Hasan, Nasha dan Saari dipanggil beri penjelasan

KUALALUMPUR, 22 Dis: PAS hari ini memutuskan untuk memanggil bekas Pesuruhjaya Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip untuk memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit mutakhir ini yang dilihat membazir masa parti.

“Penjelasan ini mesti dilakukan, supaya parti tidak lagi perlu membazir masa melayan pertikaian yang timbul akibat kecil hati terhadap sesuatu kesilapan yang kecil, ego berlebihan dan keengganan sesetengah pihak menerima keputusan parti dan jamaah,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

Melihat situasi pilihanraya umum yang semakin hampir, PAS kata Tuan Ibrahim tidak akan bertolak ansur dalam sebarang sabotaj sama ada dari dalam mahupun luar yang mengganggu persiapan akhir parti.

“Semua ahli mesti memainkan peranan sebagai team player untuk memastikan jamaah bergerak dalam keadaan baik dan harmoni.

Seluruh tumpuan kerja mesti difokus kepada persiapan akhir ini daripada melayan karenah-karenah segelintir pemimpin yang ada berbeza pandangan terhadap dasar parti yang dijamin arahnya oleh Majlis Syura,” tegas Pesuruhjaya PAS Pahang itu dipercayai membalas kenyataan Hasan yang mempertikai dasar-dasar parti yang diputuskan muktamar dan Majlis Syura.

Menggunakan media lawan milik Umno, Utusan Malaysia, Hasan, yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat mempertikaikan dasar "Membangun Negara Berkebajikan" yang menjadi tema PAS sekarang ini.

Bagi Hasan, PAS sepatutnya kekal dengan dasar negara Islam yang telah menjadi perjuangan asal PAS.
Membalas hujah Hasan, Tuan Ibrahim menerangkan bahawa PAS ialah sebuah parti jamaah yang berdemokrasi, segala keputusan bukanlah keputusan individu tapi keputusan jamaah.

“Apabila keputusan telah dibuat, dan Majlis Syura telah mengesahkan bahawa keputusan tersebut selari dengan dasar Islam, setiap ahli PAS perlu bergerak pada arah yang sama untuk membawa parti mencapai matlamat yang disasarkan dan memenangkan Islam,” tegas beliau.

Dalam kenyataannya itu, Tuan Ibrahim turut mengingatkan ahli-ahli PAS kepada ungkapan ‘apa yang ada ialah hari ini, yang lepas tidak akan datang kembali, yang depan tidak menentu lagi.

“Oleh itu, pendamkan dendam, buangkan kekecilan hati, ketepikan kepentingan individu  dan kembalikan fokus dan bergerak ke depan untuk memenangkan parti,” nasihat beliau.

‘Tiada niat sebesar zarah untuk sertai Umno’

KUALA LUMPUR, 21 Dis: “Saya tegaskan di sini bahawa saya adalah adalah ahli PAS, dan perjuangan saya kekal bersama PAS untuk menjunjung risalah Islam menyumbang kepada ummah dalam apa juga keadaan,” tegas AJK PAS Pusat, Nasharudin Mat Isa (gambar).

“Berikutan beberapa dakwaan, tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan secara langsung oleh beberapa pihak terhadap saya sejak kebelakangan ini menerusi media massa, blog dan laman sosial seperti Facebook dan Twitter, saya berasa perlu untuk mengeluarkan kenyataan media ringkas sebagai penjelasan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, sebagai seorang yang terdidik dalam dua dunia dan latar belakang berbeza iaitu bukan agama dan kemudiannya berpindah kepada pengajian Syari’ah dan Perbandingan Undang-Undang, beliau menyedari sepenuhnya bahawa pembabitan langsung di pentas politik nasional pasti mengundang seribu satu macam cabaran dan dugaan.

Katanya, dalam dunia dakwah, kita dididik dengan hakikat bahawa laluan dakwah ini tidak dibentang dengan hamparan permaidani merah, jauh sekali untuk sentiasa direnjis dengan wangian bunga.

“Saya akur sepenuhnya dengan Tariqud-Dakwah (Jalan Dakwah) yang saya lalui ketika ini telah lebih awal disusuri oleh para anbiya’, sahabat dan ulamak terdahulu daripada kami yang memilih PAS sebagai pentas perjuangan  politik dalam konteks sistem demokrasi berparlimen sedia ada di Malaysia,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Bachok.

Justeru, jelas Nasharudin lagi, dakwaan kononnya beliau ‘terperangkap dalam agenda permainan musuh politik PAS iaitu Umno’ adalah sesuatu yang terlalu jauh menyimpang daripada kebenaran dan langsung tidak berasas.

Menurutnya, sepanjang pembabitannya dalam PAS yang saya terima sebagai wadah menyampaikan suara Islam kepada umat di Malaysia, belum pernah beliau ungkapkan bahawa akan menyertai Umno.

Justeru, ujarnya buat kesekian kalinya beliau menegaskan bahawa tidak mempunyai niat sebesar zarah sekalipun untuk menyertai Umno.

“Janganlah gunakan alasan mudah seperti ini untuk menyimpulkan tindakan, pandangan atau perhitungan politik saya pada ketika kita mengharung gelombang percaturan politik yang jauh lebih mencabar.

“Saya harap penjelasan ringkas ini memadai dalam mengukur kesetiaan saya terhadap perjuangan PAS,” jelasnya lagi.
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates