Kebangkitan Rakyat Mesir : Saat Sekutu Israel Dijatuhkan Allah

  1. Mesir dikenali bukan kerana piramidnya. Ini kerana binaan yang menakjubkan bukan sahaja wujud di Mesir, tetapi juga di Indonesia dengan Candi Borobudur, di China dengan Tembok Besar, Patung Zues di Olimpia, Greek dan banyak lagi binaan-binaan lain di seluruh dunia. Bukanlah kemuliaan dan kehebatan Mesir di kehebatan binaan piramidnya yang lebih merupakan lambing kezaliman penguasa terdahulu terhadap rakyatnya di zaman tersebut.
  2. Sesungguhnya kehebatan Mesir ialah kerana Universiti al-Azhar yang diasaskan pada tahun 970M. Itulah hebatnya Mesir. Bumi anbiya’ yang dipilih Allah SWT untuk menjadi tuan rumah kepada universiti tertua di dunia ini telah melahirkan generasi ulama terbilang yang bertebaran menyebarkan ilmu ke serata dunia. Atas kemuliaan ini, pemimpin Mesir sewajarnya terdiri daripada mereka yang mempunyai komitmen dengan Islam.
  3. Sayangnya, Mesir hari ini ditadbir oleh rejim diktator yang sedikitpun tidak mencerminkan kemuliaan Universiti al-Azhar. Lihatlah bagaimana Syed Qutb telah dibunuh dengan kejam hanya kerana menulis kitab Maalim fit Tariq dan tafsir Fil Zilal al-Quran. Sekalipun dibunuh atas tuduhan memberontak, beliau tetap dipuji oleh ulama-ulama terkemudian seperti Syeikh Mutawalli Sya’rawi dan Dr. Zaghloul Najjar. Kedua-dua ulama ini setiap kali menyebut nama Syed Qutb pasti akan diikuti denganrahimahullah rahmatan wasiatan (semoga Allah merahmatinya dengan rahmat yang luas).
  4. Kezaliman rejim Hosni Mubarak di Mesir terbukti dengan kemenangan besarnya yang dicemari dengan penyelewengan besar-besaran setiap kali diadakan pilihanraya. Kemenangannya yang mencapai 99% merupakan hasil demokrasi tempang dan cacat. Di dalam masa yang sama, rejim inilah yang menangkap ribuan pimpinan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang mereka bertanding di dalam pilihanraya. Jika benar Hosni Mubarak menang besar di dalam pilihanraya dengan sokongan rakyat, dari mana datangnya penunjuk perasaan yang berjumlah ratusan ribu pada hari ini?
  5. Rejim inilah juga yang menghulurkan tangan persahabatan dengan Israel pada saat Israel dikutuk di seluruh dunia kerana menzalimi rakyat Palestin. Mereka menidakkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa al-Azhar pada 18 Jamadil Awwal 1375H bersamaan 2 Januari 1956M yang mengharamkan sebarang bentuk kerjasama dengan negara haram Israel. Di antara mereka yang bersidang pada hari itu ialah Syaikh Isa Manun, Dekan Fakulti Syariah dari Mazhab Syafi'i, Syaikh Mahmoud Shaltout, dari Mazhab Hanafi, Sheikh Mohamed Thaneikhi, Pengarah Badan Dakwah dan Bimbingan Keagamaan, dari mazhab Maliki, Syaikh Muhammad Abdul Lathif As-Subki, Pengarah Penyelidikan Universiti Al-Azhar dari mazhab Hanbali dan Syaikh Zakaria Al-Birri, Bahagian Jawatankuasa Fatwa.
  6. Sesungguhnya tangan Hosni Mubarak ialah tangan berlumuran dengan darah rakyat Palestin. Kekuasaannya tegak di atas susunan tulang tulang para ulama yang dikorbankan demi untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Hari ini, tindakan paling tidak demokratik telah dilaksanakan dengan menutup semua akses internet dan talian telefon semata-mata untuk membendung kebangkitan rakyat.
  7. Dalam hal ini, saya menyetujui pandangan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi supaya Hosni Mubarak meletakkan jawatan dan akur dengan kehendak rakyat Mesir demi kebaikan rakyat Mesir dan umat Islam keseluruhannya. Semoga Allah SWT akan menaikkan penguasa yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat dan Islam khususnya membela nasih umat Islam di tanah yang bersempadan dengan Mesir iaitu Palestin. Padanlah kalau pihak yang kecut perut sekarang ini dengan perkembangan yang berlaku ialah Israel.

Sekian, wasalam.

Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan merangkap al-Mursyidul Am PAS.

Bertarikh : 27 Safar 1432H bersamaan 1 Februari 2011M

Demo Hari Ini

Jangan patah semangat kerana sudah dijangka

TEMERLOH, 31 Jan: Kekalahan PAS pada pilihan raya kecil Dun Tenang tidak seharusnya melemahkan semangat petugas-petugas Pakatan Rakyat kerana ia berlaku sebagaimana yang telah dijangka.

Demikian kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya ke Harakahdaily lewat petang semalam dalam mengulas keputusan muktahir PRK Dun Tenang.

Calon BN pada PRK Tenang, Mohd Azahar Ibrahim mendapat 6,699 undi menewaskan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Normala Sudirman atau Cikgu Mala yang memperolehi 2,992 undi dengan majoriti 3,707 undi.

Meskipun berjaya mempertahankan kerusi Dun Tenang, namun BN gagal mencapai majoriti sasaran iaitu 5,000 undi sebagaimana yang pernah dihasratkan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Namun apa yang perlu diambil perhatian ialah perlunya diperkukuhkan kekuatan parti di semua lokaliti. PAS dan seluruh parti komponen seharusnya mempunyai kekuatan asas yang kukuh di setiap peti undi.

“Kegagalan kita membina kekuatan asas akan menyukarkan kita menghadapi sebarang bentuk pilihanraya. Di Dun Tenang, kita harus akui kelemahan PAS sama ada di peringkat cawangan atau keahlian,” nasihat Tuan Ibrahim.

Namun, katanya, kemenangan BN yang hanya beberapa bulan ini sebelum pilihanraya umum ke 13  akan juga menjadi kayu ukuran bagi pengundi di Tenang sejauh manakah calon yang menang akan turun membantu.

“Nasib malang bagi calon menang kerana ia akan terus diuji oleh para pengundi yang kini berhadapan dengan banjir di Labis dan Tenang. Kalau sewaktu kempen, calon turun setiap rumah, dokong orang yang nak pindah, sekarang rakyat boleh tengoklah 'wajah' sebenar calon BN tu,” kata Tuan Ibrahim.

Kepada Cikgu Mala, Tuan Ibrahim menyeru beliau untuk meneruskan usaha dan perjuangan, kerana rakyat juga akan menilai dan membandingkan sejauh mana beliau akan terus membantu masyarakat, sama ada sewaktu kita menang atau sebaliknya.

“PRU akan menanti anda, dan yakin Islam akan pasti menang,” tambahnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Sementara itu, Cikgu Mala mengucapkan terima kasih kepada kepada semua petugas-petugas, Adun-adun, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan penyokong yang membantunya dalam kempen pilihanraya kecil di Tenang.
“Jangan kita berputus asa dalam berusaha sebelum kita mendapat kejayaan dan jika kita berjaya jangan dilupa pengorbanan mereka di belakang yang banyak memberikan sokongan tidak kira waktu, hari dan perjalanan hidup ini.

Kejayaan bukan milik individu sebaliknya milik jamaah yang mantap. Teruskan berjuang untuk Pilihan Raya Kecil di DUN Merlimau N.27 yang bakal berlangsung tidak lama lagi,” kata beliau.

Dalam menyuntik semangat kepada Cikgu Mala, Adun Teja, Chang Lih Kang berkata meskipun kalah tetapi beliau sudah berjaya menawan hati ramai rakyat Malaysia.

“Dalam pilihanraya yang akan datang, Tenang akan kita tawan, seperti di Ijok dulu!” kata Chang.

BN menang tapi gagal capai majoriti sasaran


LABIS, 30 Jan: Meskipun berjaya mempertahankan kerusi Dun Tenang, namun BN gagal mencapai majoriti sasaran iaitu 5,000 undi sebagaimana yang pernah dihasratkan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Calon BN pada PRK Tenang, Mohd Azahar Ibrahim mendapat 6,699 undi manakala calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Normala Sudirman atau Cikgu Mala memperolehi 2,992 undi di mana majoriti 3,707 undi.

Keputusan PRK Tenang diumumkan jam 10.03 malam ini oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Md Asri Amir di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis di sini.

Sebanyak 10,579 pengundi daripada 14,753 pemilih berdaftar atau 71.8 peratus bagi PRK Dun Tenang keluar menunaikan tanggungjawab sehingga proses pengundian ditutup 5 petang dalam keadaan hujan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)menyifatkan jumlah peratusan itu lebih rendah berbanding pilihan raya umum 2008 iaitu 73.52 peratus.
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates