DHPP: Laporan Mingguan M'sia tidak tepat

KUALA LUMPUR, 2 Okt: Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan (gambar) berpandangan laporan Mingguan Malaysia hari ini mengenai kenyataan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Phang Chow tidak tepat dan lari dari maksud sebenar.
Katanya, pembaca boleh membandingkan laporan itu dengan laporan oleh Sinar Harian Kelantan pada hari yang sama.
“Ianya amat jelas berbeza dan bagi saya laporan Sinar Harian adalah lebih menepati maksud Hu Phang Chow,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Justeru, beliau yang juga Exco Kerajaan Kelantan ingin membuat penegasan bahawa DHPP lahir dari kesedaran di kalangan masyarakat bukan Islam bahawa perjuangan yang dibawa oleh PAS bukan sahaja untuk menentang kezaliman BN malah adalah untuk keadilan dan kesejahteraan semua kaum tanpa mengira agama.
Katanya, pengalaman rakyat bukan Islam di bawah kerajaan PAS dan PR di Kelantan sudah cukup membuktikan hal itu.
Jelasnya, sebelum DHPP dinaikkan taraf menjadi salah satu sayap penting PAS, kelab penyokong PAS di kalangan masyarakat bukan Islam sangat faham akan matlamat perjuangan PAS untuk melaksanakan keseluruhan syariat Islamiah termasuk juga hukum hudud.
“Malah ada di kalangan pimpinan DHPP sendiri yang meminta supaya hukuman hudud ini dilaksanakan menggantikan undang-undang jenayah yang ada kerana ia lebih adil dan diyakini mampu menyelesaikan ancaman jenayah yang amat menggerunkan dalam negara kita sekarang ini,” ujarnya .
Jadi, ujarnya tidak patut timbul soal DHPP tidak faham dengan sikap PAS kerana beliau yakin keseluruhan ahli DHPP sudah sedia maklum dan faham benar akan matlamat perjuangan PAS.
Tambahnya, Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 1993 yang dikenali sebagai Enakmen Hudud ini telah diluluskan oleh Kerajaan negeri Kelantan sejak tahun 1993 lagi.
Beliau berkata, jadi isu DHPP tidak dibawa berbincang berhubung dengan hudud itu adalah tidak timbul langsung kerana ketika itu DHPP belum wujud.
“Kita juga ingin menegaskan sekali lagi bahawa dua golongan yang tidak perlu takut kepada hudud.
“Pertama orang bukan Islam kerana PAS hanya akan melaksanakan hudud ini kepada orang Islam di Kelantan sahaja. Ini telah ditegaskan oeh Tuan Guru Nik Abdul Aziz,” jelasnya.
Yang kedua, katanya adalah orang yang tidak mempunyai niat untuk melakukan jenayah hudud, kerana hudud adalah hukuman bagi para penjenah berat sahaja.
Menurutnya lagi, bagi masyarakat Islam, hudud adalah hukum dari Allah.
“Tidak boleh soal, sama ada kita boleh melaksanakannya atau tidak. Apa yang boleh kita bincangkan adalah bagaimana cara untuk melaksanakannya,” ujarnya.
Beliau berkata, sebelum Enakmen Hudud Kelantan diluluskan, ia telah dibincang dan dimaklumkan pada rakyat. Manakala penggubalannya dilakuman oleh para pakar dalam dan luar Kelantan juga dari universiti tempatan dan luar negara.

0 ulasan:

 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates