Pengerusi DAP Sarawak calon PR di Sibu

Pengerusi DAP Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Assek, Wong Ho Leng, 50, diumumkan sebagai calon DAP mewakili Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu.

Pengumuman rasmi calon DAP itu dilakukan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, pada majlis makan malam di Good Happiness Restaurant di sini, malam tadi.

BN pula menamakan sepupu mendiang Datuk Robert Lau sebagai calon iaitu Robert Lau Hui Yew, 45, yang juga dikenali sebagai Robert Lau Jr.

Dalam pilihan raya umum 2008, Wong (gambar) dan calon PKR Lim Chun Chung tewas kepada calon BN, Datuk Robert Lau Hoi Chew dengan majoriti 3,549 undi. Kini hanya calon DAP sahaja yang akan mewakili Pakatan melawan BN.

Kerusi parlimen Sibu kini kosong ekoran kematian penyandangnya Robert akibat barah pada 9 April lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada 8 Mei dan pengundian pada 16 Mei.

Sibu mempunyai 54,695 pengundi berdaftar termasuk 2,537 undi pos.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, BN menghadapi laluan sukar untuk mengekalkan kerusi Sibu selepas keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor yang memperlihatkan sokongan pengundi Cina yang kuat kepada Pakatan Rakyat. Lebih 70 peratus pengundi Cina Hulu Selangor memberikan undi kepada calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim. Sibu mempunyai 60 peratus pengundi Cina.

"Jika trend pengundi Cina di Semenanjung sama dengan Sarawak, BN akan hadapi laluan sukar di Sibu," kata Mustafa.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penyertai sebuah parti politik dari Sarawak iaitu Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) ke dalam Pakatan Rakyat menjadikan Pakatan kini mempunyai empat anggota iatu PAS, DAP, PKR dan kini Snap.

"Tugas pertama Snap adalah memastikan kemenangan calon DAP dari Pakatan Rakyat di Sibu," kata Anwar dalam satu sessi kempennya di Hulu Selangor.

Pengerusi SNAP kini ialah Edwin Dundang yang menyebabkan penyingkiran dari Barisan Nasional pada 2006 dan telah bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 2006 dengan tiket sebagai pembangkang.
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates