Kalau untuk rakyat, sudah lama mansuh ISA


KUALA LUMPUR, 5 Okt: Tindakan Kerajaan BN untuk memansuhkan ISA didakwa bukan berasaskan kejujuran bagi kepentingan rakyat, tetapi untuk memancing undi bagi meraih sokongan orang ramai pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.
Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof (gambar) berkata, sekiranya Kerajaan BN benar-benar bertindak untuk kepentingan rakyat, akta tersebut sudah lama dimansuhkan.
Menurut beliau, akta ISA dan lain-lain undang-undang yang bercanggah dengan prinsip keadilan sudah lama ditentang oleh PAS, Pakatan Rakyat dan beberapa buah NGO di tanah air.
Malah, katanya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) turut menentang akta tersebut sejak tahun 2000 lalu kerana ia turut diakui sebagai akta zalim.
"Kenapa akta itu hanya baru nak dimansuhkan sekarang, pada hal sepatutnya dah lama dimansuhkan?" katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kediaman Terhad (Pemansuhan) 2011 bacaan kali kedua pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Disebabkan keadaan itu, beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menegaskan, tindakan kerajaan berhubung perkara itu sememangnya boleh dipersoalkan kerana ia jelas bertujuan untuk kepentingan pihak parti memerintah.
Sementara itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) pada sidang media di lobi Dewan Rakyat hari ini antara lain turut mempersoalkan sama ada Kerajaan BN benar-benar serius untuk melakukan perubahan untuk memansuhkan akta tersebut.
Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pada 3 Oktober 2010, dalam sidang Parlimen, Perdana Menteri mengatakan bahawa usul untuk memansuhkan ISA dan EO hanya akan dilakukan pada bulan March 2012.
"Alasannya ialah untuk memberi masa bagi menderaf dua akta pengganti ISA dan kajian serta rundingan dapat dibuat dengan pihak yang berkenaan.
"Ini telah menimbulkan banyak persoalan di kalangan aktivis dan rakyat. Adakah Kerajaan Malaysia serius dalam melaksanakan perubahan ini," katanya ketika membacakan memorandum GMI yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang di Parlimen hari ini.
Menurut beliau, GMI agak terkejut apabila mengetahui kerajaan gagal untuk menjalankan kajian yang munasabah dan rundingan dengan pihak berkepentingan sebelum pengumuman itu dilakukan.
"Bukankah pengumuman dan janji pertama Perdana Menteri tentang ISA ini dilakukan pada 3 April 2009, lebih dua tahun yang lalu?" tegasnya.
GMI, katanya, berpendapat kelewatan yang diumumkan oleh kerajaan untuk memansuhkan ISA melemahkan proses pembaharuan yang dijanjikan dan ia sekadar gimik politik semata-mata untuk pilihan raya umum akan datang.

0 ulasan:

 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates