Mansuh ISA: Rakyat masih keliru

KUALA LUMPUR, 20 Sept: Seluruh rakyat negara ini masih lagi samar-samar malah tidak tahu dengan perkembangan sebenar pemansuhan akta ISA, apabila ia diumumkan akan digantikan dengan dua akta lain.

Lebih mengelirukan orang ramai, apabila dua akta yang akan menggantikan ISA itu tetap mempunyai semangat yang sama dengan ISA, walaupun pihak kerajaan mengatakan jauh berbeza dengan ISA.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Perdana Menteri tidak sepatutnya berlakon dengan rakyat mengenai tindakannnya memansuhkan ISA yang dikatakan untuk tujuan tranformasi politik di tanah air.

Menurut beliau, pemansuhan ISA tidak mempunyai sebarang makna kepada rakyat sekiranya akta yang menggantikannya mempunyai prinsip dan ciri-ciri yang sama dengannya.

Katanya, Perdana Menteri, para pemimpin Umno dan BN perlu sedar, penentangan Pakatan Rakyat dan orang ramai terhadap ISA bukanlah kerana akta itu, tetapi ketidakadilan prinsipnya.

"PAS dan Pakatan Rakyat tidak menentang hukuman ke atas orang yang mengganggu gugat negara dan mengancam keselamatan negara.

"Tetapi yang kami tentang adalah prinsip atau ciri-ciri akta ISA itu dan sebarang undang-undang yang memberikan kuasa penuh kepada Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Yang kami tentang adalah undang-undang yang menahan seseorang tanpa bicara. Sebaliknya yang kita persetujui adalah undang-undang yang mengenakan hukuman terhadap seseorang setelah dibawa ke muka pengadilan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap agar Perdana Menteri dan Kerajaan BN bertindak lebih bijak dan jujur berhubung dengan tindakannya memansuhkan akta ISA seperti yang diumumkan pada malam sambutan Hari Malaysia 16 September lalu.

Menurutnya, undang-undang yang diperlukan dan diharapkan oleh PAS, Pakatan Rakyat dan orang ramai bagi menggantikan akta ISA, selain bebas dari penguasaan penuh Menteri Dalam Negeri dan penahanan tanpa pembicaraan, mestilah mempunyai tiga unsur.

Usur pertama, jelas beliau, mestilah disabitkan oleh mahkamah. Unsur kedua, tidak ada unsur memberikan kuasa begitu besar kepada pihak polis seperti boleh menahan seseorang terlalu lama sehingga 60 hari khususnya bagi tempoh waktu siasatan.

"Manakala unsur ketiga pula, prosedur-prosedur kuasa polis yang ada mestilah akses kepada peguam," katanya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

Dengan adanya unsur-unsur yang dinyatakan itu, tegas beliau, barulah undang-undang yang menggantikan akta ISA itu boleh diterima oleh Pakatan Rakyat, berbanding ISA yang jelas digunakan untuk menyelamatkan politik Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan BN.

0 ulasan:

 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates