Sampah Sarap Kehidupan

Seorang lelaki cuba memasukkan batu pelbagai saiz ke dalam sebuah bekas.

Mula-mula dimasukkan pasir, kemudian batu kecil dan akhirnya batu besar.

Malangnya batu besar tidak dapat dimasukkan sepenuhnya. Maka akhirnya batu besar ini ketinggalan daripada dimasukkan ke dalam bekas.

Batu besar tidak dapat dimasukkan kerana bekas tadi sudah hampir penuh dengan batu-batu kecil dan pasir yang diisikan awal tadi.

Sekarang, anggaplah bekas yang mahu diisikan tadi adalah kehidupan, lelaki yang memasukkan batu itu adalah kita, sedang batu-batu itu sendiri adalah semua perkara yang dilakukan di dalam kehidupan kita.

Apakah batu besar dalam kehidupan kita?

Apakah pula batu kecil dan pasir?



Batu besar adalah perkara-perkara yang sangat penting dan bermakna dalam kehidupan kita. Batu-batu kecil pula perkara yang penting manakala pasir adalah perkara yang kurang penting.

Namun, jika kita mengisi hidup ini seperti yang dilakukan oleh lelaki tadi, maka jadilah kehidupan kita seperti bekas batu yang diisikan olehnya. Hanya pasir dan batu kecil yang sempat terisi, manakala batu besar tidak muat.

Sedangkan yang sepatutnya diisikan sejak awal adalah batu besar, kemudiannya barulah diikuti dengan batu kecil dan pasir, bergantung kepada lebihan ruang yang ada.

Bekas tadi tidak akan berubah saiznya, sama juga seperti kehidupan kita. Setiap hari masa yang ada 24 jam, setiap minggu pula 7 hari. Begitulah kitarannya akan terus berputar selama empat minggu yang menggenapkan sebulan hingga bulan-bulan yang terkumpul sebanyak 12 pula akan mencukupkan setahun.

Namun, kebijaksanaan kitalah yang perlu dikerahkan demi mengisi ruang kehidupan yang sempit ini.
Apakah perkara penting dalam kehidupan kita?

Bila kita beli telefon bimbit baru, kita akan teliti buku manual yang disediakan oleh syarikat telefon bimbit berkenaan untuk memahami cara penggunaan telefon yang kita beli.

Begitu jugalah dengan kehidupan manusia.

Perlu dirujuk kepada buku manual yang dibuat oleh Pencipta manusia, iaitu Al-Qur\'an.

Maka Al-Qur'an telah menyebut bahawa terdapat satu perkara penting dalam hidup manusia, iaitu menjadi hamba kepada Allah.

Firman Allah,
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."

Beribadat kepada Allah dalam konteks kita sebagai seorang Islam tidaklah terbatas kepada solat, membaca Al-Qur'an, puasa, sedekah dan haji sahaja. Sebaliknya seluruh hidup kita bermula daripada bangun tidur hingga kita tidur semula boleh jadi ibadah bila kena caranya.

Kerana itulah apabila baginda nabi berpesan kepada kita dengan pesannya, "Hiduplah kamu di dunia seolah-olah kamu ini warga asing atau pengembara di sebuah perjalanan", sangat perlu kepada kita untuk faham bahawa hidup kita di dunia ini akan berakhir. Sedangkan hidup di akhirat tidak akan berakhir.
Apa yang kita isi dalam kehidupan kita sangat penting untuk diperhatikan.

Jika tersalah hitung, bekas kehidupan bukan sahaja diisi oleh batu kecil dan pasir, malah ditimbuni sampah sarap!

Penyakit Unik Muda-mudi

Penyakit PELIK muda-mudi.

Kalau kita keluar bersiar-bersiar di ibu kota , pastinya kita tidak akan terlepas dari melihat ragam anak-anak belasan tahun. Di sini saya senaraikan antara penyakit unik yang berbahaya pada anak-anak remaja sebagai panduan untuk kita semua agar menjauhinya.

1-Penyakit cintan-cintun
memang sudah lumrah, apabila kita meningkat remaja.perasaan cinta itu ada dalam diri . Tapi cinta itu satu perkara suci, cantiknya cinta itu kalau kita pelihara. Ini tidak , kita bercinta dengan pasangan kita macam comfirm je nak kahwin. Lepas itu siap ada anniversary. Kan indah kalau kita simpan semua itu untuk cinta kita yang sebenar. Lagi best,Kalau kita bercinta dengan Allah.

2-Penyakit Attention sicker
Penyakit attention sicker ini penyakit yang parah. Ibu bapa mestilah pantau anak-anak sekiranya mereka ada penyakit ini. Remaja yang mengalami attention sicker ini selalu mahukan perhatian dari orang sekeliling . Ingatlah, Allah itu ada. Allah itu sentiasa sayang kita , sentiasa bagi attention kat kita.

3-Penyakit berlagak seperti ada di Bumi New york
Remaja seperti ini suka bersosial sehingga melampau-lampau batasnya. Auratnya pula MasyaAllah tidak terkata. Kemudian mereka menyambut perayaan seperti orang-orang New York dan mula copy-paste artis-artis Hollywood kegemaran mereka. Ya Allah ,dekat syurga sana lagi super awesome dari New york ke Paris ke Hawaii dan sebagainya. Bidadara bidadari kat syurga tu pun lagi Fantastic dari artis-artis Hollywood.



4-Penyakit gangster
Remaja seperti ini paling senang nak kenal. Suka mencarut , tidak hormat orang, suka bergaduh, suka tunjuk samseng , suka merempit dan sebagainya seperti yang ditunjukkan dalam drama-drama melayu sekarang seperti KL Gangster,Bohsia dan sebagainya. Sebenarnya remaja ini jenis remaja yang berguna sekiranya kita bawa dia ke jalan yang benar. Yela,mereka kan kuat, semangat kental. Mana tau, Kalau ada iman teguh dalam diri dan dicampur pula dengan kekuatan mereka, Bolehlah kot kita hantar mereka ke Palestin ke , atau pun biar  mereka berjihad untuk islam sehinggakan tak lama lagi wujud sebuah filem Melayu bertajuk KL MUJAHID.

5-Penyakit nak tunjuk up-to-date dan mahu glamour
Remaja seperti ini kadang-kadang mereka ini tahu tentang agama tapi mereka buat-buat tak tahu atau malas nak ambil tahu. Remaja seperti mereka ini jenis tak suka duduk rumah . Mereka ini akan melebih-lebih dalam join aktiviti-aktiviti yang terbaru seperti tarian dan sebagainya. Mereka ini juga jenis yang suka melepak di pusat membeli-belah seperti Pavilion,Sungei Wang,KLCC dan sebagainya. Kemudian mereka bangga sekiranya orang lain tahu mengenai diri mereka dan aktiviti-aktiviti sosial mereka. Alahai, ingatlah seglamour mana pun orang tu, nanti mati pakai juga kain kapan yang harga dia RM2.50 semeter yang sama. Kita ni sebenarnya sama je, Hamba Allah. Baiklah kita jadi hamba Allah  yang up-to-date.Lagi terror!

6-Penyakit terkena kejutan budaya
Remaja seperti ini paling mudah untuk dikenali . Remaja seperti ini sebenarnya adalah seorang yang baik dan sopan kemudian tiba-tiba bertukar menjadi 'nakal'  disebabkan faktor keadaan,kawan dan lain-lain.Cuba fikir balik dik,kalaulah setiap minggu kita bertukar dari menjadi muslim kepada menjadi muslim yang baik kemudian muslim yang super baik dan seterusnya.Mesti Allah akan sayang kita sangat-sangat.

7-Penyakit i-forgot-la-pasal-islam.
Remaja seperti ini adalah paling kasihan sekali.Mereka ini suka berparty, bersosial , pergi ke kelab-kelab malam, minum minuman alkohol, bergelumang dengan maksiat, tidak solat, lupa cara mandi wajib, pergaulan sangat bebas dan sebagainya.Ya Allah , cuba bayangkan kalau mak,ayah,atuk,nenek,bakal anak cucu cicit kita tengok kita. Malu tak?? Inikan pula Allah,sudahlah Allah yang cipta kita, beri kita macam-macam , kita pula boleh pula lupa pasal islam dan Allah.



Cukup la ini sahaja senarai penyakit uni anak-anak muda yang dapat saya ceritakan.Seorang ustaz pernah beritahu saya,solat tu adalah benda paling penting dalam hidup kita sebab I untuk isyak, S untuk subuh, L untuk lohor(zohor), A untuk Asar, dan M pula untuk Maghrib dan barulah kita Islam sebenar.
Allah itu sentiasa ada untuk kita. Nak berdoa,nak mengadu masalah , nak memohon sesuatu..Allah itu Maha mendengar . Jadi untuk para remaja , zaman muda kita ni bukanlah zaman kita nak hidup jahiliyah tapi inilah masanya untuk kita start jadi hamba Allah yang paling awesome,super power,incredible,fantastic dan sebagainya.

Semoga kita dapat menjadi Islam yang sejati!!
Ameen.

Permaisuri menangis kerana projek udang


(Penduduk Permaisuri menangis akibat banjir yang jarang mereka alami sebelum ini)
SETIU, 16 Jan: Projek udang di Kerpan, Kedah telah menyebabkan rakyatnya menangis. Kini projek yang sama telah menyebabkan beribu-ribu penduduk sekitar Permaisuri menangis kerana pelbagai masalah yang disebabkan projek ini.

Terbaru, beribu-ribu penduduk Permaisuri mengalami masalah yang tidak mereka alami selama ini apabila kampong mereka ditenggelami air banjir sejak beberapa hari lalu.

Bukan itu sahaja, jalan raya juga tiba-tiba mendap yang menyebabkan seorang imam yang menunggang motosikal jatuh ke dalam lubang yang tiba-tiba mendap.
(Gambar: Laporan akhbar harian yang menunjukkan mangsa jalan jerlus di Setiu)

Umur beliau masih panjang dan terselamat dari kecelakaan itu namun mengalami luka-luka termasuk pada mukanya.

Banjir ini adalah gemombang ketiga yang melanda Permaisuri.

Bagi Dr Azman Ibrahim, bekas calon PAS Dun Jabi, projek Taman Akuakultur Udang Bersepadu yang diusahakan oleh Syarikat Blue Archipelago Berhad adalah puncanya.

Walaupun pihak Kerajaan negeri kelihatan cuba memejamkan mata akan hakikat yang berlaku, tetapi bangkai gajah tidak lagi mampu ditutup dengan daun lalang.

Ibarat sudah terang lagi bersuluh kejadian banjir luar biasa ini memang berpunca dari kerja-kerja projek i-SHARP ini!

"Kita telah membangkitkan ketika peringkat awal perlaksanaan projek dahulu bahawa kawasan yang dibangunkan itu adalah kawasan paya bertanah rendah yang terdedah kepada kesan pasang surut Sungai Setiu dan dilimpahi air ketika musim banjir.
(Gambar: Penduduk terlibat memberikan penjelasan kepada Dr Azman [kanan sekali] dan Datuk Abu Bakar Chik [baju puteh] ketika mereka meninjau kawasan terbabit.)

"Dari segi ekosistem, kawasan paya bertanah rendah dikategorikan sebagai kawasan takungan air," kata Dr Azman kepada Harakahdaily.

Kawasan Hutan Gelam Air Tawar di Kampung Nyatoh dan Banggol, Permaisuri Setiu Terengganu seluas 1200 hektar telah dikorbankan bagi memberi laluan kepada projek akaukultur berimpak besar ini yang menelan belanja sebanyak RM300 juta ini dan dijangka siap pada tahun 2012 ini.

Projek ini diusahakan oleh Syarikat Blue Archipelago Berhad yang juga menyelia projek akuakultur udang di Kerpan, Kedah.

Blue Archipelago Berhad merupakan anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad, syarikat milik kerajaan persekutuan.

Hutan Gelam Air Tawar merupakan salah satu ekosistem yang terdiri dari pokok gelam di kawasan pinggir pantai yang sangat terancam dan ekosistem sebegini sangat kurang ditemui di semenanjung Malaysia kini.

Kawasan yang ditumbuhi pokok gelam ini memainkan peranan penting dalam ekologi kawasan sekitarnya termasuk menjadi habitat kepada hidupan liar terancam dan menjadi penampan di sepanjang Sungai Chalok.
Aktiviti akuakultur yang dicadangkan di kawasan ini akan berpotensi  memusnahkan kawasan kepelbagaian hidupan yang penting dan bakal menganggu kepentingan sosioekonomi terutamanya nelayan di kawasan tersebut.

Menurut Dr Azman, Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS ini, untuk mengelakkan kawasan projek bernilai ratusan juta ringgit ini ditenggelami air banjir, kerja-kerja tebus guna tanah telah dan sedang dilakukan supaya kolam udang berada di aras yang lebih tinggi dari air banjir.

Keadaan ini akan menyebabkan aliran air itu beralih ke kawasan yang lebih rendah di sekitar tapak projek dan ini akan menyebabkan air membanjiri kawasan penempatan penduduk sekitar.

(Gambar: Papan tanda projek)
Tambakan tanah juga akan menghalang pengaliran air banjir ke Sungai Setiu.

Menurut Azman, tinjauan segera beliau bersama skuad Lujnah Alam sekitar PAS Terengganu ke lokasi mendapati, pembinaan jalan masuk ke dalam tapak projek sepanjang lebih kurang 2 km menjadi penghalang utama aliran air banjir ke Sungai Setiu.

Ia telah menyebabkan berlaku fenomena ‘air sebak’ mengikut istilah penduduk tempatan, walaupun paras air Sungai Setiu sebenarnya tidaklah terlalu tinggi.

"Dalam hal berkaitan, Lujnah Alam Sekitar PAS Terengganu menghargai  Laporan TV Al Hijrah dan akhbar tempatan serta berterima kasih atas sikap professional dan bertanggungjawab mereka yang turun sendiri ke lapangan bagi mengesahkan situasi sebenar yang berlakum.

"Laporan mereka mengesahkan kebenaran fakta yang kami utarakan sejak lebih 2 tahun lalu," katanya.

Penduduk tempatan juga mengakui bahawa ketiga-tiga kejadian banjir sepanjang musim tengkujuh tahun ini adalah luar biasa dan tidak berpadanan dengan jumlah hujan yang turun.

Terutama sekali di sekitar Kampung Nyatoh, Kampong Bukit Kemudu dan Kampung Banggol di mana di Kampung Banggol, penduduknya menjadi mangsa berganda apabila tanah RTB pertanian yang menjadi sumber pencarian mereka turut dimangsakan demi projek udang ini.

Sebelum ini, kata Dr Azman, walaupun perlaksanaan projek telah berjalan dalam tempoh melebihi dua tahun dengan pelbagai impak sampingan mulai dirasai dan terdedah, kerajaan seolah-olah ingin menyembunyikan hakikat sebenar projek ini dari makluman umum.

Apabila didedahkan dengan fakta-fakta yang sukar disangkal barulah kerajaan berjanji akan memantau perlaksanaan projek yang dikatakan akan menjadi penanda aras bagi kerajaan negeri untuk menerima pelabur lain yang ingin melabur di dalam bidang yang sama di negeri ini.
(Gambar: Kawasan yang terlibat berdasarkan peta dari google)

"Betul atau tidak pemantauan dilakukan, masih menimbulkan kesangsian. Kalaulah betul kerajaan melakukan pemantauan terhadap projek ini, maka saya dengan segala hormatnya menyimpulkan bahawa jawatankuasa pemantauan ini memang tidak melaksanakan kerja yang diamanahkan.

"Kalau tidak, mana mungkin kerajaan boleh berlagak bodoh dengan satu demi satu impak negatif yang berlaku di depan mata," dakwa beliau.

Tuntutan Azman dan rakan-rakannya, bukannya supaya pihak kerajaan memberikan jawapan politik yang tak berkesudahan, tetapi tindakan tegas dan berkesan sebelum nasi menjadi bubur.

Ditambah lagi dengan cuaca yang belum lagi menentu dengan kemungkinan banjir gelombang seterusnya akan melanda sekali lagi. Kalau pun bukan ditahun ini, selagi ada bulan dan matahari, tengkujuh akan melanda lagi.
Ironinya, kata beliau, impak ini telah menjadi igauan penduduk sekitar disaat ketika perlaksanaan projek belum lagi siap sepenuhnya.

Lantas apa lagi mimpi ngeri akan mereka alami apabila projek ini telah siap dan beroperasi sepenuhnya, hujjah beliau.

Bagi Dr Azman dan rakan-rakannya, suatu perjudian yang besar apabila sebuah syarikat yang belum berjaya membuktikan hasil dan prestasi dalam industri berkaitan dianugerahkan 1,000 hektar tanah dengan taraf pajakan selama 30 tahun.

Projek ini juga turut mengorbankan hak dan mata pencarian rakyat kemudian menghasilkan pula impak negatif alam sekitar dan sosio ekonomi setempat sedangkan hasilnya masih terlalu samar, katanya.

Pilihan raya hanya selepas Jun 2012?


KUALA LUMPUR, 16 Jan: Ketika kerajaan negeri Selangor sangat kukuh dengan pendiriannya untuk adakan pilihan raya selepas Jun di negeri itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula hanya betul-betul bersedia selepas Jun.

Ini bermakna, jika kerajaan mahu menjalankan pilihan raya dengan penuh persediaan dan disepakati oleh semua pihak yang terlibat, pilihan raya hanya boleh diadakan selepas Jun ini.

Menurut salah seorang anggota PSC (Parliament Select Comittee - Jawatankuasa Terpilih Parlimen), Dr Mohd Hatta Ramli (gambar atas) , jawatankuasanya hanya selesai membuat cadangan pada 3 April 2012 ini.

"Selepas cadangan dibuat, kerajaan dan SPR perlu memprosesnya sebelum ianya dijadikan peraturan.

"Ini bermakna, masa paling sesuai untuk adakan pilihan raya dengan persediaan semua pihak terbabit adalah Jun atau Julai ini," kata Dr Hatta kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, ramai yakin kerajaan akan membuat pilihan raya umum Mac ini. Namun pelbagai perkembangan yang berlaku selepas itu menyebabkan masa itu dianggap tidak sesuai lagi.

PSC untuk menambaikkan sistem pilihan raya ini ditubuhkan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak. Mereka diberi masa enam bulan iaitu hingga April ini untuk membuat kajian itu.

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mempengerusikan penal ini yang turut disertai oleh wakil BN, Pakatan Rakyat dan Bebas. PAS diwakili oleh Dr Hatta. Dalam kenyataannya di Kota Baru beliau berkata, pihaknya tidak ada kuasa untuk menentukan bilakah pilihan raya patut diadakan.

Menurut Dr Hatta yang juga anggota Parlimen Kuala Krai, sebahagian peraturan pilihan raya termasuk penggunaan dakwat kekal yang hendak dilaksanakan SPR perlu disahkan oleh Dewan Rakyat terlebih dahulu.

"Dewan Rakyat hanya bersidang pada 12 Mac ini. Selepas itu, SPR pula perlu adakan pembelian dan latihan penggunaannya.

"Walaupun ada yang kata tidak perlu di bawa ke Dewan Rakyat untuk laksanakannya, saya tak nampak begitu dan rasa saya, yang paling baik di bawa ke Dewan Rakyat dahulu," kata Dr Hatta.

Sebelum ini, veteran Umno, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil dalam wawancaranya dengan Harakahdaily berkata, kerajaan perlu menunggu PSC selesai menjalankan tugasnya dahulu.

Jika tidak, kerajaan akan didakwa berbohong dan menipu rakyat, kata beliau.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim memaklumkan, negeri Selangor hanya akan mengadakan pilihan raya selepas Jun 2012.

Ini untuk membolehkan segala program kerajaan negeri yang ada untuk rakyat selesai dilaksanakan.

Para pegawai kanan pejabat MB Selangor itu juga mengesahkan bos mereka amat 'kukuh pendiriannya' dalam isu ini.

"Hatta Tuanku Sultan juga telah dimaklumkan mengenai hal ini," katanya.

Guru Kafa dakwa jadi mangsa SBPA

BANGI, 16 Jan: Seramai tujuh orang guru sekolah Kafa Bandar Baru Bangi mendakwa menjadi mangsa sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang di perkenalkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), baru-baru ini.

Kesemua guru terbabit melahirkan rasa tidak puas hati apabila mendakwa ada di antara kontrak sebagai guru di sekolah berkenaan tidak disambung kesan daripada SBPA.

Sekolah Kafa Bandar Baru Bangi mempunyai 79 guru, 16 daripada mereka adalah guru kontrak yang ditawarkan kerja selama dua tahun dengan kontrak mereka diperbaharui apabila tamat dua tahun.
Kebanyakan guru terlibat berkhidmat lebih dari lima tahun.

Mereka diletak di bawah kategori DB27, iaitu guru SPM, STPM yang tidak mempunyai diploma pendidikan yang tangga gaji P1T1: RM1204.55 dan meningkat hingga P1T7: RM1603.85.

Terdapat empat orang yang berkategori sedemikain, manakala dua orang di bawah DB17 yang mempunyai diploma, tetapi masih tidak dilantik.

Satu halangan dari perlantikan semula, mereka dikehendaki mempunyai Diploma Pendidikan dan lulus bahasa Arab, selama ini tidak menghalang mereka dari disambung kontrak selama dua tahun.

Tetapi dengan SBPA, kategori guru kontrak berkenaan tidak lagi wujud. Guru-guru akan tamat tempoh berkhidmat dengan sendirinya apabila cukup dua tahun khidmat.

Mengulas perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi, Dr Shafie Abu Bakar menyeru agar Jabatan Pendidikan mempertimbangkan semula nasib guru-guru terbabit.

“Baru-baru ini, Jabatan Pendidikan megumumkan SBPA ditunda untuk kajian semula, bagi saya seharusnya SBPA tidak laksanakan kerana memberi bebanan kepada semua guru yang terlibat,” katanya ketika menerima aduan guru-guru terbabit di pejabat beliau. (Gambar)
Menurut Dr Shafie, beliau sudah berbincang dengan guru besar sekolah berkenaan berkenaan status guru-guru itu.

"Hasil pertemuan dengan guru besar di situ dan semua guru kontrak yang terlibat, saya difahamkan masalah yang dihadapi oleh guru-guru kontrak sedang dalam proses tindakan bahagian guru di Pejabat Agama Daerah Hulu Langat dan juga oleh Pengarah Sekolah Agama Jais," katanya.

Namun jelas Dr Shafie, mereka yang terlibat akan diletakkan kategori guru Kafa, bermakna menurunkan pangkat dan pendapatan mereka.

Lebih membimbangkan, ujarnya salah seorang dari guru itu telah tamat tempoh dua tahun pembaharuan perlantikan, apabila ditanya pihak atasan, guru itu dinasihat tidak perlu lagi berkhidmat.

"Kesan daripada itu, memberi masalah kepada guru itu kerana umurnya sudah meningkat, sukar baginya untuk mendapatkan pekerjaan yang baru. Selain daripada itu, setengah daripada mereka sudah membeli rumah dan juga kenderaan di samping tanggungan keluarga anak isteri.

"Tindakan ini, bagi saya adalah tidak adil, kita harap nasib semua guru kontrak perlu diberi penyelesaian segera. Jika tidak perkara ini akan dibawa ke Dewan Negeri bagi mendapat pandangan dan penyelesaian segera," ujarnya sambil mencadangkan guru terlibat membuat rayuan bagi meneruskan perkhidmatan.

Beliau berharap untuk jangka panjang, semua guru berkenaan tidak wajar dibiarkan mereka dalam keadaan kontrak berterusan.

Sultan Kedah puji pentadbiran Azizan

ALOR SETAR, 16 Jan: Pembaharuan dan kemajuan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri Kedah yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mendapat pujian Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Baginda bertitah, pelbagai program pembangunan yang sedang giat direncanakan oleh Kerajaan Negeri termasuk memajukan sektor pertanian untuk meningkatkan taraf hidup rakyat kini menampakkan hasil.

“Beta harap aktiviti pembuatan yang kini berkembang pesat dapat terus dimajukan sehingga menjadi tumpuan utama selain menarik pelabur asing dan tempatan untuk melabur dan mendirikan kilang perindustrian di Kulim Hi-tech Park, Sungai Petani, Kuala Ketil, Gurun, Yan dan Bukit Kayu Hitam", titah baginda semalam dipetik Sinar Harian.

Baginda bertitah pada istiadat menyembah tahniah dan penganugerahan darjah serta bintang kebesaran sempena ulang tahun keputeraannya ke-84, di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, semalam.

Titah ucapan baginda dibacakan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Bendahara, Tunku Annuar Sultan Badlishah.        

“Beta amat sukacita kerana Kedah sentiasa aman dan sejahtera setiap masa. Walaupun terdapat beberapa peristiwa hangat yang berlaku akhir-akhir ini, tetapi ia dapat dikawal hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan rakyat,” titah baginda.        

Baginda turut melahirkan kesyukuran kerana Kedah terhindar daripada keganasan dan ketegangan antara kaum yang kritikal seperti yang berlaku di beberapa negara lain, selain berpuas hati dengan corak pentadbiran Kerajaan Negeri yang mendokong prinsip keadilan tanpa mengira latar belakang.        

“Tidak ada peristiwa yang tidak diingini berlaku dan rakyat yakin dengan kestabilan politik negeri ini. Beta harap semua pihak komited menjalankan tugas, ikhlas, amanah serta telus dalam mengendalikan urusan pentadbiran,” titah baginda.        

Tuanku Abdul Halim bertitah, untuk memastikan dasar ini dapat dilaksana, seluruh kepimpinan kerajaan, anggota pentadbiran dan rakyat haruslah bertakwa kepada ALLAH SWT agar mendapat keberkatanNya.        

“Jentera pentadbiran dan pengurusan negeri yang cekap amat penting untuk merancang dan melaksana dasar dan program Kerajaan Negeri. Oleh itu, anggota perkhidmatan awam perlu berpegang teguh pada konsep amanah dan kepimpinan berintegriti,” titah baginda.

Majlis temu mata anak machang di perantauan di dewan beringin, gombak









Presiden PAS putuskan pengganti Hasan hari ini


KUALA LUMPUR, 15 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan membuat keputusan hari ini calon bagi menggantikan Datuk Dr Hasan Mohd Ali sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, nama itu akan beliau sampaikan kepada Menteri Besar Selangor esok.

"Kita jangka, jika tidak ada sebarang masalah, mesyuarat Exco Selangor Rabu ini akan mendapat anggota baru dari PAS," kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Semalam, Dewan Harian PAS Pusat bermesyuarat di Alor Setar. Antara topik yang dibincangkan adalah pengganti Hasan Ali.

Hasan dipecat daripada menjadi ahli PAS pada 8 Januari lepas oleh Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau bagaimanapun berpeluang membuat rayuan terhadap keputusan itu kepada Majlis Syura Ulamak dalam tempoh 30 hari selepas dipecat.

Bagaimana pun, malam tadi Hasan membuat keputusan tidak akan merayu. Ia diumumkan beliau dalam satu majlis di Gombak.

Media hari ini menyiarkan keputusan Hasan itu.

Sebelum ini, beberapa pimpinan utama PAS meminta Hasan merayu termasuk Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.
Pada 13 Januari lepas, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan perlantikan exco kerajaan negeri yang baru bagi mengantikan Hasan akan diadakan pada 18 Januari nanti di Istana Kayangan, Shah Alam.
Beliau yang hadir pada sidang media selepas mengadap Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberitahu pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan status kedudukan Hasan yang tidak lagi menjadi ahli PAS.

"Pagi tadi saya telah mengadap Tuanku Sultan untuk memberi taklimat mengenai status Dr Hasan sebagai exco.
"Dalam pertemuan itu saya telah mempersembahkan kepada Tuanku Sultan bahawa saya telah menerima surat rasmi dari PAS yang memaklumkan bahawa Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang pada 8 Januari yang lalu telah membuat keputusan memecat Dr Hasan dari menjadi ahli PAS berkuatkuasa serta merta," jelasnya.

Memandangkan Hasan bukan lagi ahli PAS, maka beliau tidak lagi boleh menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan Khalid telah menasihati Tuanku Sultan untuk membatalkan perlantikan Hasan.

"Tuanku Sultan telah bersetuju dengan pendapat saya dan baginda akan menulis surat pembatalan perlantikan Dr Hasan sebagai ahli MMKN.

"Pada masa yang sama, Tuanku Sultan telah menurunkan kuasanya pada saya untuk melantik ahli baru MMKN, dalam pada itu baginda juga menasihatkan saya agar menjalankan tanggungjawab ini dengan bijaksana tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak," katanya.

Anwar cabar Najib berdebat


ALOR SETAR, 14: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya berdebat secara terbuka dengannya tentang dasar negara.

Perdebatan tersebut boleh diadakan pada bila-bila masa jika dipersetujui oleh Najib bagi memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai dasar negara ini.

Menurut Anwar, negara ini kini ternyata sedang berhadapan dengan sistem nilai dengan satunya dibawa oleh BN dan satu llagi yang diketengahkan oleh Pakatan Rakyat.

Katanya, sistem nilai yang dibawa oleh BN ternyata terarah kepada penindasan terhadap rakyat, manakala Pakatan Rakyat pula untuk membawa negara ini keluar dari dasar-dasar seperti itu.

"Disebabkan pertembungan sistem nilai itu, bidang kehakiman di negara ini tetap tidak bebas dari campur tangan pihak pemerintah," katanya ketika berucap pada sesi Ucapan Penggulungan Pimpinan pada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini, hari ini.

Walaupun beliau telah dibebaskan dan dilepaskan dari pertuduhan liwat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari lalu, ia tidak boleh dijadikan lambang kebebasan bidang kehakiman di negara ini.

"Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan saya itu hanyalah satu keputusan kecil. Ia bukan lambang bagi seluruh sistem kehakiman di negara ini," tegasnya.

Begitu juga, tambah beliau,  dengan cengkaman dan penindasan Umno BN terhadap rakyat dalam aspek-aspek lain selama ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Umum PKR mendesak Najib membuktikan kebenaran di atas kenyataannya bahawa Malaysia mengamalkan demokrasi terbuka dengan memastikan pilihanraya akan datang bersih dan adil.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menggesa Najib memberikan kebebasan kepada media agar tidak menjadikan media di negara ini tidak seperti media di Mesir ketika berada di bawah pemerintahan Mubarak.

"Najib juga mesti memastikan institusi pemerintahan di negara ini termasuk bahagian pencegahan rasuah, polis, jentera kerajaan berwibawa dan profesional," tegasny

Lebih 50,000 hadir Rapat Rakyat Perdana


ALOR SETAR, 15 Jan: Lebih 50,000 rakyat di seluruh Kedah hadir pada Rapat Rakyat Perdana yang diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, di sini, malam tadi.

Kehadiran orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat itu menjadikan padang bola Stadium Sultan Abdul Halim penuh sesak sehingga melimpahi ke luar stadium.

Keadaan itu menjadikan suasana di padang stadium itu dipenuhi pandangan kopiah yang memutih yang cukup memukau pandangan jika dilihat dari atas tempat duduk di stadium itu.

"Macam duduk di Padang Arafah," begitulah reaksi yang dituturkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika hendak memulaklan ucapannya.

Dalam ucapannya, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan antara lain mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi perintah Allah sepanjang hidup di dunia ini.

Sebelum itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika berucap antara lain meminta orang ramai mengekalkan sokongan kepada PAS bagi membolehkan Kerajaan Pakatan Rakyat terus memerintah di negeri itu pada PRU Ke-13 akan datang.

Program yang dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar itu turut menampilkan beberapa penceramah lain dari PAS dan Pakatan Rakyat, dengan dimulai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Turut hadir dan menyampaikan ucapan termasuk Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR , Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali.

Manakala dari DAP, Pengerusi dan Timbalan pengerusi parti itu, Karpal Singh dan Tan Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong.

Ceramah pada malam tadi adalah kemuncak kepada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 yang diadakan di stadium tersebut bermula jam 8.00 pagi tadi.

Wacana Perdana:Pilihan Raya Adil & Bebas REALITI ATAU ILUSI.
















Iklan Premium Inside Iklan A Iklan D | Print | Konvensyen Pakatan Rakyat lambang kebersamaan PR

Semasa meninggalkan bandar Alor Star jam 10:30 malam saya memasang angan-angan untuk mengisikan blog dengan memberi ulasan khas kepasa konvensyen ke-3Pakatan Rakyat yang berlangsung di stadium tertutup Sultan Abdul Halim di Suka Menanti Alor Star.

Sapaan para penenguk kepada saya di sepanjang berada di konvensyen itu memberi semangat dan kekuatan kepada saya untuk berbuat demikian, menyegerakan ulasan dalam blog.

Walhal mana mungkin untuk mengisi blog pada jam 4:20 pagi sebaik setiba dari Alor Star? Tubuh sudah lunyai dan kaki sudah kejam berdenyut. Sementelahan saya tidak dikejar dengan apa-apa tuntutan yang memaksa berbuat begitu kerana berblog semuanya percuma.

Walaupun blog saya tidak perlu dibayar dan boleh dihayati dengan percuma, dan boleh juga di hentam dan maki hamun secara percuma oleh sesetengah individu, tetapi rasa tanggungjawab tetap berdiri dalam hati. Saya tetap menjadikan blog Merah Tinta sebagai blog awal menyiarkan laporan.

Pertanyaan dan semangat yang diberikan oleh para penjenguk khasnya penjenguk tegar menjadi saya bersalah kalau tidak mengisi blog atau menyegerakan membuat pengeposan apa-apa peristiwa atau pun membuat apa-apa ulasan berhadap sesuatu isu. Saya dapat mersakan betapa penjenguk begitu mengharap kepada laporan dan ternanti-nanti pandangan dari saya.

Setiap kali mengingati itulah kadang kala saya mengorbankan masa untuk tidur dan juga makan. Adakanya di meja kecil saya tersedia dua tiga gelas tea atau kopi yang sudah kesejutan disiapkan isteri tanpa sempat menjamahnya kerana keasyikan menulis. Benarlah keasyikan menyebabkan kita kepada dunia lain diluar tumpuan kita. Kalau asyik mengejar perempuan maka akan lupa kepada perjuangan!

Realiti ini jarang diketahui dan rakan-rakan atau penjenguk hanya akan bertanya masa mana MSO menulis. Mereka hanya tanya itu tetapi tidak cuba memahami kesulitan dan masalahnya. Sebab itu ada kalanya saya jadi bengkeng kepada mereka yang menegur atau mempersoalkan typo yang berlaku dalam catatan saya.

Atas harapan dan penanti penjenguk itu maka saya bertekad dan akan berbuat seperti biasa. Malangnya kadang kala kita ini selalu bersikap egois, tenaga kurang tetapi nafsu kuat. Sebaik sampai rumah belum tanggal baju dan seluar saya terus up-loadkan gambar dari kamera ke dalam laptop sebagai proses awal untuk melapor atau mencatatkan mengenai konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-3.

Selepas memerhati gambar yang diup-load tidak begitu menghairahkan tiba-tiba semangat menjadi kendur dan terpaksa membatalkan niat. Saya merasa bersalah kalau menghidang sesuatu yang tidak bermutu kepada penjenguk. Kalaulah ada kawan-kawan telah merakam gambar di konvensyen itu dan juga ceramah belah malamnya berhajat nak kongsi dengan saya bolehlah kirim kepada saya untuk digunakan.

Sesuatu hasil kerja yang kita lakukan akan menjadi pendorong kepada kita. Disebabkan gambar kurang menarik maka dorongan itu tidak ada, natijahnya laporan dan ulasan mengenai konvensyen itu tidak disegerakan. Mohon maaf kepada penyelek blog Merah Tinta yang kecewa kerana tidak dapat membaca catatan mengenai itu sesegeranya.

Berbalik kepada konvensyen di Alor Star semalam ia memberi beberapa keputusan yang dapat dirumuskan di sini. Apa yang saya nampak konvensyen berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan bukan saja menggalkan tetapi penuh keghairahan. Mungkin dari segi angka kehadirannya tidak begitu memberangsangkan, sekitar 3,000 itulah sebab ada media kroni dan PB melaporkan ia hambar dan tawar saja.

Kalau orang hanya melalui di hadapan stadium tertutup itu tidak akan dapat membilang angkanya yang sebenar atau merasa gelolak jiwa peserta yang hangat bertepok tangan. Dari luar ia tidak nampak berapa jumlah sebenarnya. Tetapi mengenai konvensyen itu bukan jumlah yang penting, tetapi yang mustahaknya konvensyen itu berjaya memberi satu resolusi terhadap masalah negara dan rakyat pada masa.

Kalau hendak melihat atau ukur berjaya atau tidak konvensyen itu dari segi jumlah kehadiran ialah pada ceramah perdana di sebelah malamnya -- saya akan ulas dan memberi pandangan saya secara berasingan selepas ini.

Konvensyen itu adalah majlis rasmi di mana pesertanya dijemput. Bukan semua orang boleh menghadirinya. Penyertaannya terbatas. Sebab itu peserta diminta mendaftarkan diri. Konvensyen itu bolehlah dianggap forum untuk membincang kesemua masalah rakyat untuk dicerkainkan dan diuruskan oleh kerajaan Pakatan Rakyat kelak.

Nilai atau pun keistimewaan lain di sebalik konvensyen itu komponen Pakatan Rakyat, Pas, PKR dan DAP duduk dalam satu majlis untuk memdengar ritihan, kehendak dan harapan rakyat dari semua aspek kehidupan. Konvensyen itu saya ruang mendapat input dan memberi input dari pemimpin kepada rakyat dan sebaliknya.

Dalam konvensyen ini parti-parti itu tidak bercakap hanya dalam lingkungan mereka saja, soal-soal kepentingan kaum, agama dan budaya tetapi membuka ruang untuk kepentingan semua sesuai dengan nilai kesejagatan hidup dan idealisme jihad Pakatan. Majlis seperti ini adalah memberi keyakinan kepada umum bahawa ketiga parti yang berbeza ideologi dan berbeza pendekatan sebelum ini sudah boleh duduk sekali dan sama-sama mengunyah masalah rakyat secara terbuka, telus dan beterus terang -- demi rakyat.

Sebenarnya persepakatan atau kejayaan Pakatan Rakyat mengadakan konvensyen itu sesuatu yang digerumi oleh UBN. Kalau sebelum ini mereka (UBN) mencanangkan Pakatan Rakyat sebagai kahwin mutaah, pakatan yang tidak terikat, gabung bersifat sementara atau pelbagai anologi buruk lagi namun dengan terlaksanakan konvensyen berkenaan menunjukkan ketiga parti itu mempunyai satu komitmen dan mereka dapat membuang sifat mementingkan diri sendiri.

Yang menarik pada setiap konvensyen kesemua pemimpin dan peserta yang terdiri dari tiga fraksi (Islami, Sosial, Demokrat) akan melafazkan ikrar, berjanji sesungguh hati dan semurni jiwa untuk bekerjasama demi rakyat. Ikrar ini saya sifatkan sebagai satu tali besar yang memberkaskan mereka (PR) dalam satu ikatan dibuat semata-mata demi rakyat dan negara. Ia lebih penting lagi apabila ikrar itu diterjemahkan dalam gerak kerja mereka dan menjadi bukti ia diterima rakyat apabila satu demi satu meruntuhkan kerajaan negeri pimpinan UBN.

Apa yang termasuk dalam ikrar itu dan ini saya kira adalah intipati besar bahawa Pakatan Rakyat berjanji dan berusaha untuk membina Malaysia Baru. Tampaknya semua para pemimpin, ahli dan penyokong PR bersetuju untuk meruntuh Malaysia lama ciptaan UBN dan membina Malaysia Baru yang lebih dituntut oleh rakyat.

Ciri-ciri Malaysia baru seperti mana disebut dalam ikrar itu ialah membina negara yang adil, demokratik serta menjujung beberapa prinsip asas yang dipersetujui bersama antaranya akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Dasar-Dasar Bersama Pakatan Rakyat, menumpukan sepnuhnya usaha dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Apa tercermin dalam ikrar itu Malaysia sebuah negara baru yang mengutamakan prinsip keadilan sosial, demokrarik dan berkebajikan.

Tidak dapat tidak dalam pemerhatian saya konvensyen itu ada kecatatan dan kekurangan tetapi soal titik bengkit itu tidaklah mengagalkan tujuan konvensyen itu diadakan. Ia boleh diperkemaskan di masakan datang biarlah bersesuaian dengan proses kematangannya.

Sekalung tahniah dan syabas diucapakan kepada Pengarah Konveysen Mahfuz Omar nampaknya beliau berjaya memikul tanggungjawab itu dan sekaligus menunjukkan kemampuannya untuk membantu atau memangku tugas itu yang seharusnya dipikul oleh MB Kedah Azizan Razak.

Tawaran Jingga Pakatan Rakyat – ‘Bersihkan Malaysia’

Di ambang pilihanraya umum ke-13 (PRU 13), negara kembali berdepan dengan pelbagai kemelut dan suasana krisis hasil langsung dari urus-tadbir dan tata-kelola sebuah pemerintahan yang tempang. Sebuah kerajaan yang tidak benar-benar komited untuk mensejahterakan rakyat seluruhnya bahkan meletakkan keutamaannya untuk membela suku-sakat kroni dan membolot kekayaan negara untuk segelintir kelompok penguasa, lazimnya akan berakhir dengan kehidupan rakyat yang serba terhempit dan ternafi dari mengecapi kekayaan dan kemakmuran negara.

Justeru, jurang antara kaya-miskin tampak semakin melebar, kesenjangan pembangunan antara bandar-desa, antara pantai Barat Semenanjung dan negeri pantai Timur-Utara, serta Sabah-Sarawak semakin ketara. Begitu juga hal hutang negara, khasnya hutang awam (Kerajaan Persekutuan) terus membengkak, daya-saing terus menjunam, ‘brain-drain’ tidak mampu disekat, ketirisan akibat rasuah dan salahguna kuasa dalam sistem ‘delivery’ berulang setiap tahun dan ekonomi terdedah kepada ancaman kebankrapan hasil pengurusan dan defisit fiskal yang tidak mematuhi tuntutan amalan terbaik-best practice- dan prinsip tata-kelola kewangan pruden.

Lebih parah lagi kerana krisis ini bukan sahaja menyinggung aspek ekonomi dan kewangan akan tetapi melingkungi seluruh dimensi kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Kebrentakan ini terpapar jelas dengan pelbagai pola-pola persengkataan yang semakin tajam dan mendalam, di segi pertentangan ras-perkauman, tuntutan kelompok pendukung agama secara sempit dan kelompangan atau ‘lacuna’ bidang kuasa legal dan perundangan yang  kerap disemarakkan api kefanatikan dan kejumudan politik perkauman.

Sementara itu fungsi institusi-institusi kritikal terus terkorban dari berperanan menjadi penyemak-imbang utama yang berkesan kerana terlalu tunduk dan dibelenggui penguasa Eksekutif yang angkuh dan rakus memusatkan dan merampas bidang wewenangan kuasa cabang Judisiari dan Legislatif yang terus dimandulkan.

Tegasnya seteru politik kita, Umno-BN telah merosakkan dan menodai institusi-institusi kritikal negara –“An Assault on the Nation” yang sekaligus telah menatijahkan “Kereputan Sistem” atau “Systemic Rot” secara menyeluruh.

Suasana ini cukup ngeri dan amat menakutkan, andainya ia berterusan kerana pastinya bakal menggagalkan usaha gigih pelbagai pihak untuk mendayakan negara supaya mampu bersaing dalam arus persaingan global dan serantau yang semakin sengit sekaligus mengancam kesinambungan negara sebagai yang bermaruah, berdaulat  dan punya daya-juang dan daya saing yang tinggi.

Berdepan dengan lingkaran krisis yang tidak berhujung ini dan setelah menekuni serta mengenalpasti punca-sebab gejala kebrentakan ini, maka Pakatan Rakyat tampil dengan satu ‘Tawaran Jingga’ untuk mengundang seluruh rakyat dan pemilik penting-‘critical stakeholders’ negara ini, agar turut bersama-sama dalam satu gagasan “Membersihkan Malaysia” dari pelbagai kekotoran pengurusan pemerintahan Umno-BN supaya akhirnya kemakmuran dan sumber kekayaan negara mampu dikecapi, dinikmati dan dikongsi bersama oleh seluruh rakyat di negara bertuah ini.

Inilah ertinya ‘Merakyatkan Kemakmuran Untuk Semua” dalam satu permufakatan mulia, perkongsian murni dan persefahaman mendalam tuntutan kepelbagaian agama dan budaya agar mampu menghayati sunggguh-sungguh slogan - “Sharing The Nation” – “Bersama Mengecapi Kemakmuran Negara” .
Tawaran Jingga – Huraian Pendekatan

Sesungguhnya, pembentangan ‘Tawaran Jingga’ ini hanyalah satu prelude kepada ‘Tawaran Manifesto’ Pakatan Rakyat. Tawaran Jingga ini sekadar menerangkan perbezaan pendekatan Pakatan Rakyat berbanding Umno-Barisan Nasional.

Pendekatan pihak lawan yang bersifat menampilkan ungkapan pelbagai akronim ajaib yang sebenarnya mengusutkan fikiran bermula dengan NKRA, NKEA, PTK (GTP), SRI, NEM (MEB), ETP, EPP dan panjang lagi kalau dimasukkan agensi-agensi pelaksananya  MAMPU, Pemandu, Pemudah, kini TERAJU yang kesemuanya boleh dibawa kepada satu lagi yakni ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) ketika sakit dan nazak.

Saya yakin keseluruhan akronim ini dan tindih-tindannya tidak difahami sendiri oleh ramai menteri termasuk YAB PM, kecuali dua menteri pintu belakang (senator) di Jabatan Perdana Menteri itu..yang sentiasa bersedia memberi kuliah yang panjang ketika ditanya sikit oleh Ahli-Ahli Parlimen Pakatan (dan juga BN) di Dewan Rakyat. Inilah dia Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang sangat dihajati oleh PM Najib.
Sesungguhnya tidak akan dapat dilakukan Transformasi kecuali dirancang, dilaksana dan diurus program ‘Reformasi Menyeluruh’ dalam menangani ‘kereputan sistem’ yang dirobek dan dinodai regim Umno-Barisan Nasional.

Tawaran Jingga kami pula merumuskan pendekatan “Political Economy”[1] atau pendekatan yang benar-benar mencerakinkan kembali kebijakan disiplin ekonomi ini dalam menggarap tuntutan Politik.
Ia adalah disiplin atau bidang ekonomi yang membicarakan bagaimana “keputusan politik mempengaruhi bidang ekonomi atau economic outcomes” atau dengan kata lain mudahnya  “Perubahan Ekonomi atau ‘Economic Changes’ hanya akan dapat dipacu dan direalisasikan dengan bersekali dilakukan oleh sesebuah kerajaan akan ‘Reformasi Politik’. Sebaliknya pula bagaimana cita-cita “Transformasi Ekonomi” akan gagal dihambat oleh “Kekangan Realiti Politik” sperti yang jelas berlaku dalam pemerintahan Umno-BN.
Ini jelas apa yang telah berlaku dalam pendekatan BN yang masih terus tercari-cari pendekatan yang konsisten. Sebab itu Najib selalu berbolak-balik atau flip-flopping atau ‘zigg-zaging’. Najib hampir dinobatkan sebagai the “Father of Flip-Floppers” justeru kerana sikapnya yang kerap tidak tetap. Terlalu banyak contoh yang boleh dibariskan termasuk hal urusan ekonomi seperti EOC dalam MEB (NEM) atau menangani BERSIH 2.0 dan banyak lagi.

Sebab itu dalam NKRA dan PTK (GTP), Najib tidak langsung memberikan kepentingan kepada asepk reformasi politik. Bila baru celik kepentingan Reformasi Politik dan Perlembagaan? Bila digempur dek BERSIH2.0! Hanya selepas 709 BERSIH2.0, Najib terhegeh-hegeh bercakap tentang menangani tuntutan Politik Baru dan membatalkan 3 Ordinan Dharurat (1966, 1969 & 1977), membatalkan Akta Hukuman Buang Daerah 1959; dan mula bercakap tentang memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Tembelang Najib terdedah apabila cakap-cakap menteri JPM mendahului beliau apabila mereka menyebut tentang mengantikan ISA yang dua-kali lima juga akalu tidak lebih drakormian lagi.

Maka sebagai pendekatan Pakatan Rakyat, kami cenderung untuk mengambil pendekatan ini yang mengiktiraf bahawa masalah ekonomi akan hanya dapat digarap bersekali dengan reformasi politik. Seteru politik kita pada asalnya tidak mahu mengiktiraf ini. Hanya mutakhir setelah serik kita berpekik baharulah mereka faham.

Tegasnya ‘Tawaran Jingga’ adalah penyelesaian krisis negara secara bersepadu dan menyeluruh. Tawaran Jingga[2] adalah perumusan penyelesaian komprehensif bagi menangani segala krisis yang juga sifatnya ‘menyeluruh dan sempurna’ bukan sahaja dari aspek kebobrokan pengurusan fiskal dan ekonomi.
Sebab itu kebobrokan rasuah, salahguna kuasa dan segala kebejatan penguasa dan elit bisnes yang rakus mesti ditangani dengan reformasi politik, perundangan serta keinsafan moral dan agama. Umno- BN tidak faham atau buat-buat tidak faham. Sebab itu kebejatan rasuah dan salah guna kuasa kini dilambang dengan NFC-Lembu dalam Kondo persis membayangkan kegagalan Transformasi Kerajaan Najib!

Tawaran Jingga kami berkisar di sekitar mencapai Dasar-Dasar Bersama:
  1. Demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat (Reformasi Politik)
  2. Memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil (Reformasi Ekonomi)
  3. Keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh (Reformasi Sosial)
  4. Hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara (Government-Governance-Federalisme).
Sebagai prelude kepada Manifesto Pakatan Rakyat, Tawaran Jingga telah cuba mengingatkan semua bahawa pendekatan kami bukan sahaja menambahbaik kerosakan dan kepincangan yang telah dilakukan oleh regim yang lalu.

Tawaran Jingga bakal didedahkan dari masa ke semasa yang akan memuatkan rencana dasar, polisi dan kebijakan untuk membawa keluar bangsa dan negara dari kemelut yang semakin meruncing ini. Dalam Konvensyen ini, beberapa perkongsian awal tentang i. Dasar FELDA Pakatan Rakyat, ii. Dasar Anti-Monopoli Pakatan Rakyat iii. Dasar Pengukuhan Federalism Pakatan Rakyat iv.Dasar Memperkasakan Perkhidmatan Awam Pakatan Rakyat

Oleh kerana tarikh PRU ke-13 masih sukar diramalkan oleh pundit politik, maka Manifesto Pakatan juga perlu dirahsiakan sehingga ke satu tarikh yang ditentukan kemudian.

Kami bersedia mendengar maklum-balas dari semua pihak agar perumusan penyelesaian kami dalam Tawaran Jingga dan Manifesto PR nanti akan menjadi lebih mentap dan padu lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Jingga Pakatan Rakyat.
Konvensyen Pakatan Rakyat kali-3.
Alor Star, Kedah.
14 hb Januari 2012.

[1] ‘Political Economy’ bukanlah bidang baru bahkan hampir sama usia dengan bidang ekonomi itu sendiri. Adalah diakui bahawa penulisan ‘seminal-agung’ Adam Smith – Wealth of Nation (1776) itu sendiri adalah bicara “Political Economy” begitu juga penulisan John Stuart Mill – Principles of Political Economy (1848).
[2] Tawaran ‘Negara Berkebajikan’ PAS memulakan paksi penyelesaian dengan premis peranan sebagai “Amanah kepada Tuhan sebagai Khalifah Allah di muka bumi dan menganggap segala perbuatan rasuah, salahguna kuasa dan ketirisan adalah perlakuan dosa terhadap Allah dan kerosakan (Al-Khusraan) yang dilakuan oleh Penguasa yang rakus sebagai perbuatan fasiq dan khianat terhadap Amanah Allah dan Mandat Rakyat.
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates