Pengundi Sarawak positif terima PAS

BATANG SADONG, 6 April: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melihat adanya perkembangan positif khususnya penerimaan pengundi terhadap kehadiran parti itu di Sarawak, jauh berbeza dengan pilihan raya yang lalu.
Ini, katanya setelah PAS membuat tinjauan dengan bertemu pengundi di kelima-lima Dun yang dipertandingkan oleh PAS pada pilihan raya negeri ke-10 ini.
Beliau berkata, PAS meletakkan 40 peratus calon wanita dan 60 peratus calon lelaki dalam pilihan raya negeri Sarawak.
“Walaupun PAS belum memperolehi satu Dun pun di Sarawak, tetapi kali ini kita melihat adanya petunjuk bahawa perubahan akan berlaku dan PAS, insya Allah beroleh kemenangan,” ujarnya.
Justeru, katanya rakyat Sarawak mesti memberi isyarat kepada kerajaan yang telah puluhan tahun memerintah tetapi terus dihimpit kemiskinan dan kekurangan kemudahan infrastruktur.
Beliau yang juga ahli Parlimen Marang menambah, Sarawak kaya dengan hasil bumi kerana tanahnya sangat luas namun tidak dibangunkan dengan adil.

Takziah: Bawa 'kain putih' kalau disiasat SPRM

KUALA LUMPUR, 6 April: Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat kesal dengan kejadian yang berlaku ke atas seorang pegawai kastam yang bertugas di Pelabuhan Klang yang ditemui mati ketika dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.
Sambil menyuarakan rasa kesal dengan kejadian yang tidak sepatutnya berlaku itu, mereka juga turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham di atas kematiannya yang agak tragis.
Ahli Parlimen Shah Alam (PAS), Khalid Samad berkata, kematian Allahyarham menimbulkan satu tanda tanya yang sama juga dengan mendiang Teoh Beng Hock kerana ia dilaporkan terjatuh ketika dalam proses siatan SPRM.
Menurut beliau, perkataan terjatuh memberikan gambaran tidak sengaja, tetapi yang menimbulkan tanda tanya, yang dikatakan terjatuh itu bukan kanak-kanak tetapi orang dewasa.
"Kalau kanak-kanak yang jatuh mungkin benar tidak sengaja kerana melompat dan sebagainya tetapi kalau orang dewasa, ini mungkin kerana terpaksa melompat atau ditolak," katanya ketika mencelah perbahasan yang sedang disampaikan oleh Ahli Parlimen Indra Mahkota (PKR), Azan Ismail, pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum itu, Azan ketika berucap membahaskan pembentangan Rang Undang-undang Perkapalan Saudagar (Pindaan dan Peluasan) 2010 bagi bacaan kali kedua, turut menyentuh perkara itu dan turut merakamkan rasa kesal, terharu serta takziah kepada keluarga mangsa bagi pihak dirinya serta kesemua rakan-rakannya ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat.
Sehubungan itu, beliau turut mendesak Dewan Rakyat agar mengambil perhatian serius mengenai perkara itu supaya mendesak kerajaan jangan membiarkan lagi kejadian seperti itu berlaku pada masa akan datang.
"Kejadian terbaru ini jelas akan lebih menghakiskan lagi kepercayaan rakyat terhadap SPRM. Secara kebetulannya pula mangsa dan SPRM adalah sama-sama dari agensi penting kerajaan yang sama-sama terlibat dengan tugas penguatkuasaan undang-undang," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani (PKR), Datuk Johari Abdul ketika bangun mencelah berkata, kejadian terbaru itu ternyata bukan sekadar menghakiskan lagi kepercayaan rakyat terhadap SPRM, tetapi menjadikan SPRM bukan lagi agensi yang boleh diharapkan lagi untuk melakukan penyiasatan, tetapi tempat kematian.
"Selepas ini kalau ada sesiapa lagi yang akan disiasat oleh SPRM termasuk ahli-ahli Parlimen sendiri mestilah turut membawa bersama kain putih," katanya sinis.
Ahli Parlimen Balik Pulau, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff yang juga dari PKR ketika bangun untuk turut memperkatakan perkara itu turut bersetuju dengan hujahan tersebut, tetapi dihalang oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk diperkatakan dengan lebih jauh.
Sebelum itu, kesemua ahli Parlimen terbabit turut gagal untuk memperkatakan perkara itu dengan lebih jauh kerana dihalang keras oleh beliau, atas alasan perkara itu menyimpang dari tajuk perbahasan.
Ketika membangkitkan perkara itu, mereka turut diganggu oleh wakil BN yang membawa gambaran kejadian itu adalah kejadian amat kecil kepada mereka dan tidak perlu dibangkitkan di Dewan Rakyat.

Penjelasan SPRM berhubung kematian pegawai kastam

KUALA LUMPUR, 6 April: Berikut adalah penjelasan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysian (SPRM) yang dihantar kepada Harakahdaily berhubung kematian seorang pegawai kastam pagi tadi.
Pada hari ini, 6 April 2011 di antara jam 10.15 pagi hingga jam 10.20 pagi satu kejadian telah berlaku di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Cochrane, Kuala Lumpur dimana seorang individu telah ditemui meninggal dunia.
Individu yang ditemui meninggal dunia ini dikenal pasti sebagai Ahmad Sarbani Mohamed, 56, seorang Penolong Pengarah Kastam daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Selangor.
SPRM mengesahkan bahawa penama berkenaan adalah di antara pegawai Kastam yang telah ditahan pada 1 April 2011 jam 1.00 tengahari di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, Pelabuhan Kelang.
Penama tersebut setelah membantu dalam siasatan yang melibatkan operasi 3B iaitu satu siasatan berkaitan kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, telah dilepaskan melalui jaminan pada hari Sabtu 2 April 2011 jam 12.30 tengahari.
Penama tersebut telah pun meninggalkan pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selepas dilepaskan melalui jaminan tersebut.
Pada hari ini, Rabu 6 April 2011 jam 8.26 pagi, penama berkenaan telah datang ke Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersendirian dengan menunggang sebuah motorsikal.
Penama ini telah meminta untuk berjumpa dengan pegawai penyiasat bagi berbincang mengenai kes terhadapnya.
Oleh kerana pegawai-pegawai sedang bermesyuarat maka penama berkenaan telah menunggu di lobi pejabat sehingga jam 9.30 pagi.
Penama tersebut kemudian telah diiringi oleh seorang pegawai ke bilik pejabatnya untuk mendapatkan pegawai penyiasat menemui penama tersebut.
Pegawai yang mengiringi penama tersebut telah berada bersamanya dalam bilik pejabat pegawai berkenaan.
Pada jam lebih kurang 10.15 pagi, pegawai yang mengiringi beliau telah meninggalkan penama tersebut di pejabatnya dan keluar sebentar pergi mendapatkan pegawai penyiasat.
Dalam beberapa minit kemudian, pegawai tersebut telah kembali ke pejabatnya dan mendapati penama berkenaan tiada dalam bilik berkaitan.
Setelah mencari dalam kawasan pejabat, seorang pegawai telah terlihat satu tubuh manusia terlantar di tingkat 1 bangunan pejabat ini.
SPRM telah pun memaklumkan kejadian ini kepada keluarga simati dan pihak pengurusan jabatannya serta menyerahkan perkara ini kepada pihak Polis untuk mengambil sebarang tindakan.

2 wanita 3 lelaki dipilih PAS untuk keputusan terbaik

KUCHING, 5 April: PAS mensasarkan untuk menghantar sekurang-kurang seorang hingga tiga wakilnya ke dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak dalam pilihan raya negeri kali ini, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali.

Untuk itu, katanya, PAS yakin pilihan raya negeri Sarawak kali ini adalah yang terbaik akan dicapai oleh PAS selepas dua kali menyertai pilihan raya negeri sebelum ini.
(Gambar: Abang Ahmad, Beting Maro [kiri] dan Adam Ahid, Sebuyau [kanan sedang bercakap], dua dari lima calon PAS dalam PRN Sarawak)

Sebelum ini, dalam pilihan raya negeri 2001, PAS bertanding tiga kerusi DUN namun pada tahun 2006 hanya satu kerusi sahaja. Pilihan raya kali ini, PAS bertanding lima kerusi.

Kerusi yang dipertandingkan oleh PAS dalam pilihan raya kali ini adalah Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang dan Tanjung Datu. Rakan PAS, DAP akan bertanding di 15 kerusi manakala PKR akan bertanding di 49 kerusi selepas usaha perundingannya dengan Snap gagal.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi bersama timbalannya, Nasharudin Mat Isa yang menjadi pengarah pilihan raya ini berada di sini sejak beberapa hari lalu.

Dalam pilihan raya ini, PAS meletakkan dua calon wanita manakala tiga calon lelaki.

Calon-calon wanita PAS adalah Puan Hani Shafi di Tanjung Datu dan Puan Noraini Hamzah (gambar kiri) di Muara Tuang.

Tiga lagi calon PAS adalah Pesuruhjaya PAS, Adam Ahid akan bertanding di Sebuyau dalam Parlimen Batang Lupar.

Sementara itu, Abang Ahmad Kardee, seorang peguam muda anak tempatan Beting Maro akan bertanding di situ dalam pilihan raya kali ini. DUN ini juga terletak dalam Parlimen Batang Lupar di Sarawak Tengah.

Seorang lagi calonnya adalah Ketua Pemuda PAS Sarawak, Abang Eddy Allyanni Abang Fauzi yang akan bertanding di Sadong Jaya. Dalam pilihan raya umum 2008, Abang Eddy adalah calon PAS di Parlimen Batang Lupar namun tewas di tangan calon BN, Datuk Ruhani Karim.

Semalam, PAS telah memperkenalkan tiga calonnya kepada penduduk tempatan. Presiden PAS,  Abdul Hadi Awang memperkenalkan memperkenalkan Abang Ahmad di Beting Maro, timbalannya, Nasharudin Mat Isa memperkenalkan Adam Ahid di Sebuyau, manakala Mustafa memperkenalkan Nuraini di Muara Tuang.
Ustaz Hadi mengumumkan calon PAS Beting Maro di Kampung Beladin iaitu rumah Haji Alem Din, bekas calon PAS di situ dalam pilihan raya 2006.

Pengumuman itu dibuat ketika beliau menyampaikan amanat kepada jentera dan penyokong PAS DUN Beting Maro.

Pada majlis tersebut beliau telah mengumumkan Abang Ahmad Kardee Bin Abang Masagus, 32 tahun sebagai calon PAS untuk menghadapi pilihanraya Sarawak pada kali ini.

Malam ini, Abdul Hadi dan Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan memperkenalkan Puan Hani Shafi yang akan bertanding di Tanjung Datu manakala Mustafa akan memperkenalkan Abang Eddy di Sadong Jaya

Sarawak: Sekitar Penamaan Calon N.15 Muara Tuang






Penamaan calon di DUN N.15 Muara Tuang melibatkan calon dari PAS yang mewakili Pakatan Rakyat manakala PPB mewakili dari Barisan Nasional. Pertandingan melibatkan antara PAS dan PPB. Proses penamaan calon ditutup jam 10 pagi.

Pimpinan PAS yang hadir termasuklah Dato Seri Nizar Jamaluddin selaku ADUN Pasir Panjang yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, Mahfuz Omar selaku Ahli Parlimen Pokok Sena dan ramai lagi.

Perang bermula..Pakatan siap siaga

Cuaca pagi ini di Kucing amat baik. Tenang. Tiada kesibukan di sekitar jalanraya yang seolah tiada apa yang besar sedang berlaku, walaupun hari ini adalah untuk pertama kalinya dalam sejarah pilihan raya Sarawak, Pakatan Rakyat akan menetakkan calon di hampir kesemua kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Semalam berbondong-bondong tiba barisan pimpinan Pakatan Rakyat, kesemuanya kelihatan berada sekitar Kucing.Yang kelihatan ialah Timbalan Pengerusi PKR Azmin Ali, pimpinan PKR Dato Mansor Othman dan dua Naib Presiden PAS Dato Mahfuz Omar dan Salehudin Ayob.

Barisan Petugas dari Kelantan, Perak, Terengganu dan Pulau Pinang dari pelbagai komponen parti Pakatan Rakyat juga tiba bertali arus di Lapangan Terbang Kuching.

Dato presiden Pas TG Haji Hadi Awang dan Timbalan Presiden Nasharuddin dikhabarkan telahpun berkampung beberapa hari di sekitar lima kawasan yang ditandingi Pas.

Kebanyakan yang tiba bertanyakan status potensi kemenangan, yang bercampur baur antara kesungguhan menumbangkan Barisan Nasional. Khabarnya isu-isu Nasional bukan menjadi fakta penarik kempen di sini, kecuali hal-hal berkaitan dengan masyarakat setempat. Kemunduran dan kebajikan rakyat Sarawak yang dilihat mempunyai lompang luas antara dua kelas masyarakatnya.. yang kaya raya dan miskin kedana.


PJ PAS Sarawak Hj Adam Ahid bertanding di Sebuyau menerima watikah dari TGHH



Puan Noraini Hamzah, calon Muara Tuang


Calon Tanjung Datu

Abang Ady calon Saadong Jaya


Presiden telah menyampaikan amanat kepada lima calon PAS di Pejabat Perhubungan PAS Sarawak. Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Presiden, Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung dan Pengarah Pilihanraya PAS Pusat.

Beliau berkata, calon memikul amanah dan wajib memeliharanya, serta sesiapa sahaja yang mengkhianati amanah, pasti akan mendapat balasan dari Allah swt.

PAS bertanding Sadong Jaya, Sebuyai, Tanjung Datu, Beting Maru dan Muara Tuang. PAS berpotensi memenangi sekurangkurang tiga daripada kerusi ditandingi.

Mengikut sumber DAP pula berpotensi besar untuk terus mengekalkan kerusi yang dimenanginya pada pilihanrayalepas di kesemua kawasan bandar yang ditandinginya, malahan akan memenangi beberapa kerusi lagi kerusi baru, manakala PKR akan banyak berhadapan tugas berat untuk menentang BN, khususnya.

PILIHANRAYA ADALAH JIHAD

"Kerja pilihanraya adalah jihad.."
2 Jamadil Awal 1432 H | 5 April 2011
KUCHING, 5 April: Petugas PAS diingatkan agar jangan membazirkan masa untuk menjawab dan terperangkap dengan isu remeh yang dirancang oleh lawan sempena pilihan raya negeri Sarawak.

“Dalam masa yang sama, jangan sekali-kali kita membiarkan kepayahan dalam melaksanakan tugas kita mengganggu tugas dan amanah kita dalam pilihan raya kali ini,” ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.


Sehubungan itu, katanya PAS mengajak seluruh petugas, ahli dan penyokong PAS dalam Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-10 untuk memfokuskan kepada gerak kerja mendekati pengundi dan seterusnya mengajak mereka untuk membuat perubahan bersama PAS dan Pakatan Rakyat.
Moga Allah mempermudahkan segala urusan...
Katanya, kepada seluruh petugas pilihan raya yang diamanahkan menjalankan tugas gerak kerja pilihan raya ini, janganlah berlengah lagi untuk turun membantu.

Ini, ujarnya kerana kerja buat dalam pilihan raya ini adalah satu jihad yang sangat besar ertinya kepada perjuangan PAS itu sendiri.


Beliau juga ingin memperingatkan kepada semua bahawa sepanjang tempoh berkempen dan pilihan raya ini sudah tentunya fokus PAS dan Pakatan Rakyat akan cuba dipesongkan menerusi provokasi, fitnah dan pembohongan yang diaturkan sebegitu rupa melalui media cetak dan televisyen sepanjang masa.


“Jangan sekali-kali kita terpedaya dengan permainan lawan kita, dan biarlah mereka pula yang mengikut rentak kita yang bersama dengan rakyat.


“Mesej yang ingin kita sampaikan kepada pengundi mestilah jelas dan mudah difahami oleh pengundi,” katanya lagi. - Harakahdaily

Sibuk dengan video, BN naik harga minyak

KUALA LUMPUR, 5 April: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, isu video telah memerangkap rakyat Malaysia sehingga hilang fokus kepada isu yang sebenar.
Katanya, ketika rakyat sibuk membincangkan isu video, kerajaan BN telah menaikkan harga minyak RON 97 sebanyak 20 sen seliter kepada RM2.70 manakala SPRM mengumumkan negara rugi RM108 bilion setiap tahun angkara rasuah dan aktiviti haram yang lain.
Tambahnya, kebijaksanaan pemimpin BN mengalihkan isu sebenar dengan permainan media mereka sehingga lupa kepada isu tidak kemampuan BN menguruskan negara.
Begitu juga, ujarnya dengan Buku Jingga sampai sekarang tidak ada jawapan yang mantap untuk menjawabnya oleh pemimpin Umno BN.
“Mereka hanya mampu mengatakan Buku Jingga boleh bawa bankrap jika Pakatan Rakyat laksanakan apabila mereka memerintah walaupun jawapan balas sudah diberikan dengan fakta tentang kemampuan PR melaksanakan agenda Buku Jingga,” katanya kepada Harakahdaily.
Pakatan Rakyat, katanya jangan pula lalai dengan isu video sehingga lupa untuk agenda perubahan untuk rakyat.
Menurutnya, semua maklum isu Buku Jingga pihak BN berada dalam keadaan defensif.
“Mereka hanya upah pemimpin Umno Sabah untuk bercakap mengenai Buku Jingga di dalam parlimen walaupun kadang-kadang tidak masuk stesen sehingga di dalam parlimen askar upahan BN membincang Buku Jingga dan terlupa bincang titah Diraja,” katanya.
Tegasnya, PAS yakin isu video akan menjadi senjata makan tuan kerana rakyat sudah mual dengan politik lucah yang tidak berkesudahan.
“Apakah ini politik transformasi Datuk Seri Najib Tun Razak?
“Apakah rakyat boleh kenyang dengan video lucah? Apakah dengan isu ini inflasi negara akan menurun?” soalnya.

Video Tulen ? ... Pelakon ? 62Share

1. Ketua Polis Negara berkata bahawa pakar tempatan telah meneliti video seks yang menjadi bahan fitnah ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim baru - baru adalah tulen bukannya palsu. Persoalannya , apakah manafaatnya membuat pengesahan demikian ? Tulen atau tidak video itu bukan asas dan pokok dalam isu ini. Kerana jika ia disahkan tulen sekalipun, ia kekal sebagai bahan yang tidak menepati piawai untuk membuat tuduhan zina malah ia turut terdedah kepada ruang manipulasi yang ketara.

2. Tuduhan zina mestilah [sama hukumnya terhadap tuduhan liwat] melibatkan 4 orang saksi.
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka  sebat (deralah) mereka (yang menuduh itu) delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik

Surah  An-Nur : Ayat 4

Sungguhpun ayat ini menyebut mengenai tuduhan terhadap perempuan, namun hukumnya sama terhadap tuduhan ke atas kaum lelaki dan ianya menjadi sepakat para ulama' sebagaimana yang disebut di dalam Jame' Li ahkaamil Quran oleh al Qurtubi.

3. Datuk T yang kononnya dikatakan saksi hanya melibatkan 3 orang, ertinya belum mencukupi bilangan 4 orang saksi yang dikehendaki oleh Islam. Tambahan pula syarat saksi itu, selain dari mereka mestilah saksi yang adil [ tidak pernah melakukan dosa besar dan tidak mengekalkan dosa kecil ], mereka juga mestilah menyaksikan perlakuan zina itu sebagaimana masuknya batang celak ke dalam botol celak.

4. Jika hanya menyaksikan melalui rakaman video, ia tidak menepati kehendak syariat dalam membuat tuduhan. Sekalipun videonya disahkan tulen tetapi pelakunya [watak pelakunnya] masih terdedah kepada manipulasi dan kepalsuan. Justeru dunia moden hari ini, tidak hairan video sedemikian boleh dihasilkan tambahan pula dalam bentuk filem hitam putih.

5. Saya masih ingat sebuah filem yang pernah saya saksikan di atas kapal terbang dalam perjalanan saya ke Mesir pada satu ketika dahulu, iaitu filem lakonan John Travolta dan Nicholas Cage yang berjudul Face Off. Saya tidak mengingati keseluruhan jalan cerita filem ini, tetapi apa yang saya masih ingat ialah bagaimana mereka menukar wajah antara dua watak [John Travolta menjadi Nicholas Cage dan Nicholas Cage pula berwajah John Travolta] sehingga isteri mereka sendiri tidak dapat membezakan antara keduanya. Walaupun itu hanyalah watak dalam sebuah lakonan tetapi apa yang saya mahu sebut bahawa filem dan lakonan boleh menghasilkan apa saja yang dikehendaki oleh skripnya. Filem yang saya tonton itu pula adalah filem original \ tulen dan sharp pula gambarnya.


[Kecanggihan teknologi di dalam industri perfilem hari ini memungkinkan directornya menghasilkan apa sahaja bentuk filem dan lakonan yang ia mahukan. Bukan sahaja mahu menjadikan seorang pelakon itu berupa Anwar, malah untuk berupa seekor serigala juga boleh, pontianak pun boleh sehingga kita bisa sahaja menganggap pelakon itu benar - benar telah menjadi serigala atau pontianak seperti dalam filem Van Hestling, Under World, Wolf dan lain - lain dan semua filem itu di cop original.]


6. Justeru itu, saya tegaskan di sini, isunya bukan pada ketulenan video tersebut tetapi kepada kaedah membuat tuduhan yang tidak menepati syara' dan pula perlakuan menyebarkan serta mempertontonkan video lucah kepada umum adalah suatu yang jelas bersalahan dengan agama dan mereka berdepan dengan hukum Qazaf serta undang - undang kerana memiliki dan menyebarkan video lucah.

[Saya bimbang berlaku sebagaimana yang pernah saya alami seketika dulu. Apabila saya membuat report polis mengenai kecurian harta awam yang dilakukan oleh seorang manusia yang saya kenal malah saya namakannya kepada pihak berkuasa, malangnya, saya yang membuat report terpaksa terperok di dalam balai polis  hampir 6 jam kerana di soal siasat oleh pihak polis sementara pihak pencuri iitu sehingga hari ini lepas dan bebas.]

7. Sepatutnya pihak polis segera bertindak ke atas mereka yang memiliki dan menyebarkan video lucah tersebut. Bukan hanya berusaha meneliti ketulenan videonya sahaja. Kalaupun benar video itu tulen, pelakun tidak semestinya sama dengan individu yang difitnah. Boleh jadi dua serupa, boleh jadi ia mengenakan topeng berteknologi tinggi, atau ... atau ... 1001 kekeliruan dan kemungkinan yang mencetus kesangsian. Pastinya kita tidak boleh menuduh seseorang dalam keadaan tidak pasti, keliru dan sangsi.

8. Ummat Islam sewajar menjadikan kaedah dan format Islam sebagai asas untuk proceed sesuatu tuduhan dan menerima prosuder tersebut. Jelas Islam adalah agama yang sangat memelihara maruah manusia agar tidak mudah dieksploit untuk menjayakan misi fitnah pihak yang tidak bertanggungjawab. Apabila tuduhan itu tidak menepati piawaian Islam, maka tuduhan itu mesti digugurkan jika tidak ia menjadi fitnah.

9. Saya juga teringat satu kisah yang berlaku kepada seorang tokoh pejuang Islam sewaktu saya belajar di Syria sekitar tahun awal 90an. Ia bermula apabila pihak Special Branch [SB] cuba meletakkan dadah dalam handbag tokoh pejuang Islam tersebut yang telah ditahan lebih 10 jam di Airport Damascus. Percubaan itu adalah menghasilkan bukti bagi menjayakan misi mereka menangkap tokoh pejuang Islam tersebut setelah segala soal siasat awalnya gagal untuk mensabitkan beliau bersalah bagi membolehkan beliau ditahan. Alhamdulillah, percubaan itu digagalkan oleh Allah swt apabila ada hamba Allah ternampak perbuatan jahat pihak SB tersebut.

10. Ada orang tanya saya, ustaz ! kenapa ada manusia tergamak berbuat demikian ? tiada hati perutkah mereka ? bagaimana kalau ayah mereka atau ibu, isteri dan anak mereka difitnah sedemikian rupa, apa perasaan mereka ? kenapa mereka tergamak ? Apa yang boleh saya jawab ? melainkan saya hanya berkata : " kalau manusia ini tidak ada gamak, nescaya aman lah dunia ini. Lantaran mereka ada gamak lah, macam - macam berlaku di atas muka bumi ini yang kadangkala terkeluar dari rasional aqal yang waras."

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan
Nasrudin bin Hassan

Had 50 penyokong untuk tutup malu BN

KOTA SAMARAHAN, 5 April: Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan peraturan yang menghadkan seramai 50 orang penyokong sahaja mengiringi calon parti-parti yang bertanding bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak pada penamaan calon esok adalah untuk menutup malu BN.
Ini kerana kata Khalil, setiap kali pilihan raya, penyokong Pakatan Rakyat lebih ramai daripada penyokong BN.
"Saya melihat peraturan ini tidak lebih dari usaha untuk menutup malu BN apabila setiap kali pilihan raya lebih ramai penyokong Pakatan Rakyat mengiringi calonnya.
"Mereka juga datang tanpa diupah dan datang sejak awal secara sukarela. Berbeza jauh dengan penyokong BN, walaupun 50 orang yang ditetapkan, saya pasti ianya perlu dengan sejumlah upah kepada mereka," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau turut mempersoal kewajaran peraturan itu dibuat sedangkan Perlembagaan Negara membenarkan rakyat berhimpun secara aman.
"Saya masih tidak memahami di manakah kewajaran peraturan sedemikian diadakan dalam keadaan Perlembagaan negara yang membenarkan rakyat berkumpul secara aman dengan tujuan yang dibenarkan.
"Rakyat Sarawak sudah menunggu hampir 5 tahun untuk menghadapi 'Pesta Demokrasi' namun cuba dihalang oleh peraturan yang bukan-bukan," katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Perak.
Menyifatkan peraturan tersebut sebagai tidak masuk akal, tambahnya, SPR seolah-olah mengikut telunjuk pihak tertentu sejak dari awal lagi apabila membuat peraturan sedemikian.
"Sepatutnya SPR memberi kebebasan kepada mana-mana calon yang akan bertanding untuk membawa seramai mana penyokongnya. Kalaulah hanya 50 orang saya kira keluarga terdekat sudah memadai, mana lagi penyokong yang lain?
"Atau SPR sudah mahu menafikan petugas Pakatan Rakyat dari Semenanjung yang sudah berkampung di seluruh pelusuk Sarawak untuk sama-sama mengiringi calon Pakatan Rakyat?" soalnya.
Beliau berkata, peraturan tersebut boleh manjadi kayu ukur kepada pengundi di negeri ini mengenai ketakutan BN sejak awal lagi kepada untuk berdepan dengan Pakatan Rakyat di semua kerusi yang dipertandingkan.
"Sesungguhnya inilah peluang terbaik kepada pengundi di Sarawak untuk memberi harapan baru kepada Pakatan Rakyat untuk meneraju Sarawak yang lebih baik dimasa akan datang," katanya.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini mengumumkan peraturan tersebut hari ini dan berkata penyokong-penyokong yang lain tidak dibenarkan berada berhampiran bangunan yang digunakan untuk proses penamaan calon itu.
SPR turut melarang penyokong parti yang bertanding membawa alat-alat muzik seperti gendang dan trumpet, serta pembesar suara ketika proses penamaan calon.

Jangan terpedaya janji 5 tahun sekali

KOTA SAMARAHAN, 3 April: Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan rakyat Sarawak agar menjaga perinsip dan maruah diri dan tidak terlalu mudah 'dibeli' dengan sedikit habuan menjelang pilihan raya negeri ini.

Berucap sewaktu melancarkan gerak kerja pilihan raya bagi Dun Muara Tuang ,(gambar)  malam tadi, presiden PAS itu berkata, rakyat sebenarnya berkuasa memilih pemimpin mana yang baik untuk menjadi wakil mereka dan bukan memelih kerana dibeli.

“Rakyat di negeri jangan memilih pemimpin yang cuba membeli kita pada musim-musim (pilihanraya) seperti ini.

“Kita mempunyai maruah yang tinggi dan berkuasa menentukan siapa pemimpin yang perlu kita pilih,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Turut hadir dalam majlis perlancaran berkenaan, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Omar.

Sambil mengingatkan rakyat agar memilih pemimpin yang mampu membangkitkan masalah mereka, Tuan Guru Abdul Hadi berkata Sarawak tidak memerlukan pemimpin yang hanya turun lima tahun sekali untuk menabur janji.

Apatah lagi ujarnya, selama BN memerintah di Sarawak, mereka hanya menjaga kroni-kroni mereka khususnya yang rapat dengan Ketua Menteri (KM) Sarawak, Penin Sri Haji Abdul Taib Mahmood.

“Kita tidak mahu pemimpin yang hanya muncul lima tahun sekali dan membeli kita dengan menabur pelbagai janji pembangunan.

“Negeri Sarawak kaya dengan pelbagi hasil sepeti minyak, balik dan hasil bumi yang lain. Tetapi kekayaan itu hanya berpusing disekitar mereka (BN) dan yang rapat dengan KM,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Sarawak menjadi antara negeri yang termiskin di Malaysia akibat kerakusan pemimpin BN di negeri ini yang mencuri duit rakyat.
(Presiden PAS bergambar dengan petugas PAS di Muara Tuang- gambar Rizal Tahir)

Sehubungan itu, rakyat nasihatnya, perlulah memilih pemimpin yang amanah dengan harta negeri dan ini dibuktikan oleh pemimpin PAS yang telah memerintah di negeri seperti Kelantan, Terengganu (1999-2004) dan Kedah.

Tambahnya lagi, PAS yang dasarnya ialah Islam, memberi jaminan sesekali tidak menganggu hak agama lain untuk mengamalkan amalan agama mereka.

“Menjadi dasar  PAS yang asasnya Islam, menjamin hak dan amalam agama lain. Islam membenarkan agama lain diamalkan secara bebas tanpa diganggu,” ujarnya.

Blogger Pakatan bentuk Revolusi 2013

KUALA LUMPUR, 3 April: Hasil pemukiman blogger yang menyokong Pakatan Rakyat (PR) hari ini, berjaya membentuk satu gerakan Revolusi 2013 yang menjurus ke arah membangkitkan kesedaran minda dalam kalangan rakyat menjelang PRU 13 nanti.
Presiden gerakan penulis maya, Tarmizi Mohd Jam berkata, dengan wujudnya platform ini bakal membolehkan semua blogger PR bertindak dengan lebih pantas, bersepadu dan berkesan.
Katanya, gerakan Revolusi 2013 ini diharapkan menjadi landasan berkesan dalam usaha PR meyakinkan rakyat untuk mereka kembali melihat keperluan terdesak memberikan sokongan kepada PR dan menolak BN.
Revolusi 2013 yang menggunakan tagline Bebaskan Malaysia, Selamatkan Rakyat akan menjalankan peranan mereka menerusi media maya yang dibenarkan oleh undang-undang negara dengan melihat usaha ini perlu dan amat perlu disegerakan.
"Semua pihak yang menyokong Pakatan Rakyat akan meneruskan usaha konvensional selama ini dengan ceramah dan media cetak untuk mereka yang tiada capaian internet, gerakan ini pula melangkaui sempadan dan warna kulit.
"Kita sedar ramai di kalangan mereka yang tidak mempunyai capaian internet bagi mengikuti perkembangan semasa dengan lebih cepat, namun ada usaha yang perlu dilakukan lebih sedikit oleh pemimpin parti peringkat tempatan.
"Mereka boleh melayari internet dan mengikuti perkembangan politik semasa dan di masa sama mereka boleh mencetak atau menayangkan semula kepada anggota masyarakat dan rakyat menerusi kemudahan teknologi tertentu yang mereka miliki," tegasnya.
Program dua hari ini diadakan di Ampang dengan perasmian dan penutupnya oleh Exco Penerangan Kerajaan Kelantan, Datuk Dr Mohammed Fadzli Datuk Hassan.
Dua pembentangan kertas kerja bertindak telah dilakukan oleh Pengasas Zentrum Future Studies yang juga pensyarah kanan Jabatan Media dan Komunikasi UM, Prof Dr Abu Hassan Hasbullah dan AJK PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Buat Seluruh Pimpinan dan Anggota PR

Pakatan Rakyat
Namanya hebat
Gelombangnya dahsyat

Pakatan Rakyat
Pemimpinnya berbakat
Pendokongnya sepakat
Berjuang membawa berkat

Pakatan Rakyat
Mendokong negara berdaulat
Menentang pemimpin yang jahat
Agar generasi kita selamat

Pakatan Rakyat
Perjalanannya tidak dekat
Walau mereka halang dan sekat
Namun pejuangnya tidak pernah penat

Pakatan Rakyat
Pemimpinnya bijak dan handal bersilat
Sekalipun difitnah dan diumpat
Mereka mendada bisa menyengat

Pakatan Rakyat
Untuk sampai ke Putrajaya dengan cepat
Saf - saf kita mesti rapat
Sedikit berkhilaf segera tangan berjabat
Jangan dibiarkan masaalah busuk berulat

Pakatan Rakyat
Betulkan Niat
Kepada tuhan yang Maha Kudrat
Menjelang pilihanraya yang semakin dekat
Kerja kuat dan senantiasa munajat

Pakatan Rakyat
PRu13 mendapat tempat
Ingat ! bila dipilih jangan melompat
Senang di dunia parah di akhirat

Pakatan Rakyat
Bersatu kita kerana hormat menghormat
Gagah kita kerana muafakat
Wibawa kita kerana tolak maksiat

Pakatan Rakyat
Kini menjadi harapan masyarakat
bangkitlah sebelum terlambat
Jangan sampai rakyat meluat

bangkitlah , bangkitlah , bangkitlah sebelum terlambat
Jangan sampai rakyat meluat .

sekian.
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates