Istiqamah...


Sukarnya daku untuk istiqamah. Mudah untuk kita menuturkannya, sukar untuk melaksanakannya. Berhati-hatilah dalam kita berbicara. Allah menilai setiap tutur kata kita. Semakin banyak bicara kita tentang perjuangan, semakin kuat Allah uji kita. Andai amalan dan ibadah kita kuat, ianya mampu menjadi pembenteng dalam kita menghadapi ujian dari Allah SWT.

Namun, seandainya kita lemah dan tidak menjaga ibadah kita, bila-bila masa sahaja kita akan jatuh tersungkur. Lebih-lebih lagi kalau maksiat kita banyak pada Allah SWT lagi susahlah untuk kita bangkit semula. Ubatnya adalah taubat. Taubat akan menyembuhkan hati yang sudah berkarat dengan maksiat.

Dari Abdullah bin Amru, ia berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda, “Setiap amal memiliki puncaknya dan setiap puncak pasti mengalami kefuturan (putus asa). Maka barang siapa yang pada masa futurnya (kembali) kepada sunnahku, maka ia beruntung dan barang siapa yang pada masa futurnya (kembali) kepada selain itu, maka bererti ia telah celaka” (HR Imam Ahmad dari sahabat Anshar)

Istiqamahlah... Kerana istiqamah akan menjadikan diri kita berani dalam menghadapi onar dan duri dalam kehidupan. Beristiqamahlah... Kerana istiqamah akan melahirkan ketenangan dalam jiwa. Beristiqamahlah.. Kerana istiqamah akan menjadikan kita optimis dan sentiasa beriltizam dalam perjuangan..

Semoga Allah memelihara jiwa kita dari sifat kefuturan. Moga-moga dengan dengan buah istiqamah, kita akan diberikan kemenangan dan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Sahabatku Seperjuangan....

Sahabatku,
Daerah kita daerah perjuangan,
Penuh dengan airmata dan mungkin juga darah,
Bumi berkat pernah menyaksikan perjuangan para mujahid,
Jihad, sabar, istiqamah, thabat sentiasa meniti dibibir murabbi,
Dikau peyambung risalah tercinta ini,

Sahabatku,
Perjuangan kita atas baiah setia,
Ilmu dan perjuangan landasan kita,
Walaupun langkah dan nafas kita kadang kala lemah,
Dikau penguat dimedan dakwah,
.
Sahabatku,
Biar kita rebah menyusuri perjalanan,
Biar kita getir mengharungi kesusahan dan kepayahan,
Namun perjuangan kita tiada noktahnya
Selamanya...
.
Sahabatku,
Hiasan duniawi pastinya palsu dan merugikan,
Sedarkan aku dengan amaran-amaran Allah,
Pujuklah aku dengan tarbiyah Pencipta
Ingatlah aku dengan kehebatan syurga,
Dorongilah aku menjadi daie mulia,
.
Sahabatku,
Teman itu kadangkala seperti penawar,
Itulah sumber kekuatan kita,
Adakalanya seperti racun,
Melemahkan kekuatan kita,

Tapi...
Aku sering berharap,
Mendapat sahabat yang sejati,
Dunia dan akhirat

Moga ukhwah kita selamanya...
Selamanya....

Perjuangan kita masih belum selesai..


Persahabatan : Nilai Keizzahan



Persahabatan : Nilai Keizzahan Perjuangan

Tiada yang lebih indah berbanding sebuah persahabatan yang diikat kukuh dengan nilai ukhuwwah Fillah pula bersulam rasa kasih dan cinta kerana Allah swt.

Persahabatan inilah menjalin tenaga dan menguatkan saf perjuangan dari ancaman pelbagai anasir yang merosakkan amal jamaei dan thiqah berjamaah .

Sendi utama persahabatan ini ialah ghayah dan hadaf yang bersatu di atas prinsip amal Islami biarpun mungkin berbeza approach dalam melaksana atau merealisasikannya .

Jamaah menjadi ceria dan anggotanya gembira apabila orientasi organisasinya berlandaskan nilai persahabatan yang menepati piawaian yang dikehendaki oleh sebuah Gerakan Islam .

Sebaliknya mendung akan mengiringi sepanjang sessi atau musim andai jamaah kehilangan nilai persahabatan ini . Tentu sahaja krisis serta konflik mudah tercetus dan paling tidak " perang dingin " sesama anggota akan wujud apabila makna sebuah persahabatan tercalar atau dibiarkan tercemar dek pelbagai virus negatif yang menular dikalangan anggota .

Justeru itulah , persahabatan menjadi modul asas bagi sebuah gerakan Islam di bumi mana pun ia beroperasi . Pelbagai mekanisma dicipta untuk melahirkan erti persahabatan yang utuh dikalangan anggota jamaah . Tamrin , mukhayyam , usrah dan liqa' fikri antara aktiviti tradisi yang diwarisi oleh jamaah sejak berzaman untuk mengekalkan tahap persahabatan yang utuh demi mewujudkan jamaah yang perkasa .

Kita juga biasa dengan istilah dengar dan taat , baiah , wala' , ukhuwwah , thiqah , husnu zon dan sebagainya dalam pelbagai medium pengisian dalaman ke arah pemantapan komitmen ahli dengan amal jamaei . Segala istilah itu juga merupakan tradisi soleh yang kita warisi dari generasi sebelumnya guna mengukuhkan persahabatan antara anggota jamaah dan memastikan perjuangan yang kita dokong ini terus kuat dan gagah meredah cabaran serta menyerap tekanan .

Implikasi mudah bagi Perjuangan tanpa Persahabatan

Sebagaimana saya sebutkan tadi , saya juga percaya semua anggota memahami betapa jamaah yang gersang dari nilai dan erti persahabatan yang dikehendaki oleh Islam ini akan mendorong berlakunya kepincangan dalam pelbagai organ parti . Antaranya :

1. Keputusan yang kedua akan dibuat atas keputusan pertama yang telah di binding oleh mesyuarat yang sah .

2. Wujudnya sub meeting . Mesyuarat dalam mesyuarat atau mesyuarat lepas mesyuarat malah lebih malang mesyuarat "kedua" atau mesyuarat di "luar" itu dibina atas dasar tidak puas hati dan tidak percaya kepada pimpinan dan sebahagian anggota mesyuarat yang lain .

3. Saling curiga mencurigai antara satu sama lain dalam apa jua penampilan dan aktiviti . Lalu mewujudkan suasana suram dan resah dikalangan pendokong jamaah . Salin tidak mempercayai .

4. Hilang wala' atau pudar ketaatan kepada pucuk pimpinan malah lebih parah apabila lahirnya kecenderungan untuk mentaati dan mempercayai pihak lain yang berada di luar jamaah .

5. Tikam belakang ! Cantas karier ! Bocor rahsia dan menjatuhkan imej akan menjadi saraf yang digerakkan sesama sendiri demi survival karier politik kononnya demi jamaah .

6. Multi jamaah dengan maksud boleh sahaja menyertai mana - mana jamaah kerana wala' tidak wajib kepada pimpinan jamaah kecuali hanyalah kepada Allah dan Rasul sahaja . Begitu juga baiah tidak ada untuk pimpinan jamaah sebaliknya baiah hanya untuk khalifah .

7. Pergeseran yang mudah mencederakan perasaan terhasil dari persaingan yang tidak sihat sesama sendiri .

8. Wujud team yang saling bertembung antara satu sama lain dan kemudiannya berlaku tajrih yang tidak wajar sesama anggota jamaah .

9. Berlepas harap dan tidak memberi komitmen yang baik terhadap aktiviti yang diamanahkan malah mudah merajuk serta kecewa kerana tidak berpuas hati dalam pembahagian tanggungjawab kepada anggota . Ianya adalah kesan dari rasa cemburu antara satu sama lain .

10. Mementingkan diri sendiri dan tidak peduli apa yang dialami oleh anggota yang lain biar pun ia satu keperluan yang mendesak . Terkadang jelas dapat dilihat sorotan matanya seperti memandang musuh kepada saudara sejamaah apa lagi ucapan terkadang berbau nista sesama sendiri . Jelasnya mudah berlaku perselisihan faham .

Bagaimana Mengukuhkan Persahabatan .

Persahabatan dapat di bina dan diperkukuhkan melalui aktiviti tradisi warisan generasi terdahulu dengan kepelbagaian pendekatan sesuai di era ini .

Semua anggota janganlah bersifat atau bersikap "kalis Tarbiyah" , khasnya pimpinan biarpun setinggi mana ia menjawat jawatan dalam jamaah . Semua peringkat jamaah mesti sedia kembali ke medan tarbiyah justeru ia suatu yang hidup dan senantiasa memerlukan persegaran merentas zaman .

Beri keutamaan kepada pemantapan wala' , syura , baiah ,taat dan semua prinsip amal Jamaei agar akhlak berjamaah dapat dipupuk .

Persinggahan Seorang Perjuang Islam Di Majlis Usrah Pemuda PAS Dun Temangan


Al Fadhil Ketua Pemuda PAS Machang
(Ust Hatman b. Abdullah)


Antara Ahli Usrah Yang Hadir....


Diri Ini Bersama Sahabat Usrah .....


Sahabat Dan Rakan Seperjuangan....


Bersama Al Fadhil Ketua Pemuda PAS Kawasan Machang
Menjamu Selera Yang Ada.....

5 Starategik Kemenangan Kita



Kemenangan yang diburu tidak mudah untuk dicapai , namun kita tidak boleh putus asa . Kerja kuat dan gigih berusaha adalah ikhtiar yang dituntut sebelum kemenangan dikurniakan oleh Allah swt .

Sebegai sebuah Gerakan Islam , sekurang - kurangnya kita mempunyai 5 strategi utama untuk memastikan kemenangan kekal menjadi milik kita .

1. Taqwa. [ taat ]

Saidina Umar al Khattab Rha pernah mengutuskan surat wasiat kepada Komander Tentera Islam di Iraq iaitu Saad bin Abi Waqqas Rha :

( فإني آمرك ومن معك من الأجناد، بتقوى الله على كل حال، فإن تقوى الله أفضل العدة مع العدو، وأقوى المكيدة في الحرب، وآمرك ومن معك أن تكونوا أشد احتراساً من المعاصي منكم من عدوكم، فإن ذنوب الجيش أخوف عليهم من عدوهم، وإنما ينصر المسلمون بمعصية عدوهم لله، ولولا ذلك لم تكن لنا بهم قوة، لأن عددنا ليس كعددهم، ولا عدتنا كعدتهم فإن استوينا في المعصية كان لهم الفضل علينا في القوة

Sesungguhnya aku memerintahkan engkau dan seluruh tentera yang bersamamu agar bertaqwa kepada Allah swt dalam apa jua keadaan . Sesungguhnya Taqwa adalah sebaik - baik persediaan dan strategi yang paling kuat di dalam peperangan .

Aku perintahkan engkau dan siapa jua yang bersamamu bahawa kamu mestilah benar - benar berwaspada daripada maksiat yang tercetus dikalangan kamu jua dari musuh - musuh kamu . Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh tentera lebih ditakuti ke atas mereka berbanding musuh - musuh mereka .

Sesungguhnya orang - orang Islam diberi kemenangan dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka kepada Allah swt . Jika tidak demikian , tidaklah kita memiliki kekuatan untuk mengatasi mereka . Kerana bilangan kita tidaklah sama berbanding jumlah bilangan mereka dan persediaan material kita jua tidak lah sama berbanding persediaan material yang mereka miliki .

Andai kita juga turut melakukan maksiat sebagaimana mereka melakukan maksiat nescaya mereka lebih kuat dan hebat daripada kita .

Saidina Umar al Khattab .

Berasaskan wasiat Saidina Umar al farouk , petugas parti mestilah memberi perhatian serius agar tiada dikalangan kita terjebak atau terjerumus dalam kancah maksiat dan mungkar . Sebaliknya bertaqwa kepada Allah swt . Melaksanakan apa yang diperintah dan tinggalkan apa yang dilarang oleh Allah swt .

Maksiat dan mungkar menjadi penghalang utama kemenangan dan kalaupun menang , kita bimbang ia hanyalah kemenangan yang rapuh dan menjadi istidraj [ pemberian -kemenangan - yang tidak diredhai oleh Allah swt ]

Semua petugas parti [ pemimpin mahupun ahli biasa ] sewajarnya mempertingkatkan hubungan dengan Allah swt dan senantiasa meletakkan diri dalam situasi beribadah kepada Allah swt. Maksud saya , pastikan apa jua kerja dan tugas yang kita lakukan adalah kerana Allah swt dan ia menjadi ibadah yang soleh walau hanya menampal poster dan memasang bendera .

2 . Juhud [ gigih dan bersungguh - sungguh ]

Tanpa kerja kuat kita tidak akan berjaya . Ini realitinya !

Tiada kemenangan yang boleh dicapai hanya dengan menggosok lampu ajaib aladin . Malah lampu itu pun tiada ditangan kita , apatah lagi aladin tidak wujud dikalangan kita .

Ikhtiar adalah satu kewajipan dan kesungguhan adalah satu tuntutan . Jangan ada mereka yang hanya berpeluk tubuh dan membatu diri menyaksi keperluan yang perlu diselesai dan disempurnakan . Lebih malang kalau hanya banyak cakap , komplen sana sini dan memperhabiskan biskut kopi di markaz sahaja .

Saya percaya , jika kita bersungguh - sungguh kita akan menang . من جد وجد

3. Tawakkal . [ bergantung kepada Allah swt ]

Jangan putus harap kepada Allah swt biarpun kita menghadapi kesukaran dalam perjuangan ini . Sekalipun cabaran yang kita hadapi serta tekanan yang kita alami terlalu getir dan berat , setelah kita kerahkan segala upaya yang kita miliki , kita mesti yakin dan sandarkan keputusannya kepada Allah swt .

Setelah gigih berdakwah berhadapan dengan 1001 ragam manusia jahiliyyah , Nabi saw pernah bersabda [ berdoa ] : اللهم قد بلغت فاشهد - Ya Allah ! sesungguhnya telah aku sampaikan [ kebenaran ini ] maka saksikanlah ! -

4. Munazzamah [ sistematik ]

Jangan bekerja atau bertugas secara rawak atau rambang . Sebaliknya bertindak secara terancang dan berpandukan arahan serta peraturan yang telah ditetapkan oleh parti . Setiap tindakan mestilah melalui syura samaada di peringkat UPU , MTD , Kawasan , Negeri atau Pusat .

Sekalipun kita membawa kebenaran , namun tanpa rencana dan strategi yang terancang pasti sahaja kita boleh tewas . Inilah yang telah dipertegaskan oleh Saidina Ali Karramallahuwajhah . الحق بدون النظام يغلبه الباطل بالنظام

Kebenaran yang diperjuangan tanpa sistematikanya akan dikalahkan oleh kebathilan yang diurus secara sistematik .

Aktiviti dan gerakkerja dalam tempoh yang terhad dan kemampuan kewangan yang terbatas ini mestilah di pastikan bahawa kita tidak membazir masa dan tenaga dengan aktiviti yang tidak menepati sasaran atau gerakkerja yang tidak membawa pulangan besar kepada perjuangan .

5. Istiaanah bissobri was solah . [ mohon pertolongan dengan sabar dan doa ]

Kemenangan yang kita dambakan ini adalah daripada Allah swt , justeru itu kepadaNya kita wajib memohon kemenangan ini . Allah swt mengajar kita agar memohon pertolongan dengan sabar dan solat .

Sabar

Sabar adalah kunci kejayaan dan kemenangan . Tapi ramai yang salah faham dengan menganggap sabar sebagai kalah dan penakut . Bukankah kita mahu Allah bersama kita dalam perjuangan ini ? maka Allah swt telah berfirman : إن الله مع الصابرين - Sesungguhnya Allah bersama dengan orang - orang yang sabar .

Sabar dalam tindakan agar tidak gopoh dan melencong dari matlamat asal perjuangan kita .
Sabar dalam gerakkerja dan tugas . Jangan merungut dan mempersoalkan arahan .
Sabar , agar diri tidak terpengaruh dengan provokasi musuh
Sabar dari panahan fitnah perjuangan yang mungkin dari godaan manusia dan harta
Sabar , moga tidak terlalu excited dengan sorakan ramai dan laungan penyokong yang ramai
Sabar dari terjebak dan terjerumus ke dalam lembah maksiat dan mungkar
Sabar menerima arahan pimpinan biarpun berat dan sukar untuk dilaksanakan
Sabar dengan karenah ahli yang pelbagai ragam
Sabar jua dengan karenah pimpinan
Sabar untuk bertahan dengan akhlak mulia sekalipun berdepan dengan penghinaan musuh
dan 1001 keadaan yang memerlukan kita sabar .

Namun bukanlah makna sabar sehingga membenarkan musuh memijak kepala kita . Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

Wahai manusia ! Jangan sekali - kali kamu bercita - cita mencari musuh sebaliknya mohonlah kesejahteraan daripada Allah swt . Andai bertemu jua dengan musuh , bersabarlah ! Namun begitu , ketahuilah bahawa sesungguhnya syurga itu berada di bawah kilatan mata pedang .

Solat

Membawa maksud munajat dengan memanjatkan doa kepada Allah swt agar Allah memberikan kekuatan kepada kita serta kemenangan yang telah dijanjikan . Serentak itu , agar Allah mengurniakan petunjukNya kepada rakyat atau pengundi dan melembutkan hati mereka untuk menerima mesej perjuangan kita .

Siang kita mengurus organisasi , mengatur strategi dan menggerakkan jentera serta material bagi memburu kemenangan , manakala sebelah malamnya pula kita bersimpuh mengadap Allah penuh khusyu' memohon petunjuk dan kekuatan diri serta memohon nusrah dan maunah buat perjuangan suci ini .

Pakatan Rakyat Ke Gerbang Jaya


1. Konvensyen Pakatan Rakyat yang berakhir petang kelmarin telah memahat sejarah negara yang menyaksikan sebuah dokumen persepakatan gandingan 3 buah parti [ PAS , PKR dan DAP ] telah dimeterai secara rasmi oleh pemimpin tertingginya.

2. Persepakatan berdokumen ini menepati sebuah janji rasmi yang diikrarkan untuk melangsungkan sebuah perjuangan mewakili rakyat berbilang kaum dan berbeda agama ke arah sebuah negara baru yang adil , telus , saksama , toleransi dan berkebajikan .

3. Jika saya analogikan dengan sebuah ikatan perkahwinan di dalam Islam , sebaik sahaja ijab qabul dilafazkan antara pasangan yang berkahwin maka menangis dan bertempiaran lari lah segala syaithan dan iblis dengan penuh kekecewaan setelah gagal memutuskan hubungan mereka serta gagal pula mendorong mereka melakukan zina .

4. Maka ijab qabul dalam tahaaluf siasi [ kerjasama politik ] PAKATAN Rakyat yang telah ditandatangani ini juga membuatkan syaithan - syaithan politik meraung kepedihan dan kekecewaan kerana gagal memecah belahkan kesatuan mereka .

5. Persefahaman semakin matang dan kerjasama semakin erat . Itulah yang boleh saya ungkapkan setelah Konvensyen Pakatan Rakyat yang julung kalinya diadakan , berlangsung dengan jayanya . Kehadhiran seluruh pimpinan utama dari ketiga - tiga parti dan duduk sebaris , turut menjawab segala tuduhan dan tanggapan yang sering dieksploit oleh media kononnya mereka selama ini hanya asyik bercakaran .

6. Selepas ini , menjadi tanggungjawab kepada setiap anggota dari ketiga - tiga parti berperanan untuk memahamkan rakyat berbekalkan satu dokumen oren yang telah ditandatangani bersama oleh ketiga - tiga pemimpin tertinggi parti . Mekanisme penyampaian maklumat mestilah berkesan dan pintar .

7. Sementara itu , anggota parti pula mesti bijak dalam mengurus maklumat yang mereka terima samaada melalui lisan , media elektronik , media cetak dan juga media baru . Kebijaksanaan anggota dalam perkara ini sangat dhoruri [ prinsipal ] agar tidak mengheret mereka ke kancah polemik dan krisis ciptaan sesama kita .

8. UMNO dan BN tentunya cemburu menyaksikan situasi ini setelah mereka terus tenggelam timbul dalam krisis yang tidak tahu dimana dan bagaimana mahu mnegurainya . Parti - parti kompenan mereka saling salah menyalahkan antara satu sama lain .

9. Kini masa berjalan malah pantas bergerak menuju era baru . Harapnya tiada yang masih tidur lena atau asyik khayal dengan gurindam lama sedang semua orang sedang berpaut pada harapan dan tekad baru untuk membina sebuah kemenangan dan kejayaan .

10. Namun kemenangan dan kejayaan pastinya bernilai tinggi dan berharga mahal . Menebusnya memerlukan wang dan kekayaan yang setimpal . Kalau sekadar mengemis di tepian penambang usah memahat cita - cita besar , kerna ia hanya menyenakkan jiwa dan menyakitkan hati .

Imam Al Bukhari


Wahai tokoh muda harapan agama, bangsa dan negara
Mari bersama kita contohi pemuda bertaqwa
Oh Imam al-Bukhari anak yatim yang rajin dan gigih
Waktu muda sudah menjadi ulama

Sedari kecil diperkenalkan kepada Tuhan yang Maha Esa
Di besarkan dan dididik oleh ibu yang solehah

Oh Imam al-Bukhari banyak jasamu kepada perjuangan
Islam menghimpun hadis Nabi
Sebagai panduan
Engkau perkenalkan kami kepada Rasul yang Mulia

Wahai pemuda harapan bangsa, agama dan negara
Mari ikuti langkah Imam al-Bukhari


Kenapa Dia Cintakan Saya....

Dalam satu kisah percintaan yang menarik. Sepasang suami isteri berjalan di tepi sebuah tasik yang indah. Kemudian mereka berhenti di sebuah bangku yang disediakan di tepi tasik. Kemudian si isteri bertanya kepada si suami. Ini dialog mereka

Isteri : Mengapa abang menyukai saya? Mengapa abang cintakan saya?

Suami : Abang tidak boleh menerangkan sebabnya, namun begitu abang memang menyayangi dan mencintai Sayang!

Isteri : Abang tak boleh terangkan sebabnya? Bagaimana abang boleh katakan abang sayang dan cintakan saya sedangkan abang tidak boleh menerangkannya.

Suami : Betul! Abang tak tahu sebabnya tetapi abang boleh buktikan bahawa abang memang cintakan Sayang!

Isteri : Tak boleh beri bukti! Tidak! Saya hendak abang terangkan kepada saya sebabnya. Kawan - kawan saya yang lain yang mempunyai suami dan teman lelaki, semuanya tahu menerangkan mengapa mereka mencintai. Dalam bentuk puisi dan syair lagi. Namun begitu abang tidak boleh terangkan sebabnya

Si suami menarik nafas panjang dan dia berkata Baiklah! Abang mencintai Sayang sebab sayang cantik, mempunyai suara yang merdu, penyayang dan mengingati abang selalu. Abang juga sukakan senyuman manis dan setiap tapak Sayang melangkah, di situlah cinta Abang bersama Sayang!

Si isteri tersenyum dan berpuas hati dengan penerangan suaminya tadi. Namun begitu selang beberapa hari si isteri mengalami kemalangan dan koma. Si suami amat bersedih dan menulis sepucuk surat kepada isterinya yang disayangi. Surat itu diletakkan di sebelah katil isterinya di hospital. Surat tersebut berbunyi begini :

Sayang!Jika disebabkan suara aku mencintai mu... sekarang bolehkah engkau bersuara? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu. Jika disebabkan kasih sayang dan ingatan aku mencintai mu...sekarang bolehkah engkau menunjukkannya? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu.Jika disebabkan senyuman aku mencintai mu... sekarang bolehkah engkau tersenyum? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu.Jika disebabkan setiap langkah aku mencintai mu.... sekarang bolehkah engkau melangkah? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu. Jika cinta memerlukan sebabnya, seperti sekarang. Aku tidak mempunyai sebab mencintai mu lagi. Adakah cinta memerlukan sebab? Tidak! Aku masih mencintai mu dulu, kini, selamanya dan cinta tidak perlu ada sebab. Kadangkala perkara tercantik dan terbaik di dunia tidak boleh dilihat, dipegang. Namun begitu ia boleh dirasai dalam hati.


Sudah bersediakah kamu sebelum kamu dipanggil pulang???

Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan
Berwudhu'lah kamu sebelum kamu diwudhu'kan
Dan solatlah kamu sebelum kamu disolatkan
Tutuplah rambutmu sebelum rambutmu ditutupkan
Dengan kain kafan yang serba putih
Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih
Walaupun orang yang hadir itu merintih

Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai
Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah
Dengan empat kali takbir dan satu salam
Berserta Fatihah, Selawat dan doa
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah

Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?
Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud
Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?

Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian
Justeru kumenyeru sekelian Muslimin dan Muslimat
Usunglah dirimu ke tikar solat
Sebelum kamu diusung ke liang lahad
Menjadi makanan cacing dan mamahan ulat

Iringilah dirimu ke masjid
Sebelum kamu diiringi ke Pusara
Tangisilah dosa-dosamu di dunia
Kerana tangisan tidak berguna di alam baqa'

Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan
Dengan panggilan 'Izrail yang menakutkan
Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal
Bukan yang pergi

Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan
Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan

Ingatlah di mana saja kamu berada
Kamu tetap memijak bumi Tuhan
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan
Serta menikmati rezeki Tuhan
Justeru bila Dia menyeru, sambutlah seruan-Nya
Sebelum Dia memanggilmu buat kali yang terakhirnya
Ingatlah kamu dahulu hanya setitis air yang tidak bererti

Lalu menjadi segumpal darah
Lalu menjadi seketul daging
Lalu daging itu membaluti tulang
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti

Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu
Yang kalau jatuh ke tanah
Ayam tak petok itik tak sudu
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu
Yang lebih agung dari malaikat

Lahirmu bukan untuk dunia
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat

Sambutlah seruan 'Hayya 'alas Solaah'
Dengan penuh rela dan bersedia
Sambutlah seruan 'Hayya 'alal Falaah'
Jalan kemenangan akhirat dan dunia

Ingatlah yang kekal ialah amal
Menjadi bekal sepanjang jalan
Menjadi teman di perjalanan

Guna kembali ke pangkuan Tuhan
Pada hari itu tiada berguna
Harta, tahta dan putera
Isteri, kad kredit dan kereta
Kondominium, saham dan niaga
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia


Persinggahan Seorang Perjuang Islam Di Program Cakno Keluarga Dun Kemuning















Persinggahan saya ke Program Cakno Keluarga Dun Kemuning Tahun 2009, bertempat di Taman Mahkota, Machang Kelantan, sebentar tadi.

Walaupun dalam suasana hujan lebat, namun program ini dapat berjalan dengan lancar sekali dan sungguh meriah dengan kehadiran ramai rakyat dun Kemuning yang menyertai program ini.

Syabas buat YB Hj Wan Ahmad Lutfi b. Wan Sulaiman dan seluruh ahli jawatankuasa program yang berjaya mengadakan program seumpama ini. Tahniah buat anda sekalian.


Yang Berhormat Kemuning

Hari Ini Tiada Senda Dalam Bicara
Deru Air Mata Merupakan Segalanya
Sang Hati Bicara Sendiri
Bangunkan Ummah Bina Generasi
Di Bumi Yang Bertuah Ini
Diriku Mula Mengenali
Matlamat Hidup Sebagai ‘Abdi
Kepada Allah, Allahu Rabbi

Diriku Kini Sebebas Unggas
Terbang Riang Di Angkasa Raya
Menyanyi Merdu Irama Kalbu
Indahnya, Indahnya, Oh Indahnya

Wahai Generasi Dengarlah Pesanan Ini
Bumi Ini Bumi Bertuah
Suburnya Sesubur Tanaman di Lembah
Melahirkan Insan Berjiwa Tabah

Kutiplah Mutiara, Mutiara Indah
Untuk Bekalan Diri Berpindah
Sebelum Jejak Kaki Melangkah
Sebelum Penyesalan Membawa Padah

Sahabat Seperjuangan
Usah Digentar Musuh Di Hadapan
Pandanglah Di Depan Balasan Tuhan
Syurga Firdaus Menanti Kalian

Teruskan, Oh Teruskan
Perjuangan Menegak Kebenaran
Di Dalam Kebungkaman Akhir Zaman
Selagi Hayat Di Kandung Badan

Wahai Teman Seperjuangan
Dengarlah Harapanku Ini
Pohon Untuk Dalam Doamu
Diriku Pejuang Islam Yang Satu 2X

Salam Perjuangan....


ASSALAMU ‘ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.Saudara-saudari muslimin-muslimat yang dihormati sekelian, Pada hari ini maka genaplah 1431 tahun sejak Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah dari Mekah ke Madinah.Demikianlah pentingnya penghijrahan ini sehingga tarikhnya dijadikan tarikh permulaan bagi perkiraan zaman Islam.Sebenarnya Nabi Muhammad s.a.w menerima wahyu yang pertama 13 tahun lebih awal dari penghijrahan ke Madinah. Penentuan penghijrahan sebagai tarikh permulaan zaman Islam tentulah mempunyai erti yang istimewa.

2. Jika kita kaji sejarah Islam dan sejarah dunia kita akan dapati bahawa penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. pada 1hb. Muharam tahun pertama Islam adalah satu peristiwa yang bukan sahaja membawa kesan kepada umat Islam pada ketika itu dan pada zaman ini tetapi bagi seluruh umat manusia. Dari tarikh itulah bermula perkembangan Islam dengan pesatnya ke seluruh dunia sehingga berlakulah perubahan-perubahan yang kekal hingga sekarang. Penghijrahan juga menjadi satu tauladan bagi umat Islam tentang kesabaran dan ketabahan hati dalam menghadapi penindasan dan cabaran yang mana inilah yang akhirnya membawa kejayaan.

3. Penghijrahan merupakan satu ikhtiar dan penyerahan kepada Allah Subhanahuwataala. Penyerahan sahaja tanpa ikhtiar tidak akan membawa kemenangan. Perjalanan dari Mekah ke Madinah yang jauh melalui padang pasir, dengan dikejar oleh musuh dan perompak adalah juga satu ujian terhadap keteguhan iman mereka yang menyertai kumpulan ini.Dan tidak syak lagi pengalaman penghijrahan telah mengukuhkan semangat pengikut-pengikut Nabi serta mengkagumkan orang-orang Madinah.

4. Dari peristiwa ini umat Islam di zaman-zaman yang mereka ditindas bolehlah mencari inspirasi bagi mengukuhkan semangat. Sebenarnya apa yang dihadapi oleh umat Islam sekarang tidak sebegitu berat dan teruk seperti cabaran yang dihadapi oleh Nabi Muhammad s.a.w. Umat Islam di zaman ini amat ramai. Sebahagian daripada mereka kaya-raya. Mereka memerintah wilayah-wilayah yang besar. Sudah sepatutnyalah mereka mencapai kejayaan. Tetapi mereka tidak mencapainya.Sebaliknya mereka di usir dari satu wilayah ke satu wilayah, ditakluk oleh kuasa-kuasa asing, disiksa dan dibunuh tanpa mereka boleh membuat apa-apa. Mereka cuma meraung dan merayu kepada orang lain. Di Palestin dan Lubnan mereka diserang, dibunuh beramai-ramai dan diusir dengan sewenang-wenang oleh Yahudi dan kawan-kawan mereka. Dengan pemindahan orang Palestin, kita sekali lagi melihat peristiwa penghijrahan.

5. Memang benar nasib buruk orang Islam sekarang disebabkan oleh perbuatan orang Yahudi dan penyokong-penyokong mereka. Kita patut salahkan mereka ini dan kita patut kutukkan mereka. Tetapi kita patut juga periksa diri kita sendiri. Apakah semangat dan ketabahan hati yang terdapat pada Nabi Besar kita dan sahabat-sahabat Baginda ada pada kita.yang penting sekali tidak sanggup berusaha atau berikhtiar untuk menuju ke arah kejayaan. Yang jelas ialah kalau kita lemah, maka kita perlu kuatkan diri kita, jika kita kurang cekap maka kita perlu berlatih untuk menguasai kecekapan, dan jika kita kekurangan ilmu maka kita mengejar ilmu. Ini semua jelas dan dituntut oleh Islam tetapi kita masih asyik berpoya-poya, masih suka mencari alasan dan sebab kenapa kita tidak mungkin buat itu dan ini, masih hendak menyalahkan orang semata-mata. Selagi kita tidak sanggup bertindak secara positif, selama itulah kita akan dipermainkan orang dan ditindas.

7. Memperingati detik-detik sejarah dan pengalaman tidak berguna melainkan ianya menjadi pengajaran kepada kita.Pada awal Muharam ini kita patut ingatkan balik peristiwa penghijrahan supaya kita dapat manfaat dari satu peristiwa dalam sejarah Islam yang penting ini. Awal Muharam bukan untuk berehat dari kerja atau bercuti atau perayaan tetapi adalah untuk kita memperkukuhkan nilai-nilai dan keazaman kita, mempertingkatkan keupayaan kita dalam semua bidang.Jika kita pelajar maka kita perlu belajar dengan bersungguh-sungguh. Jika kita pekerja maka kita perlu kerja dengan jujur dan dedikasi. Jika kita peniaga kita perlu menjaya dan mempertingkatkan perniagaan dan perusahaan kita.Jika kita pemimpin kita perlu menumpukan lebih banyak tenaga dan usaha dalam membentuk satu masyarakat Islam yang dihormati oleh semua pihak. Pendek kata Awal Muharam adalah satu hari untuk memperbaharui azam dan tekad sebagai orang Islam yang committed kepada kebesaran agama Allah SWT dan kesejahteraan penganut-penganutnya.

8. Di Mekah dan di Madinah di zaman Nabi Muhammad s.a.w Islam antara sebab utama Islam berkembang ialah kerana keadilan dan timbangrasa Islam. Kerana ini jugalah Islam dihormati dan disegani. Pada satu haribulan Muharam ini kita perlu ingatkan diri kita bahawa keangkuhan kuasa tidak ada tempat dalam pemerintahan yang berlandaskan Islam. Sementara hak orang Islam kita pelihara, hak orang lain kita jaminkan mengikut ajaran Islam. Dengan ini bukan sahaja Islam akan dihormati tetapi penindasan terhadap orang Islam yang menjadi minoriti di negara lain dapat dikurangkan.

9. Satu haribulan Muharam patutlah dijadikan satu tarikh untuk kita semua merenung dan mengkaji sejarah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. terutama penghijrahan dari Mekah ke Madinah. Dengan ini saya mengucap selamat mencontohi semangat penghijrahan dalam semua perjuangan hidup dan mati kita. Mudah-mudahan kita akan mendapat nikmat daripadanya; Insyaallah.

Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu ‘alaikum warahmatulahi wabarakatuh.

Maal Hijrah : Suntikan Untuk Keunggulan Umat


Pada awal abad yang ketujuh Masehi, masyarakat dunia berada di pintu kehancuran. Kuasa dunia pada abad tersebut yang terdiri dari Kerajaan Empayar Rom (509SM-453M) dan Kerajaan Empayar Farsi (700SM-641M) telah menjunam jatuh akibat rebutan kuasa dan perpecahan di sana sini. Masyarakat Arab yang menghuni Semenanjung Tanah Arab lebih teruk menghadapi keruntuhan akibat daripada keruntuhan moral dan sifat taksub kepada kabilah dan puak. Dunia dalam bahaya kerana keadaan masyarakatnya tidak stabil lantaran kehilangan tonggak pegangan dan moral.

Allah Maha Adil dan Maha Penyayang kerana tidak membiarkan masyarakat manusia terus hancur dan musnah. Allah s.w.t mengutuskan seorang rasul-Nya yang terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Dalam mengimbau kembali peristiwa tersebut, Allah s.w.t menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

'Dan berpegang teguhlah kepada Tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu) lalu Allah menyatukan antara hati kamu (hingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Kamu dahulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (melalui Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya supaya kamu mendapat petunjuk hidayat-Nya'
(Ali ‘Imran:103)

Ayat tersebut antara lain menjelaskan bahawa keadaan manusia yang hampir-hampir rosak binasa dan akan menerima akibat yang lebih buruk di akhirat telah diselamatkan menerusi pengutusan rasul untuk memandu mereka ke jalan yang benar dan akhirnya mereka terselamat.

Bagi mengubah masyarakat supaya berada dalam keadaan selamat, Rasulullah s.a.w telah berhempas pulas mengorbankan segala apa yang ada dan ini diikuti pula oleh sahabat-sahabat baginda yang setia. Dalam tempoh 23 tahun, usaha tersebut dicurahkan oleh baginda dan akhirnya mencapai matlamat iaitu berjaya mengubah dan menyelamatkan masyarakat dunia dari kehancuran dan kerosakan.

Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w membuat perbandingan tentang usahanya itu yang bermaksud:

'Antara aku dan kamu diumpamakan seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Maka datanglah segala unggas dan binatang-binatang kecil yang berterbangan lalu jatuh ke dalamnya, sedangkan lelaki itu berusaha untuk menahan benda-benda tersebut dari jatuh ke dalamnya. Aku memegang dengan kuat ikatan pinggang kamu supaya tidak jatuh ke dalam api, sedangkan kamu terlepas dari peganganku.'

Hadith ini menggambarkan keadaan manusia yang menuju kepada kebinasaan sedangkan mereka tidak mengetahuinya. Manakala Rasulullah s.a.w pula berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan mereka agar terlepas dari kebinasaan itu. Akhirnya masyarakat Islam di Semenanjung Tanah Arab telah dapat mencabar kuasa dunia iaitu Rom dan Farsi seterusnya muncul selepas itu sebagai sebuah masyarakat yang mengambil alih kuasa dunia.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a berjaya mengubah masyarakat dari sudut kepercayaan, sikap, moral, cara berfikir dan segala-galanya, termasuk perubahan pengorbanan daripada tertumpu kepada sesama manusia kepada tertumpu kepada Allah. Masyarakat manusia berjaya dipindahkan dari dua keadaan yang perbezaannya sangat jauh.

Dalam menyusuri perkembangan sejarah, selepas kejayaan kali pertama maka masyarakat Islam mengharungi jatuh bangun dalam pentas pergolakan dunia dan ia berkait rapat dengan komitmen mereka terhadap agama Islam yang suci. Era kemalapan umat Islam kali terakhir berlaku pada awal abad ke-20. Sejak kejatuhan Khalifah Uthmaniah di Turki pada tahun 1924, masyarakat Islam semakin terumbang-ambing di gelanggang dunia. Kini masyarakat Islam masuk ke era kelemahan dan keruntuhan yang menyeluruh. Masyarakat Islam yang berpecah-pecah berdasarkan kawasan dan negara, menjadi sebuah masyarakat yang sentiasa dicabar dan dihina di mana-mana. Menjelang abad ke-21, masyarakat Islam diganyang di merata-rata seperti di Yugoslavia, Iraq, Palestin, Kosovo dan di seluruh pelosok dunia. Apa yang berlaku sekarang jelas sebagaimana yang diceritakan dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud yang bermaksud:

'Hampir-hampir seluruh umat mengeliling kamu sepertimana orang-orang yang kelaparan mengelilingi hidangan mereka.' Ada yang bertanya, 'Apakah itu disebabkan bilangan kita kurang?' Nabi s.a.w menjawab: 'Bilangan kamu pada ketika itu ramai tetapi seperti buih. Allah mencabut dalam hati seteru kamu perasaan gerun terhadap kamu dan meletakkan perasaan al-wahn dalam hati kamu.' Ada yang bertanya: 'Apa al-wahn itu wahai Rasulullah?' Jawab Baginda: 'Cintakan dunia dan bencikan mati.'

Hadith ini jelas menunjukkan bahawa sampai suatu masa orang-orang Islam samalah seperti satu hidangan yang dikelilingi oleh sekumpulan orang yang lapar lagi gelojoh makan. Tiada sedikitpun perasaan bimbang dalam hati orang bukan Islam untuk melakukan apa sahaja yang disukai terhadap orang-orang Islam kerana mereka sangat lemah.

Ada bermacam-macam jawapan apabila ditanya sebab kelemahan masyarakat Islam sekarang. Ada yang berpendapat ia berpunca dari kelemahan politik dan perpecahan di kalangan masyarakat Islam. Ada yang berpendapat kerana kelemahan ekonomi, kelemahan pendidikan dan pencapaian ilmu ataupun kerana kelemahan dalam pencapaian sains dan teknologi. Ada yang memberikan alasan kerana kelemahan iman atau kerana tidak mengikut arahan agama dan bermacam-macam lagi.

Namun berdasarkan hadith itu tadi, jelas menunjukkan bahawa sebab kelemahan masyarakat Islam ialah hilangnya semangat berkorban dari dalam diri mereka. Umat Islam sudah tidak sanggup berkorban untuk tidak cintakan dunia atau berkorban untuk tidak takut mati. Mereka cintakan dunia sehingga sanggup memilihnya dengan membelakangkan kepentingan agama. Mereka juga takutkan mati apabila dituntut oleh agama bangun memperjuangkan sesuatu kebenaran. Inilah sifat-sifat negatif yang menjangkiti umat Islam.

Roh Ma’al Hijrah memerlukan setiap umat Islam berkorban untuk berpindah daripada bentuk negatif yang ada dalam diri mereka kepada bentuk-bentuk positif yang selaras dengan Islam. Berkorban ataupun jihad perlu tersemai di dalam jiwa masyarakat Islam sama ada dari sudut pengertian mahupun sikap.

Masyarakat Islam kini agak jauh terpesong dari landasan agamanya. Sebagai contoh, sungguhpun agama menuntut agar umatnya menuntut ilmu, tetapi kenyataan yang ada, sehingga kini sebahagian besar masyarakat Islam adalah buta huruf. Islam juga menuntut umatnya bersatu padu. Namun realiti masa kini umat Islamlah yang paling ramai berpecah belah. Demikianlah juga, Islam menuntut umatnya supaya rajin, berdisiplin dan menjaga masa tetapi orang Islamlah yang kurang berusaha, tidak berperaturan dan suka membuang masa.

Jika dilihat kepada dasar-dasar ajaran Islam itu sendiri, peluang orang Islam untuk maju dan mulia dalam dunia masa kini amatlah cerah. Ini kerana orang Islam mempunyai aset yang mencukupi dalam rangka untuk menempah kemajuan iaitu dorongan dari ajaran Islam dan aset material.

Aset galakan dan dorongan agama ini dapat dilihat dengan jelas di mana Islam sangat mementingkan ilmu dan mewajibkan ke atas setiap umatnya menuntut ilmu. Agama juga menuntut orang Islam sentiasa membina kekuatan dan kemuliaan. Kewajipan ini mendorong kuat umat Islam berusaha mencapai kekuatan dan kemuliaan pada setiap masa dan ketika. Ajaran Islam juga sangat mementingkan pegangan hidup yang mantap dan akhlak mulia. Islam juga mewajipkan umatnya menjalankan aktiviti kehidupan dengan bersih, ikhlas dan amanah.

Oleh itu, galakan-galakan seperti ini sangat penting dan menjadi modal yang besar kepada masyarakat Islam dalam mengembalikan keagungan dan kegemilangan zaman emas umat Islam.

Di samping itu, umat Islam memiliki aset material yang besar dan utama yang tidak dimiliki oleh kuasa kuffar. Petroleum, gas asli, bahan galian, sumber air, hasil hutan, bahan makanan, bilangan penganut dan banyak lagi adalah sumber kekuatan umat yang sentiasa menjadi bahan rebutan dan eksploitasi oleh golongan kuffar. Dengan adanya aset-aset tersebut dan manfaat secukupnya maka tidak mustahil masyarakat Islam menjadi satu masyarakat yang kuat dan maju sebagaimana yang pernah ditempa pada suatu ketika dahulu.

Perpindahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a dari kota Mekah ke Madinah dan sebelumnya perpindahan sesetengah sahabat dari Mekah ke Habsyah, merupakan pembinaan langkah baru sebagai persiapan menghadapi cabaran yang bakal tiba secara terus menerus. Hijrah bukanlah asing dalam Islam dan ia adalah sebahagian daripada Islam. Hijrah kerana menuntut ilmu, mencari kebenaran, berjihad, berdakwah, mencari nafkah, kerana perniagaan dan bermacam-macam hijrah lagi adalah tuntutan dan asas ajaran Islam itu sendiri.

Untuk terus maju dan mencapai kemuliaan, masyarakat Islam tidak boleh berpeluk tubuh dan hanya menyerah kepada takdir. Umat Islam dahulu telah berjihad secara habis-habisan, maka sebab itulah mereka berjaya meletakkan Islam di tempat yang mulia dan sepatutnya. Kini giliran kita memberi sumbangan kepada agama yang suci ini agar ia terus berkembang dan dihormati. Sesungguhnya bumi ini dan segala apa yang ada padanya adalah hak kepunyaan umat Islam. Di tangan orang Islamlah selayaknya ia harus ditadbirkan. Firman Allah s.w.t yang maksudnya:

'Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis dalam kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Luh Mahfuz, bahawasanya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh'
(al-Anbiya’:105)

Ayat tersebut menjelaskan kepada orang Islam tentang hak mereka mewarisi pentadbiran bumi ini, tetapi dengan syarat bahawa mereka terdiri dari golongan orang-orang yang soleh. Jika syarat tersebut luput, maka mereka tidak berhak apatah lagi layak mendapatkannya.

Bagi melepaskan diri dari kongkongan kelemahan dan kehinaan, maka umat Islam perlu melihat hijrah dalam pengertiannya yang luas iaitu perubahan diri menuju kepada kegemilangan di dunia dan di akhirat. Untuk itu maka langkah yang perlu diatur mestilah mengandungi kefahaman yang jelas dan gerak kerja yang teratur dan betul.

Perubahan ke arah kemajuan dan kemuliaan ummah bermula dengan pengisian kefahaman bahawa Islam adalah agama yang agung dan mulia maka umatnya juga jelas adalah umat yang agung dan mulia. Namun ia hanya dapat dicapai menerusi kekuatan spiritual, moral, fizikal, dan daya cipta serta kesatuan umat itu sendiri. Masyarakat Islam juga wajib memahami bahawa segala ilmu yang baik dan berfaedah kepada manusia adalah termasuk ke dalam ilmu yang disukai dan dituntut oleh Islam. Oleh itu, menuntut ilmu yang bermanfaat adalah satu kewajipan dan dikira berdosa mereka yang mengabaikannya. Masyarakat juga perlu memahami bahawa mereka merupakan pewaris yang sah kepada kepimpinan bumi ini. Tanpa pertunjuk dan panduan hidup dari Allah Tuhan semesta alam, mustahil kaum lain yang mensyirikkan Allah s.w.t layak mentadbir bumi yang diciptakan-Nya.

Di samping kefahaman, beberapa gerak kerja juga harus diatur oleh masyarakat Islam untuk tujuan kemajuan dan kemuliaan Islam iaitu menceburkan diri dalam pelbagai kajian dan penemuan dengan lebih kuat daripada masyarakat lain, asalkan ianya berfaedah dan tidak bercanggah dengan batas-batas syarak. Masyarakat Islam juga perlu bergerak dan bekerja secara terbuka tanpa terikat dengan kongkongan pemikiran yang sempit dan merugikan. Dan juga perlu menghidupkan dan menghayati semangat jihad iaitu bersungguh-sungguh dan berkorban dalam mencapai cita-cita murni yang bertepatan dengan Islam. Umat Islam tidak dapat tidak mesti memperkukuhkan tonggak kekuatan yang terdiri dari kekuatan akidah, fizikal dan material. Mereka juga perlu mempertingkatkan usaha melahirkan masyarakat yang soleh dan seimbang dari segi rohani dan jasmani kerana ia menjadi syarat mewarisi teraju kepimpinan bumi ini.

Masyarakat Islam yang kian pudar dan kian hilang kekuatan tidak boleh dibiarkan terus berada dalam keadaan seperti ini. Masyarakat Islam pada hakikatnya mempunyai aset dan sumber kekuatan yang perlu digerakkan dan dimanfaatkan demi kemajuan dan kemuliaan umat. Kita mampu berbuat demikian jika kita mahu kerana bekalan sudah tersedia. Jika generasi awal umat Islam boleh melakukannya maka mengapa kita tidak boleh. Sesungguhnya Ma’al Hijrah merupakan titik tolak yang paling sesuai ke arah itu.

Salam Maal Hijrah 1431H


Doa Akhir Tahun Dan Awal Tahun



Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.

Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku telah melakukan laranganmu tetapi aku masih belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau telah menangguhkan azabMu yang telah ditetapkan kepadaku. Engkau telah memerintahkan supaya aku bertaubat dari kesalahan itu. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan dariMu, ampunilah aku dan apa yang telah aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redai dan Engkau janjikan pahala maka aku memohonnya daripada Engkau. Ya Allah, Ya Karim, Ya Zaljalali Wal Ikram.

Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam…Amin…

Sesiapa yang membaca doa ini maka akan berkata syaitan, ‘Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada tahun ini dan Allah akan membinasakan aku pada saat itu juga. Dengan membaca doa ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun.’

DOA TAHUN BARU HIJRAH


Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.

Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihanMu yang Maha Agong dan kemurahanMu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun ini aku memohon kepadaMu perlindungan daripada syaitan yang direjam, dari sekalian kuncunya, tenteranya dan penolongnya. Aku juga memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diriku kepadaMu.

Selawat serta salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam…Amin…

Sesiapa yang membaca doa ini maka akan berkata syaitan,’Telah amanlah anak Adam daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua malaikat untuk memeliharanya dari fitnah syaitan.’

Fikir - Fikirkan Teman

AKU DIUJI?

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta."
-Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui"
-Surah Al-Baqarah ayat 216

KENAPA UJIAN SEBERAT INI?

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
-Surah Al-Baqarah ayat 286

RASA FRUST?

"Jgnlah kamu bersikap lemah, dan jgnlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org2 yg beriman."
- Surah Al-Imran ayat 139

BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah- daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."
-Surah Al-Imran ayat 200

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"
-Surah Al-Baqarah ayat 45

APA YANG AKU DAPAT DRPD SEMUA INI?

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari org2 mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga utk mereka... ..
-Surah At-Taubah ayat 111

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?

"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain drNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal."
-Surah At-Taubah ayat 129

AKU TAK DAPAT TAHAN!!!

"... ..dan jgnlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir."
-Surah Yusuf ayat 12

Jadilah Iktibar Bersama - Sama

Sepasang suami isteri - seperti pasangan lain di kota-kota besar - mninggalkan anak-anak diasuh pembantu rumah semasa keluar bekerja. Anak tunggal pasangan ini, perempuan berusia tiga setengah tahun. Bersendirian di rumah dia kerap dibiarkan pembantunya yang sibuk bekerja bermain di luar, tetapi pintu pagar tetap dikunci.


Bermainlah dia sama ada berbuai-buai di atas buaian yang dibeli bapanya, ataupun memetik bunga raya, bunga kertas dan lain-lain di laman rumahnya.

Suatu hari dia terjumpa sebatang paku karat. Dia pun melakar simen tempat letak kereta ayahnya tetapi kerana diperbuat daripada marmar,lakaran tidak kelihatan. Dicubanya pada kereta baru ayahnya. Ya... kerana kereta itu bewarna gelap, lakarannya jelas.Apa lagi kanak-kanak ini pun melakarlah melahirkan kreativitinya. Hari itu bapa dan ibunya bermotosikal ke tempat kerja kerana laluannya sesak sempena perayaan Thaipusam.

Penuh sebelah kanan dia beredar ke sebelah kiri kereta. Dilakarnya gambar ibu dan ayahnya, gambarnya sendiri, lukisan ayam, kucing dan sebagainya mengikut imaginasinya. Kejadian itu langsung tak disedari si pembantu rumah.

Pulang petang itu, terkejut badaklah pasangan itu melihat kereta yang baru setahun dibeli dengan bayaran ansuran, berbatik-batik. Si bapa yang belum pun masuk ke rumah terus menjerit, "Siapa punya kerja ni?" Pembantu rumah yang tersentak dengan jeritan itu berlari keluar. Dia juga beristighfar. Mukanya merah padam ketakutan tambah-tambah melihat wajah bengis tuannya.

Sekali lagi diajukan pertanyaan keras kepadanya, dia terus mengatakan "Tak tahu... !" "Duduk di rumah sepanjang hari tak tahu, apa kau buat?" herdik si isteri lagi.

Sia anak yang mendengar suara ayahnya, tiba-tiba berlari keluar dari bilik. Dengan penuh manja dia berkata "Ita buat ayahhh.. cantik kan!" katanya menerkam ayahnya ingin bermanja seperti selalu. Si ayah yang hilang sabar merentap ranting kecil pokok bunga raya di depannya, terus dipukul bertalu-talu tapak tangan anaknya. Si anak yang tak mengerti apa-apa terlolong-lolong kesakitan sekaligus ketakutan.Puas memukul tapak tangan, si ayah memukul pula belakang tangan anaknya. Si ibu cuma mendiamkan diri, mungkin setuju dan berasa puas dengan hukuman yang dikenakan.

Pembantu rumah melopong, tak tahu nak buat apa-apa. Si bapa cukup rakus memukul-mukul tangan kanan dan kemudian tangan kiri anaknya.


Selepas si bapa masuk ke rumah dituruti si ibu, pembantu rumah menggendong anak kecil itu, membawanya ke bilik. Dilihatnya tapak tangan dan belakang tangan si anak kecil calar balar. Pembantu rumah memandikan anak kecil itu. Sambil menyiram air sambil dia menangis. Anak kecil itu pula terjerit-jerit menahan kepedihan sebaik calar-balar itu terkena air. Si pembantu rumah kemudian menidurkan anak kecil itu. Si bapa sengaja membiarkan anak itu tidur bersama pembantu rumah.

Keesokkan harinya, kedua-dua belah tangan si anakbengkak. Pembantu rumah mengadu. "Sapukan minyak gamat tu!" balas tuannya, bapa si anak.

Pulang dari kerja, dia tidak melayan anak kecil itu yang menghabiskan masa di bilik pembantu. Si bapa konon mahu mengajar anaknya. Tiga hari berlalu, si ayah langsung tidak menjenguk anaknya sementara si ibu juga begitu tetapi setiap hari bertanya kepada pembantu rumah. "Ita demam... " jawap pembantunya ringkas.

"Bagi minum panadol tu," balas si ibu. Sebelum si ibu masuk bilik tidur dia menjenguk bilik pembantunya. Apabila dilihat anaknya Ita dalam pelukan pembantu rumah, dia menutup semula pintu. Masuk hari keempat, pembantu rumah memberitahu tuannya bahawa suhu badan Ita terlalu panas. "Petang nanti kita bawa ke klinik. Pukul 5.00 siap" kata majikannya itu. Sampai waktunya si anak yang longlai dibawa ke klinik. Doktor mengarahnya ia dirujuk ke hospital kerana keadaannya serius. Setelah seminggu di wad pediatrik doktor memanggil bapa dan ibu kanak-kanak itu. "Tiada pilihan.." katanya yang mencadangkan agar kedua-dua tangan kanak-kanak itu dipotong kerana gangren yang terjadi sedah terlalu teruk. "Ia sudah bernanah, demi nyawanya tangan perlu dipotong dari siku ke bawah" kata doktor. Si bapa dan ibu bagaikan terkena halilintar mendengar kata-kata itu. Terasa diri tunggang terbalik, tapi apalah dapat dikatakan. Si ibu meraung merangkul si anak. Dengan berat hati dan lelehan air mata isterinya, si bapa terketar-ketar madandatangani surat kebenaran pembedahan. Keluar dari bilik pembedahan, selepas ubat bius yang dikenakan habis, si anak menangis kesakitan.

Dia juga terpinga-pinga melihat kedua-dua tangannya berbalut putih. Direnung muka ayah dan ibunya. Kemudian ke wajah pembantu rumah. Dia mengerutkan dahi melihat mereka semua menangis. Dalam seksaan menahan sakit, si anak yang keletah bersuara dalam linangan air mata. "Abah.. Mama... Ita tak buat lagi. Ita tak mau ayah pukul. Ita tak mau jahat. Ita sayang abah.. sayang mama." katanya berulang kali membuatkan si ibu gagal menahan rasa. "Ita juga sayang Kak Narti.." katanya memandang wajah pembantu rumah, sekaligus membuatkan gadis dari Surabaya itu meraung seperti histeria. "Abah.. bagilah balik tangan Ita. Buat apa ambil.. Ita janji tak buat lagi! Ita nak makan macam mana? Nak main macam mana? Ita janji tak conteng kereta lagi," katanya bertalu-talu. Bagaikan gugur jantung si ibu mendengar kata-kata anaknya. Meraung dia sekuat hati namun takdir yang sudah terjadi, tiada manusia dapat menahannya.

Persinggahan Seorang Perjuang Islam Bersama YB Naib Presiden













Gambar di atas ini, merupakan program yang saya hadiri malam tadi iaitu program "Kuliah Haraki Bersama Yang Berhormat Naib Presiden PAS Sdr. Salahuddin Ayub " di Dewan Zulkifli Bangunan PAS Kota Bharu.

Barangsiapa yang duduk dengan lapan macam manusia, akan ditambah Allah baginya lapan corak hidup:

1. Barangsiapa suka duduk berserta orang kaya, Akan ditambah Allah kecintaannya kepada dunia dan keinginan kepadanya.

2. Barangsiapa suka duduk berserta orang miskin, Akan dijadikan Allah baginya kesukaan bersyukur dan redha menerima pembahagian yang ditentukan Allah.

3. Barangsiapa suka duduk dengan Sultan (Pemerintah Negara), akan ditambah Allah kasarnya dan sombongnya.

4. Barangsiapa suka duduk dengan perempuan, akan ditambah Allah bodohnya dan syahwatnya.

5. Barangsiapa suka duduk bersama kanak-kanak, akan ditambah kesukaannya bermain-main dan bersenda gurau.

6. Barangsiapa suka duduk dengan orang fasiq, akan bertambahlah beraninya berbuat dosa dan menunda-nunda taubat.

7. Barangsiapa suka duduk dengan orang-orang soleh, akan bertambahlah keinginannya untuk taat'

8. Barangsiapa suka duduk dengan para ulama' maka bertambahlah ilmu dan waraknya...

Waallahhuallam....
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates