Mohamad Sabu didakwa, bebas dengan jaminan RM15,000

BUTTERWORTH, 21 Sept: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu didakwa di bawah Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini ekoran ucapannya mengenai Bukit Kepong.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam.
Pihak pendakwa meminta Mohamad dibebaskan dengan jaminan RM50,000 tetapi selepas dibantah peguam Mohamed Hanipa Maiden, mahkamah membebaskan Mohamad dengan jaminan RM15,000 sehingga perbicaraan.
Hakim Ikmal Hisham Ahmad Tajuddin menetapkan 27 Oktober ini sebutan semula kes sementara perbicaraan diadakan pada 5 hingga 9 Disember depan.
Selain Hanipa, Mohamad turut diwakili peguam Amiruddin Zulkifli manakala pihak pendakwaan terdiri daripada Mohd Hanafiah Zakaria, Ishak Mohd Yusof dan Suhaimi Ibrahim.
Jika bersalah Mohamad menghadapi kemungkinan dipenjarakan sehingga dua tahun, atau didenda atau kedua-duanya sekali.
Malam tadi, beliau dibawa ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub, berkata Mohamad ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dari Kuala Lumpur pada jam 7.30 petang tadi dan dibawa ke IPK Pulau Pinang.
Mohamad tiba di IPK Pulau Pinang pada 8.30 malam dan dilihat meninggalkannya ibu pejabat polis itu pada 9.05 malam selepas keterangan beliau diambil.
Menurut Ayub, pemimpin PAS itu akan didakwa berikutan terdapat lebih 1,000 laporan dibuat terhadapnya berikutan ucapan kontroversialnya pada sebuah ceramah di Tasek Gelugor pada 19 Ogos lalu.
"Laporan dibuat oleh waris polis yang kecewa dengan kenyataan Mat Sabu,” katanya pada sidang media di Georgetown.
“Saya gesa semua pihak supaya bertenang agar proses undang-undang dapat dijalankan,” katanya.
Sebelum itu, peguam pemimpin PAS itu, Mohamed Hanipa Maidin berkata, anak guamnya dimaklumkan pihak polis bahawa beliau akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini.
Pelbagai pihak membuat bantahan terhadap dakwaan ini dan menyifatkan ianya sebagai penyalahgunaan undang-undang oleh pihak berkuasa.
Datuk Mahfuz Omar berkata, jika berdasarkan kenyataan yang mengguriskan hati, kenyataan beberapa profesor yang mengatakan negara ini tidak pernah dijajah juga wajar diambil tindakan.

Zaman pemimpin negara serba tahu sudah berlalu

KUALA LUMPUR, 21 Sept: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, sebarang pembaharuan yang hendak dilakukan oleh Perdana Menteri memerlukan usaha bersama antara kabinet mahupun secara memorandum kepada rakyat di luar dan bukannya secara kuasa peribadi.
"Sebarang bentuk pembaharuan yang ingin dilakukan oleh mempunyai muafakat bersama antara kabinet dalaman mahupun pendapat rakyat dan cara sedemikian dilihat akan menghasilkan satu pembaharuan yang lebih baik.
"Perdana Menteri tidak boleh merasakan apa idea yang dikeluarkan untuk suatu pembaharuan adalah yang terbaik, malah kenyataan Pak Lah kerana beliau tidak bertegas dan mahukan Najib lebih bertegas adalah tidak tepat.
"Zaman ketua mahupun pemimpin negara serba tahu sudah berlalu dan dalam keadaan sekarang sebarang bentuk pembaharuan perlu wujudkan satu komuniti yang melibatkan rakyat kerana hasil pembaharuan melalui perbincangan komuniti lebih berkesan daripada idea dari seorang pemimpin dan inilah yang terbaik untuk negara kita," jelasnya ketika dihubungi.
Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi (Pak Lah) dalam kenyataannya semalam mengharapkan tidak akan ada pihak dalaman yang akan menentang secara senyap seperti ‘gunting dalam lipatan’ dalam sebarang usaha pembaharuan yang akan dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh beliau apabila melihat kembali zaman pemerintahannya bahawa sebarang pembaharuan yang ingin beliau lakukan sentiasa ada pihak yang cuba menentang serta menggagalkan usaha beliau itu.
Malah beliau mahukan Najib akan lebih bertegas dengan rancangan-rancangan pembaharuannya sekiranya beliau jelas dengan apa yang dimahukannya.
Tambahnya lagi, sudah menjadi lumrah dalam budaya Umno bahawa idea yang dikeluarkan oleh seorang pemimpin adalah yang terbaik sedangkan mereka tidak tahu hakikat sebenar idea yang diutarakan oleh mereka.
Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena turut mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz bahawa pentadbiran Najib Razak sangat jelas mengenai agenda pembaharuan yang hendak dibawa termasuk kajian semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang bakal dimansuhkan berbanding di bawah pentadbiran Abdullah.
"Saya tidak pasti kenapa perkara tersebut diluahkan oleh Pak Lah sekarang, mungkin beliau kecil hati dengan segala tohmahan dan juga tekanan yang dihadapi olehnya.
"Mungkin ini masa untuk beliau menyatakan bahawa selama ini memang wujud individu seperti "gunting dalam lipatan" yang telah menggagalkan pentadbirannya sehingga berlaku peralihan kuasa. Seperti mana yang kita tahu tekanan yang dilakukan oleh Tun Mahathir Mohamed sebelum ini.
"Malah apa yang disuarakan oleh Mahathir itu sentiasa berjaya dan ada pihak dalaman Umno mahupun kabinet terpengaruh dan ini juga mula dihadapi oleh pemerintahan Najib yang mana Mahathir mula menyatakan pentadbiran Najib tidak akan memberi kemenangan kepada Umno pada pilihan raya nanti.
"Tapi kita jangan lupa selain Mahathir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga pernah terlibat sama menjatuhkan Pak Lah dulu dan ini jelas pada kenyataan yang dikeluarkan oleh Muhyiddin di Singapura yang mahukan Pak Lah meletak jawatan lebih awal.
"Adalah tidak mustahil Muhyiddin sekali lagi bekerjasama dengan Mahathir mendesak agar Najib meletak jawatan dengan alasan mengembalikan kembali sokongan rakyat kepada Umno terutamanya Barisan Nasioanal pada pilihan raya nanti," sambungnya lagi.
Dalam kenyataan Abdullah di Kota Bharu semalam, beliau amat jelas dengan rancangan-rancangan pembaharuan yang hendak dibawanya semasa memegang jawatan Perdana Menteri.
Malah menyifatkan sudah tentu apabila seseorang pemimpin berhasrat membawa pembaharuan, pasti ada kumpulan yang menyokong dan ada juga kumpulan yang menentang.
Bagaimanapun sekiranya pemimpin itu jelas dan tegas, bahawa apa yang hendak dilakukannya adalah sesuatu yang betul, beliau perlu berusaha melaksanakannya.

Dakwaan ini seronok dan menarik - Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR, 21 Sept: Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu yang didakwa hari ini ekoran ucapannya mengenai Bukit Kepong menyifatkan kesnya sebagai 'seronok dan menarik'.

"Ini kes mengenai sejarah, tunggulah nanti. Kes ini akan jadi seronok dan menarik," katanya.

(Mohamad Sabu dan peguamnya, Mohamed Hanipa Maiden)
Beliau juga menyifatkan tindakan menyelesaikan perbezaan pandangan mengenai sejarah di dalam mahkamah adalah sesuatu yang kelakar.

"Kes ini adalah mengenai interpretasi sejarah dan sepatutnya diselesaikan melalui dialog dan debat, bukannya di mahkamah," katanya yang kelihatan bersemangat tinggi menghadapi dakwaan ke atasnya.
Beliau juga menyifatkan dakwaan ini sebagai usaha untuk menghentikan rakyat dari membincangkan fakta sejarah yang telah diselewengkan atas kepentingan Umno.

Mengulas dakwaan ke atas Mohamad itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan perkara itu sebagai "kartun, kelakar, tak wajar".

"Pendakwaan itu berlaku dua tiga hari selepas (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) mendakwa hendak menjadikan Malaysia demokrasi terbaik.

"Pendakwaan ke atas Mohamad itu menjadikan Najib antara perdana menteri paling haprak dalam sejarah dunia kerana bercakap lain, buat lain," katanya.

Menurut Mahfuz, ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyifatkan Abdullah suka berbohong (developed a habit of lying).

"Waktu itu Dr Mahathir mendakwa, Abdullah membuat kenyataan-kenyataan yang sebenarnya bohong.

"Hari ini, nampaknya Najib lebih teruk dari Abdullah. Hampir setiap kali dia bercakap, selepas itu hampir serta merta cakapnya langsung tak boleh dipercayai apabila apa yang berlaku bertentangan sama sekali dengan apa yang dia bising-bisingkan terutama apa yang didakwanya sebagai 1Malaysia.

"Cakap tentang demokrasi terbaik, tetapi kerana pandangan yang berbeza pun diheret ke mahkamah," katanya.

Mahfuz juga mempersoalkan tindakan berpilih kerajaan Najib.

"Orang-orang yang menghina pejuang kemerdekaan yang menentang penjajah dengan mendajwa kononnya negara ini tidak pernah dijajah tidak pula diambil tindakan.

"Kenyataan seperti hakikatnya adalah persendaan yang sangat sadis terhadap pejuang kemerdekaan yang menentang penjajah," katanya.

Sebelum ini, blogger ahli Umno, Dato' Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz berkata, jika negara ini tidak dijajah, negeri-negeri Melayu waktu itu semuanya adalah negeri-negeri berdaulat, maka semua mereka yang berkhidmat dan bermatian untuk negeri-negeri tersebut adalah pendukung negeri-negeri yang berdaulat.

Mereka, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Manis dalam kawasan Parlimen Pekan itu, adalah "loyal subjects" dan sesiapa yang membunuh "loyal subjects" adalah pengkhianat.

"Maka demikian, celaka sungguhlah Umno. Tok nenek saya dari Tembeling dan Tebing TInggi yang bertombak dan berlembing melawan Inggeris semua adalah pengkhianat rupa-rupa nya.

"Mat Kilau, Mat Kelubi, Bahaman, Tok Gajah, Tok Janggut, Pa Andak Endut dan Maharajalela semua adalalah pengkhianat?" Mohd Ariff mempersoalkan dalam blognya, http://sakmongkol.blogspot.com.

Mohamad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas dakwaan mengeluarkan kenyataan yang memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, pada 21 Ogos lalu.

Beliau yang didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan mengaku tidak bersalah.

Selain itu, beliau turut berdepan dengan pertuduhan pilihan mengikut seksyen sama dengan dakwaan memfitnah tiga anggota polis yang mempertahankan diri dalam serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950.

Pihak pendakwa meminta jaminan RM50,000 dikenakan ke atas Mohamad tetapi selepas dibantah peguam Mohamed Hanipa Maiden, mahkamah membebaskannya dengan jaminan RM15,000 sehingga hari perbicaraan.

Jika bersalah, Mohamad menghadapi kemungkinan dipenjarakan sehingga dua tahun, atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin kemudiannya menetapkan sebutan kes paad 27 Oktober dan perbicaraan daripada 5 Disember hingga 9 Disember.

Tutup Kem Kamunting kalau BN ikhlas

KUALA LUMPUR, 21 Sept: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak merasakan tindakan Kerajaan Pusat memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini yang turut diulas oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai bertepatan perlu juga mengambil tindakan yang sama secara ikhlas dengan mencadangkan kepada Kerajaan Pusat agar menutup Kem Tahanan ISA Kemunting (Kemta) di Taiping.
“Kami merasakan sudah tiba masanya, Kerajaan Negeri Perak yang mana terletaknya Kemta agar menutup kem tersebut jika benar-benar ikhlas bahawa kekejaman yang sepanjang ini berlaku atas nama ISA turut lenyap jika Kemta ini turut ditutup,” kata Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Katanya, jika Zambry langsung tidak mengambil tindakan seterusnya, bayangan akta yang sama zalim masih jelas akan di teruskan oleh Kerajaan Pusat pimpinan Umno BN.
Justeru, ujarnya Pemuda PAS negeri menunggu tindakan ikhlas Zambry jika benar BN mendengar tuntutan rakyat dan berkeyakinan bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan turut menutup Kemta jika BN masih gagal bertindak menutupnya.
“Kami merasakan ramai pemerhati antarabangsa melihat Kemta adalah satu kawasan hitam yang perlu kita sebagai rakyat Perak bersihkan jika BN masih mengekalkan Kemta di Perak,” ujarnya.

Mohon maaf: Pemuda PAS puji keberanian Zizan

KUALA LUMPUR, 21 Sept: Dewan Pemuda PAS Pusat mengucapkan tahniah kepada pelakon dan pelawak Mohd Razizan bin Abd Razak kerana berani mengakui kesilapan dan telah memohon maaf.
Ianya berhubung satu babak beliau dalam filem Hantu Boceng yang jelas menghina Rasulullah.
Mohd Razizan atau lebih dikenali sebagai Zizan dalam babak tersebut menyebut dialog "asyhadu anna Muhammadar... syaitan" (aku naik saksi bahawa Muhammad itu syaitan), sekaligus mengundang kontroversi.
Bagaimanapun Zizan dilaporkan telah membuat permohonan maaf secara terbuka selepas Dewan Pemuda PAS pusat dan beberapa pihak lain mengecam tindakannya itu yang dilihat keterlaluan.
"Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia sekali lagi mengucapkan tahniah atas keberanian saudara Zizan memohon maaf, semoga ianya benar, ikhlas dan tidak mengulanginya di masa hadapan," kata ketuanya, Nasrudin Hassan.
Menyatakan pendirian terhadap kegiatan seni, Nasrudin berkata Dewan Pemuda PAS  sentiasa menyokong kerjaya seni dan budaya dalam negara kerana Islam tidak pernah menghalang ummatnya berkarya.
Namun Islam ujarnya mempunyai garis panduan yang jelas untuk dipatuhi agar seni dan budaya menghidupkan jiwa dan menyegarkan minda bukan mematikan hati, merosakkan akhlak dan meruntuhkan moral.
"Kata Para hukama' : Tidak hilang bisa dek kerana memohon maaf diatas kesilapan atau kesalahan yang dilakukan. Sebaliknya diri dilihat bermaruah dan dihormati.
"Mudah - mudahan ia menjadi pengajaran berguna kepada Zizan dan kepada semua termasuk para penonton dan juga artis - artis yang lain agar lebih berhati - hati  di pentas lakonan atau di layar perak agar tidak mencetus kekeliruan yang boleh membuka pintu fitnah dan dilihat mempersendakan agama Islam yang suci ini," katanya.

Mansuh ISA: Rakyat masih keliru

KUALA LUMPUR, 20 Sept: Seluruh rakyat negara ini masih lagi samar-samar malah tidak tahu dengan perkembangan sebenar pemansuhan akta ISA, apabila ia diumumkan akan digantikan dengan dua akta lain.

Lebih mengelirukan orang ramai, apabila dua akta yang akan menggantikan ISA itu tetap mempunyai semangat yang sama dengan ISA, walaupun pihak kerajaan mengatakan jauh berbeza dengan ISA.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Perdana Menteri tidak sepatutnya berlakon dengan rakyat mengenai tindakannnya memansuhkan ISA yang dikatakan untuk tujuan tranformasi politik di tanah air.

Menurut beliau, pemansuhan ISA tidak mempunyai sebarang makna kepada rakyat sekiranya akta yang menggantikannya mempunyai prinsip dan ciri-ciri yang sama dengannya.

Katanya, Perdana Menteri, para pemimpin Umno dan BN perlu sedar, penentangan Pakatan Rakyat dan orang ramai terhadap ISA bukanlah kerana akta itu, tetapi ketidakadilan prinsipnya.

"PAS dan Pakatan Rakyat tidak menentang hukuman ke atas orang yang mengganggu gugat negara dan mengancam keselamatan negara.

"Tetapi yang kami tentang adalah prinsip atau ciri-ciri akta ISA itu dan sebarang undang-undang yang memberikan kuasa penuh kepada Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Yang kami tentang adalah undang-undang yang menahan seseorang tanpa bicara. Sebaliknya yang kita persetujui adalah undang-undang yang mengenakan hukuman terhadap seseorang setelah dibawa ke muka pengadilan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap agar Perdana Menteri dan Kerajaan BN bertindak lebih bijak dan jujur berhubung dengan tindakannya memansuhkan akta ISA seperti yang diumumkan pada malam sambutan Hari Malaysia 16 September lalu.

Menurutnya, undang-undang yang diperlukan dan diharapkan oleh PAS, Pakatan Rakyat dan orang ramai bagi menggantikan akta ISA, selain bebas dari penguasaan penuh Menteri Dalam Negeri dan penahanan tanpa pembicaraan, mestilah mempunyai tiga unsur.

Usur pertama, jelas beliau, mestilah disabitkan oleh mahkamah. Unsur kedua, tidak ada unsur memberikan kuasa begitu besar kepada pihak polis seperti boleh menahan seseorang terlalu lama sehingga 60 hari khususnya bagi tempoh waktu siasatan.

"Manakala unsur ketiga pula, prosedur-prosedur kuasa polis yang ada mestilah akses kepada peguam," katanya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

Dengan adanya unsur-unsur yang dinyatakan itu, tegas beliau, barulah undang-undang yang menggantikan akta ISA itu boleh diterima oleh Pakatan Rakyat, berbanding ISA yang jelas digunakan untuk menyelamatkan politik Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan BN.

ISA: Najib mahu tunjukkan dia bos

KUALA LUMPUR, 20 Sept: Datuk Seri Najib Razak dipercayai cuba menunjukkan kepada Umno dan Kabinet Malaysia bahawa dia adalah bos ketika mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini.

Ini kerana, reaksi dari pihak Umno dan Kabinet mengesahkan dakwaan bahawa mereka tidak dirujuk dan perbincangan serta keputusan dibuat oleh beberapa 'inner circle'(kumpulan terdekat).

Demikian analisa yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Dzulkefly Ahmad yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor.

"Bagi saya, dia membuat pengumuman ini atas keputusan dirinya sendiri dan para penasihatnya sahaja bukan berbincang dengan rakan-rakan beliau bahkan mungkin menganggap timbalannya, Tan Sri Muhyidin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin adalah liabliti dalam beberepa insiden mutakhir," kata beliau.


Menurut Dr Dzulkefly, nampak ketara sangat perbezaan itu sebaik sahaja ia dikemukakan oleh Najib ketika memberikan ucapan menjelang Hari Malaysia malam 16 September lepas.

"Timbalan beliau sendiri, Tan Sri Muhyidin hanya memberikan sokongan selepas dua hari ia dibentang Najib...nampak ada yang tak kena kerana terlalu lambat menyatakan sokongan kepada bos," kata beliau kepada Harakahdaily.


Hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein mengakui, Umno terpaksa memberikan penerangan kepada semua ahli-ahlinya bagi menerangkan pemansuhan ini.

Pengumuman Najib menghapuskan ISA juga dilihat mendapat tentangan dari Umno dan juga sayap kanannya, Perkasa.

Bagi Dr Dzulkefly, apa yang dibuat oleh Najib adalah cubaan untuk pergi 'ke tengah' bagi mendapat kembali sokongan Cina dan India selepas kajian menunjukkan sokongan terhadap beliau merudum teruk dari 72 peratus kepada 59 peratus baru-baru ini.

Namun, kata beliau, dia dihalang dan tidak dipersetujui oleh timbalan beliau sendiri, Muhyidin dan 'warlords' dalam Umno.

"Ketika Najib lancarkan 1 Malaysia, Muhyidin kata, dia Melayu dahulu baru Malaysia.

"Ketika dia mahu mengenepikan Dasar Ekonomi Baru (DEB), untuk digantikan dengan dasar yang lebih liberal dan tender terbuka, dia dimarahi lagi oleh Muhyidin dan juga bekas PM, Tun Dr Mahathir...sejak itu Model Ekonomi Baru (NEM) tenggelam dan NEAC pun dah dibubarkan.


"Ketika Najib memberikan kebenaran kepada Bersih 2.0 untuk berhimpun di Stadium, ia dibantah oleh Hishamudin sendiri dan akhirnya beliau dilihat sebagai pemimpin yang flip flop.

"Semua ini menunjukkan apa yang dibuat Najib tidak disepakati dalam Umno dan Kabinet tetapi dinasihatkan oleh penasihat beliau sahaja," kata Dr Dzulkefly (gambar) yang juga AJK PAS Pusat.

Sejak kebelakangan ini, kesangsian ini semakin ketara ekoran peranan yang terlalu besar yang dimainkan  oleh para penasihat dan konsultan Najib melalui Pemandu.

Pemandu pula dipimpin oleh dua Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Datuk Dr Koh Tsu Koon di samping nasihat dari penasihat luar termasuk Apco.

Di bawah mereka dan pegawai Tingkat 4, Jabatan Perdana Menterilah terletaknya para penasihat Oxbridge ini yang tidak sensitif dengan perjuangan Melayu yang dikepalai oleh Muhyidin dan di sokong kuat oleh Mahathir dan Perkasa.

Mereka telah mengenepikan peranan pegawai kanan kerajaan yang hampir kesemuanya berbangsa Melayu yang berperanan besar selama ini melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Perancangan dan Koordinasi (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

"Saya yakin, merekalah yang terlibat dalam perancangan untuk memansuhkan ISA kononnya untuk bergerak ke tengah dan menyebabkan Najib mengenepikan peranan rakan-rakannya dalam Umno dan Kabinet," Dr Dzulkefly memberikan analisanya.

Akibat dari pertentangan ini,  kata beliau, akan ada gangguan yang jelas dari segi pelaksanaan pemansuhan ini nanti dan jika tidak terkawal akta ganti yang bakal digubal nanti akan lebih zalim dari ISA.

"Dalam hal ini, Najib nampaknya nekad. Hishamudin sebelum itu berkata, ISA tidak akan dimansuh tetapi pinda sahaja. Muhyidin pula kata, ia tindakan yang betul selepas dua hari pengumuman. Mahathir pula kata, ISA tidaklah kejam sangat.

"Semacam kabinet pun tak tahu apa yang Najib umumkan itu," kata beliau.

Kini selepas pengumuman itu dibuat, Najib pula semacam tidak bersedia untuk menjadi negarawan apabila berkata, ia bukan kejayaan desakan rakyat tetapi kebaikan Barisan Nasional (BN) memahami rakyat sahaja.

"Beliau sebenarnya hanya mengambil kira kepentingan politik ketika membuat pengumuman ini bukannya mahu mengembangkan minda rakyat.

"Kalau dia pentingkan perkembangan minda rakyat, dia akan utamakan pemansuhan-pindaan ke atas Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Universiti dan kolej (AUKU), di samping ISA" kata Dr Dzulkefly lagi.

Beliau juga turut berkongsi kebimbangan dengan seorang pensyarah undang-undang bahawa pengumuman ini memberikan implikasi besar kepada pelaksanaan undang-undang di negara ini.

Apa pun cadangan ini mesti melepasi perbahasan di peringkat Dewan Rakyat dan Negara.

Yang penting kata beliau lagi, Najib telah  mendapat habuan politik sebelum PRU ke-13.

Tidak ada jaminan bahawa dia tak akan flip-flop lagi walaupun dia berjaya membuktikan bahawa dialah bos hari ini, tegas beliau.

Dalam hati saya hanya ada PAS - Hassan Ali

KUALA LUMPUR, 19 Sept: AJK PAS Pusat yang juga Exco Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menyatakan beliau tetap akan bersama PAS dan tidak berminat untuk menyertai Umno.

Beliau berkata, tiada sebab untuk beliau menyertai Umno yang disifatkannya sedang "nazak dan hampir karam".

"Dalam hati saya hanya ada perjuangan Islam (PAS), bukan Umno.

“Untuk apa saya buat begitu (masuk Umno) sedangkan Umno dalam keadaan nazak, jentera dan kapalnya semua hampir tenggelam," katanya tegas.

Beliau berkata demikian sebagai menafikan spekulasi yang ditimbulkan dalam blog bahawa beliau akan meninggalkan PAS dan menyertai Umno dalam masa terdekat.

Menurut beliau yang menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah jahat terhadap dirinya, PAS tetap pilihannya kerana beliau yakin dengan perjuangan PAS kerana dasar perjuangan Islam parti itu yang berpandukan berpandukan Al-Quran dan Al-sunah, Ijma' Ulama dan Qias.

"Semenjak cerita bohong ini disebarkan dalam blog dan laman sesawang facebook saya telah menerima 15 panggilan telefon dan 25 SMS megenai hal tersebut.

"Semua buang masa, dan lebih baik saya beri tumpuan dengan kerja pentadbiran kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat (PR) untuk pertingkatkan ekonomi negeri Selangor, " katanya lagi.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Gombak semalam.

Turut hadir bersama Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang Shari Sungib, pimpinan Pakataran Rakyat Selangor dan AJK Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor.

Sementara itu beliau sekali lagi turut menafikan dakwaan bahawa ada berjumpa dengan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk menyatakan hasrat menyertai Umno.

"Saya harap  provokasi murahan yang dilemparkan terhadap saya dapat menenangkan semua rakyat. Yakinlah saya tetap dengan perjuangan PAS dan terus berada dalam kerajaan Pakatan Rakyat sehingga akhirnya bagi menentang kezaliman Umno BN," tegasnya.

Jangan niat buat kerja untuk jadi calon p'raya

MARANG, 19 Sept: Ahli PAS di segenap peringkat diingatkan agar tidak menjadikan habuan dunia sebagai matlamat perjuangan.
Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Tuan Guru Datuk Harun Taib berkata, ianya termasuk berkerja semata-mata untuk menjadi calon dalam pilihanraya.
“Kita dalam PAS ini kena berjuang kerana Allah SWT dan bukan kerana hendak jadi calon.
"Kita kena sanggup berkorban dengan apa sahaja baik dalam keadaan murah atau mahal,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ijtima’ Pilihan Raya PAS Kawasan Marang, di Masjid Rusila, baru-baru ini.
Berucap lanjut beliau berkata, setiap ahli PAS perlu sentiasa memperbetul niat dan mentapkan pendirian dalam perjuangan Islam.
Apa yang lebih penting katanya adalah usaha memenangkan perjuangan Islam berbanding matlamat bersifat peribadi.
“Dalam kita (PAS) menghadapi musuh, musuh pilihan raya kita, musuh politik kita dan musuh dalam perjuangan kita ini, kita kena tetap pendirian dalam apa keadaan sekali pun menghadapi perjuangan.
“Kena ingat kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya. Selain itu, kerja dengan cara berorganisasi yang tersusun akan membantu mempercepatkan kemenangan PAS,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut mengingatkan bahawa musuh-musuh Islam pada waktu ini lebih ramai dan ‘senjata’ mereka lebih canggih.
Tetapi, katanya musuh-musuh Islam banyak melakukan maksiat serta kezaliman yang tidak wajar dilakukan oleh pejuang Islam.
“Musuh lebih ramai dari kita, ‘senjata’ (propaganda) musuh lebih canggih dari kita tetapi musuh melakukan maksiat.
“Kita (PAS) jangan melakukan maksiat seperti musuh. Jangan langgar perintah Allah SWT khususnya dalam menghadapi musuh,” ujarnya.
Hadir sama pada majlis tersebut Yang Dipertua PAS Marang, Yahaya Ali, Timbalan Yang Dipertua PAS Marang, Ahmad Ma’aruf Ismail dan Setiausaha PAS Marang, Hasan Jusoh.

MAJLIS MKN MLM PAS KWSN MACHANG BRSMA TGNA ,MENTERI BESAR KLTN.









'Sebelah tangan suap, sebelah lagi pukul'

KUALA LUMPUR, 18 Sept: Jangan hanya janji mahu kaji Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, tetapi luluskan segera permit Suara Keadilan, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
"Tak perlulah (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) menambahkan lagi koleksi janjinya, banyak yang tidak ditunaikan.
"Jangan hanya janji nak kaji Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, tapi pada masa yang sama terus menyekat permit Suara Keadilan," katanya.
Mohamad melihat janji Najib itu tidak ubah seperti "sebelah tangan seolah-olah mahu menyuap makanan tetapi sebelah tangan lagi terus memukul kepala kita dengan kayu".
"Najib kata mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik, tetapi kebebasan bersuara terus ditahan hanya kerana ideologi politik.
"Permohonan PAS untuk menerbitkan akhbar harian ditolak, pihak pembangkang tidak diberikan peluang dan liputan yang sama dalam media milik rakyat seperti RTM," katanya ketika diminta memberikan ulasan lanjut kepada pengumuman Perdana Menteri dalam perutusan khas Hari Malaysia.
Antara lain, Najib berjanji akan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, Akta Buang Negeri 1959 dan mengkaji beberapa undang-undang seperti Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Dalam reaksi awalnya kepada janji-janji Najib itu, Mohamad berharap peruntukan dalam akta baru bagi menggantikan ISA tidak menyerupai akta tersebut.
"Kita tidak mahu pengumuman penghapusan ISA ini sebagai gimik pilihan raya tetapi ia benar-benar diusahakan kerana ia adalah tuntutan sebahagian besar rakyat di negara ini," katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu Jumaat lalu.
Ketika ditanya adakah rakyat perlu berterima kasih dengan pemansuhan ISA, Mohamad berkata, yang penting untuk dipersoalkan ialah mengapa akta yang telah menzalimi banyak pihak itu disalahgunakan?
"Samalah apabila kita dibebaskan selepas ditahan di bawah ISA, tidak relevan pertanyaan adakah kita hendak berterima kasih atau tidak, yang perlu dipersoalkan ialah kenapa tangkap kita di bawah ISA, kenapa zalimi kita?" kata beliau.
Beliau mengingatkan supaya jangan berlebihan menyambut janji-janji Najib itu.
"Tengok dulu adakah akta yang menggantikan ISA itu. Adakah ia zalim seperti ISA juga? Adakah ia boleh disalahgunakan untuk menzalimi aktivis parti pembangkang?" katanya.

Halang bercakap agama tak masul akal

KLANG, 18 Sept: "Menghalang ahli politik ataupun mereka yang dipilih oleh rakyat bercakap dan menyampaikan maklumat tentang agama adalah satu perkara yang tidak masuk akal, malah saya tidak setuju langsung," jelas Ahli Dewan Undangan Negeri Meru (Adun), Dr Abd Rani Othman.
Beliau yang telah ditarik balik tauliah mengajar oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebelum ini menyuarakan ketidakpuashatiannya terhadap Jais kerana ingin menyekat aktiviti dakwa di kalangan pemimpin dari PAS.
"Pentauliahan ini diwujudkan adalah kerana ini mengelak daripada berlakunya penyebaran ajaran sesat oleh mereka yang kita tidak kenali tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya.
"Kita melihat ramai ahli politik yang mempunyai sijil-sijil agama yang diiktiraf sama ada di dalam mahupun di luar negara dan kebanyakan darinya telah mendapat pengiktirafan dari Arab dan juga Mesir.
"Jadi isu ajaran sesat tidak timbul, malah menghalang mereka-mereka ini dari menyampaikan sesuatu kebaikan adalah bertentangan dengan apa yang Islam kehendaki," jelasnya.
Dr Rani memberitahu sebelum ini pemimpin Umno bebas melakukan apa sahaja termasuk menyampaikan dakwah di surau-surau mahupun masjid.
"Kalau dulu pemimpin-pemimpin Umno bebas melakukan apa saja yang mereka mahu termasuk menyampaikan tazkirah di dalam surau mahupun masjid malah bermacam-macam perkara mereka lakukan.
"Sepanjang itu jugalah kita melihat tidak pernah ada pentaulihan diberikan malah JAIS hanya berdiam diri dan yang paling mendukacitakan Jais juga turun sama dalam program yang dianjurkan oleh Umno itu.
"Dulu tak pernah wujud seperti ini tetapi sekarang macam-macam halangan ada. Kita tidak bebas lagi hendak menyampaikan dakwah malah setiap pergerakan kita dipantau," sambungnya lagi.
Tambah beliau lagi, walaupun tauliahnya telah ditarik balik aktiviti dakwahnya tetap diteruskan.
"Saya akan tetap berdakwah walaupun tidak diberi tauliah oleh Jais, jika sebelum saya menjadi Adun saya bebas melakukan dakwah atas sebab apa saya hendak hentikannya.
"Jika ada pihak mengatakan isi penyampaian dakwah saya ada yang salah sila buktikan kesalahan itu dan setiap tuduhan perlu ada bukti yang kukuh bukannya sekadar cakap kosong," katanya lagi.
Beliau yang telah menyampaikan Khutbah Jumaat di Surau Nurus Saadah Taman Meru 4 kelmarin, memberitahu apa yang beliau sampaikan dalam khutbah adalah mengikut teks yang telah diberikan oleh Jais tanpa ada sebarang penambahan mahupun kekurang.
"Jika membaca teks yang diberi oleh Jais sewaktu khutbah juga dianggap salah, ini adalah satu tindakan yang keterlaluan serta tidak bertanggungjawab jika ini berlaku jelas wujud tangan ghaib yang ingin menghalang kita dari Pakatan Rakyat terutamanya PAS mendekati rakyat melalui dakwah di setiap surau dan masjid," tegas beliau lagi.

Selamat tinggal ISA, selamat datang GST

KUALA LUMPUR, 18 Sept: Pemaksaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hanya boleh dielakkan dengan menolak Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"(Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) telah memberi isyarat yang jelas bahawa GST akan dipaksakan ke atas rakyat selepas pilihan raya akan datang, maksudnya selepas BN menang dalam pilihan raya akan datang.
"Dengan sendirinya ia memberi mesej yang jelas kepada rakyat supaya menolak BN habis-habisan dalam pilihan raya akan datang jika mereka tidak mahu GST dipaksakan ke atas mereka," katanya.
Baru-baru ini, Perdana Menteri berkata: "Persoalannya ialah masa. Saya berpendapat apabila tiba masanya, dalam masa terdekat... kemungkinan selepas pilihan raya akan datang, kami akan memperkenalkan GST".
Mahfuz menyifatkan tindakan memaksakan GST ke atas rakyat itu sebagai gambaran jelas sikap tidak bertanggungjawab kerajaan BN.
"Dari dulu lagi, asal menghadapi masalah, simpanan rakyat seperti di dalam KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dikerjakan oleh kerajaan BN.
"Sekarang, zaman pemerintahan Najib, lebih teruk lagi. Asal menghadapi masalah kewangan, rakyat hendak disiksa.
"Hendak rentap subsidi dari rakyat dengan alasan subsidi adalah candu kepada rakyat, hendak paksakan GST dan pelbagai tindakan lain menyiksa rakyat dengan memaksa mereka menanggung beban ketidakmampuan kerajaan BN yang sudah kehilangan akal untuk meningkatkan pendapatan negara," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Menurut Mahfuz, sebuah kerajaan yang bertanggungjawab sepatutnya mencari jalan untuk mengurangkan beban rakyat dan bukannya seperti kerajaan BN yang jelas begitu ketagih untuk menyiksa dan membebankan rakyat.
"Bila menghadapi masalah kewangan, langsung tidak terfikir untuk menghentikan sikap boros, menghentikan projek yang bukan-bukan seperti hendak membina bangunan 100 tingkat dengan membelasah hasil simpanan rakyat, menghentikan rasuah, melaksanakan tender terbuka dan pelbagai amalan yang boleh menjimat dan meningkatkan pendapatan negara.
"Yang kerajaan BN tahu hanyalah hendak menyiksa rakyat dengan memaksa rakyat mengeluarkan lebih banyak lagi wang dari poket mereka, tidak kiralah dengan merentap subsidi, memaksakan cukai seperti GST, menguatkuasakan pelbagai saman dan lain-lain tindakan yang tujuannya hanya satu, iaitu memeras wang rakyat dan meragut wang dari poket rakyat," katanya.
Menurut Mahfuz, tidak ada gunanya menggula-gulakan rakyat kononnya dengan mengajak mereka mengucapkan selamat tinggal kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tetapi pada masa yang sama memaksa mereka mengucapkan selamat datang kepada GST.

Mansuh ISA: Kerajaan perlu penuhi syarat ‘taubat’

KUALA LUMPUR, 18 Sept: Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Razali menegaskan bahawa kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Umno sekarang hendaklah memenuhi syarat ‘bertaubat’ sebelum ianya diterima.
Beliau menegaskan demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Malaysia dalam satu perutusan kelmarin yang mengambil keputusan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Malaysia.
“Kita mengalu-alukan tindakan tersebut tetapi kita juga mendesak tidak akan undang-undang yang baru pada masa yang akan datang yang mempunyai matlamat dan pendekatan yang sama diwujudkan untuk menggantikan ISA, jangan bertukar kulit sahaja tapi isi tetap serupa,” ulas beliau ketika dihubungi semalam.
Katanya, kerajaan Malaysia yang mengambil keputusan untuk memansuhkan ISA hendaklah memenuhi sekurang-kurangnya empat syarat ‘taubat’ sekiranya mahu membuktikan keikhlasan kerajaan.
Menurutnya, syarat taubat yang pertama ialah kerajaan hendaklah benar-benar menyesal terhadap segala dosa yang telah dilakukan sebelum ini khususnya terhadap mangsa-mangsa kezaliman ISA yang telah terseksa di atas kehilangan orang yang dikasihi di dalam kehidupan mereka, apatah lagi mereka ditahan tanpa sebarang perbicaraan yang adil.
Tambahnya, syarat taubat yang kedua ialah kerajaan hendaklah berazam dan bertekad tidak mengulangi kezaliman yang telah dilakukan sebelum ini.
Kata beliau, ianya bermaksud jangan ada lagi undang- undang yang menyerupainya ataupun hampir menyerupainya, juga bermaksud kerajaan juga wajib memansuhkan semua undang-undang yang menzalimi rakyat dan menyekat kebebasan rakyat.
Beliau berkata, syarat taubat yang ketiga ialah kerajaan hendaklah meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya terhadap para mangsa ISA yang menderita selama ini kerana kezaliman undang-undang tanpa bicara itu.
Syarat taubat keempat, ujarnya ialah mengembalikan hak kepada mereka yang berhak.
Ini, jelasnya bermaksud kerajaan wajib membebaskan seluruh tahanan ISA segera tanpa sebarang syarat.
Ini juga, katanya termasuk pampasan dan gantirugi yang sewajarnya hendaklah dibayar kepada para tahanan ISA sekiranya masih hidup atau kepada pihak waris sekiranya tahanan ISA itu telah meninggal dunia.
“Dan syarat yang paling penting walaupun ianya berkaitan dengan hati dan tidak dapat diukur dengan zahir, yang mana ianya telah diletakkan oleh para ulama ialah pemansuhan ISA ini mestilah dilakukan kerana ingin mencapai keredhaan Allah SWT dan bukannya kerana ingin memancing undi atau kepentingan politik singkat dan terdesak sahaja untuk mengekalkan undang-undang jahiliah yang bukan datang daripada Allah SWT, apatah lagi kita sedang berada di gerbang pilihanraya umum yang ke-13,” katanya.
Beliau menambah, sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas, bukan sahaja ISA yang dimansuhkan bahkan semua undang-undang yang zalim hendaklah dimansuhkan dan digantikan dengan keadilan Islam.

Jika Najib ikhlas, bebas atau dakwa tahanan ISA

KUALA LUMPUR, 17 Sept: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini digesa membebaskan semua tahanan ISA yang sedang ditahan di Penjara Kamunting sebagai langkah keikhlasan pertama ekoran pengumuman beliau untuk menghapusan akta tersebut.

“Jika tidak dapat dibebaskan dengan serta-merta pun, PAS menggesa agar tahanan tanpa bicara ini dapat dihadapkan ke mahkamah serta-merta supaya mereka dapat membela diri sekiranya kerajaan mendakwa mempunyai bukti kukuh bahawa mereka adalah golongan pengganas,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan beliau sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyatakan mereka yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan kekal dalam jagaan sehingga dua akta baru diluluskan.

Beliau turut menambah, tahanan yang sedia ada buat masa ini telah ditahan kerana disyaki mempunyai talian dengan rangkaian pengganas.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri berkata dua akta baru hanya akan dibentangkan di parlimen pada tahun depan.

“Amat dikesali kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang sekali lagi mengikut langkah melawan arus seperti dalam hal menangani perhimpunan Bersih 2.0 dengan mengumumkan bahawa tahanan ISA kini akan kekal ditahan sehingga dua akta baru menggantikan ISA disiapkan.

Dua akta itu pula hanya akan dibentangkan tahun depan mengikut kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz dan semua ini menambahkan perit kepada ahli keluarga tahanan ISA yang menaruh harapan tinggi sejak pengumuman Najib semalam,” bidas Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim berkata seharusnya Menteri Dalam Negeri bertindak lebih bijak dalam hal ini dengan membebaskan semua tahanan ISA secepat mungkin sebagai langkah keikhlasan dan demi membantu Najib mendapatkan kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat.

“…bahawa pengumuman melakukan reformasi untuk kebaikan negara bukanlah hangat-hangat tahi ayam seperti apa yang melanda siri reformasi ekonomi yang diwar-warkan beliau,” tambah beliau.

PAS, katanya yakin terdapat puluhan lagi yang ditahan dalam kem Kamunting sekarang dengan pelbagai tuduhan yang mungkin hanya berpunca daripada sangka buruk, dendam dan politik seperti yang berlaku pada 6 ahli PSM yang ditahan di bawah Ordinan Darurat baru-baru ini.

“Najib mesti memilih antara dua pilihan ini - sama ada mereka mesti dibebaskan atau dibicarakan,” tegas Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Di samping itu, PAS juga menuntut kerajaan memohon maaf kepada tahanan ISA yang ditahan tanpa bicara, ekoran Najib mengakui terdapat kepincangan dalam akta draconian tersebut sekiranya beliau betul-betul ikhlas dalam reformasi ini.

Beliau menasihatkan Najib supaya tidak cepat menolak tanggungjawab untuk memohon maaf kepada bapa-bapa negara yang lalu kerana mereka yang menggubal akta yang zalim ini.

Sebaliknya, kata beliau, Najib patut mewakili bapa-bapa negara yang lalu untuk memohon maaf kepada semua tahanan ISA kerana mereka adalah daripada rumpun yang sama iaitu Barisan Nasional.

“Sebagai tanda keikhlasan juga, kerajaan tidak boleh berlepas tangan begitu sahaja kerana mangsa kekejaman ISA terus tertekan samada dari sudut mental, fizikal maupun spiritual. Nama mereka mesti dibersihkan akibat akta zalim ini,” cadang beliau.

PM mansuh ISA di saat terdesak

MACHANG, 16 Sept: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai langkah di saat-saat terdesak.
“ISA sepatutnya dihapus sejak lama dulu dan bukan di saat-saat terdesak seperti sekarang. Zaman komunis sudah lama berlalu, lagi pun tidak ada lagi fahaman komunis kecuali sekular di Malaysia.
“Sejak dahulu ISA telah membuat jenayah kepada alim ulama di Kelantan. Sebab itulah saya menyertai PAS kerana melihat pengkhianatan Umno terhadap alim ulama.
“Ulama PAS dikenakan ISA sedangkan kita ada mahkamah, hakim dan peguam,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 dan Hari Malaysia di padang Majlis Daerah Machang di sini, hari ini.
Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Kelantan dan Hari Malaysia diserikan pelbagai persembahan antaranya kebudayaan melibatkan Melayu, India dan Cina.
Selain itu pertunjukan mempertahankan diri dan tempur tanpa senjata oleh Rejimen Askar Melayu Diraja yang memukau hadirin.
Perdana Menteri malam tadi mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Buang Negeri 1959 dalam ucapan perutusan khasnya sempena Hari Malaysia.
"Sepertimana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan perdana menteri pada 3 April 2009, ISA akan dikaji secara komprehensif.
"Suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus," kata Najib.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, apa tujuan diwujudkan sistem kehakiman kalau rakyat disekat membela diri daripada tuduhan tertentu.
“Alim ulamak adalah golongan yang mengajar supaya manusia taat kepada Allah dan meninggalkan perbuatan-perbuatan keji dilarang Islam,” tambah beliau.
Menurutnya juga Nabi Muhammad saw memerdekakan manusia daripada syaitan kepada mentaati Allah SWT seperti sering disebut dalam permulaan solat setiap hari.
Katanya, Nabi Muhammad saw ialah penganjur kemerdekaan yang sebenar di dunia, berjuang memerdekakan umat Islam daripada gangguan nafsu syaitan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob ketika berucap sebelum itu berkata, kedatangan Islam ke alam dunia membawa mesej dan sifat kemerdekaan bagi menyeru manusia membebaskan diri daripada belenggu jahiliah serta syirik.
“Konsep kemerdekaan komprehensif dilaksanakan di Kelantan melalui dasar ‘Membangun Bersama Islam’ iaitu mengemudi manusia ke arah pengabdian diri kepada Allah SWT,” katanya.
Beliau juga Pengerusi Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Kekantan dan Sambutan Hari Malaysia.
Sambutan kali ini disertai 75 kontinjen jabatan-jabatan negeri dan persekutuan, badan-badan beruniform dan sekolah.
Sementara itu kontinjen terbaik dimenangi Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar raya Islam (MPKB-BRI), naib johan UITM Machang, manakala tempat ketiga Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Nasuruddin Daud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Zainuddin Ibrahim anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan ketua-ketua jabatan.

Pilihan raya olok-olok Umno kurang sambutan

KOTA BHARU, 16 Sept: Ketika rakyat sibuk dengan sambutan Hari Malaysia, Umno Kota Bharu dan beberapa bahagian di sini kelam kabut pula mengadakan pilihan raya olok-olok.
Mereka menjadikan sekolah milik Jabatan Pelajaran sebagai markas pilihan raya.
Bendera Umno dan Barisan Nasional kelihatan dipasang di pagar sekolah antaranya Sekolah Menengah Sultan Ismail, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat, Sekolah Kebangsaan Bunut Payong dan Sekolah Menengah Zainab II.
Malah di sekitar Jalan Telipot tidak jauh dari Sekolah Menengah Sultan Ismail juga dipasang bendera dacing.
Namun sehingga jam 10 pagi tadi hanya kelihatan beberapa penyokong Umno yang datang mengundi di pusat pilihan raya olok-olok tersebut.
Paling ketara tiada sambutan di Sekolah Menengah Sultan Ismail Jalan Telipot. Begitu juga di Sekolah Menengah Kebangsaan Naim Lilbanat.
Ada beberapa penduduk yang keluar mengundi olok-olok itu kelihatan membawa pulang sesuatu sebagai buah tangan.
Namun menjadi mangsa kepada pilihan raya tersebut iaitu guru-guru Kafa yang mengajar di kelas fardhu ain.
Seorang daripada mereka yang diminta datang mengundi di sebuah sekolah di Pasir Tumbuh berkata, beliau terpaksa datang kerana Umno berkuasa ke atas nasib guru Kafa.
“Kami yang dipaksa datang tentunya tidak berani hendak undi selain lambang dacing.
”Tentunya petang nanti akan diumumkan BN menang 100 peratus kerana mereka yang datang mengundi puak-puak Umno dan guru-guru Kafa yang dipaksa,” ujarnya.
Ramai melihat program pilihan raya olok-olok atau sebelum ini dipanggil simulasi pilihan raya anjuran Umno tidak mendapat simpati masyarakat.
Malah ramai gelak memanjang dengan telatah Umno mengadakan pilihan raya olok-olok.
Sebelum ini menjelang pilihan raya umum 2008 pilihan raya olok-olok diadakan Umno di seluruh Kelantan.
Ketika itu bagi menarik ramai yang hadir diadakan cabutan nombor bertuah dengan hadiah termasuk basikal dan dibekalkan gula.
Seorang penduduk di Bunut Payong yang dikenali sebagai Mat Deris, 55 berkata, jenama Umno dan BN sudah tidak lagi disukai rakyat di sini.
”Biar pun pelbagai perubahan dilakukan bagi membersihkan imej parti itu, namun selagi pemimpin sama berada di atas Umno tidak mampu pergi lebih jauh dalam politik negara,” ujarnya.
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates