Usahkan royalti, hasil minyak tidak dimaklum


KOTA BHARU, 5 Okt: Kelantan bukan sahaja tidak pernah mendapat sebarang hasil royalti minyak dan gas yang telah dituntut oleh kerajaan negeri daripada Petronas sebelum ini, malah 32 telaga minyak dan gas dari Bumi dan Suria yang telah mengeluarkan hasil mutakhir ini juga turut disembunyikan.
Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum, Datuk Husam Musa, (gambar) berkata, gas dan minyak yang telah dikeluarkan dari 24 daripada 32 telaga masing-masing di Bumi dan Suria,  tidak pernah dimaklumkan pada kerajaan negeri.
“Jangankan ingin membayar royalti pada kerajaan negeri yang dituntut sebelum ini, malah hasil pengeluaran mutakhir ini juga tidak pernah dimaklumkan.
“Tindakan ini amat tidak bermoral kerana telah mencuri hasil kekayaan kerajaan negeri,” ujarnya yang juga anggota exco kerajaan negeri selepas mesyuarat exco hari ini.
Beliau seterusnya berkata sebagaimana hasil yang telah diperolehi dari telaga-telaga minyak dan gas yang lain, dari Bumi (16) dan Suria (16) juga adalah milik kerajaan negeri.
Sambungnya, kedudukannya yang paling hampir dari Kelantan hanya memakan masa selama 35 minit melalui udara cukup membuktikan ianya berada dalam kawasan perairan Kelantan.
“Rakyat perlu mengetahui perkara ini dan rakyat juga perlu mengetahui Petronas dan kerajaan menafikan lagi hak mereka dan kerajaan negeri.
“Rakyat juga perlu tahu tindakan tidak bermoral kerajaan negeri masih berlaku sehingga kini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap bayaran yang serupa turut dibayar pada kerajaan negeri sebagaimana kerajaan Terengganu yang telah mendapat hasilnya sebanyak RM936 juta dari bayaran enam bulan pertama tahun ini.

0 ulasan:

 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates