Cintailah Jamaah Jangan Mengkhianatinya .
1. Antara prinsip keutuhan dan kekuatan berjamaah ialah perlaksanaan konsep al wala' yang betul dan benar .
2. Istilah al wala' memberi banyak erti dan nilai perlaksanaan ke arah membentuk sebuah Gerakan Islam yang mantap dan berwibawa .
3. Selain kesetiaan , kejujuran , tidak berlaku curang , tidak khianat terhadap jamaah serta kepimpinannya , al wala' juga meletakkan anggota dan pimpinan jamaah sedia akur terhadap dasar dan prinsip serta peraturan dan arahan jamaah . Dengar dan taat menjadi sebahagian daripadanya .
4. Tanggapan al wala' akan menjadikan anggota jamaah terkongkong dan tidak bebas untuk memberi pandangan dan teguran terhadap pimpinan mereka , adalah satu tanggapan yang liar dan tidak berasas . Sebaliknya tanggapan itu lebih bersifat prejudis terhadap prinsip mulia ini . Ia dilihat sebagai satu percubaan untuk membebaskan diri dari ikatan al wala' bagi membolehkan ia bebas tanpa kawal , mengkritik jamaah dan pimpinan secara terbuka sekaligus melondehkan segala kelemahan dengan meng"atasnama"kan kebebasan bersuara dan hak individu [ peribadi ] dalam bertindak , menulis dan bersuara .
5. Al Wala' sebagaimana saya sebutkan diatas menjadi asas keutuhan berjamaah , justeru ia adalah manifestasi dari sebuah kesetiaan dan kejujuran berjuang dan berjamaah . Kesetiaan dan kejujuran ini pula membawa kita membina ukhuwwah fillah [ persaudaraan berasaskan iman dan taat kepada Allah swt ] . Prinsip inilah menjadikan jamaah kita utuh dan sukar ditembusi oleh "peluru" musuh untuk memporakperandakan jamaah dari dalam .
6. Al Wala' bukan mengongkong anggota jamaah tetapi mengawal dan membentenginya agar kukuh dan kuat . Jika sesebuah organisasi biarpun apa dasar perjuangannya membebaskan diri dari kesetiaan dan kejujuran lalu membiarkan anggota bebas keluar dan masuk serta bebas pula mengkritik dan melondehkan kelemahan , saya yakin organisasi itu sedang menuju kehancuran dan kemusnahan .
7. Sewajarnya diinsafi bahawa :
a ] Kesilapan adalah untuk diperbetulkan ,
b ] Kelemahan adalah untuk diperbaiki dan
c ] Kekurangan adalah untuk ditampung .
Lantaran itu , Gerakan Islam seperti PAS sememangnya telah menyediakan saluran yang mencukupi untuk sebarang usaha
a ] memperbetulkan kesilapan ,
b ] memperbaiki kelemahan dan
c ] menampung segala kekurangan .
Ianya sayugia dilakukan oleh anggota dan pimpinan jamaah malah ia boleh dilakukan dalam prinsip al Wala' yang benar dan tepat tanpa perlu membebaskan diri dari ikatan al Wala' juga tidak perlu membuat satu usaha untuk memberi persepsi yang salah dan buruk terhadap konsep al Wala' .
8. Al Wala' tidak menghalang anggota untuk menegur pimpinan mereka demikian juga sebaliknya . Sebagaimana Al Wala' pula tidak membenarkan anggotanya mematuhi arahan pimpinan secara membabi buta sekalipun membabi celik . Apa yang dikehendaki dari al Wala' ialah bersedia untuk menegur pemimpin jika ia salah dan bercanggah tindakannya dengan syara' demi setia dan jujur kepada jamaah . [ bukankah Islam mengajar tiada dengar dan taat kepada makhluk dalam perkara yang memaksiatkan khaliq - Allah swt ]
9. Namun ia tidak bermaksud merendah dan menjatuhkan kredebiliti juga maruah pimpinan dengan kritikan dan teguran yang tidak beradab serta terbuka kepada umum seperti sengaja mahu membina persepsi buruk dan negatif terhadap pimpinan agar mudah untuk diguling dan dijatuhkan kelak . Wal'iyazubillah .
Dalam kedudukan yang sama , dengar dan taat kepada pimpinan selama mana ia tidak menyuruh ke arah melakukan maksiat dan mungkar adalah satu kewajipan dan amanah anggota terhadap kepimpinannya . [ bukankah Islam mengajar kita dengar dan taatlah kepada pimpinan sekalipun dalam perkara yang kita suka atau tidak suka .] bacaan lanjut boleh klik di Dengar dan Taat Arahan Pimpinan.
10. Prinsip tegur menegur , bina membina , nasihat menasihati dan kritik mengkritik adalah suatu yang sangat baik malah turut diajar oleh agama bahkan saya sangat setuju ianya dihidup suburkan dalam jamaah tetapi biarlah ia berlaku dalam suasana :
a ] Mahabbah fillah [ kasih sayang kerana Allah ] ,
b ] Ukhuwwah fillah [ persaudaraan kerana Allah ] ,
c ] Al Wala' [ kesetiaan dan kejujuran terhadap jamaah ]
0 ulasan:
Catat Ulasan