MEMBINA SYAKHSIYAH DA'IE


Kerja dakwah yang kita lakukan selama ini telah memiliki ahdaf (sasaran) yang jelas. Sesungguhnya kita menginginkan terbentuknya anggota dakwah yang memiliki syakhsiyah islamiyah dan syakhsiyah daiyah. Keperibadian muslim dan keperibadian seorang da’i. Kita tidak hanya ingin menghasilkan barisan yang hanya menikmati dakwah, tetapi yang kita inginkan adalah anggota yang mahu bergerak untuk dakwah. Sehingga semuanya harus diarahkan untuk tercapainya sasaran ini. Sebagaimana Allah swt berfirman,
“Dan tidaklah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (QS. Al-Anbiya: 107)
Syakhsiyah Da’iyah
Sejak awal dakwahnya, Rasulullah saw. selalu berpesan kepada orang-orang yang baru masuk Islam dan menerima berbagai ilmu dari baginda untuk mengajarkan dan menyampaikan ilmu itu kepada orang lain, terutama keluarga. “Sekarang pulanglah kamu ke kampungmu, dan ajarkanlah kepada mereka apa yang telah kamu peroleh dariku,” begitulah antara lain pesan yang disampaikan Rasulullah saw. kepada seseorang yang datang dari kampung yang jauh.

Dengan kata lain, tarbiyah mempunyai peranan untuk membentuk peribadi-peribadi yang siap dan mampu untuk mengembangkan risalah Nabi Muhammad saw. Peribadi-peribadi penyambung lidah dan langkah Rasulullah saw, yang disebut sebagai orang yang memiliki syakhsiyyah da’iyah (keperibadian da’i).
Secara garis besar, syakhsiyah da’iyah digambarkan di dalam Al-Quran dengan firman-Nya:
“Katakanlah: ‘Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik.” (QS. 12: 108)
Dari ayat di atas kita dapat mengambil pelajaran bahawa di antara sifat orang yang memiliki syakhsiyah da’iyah adalah:
Pertama, memiliki ruhul-‘izzah (semangat kewibawaan) untuk mengatakan ‘hadzihi sabili’ (inilah jalanku: Islam). Ia memiliki keyakinan dan kebanggaan akan Islam. Adalah mustahil apabila menjadi da’i Islam, namun masih beranggapan bahawa semua agama sama saja atau masih ada yang ragu akan kebenaran Islam. Apalagi bila ia lebih membela kepentingan orang-orang kafir berbanding kepentingan umat Islam, ini kerana dalam jiwa dan dalam pemikiran seorang da’i sentiasa termaktub akan firman-firman Allah seperti berikut:
“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang telah diberi Al-Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) diantara mereka, Barangsiapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah sesungguhnya Allah sangat cepat hisab-Nya.” (QS. 3: 19) 
“Barangsiapa mencari agama selain dari agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi”(QS. 3:85)
Kebanggaan akan Islam dalam berdakwah telah ditampilkan oleh salah seorang sahabat produk tarbiyah Rasulullah saw yang namanya Rab’i bin ‘Amir. Beliau diutus untuk memenuhi undangan Rustum, panglima perang Parsi. Dengan pakaian amat bersahaja dia datang menghadapi panglima perang yang penuh kemewahan dan dikelilingi oleh para pengawal yang penuh kecurigaan. Saat ditanya oleh Rustum tentang tujuan kedatangan kaum Muslimin, dengan penuh percaya diri, kebanggaan, dan keyakinan, sang perajurit dan da’i Islam itu menjawab,
“Kami diutus oleh Allah untuk mengeluarkan siapa saja yang mahu dari penghambaan terhadap sesama makhluk menuju pengabdian kepada Allah semata; dari sempitnya dunia menuju luasnya dunia dan akhirat; dari kezaliman agama-agama menuju keadilan Islam. Jadi Allah mengutus kami dengan membawa agama-Nya dan menyeru seluruh manusia untuk mengikutinya.”
Seorang da’i haruslah berangkat dari kebanggaan dan kecintaan akan Islam serta keberanian tampil untuk membawa segala identiti Islam. Apa pun yang terjadi, gelombang ujian dan fitnah apa pun yang menerpa diri sang da’i, dan betapapun julukan fundamentalis dilekatkan oleh Zionis dan kuncu-kuncunya kepada Islam, sang da’i akan sentiasa melafazkan hadzihi sabili inilah jalanku: Islam.
Kedua, aktiviti dakwah yang dilakukan oleh seorang da’i harus berkesinambungan (istimrariyah), tidak boleh separuh jalan dan terhenti oleh apa pun. Inilah yang dipesankan oleh kata “ad’u” dalam ayat di atas. Kata itu berbentuk fiil mudhari yakni kata kerja yang menunjukkan pekerjaan yang sedang dan akan berjalan terus.
Dakwah tidak boleh berhenti melaju di jalan kehidupan walaupun dengan cara merangkak bahkan tertiarap sekalipun. Dalam keadaan apa pun dakwah tidak boleh istirehat. Sebab istirehatnya dakwah sama dengan memberi peluang seluasnya kepada penghancuran sendi-sendi kehidupan umat manusia.
Dalam keadaan dakwah terus bergerak melancarkan berbagai program dan agendanya saja, berbagai penyimpangan, kejahatan, penentangan dan tipu muslihat akan terus dihadapi oleh barisan pekerja islam. Kusteru, setiap dai’e perlu berusaha kearah  meningkat kuantiti dan kualiti. Ini kerana sudah menjadi lumrah bahawa kekuatan kafir, munafik, atau orang-orang yang memperturutkan hawa nafsu tidak pernah berhenti bekerja.
3. Ramadhan sebagai Bulan Pembentukan Syakhsiyah Da’iyah
Bulan Ramadhan dengan segala aktiviti amal ibadah di dalamnya dapat memberikan spirit baru berupa kekuatan iman dan buah ketaqwaan. Keimanan dan ketakwaan inilah yang menjadi prinsip utama di dalam pembentukan syakhsiyah da’iyah.
Allah swt berfirman dalam surat Al-hadid ayat 28:
“Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, niscaya Allah memberikan rahmat-Nya kepada kalian dua bagian dan menjadikan untuk kalian cahaya yang dengan cahaya itu kalian dapat berjalan dan Dia mengampuni kalian. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
Serta surat At Thalaq ayat 2 dan 3:
“Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar (bagi segala persoalannya). Dan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.”
Bila kita renungkan ayat di atas maka kita dapati bahawa taqwa merupakan bekal utama bagi seorang mukmin apatah lagi sebagai seorang da’i ilallah. Ketaqwaan adalah kebajikan dan cahaya, yang dengannya ia dapat memberikan sinar cahaya untuk membezakan mana yang hak dan mana yang batil. Bila demikian halnya maka ia dapat mengikuti jalan petunjuk dengan mudah tanpa hambatan dan tersesat sedikit pun.
Sayyid Quthb menjelaskan makna surat Al-Anfal ayat 29 dengan menyatakan:
“Inilah bekal tersebut. Inilah bekal dalam mengarungi perjalanan yang panjang. Iaitu bekal taqwa yang menghidupkan hati dan membangunkannya. Bekal cahaya yang memberi petunjuk bagi hati untuk membelah sudut-sudut jalan sepanjang penglihatan manusia. Cahaya ini tidak dapat ditipu oleh syubhat-syubhat yang mata biasa tidak mampu menembusinya. Itulah bekal ampunan bagi segala dosa. Bekal yang memberikan ketenteraman, kesejukan dan kemantapan. Bekal merenungi nikmat-nikmat Allah Yang Maha Agung di hari bekal-bekal tersebut diperlukan dan di hari amal perbuatan manusia berkurang. Itulah hakikat sebenarnya. Sesungguhnya taqwa kepada Allah itu menjadikan nilai furqan dalam hati. Ia mampu meluruskan jalan-jalan yang bengkok.”

MATLAMAT BIAR JELAS

Sebagai mahasiswa tugas dan peranan utama kita adalah belajar dan meletakkan diri kita di kalangan yang terbaik. Manakala tugas dakwah adalah tugas hakiki kita sebagai hamba kepada Allah SWT. Tiada pemisahan di antara belajar dan dakwah. Untuk menjadi hamba Allah SWT., seseorang perlu cemerlang dalam menuntut ilmu, cemerlang dalam ibadah, cemerlang dalam dakwah, cemerlang dalam akhlak dan cemerlang dalam tarbiyah imaniyah. Tiada pemisahan di antara kesemuanya.
Adakah anda kenal dengan Imam Hasan Al Banna, beliau seorang tokoh gerakan Islam yang hebat kurun ke 21. Pada saat beliau masih mahasiwa, beliau amat aktif dengan kegiatan dakwah kampus dan masyarakat, dan dalam masa yang sama cemerlang akademiknya, terkenal dengan keperibadian yang mulia. Dalam kitab Ahdats Shana’at-Tarikh Imam Al Banna bercerita: Di malam saat ada ujian peperiksaan, beliau melakukan solat tahajjud seperti biasanya, dan memohon serta mengadu kepada Allah SWT. Dalam doanya beliau berkata:
“Ya Allah! Sesungguhnya Engkau tahu betapa rindunya diriku kepada ilmu dan betapa cintaku kepada-Mu, tapi Engkau juga tahu betapa sibuknya diriku dalam mencari ma’isyah untuk mempertahankan hidup di kota ini, berilah jalan keluar bagiku”.
Ternyata Hasan Al Banna memiliki hubungan yang cukup intim dengan Allah SWT dalam memohon kekuatan. Tahajjud dan doa adalah amal rutin beliau. Kecintaan beliau terhadap ilmu amat tinggi. Jiwa beliau sentiasa bergelora dengan perjuangan dakwah Islamiyyah. Bagaimana dengan kita? Kecintaan beliau dengan dunia keilmuan dan keghairahan beliau membawa obor dakwah tidak ada pemisahan malahan keduanya adalah sedaging. Ramai ulama thiqah kepada beliau dan menghormati beliau, baik muda mahupun lebih tua dari beliau. Ketika ujian kelulusan dari Darul ‘Ulum, semasa ujian lisan, beliau membawa buku-buku syair kegemarannya. Salah satu dari dua orang penemuduga bertanya tentang apa yang dihafalnya dari syair-syair itu. Al Banna menjawab: “Semuanya aku hafal”. Yang satunya lagi bertanya: “Bait mana yang paling engkau senangi dari syair-syair itu? Al Banna mengatakan: “Bait Syair yang diucapkan oleh Thorfah bin Al ‘Abd, salah seorang penyair di zaman jahiliyyah.
إِذَا الْقَوْمُ قَالُوْا مَنْ فَتَى؟ خِلْتُ أَنَّنِيْ عُنِيْتُ فَلَمْ أَكْسَلْ وَلَمْ أَتَبَلَّدِ
Bila orang bertanya : “Siapa pemuda? Saya membayangkan akulah yang dimaksud, kerananya saya tidak bermalas-malas dan tidak membodohi diri. Mendengar jawaban itu, penemuduga itu mengatakan: “Wahai anakku, dengan demikian aku nyatakan engkau lulus dari Darul ‘Ulum, dan yang memiliki jawaban seperti ini hanya engkau dan Ustaz Muhammad Abduh. Aku melihat bahawa engkau akan memiliki masa depan yang gemilang”.
Begitulah tingginya kejelasan matlamat Al Banna, mencontohkan kepada kita di antara kesungguhan menguasai ilmu dan keghairahan beliau dengan kerja besar, ”dakwah dan tarbiyah”. Bukankah beliau yang mengasaskan gerakan tarbiyah dan dakwah terbesar pada abad ini? Dakwah beliau di sambut oleh segenap manusia yang bertemu dengannya, baik yang berpelajaran tinggi, bergelar ulama atau profesional dalam pelbagai bidang, mahupun kelompok marhaen biasa. Justeru luruskan kembali kefahaman kita tentang tanggungjawab sebagai pendakwah muda dan tanggungjawab sebagai mahasiswa rabbani. Firman Allah SWT:
“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah nescaya Allah akan mengajar kamu. Dan Allah itu Maha Berilmu terhadap segala sesuatu” [Al-Baqarah 2: 282]

DI KARNIVAL ALAM RIA PASTI NEGERI KELANTAN PADA 22/8/2014


Sambutan Alam Ria PASTI Negeri Kelantan 2014 di Perdana Resort, Pengkalan Chepa. Dirasmikan Oleh Dato Mohd Amar (Timbalan Menteri Besar Kelantan)

JIKA ANTUM DALAM KELELAHAN..…


Syeikh Mustafa Masyhur ada menjelaskan betapa tabiat dakwah ini jalannya panjang, orangnya sedikit, ujiannya banyak. Itulah yang telah kita rasai sahabat dan akhwatku sekalian sekiranya engkau benar-benar melalui jalan ini dengan kesedaran dan pengorbanan sehingga ada kalangan kita yang kelelahan. Sebagai dai’e dan manusia biasa, sesekali kita akan merasa kelelahan di jalan dakwah. Lelah dek kerana kepenatan dengan kerja rutin seharian. Lelah dengan “study” dan keorganisasian. Mungkin lelah dengan kadar pencapaian yang jauh dari harapan. Mungkin lelah kerana kerenah pengurusan dakwah. Mungkin rasa lelah dengan telatah sesama duah di jalan dakwah. Mungkin lelah kerana titik hitam maksiat semakin melebar dalam hati kita. Mungkin lelah dengan memenuhi tuntutan kerjaya… mungkin lelah dengan….antum boleh senaraikan segalanya.
Jika antum dalam kelelahan, sedarilah bahawa sejarah umat ini telah diwarnai, dipenuhi dan dibarisi oleh orang-orang yang bersungguh-sungguh. Dunia diisi dan dimenangkan oleh orang-orang yang merealisasikan cita-cita, harapan, misi dan visi harakah Islam dengan jiddiyah (kesungguh-sungguhan) dan kekuatan tekad. Cita-cita yang besar memerlukan kerja-kerja yang besar. Semestinya visi dan misi yang besar memerlukan usaha dan kesungguhan kerja yang besar. Ketahuilah betapa nafsu gerakan kebatilan juga besar. Gerakan kebatilan dibela dengan bersungguh-sungguh oleh para pendukungnya, oleh kerana itulah Saidina Ali bin Abi Thalib RA menyatakan: “Al-haq yang tidak diurus dengan baik akan dikalahkan oleh al-bathil yang diurus dengan baik”.
Apakah yang dikatakan dengan kesungguhan? Kesungguhan bererti kita sentiasa menjalankan tugas-tugas syar’i, tarbawi, tanzhimi, dengan segera, tabah, mengerahkan seluruh potensi secara maksima serta dapat mengatasi hambatan yang dihadapinya demi terlaksananya tugas tersebut secara optima lagi efisien. Teorinya sahaja sudah menggambarkan berapa berat kerja dakwah dan tarbiyah kita. Hampir 10 tahun ana “fulltime” dengan gerakan dakwah ini, ana sendiri merasakan belum bersungguh lagi penglibatan ana. Moga Allah mengampunkan kelemahan ana ini.
Sahabat dan akhwatku sekalian, jika antum dalam kelelahan, maka bersabarlah, sabar, sabar dan tetap bersabar. Allah memberikan ganjaran yang sebesar-besarnya dan darjat yang setinggi-tingginya bagi mereka yang sabar dan lulus dalam ujian kehidupan di jalan dakwah. Jika ujian, cubaan yang diberikan Allah hanya yang mudah-mudah sahaja, tentu mereka tidak akan memperoleh ganjaran yang hebat.
“Maka bersabarlah kamu seperti orang-orang yang mempunyai keteguhan hati dari rasul-rasul telah bersabar dan janganlah kamu meminta disegerakan (azab) bagi mereka (Al-Ahqaaf: 35)
Juga firman-Nya yang lain, ertinya, “Dan sesungguhnya telah didustakan (pula) rasul-rasul sebelum kamu, akan tetapi mereka sabar terhadap pendustaan dan penganiayaan (yang dilakukan) terhadap mereka, sampai datang pertolongan Kami terhadap mereka.” (Al-An’am: 34)
Jika antum dalam kelelahan, sabar adalah ubatnya. Tidak ada dakwah tanpa kesabaran, sebagaimana tidak ada badan yang tanpa kepala. Jika kepala lepas dari badan, maka itu ertinya kematian. Imam Ibnul Qayyim mengatakan,”Kedudukan sabar terhadap iman, ibarat kedudukan kepala terhadap badan. Maka tidak ada iman bagi orang yang tidak punya kesabaran, sebagaimana jasad juga tak bererti tanpa adanya kepala.”
Tiada henti untuk kita tetap mengingatkan diri tentang kesabaran. Dalam Al Quran terdapat lebih 70 tempat yang menceritakan tentang sabar. Kesabaran ini diperlukan di setiap fasa gerakerja kita, samada di saat ramainya ikhwah bersama kita atau semakin mengurangnya ikhwah bersama kita. Samada masyarakat sambut dakwah kita atau tidak, tetaplah bersabar. Sabar dan terus bersabar kerana bersama kita tetap ada para pimpinan kita yang telah mencontohkan kepada kita erti kesabaran. Mereka sabar tanpa mengharap pujian, populariti, kebendaan dan kekayaan. Mereka mendepani dakwah ini sejak usia mereka seperti kita sehinggalah saat ini mereka kita gelar dengan panggilan “syuyukh”, mereka tetap istiqamah walau pernah di tohmah dan menempuh pelbagai cabaran memimpin gerakan tarbiyah kita. Mereka memperingatkan kita agar sentiasa memelihara iman dan keikhlasan dalam bekerja. Sentiasa mengingatkan kita agar tidak terpedaya dengan belaian dunia dan iri hati manusia. Mari kita bersabar bersama mereka.
“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.” (Al Kahfi : 28).
Pengasas gerakan tarbiyah kita, Almarhum Dato’ Kaya Bakti Ustaz Dahlan pernah mengatakan bahawa jalan tarbiyah adalah jalan pembentukan individu muslim mukmin dan ummah Islamiyah yang berliku-liku serta menuntut kesabaran yang tinggi. Tarbiyah adalah umpama larian marathon, bukan larian sprint jarak pendek. Larian marathon memerlukan kesabaran untuk mencapai matlamat. Larian marathon memang kelihatan lambat, tetapi tenaga dan kekuatan pelari dirancang agar mencapai garis penamat dengan jaya. Justeru, sabar dan tetap sabar.
Jika antum dalam kelelahan, teguklah bekalan inspirasi dari Khalid al Walid. Boleh jadi Khalid al Walid tidak dapat mengerti mengapa dirinya diganti dari posisi panglima perang yang disandangnya sekian lama, namun Khalifah Umar al Khattab menurunkan kemegahan jawatannya saat pertempuran masih berlangsung. Pada semangat dan reaksi Khalid-lah kita teladani. Beliau tetap sabar dan terus bergerak. Beliau tidak melemah dengan tindakan pengurusan Umar dalam barisan tentera Islam ketika itu. Khalid tidak lelah, bahkan menghormati kewibaan Umar. Beliau tetap bersabar dan bersungguh di medan juang. Beliau tetap dalam barisan jundi.
Benar, jika antum merasa lelah, rehatkan dirimu seketika dan kajilah kisah juang Rasulullah SAW, para sahabat, para tabi’en dan ulama muktabar. Hirup pelajaran dan kekentalan mereka berjuang. Teladani semampu mungkin ‘core value’ sebagai pejuang yang telah dipamerkan.
Jika antum dalam kelelahan, berikan masa seketika dan selakkan tulisan Syeikh Mustafa Masyhur dalam bukunya Fiqh Dakwah. Beliau menulis keperluan kita membina kekuatan diri dengan mengambil bekalan dari Al-Quran, dari kehebatan ciptaan Allah, merenung nikmat Allah, memikirkan hal-hal ghaib yang pasti datang, merenung hari Akhirat dan meneguk keharuman sirah Rasulullah SAW.
Syeikh Mustafa Masyhur juga menekankan betapa kita dapat mendepani rasa kelelahan dengan bekal solat, puasa, zakat, haji, qiamulail, zikir, doa, menghayati sunnah Nabi SAW, jihad fisabilillah, aktif dalam dakwah dan meneladani para sahabat Rasulullah SAW. Carilah masa mengkaji tulisan beliau buat bekalan mengubat kelelahan kita.
Jika antum dalam kelelahan, tadabburi 2 ayat Al Quran ini, pertama dari Surah Huud ayat 112. Ketika turun surat Huud ayat 112, Rasulullah SAW berkomentar, “Ayat ini membuat rambutku beruban.” Ini menunjukkan bahawa menurut Baginda SAW, memelihara amal agar sentiasa dilaksanakan memanglah berat. Isi ayat tersebut adalah tentang istiqamah dimana Allah berfirman:
Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha melihat apa yang kamu kerjakan. (Huud 11:112)
Ibnu Abbas mengatakan, “Tidak ada ayat yang turun kepada Rasulullah SAW yang lebih berat dari ayat ini. Oleh kerana itu, ketika para sahabat bertanya, ‘Wahai Rasul, engkau nampak lebih cepat beruban,’ maka Rasul menjawab, ‘Hud dan surat-surat sejenisnya yang membuatku cepat beruban.”
Jika kita merasa lelah, tetaplah sabar dan istiqamah. Memang berat sebagaimana dirasai sendiri oleh Rasulullah SAW. Setelah kita bersabar, kita tetap istiqamah di jalan dakwah ini.
Sayyid Qutub di dalam tafsirnya, Fi Dzilalil Quran menyatakan bahawa sikap istiqamah seperti itu memerlukan kesedaran dan kewaspadaan tambahan. Seseorang harus tahu sungguh-sungguh batasan-batasan jalan yang dia tempuh. Juga harus mampu menguasai dorongan-dorongan nafsu yang akan menariknya ke kanan atau ke kiri. Ringkasnya, istiqamah menuntut kerja keras dalam setiap gerak hidup. Kalau hanya sehari dua hari, atau sebulan dua bulan, boleh jadi itu sesuatu yang ringan. Tetapi bila setiap saat, setiap waktu, bila pun dan di mana pun, sungguh memerlukan kesedaran dan kewaspadaan yang berganda-ganda. Bahkan Rasulullah SAW pun merasakan berat dan sulitnya cabaran itu.
Jika antum dalam kelelahan, janganlah berhenti dan mahu berehat dari jalan ini. Kita tadaburi ayat ini pula,
“Dan infakkanlah (harta bendamu) dijalan Allah dan janganlah kamu menjatuhkan (diri sendiri) kedalam kebinasaan dengan tangan sendiri. Dan berbuat baiklah, karena sesugguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik”. (Al-Baqarah: 195)
Abu Ayub Al-Anshori RA berkata sesungguhnya ayat ini diturunkan kepada kami golongan Ansar ketika kami telah mendapat ganjaran daripada Allah ketika Allah memenangkan agama-Nya dan ramai orang yang menolong agama-Nya maka berkatalah sesetengah kami terhadap sesetengah yang lain.
“Kami berbisik sesama kami dengan tidak diketahui oleh Baginda Rasulullah SAW bahawasanya harta masyarakat lain sudah banyak. Kita ketinggalan dalam masalah harta benda kerana mementingkan jihad, tidak menguruskan kebun dan perniagaan dengan baik.
“Sesungguhnya Allah memberi kemenangan kepada Islam dan orang yang menegakkan agama Islam juga sudah ramai maka langkah sebaiknya kita semua tinggal di Madinah, tidak payah lagi berperang seperti biasa. Kita serahkan urusan jihad itu kepada orang lain kerana kita mahu membaiki dan menjaga kebun kita dan apa yang ketinggalan selama ini dalam harta benda, kita dapat mengatasinya semula.”
“Justeru, Allah SWT menurunkan ayat ini kepada Nabi-nya sebagai menolak apa yang kami katakan:”Dan berbelanjalah kamu pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.”
Maksud “tahlukah”; menjatuhkan diri dalam kehancuran) adalah tidak berinfak dijalan Allah dan meninggalkan jihad”. Pandangan mereka ketika itu sangat manusiawi, wajar dan masuk akal. Namun, Allah SWT memiliki logikanya sendiri, sehingga turunlah ayat ini.
Para sahabat RA merupakan generasi pilihan yang telah banyak  memberikan sumbangan buat Islam, mereka telah mengorbankan harta, raga, jiwa, waktu dan apa saja yang mereka miliki untuk kejayaan Islam. Jika para sahabat yang telah menunjukkan pelbagai pengorbanan telah ditegur (di beri peringatan) oleh Allah SWT saat ‘terbersit” di antara mereka untuk istirehat sejenak dari berjuang di jalan Allah, apalah lagi kita yang belum memberikan apa-apa terhadap sumbangan besar kepada Islam lalu sudah mahu berniat ingin beristirehat, sudah berniat ingin berhenti di jalan dakwah!
Tidak mengapa antum merasa lelah seketika. Namun tetaplah sabar dan istiqamah menjaga keimanan dan amal soleh. Pasti Allah SWT akan menjaga dirimu.
“Siapa yang beramal soleh, dari golongan lelaki atau perempuan, sedangkan dia adalah orang beriman, maka sungguh (Allah bersumpah), Kami akan hidupkan mereka dalam kehidupan yang baik. Dan sungguh (Allah bersumpah), Kami akan berikan kepada mereka balasan pahala mereka yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (An-Nahl: 97)
Tetaplah hadirkan diri dan hati dalam siri-siri program tarbiyah kita kerana di situ adanya bekalan menguatkan keimanan. Iman kita mungkin terluka setelah penat bekerja dan beramal jama’ie. Mu’az bin Jabal pernah berkata kepada sahabatnya yang lain; “Marilah kita duduk sebentar dan beriman.” Maka bergabunglah antum dalam halaqah tarbawiyah kita untuk mengumpul bekal. Tarbiyah ialah satu proses maka laluilah proses tarbiyah ini dengan jujur. Tarbiyah adalah proses mendidik jiwa kita kembali kepada Allah dan menggerakkan diri kita menjadi insan yang memenuhi 10 peribadi yang patut ada pada diri muslim yang disebut juga sebagai 10 muwasofat tarbiyah. Hadirlah dalam tamrin, ijtima’, halaqah, usrah, nadwah, dan segala wasilah tarbiyah yang ada untuk menggencarkan kembali dinamika keimanan kita. InsyaAllah moga Allah SWT hidupkan kita dalam kehidupan yang semakin baik.
Kita akhiri pesanan ini dengan harapan dan doa bersama.
Wahai Rabbi, segala puji dan kesyukuran bagi-Mu. Ampunkanlah kami atas semua kesalahan dan kejenuhan kami. Ilhamkanlah ke atas kami untuk sentiasa bertaubat atas semua kelemahan dan dosa kami.
Allahumma Rabbi, rahmati kami, mudahkan urusan kami, limpahkan barakah, pertolongan dan kemenangan. Limpahkan petunjuk, tambahkan ilmu dan tingkatkan kekuatan untuk selalu taat dan mengingat-Mu. Kuatkan diri kami ketika mula melemah, segarkan jiwa jiwa kami ketika mulai lesu, luaskan akal kami dalam berhadapan pelbagai cabaran dan permasalahan.
Ya Allah Yang Maha Mengetahui, kurniakan kami kehidupan yang indah, sentiasa bersyukur, bertambah barakahnya. Bukakan pintu-pintu jalan keluar atas setiap kesulitan. Jangan Engkau sempitkan rahmt-Mu ke atas kami, berikan kami kemampuan untuk istiqamah di jalan dakwah dan tarbiyah, bimbing langkah kami untuk berjalan di bawah cahaya agama-Mu, keredhaan-Mu dan petunjuk-Mu.
“ Berangkatlah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. (At-taubah: 41)

HARI KELUARGA KESUKMA 2014 DI DEMONG BEACH RESORT










SELAMAT PENGANTIN BARU SAHABATKU,,


Menghadiri Majlis Perkahwinan Setiausaha PASTI Kawasan Machang Sdr Mohd Nasir Jamaluddin b. Abd Rahman ,,,Tahniah

SEPETANG DI PERLAWANAN AKHIR BOLA SEPAK LIGA DUN TEMANGAN 2014











Sepetang Bersama 2 Pasukan Di Perlawanan Akhir Kejohanan Bola Sepak Liga Dun Temangan 2014 Di Padang Teja, Bandar Temangan,,,Turut Serta Hadir YB Dr Mohamed Fadzli Hj Hassan (ADUN Temangan) Yang Menyempurnakan Penyampaian Hadiah...Tahniah Kepada Pemenang Dan Yang Belum Menang Cuba Lagi Tahun - Tahun Akan Datang.
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates