Undi Melayu beralih pada Pakatan jika media bebas

TEMERLOH, 26 Feb: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, perubahan undi Melayu kepada Pakatan Rakyat khasnya PAS hanya akan berlaku apabila orang Melayu mendapat maklumat yang tepat daripada media yang bebas.
Beliau berkata, malangnya hari ini media berbahasa Melayu tidak mendidik masyarakat Melayu mendapat maklumat yang seimbang dan bebas.
Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian semasa ditemui wartawan di Pusat Penamaan Calon bagi Pilihan raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh, di sini sebentar tadi.
Presiden PAS itu seterusnya menambah, media arus perdana berbahasa Melayu terus menjadi alat kepada Umno BN untuk memperbodohkan masyarakat Melayu agar terus menyokong Umno BN.
Disebabkan tiada maklumat yang tepat, katanya masyarakat Melayu masih terus menyokong Umno BN.
“Berbeza dengan media berbahasa Cina, mereka mendidik rakyatnya untuk bijak menilai. Media berbahasa Melayu pula masih tertutup, tidak bebas dan diperalat Umno BN untuk kekal berkuasa,” katanya.
Dalam masa yang sama, sokongan bukan Melayu kepada PAS terutamanya kaum Cina hari ini semakin meningkat, ujarnya lagi.
Beliau menuntut agar media di negara ini khasnya berbahasa Melayu bebas dan tidak lagi diperalatkan untuk kepentingan politik Umno BN.
Dalam pada itu, beliau turut menuntut Umno BN tidak terus memperalatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengekalkan kuasa.
SPR seharusnya menjadi sebuah badan yang bebas yang melayan pelanggannya (parti-parti politik yang menyertai pilihan raya) dengan telus dan adil, katanya.
 Beliau menambah, jika SPR sendiri berpihak, dan media pula menjadi semakin tidak bebas, proses demokrasi di negara ini akan semakin tempang.
Turut bersama semasa menunggu proses penyerahan borang pencalonan tadi ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Balasubramaniam.

Satu lawan satu BN-PAS di Merlimau, Kerdau

Sekitar proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil dun Merlimau, Melaka dan dun Kerdau, Pahang.

11.45 am: MERLIMAU - Yuhaizad dalam sidang media selepas selesai pengumuman oleh SPR berkata, beliau bersedia untuk berkhidmat untuk rakyat dan yakin dapat memenangi Dun berkenaan.

"Saya tak janjikan apa-apa sebab saya bukan kerajaan tapi saya bersedia untuk menyumbang dan bagi PAS, rakyat sentiasa di hati kami," katanya.




11.38 am: MERLIMAU - Pegawai pengurus pilihan raya Roslan Eusoff mengumumkan menerima dua borang pencalonan masing-masing dari PAS dan BN.

Terdapat tiga bantahan terhadap borang pencalonan BN namun semuanya ditolak.

Oleh itu SPR mengumumkan satu lawan satu di Merlimau. PAS diwakili Yuhaizad Abdullah manakala BN diwakili Roslan Ahmad.
11.30 am: KERDAU - Pegawai pengurus pilihan raya memaklumkan dua calon yang sah bertanding, Syed Ibrahim Syed (BN) dan Hassanuddin Salim (PAS).

11.00 am: MERLIMAU - Pegawai pengurus pilihan raya Roslan Yusuf mengumumkan tempoh bantahan bagi borang pencalonan tamat.

10.42 am: MERLIMAU - Penyokong PAS dan Pakatan Rakyat masih setia berkumpul di hadapan sekatan polis di luar bangunan pusat penamaan calon sambil berselawat dan bertakbir.

Manakala penyokong Umno Barisan Nasional pula semakin berkurangan kerana ada yang telah beransur meninggalkan kawasan berkumpul menjadikan mereka sekitar lebih 100 orang sahaja.

10.30 am: MERLIMAU - Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, PAS bertanding di Dun Merlimau untuk menang meskipun mengakui kawasan berkenaan kubu kuat Umno BN.

"Di Merlimau kita akui persaingan sangat sengit tapi tak patahkan semangat PAS untuk bertanding," katanya.

Beliau berkata, PAS meletakkan Yuhaizad sebagai calon kerana yakin dengan pengaruhnya terhadap masyarakat setempat memandangkan beliau seorang anak tempatan.


10.10 am: MERLIMAU - Borang pencalonan dipaparkan oleh SPR di papan kenyataan. Borang pencalonan pertama dari calon PAS, Yuhaizad Abdullah.

10.00 am: KERDAU - Pegawai pengurus pilihan raya, Datuk Tarif Abdul Rahman mengumumkan tempoh penyerahan borang tamat dan masa bantahan dibuka sehingga jam 11 pagi.
9.40 am: MERLIMAU - Suasana di luar pusat penamaan gamat dengan suara para penyokong kedua-dua belah pihak yang berbalas sorakan.
Penyokong Pakatan Rakyat turut membawa sepanduk dalam pelbagai bahasa yang menyatakan sokongan terhadap calon PAS yang akan mewakili Pakatan Rakyat.
9.15 am: MERLIMAU - Di luar Politeknik Merlimau, ribuan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat tidak berganjak.

Mereka berkumpul di hadapan sekatan polis sambil berselawat, bertakbir, melaungkan slogan 'Hidup Islam, Hancur kezaliman' berselang seli.
Turut kedengaran laungan 'Reformasi'. Sehingga kini keadaan terkawal dan tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

9.15 am:
 MERLIMAU - Lebih kurang 2 ribu penyokong PR menyertai perarakan.

9.06 am: KERDAU - Calon PAS, Hassanuddin Salim menyerahkan borang pencalonan.

9.00 am:
 MERLIMAU - Pegawai pengurus pilihan raya Dun Merlimau mengumumkan masa untuk menyerahkan borang pencalonan dibuka.

8.49 am: MERLIMAU - Perarakan calon telah tiba di pusat penamaan calon.

Turut mengiringi calon adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman dan isteri calon.

8.35 am:
 MERLIMAU - Calon PAS, Yuhaizad Abdullah tiba di tempat berhimpun dan perarakan bermula. Calon PAS diapit Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Perarakan diiringi laungan selawat dan keadaan terkawal.

8.30 am: 
KERDAU - Tiba di pintu masuk tempat penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh.
8.25 am: MERLIMAU - Bob Lokman turut menyertai perarakan hari ini.

8.15 am: KERDAU - Perarakan dimulakan.
8.13 am: MERLIMAU - Pimpinan PR dan calon PAS serta penyokong sudah mula berkumpul di Padang Sime Darby Merlimau Utara sebelum memulakan perarakan.

Antara pimpinan PR yang hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, Pengarah Pilihan Raya Kecil Dun Merlimau, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ibrahim, Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mat Akin.
8.08 am: KERDAU - Bacaan doa oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh.
8.00 am: KERDAU - Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi tiba di tempat permulaan perarakan.

Gambar (MERLIMAU): Pimpinan dan penyokong mula berhimpun

7.57 am: MERLIMAU -
 Pihak polis semakin memperketatkan sekatan jalan di persekitaran jalan Masjid Asy-Syuja'ah, tempat laluan utama perarakan calon ke pusat penamaan calon di Politeknik Merlimau.
7.34 am: MERLIMAU - Suasana di persekitaran Masjid Asy-Syuja'ah, tempat laluan perarakan calon mula sibuk.
6.30 am: KERDAU - Para penyokong PR mula di tempat perakan dimulakan.
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates