Jangan Terlalu Bangga Memegang Gelaran Si Dekan

"Mak jumpa Firdaus dekat kedai tadi, tengok keretanya jenama dari oversea, baru lagi. Katanya dia buat business sekarang, dulu kerja dekat Tanjung Malim." Ujar emak saya.

Teh yang masih berwap panas itu saya hirup sedikit. Berita di televisyen saya lihat dengan pandangan kosong. Mungkin otak ligat memahami maksud tersirat di hati emak.

"Mak rasa kejayaan yang sebenar apa dia?" Saya bertanya pula kepada emak.

Emak diam. Berfikir mungkin dengan soalan saya.

"Kita ni selalu pandang kejayaan material je, kereta besar, rumah besar, jawatan hebat. Tapi kejayaan yang sebenarnya ialah apabila kita berjaya jadi insan yang beragama, itu kejayaan maknawi. Mana yang mak nak? Anak berjaya rumah besar, kaya tapi malas solat, tak hormat ibu bapa, cucu pula tak reti solat semua atau mak nak anak yang ada rumah biasa, tak mewah macam kita sekarang tapi isi rumahnya beragama?" Saya bersoal lagi.

"Ish, mestilah mak nak yang hormat mak ayah, beragama semua. Tak nak anak yang kaya rupa tu."
"Nah, mak sendiri dah tahu pilihan mak apa dia, tapi orang masih memandang yang rupa dari isi."

Mak diam lagi. Pandangannya mungkin tembus ke televisyen.

Ini adalah pemikiran masyarakat yang saya rata-rata berfikiran sedemikian rupa. Mengukur kejayaan dari harta dan kekayaan yang diperolehi. Entah, saya sendiri tidak tahu di mana silapnya. Jika ada anak yang punya akhlak baik, beragama walau kurang berjaya dalam akademik, tidak pula mahu dipandang dan dikatakan berjaya.

Jika ditanya kepada saya, apakah erti kejayaan yang sebenar?

Maka wajib bagi saya menjawab bahawa kejayaan itu adalah apabila kita mampu menjadi manusia rabbani, yang beragama. Apabila kita merasakan segala perbuatan itu bermatlamatkan Allah, maka automatik segala suis akan dihidupkan untuk memacu diri mencapai kejayaan dari pelbagai sudut dunia dan akhirat.

Sahabat sekalian,

Mungkin bagi pelajar, masih berada di 'mood' mendapat keputusan peperiksaan, ada yang gembira tidak terkata, kecewa tidak terhingga, tersenyum puas, atau memandang bersahaja.

Tidak terkecuali juga saya. Alhamdulillah, diberi kecemerlangan tidak disangka. Namun dalam pada masa yang sama, saya takut andai ujian ini membuatkan saya jauh dari Allah malah mengundang pula kemurkaan-Nya. Maka saya bermuhasabah.

Saya mahu membawa anda bermuhasabah bersama. Ayuh kita, buat para penerima anugerah dekan ini pesanan khusus untuk anda.

Sering saya melihat dan mendengar cerita dari rakan-rakan. Berbaur nada tidak puas hati, cemburu atau apa- apa sahaja.

"Harap je dapat anugerah dekan, tapi meniru juga, bawa toyol masa test."

Mungkin anda juga pernah mendengarnya, bahkan mungkin juga sebenarnya itu adalah diri anda!
Inilah yang saya katakan, kejayaan yang bukan maknawi. Kita berjaya tapi kita tidak mampu menjadi orang beragama.

Kita berjaya tapi kita masih lagi sombong dengan Allah.

Malas untuk solat, tidak menutup aurat dengan sempurna, mulut masih tidak reti dijaga, pentingkan diri sendiri, dengan ibu bapa tidak pula kita hormat dan meninggi diri, masih lagi meniru dan banyak lagi.
Ini cuma sebahagian sahaja.

Muhasabah sahabat.
Muhasabah para pemegang dekan sekalian.
Ini bukan artikel bernada cemburu! Tetapi ini peringatan untuk diri saya dan anda.
Jika diri masih tidak sedar, maka awaslah bahawa hati anda sudah mula ada penyakit.
Berdoalah wahai diri, mintalah kepada Allah agar kejayaan atau kegagalan yang diperolehi ini mampu membawa kita dekat dengan Allah, mampu memberikan kita tenaga untuk menjadi penegak kalimah Allah.
Jalan Allah untuk mentarbiyah hambanya cukup cantik dan sempurna.

" Kak Suhana, tiba-tiba mahu kata-kata motivasi untuk diri ini, rasa down sikit dengan result exam."

Saya mendapat kiriman di facebook.

" Adikku, tika kau lemah, jadikan Allah sebagai tempat untuk meluah rasa. Tika kau goyah, kau perlu kuat kerana kau pembawa Agama.Tika kau rebah, kau harus tabah kerana kau mujahidah muda. Ingat, kegagalan adalah kejayaan yang ditangguhkan, jangan berputus asa! Sesungguhnya orang yang berputus asa itu jauh dari rahmat Allah SWT. Sungguh Allah memberi apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu."

Saya membalas kiriman tersebut.

"Alhamdulillah, terima kasih Kak Suhana atas kata motivasi, bermakna sangat buat saya. Hampir saya terlupa bahawa Allah beri ni ada sebabnya, kena tampal lubang-lubang usaha yang bocor."

Sungguh, kegagalan itu adalah kejayaan yang tertangguh. Gagal hari ini, maka ada kejayaan besar yang menanti.

Berjaya atau gagal, kembalilah kepada Allah setiap saat dan detik, kerana Dialah Yang Maha Mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi.

Mengapa Dia Sering Datang Kepadaku?

Apakah yang kita rasa jika rumah kita dijenguk oleh seseorang yang tidak dikenali setiap dua puluh minit sekali? Risau? Gelisah?
Bagaimana pula jika orang menjual barangan atau meminta sedekah datang ke rumah, mengetuk pintu rumah dan cuba mendapat perhatian kita setiap dua puluh minit? Rimas?
Bagaimana pula jika bos kita datang ke tempat kita, 'cubicle office', setiap dua puluh minit?
Kita tentu mengesyaki dia perlukan apa-apa atau hendak memastikan kita menjalankan tugasan.
Bagaimana jika anak kita datang menjenguk kita di bilik atau di ruang tamu setiap dua puluh minit sekali?
Tentu kita menyangka dia perlu bercakap dengan kita atau sesuatu tidak kena.
Tanggapan kita seharusnya bertepatan berdasarkan kerja atau kebiasan tugas mereka yang menjenguk itu. Jika anak, kita rasakan dia perlu bantuan kerana itu kebiasaan dia perlukan bantuan kita.
Begitu juga dengan bos, dia selalu memberi kita tugasan maka jika dia kerap menjenguk maka kita terfikir dia mahu berikan kita tugasan. Jika orang asing, tentu kita menyangka dia memerhati untuk melakukan jenayah.
Bagaimana jika tugas suatu makhluk itu menjenguk kita dua puluh minit sekali dan tugasnya adalah mengambil nyawa kita?
Sebuah hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya :

" Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini tujuh puluh kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail : Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah S.W.T untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa."
Seandainya kita tahu akan hal ini, nescaya kita tidak lagi lalai dalam mengingati mati.
Rasulullah S.A.W pernah ditanya:
"Siapakah orang orang beriman yang lebih bijak? Jawab baginda: Mereka yang lebih banyak mengingati mati dan lebih baik penyediaannya kepada perkara selepas mati, mereka itulah yang lebih bijak"(Hadis riwayat ibn Majah drpd Ibn Umar r.a)

Sepertimana kita risau akan orang asing yang menjenguk rumah kita, kemungkinan menelefon pihak polis atau bersiap dengan senjata, begitulah seharusnya persediaan kita menghadapi mati.
Ini kerana, mati itu pasti datang. Atas kepastian ini yang hidup itu pasti akan mati, kenapa kita tidak bersiap-sedia. Oleh itu, mereka yang menyediakan persiapan yang lengkap adalah mereka yang paling bijak.
Pandangan sisi, jika kita melihat ada orang akan membaling batu kepada kita. Kita tunggu dan biarkan batu ketuk kepala. Kawan kita akan bertanya "Kenapa kau tak elak?". Kita menjawab, "Saja". Dia tentu berkata "Bodohlah kau ni, elakla dah tahu dia nak lempar batu tu kat kau!"
Sedangkan manusia biasa faham hakikat apabila tahu tetapi tidak sedia itu bodoh, maka bila tahu dan sedia itu bijak!
Oleh kerana itu, sebenarnya manusia itu sedar akan kita akan menempuh kematian. Lihatlah sekeliling, begitu mudah mereka mati sama ada kerana penyakit, kemalangan, tiba-tiba mati dan bencana.
Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhatikan oleh Malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati. Meskipun mata manusia hanya mampu melihat benda yang nyata, tidak mungkin dapat melihat kehadiran malaikat maut itu.
Namun pandangan mata hati mampu melihat alam ghaib, iaitu memandang dengan keyakinan iman dan ilmu. Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran malaikat maut, kerana mereka sentiasa meneliti hadis-hadis Nabi S.A.W yang menjelaskan mengenai perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal ehwal mati dan hubungannya dengan Malaikat maut.
Sesungguhnya Malaikat maut menjalankan arahan Allah S.W.T dengan tepat dan sempurna, dia tidak diutus hanya untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Jika Allah S.W.T menetapkan kematian seseorang ketika berlaku kemalangan, atau ketika diserang sakit tenat, maka Izrail mencabut roh orang itu ketika kejadian tersebut.
Ajal itu adalah ketetapan Allah, yang telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya telah nyata di dalam takdir Allah, bahawa kematian pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Izrail hanyalah tentera-tentera Allah yang menjalankan tugas seperti yang diamanahkan kepadanya.
Walau bagaimana pun adalah menjadi hak Allah S.W.T untuk menentukan kematian seseorang itu sama ada bersebab ataupun tidak. Bayangkanlah ketikanya malaikat maut hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi Malaikat maut sedang dalam keadaan seronok bergelak-ketawa, hingga malaikat maut berasa hairan terhadap manusia itu. Ini membuktikan bahawa kematian itu tidak pernah mengenal sama ada seseorang yang sedang sakit atau pun ketika sihat dan segar-bugar.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

" Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mempercepatkannya. " ( Surah al-A'raf ayat 34 ).

Bagaimana?
Sudah bersedia?
Sedar atau tidak?
Kematian itu pasti menjemput kita.

Najib dicabar dedah RM10.1 juta kos lawatan

KUALA LUMPUR, 12 Okt: PKR mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendedahkan butiran terperinci perbelanjaan lawatan beliau ke luar negara yang mencecah RM10.1 juta setakat tahun ini.
Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution (gambar) berkata, sebanyak RM9.1 juta dihabiskan untuk kos penyewaan pesawat bagi lawatan Najib dan isterinya ke luar negara, diikuti lawatan ke Kezakhstan yang melebihi RM1 juta.
“Perbelanjaan ini melampau dan kalau betul Najib telus, saya mencabar beliau membentangkan setiap perincian butiran perbelanjaan,”
“Tanggungjawab Najib ialah untuk memberikan semua maklumat dalam persidangan parlimen agar Pakatan Rakyat boleh memeriksa setiap sen yang digunakan,” kata Saifuddin, lapor KeadilanDaily.
Menurut Saifuddin, jumlah perbelanjaan lawatan tersebut lebih tinggi berbanding tempoh tiga tahun lalu yang mencecah kos keseluruhan sebanyak RM17 juta.
“Ini adalah bukti nyata Najib terus mengamalkan cara hidup mewah dan tak prihatin terhadap penderitaan rakyat di bawah,” katanya.
Ahli Parlimen Machang itu juga turut menggesa agar ciri lawatan berkenaan dikaji semula memandangkan lawatan singkat Najib Ke Kazakhstan misalnya, menelan kos yang  tinggi.
“(Ia) perlu kaji semula dan pengurangan boleh dibuat melalui pengurangan anggota (rombongan) yang menyertai lawatan,” katanya.
Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz telah memberitahu Dewan Rakyat kos penyewaan sebuah pesawat Airbus A319 yang melibatkan jumlah RM9.1.
Semalam, Kementerian Luar Negara pula mendedahkan RM1,072,213.22 dibelanjakan oleh perdana menteri dan rombongannya menghadiri Forum Ekonomi Dunia Islam di Kazakhstan.
Pada Jun lalu, Dewan Rakyat diberitahu dari tahun 2008 hingga 2011, sejumlah RM17,118,650.58 digunakan bagi perbelanjaan lawatan rasmi PM bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Dalam jawapan tersebut, Najib dan Rosmah membelanjakan RM 1,739,332.85 (2008), RM 4,811,837.48 (2009) RM 5,140,307.99 (2010) dan RM 5,427,172.26 sehingga Jun 2011.

Resort kumpul pendatang dapat IC dikepung

SEPANG, 12 Okt: PAS hari ini berjaya mengesan satu operasi yang disyaki cuba memberikan warganegara kepada lebih 200 penduduk tetap (PR) di sebuah resort berhampiran Putrajaya di sini.

Kesemua yang majoritinya warga Indonesia itu didakwa dibawa dengan bas dari negeri Johor untuk diberi MyKad yang dipercayai ada kaitan untuk pengundian pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Exco Pemuda PAS, Mohd Adram Musa berkata pihaknya mendapat maklumat daripada perisikan jentera PAS berhubung perkara itu malam tadi yang mengatakan lapan buah bas membawa warga asing akan menuju ke Putrajaya untuk diberi MyKad.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat Pemuda PAS bersama beberapa anggota dewan itu kemudiannya menunggu bas-bas tersebut yang tiba di Masjid Putra, Putrajaya kira-kira jam 7 pagi.

Bagaimanapun hanya enam buah bas didapati tiba di Putrajaya yang didapati beredar beberapa jam kemudian.

Kepung resort

Mereka mengekori bas-bas tersebut sehingga ke sebuah resort di sini.

Bas-bas berkenaan bagaimanapun beredar dari situ, dan meninggalkan kumpulan penumpang tersebut di resort berkenaan.

Petugas media yang kemudiannya tiba di situ kira-kira jam 1.30 tengahari juga sempat melihat sebuah kereta Proton Tiara dipercayai membawa 'ketua operasi' itu memecut laju keluar dari resort melalui jalan belakang.

"Saya sendiri masuk ke dalam resort berkenaan, dan mendapati memang warga asing di dalamnya.

"Kita tanya mereka bagitahu datang untuk kursus," katanya pada sidang media di sini.

Menurutnya, kehadiran mereka bagaimanapun tidak disenangi 'ketua' rombongan itu dan mereka mengambil pendirian untuk keluar dari kawasan resort tersebut yang pagarnya kemudian dikunci pemilik resort.

Ekoran itu juga mereka bertindak mengepung jalan masuk dari depan dan belakang resort tersebut.

Turut serta pada sidang media di hadapan resort itu AJK PAS Pusat Mazlan Aliman.

Sumber dalaman

Menurut Mazlan, beliau turut mendapat maklumat dari sumber dalaman yang tidak mahu bersubahat dengan operasi jahat itu.

"Dia hubungi saya bagitahu terdapat dokumen tebal dalam bas serta mendengar cakap-cakap penumpang bas yang mendakwa akan mendapat MayKad hari ini.

"Dia bagitahu saya maklumat ini kerana beliau tidak mahu bersubahat," katanya.

Menurut Mazlan lagi, beliau juga dimaklumkan sewaktu bas berhenti di Masjid Putra, beberapa pegawai Jabatan Pendaftaran Negara menemui ketua rombongan bas tersebut dan mengarahkan mereka ke sebuah resort di kawasan berdekatan ekoran rahsia operasi mereka didakwa sudah diketahui.

"Saya difahamkan ini trip ke sepuluh untuk operasi ini.

"Modus operandi mereka adalah untuk mengalahkan Pakatan Rakyat Selangor," tambahnya.

Dalam pada itu satu sidang media khas berhubung perkara itu akan diadakan di Parlimen esok. 

7 bas dikesan bawa warga asing dapatkan IC

KUALA LUMPUR, 12 Okt: Dewan Pemuda PAS Johor telah berjaya mengesan 7 buah bas yang dipercayai membawa warga asing menuju ke Putrajaya untuk mendapatkan kad pengenalan.
Kesemua mereka diyakini dibawa masuk ke negara ini oleh pemimpin Umno BN bagi membolehkan mereka didaftarkan sebagai pengundi dalam daftar pemilih untuk mengundi bagi pihak Umno BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.
Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat menjelaskan, kesemua bas tersebut telah dikesan dari Johor dan telah sampai ke Masjid Putrajaya pada jam 8 pagi tadi untuk mengambil IC mereka di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Menurut beliau, tidak lama selepas itu, 3 dari 7 buah bas tersebut telah masuk ke JPM bersama sebuah kereta Perdana yang di dalamnya terdapat individu berpangkat datuk.
Sebahagian bas lagi, tegasnya, telah diarahkan keluar dari Putrajaya menuju ke arah yang tidak diketahui disebabkan mereka menyedari Pemuda PAS mengekori mereka dan ini jelas merupakan helah penghianat negara.
Katanya, setelah cerita mengenai 7 buah bas yang membawa warga asing untuk mengambil IC di JPM itu dimasukkan oleh beliau ke dalam Facebook, mereka telah lari masuk ke dalam hutan di Kajang.
"Takut juga rupanya mereka. Saya ingat mereka berani sangat. Tindakan para pemimpin Umno BN itu ternyata satu pengkhianatan kepada negara," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.
Maklumat mengenai warga asing mahu mendapat kerakyatan mudah itu, menurut beliau, telah diterima oleh beliau sejak petang semalam lagi dan sejak itu Pemuda PAS Johor telah berusaha mengesaninya.
"Malam tadi jam 1.00 malam, mereka singah di R & R Pagoh. Bermula di situ skuad pemuda PAS ekori mereka. Jam 6 pagi, mereka sampai di Masjid Putrajaya," katanya.
Hasil pengesanan yang dilakukan oleh Pemuda PAS, jelasnya, didapati bas-bas yang membawa warga asing untuk mendapatkan IC itu telah diturunkan di Kajang, Selangor.
"Ini jelas manipulator terancam yang dibuat ekoran pendedahan Pemuda PAS. Mereka ternyata pengkhianat yang pengecut," tegas beliau yang juga Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Sejak 3 jam lalu, katanya, kesemua warga asing yang mahu mendapatkan IC mereka itu telah ditempatkan di dalam hutan di Jalan Kajang - Istana Dugang Contry Resout.
Sehubungan itu, beliau berharap agar orang ramai yang mempunyai kelapangan masa berkejar ke tempat itu sekarang untuk beramai-ramai bertanya kepada mereka tujuan kedatangan mereka beramai-ramai ke Putrajaya itu.
"Sekitar 30 minit lalu, penduduk di kawasan itu sedang mengepong kawasan warga asing yang mahu diberikan IC oleh JPN itu," katanya.
Kini, menurutnya, bas-bas yang membawa warga asing itu pula telah keluar dari kawasan resort tersebut dan bas-bas tersebut didapati kosong tanpa penumpang.
"Maksudnya, warga-warga asing tersebut telah ditinggalkan di dalam resort itu. Apa yang mereka buat?" tanya beliau.

Mahkamah lepaskan pemuda miliki baju T Bersih 2.0

BACHOK, 12 Okt: Aktivis masyarakat, Mohd Amizul Fazly Muhamed Sudin, 33 yang ditahan atas dakwaan memiliki t-shirt bertulis perkataan Bersih 2.0 pada Julai lalu hari ini dilepas tanpa dibebas Mahkamah Majistret Bachok.
Majistret Mohd Hafiz Mohd Nor melepaskan tertuduh selepas Timbalan Pendakwa Raya, Wong memaklumkan mendapat arahan Jabatan Peguam Negara supaya tidak meneruskan kes itu.
Ekoran arahan tersebut majistret kemudian melepas tanpa membebas tertuduh. Hadir bersama di mahkamah ahli-ahli keluarga dan pimpinan Pemuda PAS Bachok.
Mohd Amizul Fazly diwakili peguam Firdaus Mohd Yusoff, Mohd Alami Lazim dan Mohd Abd Rashid Yah.
Mohd Amizul yang juga anggota jawatankuasa Pemuda PAS Bachok didakwa mempamer baju T bertulis Bersih 2.0 di sebuah kedai runcit di Kampung Permatang Pauh, Mahligai, Bachok pada awal Julai lalu.
Beliau kemudian ditahan reman selama dua hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok dan didakwa di mahkamah pada 5 Julai di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966.
Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-dua sekali.
Bagaimanapun beliau tidak mengaku bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM4,000.
Pendakwaan terhadap Mohd Amizul difahamkan merupakan kes pertama membabitkan perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).
Sebelum ini pada 26 September lalu seorang peniaga, Zakaria Che Will, 40, yang  didakwa menjual sebanyak baju-T berwarna kuning bertulis Bersih di Jalan Datuk Pati di Kota Bharu pada juga dilepas tanpa dibebaskan.
Perbicaraan kes tersebut diadakan di Mahkamah Majistret Tumpat di hadapan Majistret Mohd Hafiz Mohd Nor.
Zakaria diwakili peguam Hatman Abdullah, Mohd Ab Rashid dan Mohd Murtaza Mokhtar, manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Wan Hussin.
Pada akhir Jun lalu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Hussien menyifatkan orang yang memakai baju berkaitan Perhimpunan Bersih pada 9 Julai lalu sebagai haram.
Sehingga akhir Jun lalu 85 individu ditahan atas dakwaan menjalankan aktiviti mempromosi perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011.

Benarkah yuran sekolah 2012 percuma?

KUALA LUMPUR, 12 Okt: Pengalaman ibu bapa apabila hari persekolahan bermula mereka terpaksa membayar wang tambahan mencecah hampir RM100 dengan dinamakan pakej tambahan.
“Apakah maksud yuran percuma?” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berhubung Bajet 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, Jumaat lalu.
Katanya, yang memeningkan kepala nanti ialah guru-guru yang bertugas kerana dimarah oleh ibu bapa kerana Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah tidak tahu apa yang akan berlaku di sekolah nanti.
“Sebab itu Najib mesti mengeluarkan kenyataan hitam putih perkara ini supaya guru-guru di sekolah senang menjawab kepada ibu bapa,” katanya.
Beliau menambah, jangan dimangsakan guru-guru kerana hendak meraih undi, sehingga guru-guru bermasam muka dengan ibu bapa.
Contohnya, kata beliau ketika Tun Abdullah Badawi mengumumkan belanjawan 2008 pada 7 September 2007, mengatakan yuran percuma.
Namun begitu, katanya ketika sesi persekolahan baru bermula kerajaan telah mengumumkan tiga pakej bayaran tambahan (PBT) bagi menggantikan yuran sekolah.


Ini, katanya belum lagi yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang tidak kurang RM20 malahan ada yang mencecah RM100.
“Yuran PIBG terpaksa dipungut ,kerana hendak menampung beberapa kegiatan sekolah, ini semuanya gara-gara sekolah tidak cukup wang,” ujarnya lagi.
Katanya, kalau benar kerajaan prihatin, PIBG tidak perlu memungut wang daripada pelajar lagi kerana ia menambahkan bebanan ibu bapa.
Najib juga, ujarnya tidak bercakap benar kerana memaklumkan bahawa inilah pertama kali dalam sejarah Malaysia diberikan pendidikan percuma.
Pada hal, katanya Tun Abdullah Badawi sewaktu membentang perbelanjaan untuk tahun 2008 pengumumkan yuran percuma.
Malahan mengumumkan pemansuhan yuran peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), susulan selepas yuran peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (SPM), dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dimansuhkan pada tahun sebelumnya. Tambahnya, tentu Abdullah tersenyum apabila Najib mengatakan inilah pertama kali dalam sejarah pendidikan Malaysia.
Sebab itu, katanya ibu bapa yang cerdik sudah mengatakan ini semua hanya coklat getah untuk modal pilihan raya sahaja.
“Ibu bapa mesti hentikan pembohongan ini, jika kerajaan BN masih menipu ibu bapa dengan menolak BN di dalam PRU akan datang,” ujarnya.

MCA dicabar debat isu hudud di Kelantan

KOTA BHARU, 12 Okt: Kecelaruan masyarakat bukan Islam dalam isu hudud bukannya datang dari ketidak fahaman mereka terhadap hasrat kerajaan Kelantan untuk melaksanakan hukuman tersebut tetapi ia adalah berpunca dari hasutan dan penyebaran maklumat salah oleh pihak tertentu kepada masyarakat bukan Islam terutamanya di Kelantan.
Menurut Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Kelantan (DHPPK), Lim Guan Seng, perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah 2 di Kelantan hanyalah melibatkan umat Islam dan masyarakat bukan Islam tidak perlu bimbang.

Beliau juga melahirkan rasa kesal di atas tindakan Ketua DHPP Pusat, Hu Pang Chaw yang sering menimbulkan kekeliruan dalam menangani isu terutamanya melibatkan negeri Kelantan.

“Saya berharap beliau memahami dengan mendalam suasana Kelantan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan kerana masyarakat bukan Islam di Kelantan lebih memahami hasrat kerajaan negeri,” ujar beliau.
Sementara itu, Penasihat DHPPK Jeff Lee berkata sudah sampai masanya pihak parti MCA diajak berdebat dalam soal perlaksanaan hukuman hudud ini.

Beliau ditemui di sidang media bertempat di Pejabat Pusat Khidmat Dun Kota Lama semalam. Turut hadir ahli jawatankuasa DHPP Kelantan.

“Kami mencabar MCA yang selama ini sering mempolitikkan isu hudud sedangkan mereka tidak mengetahui perkara sebenar,sepatutnya mereka mengambil usaha datang mengunjungi kerajaan Kelantan seperti mana mereka mendapat penjelasan dalam isu judi dulu,” kata beliau.

MCA turut dicabar membawa seberapa ramai ahli maupun masyarakat luar untuk mendapat penjelasan terus dari Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Kalau nak harapkan pihak rakan mereka dalam BN seperti umno sudah tentu lah mereka tidak akan mendapat maklumat tepat kerana umno sendiripun menentang perlaksanaan hukuman ini,” katanya lagi.

DHPP Kelantan juga mengecam sikap pimpinan MCA yang mempolitikkan isu ini dan menimbulkan rasa takut dalam masyarakat bukan Islam di Kelantan.

Menurut beliau lagi berdasarkan pengalaman masyarakat bukan Islam di Kelantan kerajaan tidak pernah meminggirkan mereka dalam semua dasar dan aktiviti kerajaan negeri.

Lee juga berkata masyarakat bukan Islam di Kelantan telah menerima penjelasan berkaitan enekmen Kanun Jenayah Syariah 2 sejak ia diluluskan pada tahun 1993 lagi, Cuma ia digembar gemburkan oleh pihak yang dengki dengan keharmonian masyarakat di Kelantan sahaja.

“Saya juga berharap selepas ini tidak akan berbangkit lagi soal terima atau tidak terhadap perlaksanaan hukum hudud kerana ia hanya untuk masyarakat Islam sahaja, mengapa kita perlu takut, adakah kita sering melakukan kesalahan seperti mencuri dan berzina itu, yang saya hairan lagi ialah orang umno yang mengaku Islam sendiri pulak yang menentangnya dan ini adalah semata-mata kepentingan politik sahaja,” katanya lagi.

Kenapa saya ditahan setelah jadi baik - Bob Lokman

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Pelawak, pengacara dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman (gambar) hairan dengan tindakan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menahan beliau setelah menjadi baik, tetapi tidak ketika dia sedang bergelumang dalam arus keduniaan sewaktu berada dalam dunia hiburan dulu.

Tindakan Jais itu disifatkan oleh beliau seolah-olah mahu menyekatnya supaya tidak menjadi baik, sebaliknya untuk mendorongnya agar terus hanyut dalam arus keduniaan seperti masa lalu.

Menurut Bob, walau apa pun halangan yang menimpa, beliau tidak akan berganjak dengan pendiriannya sekarang untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah dan terus meninggalkan kehidupan glamour serta penuh kelalaian.

Sehubungan itu, beliau akan terus melakukan kerja-kerja dakwah dengan mendekati pelbagai golongan dalam masyarakat termasuk para penagih dadah untuk mengajak mereka kembali ke jalan Allah.

Katanya, sekiranya terdapat undangan dari pelbagai pihak untuk menyampaikan ceramah, beliau juga bersedia memenuhi undangan itu sekadar terdaya untuk menyampaikan mesej Islam, di samping tidak mahu menghampakan pihak terbabit.

"Saya tidak kira soal larangan dari Jais atau sebarang pihak untuk saya berceramah. Jika larangan itu bukanlah yang patut saya ikut, saya tak akan ikut," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Begitu juga dengan sekatan yang dikenakan oleh pihak Jabatan Agama Islam ke atas beliau untuk menyampaikan ceramah disebabkan tidak mempunyai tauliah, perkara itu juga tidak berbangkit dalam kehidupannya.

"Tauliah itu bukanlah satu perkara yang penting. Perkara yang penting bagi saya adalah melakukan pekerjaan yang baik iaitu kerja-kerja Islam.

"Jadi, kenapa mesti ada sekatan ke atas saya dan kenapa pula saya mesti patuhi sekatan-sekatan itu, sedangkan yang saya sampaikan kepada orang ramai itu adalah perkara yang betul," katanya.

Malam tadi, Bob Lokman ditahan oleh Jais kerana dipercayai atas alasan menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah, setelah beliau selesai menyampaikan ceramah selepas solat Maghrib di hadapan kira-kira 70 jemaah di Masjid Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.

Beliau dibawa ke Balai Polis Batu 18 di Hulu Langat dan dilepaskan kemudiannya. Ketika insiden itu, kira-kira 25 penguatkuasa Jais, pihak polis dengan 2 buah kereta, Kadi Hulu Langat turut hadir bagi tujuan itu.

Bob yang juga penulis lirik lagu kesukaan ramai 'Isabella' diminta hadir ke Pejabat Agama Daerah Hulu Langat sebelum tengah hari ini bagi memberikan kenyataan.

Selain beliau, Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Sany Hamzan bagi pihak penganjur majlis ceramah itu diminta hadir ke pejabat agama tersebut bagi memberikan kenyataan.  

Mengulas perkara itu, Bob yang juga cucu ulama terkenal Kelantan, Tok Kenali, mengesahkan penahanannya malam tadi dan turut menegaskan tidak hadir ke Pejabat Agama Daerah Hulu Langat seperti yang diarahkan itu.

Baginya, menghadirkan diri ke pejabat agama tersebut seperti yang diarahkan itu merupakan suatu tindakan yang tidak perlu, malah hanya membuang masa dan wang.

"Saya juga tidak merasakan perlu mematuhi arahan itu kerana pada saya mereka yang melakukan tangkapan ke atas saya itu bukan melakukan kerja untuk agama, tetapi untuk Umno," katanya.

Sebelum beliau ditahan dan dibawa ke balai polis, menurutnya, beliau telah bertanyakan beberapa soalan kepada Kadi Hulu Langat tetapi soalan-soalan tersebut tidak dapat dijawab oleh kadi berkenaan.

"Mereka yang datang untuk menangkap saya itu juga mengakui saya tidak menyampaikan perkara yang salah di dalam ceramah saya itu tetapi hanya kerana tanpa tauliah.

"Pada saya, apa yang dilakukan ke atas saya itu jelas arahan politik. Jadi tak perlulah saya ikut arahan mereka itu, malah pada saya mereka bukanlah orang yang wajar saya hormati," katanya.

Beliau secara tegas menjelaskan, mereka yang melakukan tangkapan dan mengenakan sebarang larangan terhadap seseorang yang melakukan pekerjaan baik untuk Islam bukanlah pihak yang wajar dihormati.

Menyentuh tentang tauliah untuk menyampaikan ceramah, beliau juga menegaskan tidak perlu baginya untuk mendapatkan tauliah tersebut kerana tindakan itu juga jelas mempunyai kaitan dengan permainan politik Umno BN.

"Amat pelik dengan apa yang dilakukan ke atas saya. Saya ditangkap setelah saya selesai menyampaikan ceramah. Pada hal jika mereka tak mahu saya berceramah di masjid itu, mereka sepatutnya menangkap saya sebelum berceramah.

"Saya pula hadir ke majlis itu atas undangan. Kalau saya dilarang berceramah sebelum saya masuk ke masjid oleh pihak Jais, saya tak akan berceramah.

"Jadi, ini amat jelas tangkapan atas arahan politik Umno BN, bukannya tangkapan kerana kerja-kerja Islam, manakala saya pula melakukan kerja-kerja Islam, jadi tak perlulah saya ikuti arahan mereka itu," tegas beliau.

Ketika diminta hadir ke Pejabat Agama Islam Hulu Langat tengah hari ini, Bob Lokman turut sibuk ke Putrajaya untuk menyampaikan ceramah atas undangan pihak tertentu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mendakwa Umno terlibat dalam pemeriksaan Jais ke Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU) pada 3 Ogos lalu.
Antara jam 9.45 hingga 12 malam, sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa Jais bersama 10 anggota polis dari IPD Petaling Jaya telah melakukan pemeriksaan terhadap satu program iaitu "Thanks Giving Dinner" di Hall 3, GMDU Dream Centre, No 2 Jalan 13/1 Seksyen 13, Petaling Jaya.
Sementara itu, Adun Meru yang Pesuruhajaya PAS Selangor, Dr Rani Osman dan Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Khalid Samad telah ditarik balik tauliah oleh Jais.

Unifi dan Streamyx kenakan cukai 6% mulai 1 Januari

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Pengguna Unifi dan Streamyx akan dikenakan cukai perkhidmatan kerajaan sebanyak 6 peratus mulai 1 Januari 2012 nanti.

Hal ini disahkan sendiri oleh operator TM net yang ditugaskan untuk melayan pertanyaan pelanggan-pelanggan mereka, lapor blog really.tigaline.com.

Blog itu telah menyiarkan rakaman perbualan dengan operator TM bagi membukti perkara itu.

Ini bermakna, hanya cukai prabayar sahaja yang ditangguhkan oleh kerajaan ekoran bantahan yang dibuat oleh rakyat Malaysia baru-baru ini.
(Klik untuk dengar rakaman perbualan dengan operator TM Net)
12 September lalu, media melaporkan, cadangan pelaksanaan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus terhadap pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar yang dijadualkan mulai 15 September ditangguhkan sehingga kajian mengenainya selesai.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, keputusan tersebut dicapai setelah kementeriannya mengadakan pertemuan bersama empat pengendali utama telekomunikasi di negara ini.

"Perundingan yang melibatkan pengurusan utama Celcom, Maxis, Digi dan U-Mobile itu berlangsung dalam suasana cukup baik dan kesemua mereka telah bersetuju untuk menangguhkannya dan tidak dilaksanakan seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Mereka menerima baik nasihat kementerian, pandangan kerajaan serta sentimen yang dilahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut di Angkasapuri di sini hari ini.

Antara yang hadir dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly; CEO Kumpulan Maxis, Sandip Das; CEO Kumpulan Digi, Henrik Clausen dan CEO U-Mobile, Dr. Kaizad Heerjee.

Najib di luar negara pada Hari Kemerdekaan

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Kerajaan hari ini mengesahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat lawatan ke Perth, Australia sewaktu negara menyambut Hari Kemerdekaan negara ke-54 pada 31 Ogos lalu.
Dalam jawapan bertulis kepada soalan Tian Chua (PKR-Batu), kerajaan memaklumkan lawatan 'peribadi' Najib itu bermula 31 Ogos hingga 3 September 2011.
"Untuk makluman Dewan yang mulia ini, lawatan YAB Perdana Menteri ke Perth, Australia pada 31 Ogos hingga 3 September 2011 merupakan lawatan peribadi," jawapan itu dipetik.
Tian Chua dalam soalanya sebelum itu menanyakan apakah matlamat utama rombongan Perdana Menteri ke Kazakhstan pada Jun dan Perth pada Hari Merdeka serta kos yang terpaksa ditanggung kerajaan untuk rombongan itu.
Dalam jawapannya, kerajaan memaklumkan kos lawatan Perdana Menteri ke Kazakhstan pada 5 dan 6 Jun adalah RM1,072,213.22, manakala tiada sebarang kos dinyatakan untuk lawatan peribadi Najib ke Perth.
Isu Najib bercuti di luar negara pada Hari Kebangsaan lalu sebelum ini pernah didedahkan media dan blog.
Mereka mempersoal tindakan perdana menteri itu yang dilihat tidak wajar diwaktu rakyat disuruh menghayati semangat patriotik sedangkan beliau bertindak sebaliknya.
Memetik laporan Malaysiakini 2 September lalu, kali terakhir Perdana Menteri dikesan ialah pada 30 Ogos lalu di Istana Negara untuk acara rumah terbuka Aidilfitri dan Rumah Terbuka Jemaah Menteri di Seri Perdana, Putrajaya.
Beliau didakwa hanya mengeluarkan kenyataan Hari Kebangsaan melalui Facebook dan Twitter pada hari berikutnya.
Bagaimapun dengan bercuti di luar negara pada hari kebesaran negara seperti Hari Kebangsaan, Najib menjadi bidasan pelbagai pihak ketika pemimpin BN dan Umno berterusan menyerang pemimpin pembangkang yang didakwa tidak patriotik kerana mempersoalkan peranan dan sumbangan beberapa wira negara.
Guna pesawat khas RM9 juta
Najib juga didakwa menggunakan sebuah pesawat Airbus A319-11X yang memaparkan logo 1Malaysia di ekor pesawat berkenaan.
Web AviationWA melaporkan pesawat itu mendarat di Perth menggunakan ‘nama panggilan’ "November Romeo 1" atau NR1, yang kebetulan sama dengan pangkal nama perdana menteri.
Pada 4 Oktober lalu, dalam jawapan kepada soalan Nurul Izzah Anwar (PKR Lembah Pantai), kerajaan menjelaskan sebanyak RM9 juta telah dibelanjakan bagi menyewa sebuah pesawat Airbus A319-IIX yang diguna Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sewaktu percutiannya di Perth Australia.
Pesawat tersebut disewa daripada Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (PMB) bermula 3 Ogos 2007 lagi untuk kegunaan pemimpin terpenting di dalam kerajaan termasuk Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan juga Timbalan Perdana Menteri.
Bagi tempoh Januari sehingga Ogos 2011, kerajaan memberitahu kekerapan penggunaan pesawat adalah meliputi 155 sektor di dalam dan luar negara dengan kos penggunaan berjumlah RM9.1 juta yang meliputi kos bahan api pesawat, caj tempat dan kendali, sajian serta logistik krew pesawat.

Isu Kampung Baru sebagai manifesto Pakatan

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik hasrat Pakatan Rakyat untuk membatalkan Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru 2011 yang diluluskan Dewan Rakyat minggu lalu jika Pakatan Rakyat menawan Putrajaya dalam PRU ke 13 nanti.
“Bagi DPPM, kenyataan inilah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia terutama Orang Melayu yang sudah tertipu dengan mainan politik Umno BN,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar).
Katanya, Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru 2011 menjadi saksi dan bukti bahawa Umno yang selama ini melaungkan slogan membela Melayu kini menjadi pengkhianat Melayu.
Menurutnya, rakyat sudah tidak boleh memaafkan kesalahan pemimpin Umno yang sanggup menggadaikan tanah warisan orang Melayu di Kuala Lumpur ini kepada Perbadanan yang akan menentukan nasib orang Melayu Kampung Baru.
“Jika masyarakat India boleh berbangga dengan adanya Little India di Brickfields, bangsa Cina boleh bangga dengan adanya Petaling Street khusus untuk orang Cina, apakah salah orang Melayu memiliki Kampung Baru?” soalnya.
Tambahnya, pemimpin Umno yang sebangsa dengan orang Melayu kini sudah tidak boleh menjadi pautan orang Melayu, sebaliknya Umno hanya membela golongan elit yang setaraf dengan mereka sahaja.
Beliau berkata, orang-orang Melayu pasti akan berduka memikirkan nasib mereka yang semakin samar dan tidak menentu.
Katanya, beberapa kampung di sekitar Kuala Lumpur bakal menjadi mangsa seterusnya ‘pembangunan’ hasil kegopohan sang penguasa.
Justeru, ujarnya tidak ada jaminan kampung-kampung Melayu yang lain tidak diambil alih dengan sewenang-wenangnya.
Beliau menambah, orang Melayu Kuala Lumpur dianggap merempat dan tiada nilai di sisi masyarakat.
Menurutnya lagi, mereka yang bersetinggan sejak sekian lama bukan setakat tidak dibantu, malahan habis dibersihkan.
Katanya, orang Melayu hanya layak duduk dikampung-kampung dengan mengusahakan kerja-kerja pertanian dan penternakan sahaja.
Justeru, tegasnya DPPM akan menjadikan agenda Kampung Baru sebagai agenda penting bagi menggerakkan kesedaran anak-anak muda bahawa rakyat Malaysia perlu berubah terutama dalam menghadapi PRU ke 13 nanti.
Katanya lagi, kepercayaan bahawa hanya Umno membela Melayu adalah suatu mitos yang boleh dihilangkan dari minda rakyat terutama anak-anak muda.
“Anak-anak muda  perlu mengenali budaya politik baru Malaysia iaitu parti yang mengutamakan rakyat, bersih, adil, berkomitmen serta tidak rasuah adalah pilihan masa depan manakala parti yang korup, tidak bermaruah, rasuah, mementingkan diri sendiri, sarat dengan skandal adalah parti yang perlu ditolak,” ujarnya.
DPPM juga, katanya meminta pemimpin Pakatan Rakyat agar menjadikan isu Kampung Baru di dalam manifesto Pakatan Rakyat bagi menghadapi PRU ke 13.
Ini, ujarnya penting bagi membuktikan Pakatan Rakyat adalah parti yang melaksanakan kata-kata, bukan hanya beretorik semata-mata.

Pelbagai keraguan tentang pangkalan udara Sg Besi

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Sikap kerajaan yang enggan menjelaskan pelbagai keraguan tentang Pembangunan Pangkalan Udara Sungai Besi akan mengakibatkan rakyat menanggung bebannya, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar).

"Pembangunan Pangkalan Udara Sungai Besi yang dilihat umum sebagai 'projek Taek Jho Low' menjadi keutamaan Belanjawan 2012 dan dimasukkan di dalam perlaksanaan Rolling Plan Kedua yang diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

"Kerajaan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) jelas tidak mempedulikan keresahan rakyat sejak dari awal lagi apabila pengkalan udara yang mempunyai nilai strategik dan sejarah itu dipindah milik dengan penuh kontroversi kepada 1MDB (1Malaysia Development Berhad)," kata beliau.

Bukan sahaja pindah milik tersebut amat meragukan dan menghapuskan kepentingan strategik dari segi pertahanan serta nilai sejarah pengkalan udara tersebut, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, malah selepas itu berlaku pula keraguan demi keraguan yang lain.

"Sampai hari ini, rakyat masih menanti jawapan apa perlunya 1MDB melabur secara tunai sebanyak sebanyak RM3.5 billion dalam PetroSaudi International Limited yang kemudiannya melabur pula lebih dari RM1.5 bilion UBG Berhad di mana Jho Low menjadi ahli lembaga pengarahnya.

"Rakyat juga mempersoalkan apa perlunya penglibatan syarikat-syarikat luar seperti Mubadala Development Company dan Qatar Investment Authority sebagai pihak yang memajukan projek yang digelar 'projek Taek Jho Low' itu sedangkan syarikat-syarikat tempatan lebih berkemampuan?" kata Salahuddin.

Kerajaan, katanya, sepatutnya menjelaskan terlebih dahulu keraguan-keraguan tersebut sebelum meneruskan tindakan memajukan Pangkalan Udara Sungai Besi yang begitu dipertikaikan itu.

Salahuddin juga melihat belanjawan itu lebih mementingkan projek-projek yang bersifat 'projek Taek Jho Low' dari menyelesaikan masalah dan penderitaan rakyat, .

"Ketika projek yang orang panggil 'projek Taek Jho Low' mendapat keutamaan, tidak ada langsung Rancangan Tebatan Banjir (RTB) untuk negeri-negeri seperti Kelantan, Kedah dan Sabah yang juga menghadapi masalah banjir yang teruk sama seperti Perlis, Perak dan Johor yang menerima projek itu.

"Ini belanjawan rakyat atau belanjawan Taek Jho Low?" beliau mempersoalkan.

Salahuddin menyifatkan apa yang berlaku itu menunjukkan kerajaan tidak memberikan keutamaan kepada masalah dan penderitaan rakyat yang perlu diutamakan.

"Bangunan-bangunan di Kuala Lumpur mempunyai terlalu banyak ruang kosong yang belum digunakan, apa perlunya 'projek Taek Jho Low' di Sungai Besi itu?

"Nampak sangat bangunan pencakar langit yang berlebihan melalui 'projek Taek Jho Low' itu yang ditamakan.

"Agaknya sebab itulah isteri Perdana Menteri berminat sangat dengan belanjawan ini," kata beliau.

Baru-baru ini, perjumpaan tertutup berprofil tinggi antara Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dengan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan yang terlibat dengan penyediaan belanjawan itu turut dihadiri oleh isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurut Bernama, antara yang hadir dalam pertemuan itu ialah Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Timbalan-timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Datuk Donald Lim Siang Chai, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Rosmah dan Jho Low
Menjadi pengetahuan umum bahawa Rosmah mempunyai hubungan rapat dengan Jho Low.

Baru-baru ini, jutawan muda penuh kontroversi itu mengakui beliau adalah kawan baik kepada Rosmah.

"Rosmah bukan emak angkat saya. Dia adalah kawan baik saya," kata Jho Low kepada akhbar berbahasa Cina, Kwong Wah Yit Poh, ketika ditanya hubungannya dengan keluarga Perdana Menteri.
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates