Bentuk peribadi Islam melalui tadarus al-Quran

Di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, Islam menganjurkan umatnya agar bertadarus membaca al-Quran. Ia berdasarkan kepada apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dengan Jibril berdasarkan sebuah hadis yang maksudnya:
Daripada Ibn Abbas r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat pemurah. Baginda sangat pemurah khususnya dalam bulan Ramadhan ketika Jibril menemuinya. Jibril menemuinya pada setiap malam dalam bulan Ramadhan lalu bertadarus al-Quran dengan baginda." (Hadis riwayat Bukhari).
Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
"Tidak berhimpun sesuatu kaum dalam sebuah rumah dari rumah-rumah Allah - mereka membaca kitab Allah dan bertadarus di antara mereka - melainkan turun kepada mereka ketenangan, diliputi dengan limpahan rahmat, dilingkungi oleh para malaikat dan dipuji oleh Allah Taala dalam kalangan (malaikat) yang ada disisinya." (Hadis riwayat Abi Daud).
Menurut Mohd Shamsul Haqqil 'Azim, penulis kitab Aunul Ma'bud, maksud tadarus dalam hadis di atas ialah berkongsi membaca al-Quran di antara satu sama lain.
Jelasnya, tadarus al-Quran adalah merupakan syiar yang diamalkan semenjak zaman awal Islam. Hasil daripada syiar inilah terbentuknya keperibadian Islam yang sebenarnya. Antara ciri-ciri keperibadian Islam adalah mempunyai akidah yang benar, ibadat yang betul, akhlak yang mulia, teratur dalam setiap urusannya, disiplin menggunakan waktu dan bermanfaat kepada orang lain.
Justeru, seseorang yang mempunyai keperibadian Islam tidak akan meninggalkan syiar tadarus ini. Ia adalah merupakan amalan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat bahkan diberikan kelebihan yang banyak oleh Allah SWT. Ketenangan dan limpahan rahmat daripada Allah hasil daripada tadarus ini menjadikan seseorang itu mempunyai keperibadian yang istimewa dan tersendiri berbanding dengan mereka yang tidak bertadarus.
Dengan bertadarus, seseorang akan lebih rapat dengan al-Quran. Ia menjadi temannya yang akrab, menunjukkan jalan yang lurus dan menegurnya jika melakukan kesalahan. Generasi para sabahat r.a. lahir daripada keakraban ini. Bermula dengan keruntuhan akhlak dan moral sehingga digelar hidup dalam masyarakat jahiliyyah akhirnya menjadi peribadi insan yang mulia yang digelar sebagai generasi al-Quran yang unik.
Pun begitu, bertadarus tanpa beramal dengan isi kandungan al-Quran merupakan satu penyakit yang wujud di kalangan umat Islam yang merosakkan keperibadian muslim. Mereka tidak menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan.
Firman Allah yang maksudnya: Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku Sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan Yang ditinggalkan, tidak dipakai". (Al-Furqan: 30).
Sebagai contoh kesan daripada bertadarus al-Quran sebagaimana firman Allah s.w.t  di dalam surah al-Jumuah ayat 2 yang bermaksud: “Dialah yang mengutus seorang rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri,yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya,menyucikan ( jiwa ) mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah ( sunnah ),meskipun sebelumnya,mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”
Ayat ini menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. dalam keadaan ummi iaitu tidak tahu membaca dan menulis akhirnya apabila alQuran diturunkan nabi membaca dan mengajar kepada sahabat-sahabatnya maka kesan daripada tindakan itu lahir satu generasi seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Bin Affan, Ali bin Abi Talib dan AbdurRahman bin Auf. Walaupun mereka itu pada zaman jahiliyah tergolong dalam golongan yang sesat.
Oleh kerana itulah tadarus al-Quran merupakan satu amalan yang dituntut untuk diamalkan oleh seluruh umat Islam khususnya para pendokong pejuang Islam supaya memahami tuntutan Islam itu melalui al-Quran itu sendiri.

Umno patut ikut ulama, bukan sebaliknya

KUALA LUMPUR, 3 Ogos: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib (gambar) menegaskan bahawa pemimpin Umno sepatutnya yang mengikut ulama, bukannya menyuruh ulama mengikut parti itu.
Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam Utusan Malaysia hari ini yang bertajuk “Hukum: Ulama dinasihat tidak berpihak kepada parti politik”.
Zahid dipetik berkata, “berilah nasihat tanpa kira kumpulan atau parti politik tertentu. Bukannya jika sesuatu parti itu membuat maksiat, ulama yang memihak kepada parti itu membiarkannya tetapi bertindak sebaliknya jika parti lain membuat perkara sama”.
Menurut Ustaz Harun orang yang bukan ulama hendaklah mengikut para ulama muktabar dan meminta nasihat daripada mereka dan bukannya mengarahkan para ulama mengikut telunjuk Umno.
Sehubungan itu, beliau meminta  agar Ahmad Zahid jangan menjadi seperti ketam yang mengajar anaknya supaya berjalan betul.
Seterusnya beliau menjelaskan tentang peranan ulama seperti mana yang diriwayatkan di dalam hadis dengan berkata, “seperti mana yang diriwayatkan di dalam hadis, ulama di atas muka bumi ini saling tak tumpah seperti bintang di langit, mereka dijadikan petunjuk oleh sesiapa berjalan di darat dan di laut, jika bintang tersebut tidak ada, maka hilangkan panduan bagi mereka yang berada di darat dan di laut”.
“Ulama yang muktabar ialah ulama yang mempertahankan dan menyampaikan kebenaran berdasarkan sumber al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.,” ujar beliau lagi yang juga Adun Manir.

Jimat: Nasihati Rosmah dulu sebelum ajak rakyat

PARIT BUNTAR, 3 Ogos: “Janganlah semudahnya rakyat dihidangkan dengan nasihat supaya berbelanja berhemah sebelum Najib mampu mengawal isterinya dari menjadi wanita ‘paling boros’ di abad ini,” kata Drs Khalil Idham Lim (gambar).
Beliau selaku Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Baru-baru ini yang memberi ingatan buat seluruh rakyat Malaysia muslim supaya berjimat cermat pada bulan Ramadhan ini.
“Najib nampaknya tidak henti-henti mahu perbodohkan rakyat dengan mengingatkan rakyat perlu berbelanja secara berhemah dan tidak melakukan pembaziran sepanjang menjalani ibadat puasa di bulan Ramadan,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Menurut presiden Umno itu,  ia selaras dengan semangat yang dianjurkan dalam bulan ini iaitu bulan yang telah disediakan Allah sebagai satu medan untuk membina kualiti keimanan serta ketakwaan.
Berkenaan dengan nasihat itu, kata Khalil sebenarnya Islam menuntut agar si pemberi nasihat jangan cuma pandai berucap sahaja.
“Pemberi nasihat jangan cuma pandai beri nasihat, namun dilihat dari amalannya jauh sekali seperti langit dengan bumi.
“Janganlah jadi macam ketam mengajar anaknya berjalan lurus dalam keadaan ia sendiri berjalan tidak betul,” ujarnya yang juga Adun Titi Serong.
Sehubungan itu, beliau ingin mengajukan soalan kepada Perdana Menteri, jimatkah beliau jika bil elektrik rumahnya berjumlah lebih RM700,00 sehari dan bil air pula berjumlah lebih RM100,000 sehari.
“Bil yang saya maksudkan tadi ialah kos untuk biaya sehari bil elektrik dan air kediaman rasmi Perdana Menteri, kos tersebut seolah-olah tidak masuk akal kerana mustahil Perdana Menteri dan juga isteri tinggal dalam rumah selama 24 jam tanpa keluar,” katanya lagi.
Katanya, rakyat yang tidak tahu perihal itu akan mengangguk sahaja dan terus akur dengan nasihat tersebut.
“Persoalannya adakah kita yang telah tahu hal ini boleh berdiam diri?” soalnya.
Sebelum ini, media baru mendedahkan bagaimana sikap boros yang ditunjukkan oleh isteri PM yang berbelanja boros dengan membeli cincin berharga jutaan ringgit.
Justeru, beliau mengajak rakyat agar menyelamatkan Malaysia daripada cengkaman Umno BN yang kian ‘gila’ dengan wang rakyat dibelanja mengikut sesuka hati.
“Beri undi kepada Pakatan Rakyat pada PRU 13 untuk mengubah Malaysia tercinta sebagai sebuah negara yang bebas daripada pemimpin korup dan boros berbelanja,” katanya lagi.

Ramadhan: Kemenangan ke atas kebatilan, kezaliman

KUALA LUMPUR, 1 Ogos: Bulan Ramadhan adalah bulan kemenangan kepada kebenaran ke atas kebatilan dan kezaliman, kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib.
"Pada bulan ini kita diseru memperbanyakkan ibadat kepada Allah SWT. Di antara ibadat yang ditekankan oleh Rasulullah s.a.w ialah saling menasihati sesama muslim untuk kesejahteraan di dunia dan juga di akhirat," ujarnya dalam perutusan sempena Ramadhan tahun ini.
Jelasnya, di antara kemungkaran yang besar ialah apabila undang-undang Allah yang berteraskan keadilan ditinggalkan.
Maka, ujarnya pada bulan Ramadhan ini, isikannya dengan ketaqwaan yang jitu berdasarkan ilmu dan kefahaman yang sebenar tentang Islam agar kita memiliki kekuatan untuk merobohkan kezaliman di negara ini.
Berikut perutusan penuh beliau.
Alhamdulillah kita dipanjangkan umur oleh Allah SWT pada tahun ini untuk bersua kembali dengan bulan yang amat ditunggu-tunggu oleh seluruh penghuni langit dan bumi iaitu bulan ramadhan. Pada bulan Ramadhan inilah segala pintu keampunan dan kerahmatan Allah SWT dibuka seluas-luasnya.
Bulan Ramadhan adalah bulan kemenangan kepada kebenaran ke atas kebatilan. Pada bulan ini kita diseru memperbanyakkan ibadat kepada Allah SWT. Di antara ibadat yang ditekankan oleh Rasulullah s.a.w ialah saling menasihati sesama muslim untuk kesejahteraan di dunia dan juga di akhirat.
Dewan Ulamak menyeru umat Islam Malaysia bukan sahaja berlumba-lumba untuk membaca sebanyak mungkin ayat-ayat Allah tetapi juga diseru agar cuba memahami tuntutan Allah SWT serta melakukan muhasabah sejauh manakah kita melakukan usaha dalam melaksanakan segala arahan Allah SWT dan menjauhkan diri kita daripada terjerumus ke dalam kemungkaran bersama-sama golongan yang zalim.
Di antara kemungkaran yang  besar ialah apabila undang-undang Allah yang berteraskan keadilan ditinggalkan. Maka pada bulan Ramadhan ini, isikannya dengan ketaqwaan yang jitu berdasarkan ilmu dan kefahaman yang sebenar tentang Islam agar kita memiliki kekuatan untuk merobohkan kezaliman di negara ini.
Kita percaya dan yakin bahawa suatu hari nanti cahaya kebenaran akan terus terserlah mengatasi cahaya kegelapan. “Malam Itu Walaupun Terasa Panjang, Tetapi Fajar Akan Menyingsing Juga”. Jadi, gunakanlah kesempatan bulan rahmat dan keampunan ini untuk memuhasabah diri kita untuk menilai sama ada kita telah menunaikan tanggungjawab kita sebagai muslim ataupun tidak.
Allah SWT pasti akan menganugerahkan kemenangan kepada hamba-hambaNya yang benar-benar ikhlas dan menyucikan diri mereka dari segala bentuk kejahatan dan kezaliman.  
Allah SWT telah berfirman di dalam surah At-Taubah ayat 40:
 إِلاَّ تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُواْ ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لاَ تَحْزَنْ إِنَّ اللّهَ مَعَنَا فَأَنزَلَ اللّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُواْ السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya:
Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
YB Datuk Tuan Guru Harun Taib
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

Keunikan Ramadan terserlah di Kota Bharu

KOTA BHARU, 31 Julai: Di negeri-negeri lain kempen kibar Jalur Gemilang sedang rancak dijalankan, sebaliknya di Kelantan kemeriahan Ramadan pula dirasai sekarang.
Persiapan akhir di Qaryah Ramadan di perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV sedang dijalankan sejak pagi tadi.
Kelainan Ramadan sejak 20 tahun lalu dirasai apabila ada khemah khas tempat solat Tarawih disediakan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) di tengah pusat bandar.
Bermula khemah Tarawih di Dataran MPKB kemudian dipindahkan ke lokasi sekarang yang lebih selesa dan strategik.
Solat Tarawih berimamkan qari dari Mesir sejak beberapa tahun lalu begitu mengasyikkan ribuan jemaah yang hadir.
Tambahan pula tempat solat di Qaryah Ramadan disediakan penghawa dingin. Selain itu di beberapa masjid utama di sekitar Kota Bharu juga disedia penghawa dingin termasuk Masjid Muhammadi, Masjid Telipot, Masjid Lundang dan Masjid Kota Darulnaim.
Bagi pemimpin kerajaan negeri dan PAS, Ramadan lebih sibuk berbanding bulan lain memandangkan program tadarus al Quran diadakan di setiap kawasan parlimen.
Selain itu mereka juga perlu menyampaikan tazkirah di Dewan Zulkifli Mohammad, Pejabat Perhubungan PAS Kelantan selepas solat Zohor.
Tazkirah dimulakan pada 1 Ramadan dan dijangka dilancarkan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Turut dijadual menyampaikan tazkirah tersebut anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan Timbalan Mufti, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad.
Dua anggota Exco yang bukan lulusan bidang pengajian agama iaitu Abdul Fattah Mahmood (optometrist) dan Che Abdullah Mat Nawi (kewangan) juga dijadual menyampaikan tazkirah selama 20 minit.
Manakala program tadarus al Quran dimulakan pada 2 Ramadan akan diadakan di kawasan parlimen Ketereh bermula solat Asar sehingga waktu iftar.
Program itu akan diketuai Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Program serupa diadakan di kesemua 14 kawasan parlimen di Kelantan.
Kemuncaknya program tadarus al Quran akan diadakan pada 17 Ramadan di Bukit Bunga, Jeli. Sempena program itu ceramah Badr al Kubra juga diadakan.
Di Qaryah Ramadan pula pelbagai program disusun khas seperti tahun-tahun sebelumnya. Antaranya iftar dan sahur jama’i, kelas pengijazahan al Quran, tazkirah selepas dua salam Tarawih, relay bacaan al Quran selepas jam 12 malam.
Selain itu tadarus al Quran setengah jam sebelum berbuka, qiamulai mulai jam 4 pagi, program sepetang di ambang iftar, interaktif bersama imam dari Mesir, kelas al Quran selepas solat Zohor dan Asar, pameran Palestin serta cafe mubarak.
Perasmian Qaryah Ramadan dijangka diadakan pada 4 Ramadan selepas solat Tarawih oleh Menteri Besar.
Himpunan Remaja Ramadan
Himpunan Remaja Ramadan pula diadakan pada petang 5 dan 15 Ramadan. Majlis khatam al Quran 30 juzuk dijadualkan pada 13 Ramadan.
Di Qaryah Ramadan juga akan diadakan ceramah Nuzul al Quran pada 17 Ramadan disampaikan Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud dan pendakwah bebas, Datuk Zawawi Yusof.
Tahun ini juga diadakan program Sehari Celik IT dan program Skor A bagi pelajar-pelajar bakal menduduki peperiksaan, pagi 20 Ramadan.
Pada malam hari sama diadakan ceramah pengkisahan Badar Kubra akan disampaikan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Speaker Dun Kelantan dan wakil Palestin.
Kelainan juga dapat dirasakan apabila pelbagai sepanduk meraikan kedatangan Ramadan boleh dilihat di merata tempat di Kelantan sejak seminggu lalu.
Sementara itu bandar Kota Bharu mengalami kesesakan lalu lintas begitu teruk pada Khamis, Sabtu lalu dan hari ini.
Perjalanan yang hanya mengambil masa 15 minit pada hari biasa bertukar kepada lebih sejam.

Umno gagal tunjuk teladan Islam

SUNGAI PETANI, 30 Julai: Umno yang selama ini mendakwa kononnya sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam sebenarnya, gagal dalam merealisasikan hasrat menggunung mereka untuk memperjuangkan Islam.
Walaupun telah begitu lama mentadbir negara, slogan Islam yang diperjuangkan oleh mereka menjadi nostalgia dan kenangan kerana tidak berjaya untuk mempraktikkan apa yang dilaungkan sejak menerajui kepimpinan negara.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, berkata demikian ketika berucap di hadapan ribuan hadirin yang membanjiri padang awam, Taman Bandar Baharu, Sungei Lalang, di sini malam tadi.
Menurut beliau lagi, Umno tidak menjadikan parti mereka sebagai sebuah parti contoh yang boleh diteladani dalam memberi kefahaman kepada bukan Islam.
"Umno juga gagal untuk meyakini rakan mereka seperti MCA, Gerakan, MIC, PBS dan komponen bukan Islam yang lain untuk memahami konsep Islam yang dibawa oleh mereka.
"Apabila PAS cuba menyatakan kebenaran dengan menunjukkan teladan yang baik dan menjadi tuntutan syariat, Umno akan menentang walaupun mengetahui kebenaran yang ada, " ujarnya lagi.
Beliau juga berkata, dalam tempoh singkat pemerintahan PAS dan PR di Kedah, usaha bagi mengekang maksiat dan kebatilan turut dibantah oleh Umno dan BN.
"Kenapa semasa PR perintah, hendak sekat umat Islam dari melakukan maksiat di tempat-tempat hiburan atau melalaikan, Umno yang didakwa memahami Islam, hendak menyekat usaha yang menjadi tuntutan ini.
"Sepatutnya Umno yang meluluskan enakmen hiburan tersebut pada tahun 1997 semasa memerintah dulu, menyokong untuk kebaikan umat Islam sendiri, bukannya menentang.
"Soal agama tidak harus dipolitikkan demi fahaman sempit yang menunjukkan kedangkalan ilmu dan kefahaman Islam yang sebenarnya," tambahnya lagi.
Jelasnya lagi, PAS adalah sebuah parti yang mampu untuk mengorak langkah membawa perubahan dalam pilihan raya umum yang akan datang, bukan saja kepada seluruh rakyat negara ini, malah mampu membawa reformasi dalam sistem pemerintahan negara.

Bebas tahanan EO bukti p'raya makin dekat

PERMATANG PAUH, 31 Julai: Kerajaan disaran supaya tidak sewenang-wenangnya mengenakan tuduhan yang tidak berasas terhadap rakyat negara ini, sekiranya tidak sehaluan dengan kehendak mereka.
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mansor Othman berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada surau dan masjid dalam Parlimen Permatang Pauh di Kubang Semang, Penanti, petang semalam.
Mengulas mengenai pembebasan enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dibebaskan baru-baru ini setelah ditahan di bawah Ordinan Darurat sejak 2 Julai lalu, beliau berkata, pembebasan mereka adalah kemenangan rakyat yang berjuang selama ini bagi menuntut keadilan dalam negara.
"Sepatutnya, sebagai pemerintah, kerajaan mendakwa mereka lebih awal di mahkamah, dan bukannya meletakkan mereka dalam keadaan bersalah dengan pelbagai tuduhan yang melampau.
"Apabila rakyat bangun dan menuntut keadilan, pemerintah masih lagi dungu tanpa berbuat apa-apa. Setelah keadaan terdesak dan melihat kepada kerugian yang akan mereka terima nanti, barulah tindakan pembebasan akan dilakukan.
"Ini semua adalah salah satu dari mesej awal, bahawa pilihan raya semakin hampir. Kerajaan akan cuba mengambil hati rakyat dengan bersandiwara bagi mengaburi mata rakyat, seolah-olah mereka memberi perhatian terhadap nasib rakyat," tegasnya lagi.
Beliau yang juga merupakan Naib Presiden PKR, juga menyatakan tiada apa yang harus dibanggakan dengan pembebasan tersebut, kerana tindakan kerajaan menahan mereka juga adalah menyimpang dari peraturan sedia ada yang memberi hak kebebasan bersuara kepada setiap rakyat dalam negara ini.
Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Datuk Mohd Salleh Man dan kepimpinan PAS serta PKR Permatang Pauh.

Anak Kelantan diseru pulang mengundi PRU 13

PETALING JAYA, 30 Julai: Atas dasar tanggungjawab untuk mengekalkan kerajaan Islam, seluruh anak Kelantan di perantauan diseru untuk pulang ke negeri itu pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Seruan itu dinyatakan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika merasmikan Himpunan Anak Kelantan D'Perantauan yang berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya di sini petang tadi.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, rakyat negeri itu perlu pulang mengundi walau di mana mereka berada dan dengan apa cara sekalipun.

"Kalau ada duit naik kapal terbang, kalau tidak naik kereta, kalau tak dapat juga naik bas.

"Saya tak boleh jamin nak bayar duit, kena tanya bendahari la, kalau ada kita bagi," katanya di hadapan kira-kira 2,000 anak-anak Kelantan yang hadir.

Turut hadir pada majlis perasmian itu kesemua ahli mesyuarat kerajaan negeri termasuk Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob, Ahli-ahli parlimen dan Adun-adun Kelantan.

Selain mereka, wakil kerajaan negeri Selangor, Yaakob Sapari yang juga Exco Pembangunan Pertanian, Pengurusan Alam dan Usahawan negeri turut bersama.

Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim juga hadir pada majlis tersebut.

Mengulas lanjut, menteri besar Kelantan itu juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada anak-anak Kelantan di perantauan ekoran kepulangan mereka pada pilihan raya umum 2008.

Kepulangan mereka itu jelasnya telah membantu kemenangan PAS untuk terus memerintah negeri itu.

Mengimbau kembali sejarah empat tahun lalu, beliau berkata kedudukan PAS di Kelantan agak genting sebelum PRU 2008 apabila hanya berkelebihan satu kerusi berbanding BN iaitu 23 PAS dan 22 BN.

Bagaimanapun, kepulangan anak-anak Kelantan pada PRU 2008 itu telah menyebabkan PAS kembali memperteguh kedudukan dengan mendapat 38 kerusi.

Sehubungan itu, kepulangan anak-anak Kelantan pada PRU akan datang sangat-sangat diharapkan.

Tolak biometrik

Dalam pada itu beliau sekali lagi menegaskan menolak hasrat kerajaan menggunakan sistem biometrik pada PRU ke-13 akan datang.

Menurutnya sistem itu bukan sahaja diragui banyak pihak malah terdedah dengan manipulasi oleh pihak yang berkepentingan.

"Umno guna biometrik bagi orang luar (dapat kerakyatan) boleh mengundi. Orang Bangladesh pun boleh mengundi nanti.

"Ini bukti Umno yakin orang Melayu dah tolak dia. Kalau PM (perdana menteri) menang pilihan raya pun nanti, kita kata ini PM Bangladesh," katanya disambut ketawa hadirin.

Sistem biometrik yang digunapakai kepada warga asing juga tegasnya boleh mengancam rakyat negara ini dari sudut kerjaya mereka.

Ini kerana, kebanyakan majikan tentunya akan mengambil orang asing bekerja kerana gaji mereka lebih murah.

Oleh itu, beliau mahu kerajaan menilai semula cadangan itu ataupun kembali kepada tuntutan asal Bersih 2.0 iaitu menggunakan dakwat kekal bagi menghalang penipuan undi berganda dan undi hantu.

Sementara itu, Himpunan Anak Kelantan D'Perantauan yang berlangsung satu hari yang bermula jam 9 pagi tadi menyaksikan hampir 10,000 rakyat Kelantan berkunjung ke stadium itu.

Selain dapat bersemuka dengan anggota exco kerajaan negeri dan wakil rakyat yang lain, oarang ramai juga boleh mengenali lebih dekat anak syarikat di bawah kerajaan negeri yang turut serta mengadakan pameran mereka hari ini.

Hadirin juga turut dihidangkan nasi gulai kawah serta pelbagai buah-buahan tempatan yang rata-ratanya disumbang oleh anak-anak Kelantan sendiri.

Fahaman Umno lebih bahaya daripada Wahabi?

KUALA LUMPUR, 29 Julai: Keghairahan Umno melalui agensi Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat tuduhan mengaitkan Wahabi dengan pengganas bukanlah sesuatu yang baik untuk negara.

Menurut Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) fahaman Wahabi yang diasaskan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab mempunyai perbezaan dalam perkara furu', tapi bukan soal penafian prinsip Islam.

“Kerana itu, ia diterima dan dianuti oleh kerajaan Arab Saudi dan beberapa negara lain. Arab Saudi, sekurang-kurangnya telah melaksanakan hukum hudud, Qisas dan Takzir, akan tetapi Malaysia masih terkial-kial mencari formula mengatasi masalah jenayah dalam negara,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Umno dalam sejarahnya, kata Tuan Ibrahim pernah mengeluarkan kenyataan yang menghina hukum syarak, memperlekehkan sunnah nabi, menganggap negara akan mundur kalau melaksanakan Islam, bahkan lebih teruk dari itu, ada sebilangan pemimpin Umno pernah menganggap politik suku agama suku.

“Fahaman sekular yang dianuti oleh sebahagian pimpinan tertinggi menyebabkan Islam hanya ditadbir sebagai satu jabatan, bukan sebagai satu sistem kehidupan manusia.

"Bukankah ini bukti fahaman Umno yang berdasar sistem pragmatisme sebenarnya jauh lebih bahaya dari Wahabi?” soal beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini menimbulkan kebimbangannya terhadap beberapa tokoh agama di Malaysia, termasuk bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi dan aktiviti terorisme.

Menurut sumber, dalam taklimat tertutupnya yang antaranya disertai mufti dan wakil majlis agama Islam negeri di Putrajaya, seramai 40 ulama muda Umno turut dikaitkan sama.

"Kerajaan Arab Saudi didakwa menjadi dalang di sebalik apa yang berlaku. Saudi dikatakan di belakang tokoh-tokoh ini," dakwa sumber itu.

Sebagai reaksi kepada tindakan MKN, Tuan Ibrahim berkata tuduhan mengaitkan beberapa tokoh agama dengan pengganas bukanlah perkara baru, bahkan ianya selaras dengan anggapan Amerika Syarikat terhadap gerakan Islam.

“Cuma yang agak menghairankan bilamana ulamak Muda Umno juga tergolong senarai pengganas.

"Apakah Kementerian Dalam Negeri tidak bercadang mengenakan mereka di bawah Ordinan Darurat, sebagaimana nasib enam aktivitis PSM yang sehingga kini rakyat tidak tahu apa jenis ancaman yang mereka bawa kerana menyokong Bersih 2.0?” soal beliau sambil menyokong saranan Dr Asri Abidin agar 40 ulama muda Umno ini menyemak kembali penyertaan mereka dalam parti itu.

“Tidak terfikirkah bahawa apabila ulamak Umno pun dicop sebagai pengganas, bukankah ini bermaksud pemimpin mereka lebih hebat lagi?

"Tapi, apa yang hairannya, inilah Umno. Bagi mereka, kerja lanun merompak wang negara dengan membunuh karear politik musuh dalaman atau luaran mereka adalah satu kerja yang halal dan wajib dilaksanakan asalkan kuasa politik mereka terjaga,” bidas beliau secara sinis.
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates