Pakatan sertai piket MTUC 3 November

SHAH ALAM, 23 Okt: Pakatan Rakyat  akan bersama-sama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam piket besar-besaran serentak di seluruh negara, 3 November depan.

Piket tersebut bagi membantah Akta Kerja (Pindaan) 2000 yang diluluskan Dewan Rakyat sebelum pembentangan Belanjawan 2012 baru-baru ini.

Akta ini membolehkan majikan mengambil pekerja secara kontrak melalui agensi yang dilantik sebagai orang tengah di antara majikan dan pekerja.

Agensi yang membekalkan pekerja secara kontrak akan dilembagakan dan dikitiraf kerajaan.

Bercakap pada sidang media di Pejabat PAS Selangor, dekat sini hari ini, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, PAS menyokong penuh tindakan MTUC menganjurkan piket tersebut kerana nasib pekerja bawahan semakin tidak terbela apabila semakin banyak pekerja kontrak diambil.

"Penentangan MTUC  memang ada asas dan PAS sokong MTUC supaya hak dan kedudukan pekerja lebih terjamin pada masa hadapan.

"Majikan lebih suka ambil pekerja secara kontrak bagi mengelak tanggungjawab  dan pembekal kontrak dilembagakan dan diktiraf kerajaan," kata beliau.

Pengerusi Biro Pekerja PKR, Abdullah Sani pula berkata, kerajaan BN mahu menghidupkan kembali perhambaan pekerja seperti pada tahun 1955 dahulu.

"Isyaratnya pindaan akta ini akan membunuh generasi akan datang.

"Umno menghalalkan perhambaan moden yang akan menyaksikan pekerja terus menjadi hamba kepada syarikat korporat.

"Sebanyak 277 agensi yang bergerak secara bebas dalam negara dan 42 peratus mereka merupakan kontrak yang bukan digajikan oleh syarikat utama, hampir 5,000 pekerja terlibat.

"Dengan adanya agensi perjanjian di antara majikan dan pekerja tidak ada yang banyak mengabaikan nasib pekerja termasuk tiada pemotongan Socso," katanya.

Mengulas lanjut mengenai Piket, beliau yang juga Ahli Majlis Am MTUC, berkata di Selangor piket akan diadakan di Seksyen 15 dan Teluk Panglima Garang.

Manakala di Wilayah Persekutuan kemungkinan akan diadakan di Jalan Raja Laut.

"Ini juga termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya yang juga Ahli Paelimen Kuala Langat.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Pekerja PAS Pusat, Anuar Tahir berkata, pihaknya akan memobilisasi ahli agar turun bersama-sama pekerja dalam piket ini.

Menurutnya juga, siri penerangan kepada masyarakat akan bermula malam ini dengan ceramah di Ipoh, Perak.

Di peringkat Wilayah Persekutuan akan diadakan ceramah di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (Kuiszm), Taman Melewar pada 28 Oktober.

"Kita akan bagi sokongan penuh kepada MTUC seperti piket Nation White menuntut gaji minima tahun lalu.

"Pilihan raya umum akan datang, rakyat akan memilih samaada nak pilih pemimpin yang menghambakan pekerja atau memerdekakan pekerja," katanya.

Demo UIA 22 oktober













PAS bimbang tindakan UIA hasut rakyat benci raja

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Kegelojohan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung Prof Dr Abdul Aziz Bari dibimbangi boleh mendorong dan menghasut rakyat membenci Raja-Raja Melayu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"Penggantungan kontroversi ke atas Dr Abdul Aziz yang dilakukan oleh UIA itu semakin terbukti amat menyakitkan hati rakyat.

"Tindakan UIA itu akhirnya dikhuatiri mendorong dan secara tidak langsung menghasut rakyat membenci Raja-Raja Melayu," kata beliau.

Malah, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, tindakan UIA itu benar-benar menjatuhkan maruah Raja-Raja Melayu.

"Tindakan UIA itu menggambarkan seolah-seolah Raja-Raja Melayu tidak boleh menerima teguran dan pandangan professional.

"Memberi gambaran bahawa Raja-Raja Melayu tidak boleh menerima teguran dan pandangan professional adalah perbuatan buruk yang benar-benar menjatuhkan maruah Raja-Raja Melayu," tegas Mahfuz.

Malah, katanya, memberikan gambaran bahawa-bahawa Raja-Raja Melayu tidak boleh menerima teguran hakikatnya memberi gambaran bahawa Raja-Raja Melayu tidak mahu mengamalkan ajaran Islam yang sangat asasi yang menekankan amar ma'ruf nahi munkar.

Dr Abdul Aziz sebelum itu memberikan pendapatnya sebagai pakar perlembagaan terhadap tindakan Sultan Selangor.

Beliau berpendapat, tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu pemeriksaan gereja bukanlah suatu tindakan yang lazim.

Dr Abdul Aziz dilaporkan berkata, sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, Sultan Selangor berhak campur tangan, namun ia perlu dilakukan selaras dengan ajaran Islam.

Akibatnya, beliau disoalsiasat oleh polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), diberi surat tunjuk sebab oleh UIA dan akhirnya digantung tugas oleh universiti itu semata-mata kerana memberikan pendapatnya dari segi undang-undang.

Mahfuz melihat tindakan UIA membalas pandangan professional Dr Abdul Aziz dengan penggantungan penuh kontroversial itu sebagai perbuatan "institusi ilmu menghina ilmu".

"Kalaupun benar terpaksa bertindak selaras dengan kehendak dan kepentingan Umno, janganlah sampai institusi ilmu menghina ilmu dan melakukan tindakan yang akhirnya akan membunuh kebebasan akademik.

"Amat buruk kalau institusi ilmu sendiri yang membunuh ilmu dan kebebasan akademik," kata beliau.

Mahfuz juga menyifatkan amat lucu penjelasan Rektor UIA Profesor Datuk Dr Zaleha Kamaruddin kononnya tindakan menggantung tugas Dr Abdul Aziz bukanlah hukuman, sebaliknya bagi memastikan siasatan terperinci dapat dijalankan berikutan kenyataan beliau mengenai tindakan Sultan Selangor.

"Ini kali pertama kita dengar seorang ilmuan yang memberikan pendapat professionalnya perlu digantung tugas untuk membolehkan beliau memberikan penjelasan mengenai pendapat professionalnya itu.

"Ini sudah tentu boleh mencipta rekod dunia sebagai salah satu perkara paling kelakar sepanjang sejarah," katanya.

Persidangan ICT dan Media Baru 2011





Beri kebebasan ahli akademik berakademik- Nik Aziz

GOMBAK, 22 Okt: Mursyidul AM PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nikmat menyeru semua pihak termasuk universiti, tidak menyekat ahli akademik menyuarakan padangan akademik mereka.

Mengulas isu penggantungan Pensyarah Undang-undang, Profesor Dr Abdul Aziz Bari oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), beliau berkata  ahli akademik perlu diberi peluang mengulas apa jua isu mengikut kepakaran akademik yang dimiliki mereka.

"Aziz Bari ni orang akademik. Berilah peluang orang akademik berakademik," katanya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan ICT dan Media Baru 2011 anjuran Lajnah ICT PAS Pusat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) di Taman Melewar di sini.

"Dia juga pakar perlembagaan, saya tak fikir pakar perlembagaan buat benda bercanggah dengan perlembagaan," katanya sebagai membantah tindakan penggantungan oleh UIAM itu.

Kelmarin UIA menggantung tugas Abdul Aziz sebagai pensyarah undang-undang sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Beliau didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" dan diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawabnya.

Tindakan terhadap pakar perlembagaan itu dipercayai berikutan reaksinya sebelum ini yang mengulas titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama.

Abdul Aziz dipetik berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

"Dua hari lalu dia ada orang tulis dalam surat khabar, ada orang kata 'natang' kepada raja-raja Melayu tapi tak ada apa-apa tindakan pun.

"Rakyat jadi pelik, apa dah jadi ni," soal Tuan Guru Nik Aziz.

Sementara itu Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menasihatkan rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) untuk menarik balik penggantungan kontroversi ke atas Prof Abdul Aziz Bari.

Menurutnya, apa sahaja (sebab-sebab untuk tindakan itu), ia masih
salah dari segi moral dan intelektual (kerana) Aziz belum didapati bersalah.

"Harap tarik balik penggantungan... harap jangan ambil tindakan terhadap mahasiswa yang demonstrasi (semalam)," katanya.

Blogger, pengamal media baru jangan lempar fitnah

GOMBAK, 22 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, setiap blogger mahupun pengamal media baru perlu banyak belajar agar boleh menjadi seorang penulis yang berhemah.
"Setiap blogger serta pengamal media baru perlu terus belajar dan jangan henti untuk kita terus belajar kerana ia akan dapat melahirkan kita sebagai penulis yang lebih berhemah.
"Kita melihat apa yang berlaku sekarang ini kebanyakan blogger memaparkan dengan perkara yang tidak betul dan melemparkan fitnah-fitnah," jelasnya sewaktu merasmikan Persidangan ICT dan Media Baru 2011 di Dewan Datuk Fadzil Noor, Taman Melewar hari ini.
Tambahnya lagi, sebagai seorang blogger perlu mempunyai sifat-sifat yang mulia, bukannya menulis perkara-perkara fitnah.
Beliau juga memberitahu ada penyakit yang perlu diubat dalam dunia blogger yang dilihat sentiasa melemparkan perkara-perkara yang tidak benar malah menjadikan ia satu usaha penyebaran unsur-unsur jahat dengan niat.
"Penyakit menyebar fitnah perlu diubat kerana ini akan menjadikan budaya ytang tidak sihat di negara ini malah ia akan menjadikan budaya penyebaran fitnah yang tidak berhemah.
"Saya tekankan di sini blogger kena belajar dan mempunyai pengetahuan agama yang kuat, cara ini sajalah yang dapat mengubat penyakit penyebar fitnah di dalam dunia media baru.
"Selain itu pembelajaran kesasteraan juga perlu untuk kita mantapkan penulis ayar ayat-ayat yang kita tulis mempunyai nilai tersendiri serta menarik minat pembaca," sambungnya lagi.
Nik Aziz juga meminta blogger serta pengamal media baru mempelajari bagaimanakah cara untuk menjawab setiap isu fitnah dengan menitik berat serta mengambarkan nilai-nilai keIslaman kerana ia juga dapat memberi kesan mendalam kepada penjelasan kepada fitnah.
"Kita perlu belajar untuk menjawab setiap persoalan dan ini akan memastikan untuk setiap soalan atau fitnah dapat kita perjelaskan kembali dengan cara yang baik, ini akan memberi kesan kepada setiap pembaca.
"Di sinilah yang akan dinilai oleh setiap pembaca dan mereka sendiri yang akan menilai siapa yang betul mahupun tidak dan saya pasti penjelasan yang baik Umno juga akan dapat berubah setelah tidak dapat menimbulkan isu baru kerana penjelasan kita berikan itu," tambah Nik Aziz lagi.
Menteri Besar Kelantan itu juga menjelaskan persaingan juga perlu kerana ia mendatangkan kesan kepada apa yang dilakukan dan dapat menimbulkan kebenaran kepada sesuatu perkara.
"Persaingan yang baik akan melahirkan kebenaran kerana isu yang timbul akan dibahas serta pendapat masing-masing dan akhirnya mendatangkan kebenaran yang diterima oleh semua," katanya.
Persidangan yang dianjurkan oleh Lajnah ICT dan Jabatan IT PAS Pusat bersama dengan Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat selama sehari ini meletakkan objektif menyeragamkan pemahaman garis panduan gerak kerja bersepadu facebook atau twitter kepada semua petugas penerangan dan maklumat di semua peringkat.
Ia juga bertujuan mengulangkaji mengemaskini dan mendapat maklum balas status kesediaan keperluan ICT di semua peringkat serta berkongsi pengetahuan berhubung dengan media sosial dan webtv sebagai sumber maklumat alternatif serta mendapat sokongan dan komitmen dari kepimpinan tertinggi PAS untuk melancarkan Jentera Bersepadu Petugas ICT dalam jentera pilihan raya dan penerangan lebih awal sebagai persediaan dalam menghadapi pilihanraya umum nanti.

70 ahli Umno Kelantan masuk PAS

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Seramai 70 orang ahli Umno di Kelantan telah mengambil keputusan keluar dari parti itu dan menyertai PAS, semalam.
Borang keahlian PAS mereka diserahkan sendiri kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada satu majlis di Kota Bharu, semalam.

Menurut Nik Abdul Aziz, kesemua mereka adalah bekas ahli-ahli Umno di kawasan Kota Bharu, manakala kemasukan mereka ke dalam PAS pula melambangkan perjuangan PAS sudah semakin difahami oleh orang ramai.

Katanya, sebelum ini sudah banyak ahli-ahli Umno di Kelantan menyokong PAS, tetapi sebahagian daripadanya berbuat demikian secara sembunyi-sembunyi.

"Perjuangan PAS adalah perjuangan yang benar yang mewarisi perjuangan Nabi Muhammad saw. Umno sendiri tahu kebenaran perjuangan PAS.

"Tentangan mereka terhadap PAS bukan kerana perjuangan PAS tidak betul, tetapi kerana kedegilan mereka sendiri untuk menerima kebenaran," katanya ketika merasmikan Persidangan ICT 2011 Media Baru "Revolusi Teknologi Maklumat Menghadapi PRU Ke-13" di Dewan Datuk Fadhil Noor di Taman Melewar, di sini, hari ini.

Berucap pada Seminar anjuran Lajnah ICT dan Jabatan IT PAS Pusat dengan kerjasama Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat itu, beliau berkata, realiti itu samalah juga dengan tentangan orang-orang kafir terhdap Islam yang bukannya kerana mereka tidak tahu dengan kebenaran Islam, tetapi kerana kedegilan mereka sendiri untuk menerima kebenaran.

Katanya, itulah juga sikap yang ditunjukkan oleh Abu Jahal terhadap Islam ketika hayat Rasulullah saw dulu, namun ia tetap tidak melemahkan perjuangan Islam seperti yang telah ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah saw.

"Setiap ahli PAS perlu faham perkara itu. Jadi, kita mestilah sentiasa bersedia menjawab segala persoalan dan segala bentuk tentangan yang ditimbulkan oleh mereka atau pihak Umno dengan baik dengan ilmu yang kita miliki," katanya.

Dalam konteks media baru, menurutnya, tugas tersebut amat perlu dilaksanakan dengan baik dan berkesan oleh para penulis, bloger-bloger yang menyokong perjuangan PAS dan mereka yang bertugas di bahagian penerangan.

"Setiap jawapan yang kita berikan dalam bentuk penulisan dan termasuklah juga dalam ceramah-ceramah mestilah berasaskan "Al-haq" atau kebenaran iaitu menyebarkan maklumat yang benar sahaja," katanya yang juga Mursyidul Am PAS.

Mengambil contoh pentadbirannya di Kelantan sejak PAS memerintah negeri itu, beliau telah melakukan banyak perubahan ke arah yang lebih islamik berbanding semasa Kelantan berada di bawah pemerintah BN dulu.

"Sebaik memerintah Kelantan, saya telah mengarahkan kesemua wang kerajaan dipindahkan ke dalam sistem perekonomian Islam untuk mengelakkan terjebak dengan riba.

"Walaupun pada awalnya dipersoalkan oleh beberapa pihak, tetapi apabila kita jelaskan dengan betul dan kena caranya, akhirnya mereka sendiri dapat memahaminya dan dapat menerima tindakan kita itu dengan baik," katanya.

Selain itu, beliau juga turut memperkenalkan cuti 2 hari seminggu bagi setiap kakitangan kerajaan di Kelantan yang juga turut ditentang oleh Umno dengan pelbagai dakwaan, termasuk mengatakan beliau mengajar dan mendorong rakyat menjadi malas.

"Tetapi akhirnya langkah yang baik dan turut memberikan keadilan kepada para pegawai atau kakitangan kerajaan itu juga turut ditiru oleh Umno," tegasnya.

Sejak memerintah Kelantan, beliau juga turut mengajar Al-Quran dan menjadi imam solat yang kesemua itu tidak dilakukan oleh pemimpin Umno semasa memerintah negeri itu.

"Maknanya, apabila menjadi ketua kerajaan, kita tak boleh hanya melakukan kerja-kerja pentadbiran sahaja. Sebaliknya kesemua perkara yang dibuat oleh Nabi Muhammad saw mestilah kita lakukan termasuk dalam persoalan memimpin rohani rakyat," katanya.

Menurutnya, pada bulan Ramadhan pula, Kerajaan PAS Kelantan turut berusaha menyedarkan orang ramai dengan tidak memanggil bulan Ramadhan sebagai bulan puasa, tetapi bulan Ramadhan.

Dengan itu, katanya, falsafah bulan Ramadhan akan berjaya diserapkan ke dalam hati orang ramai dengan lebih berkesan dengan tidak hanya melaksanakan ibadah solat dan puasa sahaja pada bulan Ramadhan, tetapi diperkembangkan dengan majlis-majlis ilmu, memperbanyakan bacaan al-Quran, memperbanyakkan amalan-amalan baik dan berzikir.

Cakno Anak Muda Dun Pulai Chondong






















Membaca pertukaran tawanan dengan kaca mata Hudaibiyah

Zulkaedah tahun keenam Hijrah, di atas keangkuhan penguasa Quraisy menghalang rombongan Junjungan Mulia, Nabi Muhammad s.a.w.memasuki kota Mekah, termetrai perjanjian yang dikenali kini sebagai Sulh Hudaibiyah. Dalam pembacaan yang ringkas, beberapa terma yang dipersetujui di dalam perjanjian ini mendatangkan protes senyap di kalangan para sahabat yang mersakan bahawa kaum Muslimin bakal menerima kesan negatif hasil dari perjanjian ini.

Allah Taala, Zat yang Maha Mengetahui, menghantar isyarat sebaliknya dengan firmanNya: 'إِنَّا فَتَحۡنَا لَكَ فَتۡحً۬ا مُّبِينً۬ا'
Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata (Al Fath : 1)

Maha Suci Allah yang memberi beberapa signal kemenangan sebaik perjanjian ini termaktub. Kejayaan awal berlaku pada tahun sesudahnya, pabila kaum Muslimin berjaya menunaikan umrah dengan gandaan kualiti dan kuantiti yang sama sekali memeranjatkan penduduk Makkah. Kehadiran ini, berdasarkan kepada syarat yang telah dipersetujui, tidak boleh langsung dibantah atau dimungkiri oleh kaum Musyrikin Mekah.

Di atas iltizam dan komitmen tinggi Muslimin mematuhi persefahaman ini, syiar Islam terus memenuhi jazirah Arab, merubah sosio-politik hingga menimbulkan rasa cemas yang amat kuat hingga mendorong Musyrikin Mekah merencana tindakan tergesa-tergesa yang mentajikahkan   perjanjian Hudaibiyah dikhianati oleh mereka sendiri. Puak Quraisy bersama Bani Bakr telah meyerang Bani Khuza'ah yang merupakan sekutu pada kaum Muslimin pada ketika itu.

II
Persetujuan Israel dan Hamas melakukan pertukaran 1,027 tahanan Palestin dengan seorang tentera Israel, Gilad Shalit juga berlaku pada bulan yang sama. Sejak 1983, jumlah tahanan ini merupakan yang terbesar membabitkan Israel dan pihak Arab.

Namun, usaha ini sewajarnya dilihat sebagai rentetan kepada kerja utama dan yang paling besar dalam isu Palestin-Israel, pembebasan Al-Quds. Memetik kata-kata Khalid Mash'al "Kemenangan kita dalam pertukaran tahanan Palestin dengan Israel tiada tukar gantinya dengan perjuangan kita membebaskan Baitulmaqdis. Ia tiada tukar gantinya dalam perjuangan kita untuk terus mara bagi mendirikan sebuah negara Palestin yang mnjadikan Al-Quds sebagai ibu negaranya.."

Hasil usaha ini, Hamas dlihat memberi political boost kepada gerakan tersebut setelah Fatah melalui Mahmoud Abbas berjaya membawa euphoria kepada rakyat Palestin berikutan ucapan gesaan kepada pengiktirafan Palestine di PBB. Hamas di sebalik tekanan dari luar dan dalam, dari wilyah sempit dan sesak di Gaza, berjaya mengatasi segala hasil dari cita-cita dan matlamat perjuangan yang jelas. Kata pepatah 'The greatest things started somewhere'

Jika kita mahu membuat pertalian secara langsung pertukaran tahanan ini dengan Perjanjian Hudaibiyah kita mampu menemui pada political will pimpinan Islam yang menerajui kedua-kedua kerajaan ini.

Kewujudan setahun jagung pentadbiran negara Madinah yang diterajui oleh Nabi Muhammad s.a.w berjaya mengheret kuasa besar Tanah Arab ketika itu, kaum Quraisy, yang mengusai kota penting Mekah dari sudut politik dan ekonominya duduk berunding semeja. Jelasnya, membuktikan bahawa, Madinah mempunyai suatu peranan strategik yang digeruni oleh Quraisy. Meski pemerintahan Madinah masih belum lagi mempunyai sejarah kegemilangan seperti Quraisy yang berakar lama melangkaui 600 tahun, Madinah berjaya menggugat status quo tersebut. Begitu juga Hamas, hayat pemerintahannya di Gaza jauh lebih singkat berbanding kuasa besar Israel yang bermaharajelela secara haram di Palestin, namun kewujudan Hamas berjaya merubah pendekatan dan polisi ganas Israel terhadap penduduk Palestin. Israel berjaya dipujuk untuk menyutujui perjanjian dengan nisbah yang begitu besar ini (1:1027) hasil kebijakan dan kepintaran Hamas.

Kelantan bina lebuh raya, Pusat tidak serius

KOTA BHARU, 18 Okt: Kerajaan Kelantan sedang serius menimbangkan pembinaan lebuh raya dari Kota Bharu ke Kuala Krai melalui kerjasama dengan pihak swasta.
Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Azikz nik Mat berkata, ini berikutan sikap kerajaan Pusat yang dilihat tidak serius di dalam memenuhi keperluan rakyat Kelantan yang semakin mendesak termasuklah menafikan keperluan projek ini di dalam Rancangan Malaysia ke-9 dan ke-10.
“Justeru, cadangan membina lebuh raya sepanjang 63 kilometer ini sedang diteliti untuk dilaksanakan,” ujarnya ketika membentangkan Belanjawan negeri 2012 pada persidangan Dun Kelantan, sebentar tadi.
Teks beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa.
Setakat ini, katanya kerajaan Kelantan sudah menerima banyak permohonan pihak swasta yang berminat untuk melaksanakan projek itu.
Beliau  juga memberitahu, sebanyak RM29.65 juta telah disediakan kepada Jabatan Kerja Raya negeri untuk melaksanakan pelbagai projek untuk kesejahteraan rakyat berbanding tahun 2011 sejumlah RM12.0 juta.
Mengenai usahawan, sebanyak RM2.50 juta diperuntukkan di bawah Program Usahawan Berdikari tahun ini berbanding RM2.0 juta tahun lepas yang menggabungkan lima program pembangunan usahawan termasuk Program Galakan Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Gerakan Berdikari Rakyat Kelantan, Program Khas Siswazah, Skim Kerjaya Penganggur, Dana Belia Niaga dan Tabung Usahawan Wanita.

Rais jangan guna SKMM sebagai polis peribadi

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Datuk Seri Rais Yatim diharap tidak menggunakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai polis peribadinya semata-mata untuk membuktikan beliau masih lagi relevan.
Ketika menyatakan harapan tersebut kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) berkata, rakyat tidak ingin melihat mana-mana kementerian atau institusi kerajaan digunakan untuk membodek Perdana Menteri atau membuktikan kononnya seseorang itu masih lagi relevan.
Mengulas tindakan SKMM menyiasat pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari, dipercayai ekoran reaksi pensayarah itu terhadap tindakan Sultan Selangor baru-baru ini, Salahuddin berharap tindakan itu dihentikan serta merta.
"Tindakan itu dilihat umum sebagai penyalahgunaan kuasa yang sangat ketara dan pencabulan kebebasan bersuara yang memalukan negara.
"Ia mesti dihentikan serta merta kerana ia bukan sahaja pencabulan kebebasan bersuara malah pencabulan serta penghinaan terhadap kebebasan akademik," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.
Dr Abdul Aziz, kata Salahuddin, bercakap berdasarkan ilmu dan kelayakan akademiknya dan tindakan SKMM menyiasatnya tanpa menyatakan kepada umum kesalahan beliau di sisi undang-undang adalah tindakan yang dilihat rakyat sebagai menjijikkan.
Beliau juga mempersoalkan adalah SKMM mahu mewujudkan 'profesor kangkung' yang bercakap melalui TV dan media tanpa mengikut fakta sebenar semata-mata mengampu pemerintah.
Sebelum itu, walaupun mendakwa kenyataan Dr Abdul Aziz kurang ajar, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau tidak tahu adakah pensyarah itu melanggar undang-undang atau tidak.
"Sama ada ia melanggar undang-undang, saya tidak tahu, tetapi dari segi moral, ia kurang ajar," Bernama memetik Dr Mahathir berkata.
Setakat ini, kata Salahuddin, tidak ada mana-mana pihak berwibawa yang secara jelas dan terus terang menyatakan Dr Abdul Aziz melanggar mana-mana peruntukan undang-undang kerana kenyataannya itu.
"Yang ada hanyalah histeria dan gelagat tidak tentu arah dan melucukan dari mereka yang hendak membodek atau mereka yang sudah jenuh dilihat umum sebagai gila-gila," kata beliau.
Dr Abdul Aziz sebelum itu menyifatkan tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu pemeriksaan gereja bukanlah suatu tindakan yang lazim.
Aziz dilaporkan berkata, sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhak campur tangan, namun ia perlu dilakukan selaras dengan ajaran Islam.

Penjawat awam Kelantan terima bonus

KOTA BHARU, 18 Okt: Kerajaan Kelantan hari ini mengumumkan pemberian bonus untuk kali kedua dalam tahun ini yang akan dibayar kepada penjawat awam negeri pada Disember ini.
Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, bonus yang diberikan tersebut adalah selari dengan kerajaan Persekutuan yang telah mengumumkan pada pembentangan bajet 2012 baru-baru ini iaitu separuh gaji atau minima RM500 bagi semua penjawat awam.
"Alhamdulillah, sekalipun dikatakan orang kantung negeri Kelantan selama ini kempis, namun kita tetap mampu memberikan penghargaan dalam bentuk bonus kepada kakitangan," ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika membentang Belanjawan 2012 pada persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini. Teks beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa.
Menurut beliau lagi, kerajaan sentiasa menghargai jasa kakitangan di sektor awam dan pentadbiran dan kerajaan akan sentiasa memastikan kebajikan kakitangannya diambil berat.
"Saya juga ingin merakamkan tahniah kepada jentera pentadbiran negeri kerana pada pertengahan tahun 2011 boleh dikatakan semua jabatan telah mengamalkan bacaan ayat suci Al-Quran dan terjemahan pada setiap pagi dan diharapkan dapat diteruskan pada sepanjang masa," katanya lagi.
Katanya, belanjawan yang bertemakan 'Kesejahteraan Bersama Keberkatan' itu, kerajaan berhasrat untuk berbelanja secara bijaksana dan berhemat dengan bermatlamatkan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Husam berkata, bajet itu menumpukan kepada tiga aspek utama iaitu penjanaan ekonomi untuk semua rakyat, pembinaan insan yang berteraskan Islam serta pembelaan golongan daif dan miskin, orang kurang upaya, anak yatim, armalah dan warga emas serta mereka yang memerlukan.

Berasaskan tema tersebut, ujarnya bajet negeri terus berpaksikan kepada strategi berikut iaitu memastikan hasil tunggakan keraajan negeri dapat dipungut dengan memantapkan jentera kutipan hasil, memberi fokus kepada aspek pembangunan negeri serta mengurangkan ketidakseimbangan sosio ekonomi terutamanya memastikan matlamat membasmikan kemiskinan tegar.

Begitu juga, ujarnya dengan memastikan perbelanjaan berhemah sepanjang masa, memastikan kesejahteraan rakyat dengan mengimbangi pembangunan fizikal dan rohani dalam kerangka pembangunan insan yang komprohensif, memastikan kemudahan infrastruktur diselenggara dengan baik dan mewujudkan urustadbir yang baik dengan berlandaskan ubudiyah, masuliyyah dan itqan.

"Bagi merialisasikan tema bajet ini, anggaran perbelanjaan mengurus tahun 2012 berjumlah RM513.49 juta berbanding RM464.13 juta dalam tahun 2011," ujar beliau.

Sementara itu, katanya anggaran pendapatan negeri bagi tahun 2012 ialah RM430.27 juta yang meliputi hasil cukai sebanyak RM88.49 juta, hasil bukan cukai RM196.24 juta, sementara terimaan bukan hasil sebanyak RM145.54 juta.

Menurutnya, jumlah tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan dalam hasil sebanyak RM19.38 juta atau 5 peratus berbanding dengan anggaran hasil 2011.

Menurut Husam lagi, peningkata hasil itu adalah berpunca dari beberapa penyemakan semula hasi yang dibuat oleh jabatan dan hasil tanah menjadi penyumbang terbesar dengan jumlah RM109.46 juta atau 25.44 peratus dari keseluruhan jumlah hasil.
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates