Galas: Sidang Dun Kelantan ditangguh sehari

KOTA BHARU, 9 Okt: Persidangan Belanjawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan akan ditangguhkan sehari pada 4 November ini sempena tarikh membuang undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas. 

Speakernya, Datuk Mohd Nasuruddin Daud seperti dilapor Bernama berkata, penangguhan itu bagi membolehkan anggota dewan negeri itu, sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang menumpukan perhatian kepada suasana pilihan raya itu.

Menurutnya, biarpun speaker mempunyai kuasa menangguhkan persidangan Dun tersebut ke tarikh lain, namun pihaknya tidak akan meminda dan tetap dengan tarikh 1 hingga 7 November ini.

"Kita akan teruskan juga.... Kita hanya mengambil keputusan untuk tidak mengadakan persidangan sehari pada hari pembuangan undi pilihan raya kecil DU NGalas itu bagi memberi peluang kepada kedua-dua pihak (penyokong kerajaan dan pembangkang)," lapor agensi berita itu semalam.

Bagaimanapun, beliau kesal dan terkilan kerana pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengambil kira jadual persidangan belanjawan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri dalam menentukan tarikh pilihan raya kecil itu.

Mohd Nasuruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Meranti berkata sepatutnya SPR boleh berbincang dengan pihak kerajaan negeri bagi mengelakkan pertembungan tarikh itu berlaku, jika mereka benar-benar berlaku adil dalam melaksanakan tanggungjawab itu.

Beliau mengakui pihak Dewan tidak memberitahu SPR berhubung tarikh persidangan dewan itu dan beranggapan "sepatutnya SPRlah yang perlu merujuk (perkara itu) kepada kerajaan negeri."

Dalam pada itu, Kerajaan PAS Kelantan juga bercadang untruk mengisytiharkan tarikh 4 November tersebut sebagai cuti peristiwa.

Ianya bagi memudahkan pengundi, khususnya di luar kawasan untuk pulang membuang undi.

PAS tetap lawan sekalipun Najib calon BN

SHAH ALAM, 9 Okt: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, jika Datuk Seri Najib sekalipun menjadi calon Umno di Galas, PAS tetap akan bertanding.

Ianya kerana PAS telah menetapkan pendirian untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil tersebut yang dijadual 4 November ini.

"Kita akan melawan siapa sahaja, kalau Datuk Seri Najib yang bertanding sekalipun kita akan lawan.

"Kita sudah buat keputusan untuk bertanding," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan petugas media berhubung respon Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) hari ini.

Ku Li pagi tadi menjelaskan beliau menerima tawaran sebagai Pengarah Pilihan Raya Galas, namun berhubung calon, beliau belum boleh memberi keputusan.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata beliau tidak mahu menyentuh soal calon Umno kerana itu hak mereka.

Namun bagi PAS beliau berkata, parti itu mengambil kira semua aspek dalam menentukan keberkesanan kempen pada pilihan raya itu nanti.

Ianya termasuk soal isu yang akan dibangkitkan yang dijangka sedikit berbeza dari PRK Manek Urai lalu memandangkan Galas lebih dekat dengan kawasan pekan.

"Dalam isu tempatan sudah tentulah berubah, masyarakatnya berbeza.

"Di Galas ada org asal, Tiong Hua, oleh sebab itu pendekatan, kita ambil kira.

Ditanya soal calon PAS, beliau memberitahu sedang menunggu mesyuarat PAS Kelantan yang akan memutuskannya dalam masa terdekat.

"Kita menunggu mesyuarat PAS Kelantan dalam masa terdekat," katanya.

Beliau sebelum itu melancarkan Briged Dewan Muslimat PAS (Briged Muslimat) di sini.

Galas: Pemuda PAS lancar jentera hari ini

GUA MUSANG, 10 Okt: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa meminta supaya pemuda PAS dan Pakatan Rakyat tidak terpengaruh dengan provokasi Umno serta menunjukkan contoh akhlak yang baik dalam pilihan raya kecil Dun Galas.
"Kita masuk pilihan raya kecil Dun Galas bukan kerana kematian Chek Hashim (semata-mata) tetapi sebagai tanggungjawab dakwah dan jihad kita," katanya ketika merasmikan pelancaran jentera pemuda PAS di Markaz PAS Kawasan Gua Musang, petang semalam.

Sambil bekerja untuk menang dalam pilihan raya tersebut, katanya pemuda PAS juga diseru supaya menunjukkan akhlak yang baik kepada masyarakat setempat termasuk ahli-ahli BN dan Umno.

Katanya, Pemuda PAS juga mesti mengambil peluang mengimarahkan surau-surau dan masjid-masjid dengan program-program ibadah.

Badrul Hisham yang mewakili Angkatan Muda Keadilan pula mengingatkan kepada Pemuda Umno supaya tidak melakukan provokasi seperti mana di dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

"Saya mengingatkan pemuda-pemuda Umno, ini bukan Bagan Pinang, ini adalah negeri Kelantan," tegasnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan.

Beliau turut menyatakan kesediaan Angkatan Muda Keadilan Rakyat bersama-sama PAS menggalas tanggungjawab di Dun Galas kali ini.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan pula menyeru setiap pemuda PAS mesti bersedia dari segi kekuatan fizikal, mental, dan spritual bagi menghadapi musuh dalam pilihan raya kali ini.

Nasrudin turut mensasarkan sekurang-kurangnya 5,000 pemuda akan turun ke Dun Galas.
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates