Had 50 penyokong untuk tutup malu BN

KOTA SAMARAHAN, 5 April: Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan peraturan yang menghadkan seramai 50 orang penyokong sahaja mengiringi calon parti-parti yang bertanding bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak pada penamaan calon esok adalah untuk menutup malu BN.
Ini kerana kata Khalil, setiap kali pilihan raya, penyokong Pakatan Rakyat lebih ramai daripada penyokong BN.
"Saya melihat peraturan ini tidak lebih dari usaha untuk menutup malu BN apabila setiap kali pilihan raya lebih ramai penyokong Pakatan Rakyat mengiringi calonnya.
"Mereka juga datang tanpa diupah dan datang sejak awal secara sukarela. Berbeza jauh dengan penyokong BN, walaupun 50 orang yang ditetapkan, saya pasti ianya perlu dengan sejumlah upah kepada mereka," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau turut mempersoal kewajaran peraturan itu dibuat sedangkan Perlembagaan Negara membenarkan rakyat berhimpun secara aman.
"Saya masih tidak memahami di manakah kewajaran peraturan sedemikian diadakan dalam keadaan Perlembagaan negara yang membenarkan rakyat berkumpul secara aman dengan tujuan yang dibenarkan.
"Rakyat Sarawak sudah menunggu hampir 5 tahun untuk menghadapi 'Pesta Demokrasi' namun cuba dihalang oleh peraturan yang bukan-bukan," katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Perak.
Menyifatkan peraturan tersebut sebagai tidak masuk akal, tambahnya, SPR seolah-olah mengikut telunjuk pihak tertentu sejak dari awal lagi apabila membuat peraturan sedemikian.
"Sepatutnya SPR memberi kebebasan kepada mana-mana calon yang akan bertanding untuk membawa seramai mana penyokongnya. Kalaulah hanya 50 orang saya kira keluarga terdekat sudah memadai, mana lagi penyokong yang lain?
"Atau SPR sudah mahu menafikan petugas Pakatan Rakyat dari Semenanjung yang sudah berkampung di seluruh pelusuk Sarawak untuk sama-sama mengiringi calon Pakatan Rakyat?" soalnya.
Beliau berkata, peraturan tersebut boleh manjadi kayu ukur kepada pengundi di negeri ini mengenai ketakutan BN sejak awal lagi kepada untuk berdepan dengan Pakatan Rakyat di semua kerusi yang dipertandingkan.
"Sesungguhnya inilah peluang terbaik kepada pengundi di Sarawak untuk memberi harapan baru kepada Pakatan Rakyat untuk meneraju Sarawak yang lebih baik dimasa akan datang," katanya.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini mengumumkan peraturan tersebut hari ini dan berkata penyokong-penyokong yang lain tidak dibenarkan berada berhampiran bangunan yang digunakan untuk proses penamaan calon itu.
SPR turut melarang penyokong parti yang bertanding membawa alat-alat muzik seperti gendang dan trumpet, serta pembesar suara ketika proses penamaan calon.

0 ulasan:

 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates