yang mengambil tindakan mengangkat senjata melawan penjajah British.
Pemimpin komunis Melayu Abdullah C.D dalam memoirnya yang secara terang-terangan mengaku Mat Indera adalah orang kuat Rejimen Ke-10 di Johor tetapi versi lain pula termasuk satu kajian pelajar Universiti Malaya pada 1973 mengatakan Mat Indera adalah nasionalis Melayu yang kuat beragama Islam yang telah bersama-sama dengan komunis untuk menentang penjajah British.
Persoalan di sini adakah wajar Mat Indera dianggap sebagai pejuang kemerdekaan?
Pertama, harus diingati bahawa peristiwa Bukit Kepong berlaku sebelum tarikh kemerdekaan diisytiharkan pada 31 Ogos 1957. Maka, secara teknikalnya, Malaya masih lagi di bawah naungan King George VI sebagai tanah  jajahan British.
Oleh yang demikian, sebarang pertentangan terhadap penjajahan sebelum Merdeka termasuk daripada UMNO, MCA, MIC, PKMM, API, AWAS, PKM dan banyak lagi wajar dianggap sebagai usaha membebaskan Malaya.
Kedua, Mat Indera, seorang berfahaman nasionalis kiri terpaksa mengangkat senjata apabila parti politik perjuangan kiri seperti PKMM, API dan AWAS sudah pun diharamkan oleh British pada tahun 1947 kerana menggugat gagasan penjajahan di bumi Malaya.
(Perlu diingat bahawa selepas parti-parti nasionalis kiri diharamkan, PKM masih halal dan bebas bergerak sehingga British mengisytiharkan darurat pada 1948).
Di atas kesempatan itulah, pejuang-pejuang kemerdekaan awal terpaksa menggunakan jalan yang lebih radikal untuk menuntut kemerdekaan. Di antaranya Abdullah CD, Rashid Maidin dan Shamsiah Fakeh.
Ketiga, perjuangan menuntut kemerdekaan dengan cara radikal sekali pun, mereka wajar menerima pengiktirafan sebagai pejuang anti-penjajah. Mereka tiada pilihan lain kerana penjajah telah mengharamkan parti atau gerakan mereka.
Sebagai contoh, Jose Rizal yang merupakan pendiri Katipunan juga mengambil jalan radikal dan tetap dianggap sebagai wira kebangsaan Filipina menentang penjajah Sepanyol.
Revolusi Indonesia yang dikepalai mantan Presiden Republik Indonesia pertama, Sukarno, juga terlibat dalam gerakan subversif bersama-sama Jeneral Sudirman, Jeneral Nasution, Tuanku Imam Bonjol menentang Belanda dalam perang menuntut kemerdekaan.
Malah, nama-nama seperti Cut Nyak Dien, Raden Adjeng Kartini turut diiktiraf sebagai pejuang nasionalis walau pun mereka mengangkat senjata.
PKM sebelum dan selepas Merdeka
Parti Komunis Malaya yang dirasmikan penubuhannya oleh Ho Chih Minh di Negeri Sembilan pada 1930 merupakan sebuah parti berideologi Marxisme-Leninisme dan Maoisme. Ia adalah antara segelintir pertubuhan politik yang bergerak bebas sebelum Perang Dunia Kedua.
Semasa pendudukan Jepun, PKM di bawah unit Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (MPAJA)  telah bekerjasama dengan unit komando British menentang penjajahan Jepun. Pada masa yang sama Kesatuan Melayu Muda yang dipimpin oleh pejuang nasionalis kiri  Ibrahim Yaakob bekerjasama dengan Jepun bagi membebaskan bumi Malaya daripada cengkaman British.
Jepun menerima kerjasama KMM hanya kerana mahu mengekalkan kuasa di Malaya manakala perjuangan bersenjata PKM menentang Jepun dipersetujui British kerana ia membabitkan kepentingan penjajah Inggeris di Asia Tenggara.
Selepas Jepun menyerah diri pada 1954, konflik tercetus apabila PKM menguasai Malaya selama 14 hari sebelum pentadbiran tentera British kembali ke tanah jajahannya. Di sini timbul konflik di antara PKM dan British.
Ketegangan itu berlarutan hingga 1948 apabila British mengharamkan PKM dan PKM pula melancarkan perang gerila untuk menghalau penjajah. Dengan kebenaran British, Tunku Abdul Rahman yang memimpin Majlis Perundangan Malaya (setelah UMNO, MCA dan MIC menang pilihan raya umum pertama) mengadakan rundingan damai di Baling pada Disember 1955 dengan wakil PKM Rashid Maidin dan Chin Peng.
Rundingan ini gagal apabila Tunku mensyaratkan PKM meletak senjata, menyerah diri dan disoal siasat oleh kerajaan Majlis Perundangan Malaya yang masih di bawah jajahan British sebelum apa-apa keputusan dibuat sedangkan PKM memohon untuk aktif dalam politik tanah air tanpa menggunakan kekerasan.
Oleh kerana rundingan ini berlaku sebelum Merdeka, PKM masih layak digelar pejuang kemerdekaan.
Namun, tindakan PKM untuk berkeras mengangkat senjata selepas 31 Ogos 1957 menimbulkan banyak persoalan tentang perjuangan komunis di Malaya.
Apakah PKM pasca-Merdeka mahu menjatuhkan kerajaan Malaya merdeka secara kekerasan? Adakah PKM mahu menubuhkan negara satelit komunis China atau Rusia melalui keterlibatan mereka dalam gerakan Communist International?
Lantas, PKM pasca-Merdeka hanyalah bertujuan membela kepentingan ideologi politik mereka semata-mata. Sedangkan pada masa yang sama gerakan kiri di Malaya seperti Partai Rakyat Malaya dan Partai Buruh Malaya yang telah membentuk Socialist Front telah memilih jalan demokrasi berparlimen walau pun mereka ditekan dan ditindas oleh kerajaan Perikatan.
Jadi tidak salah jika dikatakan bahawa perjuangan PKM selepas Merdeka adalah penentangan terhadap kerajaan yang dipilih oleh rakyat, dan bukan lagi usaha menuntut kemerdekaan.
Meluruskan garisan sejarah
Sebagai sebuah penelitian semula, fakta sejarah tidak seharusnya diselewengkan. Biarlah ia kekal sebagai warisan yang terbela hingga ke anak cucu-cicit kita walau pun ada yang pahit untuk ditelan.
Tidak dinafikan bahawa PKM sememangnya sebuah parti politik yang mengamalkan perjuangan bersenjata, malah pimpinannya menerima pingat daripada empayar British kerana bersama menentang penjajahan Jepun.
Untuk menolak sejarah perjuangan PKM menentang penjajah Jepun dan kemudiannya British sebelum Merdeka adalah tidak adil dan bersifat pembohongan sejarah.
Pejuang-pejuang nasionalis kiri seperti Burhanuddin Al-Helmy (yang bukan komunis tetapi tokoh Islam yang memimpin PKMM dan PAS), Ahmad Boestamam (yang mempimpin API dan Partai Rakyat), Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako (yang memimpin Partai Buruh), Shamsiah Fakeh, Abdullah CD, Rashid Maidin (kesemuanya PKM) dan Mat Indera sendiri adalah antara insan-insan Melayu yang memperjuangan kemerdekaan negara.
Mereka berjuang dengan rakan-rakan dari pelbagai parti dan pertubuhan dari kalangan bukan Melayu demi membebaskan bumi Malaya daripada penjajahan dan membentuk sebuah negara pelbagai kaum dan agama.
Pengkajian sejarah perlu diteliti dan diteruskan demi menegakkan kebenaran yang terselindung oleh kepentingan politik semasa.
Kata-kata Winston Churchill bahawa “sejarah ditulis oleh orang yang menang” wajarlah dimuhasabahkan semula. Ini kerana pengorbanan wira-wira tidak didendang itu tidak boleh diabaikan untuk meluruskan kembali penceritaan sejarah yang tepat.
Sejarah Malaysia sepatutnya ditulis oleh orang yang cintakan kebenaran, tidak berpihak dan hanya mahu fakta ditafsirkan dengan jujur dan ikhlas.
Kata-kata George Santayana, “mereka yang melupakan sejarah pasti akan mengulangi (kesilapannya)” harus dititipkan demi perjuangan yang bernama keadilan untuk semua. – Roketkini.com

Zainal dan Ghani cuba tukar sejarah

Kenyataan Profesor Zainal Kling bahawa negara ini tidak pernah dijajah oleh British telah menimbulkan pelbagai polemik baru.

Kenyataan Zainal setaraf sahaja dengan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang tiba-tiba menukar kenyataannya kepada Mat Indera adalah komunis.

Sedangkan, melalui buku 'Pengukir Nama Johor' yang diterbitkan pada tahun 2004 oleh Yayasan Warisan Johor, Mat Indera dinobatkan sebagai salah seorang hero Johor.

Buku itu merekodkan Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan dan bukannya komunis.

Namun kerana Umno sudah berpendirian Mat Indera adalah komunis dan bukannya pejuang kemerdekaan, Abdul Ghani terpaksa menukar kenyataan kepada Mat Indera adalah komunis.

Semuanya mahu mengesahkan bahawa Umno sentiasa tidak salah walaupun Ghani terpaksa menukar balik kandungan buku yang beliau buat kata pengantarnya sebelum ini.

Namun nampaknya pegangan Mat Indera adalah komunis tidaklah sekejap mana, mungkin kerana ia banyak bertentangan dengan fakta sejarah.

Hari ini, akhbar Umno, Utusan Malaysia (gambar) di muka depannya mencatatkan Mat Indera bukan lagi komunis tetapi "lelaki tempatan yang bersekongkol dengan komunis."

Kes Zainal Kling pun sama sahaja.
Mohamad Sabu mendakwa hero sebenar peristiwa Bukit Kepong adalah Mat Indera bukannya polis yang bertugas di rumah pasong Bukit Kepong itu.

Ini kerana, kata Mat Sabu, Mat Indera menyerang rumah pasong British kerana polis ketika itu (tahun 1950) adalah polis British yang sedang menjajah Tanah Melayu pada ketika itu.

Jadi untuk membetulkan versi Umno bahawa polis ketika itu adalah bertugas untuk tanah air, negara dan bangsa, datanglah Zainal Kling atas nama Majlis Profesor Negara berkata, negara tidak pernah dijajah oleh British. British hanya penaung sahaja bukan penjajah.

Jika tanah Melayu ketika itu tidak dijajah oleh British maka betullah kata Umno bahawa Mat Sabu telah menghina polis yang berpejuang mempertahankan negara.

Inilah cerita yang cuba hendak diberikan kepada rakyat negara ini.
Komen Husam
Saya tertarik dengan komen yang diberikan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa semalam.

Bagi Husam, kerajaan khasnya Menteri Pelajaran perlu menarik balik semua buku sejarah di sekolah-sekolah di negara ini jika benar kenyataan yang dibuat oleh Profesor Zainal Kling, negara ini tidak pernah dijajah.

"Saya mahu Umno termasuk perdana menteri, timbalan dan khasnya Menteri Pelajaran membuat pendirian, apakah sikap mereka terhadap kenyataan itu.

"Jika benar kenyataan itu, semua buku teks sekolah perlu ditulis semula," kata Husam kepada wartawan Harakahdaily. (Lihat video di sini).

Beliau mengulas kenyataan Zainal Kling yang mendakwa negara ini tidak pernah dijajah dan hanya dilindungi sahaja.

Bagi Husam yang juga Exco kerajaan negeri Kelantan, pemimpin Umno kena bertanggung jawab dengan kenyataan yang dibuat oleh Zainal Kling itu kerana dia ahli Umno.

Sehubungan itu juga, beliau meminta supaya Zainal bertaubat kerana kenyataan beliau boleh merosakkan negara.

"Bagi saya sejarawan seperti ini pada saya boleh merosakkan negara kita kerana mereka boleh putar belit fakta semata-mata untuk membolehkan Umno menjadi juara pada setiap masa.

"Prof Zainal kena bertaubat dan jangan melampau dengan memutar belitkan fakta sejarah," kata Husam.

Menurut Husam, sudah sekian lama British dalam dokumen-dokumennya di London menganggap Malaya adalah tanah jajahan mereka.

Oleh itu, apabila Zainal Kling membuat kenyataan sebegini, ia satu usaha untuk menulis semula sejarah yang sudah dimaktubkan dalam pelbagai dokumen sejarah.

Bagi Husam, jika kita menganggap orang puteh adalah rakan kita yang sama-sama mentadbir negara ini, ia satu usaha untuk merombak dokumen sejarah.

Ini kerana, bagi orang puteh, Tanah Melayu adalah sebahagian dari negara koloni mereka.

Jika kita bersetuju dengan kenyataan itu, kata Husam, kita juga kena berkata bahawa JWW Birch, residen British yang dibunuh oleh Datuk Maharaja Lela di Pasir Salak adalah rakan kita juga bukannya penjajah.

"Orang puteh ini pandai, mereka tidak buang raja tetapi mengaut semua harta negara kita. Kalau mereka buang raja, sudah tentu rakyat negara ini memberontak dan menghalau mereka," kata Husam.

Inilah kisahnya dan lihatlah dari perspektif yang betul agar kita tidak tertipu oleh sejarah kerana ada yang berkata "yang menang menulis sejarah, yang kalah menulis pusi".

Najib dituntut laksanakan 5 perkara sebelum PRU 13

KUALA LUMPUR, 13 Sept: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dituntut melaksanakan 5 perkara sebelum membubarkan Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.

Pakatan Rakyat dalam tuntutannya menegaskan, lima perkara yang dituntut itu adalah tuntutan iringan kepada 8 tuntutan Bersih yang perlu dilaksanakan oleh Kerajaan BN bagi reformasi pilihanraya di tanah air.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, tuntutan pertama dari lima tuntutan itu berupa desakan Pakatan Rakyat terhadap Kerajaan BN pimpinan Najib agar melaksanakan 8 tuntutan Bersih.

Menurut beliau, tuntutan kedua berupa desakan agar Kerajaan BN menetapkan tarikh pilihanraya dengan persetujuan atau muafakat bersama dengan Pakatan Rakyat seperti yang dilakukan oleh parti Demokratik Liberal dan Konservetif di United Kingdom (UK).

"Tuntutan ketiga, Jawatankuasa Pemilihan Parlimen yang akan ditubuhkan oleh Kerajaan mestilah diberikan ruang yang selesa ke arah reformasi pilihanraya di negara ini," katanya pada sidang media bersama beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Manakala tuntutan keempat, menurut beliau, agenda isu kerakyatan terhadap warganegara asing yang dilakukan oleh Kerajaan BN mestilah dihentikan dengan desakan terhadap Kerajaan BN agar menyediakan satu terma rujukan mengenainya.

Katanya, tuntutan kelima pula berupa desakan Pakatan Rakyat terhadap Kerajaan BN agar menunaikan segala cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parlimen bagi melakukan reformasi pilihanraya di negara ini.

"Persidangan Parlimen bagi sessi pembentangan Belanjawan 2012 akan berlangsung pada 3 Oktober ini. Sempena persidangan Parlimen yang bermula 3 Oktober inilah nanti Jawatankuasa Pemilihan Parlimen akan ditubuhkan oleh Perdana Menteri," katanya.

Penubuhan jawatankuasa itu, tegas beliau, berikutan desakan Pakatan Rakyat kepada Perdana Menteri agar mengadakan persidangan Parlimen tergempar menerusi surat yang dihantar dan diterima oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz di bangunan Parlimen pada 8 Ogos lalu.

Surat tersebut telah diserahkan oleh Nazri kepada Najib beberapa hari kemudian dan seminggu selepas penyerahan surat itu, Najib telah mengumumkan keputusannya untuk menubuhkan jawatankuasa tersebut.

"Kami dari Pakatan Rakyat ingin menegaskan, Pakatan Rakyat bersedia memberikan kerjasama kepada Jawatankuasa Pemilihan Parlimen yang akan ditubuhkan itu, dengan syarat Perdana Menteri mestilah berjanji untuk memberikan jaminan untuk melaksanakan reformasi pilihanraya sebelum Parlimen dibubarkan untuk mengadakan PRU Ke-13," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menegaskan, untuk melaksanakan 5 tuntutan itu bukanlah perkara yang sukar sekiranya Kerajaan BN benar-benar ingin melakukan reformasikan pilihanraya di negara ini kerana salah satu dari tuntutan itu telah termasuk dalam 8 tuntutan Bersih.

"8 tuntutan Bersih itu pula sebenarnya sudah boleh dilaksanakan oleh Kerajaan sebelum Jawatankuasa Pemilihan Parlimen ditubuhkan.

"Khidmat kami kepada Jawatankuasa Pemilihan Parlimen itu adalah untuk kepentingan negara, tetapi mestilah ada jaminan daripada Perdana Menteri untuk melaksanakan tuntutan itu sebelum persidangan Parlimen 3 Oktober ini," ujar beliau.

Turut hadir pada sidang media itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Datuk Kamarudin Jaffar (Tumpat), Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Antony Loke (Rasah) dan Mohd Firdaus Jaafar (Jerai). 

Tangguh cukai prabayar sehingga PRU 13?

KUALA LUMPUR, 13 Sept: “Walaupun saya berasa lega dengan pengumuman syarikat telekomunikasi bahawa kenaikan harga prabayar akibat cukai 6% akan ditangguhkan, kita juga perlu berhati-hati dengan pengumuman ini.
“Adakah ini bermakna penangguhan ini hanyalah sehingga Pilihanraya Umum ke-13 dipanggil untuk memenuhi permintaan Perdana Menteri?” tanya Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli (gambar) dalam satu kenyataan.
Beliau juga tetap berpendapat bahawa cara Datuk Seri Najib Tun Razak menangani kemarahan rakyat akibat kenaikan harga tersebut memberi isyarat yang salah kepada golongan niagawan.
Ketika ini, beliau pasti banyak syarikat lain yang turut menjalankan amanah mengenakan cukai perkhidmatan mengikut undang-undang akan mula merasa bimbang kalau-kalau mereka mendapat panggilan daripada Pejabat Perdana Menteri meminta mereka menanggung cukai tersebut.
Katanya, Najib mempunyai peluang untuk memperbaiki imejnya sekiranya ada keberanian untuk mengumumkan pengecualian khidmat telekomunikasi prabayar yang digunakan oleh majoriti golongan berpendapatan rendah dan orang muda dari dikenakan cukai perkhidmatan 6%.
Ini, tambahnya akan membawa kepada penurunan kos telekomunikasi yang lebih kekal dan menyumbang mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat.

Menurutnya, dengan pengecualian cukai perkhidmatan 6% itu, syarikat telekomunikasi tidak ada pilihan lain kecuali menurunkan tarif panggilan bagi pengguna prabayar, kerana struktur kos panggilan prabayar selama ini sudah mengambil kira cukai perkhidmatan yang perlu ditanggung rakyat.

Perdana Menteri, ujarnya tidak perlu menunggu keputusan dari satu lagi makmal yang dikelolakan oleh Pemandu yang menelan belanja besar, untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
“Beliau hanya perlu menggunakan sedikit kebijaksanaan orang kebanyakan dan ini boleh dilakukan dengan mengecualikan khidmat telekomunikasi prabayar dari cukai perkhidmatan,” katanya.
Beliau menambah, penangguhan kenaikan kos prabayar adalah satu lagi bukti kuasa rakyat yang ditunjukkan oleh rakyat kebanyakan apabila ada proses timbang tara di dalam negara.
Katanya, kehadiran Pakatan Rakyat yang berpengaruh di dalam Dewan Rakyat telah menguatkan suara rakyat menekan kerajaan dan merubah banyak dasar dan tindakan kerajaan yang salah sejak tahun 2008.

Tauliah: Jangan sampai jadi bahan ketawa

KUALA LUMPUR, 7 Sept: Tidak menafikan bahawa pemberian tauliah merupakan satu makanisme bagi menjamin bahawa kesucian Islam dapat dipelihara dan pengajaran agama Islam dapat dipantau dengan baik.
Namun begitu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) hari ini menasihatkan agar jabatan-jabatan agama Islam negeri-negeri di Malaysia agar memudahkan pemberian tauliah kepada golongan yang mempunyai taraf keilmuan agama yang diketahui umum yang ingin membantu mendidik masyarakat Islam.
“Pemberian tauliah mengajar agama merupakan satu makanisme bagi menjamin bahawa kesucian Islam dapat dipelihara dan pengajaran agama Islam dapat dipantau dengan baik. Hampir semua negeri mempunyai makanisme tauliah ini.
“Ia adalah satu makanisma yang sangat baik selagi mana ia berjalan di atas landasan yang bertepatan dengan syarak. Apa yang mendukacitakan kini ialah sedikitnya tauliah yang dikeluarkan berbanding keperluan umat yang mengharapkan siraman ilmu,” tegas beliau dalam satu kenyataannya hari ini.
Para ilmuan Islam, kata beliau mempunyai tanggungjawab agama bagi menyampaikan ilmu agama selaras dengan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sampaikanlah apa yang kamu terima dariku, walau sepotong ayat.”
“Di atas asas ini, maka golongan agama mempunyai amanah menyampaikan ilmu yang wajib disampaikan,” tambah beliau.
Menurut Tuan Ibrahim, tugas utama menyampai dan membimbing rakyat adalah terpikul di atas bahu para pemimpin Islam di akhirat.
Sejajar itu, katanya golongan agama bertanggungjawab membantu para pemimpin ini untuk meringankan hisaban di akhirat.
“Pada masa yang sama, para pemimpin yang dibantu ini hendaklah berterima kasih kepada golongan agama kerana membantunya meringankan hisaban di akhirat dan melepaskan bebanan mengurangkan kejahilan rakyatnya.
“Untuk itu, pemerintah mestilah menyediakan ilmuan Islam yang cukup bagi mendidik masyarakat ke arah penghayatan Islam yang syumul. Adalah satu kesalahan besar bagi seseorang pemimpin untuk membiarkan rakyatnya terus jahil,” terang beliau.
Beliau juga memberikan peringatan bahawa ulamak atau golongan agamawan pula dipertanggungjawabkan mesti memelihara amanah ilmu dengan menyampaikan ilmu tersebut walau pahit sekalipun rintangan yang bakal dihadapinya.
Akibat kekurangan siraman ilmu yang mengekalkan kejahilan, terang beliau adalah sebab berlakunya pelbagai gejala sosial, soal murtad, rasuah, berkembangnya ajaran sesat dan sebagainya.
Lebih malang kini, mereka yang mempunyai taraf keilmuan agama yang diketahui umum dengan kelulusan ilmu agama, jawatan yang disandang seperti pensyarah, mufti, kadhi, guru agama sekolah-sekolah bahkan ulamak yang disegani juga terikat dengan sistem tauliah, tambahnya lagi.
“Jika pihak berkuasa agama membimbangi mereka ini menyampaikan ajaran salah atau bercanggah dengan syarak, bagaimana pula dengan kuliahnya di universiti dan tempat lain?
“Bahkan, kalau seseorang mufti pun kena memohon tauliah, sudah tentu ia menjadi bahan tertawa orang jahil dan ini antara sebab utama mengapa wibawa institusi agama sangat rendah di mata masyarakat,” terang Tuan Ibrahim, sambil menambah ini juga antara sebab mengapa pendakwaan mengajar atau menyampaikan kuliah tanpa tauliah kini mengundang pelbagai gurau senda dalam masyarakat.
Untuk jabatan agama Islam di negeri-negeri, Tuan Ibrahim mengesyorkan agar mereka memudahkan pemberian tauliah kepada golongan yang mempunyai taraf keilmuan agama di mata masyarakat, lebih-lebih lagi apabila golongan ini yang mengajar ini tidak pernah meminta upah dari pengajaran yang disampaikannya.
“Bersangka baiklah terhadap golongan ilmuan agama, dan bertindak adillah dengan kuasa di dalam tangan dalam pemberian tauliah, dan dengan ini diharap kejahilan masyarakat dapat di atasi dan pemimpin akan dirahmati Allah,” nasihat beliau.

Keberanian Mohamad Sabu buka mata kerajaan

KOTA BHARU, 7 Sept: Ketika Umno dan juaknya menghina Mohamad Sabu (gambar) kerana menjulang pejuang kemerdekaan, di satu sudut lain pula tiba-tiba keluarga anggota polis yang terbabit peristiwa Bukit Kepong baru dijengok kerajaan.
Tanpa usaha dan keberanian Timbalan Presiden PAS sudah tentu keluarga atau waris anggota polis yang terbabit dengan tragedi itu tersisih sehingga sekarang.
Bagi peguam hak asasi manusia, Mohammad Faizal Che Yusof Umno membohongi rakyat kononnya hanya usaha merekalah kemerdekaan negara dicapai.
“Umno tidak lebih seperti si penyumbat gol yang telah menghasilkan bola yang digelecek darah-darah pejuang lain sebelum kewujudan parti Umno.
“Bukit Kepung hanyalah salah satu gendang pembohongan British bagi mengaburi rakyat. Kini masanya untuk kita memalu gendang meletakkan Islam pada tempatnya  di bumi tumpah darah kita,” katanya di sini.
Usaha Mat Sabu menjulang pejuang sebenar kemerdekaan seperti Mat Indera ditolak mentah-mentah pemimpin Umno, malah memperalat badan-badan bukan kerajaan berhimpun membantah pemimpin PAS terbabit.
Sedangkan di sebaliknya usaha dirintis Timbalan Presiden PAS, tiba-tiba Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tampil menemui balu anggota polis yang tidak menerima sebarang pencen sejak kematian suami pada 1962.
Antaranya Syed Omar Syed Yassin yang berkhidmat selepas tragedi Bukit Kepong. Malah JPA meminta mana-mana balu anggota polis yang pernah bertugas di Bukit Kepong tampil membuat aduan.
Mohamad Faizal yang juga Pengerusi Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Kelantan berkata, pendokong kebenaran perlu memberi kefahaman kepada rakyat, British memusnahkan Islam di Tanah Melayu.
“Manakala Umno pewaris yang dianggap baik oleh penjajah bagi memastikan Islam terus terpinggir di bumi Malaysia.
“Ini kerana pemimpin Umno tidak pernah kenal keperitan perjuangan seperti ditempuhi Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Datuk Bahaman dan Dol Said. Sedangkan merekalah pejuang sebenar,” ujarnya.
Menurutnya juga sekarang sejarah Bukit Kepong hangat dibicarakan semula bagi memberi kefahaman lebih jelas penjajah memusnahkan sama sekali sistem hidup masyarakat orang Melayu.
Kata beliau sistem masyarakat yang dahulunya berteraskan Islam dengan dinaungi Raja-Raja Melayu kini telah berubah sama sekali.
”Orang Tanah Melayu langsung tidak sedar mereka telah hilang identiti. Sistem Islam yang sekian lama bertapak pudar selepas kedatangan penjajah.
”Penjajah hanya pergi setelah berjaya melahirkan pewaris yang dapat melaksanakan aspirasi mereka di Tanah Melayu. Terciptanya Malayan Union untuk melahirkan pewaris British.
”Malayan Union digagaskan pada 1946 menjadi ibu kepada lahirnya pertubuhan yang dikenali sebagai Umno,” tambah beliau.

Debat: Kelantan dakwa Khairy cuba raih populariti

KOTA BHARU, 7 Sept: Kerajaan negeri Kelantan hari ini menafikan pernah membuat perancangan untuk mengadakan debat antara Timbalan Presiden PAS, Muhamad Sabu bersama dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr Mohmed Fadli Hassan (gambar) berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang surat rasmi menjemput mana-mana pihak untuk berdebat.
“Kita (kerajaan negeri) tidak pernah mengeluarkan sebarang surat rasmi jemputan kepada mana-mana pihak untuk menganjurkan debat,” ujarnya.
Beliau berkata, apa yang berlaku ialah, satu email telah dihantar oleh Ustaz Baihaqi Atiqullah, yang menanyakan pendapat kepada Khairy Jamaluddin, sekiranya diadakan satu perdebatan antara ketua pemuda Umno berkenaan bersama Timbalan Presiden PAS.
“Ust Baihaqi adalah timbalan saya. Beliau hanya menanyakan pendapat pada Khairy melalui email, bukannya jemputan rasmi.
“Ust Baihaqi dan Khairy telah pun mempunyai hubungan pribadi sebelum dari ini dan pertanyaan itu adalah bersifat peribadi,” ujarnya lagi.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Kelantan, berkata, PAS negeri Kelantan sanggup mengajurkan debat tetapi bukan Muhamad Sabu dengan Khairy, tetapi antara Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kita tidak mahu Khairy mengunakan Timbalan Presiden PAS sebagai batu loncatan untuk meraih populariti di dalam Umno.
“Khairy sudah tidak diterima di dalam Umno dan kerajaan dan dia nak gunakan isu ini untuk meraih populariti,” katanya.
Katanya, salah faham ini timbul kerana Khairy menjawab email pertanyaan dari Ustaz Baihaqi melalui tiwetternya dengan mengatakan kerajaan negeri Kelantan menjemput beliau untuk berdebat dengan Muhamad Sabu.

Menang pilihan raya cara haram


KOTA BHARU, 23 Ogos: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ramai wakil rakyat seluruh negara yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-12 lalu dengan cara haram.
Ini, tegasnya adalah hasil daripada pendedahan yang dibuat oleh pihak Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) berhubung kesilapan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) seperti nama pengundi bertindih dan lain-lain.
Katanya, apa yang dibuktikan oleh Bersih itu adalah untuk menyedarkan SPR terhadap kesilapan-kesilapan yang mereka lakukan.
Tegasnya, selagi kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh SPR itu tidak dibersihkan, bermakna pilihan raya yang dilaksanakan adalah kotor.
 “Di dunia kena laknat, di akhirat pun kena laknat,” tegasnya yang juga Menteri Besar Kelantan kepada wartawan selepas menyampaikan sumbangan kuih raya kepada pasukan keselamatan yang bertugas pada hari raya di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darul Naim, di sini pagi tadi.
Justeru, bagi beliau Bersih telah memberikan khidmat yang besar kepada negara bagi menuntut pilihan raya yang adil.
“Siapa nak menang, siapa nak kalah, serah kepada pengundi,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan pasukan keselamatan supaya melaksanakan tugas yang utama iaitu menjaga agama.
Ini, katanya kerana agama yang menguruskan nafsu manusia yang tidak dapat dilakukan melalui undang-undang.
"Dengan undang-undang manusia tidak boleh diurus. Mesti ada sesuatu yang manusia buat di luar kemampuan undang-undang, yang boleh menguruskan nafsu manusia ialah agama.
"Ingat, tiap-tiap orang akan mati dan lepas mati akan dibalas oleh Allah," jelasnya.

Pencarian Lailatul Qadar Bermula

KITA sudah pun berada dalam sepuluh hari-hari terakhir Ramadan yang dirindui oleh para kekasih Allah SWT. Ini bererti kita sudah memasuki sepertiga terakhir Ramadan yang menandakan Ramadan akan melambaikan salam perpisahannya dalam beberapa hari yang pendek.



Hari-hari ini dirasakan pendek oleh para Solehin kerana mereka begitu yakin dengan ketinggian nilai dan keistimewaan hari-hari ini yang menyebabkan mereka seolah-olah merasa tidak mencukupi dengan saki-baki minit dan jam yang ada.Begitu banyak amal bakti yang belum sempurna dipersembahkan ke hadrat ilahi. Masih banyak bukti pengabdian yang belum sempurna dipersembahkan ke hadapan-Nya.Di suatu sudut lain, sebahagian orang pula merasakan hari-hari ini begitu pendek kerana pelbagai kesibukan duniawi apabila mengenangkan Hari Raya yang menjelang tiba.

Pelbagai persiapan pakaian, rumah dan juadah yang hendak disempurnakan. Masih banyak urusan kerja dan perniagaan berkaitan Ramadan dan Aidil Fitri yang belum selesai.Jika tidak berwaspada, sinar hari-hari terakhir Ramadan ini mudah pudar dan tenggelam dalam keriuhan ambang Syawal sedangkan sepertiga terakhir Ramadan inilah merupakan peringkat terpenting dalam madrasah Ramadan yang sedang kita lalui ini.

Keutamaan lailatul qadar

Keutamaan utama hari-hari terakhir Ramadan ini berputar sekitar pemburuan mendapatkan keutamaan lailatul qadar. Satu malam gilang-gemilang yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Malam yang begitu agung dalam kerajaan langit sehingga diabadikan dalam suatu surah al-Quran yang khusus untuk mengisytiharkan keistimewaannya iaitu surah al-Qadr. Bagi mereka yang sentiasa menjadikan urusan amal ibadah sebagai tumpuan perhatian dan kebimbangan mereka, inilah satu tawaran istimewa daripada Allah SWT yang 'haram' dilepaskan. Sangat malanglah bagi seorang hamba yang dikurniakan hadiah begitu berharga daripada Tuhannya sendiri tetapi tidak mengendahkannya atau tidak menerimanya dengan baik.

Benarlah pesan Rasulullah SAW bahawa, "Sesiapa yang diharamkan mendapat kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah diharamkan. (daripada mendapat segala kebaikan)".

Memang lailatul qadar adalah suatu hadiah atau anugerah bagi umat ini. Para ulama meriwayatkan pelbagai riwayat bagaimana lailatul qadar dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW kerana mengambil kira jangka hayat umat ini yang jauh lebih pendek berbanding umur umat sebahagian nabi-nabi terdahulu.Dengan beramal-ibadah pada malam ini barulah boleh kita menyaingi kuantiti ibadah umat-umat yang dikurniakan umur yang jauh lebih panjang.Harus diinsafi bahawa sebagai suatu urusan ibadah, kelebihan utama lailatul qadar bukan terbatas kepada sifir 1,000 bulan yang begitu sinonim dengan malam tersebut.

Dalam mana-mana urusan ibadah nilai utama sesuatu amalan tetap tergantung kepada rahmat dan kasih Tuhan yang menjadi tumpuan sesuatu amalan tersebut.Oleh itu memburu lailatul qadar bukan bererti kita sekadar mengejar gandaan seribu bulan itu tetapi yang lebih penting, berusaha mencarinya bererti kita bersungguh-sungguh untuk menyambut dan meraikan suatu bukti kasih dan rahmat Allah SWT kepada kita.

Mendapatkan lailatul qadar

Sesuai sebagai anugerah yang begitu bernilai dan berharga, lailatul qadar tidaklah sampai begitu mudah diperolehi oleh sesiapa sahaja tanpa perlu berusaha.Walaupun kita mewarisi pelbagai panduan dan petua daripada Rasulullah SAW sendiri dan para ulama pewaris Baginda SAW tentang mengenalpasti malam lailatul qadar, masih tidak ada satu kesepakatan tentang bilakah sebenarnya jatuhnya malam itu.

Akhirnya, bolehlah disimpulkan bahawa peluang untuk mendapatkannya adalah lebih cerah bagi mereka yang menghidupkan malam-malam yang ganjil dari 10 malam yang terakhir, sangat cerah bagi mereka yang menghidupkan kesemua malam terakhir dan paling terjamin bagi mereka yang menghidupkan kesemua malam-malam Ramadan.

Juga harus diingat, para ulama turut berpandangan bahawa siangnya lailatul qadar juga perlu diisi dengan amal ibadah sama seperti malamnya.Sesuai sebagai tanda rahmat dan pemberian Tuhan, lailatul qadar tidaklah pula terlalu sukar dan terlalu jauh dari capaian kita. Ia ditentukan jatuh di dalam bulan Ramadan.Bulan Ramadan adalah bulan ibadah umat ini yang mana rata-ratanya malam-malam Ramadan adalah malam-malam yang lebih baik pengisian ibadahnya bagi kita semua.

Walaupun sebahagian ulama berpandangan bahawa kelebihan lailatul qadar dicapai dengan menghidupkan sebahagian besar malam itu, sebahagian ulama meriwayatkan bahawa untuk syarat minimum untuk mendapatkan sebahagian laba malam ini bukannya terlalu sukar.

Imam Malik dalam kitabnya al-Muwatto' misalnya, meriwayatkan pandangan Ibnul Musayyib bahawa, "Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak pada malam lailatul qadar secara berjemaah, maka sesungguhnya dia telah mendapat laba / bahagian daripadanya (lailatul qadar)".

Pandangan-pandangan yang lebih ringan ini meletakkan syarat mendapatkan lailatul qadar pada menjaga solat-solat fardu pada malam tersebut.Jika pandangan ini yang kita ambil nescaya mendapatkan lailatul qadar bukannya terlalu sukar dan boleh diusahakan oleh semua orang. Tetapi Tuhan itu Maha Adil, hakikatnya, mereka yang biasa lalai tetap akan lalai dan gagal hatta untuk menjaga solat-solat fardu ini walaupun di malam-malam akhir Ramadan.

Semoga Allah menjauhkan diri kita dan mereka yang bersama kita daripada tergolong dalam golongan yang lalai.Zikir dan doa yang diajarkan oleh nabi SAW untuk lailatul qadar juga cukup pendek mampu diamalkan oleh semua orang. Maka marilah kita memperbanyakkan doa ini di hari-hari ini, Allahumma innaka 'Afuwwun tuhibbul 'afwa fa'fu 'nniy yang maksudnya, "Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun , sukakan keampunan maka ampunilah aku".

Walaupun pintu untuk kita menghayati lailatul qadar melalui ibadah khusus lebih terbuka di bulan Ramadan dengan budaya dan suasananya yang tersendiri, ini tidak menafikan hakikat luasnya makna dan bentuk ibadah dalam Islam.Mereka yang terpaksa menyelesaikan tugasan dan kerja mereka yang tidak bercanggah dengan agama dan dalam kadar yang sesuai dengan bulan Ramadan ini, tetap boleh meniatkan kerja-kerja mereka sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk mendapatkan dan menghayati lailatul qadar.

Menghantar Pulang Tetamu Agung

Ramadan, tetamu agung yang setia datang berkunjung setiap tahun tetap akan pergi meninggalkan kita sedikit masa lagi. Mereka yang benar-benar menghayati dan mendapat faedah dari kedatangan Ramadan dengan menikmati kemanisan iman dan peningkatan takwa yang datang bersamanya sudah tentu menghadapi saat-saat perpisahan ini dengan penuh kesedihan berbaur kebimbangan dan pengharapan.

Sedih mengenangkan perpisahan dengan bulan yang dikasihi ini. Bimbang adakah amalan diterima dengan tahap penghayatan yang tidak seberapa. Berharap agar dosa-dosa diampunkan, dikembalikan kepada fitrah serta berharap agar bertemu lagi dengan Ramadan yang akan datang. Inilah sikap yang diriwayatkan daripada sebahagian para salaf. Mereka berdoa kepada Allah SWT selama enam bulan agar dipertemukan dengan Ramadan. Setelah itu mereka berdoa pula selam enam bulan berikutnya agar Allah SWT menerima amalan mereka di bulan Ramadan yang berlalu.

Semoga Allah mengurniakan kita himmah yang tinggi dalam beragama seumpama mereka. Marilah kita menghantar pulang Ramadan kali ini hingga ke 'hujung desa'. Ibarat menjamah juadah yang paling kita gemari, janganlah kita tinggalkan Ramadan kali ini bersisa sedikitpun. Ibarat suatu perlumbaan marathon yang kita sertai, apalah gunanya kita hebat di peringkat awal larian hanya untuk lemah-lesu ketika menuju garisan penamat. Marilah kita rebut setiap ketika yang berbaki di bulan Ramadan kali ini dan mengisinya dengan sebaik mungkin.

Sesungguhnya La hawla wala quwwata illa billah al-'Aliyyil 'Adzim yang maksudnya, "Tiada daya (menghindari maksiat) dan tiada kekuatan (melakukan ketaatan) melainkan dengan izin Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung".

"كَانَ النَِّبيُّ (ص) إِذاَ دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْياً لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ".
(Ingatlah! Kalau kamu ulangi keingkaran kamu, kamu akan Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. apabila masuk sepuluh hari terakhir Ramadan, Baginda akan mempertingkatkan amal ibadah, menghidupkan malam dan mengejutkan ahli keluarga) semasa Kami timpakan (kamu dengan) paluan yang besar (dari pihak lawan kamu); sesungguhnya Kami tetap akan menyeksa (dengan azab yang seberat-beratnya).
( Hadis Riwayat Bukhari )




JK Khas: Najib hina Parlimen


KUALA LUMPUR, 20 Ogos: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghina institusi Parlimen dengan sikap berdolak-daliknya mengenai Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai penambahbaikan pilihan raya, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"Bila Najib kata pilih raya umum akan datang boleh diadakan pada bila-bila masa dan tidak terikat dengan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Khas Parlimen itu, ia hakikatnya menghina, memburukkan dan merosakkan institusi Parlimen," tegas beliau.
Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, apabila Jawatankuasa Khas Parlimen ditubuhkan, sepatutnya cadangan jawatankuasa itu didengari dan dihormati bukannya diketepikan begitu sahaja.
"Kenyataan Najib dengan memberi alasan mungkin akan mengambil sedikit masa boleh dianggap bertujuan untuk mengetepikan cadangan jawtankuasa dan terus mengadakan pilihan raya tanpa mengambil kira cadangan jawarankuasa itu.
"Perbuatan sedemikian bermakna menghina Jawatankuasa Khas Parlimen dan menjadikannya tidak ada harga dan tidak ada nilai.
"Itu perbuatan menghina Parlimen," kata Mahfuz.
Najib membayangkan kerajaannya hanya sekadar akan cuba melaksanakan sebarang cadangan penambahbaikan yang dibuat oleh jawatankuasa itu sebelum pilihan raya umum yang akan datang.
"Kami akan cuba, pasti ada sesuatu yang boleh dilakukan dengan kadar segera, sesuatu yang mungkin akan mengambil sedikit masa.
"Jadi, apa yang kita boleh lakukan dengan segera, kita akan lakukannya dengan segera," kata Perdana Menteri.
Mahfuz menyifatkan dolak-dalik itu membuktikan kerajaan dan khususnya Umno yang diketuai  Najib tidak berminat untuk menjadikan pilihan raya negara ini bersih dan adil.
"Cadangan Najib mengenai jawatankuasa itu semata-mata mahu merendahkan suhu kemarahan rakyat sahaja.
"Bila pihaknya terasa kononnya suhu kemarahan rakyat dapat dikurangkan, Najib akan mengambil langkah untuk membubarkan Parlimen supaya pilihan raya dapat diadakan tanpa mempedulikan sebarang cadangan dan tuntutan supaya pilihan raya dikendalikan dengan adil dan bersih," katanya.
Mahfuz mengulangi seruan supaya rakyat bersungguh-sungguh meneruskan usaha menuntut supaya dilaksanakan lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) ke arah memperbaiki perjalanan dan pengendalian pilihan raya negara ini.
Antara lapan tuntutan tersebut ialah supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Harap p’raya bersih macam minta sisik ikan keli


KUALA LUMPUR, 20 Ogos: “Nampaknya mengharapkan kerajaan BN melaksanakan pilihan raya secara bersih seperti meminta sisik daripada ikan keli,” ujar AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).
Justeru, katanya, seperti yang dijangka memang penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen hanyalah gimik untuk menutup lubang kelemahan daftar pemilih yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan jawatankuasa itu sebagai reaksi Pakatan Rakyat meminta beliau mengadakan sidang khas untuk membincang kepincangan dalam daftar pemilih.
“Tindakan Datuk Seri Najib seperti kita minta teh tetapi yang diberi ialah kopi,” kata Idris dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Katanya, jika Najib jujur supaya perjalanan pilihan raya bersih dan telus, maka beliau akan menggunakan kuasa yang ada kepadanya untuk menangguhkan pilihan raya sehingga dipastikan daftar pemilih dapat dibersihkan.
“Sebaliknya, beliau menyatakan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 boleh diadakan pada bila-bila masa dan ia tidak terikat dengan sebarang keputusan daripada Jawatankuasa Terpilih Parlimen yang bakal ditubuhkan kerajaan,” ujarnya lagi.
Ketika bercakap kepada media selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam, Najib berkata PRU 13 boleh diadakan pada bila-bila masa dan ia tidak terikat dengan sebarang keputusan daripada Jawatankuasa Terpilih Parlimen yang bakal ditubuhkan kerajaan.
Perdana Menteri berkata, tarikh sebenar bila pilihan raya umum hendak diadakan tiada sebarang kaitan dengan jawatankuasa tersebut, walaupun ia ditubuhkan bagi tujuan menambah baik sistem pilihan raya agar tidak timbul syak wasangka.

PAS kesal kenyataan PM, mungkin tarik diri


KUALA LUMPUR, 20 Ogos: PAS hari ini melahirkan kekesalan terhadap kenyataan Perdana Menteri bahawa pilihanraya umum (PRU) ke 13 boleh diadakan bila-bila masa meskipun jawatankuasa (JK) parlimen khas untuk reformasi pilihanraya sedang bersidang.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataannya hari ini membidas kenyataan Datuk Seri Najib Razak itu dan berkata ia adalah bukti terhadap sikap sebenar ketidak-ikhlasan BN.

Ia juga melambangkan sikap berpura-pura kerajaan terhadap tuntutan rakyat agar sistem pilihanraya yang bersih dan adil dapat diwujudkan, sebelum PRU akan datang.

“Tujuan utama JK Khas ini ialah merumus satu sistem pilihanraya yang adil dan bersih, setelah pelbagai kelemahan dibongkar.

"Apa guna dibentuk JK Khas, sekiranya kerajaan sudah memberikan bayangan jelas bahawa pilihanraya umum akan diadakan sebelum JK Khas ini menyiapkan laporan dan sekaligus memberikan petanda yang jelas bahawa sememangnya kerajaan Barisan Nasional  tidak bersedia untuk menerima dan memperbaiki kelemahan yang ada,” selar Tuan Ibrahim.

Perdana Menteri Najib semalam dipetik sebagai berkata bahawa PRU akan datang tiada sebarang kaitan dengan JK Khas parlimen yang bakal ditubuhkan Oktober ini.

“Ada perkara yang boleh dijalankan lebih awal,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Murshidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat turut melahirkan rasa terkilannya terhadap kenyataan Najib semalam.

“Sejauhmana kesungguhan Barisan Nasional untuk penambahbaikan pilihan raya jika kenyataan yang tidak berapa cerdik ini dikeluarkan?” soal beliau.

Bagi Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, adalah mustahak untuk rakyat bahawa inisiatif mengatasi kelemahan dan hilangnya keyakinan mereka kepada sistem pilihanraya yang ada kini diperbetulkan terlebih dahulu supaya satu perjalanan sistem pilihanraya yang bersih dan adil di Malaysia dapat dijalankan.

“Sekiranya tidak, apa gunanya rakyat mengundi sekiranya keputusan pilihanraya bukan keputusan yang membayangkan hasrat mereka sebenar di akar umbi, tetapi hasrat pengundi hantu dan warga asing yang berlambak untuk memenangkan calon parti tertentu,” tambah beliau.

Kerajaan, kata beliau harus sedar  terhadap kemarahan rakyat dan tuntutan yang diadakan dalam perhimpunan aman Bersih 2.0 baru- baru ini dan dengan sikap kerajaan yang menolak diadakan pilihanraya sebelum sistem diperbaiki sudah tentu akan mengundang kemarahan rakyat dan tahap kebolehpercayaan terhadap Suruhanjaya Pilihanraya akan terus merosot.

Sekiranya ini berlaku, tambah Tuan Ibrahim keadaan ini adalah sangat tidak baik bagi negara, dan terutamanya kerajaan memerintah dan  tidak mustahil parti- parti dalam Pakatan Rakyat akan menarik diri ekoran kenyataan Perdana Menteri.

Ketidakikhlasan kerajaan Barisan Nasional ini juga katanya akan mempercepatkan  bantahan rakyat, jesteru menyemarakan semangat untuk himpunan Bersih 3.0 diadakan.

“PAS ingin tegaskan kerajaan tidak patut dan sememangnya ia amat tidak bertanggungjawab untuk membubarkan Parlimen dalam keadaan mereka sedar bahawa sistem pilihanraya negara kita sememangnya tempang berhadapan dengan kelemahan dan kepincangan yang pelbagai.

Sila memperbaiki dahulu beberapa kelemahan yang utama, barulah diadakan pilihanraya ke 13, demi rakyat, untuk rakyat dan kerana rakyat,” tegas beliau.

Menurut beliau, PAS akan mengadakan mesyuarat khas bagi menimbang penyertaan dalam JK Khas Parlimen, kerana berpendapat, ianya tidak membawa sebarang makna sekiranya  ia diadakan setelah Perdana Menteri membuat kenyataan sedemikian.

Manakala, pada 24hb Ogos ini juga satu mesyuarat Pakatan Rakyat akan diadakan untuk membincangkan secara serius perkembangan muktahir ini bagi membuat satu keputusan bersama terhadap ketidakikhlasan Najib dan Barisan Nasional untuk melakukan reformasi sistem pilihanraya sebelum PRU ke 13 yang bakal menjelang.

SPR dianggap lebih Umno dari Umno


KOTA BHARU, 15 Ogos: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang ada pada hari ini tidak mendapat kepercayaan awam, bahkan dalam tindak tanduk mereka dianggap ‘lebih Umno’ daripada ‘Umno’.
Bahkan keadaan itu, mengikut dakwaan  Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk’ Wan Abdul Rahim Abdullah (gambar) menyebabkan SPR sangat memalukan oleh kerana ‘tidak mendapat kepercayaan awam’.
“Dan ini bercanggah dengan Perkara 114 (2) dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah masa melantiknya itu memandang kepada mustahaknya diadakan suatu Suruhanjaya Pilihan Raya ‘yang mendapat kepercayaan aswam’.
“SPR yang ada pada hari ini memang ‘tidak mendapat kepercayaan awam’ apabila ianya selalu dipertikaikan, selalu membuat hujah-hujah dan penjelasan yang berat sebelah, yang memang rakyat tidak memberikan kepercayaan kepada SPR,” ujarnya.
Beliau yang juga mantan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan menarik perhatian kepada contoh (amalan) yang berlaku pada negara luar termasuk di India, Pakistan dan Bangladesh di mana mantan Hakim dan peguam dilantik sebagai ahli SPR.
“Dan mereka itu dari sudut disiplin kerjanya tidak tertakluk patuh kepada kerajaan oleh kerana mereka bukan dari 'goverment serving'.
“Dan kuasa yang diberikan kepada SPR di sana ialah sehinggakan mereka itu menjadi ‘kerajaan sementara’, apabila Parlimen mereka dibubarkan dan parti yang berkempen, maka yang menjadi ‘kerajaan sementara’ itu ialah SPR.
“Jadi begitu hebat tugas dan tanggungjawab serta kepercayaan rakyatnya kepada SPR.
“Dan kalau dibandingkan dengan Malaysia ini, memang jauh ketinggalan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra dan Make Colek Ahli Parlimen Kota Bharu bersama Bloggers dan Facebookers di pekarangan Pejabat PAS Kawasan Kota Bharu, (Berek 12) di sini malam tadi.
Turut hadir dan menjadi ‘fasilitator’ mantan Ketua Pemuda Umno Ketereh, Sabri Shafei yang juga aktivis facebooker  ‘Umno Tumpas’.
Majlis dihadiri lebih 100 orang bloggers dan facebookers. Turut hadir ahli Minda Evolusi Rempit Anak Kelantan (MERAK).
Wan Rahim mengulas perkembangan terbaru politik negara membabitkan SPR di mana kepimpinan PAS Pusat mendesak Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR agar meletakkan jawatan kerana dianggap gagal menjalankan tugasnya.
Ini ekoran pendedahan ketirisan yang berlaku dalam daftar pemilih yang tidak bersih di samping kegagalan mempertahankan SPR sebagai badan bebas sebagai mana desakan dibuat Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Wan Rahim menyeru kepada ahli-ahli SPR supaya kembali kepada Perkara 114 (2) Perlembagaan Persekutuan.
“Dan membuat suatu anjakan bahawa mereka perlu menjalankan tugas dengan lebih telus, bertanggungjawab dan tidak memihak serta paling penting bagi ‘mendapat kepercayaan awam’,” katanya.

Jawapan SPR macam Pak Pandir


KUALA LUMPUR, 15 Ogos: PAS kesal dengan sikap lepas tangan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof baru-baru ini yang menyatakan “tiada daftar pemilih yang bersih di dunia ini” sebagai jawapan kepada pelbagai kelemahan yang dibongkar oleh PAS dalam daftar pemilih negara.

“Jawapan ini mengingatkan kita kepada kisah Pak Pandir yang menyatakan "bukan anak kita je mati, anak orang lain mati jugak.

"Kenyataan ini jelas menggambarkan sikap sebenar SPR, yang tiada niat langsung untuk memihak kepada rakyat untuk bersungguh-sungguh membersihkan daftar pemilih yang ada,” bidas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataannya hari ini.

Setelah diasak bertubi-tubi dengan pelbagai bukti kelemahan dalam daftar pemilih negara, SPR, yang telah berkeras kepala dalam menafikan kelemahannya selama ini akhirnya terpaksa membuat pusingan U dan mengakui bahawa mereka sedar ada kelemahan dalam daftar pemilih negara.

Namun begitu, pengakuan SPR tidak ikhlas apabila Abdul Aziz sekadar menyalahkan “kesilapan teknikal yang berlaku semasa proses pendataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)” sehingga menyebabkan kelemahan dalam daftar pemilih yang dikendalikan SPR selama ini.

“Dalam daftar pemilih kita ada lebih kurang 12.3 juta pengundi dan sudah tentu akan berlaku kesilapan sana dan sini, seluruh dunia pun ada masalah yang sama ... tiada dunia yang daftar pemilihnya sempurna.

"Janganlah perbesarkan kesilapan ini, semua yang berlaku ini tidak dirancang oleh SPR, SPR bukan sengaja mahu benarkan mereka mengundi dua kali, kadang-kadang akan berlaku kesilapan semasa pendataan (oleh JPN), silap letak dan kami akan semak, kalau tak betul kami akan buang,” jelasnya sebagai reaksi balas kepada bukti-bukti yang dikemukakan PAS dan Pakatan Rakyat mengenai  isu warga asing menjadi pengundi, nama pengundi bertindih yang berlambak, bukti pengundi hantu yang terdiri daripada ahli Umno sendiri dan nama pengundi yang tidak wujud di sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam daftar pemilih yang dikeluarkan SPR. 
 
Ketidakikhlasan SPR dalam memperbaiki sistemnya cukup terserlah dalam isu nama Kg Baru (MyKad: 830527115422) yang didaftarkan sebagai pengundi, dimana SPR hanya menukar nama Kg Baru kepada nama pengundi “Noraini binti Abdullah” berdasarkan data JPN tanpa usul periksa mengapa kesilapan demikian boleh berlaku.

“Demikian juga pendedahan warga asing yang mendapat kerakyatan, dan didaftarkan sebagai pengundi dengan jumlah ribuan orang adalah gambaran kelemahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR.
"Pengakuan SPR ini jelas kepada rakyat kenapa himpunan Bersih 2.0 diadakan dan kini rakyat mula nampak akan hasil himpunan tersebut,” tegas Tuan Ibrahim, yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Pahang.

Walaupun SPR dan pihak berkuasa yang di bawah telunjuk Umno Barisan Nasional terus menggambarkan perhimpunan Bersih 2.0 dengan nada yang sangat negatif, Tuan Ibrahim berkata dari segi positif perkara ini turut menyebabkan rakyat juga telah mula membuka mata dan dapat melihat betapa kotornya sistem pilihanraya negara kita yang dipenuhi dengan sampah sarap dan diancam oleh pendatang asing yang mendapat kerakyatan dan hak mengundi dengan begitu senang.

“Bayangkanlah, undi warga asing sudah boleh menentukan keputusan politik dan masa depan negara – siapakah yang telah menjual negara secara senyap-senyap demi kekal berkuasa dengan cara yang haram?” soal Tuan Ibrahim.

SPR, katanya perlu melakukan segera satu reformasi bagi membina keyakinan rakyat khususnya parti- parti politik terhadap sistem pilihanraya yang bersih dan adil.

“Dengan keruntuhan keyakinan rakyat jelata terhadap kelayakan SPR menjadi pengadil pilihanraya sekarang inilah yang menuntut satu reformasi dalam sistem pilihanraya kita bagi membina keyakinan tinggi kepada semua pihak supaya keputusan pilihanraya umum nanti dapat diterima dengan hati terbuka dan tanpa was-was.

"Masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki, seperti undi pos yang terdedah kepada pelbagai manipulasi, persempadanan pilihanraya yang tidak adil, pengundian bertindih, tuntutan daftar automatik dan sebagainya,” kata beliau.

Isu pembesar suara dedah sikap hipokrit Umno


KUALA LUMPUR, 15 Ogos: Tindakan Umno cuba mempolitikkan semua isu  yang berlaku di negeri Pakatan Rakyat (PR), terutamanya isu agama memperlihatkan betapa dangkalnya pemikiran dan sifat hipokrit mereka.

Dalam isu fatwa pembesar suara yang mengarahkan pembesar suara tidak digunakan untuk memperdengarkan bacaan Al-Quran sebelum waktu Subuh di negeri Pulau Pinang, Umno kelihatan ingin mempolitikkan isu tersebut sehingga tidak boleh membezakan mana keputusan fatwa negeri, dan mana satu tindakan kerajaan negeri.

“Isu bacaan al-Quran dengan menggunakan pembesar suara pada waktu pagi bukanlah isu baru, kerana ianya sudah acap kali ditimbulkan sehingga mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan rakyat.

Apa yang berlaku di Pulau Pinang adalah keputusan mufti dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang yang melihat isu ini bercanggah dengan nas yang jelas, kerana tindakan memperdengarkan bacaan al-Quran, walaupun ia satu kebaikan; namun Islam juga mengambil kira soal sensitiviti orang lain yang inginkan ketenangan, ada kanak- kanak yang sedang tidur, orang yang uzur, terutamanya yang tua sakit dan sebagainya,” terang Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya hari ini.

Fatwa larangan pembesar suara di Pulau Pinang yang dibuat Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) kini menerima pelbagai sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk mufti Perlis, Juanda Jaya, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hasan Tantawi kerana ia bertentangan dengan sunah Nabi Muhammad SAW kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur cuba dipolitikkan Umno sebagai satu keputusan negeri Pulau Pinang.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kelmarin dipetik sebagai cuba menyalahkan kerajaan negeri Pulau Pinang atas tindakan Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) tersebut dengan menyatakan “perkara itu berlaku kerana kerajaan yang memerintah negeri berkenaan adalah parti yang langsung tidak sensitif terhadap isu-isu agama Islam.”
“Tindakan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertikaikan keputusan Fatwa Kerajaan Pulau Pinang, kata Tuan Ibrahim merupakan satu penghinaan kepada wibawa Mufti dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang yang telah membua kajian dan keputusan yang teliti.

Bayangkan kalau kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Menteri Pualau Pinang, Lim Guan Eng, tentu ia akan menimbulkan kegilaan huru-hara para pemimpin Umno dan saudara baiknya Perkasa dan juga mengkritik beliau,” bidas Tuan Ibrahim, yang juga Ketua Lajnah Penerangan PAS bahagian Dakwah.

Membandingkan dengan sikap pemimpin Umno dan Perkasa yang berdiam seribu bahasa Kerajaan Negeri  Melaka memanjang tempoh hiburan sehingga jam 3 pagi di bulan Ramadhan, Tuan Ibrahim menyifatkan semua aksi ini adalah “gelagat pimpinan Umno Perkasa yang hanya nampak ada mata pada perkara yang berlaku di negeri Pakatan Rakyat, sebaliknya membiarkan kemungkaran di negeri yang diperintah mereka.”

“Sikap sedemikian mencerminkan Umno sebagai  sebuah parti yang mengutamakan kepentingan politik berbanding tuntutan  agama, sehingga sesuatu kemungkaran terang-terangan, terutamanya yang berlaku di negeri pimpinan Umno dibiarkan tanpa sebarang kritikan dikeluarkan,” tambah beliau.

Dalam isu murtad yang kini hangat diperdebatkan di media ekoran kontroversi melibatkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Tuan Ibrahim mengecam sikap Umno yang tetiba cuba menjadi hero dalam isu ini, walhal mereka jugalah yang menyokong usul-usul pencegahan murtad umat Islam di Parlimen yang dibawa oleh para pemimpin PAS.

“Tapi kini dalam kemelut gereja-Jais, lebih-lebih lagi apabila berlaku di negeri Pakatan Rakyat maka golongan ini, seperti skrip drama yang tidak berubah terus berriuh-rendah di media kononnya nak menyelamatkan aqidah umat Islam dari murtad. Sekiranya ini berlaku di negeri mereka, percayalah isu ini akan menjadi senyap-sepi seperti isu warga asing menjadi pengundi, nama pengundi bertindih yang berlambak, bukti pengundi hantu ahli Umno sendiri dan sebagainya.

Sekiranya ada keuntungan politik, di sanalah mereka akan berkokok. Demi agama, bangsa dan negara – hanya dan bila hanya ada keuntungan politik - inilah sikap bermuka-muka pimpinan Umno,” selar Tuan Ibrahim.

Jangan manipulasi isu akidah

SHAH ALAM, 14 Ogos: NGO Islam mendesak supaya isu-isu berkaitan dengan akidah umat Islam tidak dimanipulasikan dan diputarbelit oleh akhbar-akhbar untuk memberikan kelebihan politik kepada sesuatu pihak sehingga memecahbelahkan perpaduan umat Islam.
Demikian antara resolusi Sidang Meja Bulat NGO-NGO Islam bertajuk Isu Aqidah Ummah: Apa Sikap Kita anjuran Ikatan Ilmuan Malaysia (Ilmuan) yang diadakan di Kompleks Perumahan Exco Kerajaan Negeri Selangor, semalam.
NGO yang terlibat ialah PIMPINAN, ILMAM, Sekteriat Pemuda Perihatin, Yayasan Kepimpinan Malaysia, Ummah Prihatin Malaysia, ILMUAN, Pro – Guam, Perubatan Islam Darus Syifa’, PAPISMA, GAMIS, INTELEK, BISA - Belia Islam Ampang, IKATAN - Ikatan Padu Rakyat Malaysia, IMPROF - Pertubuhan Muslim Professional, Khidmat - Ikatan Khidmat Muslim, MPM - Majlis Perundingan Melayu, GAGASAN, PMRAM, UKP - Usrah Kebajikan Profesional, FORKAD - Front Bertindak Anti Murtad, Umah Care, Terap Care, Tabung Kebajikan Al-Masakin dan Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Berikut adalah resolusi penuh sidang meja bulat berkenaan.
1. Kami bersepakat dan beriltizam untuk mempertahankan pegangan akidah umat Islam di negara ini daripada dicerobohi selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di dalam Perlembagaan Malaysia dan juga Peruntukan Undang-undang yang sedia ada termasuk menguatkuasakan undang-undang murtad.
2. Kami mendokong dan menyokong usaha mana-mana pihak untuk memperkukuh akidah umat Islam melalui program-program pendidikan dan kebajikan serta menuntut diperkasakan program-program tersebut termasuklah dengan mengembalikan semula bantuan yang secukupnya kepada sekolah-sekolah agama rakyat.
3. Kami menggesa supaya Jais dan pihak-pihak berwajib yang lain segera membuat tindakan dan pendakwaan jika benar terdapat usaha-usaha untuk memurtadkan umat Islam dari pegangan akidah mereka sebagaimana tuntutan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan dan Bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan.
4. Kami menuntut supaya badan-badan yang berkaitan dengan harta amanah umat Islam bertindak secara cekap bagi membantu umat Islam yang terpinggir dan tercicir supaya kehidupan mereka lebih terbela dan terjamin.
5. Kami mendesak supaya isu-isu berkaitan dengan akidah umat Islam tidak dimanipulasikan dan diputarbelit oleh akhbar-akhbar untuk memberikan kelebihan politik kepada sesuatu pihak sehingga memecahbelahkan perpaduan umat Islam.
6. Kami menegaskan bahawa isu-isu berkaitan dengan akidah umat Islam ini adalah isu yang sangat sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian kaum, justeru menyeru kepada semua pihak supaya tidak bertindak menyalahi undang-undang yang termaktub.
7. Kami menuntut supaya semua pihak yang pernah terlibat merobohkan institusi-institusi Islam termasuklah meruntuhkan institusi pendidikan Islam, masjid dan surau memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia disebabkan tindakan-tindakan mereka inilah yang telah mendorong agama Islam tidak dihormati.
8. Kami menggesa supaya institusi-institusi yang mentadbir urusan umat Islam diserahkan kepada mereka yang benar-benar layak dan dihormati supaya institusi-institusi ini akan dilihat sebagai benar-benar berwibawa.
9. Kami mencadangkan supaya forum-forum seperti sidang meja bulat ini dijadikan platform muzakarah yang dapat menemukan semua pihak, pelbagai jalur pemikiran yang mewakili masyarakat madani dan parti-parti politik demi meninggikan syiar Islam di negara ini.
10. Kami NGO yang hadir hari ini bersepakat untuk bergabung dalam membela Islam.

Lelaki tertinggi jadi tetamu di Qaryah Ramadhan


KOTA BHARU, 14 Ogos: Lelaki tertinggi di dunia berasal dari Punjab Pakistan, Ijaz Ahmed, 28, menjadi tetamu Himpunan Remaja dan Majlis Makan Colek di Qaryah Ramadan, kelmarin.
Beliau berada di negeri ini selama dua hari sebagai tetamu dan juga untuk memohon sumbangan derma orang ramai bagi mendapatkan sumber kewangan untuk membiayai rawatan kakinya akibat kemalangan dua tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan,  Kebudayaan dab Pelancongan negeri,  Datuk Takiyuddin Hassan, berkata Ijaz yang mempunyai ketinggian 8 kaki 4 inci itu telah mengalami kemalangan jalan raya dua tahun lalu.
"Akibatnya, Ijaz mengalami masaalah kaki dan ianya perlu dirawat," ujarnya.
Menurutnya, sebagai seorang anak yang berada dalam lingkungan keluarga miskin, beliau tidak mampu menanggung kos yang tinggi untuk merawat kakinya itu.
Sementara itu, orang ramai turut diraikan dengan jamuan colek sempena majlis penyampaian hadiah pameran auto show, petang kelmarin.
Turut berucap pada majlis itu Penolong Pengarah Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Mohd Nasir Mat Soh.

Rakyat mahu naik gaji, bukan bonus sementara

KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam, hanya penyelesaian bersifat sementara, kata Adun Titi Serong Drs. Khalil Idham Lim.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya menaikkan gaji mereka berbanding hanya memberi bonus apatah lagi dalam keadaan kos kehidupan yang terus meningkat lebih-lebih lagi untuk persiapan Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi.

"Saya ingin memberi pandangan bahawa jika benar Najib Razak fikir perihal kepayahan rakyat, mengapa mengumumkan langkah yang cuma penyelesaian masalah bersifat sementara.

"Tawaran yang lebih menyeluruh dengan menawarkan tambahan gaji sebanyak RM500 bagi setiap guru seperti yang ditawarkan dalam tawaran 100 hari Buku Jingga membuktikan Pakatan Rakyat mempunyai persiapan yang cukup bagi memperkenalkan dasar yang lebih baik kepada penjawat awam," katanya yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.

Selain itu katanya, jumlah bonus yang diperuntukkan kerajaan itu cuma sebilangan kecil dari wang rakyat yang telah dikikis BN selama ini.

Pemimpin Umno BN dan elit Umno ujarnya telah hidup senang setelah rakyat merana dengan tekanan dan bebanan kewangan.

Mengulas lanjut, Khalil berkata tindakan kerajaan itu juga hanya taktik memancing undi meraih simpati menjelang PRU13 yang bakal menjelang dalam tempoh terdekat.

"Saya amat yakin bahawa PRU 13 telah amat hampir, mungkin September atau juga mungkin Oktober ini, yang pastinya petanda sudah amat jelas tambahan pula telah berlaku satu berita yang mengejutkan bila SPR telah mendaftarkan "Kampung Baru" sebagai pengundi yang sah," katanya lagi.

Justeru itu katanya keselesaan bersifat sementara dengan bonus separuh bulan bukanlah jawapannya muktamad untuk memberi keselesaan kepada rakyat dalam berbelanja, penjawaat awam dan rakyat mesti bangkit untuk mengubah kerajaan kepada kerajaan Pakatan Rakyat bagi menyelamatkan Negara Malaysia yang berada dalam bahaya.

Dinar: Masa lancar RM323, hari ini RM809


KOTA BHARU, 10 Ogos: Langkah Kerajaan Kelantan memperkenalkan Dinar dan Dirham sebagai aset untuk rakyat di negeri ini menabung merupakan jalan yang tepat apabila satu dinar yang dilancar empat tahun lalu bernilai RM323 hari ini meningkat RM809.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata peningkatan itu merupakan sejarah dalam  kenaikan harga emas dunia.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco di sini sebentar tadi.

Menurutnya, harga emas pasaran dunia pula hari ini meningkat kepada USD1,723 dan ianya merupakan satu sejarah dalam kenaikan harga emas.

“Mana-mana masyarakat yang sebelum ini membeli emas mendapat keuntungan yang besar dan rugi sekiranya tidak berbuat demikian bagi mereka yang mampu.

”Bagaimanapun sekarang kita masih boleh membelinya kerana ia belum terlewat memandangkan harga emas pasaran dunia akan naik lagi mencecah USD3,000,” ujarnya.

Menurutnya, memandangkan kerajaan negeri menyedari perkara ini PMBK Sawit sejak awal lagi melabur sumber kewangannya di sebuah bank di negeri ini sebanyak RM1 juta.

Tambahnya, keuntungan yang diperolehi dalam tempoh lebih sebulan RM130,000.

Ketika ditanya berhubung pihak tertentu mengkritik tindakan kerajaan negeri sebelum ini, beliau berkata kritikan itu hanya kerana sentimen politik.

”Mereka mengkritik bukan kerana takut rakyat tidak akan mendapat sebarang manfaat sebaliknya kerana dendam politik terhadap kerajaan negeri yang didokongi PAS,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat seluruhnya supaya melabur serta meningkatkan pelaburan masing-masing kerana keuntungannya bakal diperolehi lebih besar khususnya penghujung tahun ini.

Menurutnya, kejatuhan dollar Amerika yang tidak berjaya mengekang kewangan ekonominya disamping jumlah hutang yang kian banyak, akan memberi ruang kenaikan keuntungan harga emas pada masa akan datang.

Ramadhan Bulan Hidayah

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.." - [al-Baqarah: 183]
Sesungguhnya hidup ini merupakan satu perjalanan, tiba di destinasinya ia akan terhenti walau apa pun usaha untuk menegahnya daripada berhenti. Syukur kepada Allah S.W.T, ia masih belum terhenti sehingga ke saat ini untuk membenarkan kita sekali lagi bertemu dengan Ramadhan. Syukur kerana bulan ini ialah bulan yang menjanjikan hidayah dan ganjaran yang besar buat sesiapa yang memburunya.
Ramadhan Bukan Hanya Menahan Lapar & Dahaga
Sebagaimana yang seringkali saya nyatakan sebelum ini, Ramadhan tidak usah lagi disebut sebagai bulan puasa. Kadang-kadang sebutan bulan puasa lebih terkenal dari sebutan bulan Ramadhan menyebabkan masyarakat hanya akan mengingati Ramadhan sebagai bulan untuk berpuasa. Justeru, ramai yang menganggap puasa sahaja dengan menahan lapar dan dahaga tanpa mengerjakan tuntutan-tuntutannya sudah cukup bererti di dalam menyambut Ramadhan. Ini merupakan satu kesilapan dalam memahami tuntutan Ramadhan.
Taqwa Dan Hidayah
Perkara paling penting dalam menyambut Ramadhan ialah taqwa kerana itulah matlamat daripada ibadat puasa. Taqwa tidak lahir melainkan dengan hidayah. Hidayah hanya tumpah ke dalam hati dengan izin Allah S.W.T. Hati yang mendapat hidayah akan memandu anggota untuk melakukan kebaikan. Kaki akan dipandu untuk ke masjid, lidah akan dipandu untuk membaca al-Quran, tangan akan dipandu untuk bersedekah dan begitulah anggota-anggota yang lain.
Hidayah ialah satu benda yang tidak diajar dalam sekular, komunis, kapitalis mahupun sosialis. Tidak pernah ideologi sekular mengajar penganutnya berusaha mencari hidayah. Kapitalis hanya mengajar penganutnya mencari harta kekayaan tetapi tidak pernah menyebut persoalan hidayah. Umat Islam yang terpengaruh dengan ideologi-ideologi ini hanya akan meratibkan soal-soal lahiriah tanpa menyentuh soal hidayah. Bahkan ia akan dilabel sebagai hak peribadi yang tidak boleh disentuh oleh sesiapa sekalipun.
Inilah silapnya pemikiran kebanyakan individu masyarakat pada hari ini. Sedangkan hidayah ialah satu nikmat daripada Allah S.W.T. Dalam surah al-Fatihah yang wajib dibaca di dalam setiap kali solat, kita diminta untuk membaca permohonan mendapatkan hidayah atau petunjuk ke jalan yang lurus. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
"Tunjukilah kami jalan yang lurus.." [al-Fatihah, ayat 6]
Memohon Hidayah Berkali-Kali Sehari
Sekiranya hidayah ialah persoalan yang tidak penting, maka apa perlunya untuk dipohon di dalam solat? Apa perlunya untuk sentiasa diangkat permohonan ini kepada Allah S.W.T berbelas-belas kali dalam sehari? Jawabnya, hidup ini tidak akan bererti melainkan dengan hidayah daripada Allah S.W.T. Justeru, mereka yang mendapat hidayah dianggap sebagai orang-orang yang mendapat nikmat yang besar.
"(Yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat." [Surah al-Fatihah, ayat 7]
Siapa pula orang-orang yang mendapat nikmat tersebut? Mereka bukan semestinya orang-orang yang kaya, berpangkat dan berpengaruh yang pada hari ini dipandang mulia di hadapan manusia kerana kekayaan, jawatan dan pengaruhnya. Mereka ialah orang-orang yang disebut oleh Allah S.W.T :
"Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu: Nabi-nabi, para shiddiiqiin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. dan mereka Itulah teman yang sebaik-baiknya.." [Surah an-Nisa', ayat 69]
Semarakkan Ramadhan Dengan al-Quran
Selain memohon untuk diberikan hidayah, semarakkanlah Ramadhan dengan bacaan al-Quran sebanyak-banyaknya. Selain membaca, fahamilah makna dan beramallah dengan kandungannya.
Al-Quran ialah manual yang diturunkan Allah S.W.T untuk manusia menjalani kehidupan di muka bumi ini. Ini kerana bumi ini diciptakan oleh Allah S.W.T dan manual penggunaannya hanya dikeluarkan oleh Allah S.W.T.
Memahami al-Quran membawa kita mengenali di antara dosa dan pahala, Syurga dan Neraka. Ia umpama lampu suluh yang menyuluh gelap pekat jahiliyyah. Sebagaimana kita akan mencari lampu suluh untuk menyuluh laluan pada saat malam pekat, demikian juga laluan hidup perlu disuluh agar bercahaya.
Lampu suluh kehidupan ialah al-Quran. Inilah penyuluh yang akan menerangi laluan di dunia, alam kubur bahkan apabila bangkit di Akhirat nanti. Mereka yang menolak al-Quran hakikatnya menolak lampu suluh yang disediakan oleh Allah S.W.T. Mereka perlu bersedia untuk menghadapi kegelapan di alam kubur dan kegelapan di hadapan Allah S.W.T kelak.
Apabila al-Quran Diketepikan
Bahayanya masyarakat yang hidup tanpa lampu suluh ini sangat besar. Pengalaman saya bermusafir ke Uzbekistan baru-baru ini cukup mengajar saya bagaimana teruknya masyarakat apabila mengenepikan al-Quran selaku manual hidup.
Di bumi yang tersemadinya jasad muhaddis agung al-Imam al-Bukhari Rahimahullah itu, hari ini masih ditadbir dengan nilai-nilai komunis sekalipun Uzbekistan telah merdeka dari Soviet Union, ia masih mengekalkan beberapa dasar yang begitu sekali memberikan kemudharatan kepada Islam.
Bumi ini yang pernah melahirkan ulama-ulama besar seperti Imam Bukhari, Abu Laits As Samarkandi, Imam Bahaudin, Imam Muslim, Imam Nasai, Imam Tirmizi, Imam Nakhai dan lain-lain, hari ini seolah-olah kehilangan kesemua kebanggaan yang pernah dicatat di dalam sejarah.
Masjid-masjid cukup besar namun sunyi dari diimarahkan. Lebih teruk apabila anak-anak di bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan datang ke masjid dengan alasan belum cukup umur. Akhirnya pendidikan Islam semenjak kecil tidak disemai dan melahirkan masyarakat yang hanya Islam pada nama tetapi tidak pada amalan kehidupan.
Inilah rupa wajah masyarakat yang tidak dibentuk dengan acuan al-Quran. Bagaimanapun, usaha-usaha untuk menyemarakkan dakwah mula berjalan dan saya berharap suatu hari nanti bumi Uzbekistan ini berjaya mengulangi sejarah kegemilangannya insya-Allah.
Apa yang penting, perkongsian ini untuk mengingatkan kita bahawa begitulah bahayanya apabila al-Quran dikesampingkan. Ditambah pula dengan para ulama yang tidak mahu turun ke medan menegakkan pemerintahan yang berlandaskan Islam, sedikit demi sedikit nilai Islam akan dicabut. Apabila ia berjaya dicabut, ia akan mengambil masa yang lama untuk disemai semula.
Justeru, jadikanlah Ramadhan sebagai ruang untuk menyemarakkan al-Quran. Ibu bapa berperanan di rumah, guru-guru di sekolah dan kerajaan pula di dalam negara. Semua pihak perlu bekerjasama dan insya-Allah saya yakin dengan usaha berterusan, masyarakat umat Islam dapat kembali menghayati al-Quran dalam kehidupan.
Semoga Ramadhan tahun ini akan lebih mesra Qalbu bagi diri kita berbanding dengan Ramadhan yang telah berlalu.

Gembira Dengan Ramadhan


Bulan Ramadhan adalah bulan yang terlalu banyak kelebihannya. Di dalamnya terdapatnya malam lailatul Qadar iaitu malam kemuliaan yang lebih baik dari 1000 bulan. Pada bulan tersebut Allah membuka pintu Syurga, menutup pintu Neraka dan mengikat Syaitan-syaitan untuk memberi peluang kepada manusia membersihkan diri mereka sebersih-bersihnya.
Gembira Dengan Peluang Keemasan Ramadhan
Antara kelebihan besar bulan Ramadhan ialah di dalamnya terdapat lalilatul-Qadar atau malam al-Qadar (kemuliaan) yang dinyatakan keistimewaannya secara khusus oleh Allah dalam surah al-Qadr;
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ، وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ، لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ، تَنَزَّلُ الْمَلاَئِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ، سَلاَمٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Qur'an) pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar". [al-Qadr: 1-5]
Dalam surah ini kita melihat kelebihan malam al-Qadar iaitu;
Ia merupakan malam penurunan al-Quran. Menurut Ibnu 'Abbas; penurunan yang dimaksudkan ialah penurunan al-Quran secara sekaligus dari Luh Mahfudz ke Baitil-'Izzah yang terdapat di langit dunia/ pertama. Setelah itu barulah diturunkan berperingkat-peringkat kepada Rasulullah s.a.w. selama 23 tahun.
Beramal pada malam al-Qadar lebih baik dari beramal selama seribu bulan (iaitu 83 tahun 4 bulan) yang tidak terdapat di dalamnya malam al-Qadar.Pada malam itu, Jibril dan juga para malaikat turun ke langit dunia atau ke bumi dengan membawa kebaikan dan keberkatan yang ditetapkan Allah untuk tahun tersebut hingga datang malam al-Qadar berikutnya.
Menurut Imam Ibnu Kathir; "Banyaknya malaikat yang turun pada malam al-Qadar adalah kerana banyaknya keberkatan malam tersebut. Para malaikat turun bersama turunnya berkat dan rahmat sebagaimana mereka turun tatkala mendengar bacaan al-Quran, mereka melingkungi halaqah-halaqah zikir dan mereka membentangkan sayap-sayap mereka kepada orang yang keluar mencari ilmu untuk membesarkannya."
Malam al-Qadar itu penuh dengan kesejahteraan hingga terbit fajar, yakni; pada malam tersebut Allah tidak mentakdirkan melainkan perkara-perkara yang baik, selamat dan sejahtera. Ada ulama' berpendapat; pada malam al-Qadar itu para malaikat yang turun akan mengucap salam kepada sekelian orang beriman yang mereka temui sama ada lelaki atau perempuan.
Walaupun surah di atas tidak menjelaskan bilakah akan munculnya malam al-Qadar?, namun jawapan bagi persoalan ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w. dalam sabdanya;
تحرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الأَوَاْخِرِ مِنْ رَمَضَاْنَ
"Carilah lailatul-Qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan."[Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Saidatina Aisyah r.a.]
Begitulah antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan. Orang yang tahu menilainya sudah pasti tidak akan mensia-siakan peluang untuk merebut kelebihan-kelebihan tersebut. Bahkan Rasulullah sendiri pernah menegaskan;
لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي هَذَا الشَّهْرِ مِنَ الْخَيْرَاْتِ لَتَمَنَّوْا أَنْ يَكُوْنَ رَمَضَاْنُ اَلسَّنَةَ كُلَّهَا
"Sekiranya manusia benar-benar menyedari kebaikan-kebaikan yang ada di bulan Ramadhan ini, pastinya mereka akan mengharapkan supaya sepanjang tahun adalah Ramadhan"
[Riwayat Ibnu Abi Dunya]

Cahaya Ramadhan

"Ya Allah dengan keberkatan Ramadhan berikanlah cahaya Iman, cahaya taqwa, cahaya amal, dan cahaya redha kepada kehidupan kami. Berikanlah kekuatan kepada diri kami untuk membentuk Mukmin terbaik kepada-Mu."
Berbicara tentang Ramadhan, kebiasaannya itulah detik-detik terbaik seorang Muslim dalam setahun. Selama hampir 30 hari ia akan habiskan sebahagian masanya untuk beribadah kepada Allah S.W.T. Rela atau terpaksa. Musim ia mengingati Tuhannya, Penciptanya, Pemberi rezeki dan nyawanya. Sedangkan seringkali ia lalai mengingatinya di bulan-bulan yang lain. Hebatnya Ramadhan.
Bagi mereka yang Imannya sudah padam, mereka ini tidak mampu membezakan antara Ramadhan dan bulan biasa. Mereka ini tidak ada yang berubah. Kalau ia sedar pun cuma kerana wujudnya bazar Ramadhan di merata tempat. Menyeronokkannya membeli belah untuk berbuka sebelum tiba masanya. Orang ini sangat malang nasibnya. Sangat kecil akalnya walau memiliki ijazah peringkat tertinggi. Kalau Ramadhan pun tak mampu mengubahnya, entah di bulan bila lagi ia mampu melakukannya?
Bagi Mukmin sebenar, yang sedar diri dan hakikat hidup dan mati. Inilah bulan ia banyak memandang ke bumi. Rasa hina dan rendah diri. Perjalanan hidup yang pastinya dipenuhi keterlanjuran dan kejahatan perlu diperbaiki. Dosa dan noda yang tercatat kukuh di sisi al-Rahman perlukan keampunan atau sekurang-kurangnya perubahan. Mukmin begini sangat menghargai kehadiran Ramadhan. Inilah harapan terakhir baginya untuk memulakan perubahan. Atau pernah mencuba dan gagal, maka inilah peluang baru untuk ia mencuba lagi. Selagi hayat dikandung badan, ia percaya janji Allah yang tidak akan menghampakan harapan hamba-Nya dan peluang kedua.
عن جابر بن سمرة أتاني جبريل فقال : يا محمد ! من أدرك أحد والديه فمات فدخل النار فأبعده الله قل : آمين فقلت : آمين قال : يا محمد من أدرك شهر رمضان فمات فلم يغفر له فأدخل النار فأبعده الله قل : آمين فقلت : آمين قال : و من ذكرت عنده فلم يصل عليك فمات فدخل النار فأبعده الله قل : آمين فقلت : آمين
Dari Jabir bin Samuroh radhiyallahu'anhu, Rasulullah S.A.W. bersabda: "Aku menjumpai Jibril, kemudian dia berkata: "Wahai Muhammad, barangsiapa yang menjumpai salah seorang dari kedua orang tuanya kemudian ia meninggal, kemudian ia dimasukkan ke Neraka, semoga Allah melaknatnya." Rasulullah S.A.W bersabda, "Amin". Jibril berkata, "Wahai Muhammad, barangsiapa yang menjumpai bulan Ramadhan kemudian ia meninggal, dan tidak diampunkan dosanya, maka dimasukkan ia ke Neraka, semoga Allah melaknatnya." Rasulullah S.A.W bersabda, "Amin". Jibril berkata, "Wahai Muhammad, barangsiapa yang engkau disebutkan padanya ia tidak berselawat kemudian meninggal dan dimasukkan ke Neraka, semoga Allah melaknatnya." Rasulullah Saw "Amin".
(al-Jami'ush Shoghir wa Ziyadatuhu 75 (1/8))
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates