Barisan Hakim Kemelut MB Perak

Inilah barisan lima panel hakim yang mendengar dan membuat keputusan sebulat suara menolak rayuan DS Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin mengenai kedudukan MB Perak yang sah.


Mereka memutuskan DS Dr Zambry sebagai MB Perak.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, mengetuai panel hakim yang mendengar kes.

Panel ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong dari Mahkamah Persekutuan.

Pemuda Ansoorullah . Siri 01

Kearah Melahirkan Pemuda Ansoorullah

1. Pemuda adalah sayap penting bagi perjuangan Islam yang suci ini justeru pemuda jualah yang digantung harap oleh Nabi saw untuk mendokong cita - cita perjuangan baginda saw.

حالفني الشباب و خالفني الشيوخ

...yang mendokong perjuanganku ialah pemuda sementara yang membelakangiku ialah orang - orang tua ...

al hadith

2. Pemuda Ansoorullah ialah :

a ] Pemuda yang siap siaga untuk menyahut tanpa sebarang rasa ragu terhadap seruan perjuangan bagi menegakkan syariat Allah swt di atas muka bumi ini .

b ] Menjunjung segala peraturan dan arahan jamaah , tidak gentar mendepani cabaran malah bersedia menghadapi apa jua implikasi perjuangan , biarpun terpaksa mengorbankan segala kepentingan diri sendiri . Firman Allah swt di dalam surah as Shaff Ayat 14 :


Wahai orang-orang Yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (ugama) Allah sebagaimana (Keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?" mereka menjawab: "Kamilah pembela-pembela (ugama) Allah!" (setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang Yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang Yang menang.

3. Prinsip utama pemuda Ansoorullah ialah kesediaan yang tidak berbelah bahagi untuk turun ke medan bagi menunaikan tanggungjawab dan amanah perjuangan bersama slogan serta ikrar pejuang yang berbunyi " إما نصر و إما شهادة " iaitu : samaada menang atau gugur sebagai syuhada' .

4. Ansoorullah merupakan kualiti dan tahap piawaian yang ingin dicapai oleh Dewan Pemuda PAS melalui pelbagai aktiviti yang disusun dan diatur . Menggarap semua lapangan gerakkerja yang melibatkan :

a ] amal tarbawi [ pengkaderan ] ,
b ] amal siasi [ politik ] ,
c ] amal kebajikan dan
d ] dakwah [ penerangan ] .

5. Memahami PAS sebagai sebuah Gerakan Islam , sayugialah para pemudanya terdiri dari kalangan pemuda yang menepati piawaian Ansoorullah dalam semua aspek .

a ] Ansoorullah dalam aqidah [ pegangan dan prinsip ]
b ] Ansoorullah dalam fikrah [ pemikiran dan pandangan ]
c ] Ansoorullah dalam akhlak [ keperibadian dan moral ]
d ] Ansoorullah dalam aktiviti [ gerakkerja dan penglibatan ]

6. Namun asas utama untuk mencapai piawaian sebagai pemuda Ansoorullah ialah :

a ] Tasawwur Ilmu Islam yang jelas dan tepat .
b ] Ilmu pengetahuan dalam semua aspek yang diperlukan .
c ] Keiltizaman bersama aktiviti pengkaderan dan pembinaan jamaah
d ] Tahap taqarrub yang erat dan intim dengan Allah swt .
e ] Intima' [ penglibatan atau penyertaan ] berasaskan aqidah perjuangan .

7. Bermodalkan Islam sebagai produk tunggal yang kini telah dibawa ke pasaran terbuka untuk menemui hampir 30 juta pengguna di dalam negara kita , sememangnya memerlukan pemuda yang pro aktif , kreatif dan agerasif [ bertaraf Ansoorullah ] dalam pelbagai sektor bisnesnya seperti sektor "pengilangan" , "pemasaran" dan "penjualan" agar produk tersebut diterima dan dipakai oleh semua pengguna tanpa prejudis dan ragu terhadapnya .

8. Dewan Pemuda PAS melalui slogannya yang mulia " Duta Penyelamat dan Kasih sayang " serta slogan mesra anak mudanya " Orang Muda Geng Kita " telah merangka aneka rupa dan wajah aktiviti untuk meletakkan Dewan Pemuda PAS dan Islam yang diperjuangkan berada di dalam hati setiap anak muda di dalam negara kita .

9. Perlu juga saya tegaskan disini bahawa Pemuda Ansoorullah bukan pemuda yang kasar dan ganas , bukan juga pemuda yang ekstrim dan subversif . Sebaliknya pemuda Ansoorullah ialah pemuda yang mewarisi kemulian akhlak dari baginda Rasulullah saw dengan meletakkan diri sebagai :

a ] Pemuda yang beriman dan bertaqwa
b ] Pemuda yang berilmu pengetahuan dan berwibawa
c ] Pemuda yang berorientasikan syariah dan sunnah
d ] Pemuda yang berhemah dan berhikmah
e ] Pemuda yang berjiwa besar dan lapang dada
f ] Pemuda yang tangkas dan berani
g ] Pemuda yang cerdas dan cergas
h ] Pemuda yang sabar dan tabah
i ] Pemuda yang amanah dan setia .

10. Kita tidak mahu penyertaan anak - anak muda bersama PAS hanya mengekalkan peribadi dan kualiti yang lama sebagaimana sebelum mereka menyertai PAS . Sebaliknya Dewan Pemuda PAS wajar "menaiktaraf" kan mereka agar menjadi pemuda Ansoorullah melalui pelbagai aktiviti pengkaderan , pembinaan dan pembentukan aqidah , fikrah serta syakhsiah tanpa menafikan kecenderungan dan minat mereka dalam gaya dan penampilan hidup yang tidak bertentangan dengan syara' .

11. Melahirkan Pemuda Ansoorullah bukan bermaksud menukar minat pemuda motor kepada pemuda gasing demikian juga tidak bermaksud menukar minat pemuda futsal kepada pemuda layang - layang dan pemuda seni muzik kepada pemuda kertas kerja sebagaimana kita tidak menukar pemuda ceramah dan kuliah kepada pemuda congkak dan catur .

12. Sebaliknya Pemuda Ansoorullah bermaksud pemuda yang dibina aqidahnya agar mereka miliki aqidah yang sohih , dibina fikrahnya agar mereka miliki fikrah Islam yang syumul dan dibina syakhsiahnya agar mereka miliki syakhsiah yang soleh . Ertinya kita mahu kualiti pemuda yang mengikuti acuan perjuangan kita iaitu Islam .

a ] Pemuda boleh bermain futsal tetapi menjadi pemain futsal yang sohih aqidahnya , syumul fikrah Islamnya dan soleh akhlaknya .

b ] Pemuda boleh memandu motorsikal tetapi menjadi pemandu yang sohih aqidahnya , syumul fikrah Islamnya dan soleh akhlaknya .

c ] Pemuda boleh menyertai seni tetapi menjadi ahli seni yang sohih aqidahnya syumul fikrah Islamnya dan soleh akhlaknya .

bersambung ........

Jangan Lunturkan Nilai Wala'

Cintailah Jamaah Jangan Mengkhianatinya .

1. Antara prinsip keutuhan dan kekuatan berjamaah ialah perlaksanaan konsep al wala' yang betul dan benar .

2. Istilah al wala' memberi banyak erti dan nilai perlaksanaan ke arah membentuk sebuah Gerakan Islam yang mantap dan berwibawa .

3. Selain kesetiaan , kejujuran , tidak berlaku curang , tidak khianat terhadap jamaah serta kepimpinannya , al wala' juga meletakkan anggota dan pimpinan jamaah sedia akur terhadap dasar dan prinsip serta peraturan dan arahan jamaah . Dengar dan taat menjadi sebahagian daripadanya .
4. Tanggapan al wala' akan menjadikan anggota jamaah terkongkong dan tidak bebas untuk memberi pandangan dan teguran terhadap pimpinan mereka , adalah satu tanggapan yang liar dan tidak berasas . Sebaliknya tanggapan itu lebih bersifat prejudis terhadap prinsip mulia ini . Ia dilihat sebagai satu percubaan untuk membebaskan diri dari ikatan al wala' bagi membolehkan ia bebas tanpa kawal , mengkritik jamaah dan pimpinan secara terbuka sekaligus melondehkan segala kelemahan dengan meng"atasnama"kan kebebasan bersuara dan hak individu [ peribadi ] dalam bertindak , menulis dan bersuara .

5. Al Wala' sebagaimana saya sebutkan diatas menjadi asas keutuhan berjamaah , justeru ia adalah manifestasi dari sebuah kesetiaan dan kejujuran berjuang dan berjamaah . Kesetiaan dan kejujuran ini pula membawa kita membina ukhuwwah fillah [ persaudaraan berasaskan iman dan taat kepada Allah swt ] . Prinsip inilah menjadikan jamaah kita utuh dan sukar ditembusi oleh "peluru" musuh untuk memporakperandakan jamaah dari dalam .

6. Al Wala' bukan mengongkong anggota jamaah tetapi mengawal dan membentenginya agar kukuh dan kuat . Jika sesebuah organisasi biarpun apa dasar perjuangannya membebaskan diri dari kesetiaan dan kejujuran lalu membiarkan anggota bebas keluar dan masuk serta bebas pula mengkritik dan melondehkan kelemahan , saya yakin organisasi itu sedang menuju kehancuran dan kemusnahan .

7. Sewajarnya diinsafi bahawa :

a ] Kesilapan adalah untuk diperbetulkan ,
b ] Kelemahan adalah untuk diperbaiki dan
c ] Kekurangan adalah untuk ditampung .

Lantaran itu , Gerakan Islam seperti PAS sememangnya telah menyediakan saluran yang mencukupi untuk sebarang usaha

a ] memperbetulkan kesilapan ,
b ] memperbaiki kelemahan dan
c ] menampung segala kekurangan .

Ianya sayugia dilakukan oleh anggota dan pimpinan jamaah malah ia boleh dilakukan dalam prinsip al Wala' yang benar dan tepat tanpa perlu membebaskan diri dari ikatan al Wala' juga tidak perlu membuat satu usaha untuk memberi persepsi yang salah dan buruk terhadap konsep al Wala' .

8. Al Wala' tidak menghalang anggota untuk menegur pimpinan mereka demikian juga sebaliknya . Sebagaimana Al Wala' pula tidak membenarkan anggotanya mematuhi arahan pimpinan secara membabi buta sekalipun membabi celik . Apa yang dikehendaki dari al Wala' ialah bersedia untuk menegur pemimpin jika ia salah dan bercanggah tindakannya dengan syara' demi setia dan jujur kepada jamaah . [ bukankah Islam mengajar tiada dengar dan taat kepada makhluk dalam perkara yang memaksiatkan khaliq - Allah swt ]

9. Namun ia tidak bermaksud merendah dan menjatuhkan kredebiliti juga maruah pimpinan dengan kritikan dan teguran yang tidak beradab serta terbuka kepada umum seperti sengaja mahu membina persepsi buruk dan negatif terhadap pimpinan agar mudah untuk diguling dan dijatuhkan kelak . Wal'iyazubillah .

Dalam kedudukan yang sama , dengar dan taat kepada pimpinan selama mana ia tidak menyuruh ke arah melakukan maksiat dan mungkar adalah satu kewajipan dan amanah anggota terhadap kepimpinannya . [ bukankah Islam mengajar kita dengar dan taatlah kepada pimpinan sekalipun dalam perkara yang kita suka atau tidak suka .] bacaan lanjut boleh klik di Dengar dan Taat Arahan Pimpinan.

10. Prinsip tegur menegur , bina membina , nasihat menasihati dan kritik mengkritik adalah suatu yang sangat baik malah turut diajar oleh agama bahkan saya sangat setuju ianya dihidup suburkan dalam jamaah tetapi biarlah ia berlaku dalam suasana :

a ] Mahabbah fillah [ kasih sayang kerana Allah ] ,
b ] Ukhuwwah fillah [ persaudaraan kerana Allah ] ,
c ] Al Wala' [ kesetiaan dan kejujuran terhadap jamaah ]
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates