Judi bola: Umno bawa negara mundur ke belakang


Langkah pihak kerajaan ingin memperkenalkan lesen judi sukan dalam negara kita pada masa sekarang ini adalah satu tindakan yang jauh menyimpang dari ajaran Islam dan tatacara kehidupan yang diterima dalam masyarakat Malaysia pada waktu ini.

Ianya menggambarkan bahawa kerajaan pimpinan Umno-BN yang ada pada waktu sekarang ini telah bankrap idea dan sedang membawa negara mundur ke belakang ke arah yang lebih jauh dari ajaran Islam.

Inilah yang dirancang oleh penjajah dan Umno yang menjadi tulang belakang kerajaan yang ada di waktu ini telah membawa semakin banyak perkara-perkara negatif selepas negara mencapai kemerdekaan, malah lebih banyak dari yang dilaksanakan oleh penjajah itu sendiri.

Hasilnya wajah Islam yang cuba dibawa oleh Umno dengan mendirikan masjid, pusat islam dan aktiviti keagamaan ini menjadi topeng dan tempelan kosmetik sahaja, dan dalam masa yang sama mereka merobek Islam dari belakang. Akibatnya Umno juga telah menunjukkan satu wajah yang sangat salah dengan hakikat tasawwur ajaran Islam yang sebenar.

Maka sudah tiba masanya bagi orang melayu beragama Islam untuk memahami bahawa di sana terdapat perbezaan di antara Islam dengan bangsa. Islam adalah agama untuk seluruh manusia tanpa mengira bangsa dan kaum.

Dalam hal ini kita telah mendapat respon yang sangat baik dari kalangan orang bukan Islam, malah kita juga telah berjaya menarik sokongan rakan-rakan dari DAP dan PKR yang bukan Islam untuk menyokong bagi mengharamkan judi. Inilah kejayaan satu anjakan paradigma dalam aspek dakwah apabila kita memberi kefahaman kepada orang bukan Islam untuk menerima apa yang diharamkan oleh Islam.

PAS menyeru kepada penyokong-penyokong Umno yang cintakan agama untuk membuat muhasabah terhadap diri mereka supaya melaksanakan perubahan secara ilmu dan mengkaji kefahaman Islam yang betul melalui sumber-sumber Islam dan bukan melalui media-media yang memberikan maklumat yang salah yang terus menerus menjahilkan mereka dari ajaran Islam.

Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS

Judi bola: Pemuda PAS cabar Perkasa debat terbuka

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mencabar Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berdebat secara terbuka mengenai isu lesen judi bola sepak Piala Dunia 2010 yang diluluskan oleh Kerajaan Umno BN.

Ketuanya, Nasrudin Hassan (gambar) berkata, tajuk yang dicadangkan ialah ‘Kemungkaran Judi Bertambah Dalam Negara: Tanggungjawab Siapa?’.

Beliau berkata, DPPP bersiap sedia untuk berdebat dengan Perkasa dan menyerahkan kepada mereka untuk menentukan tempat dan tarikh asalkan tidak melibatkan tarikh muktamar PAS pada Jun ini.

"Saya cabar Perkasa untuk mengatur satu sesi debat perdana secara terbuka antara Perkasa dengan Dewan Pemuda PAS.

"DPPP bersedia di stadium mana, padang atau dewan mana. Tarikh, DPPP serahkan kepada Perkasa asalkan jangan jatuh pada hari PAS melangsungkan muktamar tahunannya pada 9 hingga 13 Jun ini," katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Harakahdaily.

Perkasa yang dipengerusikan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali sebelum ini mencabar DPPP mendesak Pakatan Rakyat menghapuskan lesen judi di negeri yang ditadbirnya.

Bagaimanapun, DPPP berkata, soal pemberian dan kelulusan lesen judi adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Pusat menerusi Kementerian Kewangan.

DPPP, ujarnya terus konsisten membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak Piala Dunia yang akan bermula Jun ini.

Sehubungan itu, DPPP akan mengadakan himpunan besar-besaran bagi membantah tindakan itu.

Satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong juga akan diserahkan pada himpunan tersebut.

Jumaat lepas, DPP setiap negeri mengadakan bantahan di negeri masing-masing selepas solat Jumaat sebagai protes terhadap kerajaan yang meluluskan judi bola sepak itu.
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates