Galas: Sidang Dun Kelantan ditangguh sehari

KOTA BHARU, 9 Okt: Persidangan Belanjawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan akan ditangguhkan sehari pada 4 November ini sempena tarikh membuang undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas. 

Speakernya, Datuk Mohd Nasuruddin Daud seperti dilapor Bernama berkata, penangguhan itu bagi membolehkan anggota dewan negeri itu, sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang menumpukan perhatian kepada suasana pilihan raya itu.

Menurutnya, biarpun speaker mempunyai kuasa menangguhkan persidangan Dun tersebut ke tarikh lain, namun pihaknya tidak akan meminda dan tetap dengan tarikh 1 hingga 7 November ini.

"Kita akan teruskan juga.... Kita hanya mengambil keputusan untuk tidak mengadakan persidangan sehari pada hari pembuangan undi pilihan raya kecil DU NGalas itu bagi memberi peluang kepada kedua-dua pihak (penyokong kerajaan dan pembangkang)," lapor agensi berita itu semalam.

Bagaimanapun, beliau kesal dan terkilan kerana pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengambil kira jadual persidangan belanjawan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri dalam menentukan tarikh pilihan raya kecil itu.

Mohd Nasuruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Meranti berkata sepatutnya SPR boleh berbincang dengan pihak kerajaan negeri bagi mengelakkan pertembungan tarikh itu berlaku, jika mereka benar-benar berlaku adil dalam melaksanakan tanggungjawab itu.

Beliau mengakui pihak Dewan tidak memberitahu SPR berhubung tarikh persidangan dewan itu dan beranggapan "sepatutnya SPRlah yang perlu merujuk (perkara itu) kepada kerajaan negeri."

Dalam pada itu, Kerajaan PAS Kelantan juga bercadang untruk mengisytiharkan tarikh 4 November tersebut sebagai cuti peristiwa.

Ianya bagi memudahkan pengundi, khususnya di luar kawasan untuk pulang membuang undi.

0 ulasan:

 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates