Cikgu Mala lawan Azhar di Tenang

LABIS, 22 Jan: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Rakyat dari PAS, Normala Sudirman, 38, dengan calon BN dari Umno, Mohd Azahar Ibrahim, 39 dalam pilihan raya kecil Tenang 30 Januari ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya ini jam 11.20 pagi setelah tiada nama calon lain di kemukakan dan tiada bantahan dibuat ke atas kertas pencalonan kedua-duanya.

Calon PAS menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.10 pagi. Beliau dicadang oleh Mahat Jamin dan disokong Rosiah Ahmad.

Calon BN, Mohd Azahar Ibrahim menyerahkan borang pencalonan jam 9.02 pagi. Beliau dicadang oleh Ma Chong Pah dan disokong Jayaraman Chinasamie.

Penamaan calon di jalankan di Dewan Majlis Daerah Labis.

Kita Minta Hapus Undi POS, SPR Buat Undi Proksi

1. Entah jenaka apa yang dilakukan oleh SPR disaat parti - parti politik yang mewakili rakyat mendesak agar Undi Pos dihapuskan dan satu sistem Daftar Pemilih Secara Automatik dilakukan bagi warganegara yang telah genap usia mengundi, SPR pula sekonyong - konyongnya mengisytiharkan hasrat mereka memperkenalkan Undi Proksi .

2. Apakah SPR tidak memahami kehendak rakyat atau sengaja mereka buat - buat tidak faham ? setelah sekian lama malah berhempas pulas SPR berkempen mengajak orang mendaftar sebagai pemilih bagi membolehkan mereka mengundi, kenapa tidak diperkenalkan sahaja kaedah Daftar Pemilih secara Automatik bagi mereka yang genap usia yang melayakkan mereka mengundi.

3. Kita sekarang berada dizaman serba canggih. Kaya dengan database malah memiliki sistem Mykad yang up to date, kenapa mesti SPR memilih jalan sukar menghabiskan banyak wang untuk gerakkan mendaftarkan pemilih baru. SPR kelihatan gagal bergerak seiring dengan transformasi dasar dan sistem dalam negara yang dilaung - laungkan oleh kerajaan atau transformasi itu hanya omong kosong untuk menggula - gulakan rakyat dan mendodoikan mereka sedang mereka khasnya SPR masih selesa dengan cara dan kaedah lama yang out of date.

4. Seperkara lagi, mengenai Undi Proksi. Tidak siapa tuntut dan tidak siapa minta untuk mengadakan Undi Proksi, boleh pula SPR memperkenalkannya. Fenomena ini hanya memperlihatkan SPR sebagai satu badan yang senantiasa mencari jalan untuk memenangkan Barisan Nasional dengan memperbanyakkan ruang - ruang manipulasi dalam sistem pilihanraya negara .

5. Sebelum ini pilihanraya diganggu oleh sistem undi pos yang terdedah kepada 1001 ruang manipulasi yang menggugat keabsahan undi atau sokongan sebenar buat parti - parti yang bertanding dalam pilihanraya. Sedang zaman telah maju dan canggih. Tidak tahu dimana rasionalnya undi pos dikekalkan melainkan sengaja dipertahankan untuk menjadi talihayat kepada UMNO dan BN. Sebagai contoh Datuk Seri Najib pernah kalah dalam pilihanraya umum di kawasanya sendiri [ Parlimen Pekan ] tetapi diselamatkan oleh undi pos yang begitu banyak . Bahkan ramai lagi mereka yang menang dengan undi pos sedang mereka kalah dengan undi bukan pos. Sehingga mereka mendapat jolokan Wakil Pos bukan Wakil Rakyat .

6. Kini satu lagi ruang manipulasi cuba dibuka oleh SPR dalam sistem pilihanraya negara ini dengan memperkenalkan Undi Proksi. Ini bukan  transformasi tetapi ini adalah satu bentuk Infiltrasi bagi membolehkan satu lagi manipulasi pilihanraya dilakukan.

7. Undi Proksi juga menjadi ruang untuk menafikan hak pengundi sebenar menterjemahkan sokongan mereka dengan undi mereka yang tulen. Persoalan yang timbul ialah Siapakah proksi itu ? apa hak mereka untuk mewakili pengundi ? apa jaminan proksi itu akan mengundi sesuai dengan keinginan atau sokongan pengundi asal ? keuzuran bagaimana yang membolehkan proksi mewakili mereka ? bagaimana pengesahan keuzuran pengundi untuk membolehkan proksi mewakili mereka ? dan lagi dan lagi ......

8. Insyaallah Dewan Pemuda PAS Malaysia sejurus selesai pilihanraya kecil N 05 Tenang akan mengadakan siri kempen Daftar Pemilih Automatik ke seluruh negara serentak menggerakkan rakyat untuk bangkit membantah undi pos dan apa jua bentuk undi yang terdedah kepada ruang manipulasi ynag menggugat kredebiliti sistem demokrasi pilihanraya dalam negara kita seperti Pengundi Hilang Layak Undi Awamdan Undi Proksi.

9. Penjelasan lanjut mengenai Sikap Dewan Pemuda PAS Malaysia mengenai jenis undi yang pelik - pelik ini di :

Cikgu Mala - Generasi Baru dalam PAS


17 Safar 1432H {MOD]..

Pemilihan Normala Sudirman atau lebih mesra dipanggil Cikgu Mala untuk diangkat menjadi calon dalam PRK N05, Tenang bukan sahaja berbakat dan berpotensi bahkan sebagai simbol generasi baru dalam PAS yang memahami tanggungjawab berpolitik.

Menjadi calon bukanlah semata-mata mengejar glamor atau pangkat dan harta kekayaan tetapi ia satu keperluan, amanah dan tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan lebih besar adalah kepada agamanya.

Menurut Pengerusi Lajnah Penerangan & Dakwah Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi pemilihan calon muslimat bukan secara membuta tuli tetapi disandarkan kepada tuntutan secara keperluan untuk menjaga maslah ummah dalam dunia yang mencabar.

"Pemilihan adalah berdasarkan merit. Kejayaan kita menempatkan beliau dan tentunya kerana keupayaan dan pakej kepimpinan yang dimiliki Cikgu Mala sendiri. Ini juga sebagai kejayaan PAS melahirkan figura-figura baru dalam lanskap politik negara yang kini menuntut kepada suatu perubahan yang jauh lebih bermakna," katanya.

Katanya, tindakan Cikgu Mala melepaskan profesion guru dalam usia yang begitu muda bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja jemaah membuktikan hala tuju dan peranan beliau lebih besar dalam masyarakat. Athirah juga percaya sistem kongkongan yang dikenakan oleh kerajaan BN ke atas kakitangan kerajaan untuk terlibat dalam parti-parti politik Pakatan Rakyat merupakan antara faktor utama perletakan jawatan Cikgu Mala.

"Hasratnya berkhidmat kepada rakyat tanpa sempadan waktu tanpa terikat oleh suatu peraturan yang tidak adil dengan tuntutan masyarakat semasa menjadikan Cikgu Mala menzahirkan keseriusannya untuk membantu dan membela rakyat tanpa tekanan,sekatan mahupun ugutan pihak majikan," katanya.

Beliau yakin pakej yang lengkap untuk rakyat memberi mandat kepada Cikgu Mala cukup terserlah apabila setiap kali kemunculan beliau di khalayak jelas diterima baik oleh ibu bapa dan tidak asing lagi di kalangan belia dan komunitinya.

Aiman yang turut mengiringi beliau semasa berkempen mengakui Cikgu Mala menjiwai perit jerih masyarakat dan memahami komunitinya memandangkan beliau merupakan juga di kalangan peneroka. Justeru, jelas Aiman Athirah calon PAS di N05 Tenang ini adalah sebahagian daripada generasi transformasi dan mengharapkan beliau diberi peluang oleh rakyat dan dibantu oleh generasi muda di semua peringkat.

"Tidak kiralah mereka itu generasi muda dalam Pakatan Rakyat atau di luar Pakatan Rakyat. Justeru kerana kita mahu dan sedang berusaha bersungguh-sungguh membawa budaya politik baru yang lebih bersih, beramanah dan bertanggungjawab ke dalam masayarakat dan negara kita," tegas Athirah.(TMJ)

Adun Merlimau meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 20 Jan: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 8.10 malam ini.

Beberapa portal berita sejak petang tadi sedang mengikuti rapat perkembangan kesihatan Allahyarham selepas ada laporan mendakwa beliau telah meninggal dunia petang tadi.
Mohamad Hidhir dilaporkan dimasukkan ke hospital itu pada minggu lepas bagi menjalani pembedahan membersihkan arteri yang tersumbat pada 13 Jan lalu.

Beliau pada mulanya ke hospital itu untuk mendapat rawatan mengenai ketidakselesaan perutnya sejak kembali dari Taiwan pada 10 Januari lepas, dan ujian mendapati arterinya tersumbat.

Ekoran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka bermesyuarat bagi menentukan satu lagi Pilihan Raya Kecil dalam masa terdekat.
Pada Pilihan Raya Umum ke-12 Mac 2008, Mohamad Hidhir yang mewakili BN menewaskan calon PAS, Mejar (B) Jasme Tompang dengan Majoriti 2,154 undi.

Mohamad Hidhir mendapat 4,981 manakala Jasme Tompang mendapat 2,827.

Pengundi Tenang diajak tinggalkan Umno BN

KOTA BHARU, 20 Jan: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengajak pengundi Tenang meninggalkan Umno dan BN pada pilihan raya kecil Dun itu 30 Januari ini.
Menurutnya, walaupun Johor adalah kubu Umno, namun tidak bererti perubahan tidak boleh dilakukan demi untuk perjuangan Islam.
Katanya, sewaktu PAS bergabung dengan Umno lagi negeri itu telah kuat dengan parti itu sehinggakan tidak memberi peluang pada calon PAS untuk bertanding sedangkan negeri lain dibenarkan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya kelmarin ketika ketika diminta mengulas pilihan raya kecil Dun berkenaan.
Beliau yang akan turun ke Tenang bagi membantu calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Normala Sudirman seterusnya berkata, Saidina Omar yang terkenal dengan berangnya memusuhi Islam akhirnya menerima Islam dengan kehendak Allah.
“Begitu juga Panglima Perang, Khalid Ibni Walid, juga menerima Islam dengan kehendak Allah, jadi tidak mustahil pengundi Dun Tenang akan melakukan perubahan,” ujarnya.
Kerana itu, sambungnya pengundi diminta mengundi calon Pakatan di Tenang dan meninggalkan Umno.
Sehubungan itu, Tuan Guru turut memaklumkan beliau akan berkempen bagi membantu calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat sebaik sahaja selepas penamaan calon.
Menurutnya, beliau akan membawa kebenaran perjuangan Islam sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran 30 juzuk.
“Saya akan bawa di sana Islam al-Quran 30 juzuk dan gurunya  Rasulullah s.a.w., yang membawa kebenaran itu

Jangan gentar hadapi Umno BN

LABIS, 2 Jan: Jentera Pemuda PAS diseru tidak gentar berhadapan dengan Umno BN di Dun Tenang meskipun dikatakan kawasan tersebut merupakan kubu kuat Umno.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, seluruh pemuda seharusnya menanamkan keyakinan bahawa Pakatan Rakyat khususnya PAS mampu menawan kerusi Tenang.

"Orang kata di sini kubu kuat Umno tapi saya nak bagitahu sifir pilihan raya,sekarang ini tiada lagi istilah kubu kuat bagi Umno BN.

"Di seluruh negara, kita pernah menawan kerusi-kerusi mereka dan di Dun Tenang ini pilihan raya kecil ke 14. Dari 13 pilihan raya kita telah menang dengan agregat 8-5.

“Dalam orang tak percaya kita boleh menang, kita mampu melakukannya.
"Ini bermaksud kita ada keupayaan untuk menang.Inilah yang harus kita yakin. Saya tak mahu pemuda-pemuda kita tak yakin dengan kekuatan yang kita miliki," katanya ketika berucap di majlis pelancaran jentera pemuda Pakatan Rakyat dekat sini, semalam.

Justeru Nasrudin berkata, jentera pemuda harus bersiap sedia dari sekarang bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAS.

"Saya harap jentera yang turun hari ini mampu menggunakan segala kekuatan untuk memenangi Dun Tenang ini," katanya disambut laungan takbir oleh kira-kira 500 pemuda yang hadir.
Sementara itu, ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin berkata, pemuda Pakatan akan membuat agihan tugas secara tepat dan tersusun dalam gerak kerja PRK kali ini.
"Rupa-rupanya di Tenang ini satu kebangkitan rakyat akan berlaku. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Pekan Tenang jangan disangka tak akan mengamuk.

"Kita berhadapan realiti, iaitu kawasan Felda yang dikatakan kubu kuat Umno.
"Pemuda PAS, Dapsy dan AMK akan agih tugas dengan betul kali ini. Kalau kita tengok pengalaman di Sibu, semua orang kata kita susah nak menang. Tapi oleh kerana kita bekerja secara tersusun, kita mampu menawan Sibu," katanya.

Bukan Islam yakin dengan PAS

Penolong setiausaha Dapsy Kebangsaan, Tey Kok Siew pula berkata, orang Melayu Islam harus meninggalkan Umno BN yang ternyata tidak mampu membela nasib mereka.

"Saya tahu Islam itu satu sahaja. Tapi kalau orang tanya saya, saya boleh terima Islam cara PAS atau Islam cara Umno,saya akan jawab saya terima Islam cara PAS.

"Saya dan kawan-kawan saya  orang Cina yang bukan Islam boleh terima PAS, saya nak tanya orang-orang Melayu Islam terutamanya di Tenang, kamu tunggu apa lagi? Nak tunggu Umno berubah? Bila Umno akan berubah? Tunggu kucing bertanduk dulu.

"MCA boleh berubah tak? Boleh...tunggu pisang berbuah dua kali. Jadi kita tidak boleh percaya lagi pembohong-pembohong besar ini.

"Kita nak tanya orang Umno,kalau betul Umno jaga Melayu,kenapa sampai sekarang semakin ramai orang Melayu yang miskin?"soalnya yang juga Adun Bandar Hilir Melaka.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan DHPP Johor, Subramaniam memberi jaminan bahawa mereka akan membantu PAS sedaya mungkin untuk menawan Tenang.

"Saya berjanji Dewan Himpunan Penyokong PAS dengan rombongannya akan bertungkus lumus menggegarkan Tenang terutamanya kaum India.

Tambahnya, orang India sudah yakin bahawa hanya Islam yang dibawa PAS mampu memberikan kesejahteraan kepada negara.

"Saya seorang Hindu, dilahirkan sebagai seorang Hindu, hari ini pun saya masih Hindu, esok belum tahu...di hati saya, di dalam tanah yang bertuah ini, hanya Islam akan menjamin kesejahteraan semua.

"Sekarang masyarakat India tidak bimbang dengan parti PAS. Dulu mereka khuatir kerana mungkin mereka nampak PAS itu parti hanya untuk Islam dan mereka tidak faham kerana tidak terlibat dalam PAS.

"Tapi hari ini mereka faham hanya Islam sahaja boleh membanteras gejala sosial termasuk rasuah dan akan membawa Malaysia menyelamatkan maruah Malaysia," katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub,setiausaha DPPP, Ahmad Sabki Yusuf, Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Pengerusi DHPP Johor,Nadarajan.

Normala Sudirman calon PAS di Tenang

   
LABIS, 16 Jan: Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, Normala Sudirman (gambar) diumumkan sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, 30 Januari ini.

Pengumuman itu dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di majlis pengisytiharan calon di Dataran Wayang Pacak, dekat sini, malam ini.

Normala, 38 merupakan seorang guru lulusan Maktab Tuanku Bainun, Pulau Pinang sebelum meletakkan jawatan pada akhir 2010 kerana mahu menumpukan sepenuh masa kepada tugas parti.

Beliau yang dilahirkan di Kampung Serom 3, Muar Johor ini merupakan anak sulung daripada lima orang adik beradik.

Bapanya, Sudirman Suratman merupakan bekas ketua peserta Felcra dan juga pengerusi koperasi Felcra Sekijang manakala ibunya Mukmini Yahya juga merupakan peneroka Felcra.

Beliau yang mesra di kalangan penduduk setempat dengan panggilan Cikgu Mala, mendirikan rumah tangga dengan Makrof Abd Mutalib dan mempunyai tiga orang anak.

Normala mula bergiat aktif dalam PAS selepas tamat pengajian di maktab pada tahun 1997.
Pada tahun 2000 beliau dilantik sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Labis.

Selain Ketua Muslimat Johor, beliau juga merupakan Exco Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat.
Kini beliau menumpukan kepada usaha membantu masyarakat Labis setelah dipertanggungjawabkan sebagai penyelia pusat aduan rakyat Dun Tenang.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad, Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Salleh, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin, Ketua Wanita DAP, Chong Eng dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat yang lain

Gembleng blogger Pakatan hadapi PRU 13

KUALA LUMPUR, 16 Jan: Tidak ada satu perkara yang paling diharapkan daripada dunia blogger Pakatan Rakyat melainkan untuk melihat BN dan Umno disungkurkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tenang dan PRU 13 akan datang.

Justeru, Drs Khalil Idham Lim mengucapkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih dengan kejayaan kerajaan Negeri Kelantan menganjurkan Majlis Mesra Menteri Besar Kelantan Bersama Blogger Pakatan yang diadakan di Kuala Lumpur malam tadi.

“Sebenarnya saya adalah antara orang yang sentiasa menunggu program seumpama ini bagi memastikan orang seperti kami yang duduk di hadapan komputer di mana sahaja kami berada dihargai bukan dengan kalimat yang tinggi menggunung namun sanggup dipanggil untuk bertatap muka dan diberikan sedikit makanan pengalas perut walaupun setahun sekali, itu rasa sudah memadai,” ujarnya yang mengendalikan blog Cina Islam.

Sebab itu, beliau pernah mengeluarkan pandangan menyokong saudara blogger Milosuam bahawa blogger Pakatan Rakyat semacam tidak digembleng tenaga mereka secara terancang dan bersepadu untuk menghadapi gelombang blogger Umno yang nampak terancang dan dirancang.

“Sebenarnya bagi saya dunia seorang blogger tidak lepas dari sifat keikhlasan dan kejujuran semasa mengeluarkan berita, apa matlamat sebenar pemberitaan dan seperti yang dikatakan oleh Tuan Guru Datuk Nik abdul Aziz Nik Mat malam tadi ada dosa dan pahala dan ada kaitan dengan syurga dan neraka serta ditanya kelak di akhirat dengan apa yang ditulis dalam blog masing-masing,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Kerana itu, baginya yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak sentuhan kerajaan negeri Kelantan dalam pertemuan malam tadi sangat bernilai bagi seorang blogger dan mereka bukan mahukan sanjungan, pujian dan upah.

Katanya, keiklasan mereka datang pada malam tadi dengan biaya poket sendiri dengan meninggalkan kerja masing-masing menuju ibu negara demi memenuhi jemputan dari Kerajaan Negeri Kelantan.

Tambahnya, tanpa disedari di sana ramai yang hadir boleh membuat tuntutan perjalanan dan sebagainya, namum para blogger sudah melupakan itu demi penghargaan yang lebih besar dari nilai wang ringgit.

Menurutnya, yang penting hak dan tanggungjawab yang dilakukan oleh masing-masing mengikut kedudukan.
“Bila ada pengumuman mengenai program tersebut saya cepat-cepat mendaftar diri untuk hadir dan mengosongkan jadual yang lain yang diatur lebih awal.

“Apabila saya menerima jawapan dari email Tarmizi Mat Jam yang mendaftar kehadiran, saya rasa sangat berbangga dan tidak sabar untuk hadir bersama dan memastikan berada di Kuala Lumpur malam tadi walaupun saya sepatutunya sudah di China untuk urusan perniagaan,” katanya.

Masa berjalan dengan cepat sekali, kerana itu beliau menyarankan perkara yang sama dilakukan oleh kerajaan negeri yang lain di bawah Pakatan Rakyat seperti Kedah, Selangor dan Pulau Pinang yang mestilah melakukan program seumpama dilakukan Kelantan malam tadi.

Walaupun cuma datang tanpa makan dan minum, beliau yang juga Adun Titi Serong akan berusaha untuk hadir sekiranya mereka menganjurkan dalam masa terdekat.

“Kalaulah saya di luar negara dan sibuk dengan jadual yang diatur lebih awal, saya akan susun kembali untuk pastikan dapat hadir bersama.

“Selain bertemu pimpinan kerajaan negeri Kelantan, saya juga merasakan keseronokan bertemu dengan rakan-rakan media dan blogger sempena pertemuan malam tadi,” ujarnya.

Baginya, ternyata ia menjadi medan untuk merapatkan silaturrahim sesama blogger dan dengan pimpinan.

“Kamilah yang sedang mempertahankan Kerajaan Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang dengan pemberitaan di dalam dunia blogger.

“Oleh itu berilah sedikit kredit kepada kami sebagaimana yang dilakukan oleh Kelantan malam tadi,” ujarnya lagi.
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates