Kes Ahmad Sarbaini gagal hapus kemarahan rakyat

KUALA LUMPUR, 27 Sept: Keputusan Mahkamah Koroner yang memutuskan Ahmad Sarbaini Mohamed mati kerana jatuh dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal menghapuskan kemarahan umum, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Kita tidak berniat hendak mempertikaikan keputusan mahkamah tetapi apa yang nyata, keputusan itu gagal menghapuskan kemarahan umum yang meluap-luap apabila terbunuhnya Penolong Pengarah Kastam Selangor itu di premis SPRM.

"Dalam masa yang singkat, dua orang terbunuh di premis SPRM, iaitu Ahmad Sarbaini dan Teoh Beng Hock dan apa jua keputusan mana-mana institusi sekalipun tidak akan mampu meredakan perasaan marah masyarakat terhadap SPRM dan kerajaan Barisan Nasional (BN)," kata beliau.

Salahuddin juga tidak menolak bahawa sebahagian besar rakyat semakin tidak sabar menanti tarikh pilihan raya untuk membalas dendam dan menghukum BN berikutan keputusan-keputusan berkaitan tragedi terbunuhnya Ahmad Sarbaini dan Teoh di premis SPM itu.

"Sebelum ini, rakyat marah apabila media-media yang dilihat pro Umno dan BN memberi gambaran bahawa Ahmad Sarbaini membunuh diri.

"Terbaru, ada pula blog pro Umno dan BN yang dilihat mengaitkan tragedi terbunuhnya Ahmad Sarbaini di premis SPM itu dengan video seks.

"Rakyat yang marah berikutan tuduhan-tuduhan dan keputusan-keputusan berkaitan kedua-dua kes itu pastinya tidak sabar-sabar lagi menanti pilihan raya untuk menghukum Umno dan BN habis-habisan," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Salahuddin juga bersetuju dengan peguam keluarga Ahmad Sarbaini, Awtar Singh yang menegaskan SPRM seharusnya dipertanggungjawabkan kerana tragedi terbunuhnya Penolong Pengarah Kastam Selangor itu berlaku di premis SPRM.

"Sama seperti terbunuhnya Teoh Beng Hock, bukan sahaja Ahmad Sarbaini terbunuh di premis SPRM malah beliau terbunuh ketika dalam siasatan SPRM," kata Salahuddin sambil menyarankan keluarga dan sahabat Ahmad Sarbaini terus mengadakan solat hajat memohon Allah membuat penentuan yang muktamad.

Ketika mengulas keputusan mahkamah koroner itu, Awtar juga berkata adalah sukar untuk dipercayai Ahmad Sarbaini memanjat pintu untuk melarikan diri.

"Apa perlunya dia buat begitu? Dia datang dengan kerelaannya sendiri. Lebih dari itu, tidak ada kesan cap jari yang boleh dikesan berdekatan tingkap berkenaan dan mereka tidak mengambil pakaian ketua SPRM Kuala Lumpur, Ahmad Fauzi (Husin), untuk melakuan ujian DNA," kata Awtar yang juga memberitahu pihaknya sedang mempertimbangkan untuk memohon semakan kehakiman.

Dalam penghakimannya kepada mahkamah yang penuh sesak, koroner Aizatul Akmal Maharani berkata, teori bahawa SPRM terlibat dengan kematian Ahmad Sarbaini tidak boleh diterima.

Sehubungan itu, beliau menolak bunuh diri, homisid ataupun penglibatan pihak ketiga bagi alasan kematian.

"Tidak ada tanda-tanda pergelutan pada kejadian itu dan mahkamah juga menolak bahawa dia membunuh diri."

Menurut koroner, beliau percaya Ahmad Sarbaini terjatuh dari bangunan itu dan dalam keadaan sedar semasa jatuh.

"Mahkamah juga mendapati dia mati serta-merta dalam kejatuhan itu dengan kakinya terjatuh dahulu sehingga mencederakan kedua-dua belah kakinya dan juga mengalami kecederaan teruk di kepala," katanya.

Sebelum terbunuh, Ahmad Sarbaini dilaporkan pergi ke pejabat SPRM secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat suruhanjaya tersebut berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

Kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga mendakwa terdapat unsur jenayah dalam kematiannya.

Mereka berkata, Ahmad Sarbaini adalah seorang pegawai yang bersih dan telah merancang untuk menunaikan fardu haji tahun ini bersama isteri dan ibu bapanya.

Naik bas: Antara Najib dengan Nik Aziz


Gambar kiri dirakamkan ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor menaiki bas sempena lawatan sehari beliau ke Perak, Sabtu lalu.
Mereka berdua turut diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Zambry Abd Kadir (kanan) dan isteri Datin Seri Sharifah Zulkifli (kiri) dalam perjalanan dari pekan Tanjung Tualang ke Sekolah Kebangsaan Changkat Tin bagi menghadiri majlis perkahwinan iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohd Radzi dan pasangannya Ahmad Fariz Hassan.

Namun, ramai yang tidak tahu, inilah bentuk dan rupa bas yang dinaiki Najib dan isterinya itu.
Gambar kanan pula dirakam sewaktu Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menaiki bas ke suatu program pada 29 Jun lalu.

Kubu Umno di Jeli makin tergugat

JELI, 27 Sept: Di segenap penjuru pasar Kuala Balah ribuan orang berdiri tanpa menghiraukan hujan sepanjang program berlangsung malam tadi.
Kawasan laman pasar yang agak lembab tidak dihiraukan, ramai yang kelihatan basah di bahagian punggung. Kawasan yang berbumbung pula  sendat dengan manusia, mereka berhimpit-himpit bagi mendengar ceramah Pakatan Rakyat.
Mereka datang tidak diangkut dengan bas seperti biasa berlaku pada program tajaan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Mungkinkah ini menggambarkan kedudukan Datuk Seri Mustapa Mohamed mahu dinilai kembali rakyat Jeli selepas dua penggal menguasai kawasan berkenaan.
Ia disifatkan sebagai satu kejutan memandangkan kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Balah merupakan kubu Umno dan hanya sepenggal dimenangi PAS pada pilihan raya umum 1999.
Sebelum ini Dun berkenaan dikenali Pergau. Malah ada juga penduduk yang datang dari Gua Musang. Paling ramai penduduk tempatan termasuk dari Dun Air Lanas dan Bukit Bunga.
Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berharap rakyat Jeli membuat penentuan baru bagi menilai semula anggota parlimen sekarang yang sering berdalih dalam isu royalti minyak.
”Ketika peringkat awal kerajaan negeri menuntut bayaran royalti minyak anggota parlimen Jeli yang juga seorang menteri bermati-matian mengatakan minyak tidak ada di perairan Kelantan.
”Kemudian selepas kita desak juga Perdana Menteri pun membuat pengakuan minyak ada di perairan Kelantan, namun Datuk Mustapa berdalih lagi.
”Katanya telaga minyak yang dituntut kerajaan negeri bertindih dengan Thailand pula,” katanya ketika berceramah pada program anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri.
Hadir sama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PRK Kelantan, Amran Abdul Ghani dan pemimpin PAS serta PKR tempatan.
Oleh itu Husam yang juga pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan berkata, rakyat Jeli perlu memastikan parlimen tersebut tidak lagi berada di tangan Umno dan BN.
Katanya, rakyat Jeli perlu menyumbang satu kerusi mewakili kawasan mereka untuk membolehkan kerajaan baru dibentuk di Putrajaya bagi mendapatkan royalti minyak.
Semasa kempen pilihan raya kecil Dun Manek Urai pada Julai 2009 Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan menafikan perairan Kelantan ada minyak.
Bagaimanapun tidak lama kemudian Perdana Menteri mengumumkan pemberian wang ihsan kepada Kelantan hasil royalti minyak.
Husam berkata, sumber Petronas memberitahu sebuah lagi telaga minyak baru ditemui betul-betul berada di perairan Kelantan dan tidak bertindih dengan negeri lain.
”Apa yang berlaku sekarang kerajaan BN benar-benar merompak hak rakyat Kelantan. Sebab itulah rakyat Jeli perlu tukar kerajaan yang menguasai Putrajaya sekarang,” ujarnya.
Nurul Izzah berkata, Perdana Menteri sekarang tidak memiliki keupayaan sendiri mentadbir sehingga terpaksa mengupah konsultan dari luar.
Katanya, sebelum ini konsultan Apco Worldwide dibayar upah sebanyak RM77 juta, kemudian ABC Media pula diupah RM68 juta.
Dan terbaru pula konsultan yang ada kaitan dengan bekas Perdana Menteri Britain, Tonny Blair dikatakan dibayar bagi memulih imej perdana menteri.

MCA, Gerakan dicabar keluar BN

KUALA LUMPUR, 26 Sept: Parti MCA dan Gerakan dicabar keluar dari BN sekarang, ekoran kenyataan kedua-dua pemimpin utama parti itu untuk keluar dari BN sekiranya BN melaksanakan Kanun Jenayah Syariah yang mengandungi hukuman hudud. 
Kedua-dua parti itu dicabar keluar dari BN kerana Kanun Jenayah Syariah yang mengandungi perlaksanaan hudud sememangnya telah digunakan di Terengganu sekarang.
Kanun Jenayah Syariah Terengganu itu telah diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ketika Terengganu berada di bawah pemerintahan PAS pada tahun 1999 hingga 2004 lalu, tetapi kini terus digunakan di Terengganu walaupun Terengganu berada di bawah pemerintahan BN.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail berkata, dengan itu undang-undang Kanun Jenayah Syariah Terengganu yang digunakan oleh Kerajaan BN Terengganu sekarang adalah kanun jenayah syariah yang digubal oleh PAS.
Katanya, sekarang BN di Terengganu telah menggunakannya sejak BN merampas kembali Terengganu dari PAS dan MCA serta Gerakan perlu sedar perkara itu serta melaksanakan janjinya untuk keluar dari BN sekiranya BN berbuat demikian.
"Jadi kalau MCA dan Gerakan nak keluar dari BN, keluarlah sekarang kerana itulah Kanun Jenayah Syariah yang dilaksanakan oleh BN di Terengganu sekarang," katanya pada sidang media bersama dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Pemuda DAP (Dapsy), Anthony Loke di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.
MCA dan Gerakan seperti yang dilaporkan media tempatan termasuk akhbar milik Umno beberapa hari lalu termasuk semalam mengatakan, pemimpin utama MCA dan Gerakan akan tetap menentang perlaksanaan hudud di negara ini dan sekiranya Umno atau BN melaksanakannya, kedua-dua parti itu akan keluar dari BN.
Menurut Saifuddin, para pemimpin kedua-dua parti itu kini perlu menyedari realiti yang berlaku di Terengganu sejak BN mengambil alih tampuk pemerintahan negeri itu dari PAS dan perlu melaksanakan apa yang dikatakan oleh mereka itu.
Realiti yang berlaku di Terengganu, tegas beliau, berbeza dengan Kelantan kerana Terengganu kini diperintah oleh BN setelah merampas tampuk pemerintahan Terengganu dari PAS, manakala Kelantan pula terus diperintah oleh PAS.
Para pemimpin MCA dan Gerakan tidak seharusnya bercakap kosong dalam hal itu, malah mereka perlu melaksanakan apa yang diperkatakan oleh mereka itu bagi mempertingkatkan imej mereka sendiri.
Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang sehubungan itu turut mengingatkan para pemimpin Umno BN bahawa hajat mereka untuk memporakperandakan PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat dengan mencetuskan isu hukum hudud dan agenda penubuhan negara Islam hanyalah sia-sia kerana ia diyakini tidak akan kesampaian.
Malah, kerjasama antara PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat kini jauh lebih utuh dan matang dari sehari ke sehari berbanding di peringkat awal penubuhan Pakatan Rakyat dulu.
"Asas kerjasama Pakatan Rakyat adalah rakyat didahulukan atau kepentingan rakyat yang diutamakan, di samping menghargai perbezaan pendapat antara parti-parti yang berada di dalamnya," katanya.
Serentak dengan itu, katanya, para pemimpin Pakatan Rakyat dan penyokong-penyokongnya akan terus berkerjasama bagi kerja-kerja pilihanraya dengan teratur, tanpa dapat diganggu gugat oleh para pemimpin Umno BN.
Manakala Ketua Pemuda DAP (Dapsy), Anthony Loke pula berkata, isu mengenai perlaksanaan hukum hudud dan penubuhan negara Islam itu bukanlah isu baru dan ia telah lama difahami oleh para pemimpin Pakatan Rakyat.
Beliau yang juga wakil kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan juga wakil kepada DAP menjelaskan, para pemimpin Pakatan Rakyat sememangnya menghormati pendirian parti masing-masing.
Atas penghormatan itulah, para pemimpin Pakatan Rakyat berkerjasama dengan baik sejak Pakatan Rakyat ditubuhkan, malah kini kerjasama itu semakin mantap dengan ketiga-tiga parti berfungsi dengan baik. 
"Sekarang Tun Dr Mahathir tiba-tiba menjadi pengacau dan jurucakap kepada Umno untuk membangkitkan perkara itu. Tetapi dalam masa yang sama, semua orang faham Umno sebenarnya tak nak laksanakan hukum hudud. Apa yang dibangkitkan hanyalah untuk kepentingan politik mereka.
"Pada kami dari DAP dan Pakatan Rakyat, apa yang dibangkitkan itu sebenarnya tak timbul kerana ia merupakan isu yang dah lama, tambahan pula ia tidak dinyatakan di dalam Buku Jingga.
"Kalau tak ada dalam Buku Jingga, itu bukanlah dasar Pakatan Rakyat. Para pemimpin Pakatan Rakyat cukup faham perkara itu, jadi tak perlulah Umno BN menimbulkan kembali isu itu," katanya yang juga Ahli Parlimen Rasah.

Pertama kali Najib naik bas


(Najib bersama Rosmah dan Zambry bersama isterinya buat pertama kalinya menaiki bas untuk berjumpa rakyat)
PERTAMA KALI NAIK BAS ... Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor menaiki bas sempena lawatan sehari beliau ke Perak di sini, Sabtu lalu.
Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Zambry Abd Kadir (kanan) dan isteri Datin Seri Sharifah Zulkifli (kiri) .

Gambar ini dirakamkan ketika Najib dalam perjalanan dari pekan Tanjung Tualang ke Sekolah Kebangsaan Changkat Tin bagi menghadiri majlis perkahwinan iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohd Radzi dan pasangannya Ahmad Fariz Hassan.

Namun, ramai yang tidak tahu, inilah bentuk dan rupa bas yang dinaiki Najib dan isterinya itu.

Bekas calon PAS di Beting Maro, Abang Ahmad Kerdi dalam twitternya menulis "Mau menitis air mata ni tengok gambar ni melaporkan 'PM naik bas menyelami KEPERITAN rakyat kebanyakan'
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates