KUALA LUMPUR, 6 Okt:
Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia (LPAS)
merasakan Belanjawan 2012 yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat (PR)
dalam meletakkan gaji minimum RM1,100 sebagai gaji minimum tenaga kerja
sebagai berpatutan dan kena pada masanya.
Pengerusinya, Mohd Firdaus Jaafar
(gambar) berkata,
ini kerana dalam suasana kos sara hidup yang semakin meningkat ditambah
dengan kenaikan harga barang, penetapan gaji minimum sebanyak RM1,100
amat sesuai dilaksanakan.
“LPAS mengucapkan tahniah dan syabas kepada pemimpin Pakatan Rakyat
(PR) yang cukup memahami kehendak serta keperluan rakyat terbanyak,
khususnya mereka yang berpendapatan rendah,” katanya kepada
Harakahdaily.
Ini juga, ujarnya bersesuaian dengan tuntutan Kongres Kesatuan
Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam CEUPACS serta Kongres Kesatuan
Sekerja Malaysia (MTUC) yang mahukan kerajaan menetapkan gaji minimum
sebanyak RM900.00.
Katanya, dalam keadaan kerajaan teragak-agak untuk membantu rakyat
berpendapatan rendah, PR tanpa berlengah panjang terus membentangkan
bajet yang antaranya menetapkan gaji minima yang kena pada golongan
sasaran.
Bagi LPAS, kata beliau kerajaan sepatutnya telah lama menetapkan gaji
minimum bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah agar keluar
dari kepompong kemiskinan.
Menurutnya, apa yang berlaku pada hari ini adalah ramai pekerja
berpendapatan rendah yang mendapat gaji terlalu sedikit, sehingga ada
yang kurang daripada RM800 sebulan.
“Dengan gaji demikian, bagaimana golongan pekerja ini dapat hidup
dalam suasana di bandar khususnya di Kuala Lumpur ini,” ujarnya yang
juga ahli Parlimen Jerai.
Katanya, mereka pula mempunyai keluarga, dan dengan pendapatan yang
sebegini semakin ramai yang terhimpit dengan masalah kewangan.
Baginya, pembentangan bajet PR membuktikan bahawa PR sentiasa meletakkan rakyat sebagai agenda utama.
“LPAS menunggu-nunggu apakah pula reaksi kerajaan dalam menawarkan kebajikan kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Justeru, tambahnya LPAS mengharapkan supaya kerajaan dapat menetapkan
gaji minimum yang lebih baik daripada PR sesuai dengan sifatnya sebagai
kerajaan persekutuan.
0 ulasan:
Catat Ulasan