Pelbagai keraguan tentang pangkalan udara Sg Besi

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Sikap kerajaan yang enggan menjelaskan pelbagai keraguan tentang Pembangunan Pangkalan Udara Sungai Besi akan mengakibatkan rakyat menanggung bebannya, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar).

"Pembangunan Pangkalan Udara Sungai Besi yang dilihat umum sebagai 'projek Taek Jho Low' menjadi keutamaan Belanjawan 2012 dan dimasukkan di dalam perlaksanaan Rolling Plan Kedua yang diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

"Kerajaan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) jelas tidak mempedulikan keresahan rakyat sejak dari awal lagi apabila pengkalan udara yang mempunyai nilai strategik dan sejarah itu dipindah milik dengan penuh kontroversi kepada 1MDB (1Malaysia Development Berhad)," kata beliau.

Bukan sahaja pindah milik tersebut amat meragukan dan menghapuskan kepentingan strategik dari segi pertahanan serta nilai sejarah pengkalan udara tersebut, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, malah selepas itu berlaku pula keraguan demi keraguan yang lain.

"Sampai hari ini, rakyat masih menanti jawapan apa perlunya 1MDB melabur secara tunai sebanyak sebanyak RM3.5 billion dalam PetroSaudi International Limited yang kemudiannya melabur pula lebih dari RM1.5 bilion UBG Berhad di mana Jho Low menjadi ahli lembaga pengarahnya.

"Rakyat juga mempersoalkan apa perlunya penglibatan syarikat-syarikat luar seperti Mubadala Development Company dan Qatar Investment Authority sebagai pihak yang memajukan projek yang digelar 'projek Taek Jho Low' itu sedangkan syarikat-syarikat tempatan lebih berkemampuan?" kata Salahuddin.

Kerajaan, katanya, sepatutnya menjelaskan terlebih dahulu keraguan-keraguan tersebut sebelum meneruskan tindakan memajukan Pangkalan Udara Sungai Besi yang begitu dipertikaikan itu.

Salahuddin juga melihat belanjawan itu lebih mementingkan projek-projek yang bersifat 'projek Taek Jho Low' dari menyelesaikan masalah dan penderitaan rakyat, .

"Ketika projek yang orang panggil 'projek Taek Jho Low' mendapat keutamaan, tidak ada langsung Rancangan Tebatan Banjir (RTB) untuk negeri-negeri seperti Kelantan, Kedah dan Sabah yang juga menghadapi masalah banjir yang teruk sama seperti Perlis, Perak dan Johor yang menerima projek itu.

"Ini belanjawan rakyat atau belanjawan Taek Jho Low?" beliau mempersoalkan.

Salahuddin menyifatkan apa yang berlaku itu menunjukkan kerajaan tidak memberikan keutamaan kepada masalah dan penderitaan rakyat yang perlu diutamakan.

"Bangunan-bangunan di Kuala Lumpur mempunyai terlalu banyak ruang kosong yang belum digunakan, apa perlunya 'projek Taek Jho Low' di Sungai Besi itu?

"Nampak sangat bangunan pencakar langit yang berlebihan melalui 'projek Taek Jho Low' itu yang ditamakan.

"Agaknya sebab itulah isteri Perdana Menteri berminat sangat dengan belanjawan ini," kata beliau.

Baru-baru ini, perjumpaan tertutup berprofil tinggi antara Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dengan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan yang terlibat dengan penyediaan belanjawan itu turut dihadiri oleh isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurut Bernama, antara yang hadir dalam pertemuan itu ialah Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Timbalan-timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Datuk Donald Lim Siang Chai, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Rosmah dan Jho Low
Menjadi pengetahuan umum bahawa Rosmah mempunyai hubungan rapat dengan Jho Low.

Baru-baru ini, jutawan muda penuh kontroversi itu mengakui beliau adalah kawan baik kepada Rosmah.

"Rosmah bukan emak angkat saya. Dia adalah kawan baik saya," kata Jho Low kepada akhbar berbahasa Cina, Kwong Wah Yit Poh, ketika ditanya hubungannya dengan keluarga Perdana Menteri.

0 ulasan:

 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates