Terima Hudud: Kelantan buat himpunan kesyukuran

KOTA BHARU, 6 Okt: Kerajaan Kelantan akan mengadakan majlis kesyukuran ekoran perakuan oleh semua pihak khususnya rakyat terhadap Enakmen Syariah Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Hudud) negeri itu.

Program yang diberi nama Himpunan Kesyukuran itu akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV dengan acara kemuncak ceramah perdana oleh tiga tokoh pemimpin Pakatan Rakyat jam 9 malam ini.

Mereka adalah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum itu, pada jam 2 petang ini akan berlangsung forum tertutup di Dewan Teratai SUK bagi membincangkan isu tersebut bersama kakitangan awam negeri ini.

Ianya akan menampilkan tiga orang panel iaitu Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan Datuk Mohamed Daud Al-Iraqi, Ketua Hakim Mahkamah Syariah Datuk Daud Mohamad dan Pakar Perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Pada jam 5 hingga 7 petang pula akan diadakan majlis Jamuan Rakyat di perkarangan stadium yang kemudiannya disusuli solat Maghrib, solat hajat dan tazkirah oleh Anggota Dewan Negara Datuk Dr Johari Mat

Gaji minimum Pakatan tepat pada masa


KUALA LUMPUR, 6 Okt: Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia (LPAS) merasakan Belanjawan 2012 yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat (PR) dalam meletakkan gaji minimum RM1,100 sebagai gaji minimum tenaga kerja sebagai berpatutan dan kena pada masanya.
Pengerusinya, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, ini kerana dalam suasana kos sara hidup yang semakin meningkat ditambah dengan kenaikan harga barang, penetapan gaji minimum sebanyak RM1,100 amat sesuai dilaksanakan.
“LPAS mengucapkan tahniah dan syabas kepada pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang cukup memahami kehendak serta keperluan rakyat terbanyak, khususnya mereka yang berpendapatan rendah,” katanya kepada Harakahdaily.
Ini juga, ujarnya bersesuaian dengan tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam CEUPACS serta Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mahukan kerajaan menetapkan gaji minimum sebanyak RM900.00.
Katanya, dalam keadaan kerajaan teragak-agak untuk membantu rakyat berpendapatan rendah, PR tanpa berlengah panjang terus membentangkan bajet yang antaranya menetapkan gaji minima yang kena pada golongan sasaran.
Bagi LPAS, kata beliau kerajaan sepatutnya telah lama menetapkan gaji minimum bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah agar keluar dari kepompong kemiskinan.
Menurutnya, apa yang berlaku pada hari ini adalah ramai pekerja berpendapatan rendah yang mendapat gaji terlalu sedikit, sehingga ada yang kurang daripada RM800 sebulan.
“Dengan gaji demikian, bagaimana golongan pekerja ini dapat hidup dalam suasana di bandar khususnya di Kuala Lumpur ini,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Jerai.
Katanya, mereka pula mempunyai keluarga, dan dengan pendapatan yang sebegini semakin ramai yang terhimpit dengan masalah kewangan.
Baginya, pembentangan bajet PR membuktikan bahawa PR sentiasa meletakkan rakyat sebagai agenda utama.
“LPAS menunggu-nunggu apakah pula reaksi kerajaan dalam menawarkan kebajikan kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Justeru, tambahnya LPAS mengharapkan supaya kerajaan dapat menetapkan gaji minimum yang lebih baik daripada PR sesuai dengan sifatnya sebagai kerajaan persekutuan.

Usahkan royalti, hasil minyak tidak dimaklum


KOTA BHARU, 5 Okt: Kelantan bukan sahaja tidak pernah mendapat sebarang hasil royalti minyak dan gas yang telah dituntut oleh kerajaan negeri daripada Petronas sebelum ini, malah 32 telaga minyak dan gas dari Bumi dan Suria yang telah mengeluarkan hasil mutakhir ini juga turut disembunyikan.
Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum, Datuk Husam Musa, (gambar) berkata, gas dan minyak yang telah dikeluarkan dari 24 daripada 32 telaga masing-masing di Bumi dan Suria,  tidak pernah dimaklumkan pada kerajaan negeri.
“Jangankan ingin membayar royalti pada kerajaan negeri yang dituntut sebelum ini, malah hasil pengeluaran mutakhir ini juga tidak pernah dimaklumkan.
“Tindakan ini amat tidak bermoral kerana telah mencuri hasil kekayaan kerajaan negeri,” ujarnya yang juga anggota exco kerajaan negeri selepas mesyuarat exco hari ini.
Beliau seterusnya berkata sebagaimana hasil yang telah diperolehi dari telaga-telaga minyak dan gas yang lain, dari Bumi (16) dan Suria (16) juga adalah milik kerajaan negeri.
Sambungnya, kedudukannya yang paling hampir dari Kelantan hanya memakan masa selama 35 minit melalui udara cukup membuktikan ianya berada dalam kawasan perairan Kelantan.
“Rakyat perlu mengetahui perkara ini dan rakyat juga perlu mengetahui Petronas dan kerajaan menafikan lagi hak mereka dan kerajaan negeri.
“Rakyat juga perlu tahu tindakan tidak bermoral kerajaan negeri masih berlaku sehingga kini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap bayaran yang serupa turut dibayar pada kerajaan negeri sebagaimana kerajaan Terengganu yang telah mendapat hasilnya sebanyak RM936 juta dari bayaran enam bulan pertama tahun ini.

Kalau untuk rakyat, sudah lama mansuh ISA


KUALA LUMPUR, 5 Okt: Tindakan Kerajaan BN untuk memansuhkan ISA didakwa bukan berasaskan kejujuran bagi kepentingan rakyat, tetapi untuk memancing undi bagi meraih sokongan orang ramai pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.
Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof (gambar) berkata, sekiranya Kerajaan BN benar-benar bertindak untuk kepentingan rakyat, akta tersebut sudah lama dimansuhkan.
Menurut beliau, akta ISA dan lain-lain undang-undang yang bercanggah dengan prinsip keadilan sudah lama ditentang oleh PAS, Pakatan Rakyat dan beberapa buah NGO di tanah air.
Malah, katanya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) turut menentang akta tersebut sejak tahun 2000 lalu kerana ia turut diakui sebagai akta zalim.
"Kenapa akta itu hanya baru nak dimansuhkan sekarang, pada hal sepatutnya dah lama dimansuhkan?" katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kediaman Terhad (Pemansuhan) 2011 bacaan kali kedua pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Disebabkan keadaan itu, beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menegaskan, tindakan kerajaan berhubung perkara itu sememangnya boleh dipersoalkan kerana ia jelas bertujuan untuk kepentingan pihak parti memerintah.
Sementara itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) pada sidang media di lobi Dewan Rakyat hari ini antara lain turut mempersoalkan sama ada Kerajaan BN benar-benar serius untuk melakukan perubahan untuk memansuhkan akta tersebut.
Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pada 3 Oktober 2010, dalam sidang Parlimen, Perdana Menteri mengatakan bahawa usul untuk memansuhkan ISA dan EO hanya akan dilakukan pada bulan March 2012.
"Alasannya ialah untuk memberi masa bagi menderaf dua akta pengganti ISA dan kajian serta rundingan dapat dibuat dengan pihak yang berkenaan.
"Ini telah menimbulkan banyak persoalan di kalangan aktivis dan rakyat. Adakah Kerajaan Malaysia serius dalam melaksanakan perubahan ini," katanya ketika membacakan memorandum GMI yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang di Parlimen hari ini.
Menurut beliau, GMI agak terkejut apabila mengetahui kerajaan gagal untuk menjalankan kajian yang munasabah dan rundingan dengan pihak berkepentingan sebelum pengumuman itu dilakukan.
"Bukankah pengumuman dan janji pertama Perdana Menteri tentang ISA ini dilakukan pada 3 April 2009, lebih dua tahun yang lalu?" tegasnya.
GMI, katanya, berpendapat kelewatan yang diumumkan oleh kerajaan untuk memansuhkan ISA melemahkan proses pembaharuan yang dijanjikan dan ia sekadar gimik politik semata-mata untuk pilihan raya umum akan datang.

Belanjawan 2012 Pakatan bermanfaat untuk rakyat

KUALA LUMPUR, 6 Okt: Belanjawan alternatif yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat ternyata memberikan lebih banyak manfaat kepada rakyat berbanding belanjawan Kerajaan BN.
Belanjawan tersebut ternyata turut mengambil pendekatan yang berbeza berbanding belanjawan BN, dengan sedikit struktur yang memberikan lebih banyak kuasa kepada kerajaan negeri bagi memudahkan pengagihan kekayaan negara dilakukan kepada rakyat.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, dengan memberikan lebih banyak keistimewaan atau kuasa kepada kerajaan negeri, kerajaan negeri dapat memainkan peranannya dengan lebih berkesan bagi mengagihkan kekayaan negera secara menyeluruh kepada rakyat bagi segenap peringkat.
Menurut beliau, dalam masa yang sama, Kerajaan Pakatan Rakyat turut mengambil tindakan amat bertanggungjawab dengan tidak melakukan kenaikan mendadak terhadap harga barangan keperluan rakyat.
Katanya, ini menyebabkan rakyat akan dapat hidup dengan lebih selesa disebabkan tidak mengalami bebanan dengan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup.
"Belanjawan yang dibentangkan itu turut berjaya mengurangkan defisit sehingga 4.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding BN sebanyak 6 peratus," katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen, di sini, hari ini bagi mengulas belanjawan Pakatan Rakyat yang dibentangkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin.
Dalam usaha mengurangkan defisit, menurut beliau, antara langkah yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat dengan mengurangkan perbelanjaan Kementerian Pertahanan termasuk pengurangan pembelian peralatan mega bagi kementerian itu.
Katanya, sebaliknya, Kerajaan Pakatan Rakyat ternyata lebih mementingkan kemudahan dan keselasaan kepada rakyat berbanding perkara lain dalam menyediakan bajet tersebut.
"Mengenai defisit, ia ternyata tidak dapat dielakkan, lebih-lebih lagi pada tahun hadapan yang dijangkakan berlaku kemerosotan ekonomi dunia," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Walaupun begitu, atas sikap tanggungjawab dan kebijaksaan para pemimpin Pakatan Rakyat, belanjawan yang dibentangkan itu tetap berjaya mengurangkan defisit sehingga pada kadar 4.4 peratus.
Dengan realiti itu, kejujuran Pakatan Rakyat dalam membentangkan bajet tersebut sememangnya tidak dapat dinafikan oleh sebarang pihak.
"Ia ternyata bukan bajet pilihanraya seperti yang dilakukan oleh BN yang begitu banyak menjanjikan program keseronokan, tetapi ternyata belanjawan yang amat bertanggungjawab kepada seluruh rakyat," tegasnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, belanjawan Pakatan Rakyat bagi tahun 2012 itu amat bertepatan dengan temanya, Kesejahteraan Untuk Semua kerana ia ternyata memberikan pelbagai keistimewaan kepada rakyat.
Katanya, antara buktinya, bagi mereka yang mempunyai pendapatan 60 peratus ke bawah, mereka akan mendapat bantuan kewangan dari kerajaan dengan serta merta.
"Gaji minima bagi setiap pekerja yang berkelulusan diploma atau yang setaraf dengannya sebanyak RM1,100 sebulan, manakala bagi wanita yang tidak bekerja akan diiktiraf sebagai suri rumah dan akan mendapat gaji sebanyak RM1,000 setahun," katanya yang juga Naib Presiden PKR.
Bagi golongan muda pula, menurut beliau, Kerajaan Pakatan Rakyat turut menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta menerusi pelaksanaan program khas untuk mereka ke arah penambahbaikan terhadap negara.
Manakala Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee pula berkata, belanjawan tersebut ternyata satu belanjawan yang tidak membazirkan wang rakyat atas perolehan negara dengan tidak melakukan perbelanjaan yang tidak wajar.
Menurut beliau, sebaliknya, Kerajaan Pakatan Rakyat akan menggunakan wang negara secara langsung kepada rakyat, berbanding BN yang memperolehi hasil amat banyak tetapi tidak dapat dirasai oleh rakyat secara menyeluruh.
"Ini amat berbeza dengan belanjawan yang dibentangkan Pakatan Rakyat dengan menyediakan subsidi kepada rakyat dan boleh diperolehi secara terus oleh rakyat termasuk suri rumah dan warga emas," katanya.
Wang yang diperolehi oleh rakyat, menurut beliau, amat berguna kepada negara kerana ia akan memantapkan ekonomi keluarga dan apabila dibelanjakan, pasti akan merangsang dan mempertingkatkan pula kekuatan ekonomi negara.
"Kerajaan Pakatan Rakyat ternyata berbelanja dengan lebih berhemah, defisit yang dialami sebanyak 4.4 peratus ternyata lebih bertanggungjawab, berbanding BN.
"Sebenarnya, kerajaan tetap memerlukan defisit untuk memperkukuhkan ekonomi negara, lebih-lebih lagi untuk menghadapi gelombang kemerosot ekonomi dunia pada tahun hadapan," ujar beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAP.

Hudud: Sejauh mana Najib beri laluan pada Kelantan

KOTA BHARU, 4 Okt: Dalam konteks pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, kerajaan negeri ingin melihat sejauh mana kesediaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam memberi laluan kepada Kelantan.
“Itu kita nak tengoklah. Jadi kalau kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Najib itu boleh memberi laluan kepada kita maka tidak ada masalah, dan boleh buat di Kelantan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Van Dakwah Bergerak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) di perkarangan Surau Al-Hikmah, Kompleks Islam Darulnaim, Lundang dekat sini petang semalam.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Mohamad Mustafa.
Hadir sama Timbalan Mufti Kelantan Datuk Nik Abdul Kadir Nik Muhammad, Pengarah JAHEIK, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan para pegawainya.
Mohd Amar mengajak masyarakat supaya melihat isu pelaksanaan hukum hudud itu dengan skop yang meluas terutama apabila Enakmen Jenayah Syariah (II) 1993 telah diluluskan Kelantan.
“Kita di Kelantan, kita telah luluskan, cuma tunggu masa pelaksanaan. Sebelum ini kita terhenti kerana amaran daripada Dr Mahathir pada waktu itu,” katanya.
Beliau tidak menolak dakwaan bahawa persepsi ditimbulkan masyarakat terhadap kedudukan yang ada itu adalah suatu ‘kelompongan’ dalam perundangan negara.
“Kalau kita nak menyalahkan Kerajaan Persekutuan, memanglah. Ini kerana (mereka yang masih terkeliru tentang hukum Hudud).
“Kita telah merdeka begitu lama, sudah 54 tahun, dan ini pada pandangan saya kesilapan kerajaan yang ada.
“Dia suka ‘escape’, lari…lari….tidak to face the real isu. Bagi kita parti Islam, kita tidak boleh lari, dan itulah cita-cita kita. Sesungguhnya kewujudan PAS ini kerana nak melaksanakan Islam,” tegas Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan.
Menurutnya, hasrat itu adalah selaras dengan matlamat PAS ditubuhkan sejak 21 tahun lalu.
Justeru, kata Mohd Amar, peluang perlu diberikan kepada PAS Kelantan untuk mempraktikkan undang-undang Islam itu.
“Hasrat PAS Kelantan melaksanakan hukum Hudud tidak berubah, dan tidak memaksa masyarakat menerimanya,” katanya.

RM2 juta halang himpunan Bersih 2.0

KUALA LUMPUR, 4 Okt: Kerajaan telah membelanjakan lebih RM2 juta bagi menangani perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Hussin dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh).
Menurut beliau, untuk tujuan itu juga sejumlah 11,046 pegawai dan anggota polis terlibat mengawal keselamatan di Lembah Klang termasuk 2,600 yang dikerah untuk siap sedia di kontinjen-kontinjen seluruh negara untuk dipanggil jika keadaan memerlukan.
"Pihak PDRM terpaksa membuat persiapan rapi yang memerlukan perbelanjaan bagi perolehan kelengkapan tambahan, makan minum, penginapan dan keperluan logistik lain.
"Kos keseluruhan yang dibelanja oleh PDRM bagi menangani perhimpunan tersebut adalah sebanyak RM2,018,850.06," katanya.
Teresa dalam soalannya meminta Hishamuddin menyatakan bilangan anggota polis yang dikerah untuk bertugas di Lembah Klang pada 6 hingga 9 Julai 2011.
Beliau juga menanyakkan jumlah elaun yang dibayar kepada mereka untuk bertugas dan perbelanjaan sepanjang operasi menghentikan perhimpunan aman Bersih 2.0.
Pada 9 Julai lalu, Bersih atau Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil, yang turut disokong parti politik pembangkang dan lebih 60 NGO telah berjaya menghimpunkan hampir 100,000 rakyat berkumpul di ibu negara biarpun berdepan halangan pihak berkuasa sejak awal pengumuman mereka.
Selain mengisytiharkan Bersih sebagai pertubuhan haram, mereka yang memakai baju kuning berlogo bersih juga ditangkap.
Selain itu polis juga turut menghalang sebarang bentuk program termasuk ceramah yang melibatkan himpunan tersebut.
Selain halangan tersebut, kerajaan juga turut menggunakan seluruh media milik mereka menggambarkan Bersih 2.0 sebagai ganas dan merbahaya.
Ianya juga menyaksikan semua jalan utama menuju ke ibu negara Kuala Lumpur dikunci setiap penjuru pada tarikh 9 Julai itu.

Belanjawan Pakatan peruntuk RM220 bilion

KUALA LUMPUR, 4 Okt: Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion bagi belanjawan 2012 berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4 peratus daripada KDNK.

Dengan mengangkat tema "Kesejahteraan Untuk Semua", belanjawan Pakatan Rakyat memberi fokus yang lebih kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Belanjawan itu dibentangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bilik taklimat parlimen hari ini.

Ianya dibentang seminggu lebih awal berbanding bajet kerajaan pusat yang akan dibentang perdana menteri Jumaat ini.

Tujuh prinsip asas yang menjadi teras kepada Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat adalah seperti berikut:

- Membantu rakyat dalam masa terdekat mengharungi suasana ekonomi yang semakin terhimpit.

- Menjamin kelangsungan kewangan negara dengan tumpuan khususnya untuk mengurangkan defisit.

- Menambahnilai perbelanjaan negara agar peruntukan benar-benar samapai kepada rakyat dengan memerangi rasuah dan penyelewengan.

- Memperkasakan keupayaan ekonomi rakyat dalam jangka masa sederhana dan panjang melalui rekayasa latihan teknikal, vokasional dan penggajian memartabatkan rakyat.

- Mengukuhkan lagi arus reformasi politik yang manjadi prasyarat dan pendinding dari anasir-anasir yang mahu membolot kekayaan negara untuk mereka dan kaum kerabat mereka sahaja.

Pembelaan rakyat terbanyak

Belanjawan Pakatan Rakyat juga akan melaksanakan bantuan-bantuan berikut bagi mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada gologan rakyat kebanyakan:

a) Mengekalkan subsidi minyak RM22 bilion bagi mengelakkan kenaikan harga.

b) Menghapuskan subsidi korporat yang hanya menguntungkan kroni seperti pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh Bernas, monopoli lesen teksi.

c) Bayaran bonus kepada warga emas sebanyak RM1,000 setahun yang berpendapatan kurang RM18,000 setahun.

d) Bayaran suri rumah sebanyak RM1000 dalam tahun 2012 dan menggalak mereka menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

e) Bayaran tambahan kepada isi rumah dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah RM550.

f) Bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat diselaraskan krpada RM550 sebulan berbanding RM300 sebulan pada masa sekarang.

Mengembalikan martabat rakyat
a) Menetapkan gaji minima sebanyak RM1,100 dan akan dikuatkuasakan.

b) Melaksanakan pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan bagi setiap guru seperti janji Buku Jingga.

c) Menyelaraskan gaji kakitangan awam berdasarkan penetapan gaji minima.

d) Akan menghentikan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan.

e) Memperuntukkan tambahan RM1.3 bilion untuk menambahbaik skim latihan vokasional dan teknik termasuk menaiktaraf kursus ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal.

f) Peruntukan tambahan RM1 bilion untuk perumahan awam dengan perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan negeri.

g) Pelaksanaan skim "Bina dan Jual" secara berperingkat bermula dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang terainaya akibat projek perumahan terbengkalai.

h) Penganugerahan lesen-lesen secara terus kepada rakyat dan pemohon dengan membatalkan sistem payung yang digunapakai bermula pemberian lesen teksi secara terus kepada pemandu.

P'raya selepas JK Terpilih selesai jalan tugas

KUALA LUMPUR, 4 Okt: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) hari ini menggesa Perdana Menteri agar tidak mengadakan pilihan raya umum sebelum Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen mengenai pembaharuan sistem pilihan raya selesai menjalankan tugasnya.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Marina Chin Abdullah berkata, inkuiri awam kendalian jawatankuasa tersebut harus mengambil kira semua pandangan rakyat dari seluruh Malaysia mengenai sistem pilihan raya yang sedia ada.

"50,000 rakyat Malaysia yang menyokong perhimpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu harus diberi peluang menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap sistem pilihan raya," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, Bersih 2.0 menyambut baik penerimaan kerajaan terhadap cadangan penubuhan jawatankuasa tersebut yang disifatkan sebagai kejayaan rakyat.

Namun tegasnya, kerajaan tidak ikhlas untuk memperbaharui sistem pilihan raya jika tidak melaksanakan lapan tuntutan Bersih 2.0.

"Adalah menjadi tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan memastikan rakyat Malaysia dapat mengundi dalam suasana pilihan raya adil dan bersih," katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz di Dewan Rakyat membentangkan Rang Undang Penubuhan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen untuk memperbaharui sistem pilihan raya.

Namun beliau tidak dapat memberi jaminan pilihan raya tidak akan diadakan sebelum jawatankuasa tersebut selesai menjalankan tugasnya seperti yang dituntut Pakatan Rakyat dan Bersih 2.0.

RM9 juta sewa pesawat khas bawa Najib bercuti

KUALA LUMPUR, 4 Okt: Sebanyak RM9 juta telah dibelanjakan bagi menyewa sebuah pesawat Airbus A319-IIX yang diguna Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sewaktu percutiannya di Perth Australia.

Pesawat yang disewa daripada Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (PMB) itu bermula 3 Ogos 2007 lagi untuk kegunaan pemimpin terpenting di dalam kerajaan termasuk Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan juga Timbalan Perdana Menteri.

Penjelasan tersebut dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam jawapan bertulis terhadap soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.

Nurul yang melalui soalannya meminta kerajaan menjelaskan siapa pemilik pesawat tersebut yang telah digunakan oleh Najib sewaktu percutiannya di Perth, Australia serta kekerapan penggunaannya dan kos yang telah dibelanjakan.

Nazri juga memberitahu bagi tempoh Januari sehingga Ogos 2011, kekerapan penggunaan pesawat adalah meliputi 155 sektor di dalam dan luar negara dengan kos penggunaan berjumlah RM9.1 juta yang meliputi kos bahan api pesawat, caj tempat dan kendali, sajian serta logistik krew pesawat.

Cincin USD24 juta dikembalikan

KUALA LUMPUR, 4 Okt: Kerajaan hari ini menjelaskan bahawa tiada sebarang pembelian ke atas cincin berharga USD24 juta yang didakwa dibeli isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam jawapan bertulis terhadap soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merujuk perkara itu kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mengesahkan pembelian itu tidak berlaku.

"SPRM hanya menjalankan siasatan bagi kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan sepertimana dalam peruntukan Akta SPRM 2009.

"Dalam isu yang dibangkitkan ini, SPRM telah merujuk kepada JKDM, dan pihak JKDM telah mengesahkan bahawa tiada sebarang pembelian ke atas cincin tersebut. Setelah beberapa hari cincin tersebut dikembalikan semula kepada syarikat pemunya cincin berkenaan," katanya.

Dalam soalan sebelum itu, Lim Lip Eng meminta perdana menteri menyatakan status siasatan PDRM, SPRM dan SKMM berkenaan dakwaan pembelian sebentuk cincin bernilai USD24 juta.

Isu pembelian cincin itu sebelum ini didedahkan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin yang mendakwa Rosmah membeli cincin berlian dari saudagar permata Jacob and Co di Amerika Syarikat yang berharga RM24.45 juta

Beliau juga mendakwa terdapat bukti jelas kemasukan berlian berkenaan yang didapati menerusi rekod Jabatan Kastam dan Eksais Di Raja Malaysia.

Rosmah bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan menyatakan ia sebagai fitnah dan tidak mahu melayan dakwaan tersebut, selepas dua minggu isu itu ditimbulkan.

Perkara itu juga telah dilaporkan kepada SPRM pada 13 Julai lalu.

Hudud: DAP tetap bersama PAS lawan BN

KEPALA BATAS, 2 Sept: Perbezaaan pandangan berhubung perlaksanaan undang-undang Islam khususnya hudud tidak bermakna DAP putus kerjasama dengan PAS.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan, DAP tetap akan bekerjasama dengan PAS kerana masih banyak persamaan dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat khususnya melawan BN.

Bercakap sewaktu menyampaikan pidato di program rapat umum sempena Kongres 60 Tahun PAS di sini malam tadi, Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga secara tegas menyatakan mereka juga tidak akan bersama Umno biarpun Umno juga sama pendirian dengan DAP menolak perlaksanaan hudud.

"Pimpinan DAP jelas kita tak setuju dengan hudud. Umno pun tak setuju dengan hudud. Tetapi tak kan kerana DAP tak setuju Umno tak setuju, DAP dan Umno nak kerjasama.

"Kita terus akan bekerjasama dengan PAS kerana kita masih banyak persamaan. Kita sama-sama lawan rasuah, sama-sama lawan kebatilan, sama-sama lawan BN," tegasnya disambut tepukan dan laungan takbir hadirin.

Dalam majlis itu dianggarkan lebih 20 ribu hadirin hadir dan duduk bersila memenuhi ruang dalam dan perkarangan Dewan Milenium.

Dalam mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat minggu lalu, kesemua parti komponen PAS, PKR dan DAP menyatakan persetujuan bersama memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu.

Mereka juga menghormati pendirian PAS untuk mengangkat isu hudud dan membincangkannya agar difahami oleh masyarakat.

Pada masa yang sama, mereka juga menghormati pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan hudud kerana bertentangan dengan perlembagaan.

Keputusan bersama itu sekaligus didakwa menggagalkan rencana Umno BN memecah belahkan parti-parti dalam Pakatan menggunakan isu hudud yang selama itu dianggap senjata ampuh mereka.

"Kita (DAP) ditubuh untuk bela perlembagaan bukan lawan perlembagaan. Sama juga kita bukan mahu lawan Islam tetapi kita mahu lawan Umno, MCA, MIC dan BN," katanya.

Turut menjadi pemidato dalam majlis malam tadi adalah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

PAS bawa seni untuk dakwah, bukan sekadar hiburan

KUALA LUMPUR, 3 Okt: PAS Negeri Perak, khususnya PAS Kawasan Parit Buntar, buat julung-julung kalinya telah menganjurkan satu program santai secara besar-besaran bersama bekas-bekas artis terkenal yang dinamakan Mini Konsert & Talk Show di dewan Markas PAS Titi Serong, Parit Buntar, kelmarin.
Program yang bermula jam 3.00 hingga 5.00 petang itu dihoskan oleh Bob Lokman dan turut melibatkan dua bekas rockers terkenal, Mael dan Pak Long.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa menjelaskan, program tersebut anjuran PAS Kawasan Parit Buntar dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit Buntar dan ternyata mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.
Menurut beliau, sebelum ini PAS Kawasan Parit Buntar pernah menganjurkan program santai seperti itu tetapi hanya secara kecil-kecilan dengan hanya melibatkan Mael dan Pak Long sahaja, berbanding program hari ini yang turut melibatkan bekas pelakon dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman.
Katanya, program tersebut bagaimanapun bukanlah terarah kepada hiburan semata-mata sehingga membawa kepada kelalaian seperti yang dianjurkan oleh sesetengah pihak, tetapi ia tetap bertapak atas orientasi dakwah.
"Program yang kami adakan pada hari ini, selain mengandungi persembahan hiburan daripada artis-artis tersebut, juga berbentuk 'talk show' yang disampaikan oleh Bob Lokman, Mael dan Pak Long untuk menyampaikan mesej berguna kepada orang ramai," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Antara mesej utama yang disampaikan itu, menurut beliau, PAS tidak menentang seni dan kegiatan seni dan PAS juga tidak pernah menyatakan hanya bentuk kegiatan kesenian tertentu seperti nasyid sahaja yang dibenarkan.
"Sebaliknya, PAS turut memberikan perhatian kepada kegiatan kesenian untuk memberikan hiburan kepada orang ramai, asalkan ia disampaikan dengan cara yang betul, tidak melampau dan tidak terkeluar dari batasan syariat," tegasnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berharap agar orang ramai faham dengan perjuangan PAS termasuk pendirian PAS dalam soal kesenian supaya perjuangan PAS tidak disalahterima oleh pihak-pihak tertentu.
Berdasarkan sambutan baik yang diberikan oleh orang ramai terhadap program itu, PAS Parit Buntar bercadang untuk mengadakan lagi program seperti itu pada masa akan datang, malah mungkin akan diadakan secara lebih besar, bagi memberikan hiburan yang berguna kepada orang ramai.
"Bilangan mereka yang hadir ke program kami pada hari ini sekitar 500 orang sehingga memenuhi dewan. Artis-artis terbabit yang terdiri daripada Bob Lokman, Mael dan Pak Long juga kelihatan memberikan respon yang baik dan seronok menjayakan program itu," katanya.
Pada masa akan datang, jelas beliau, pihaknya mungkin akan turut mengundang sama bekas pemain muzik terkenal, Sham Kamikaze bagi memeriahkan majlis.

DHPP: Laporan Mingguan M'sia tidak tepat

KUALA LUMPUR, 2 Okt: Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan (gambar) berpandangan laporan Mingguan Malaysia hari ini mengenai kenyataan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Phang Chow tidak tepat dan lari dari maksud sebenar.
Katanya, pembaca boleh membandingkan laporan itu dengan laporan oleh Sinar Harian Kelantan pada hari yang sama.
“Ianya amat jelas berbeza dan bagi saya laporan Sinar Harian adalah lebih menepati maksud Hu Phang Chow,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Justeru, beliau yang juga Exco Kerajaan Kelantan ingin membuat penegasan bahawa DHPP lahir dari kesedaran di kalangan masyarakat bukan Islam bahawa perjuangan yang dibawa oleh PAS bukan sahaja untuk menentang kezaliman BN malah adalah untuk keadilan dan kesejahteraan semua kaum tanpa mengira agama.
Katanya, pengalaman rakyat bukan Islam di bawah kerajaan PAS dan PR di Kelantan sudah cukup membuktikan hal itu.
Jelasnya, sebelum DHPP dinaikkan taraf menjadi salah satu sayap penting PAS, kelab penyokong PAS di kalangan masyarakat bukan Islam sangat faham akan matlamat perjuangan PAS untuk melaksanakan keseluruhan syariat Islamiah termasuk juga hukum hudud.
“Malah ada di kalangan pimpinan DHPP sendiri yang meminta supaya hukuman hudud ini dilaksanakan menggantikan undang-undang jenayah yang ada kerana ia lebih adil dan diyakini mampu menyelesaikan ancaman jenayah yang amat menggerunkan dalam negara kita sekarang ini,” ujarnya .
Jadi, ujarnya tidak patut timbul soal DHPP tidak faham dengan sikap PAS kerana beliau yakin keseluruhan ahli DHPP sudah sedia maklum dan faham benar akan matlamat perjuangan PAS.
Tambahnya, Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 1993 yang dikenali sebagai Enakmen Hudud ini telah diluluskan oleh Kerajaan negeri Kelantan sejak tahun 1993 lagi.
Beliau berkata, jadi isu DHPP tidak dibawa berbincang berhubung dengan hudud itu adalah tidak timbul langsung kerana ketika itu DHPP belum wujud.
“Kita juga ingin menegaskan sekali lagi bahawa dua golongan yang tidak perlu takut kepada hudud.
“Pertama orang bukan Islam kerana PAS hanya akan melaksanakan hudud ini kepada orang Islam di Kelantan sahaja. Ini telah ditegaskan oeh Tuan Guru Nik Abdul Aziz,” jelasnya.
Yang kedua, katanya adalah orang yang tidak mempunyai niat untuk melakukan jenayah hudud, kerana hudud adalah hukuman bagi para penjenah berat sahaja.
Menurutnya lagi, bagi masyarakat Islam, hudud adalah hukum dari Allah.
“Tidak boleh soal, sama ada kita boleh melaksanakannya atau tidak. Apa yang boleh kita bincangkan adalah bagaimana cara untuk melaksanakannya,” ujarnya.
Beliau berkata, sebelum Enakmen Hudud Kelantan diluluskan, ia telah dibincang dan dimaklumkan pada rakyat. Manakala penggubalannya dilakuman oleh para pakar dalam dan luar Kelantan juga dari universiti tempatan dan luar negara.

Serangan bom: DHPP Kelantan kunjungi konsul Thai

KOTA BHARU, 2 Okt: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kelantan hari ini telah mengambil langkah dengan mengadakan kunjungan hormat terhadap Konsul Thai bagi mendapat maklumat terkini serta menyerahkan satu memorandum kepada kerajaan Thailand.
Ini ekoran tragedi serangan bom di Pekan Golok, Selatan Thai bulan lepas turut melibatkan rakyat Malaysia dan sebahagiannya adalah rakyat Kelantan.

Deligasi yang diketuai oleh penasihatnya, Lee Weng Chun, turut disertai pengerusi negeri, Lim Guan Seng dan setiausaha, Tharuman a/l Arjunan.

Memorandum tersebut telah diserahkan kepada Timbalan Konsul, General Itti Kawepornsakul di pejabat Konsul General Diraja Thai.

Menurut Lee, kunjungan yang diadakan ini adalah untuk mendapat maklumat terkini perkembangan suasana di Selatan Thai dan juga menyerah satu memorandum yang memohon agar pihak kerajaan Thailand dapat memberi pampasan yang setimpal dan sama seperti rakyat mereka dapat.

“Saya amat gembira kerana layanan konsul Thai di Kota Bharu ini amat baik dan pihak mereka berjanji akan membantu sebaik mungkin termasuklah dari segi pampasan kepada keluarga mangsa tersebut,” katanya.

Setakat hari ini lima rakyat Malaysia telah meninggal dunia iaitu Wong Kai Sean, Wong Hong Yep, Foog Too Keh, Yan Wing dan Chan Yew Soon, sementara itu masih terdapat mangsa yang cedera dan dirawat di hospital negara tersebut.
Mereka ialah Lai Yok Long, Wee It Cheng, Cheng Yew Mang, Phoo King Kuang ( Hospital Sungai Golok ) dan Heng Chin Goa ( Hospital Yala ), manakala lima lagi iaitu Wong Wai Siong, Ling Yee Iung, Tan You Chang, Wong Chon Chang dan Law Yok Choi telah dibawa pulang ke Malaysia.
Lee juga berkata pihak kerajaan Thailand telah menyelesaikan segala urusan pengurusan mayat dan setakat ini mereka yang cedera telah menerima sumbangan RM1,000 atau 10 ribu Baht.

“Kami dari DHPP Kelantan amat sedih di atas kejadian yang berlaku ini dan pihak kami telah berusaha untuk memberi bantuan sebaik mungkin dan langkah mengadakan pertemuan dengan konsul Thai juga adalah untuk meringankan beban keluarga mangsa,” katanya lagi.

PAS lancar Ameerah dan gelombang Epal Hijau

KEPALA BATAS, 2 Okt: Presiden PAS, Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang melancarkan Ameerah sempena sambutan 60 Tahun PAS iaitu Lajnah Politik Wanita Muda, bagi merangka setrategi mendekati golongan itu.
(Abdul Hadi disambut oleh panitia sambutan sebelum merasmikan Ameerah di sambutan 60 tahun PAS)
Pelancaran Ameerah dan gelombang epal hijau memberi nafas baru kepada gerakan Dewan Muslimat yang sudah berjaya dengan pejalanan Nisa' yang telahpun berjalan sempurna.

Sekalung tahniah kepada Lajnah Politik Wanita Muda kerana berjaya mempamerkan satu wadah baru gelombang hijau yang penuh warna warni.

Sempena pelancaran itu Presiden telah menyiram air tanda mencerna kesuburan sesuai dengan keserasian yang wujud di kalangan remaja dan wanita muda.

Selain menyiram air presiden telah menanda tangani di atas replika epal hijau dengan iringan beberapa orang remaja yang mengalunkan gerakan kain hijau penuh semangat.

Pergerakan itu diakhiri dengan pelepasan belon yang tergantung di paras satu Dewan Melinium sebagai tanda kejituan tujuh teras yang menjadi panduan menuju Putrajaya.

Dalam ucapannya, Abdul Hadi berkata, muslimat yang lulus menghadapi gelora perjuangan sahaja akan dipandang tinggi oleh Allah s.w.t mereka tidak bakhil dengan masa dan wang semata-mata untuk kemenangan Islam kata .

Muslimah mesti berani memperbetulkan diri serta membaiki diri menjadi isteri yang baik dan terpuji.

"Pengorbanan para isteri membantu menegakan Islam akan dikira mendapat pahala yang tinggi demi kebaikan Islam yang dianuti, " jelasnya ketika merasmikan pelancaran  di Dewan melinium, kepala Batas petang tadi.

Muslimat yang ada semangat perjuangan yang tinggi akan menjadi sayap yang baik serta dapat menumpukan kerja berfokus.

Bila kerja digerakan dengan lancar maka menyenangkan peranan muslimat menabur atau menyemai peranan di mana jua.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Yusuf dalam ucapanya mengharap golongan wanita muda supaya bersiap mematangkan diri kerana sikap itu sahaja boleh mencerna kemenangan pada masa depan.

60 tahun: PAS matang berhadapan Umno

KUALA LUMPUR, 1 Okt: Usia 60 tahun PAS seharusnya mematangkannya berhadapan dengan lawan iaitu Umno, kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan selamat ulang tahun ke-60 PAS kepada seluruh pendukung dan penyokongnya agar terus thabat dan anjal di dalam menghadapi hari-hari muka yang semakin mencabar daripada pihak musuh yang semakin hilang panduan.
“Semoga dengan itu kita terus mara kehadapan dengan penuh keyakinan tentang janji Allah untuk mendapat kejayaan dan kemenangan, dan penuh kesabaran dalam perjuangan dan dalam rintangan,” ujarnya dalam perutusan sempena Sambutan 60 Tahun PAS.
Berikut adalah perutusan penuh beliau.
Bersempena dengan Sambutan 60 tahun PAS, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua para pendukung dan penyokong sejak dahulu hingga sekarang yang terus bersama dengan PAS memperjuangkan Islam agar tertegak di atas tanah air tercinta ini.
PAS adalah mata rantai perjuangan para Nabi dan Rasul bagi mengajak manusia agar kembali kepada Allah dan hukum hakam-Nya.
Prinsip PAS ini tidak pernah berubah walaupun strategi politik berbeza-beza untuk mencapai matlamat tersebut.
Ijtihad dalam politik tidak pernah menidakkan perkara yang thawabit dan tetap dalam PAS.
Strategi dan cabang agama terbuka kepada perubahan dan penyesuaian berdasarkan ijtihad.
Keanjalan inilah yang memungkinkan PAS terus relevan sehingga kini, mampu menyerap dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.
Tahalluf siasi dengan parti yang mempunyai ideologi yang berbeza sebagai contoh, adalah strategi terbaik masa kini untuk mencapai kemenangan.
Ia tidak mengorbankan prinsip dan thawabit PAS sebagai gerakan Islam untuk melaksanakan Islam secara syumul termasuk hukum hudud.
Ulama telah memainkan peranannya yang sangat besar dalam menempuh badai perjuangan ini.
Ulama telah menjadi nadi kepada PAS dengan kedudukannya yang tinggi dalam organisasi.
Majlis Syura Ulamak menjadi pemandu kepada parti agar tidak menyeleweng daripada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi rujukan tertinggi dalam PAS.
Usia 60 tahun PAS seharusnya mematangkannya berhadapan dengan lawannya iaitu Umno.
Pelbagai rintangan dan mehnah telah dihadapi dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.
Walaupun ada di kalangan pendokongnya terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan mehnah namun PAS masih mampu bertahan kerana keyakinan kepada janji kemenangan oleh Allah s.w.t.
Pilihan raya yang hampir tiba seharusnya dihadapi dengan penuh strategi dan bijaksana.
Tenaga para ulama dalam berhadapan dengan ujian besar ini adalah sangat dituntut.
Ulamak tidak harus hanya menjadi penonton di luar gelanggang tetapi harus masuk berpencak silat bersama demi untuk melaksanakan tuntutan ilmu yang dipelajari.
Inilah masanya untuk para ulama beramal dengan ilmunya agar menjadi pohon yang menghasilkan buah yang ranum dan sedap dimakan.
Buat akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan selamat ulang tahun ke-60 PAS kepada seluruh pendokong dan penyokongnya. Agar anda terus thabat dan anjal di dalam menghadapi hari-hari muka yang semakin mencabar daripada pihak musuh yang semakin hilang panduan.
Semoga dengan itu kita terus mara kehadapan dengan penuh keyakinan tentang janji Allah untuk mendapat kejayaan dan kemenangan, dan penuh kesabaran dalam perjuangan dan dalam rintangan.

60 Tahun: PAS semakin diyakini semua rakyat

KEPALA BATAS, 1 Okt: PAS kini sudah memasuki era baru dalam perjalanan perjuangannya yang kini mencecah usia 60 tahun sejak penubuhannya 1951, kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Bercakap sewaktu menyampaikan ucaptama di Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Milenium, Kepala Batas di sini, Presiden PAS itu berkata parti Islam itu kini telah mendapat kepercayaan pelbagai pihak di negara ini.
Kepercayaan itu ujarnya hasil daripada pengamatan rakyat melihat ketabahan PAS yang tidak berganjak memperjuangkan keadilan Islam biarpun menghadapi tekanan dan penindasan sejak zaman penjajah dan penafian hak oleh pusat biarpun telah menguasai beberapa negeri.
"PAS adalah parti yang bertunjang dengan teguh dan kuat, tidak terpengaruh dibawa arus penjajah.
"Ada yang terjebak dengan Komunis, British dan Jepun. Tapi PAS tidak hanyut dengan mana-mana fahaman penjajah," katanya.
Selepas merdeka pula, PAS yang mengambil sikap menyertai pilihan raya untuk menegakkan Islam terus mendapat tekanan daripada parti pemerintah biarpun kini telah berjaya menguasai beberapa negeri bersama Pakatan Rakyat.
"Semangat faderalisme dicabul pemerintah. Sewaktu kita memerintah Terengganu hak royalti dirampas, dinafikan hak di Kelantan," katanya lagi.
Kepercayaan terhadap PAS yang perjuangannya dipandu Majlis Syura Ulama, terus menebal apabila mempamerkan pentadbiran yang baik dan adil di negeri-negeri yang dikuasai.
Jika dahulu katanya, PAS hanya dilihat diskong oleh orang Islam, namun hari ini PAS sudah mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS yang terdiri dari kaum Cina dan India.
Malah gabungan profesional dan ulama yang memimpin PAS juga telah menguatkan lagi parti itu sekaligus menafikan persepsi bahawa PAS hanya untuk golongan agama.
Sehubungan itu ujarnya, PAS kini menjadi harapan sebagai "bahtera penyelamat" kepada segala permasalahan yang sedang menimpa masyarakat pada hari ini.
"Di zaman Nabi Nuh, baterah Nabi Nuh menjadi penyelamat, di zaman ini PAS adalah bahtera penyelamat terhadap kehidupan manusia berlandaskan al-Quran, hadis, ijma' dan qias," tegasnya.
Sementara itu, lebih 7000 hadirin hadir ke Kongres 60 Tahun PAS hari ini.
Selain ucaptama presiden, kongres kali ini juga turut memberikan anugerah "Pahlawan Umat" kepada Presiden PAS ke-3 Dr. Burhanudin Al-Helmi.
Sehubungan itu, gelaran tersebut akan digunakan setiap kali nama Dr Burhanudin disebut.
Sebelum penyampaian anugerah itu yang diterima isteri beliau, jasa dan semangat perjuangan Dr. Burhanudin diceritakan melalui puisi khas yang didelamasikan Saterawan Negara, Datuk A.Samad Said.
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates