Persahabatan : Nilai Keizzahan



Persahabatan : Nilai Keizzahan Perjuangan

Tiada yang lebih indah berbanding sebuah persahabatan yang diikat kukuh dengan nilai ukhuwwah Fillah pula bersulam rasa kasih dan cinta kerana Allah swt.

Persahabatan inilah menjalin tenaga dan menguatkan saf perjuangan dari ancaman pelbagai anasir yang merosakkan amal jamaei dan thiqah berjamaah .

Sendi utama persahabatan ini ialah ghayah dan hadaf yang bersatu di atas prinsip amal Islami biarpun mungkin berbeza approach dalam melaksana atau merealisasikannya .

Jamaah menjadi ceria dan anggotanya gembira apabila orientasi organisasinya berlandaskan nilai persahabatan yang menepati piawaian yang dikehendaki oleh sebuah Gerakan Islam .

Sebaliknya mendung akan mengiringi sepanjang sessi atau musim andai jamaah kehilangan nilai persahabatan ini . Tentu sahaja krisis serta konflik mudah tercetus dan paling tidak " perang dingin " sesama anggota akan wujud apabila makna sebuah persahabatan tercalar atau dibiarkan tercemar dek pelbagai virus negatif yang menular dikalangan anggota .

Justeru itulah , persahabatan menjadi modul asas bagi sebuah gerakan Islam di bumi mana pun ia beroperasi . Pelbagai mekanisma dicipta untuk melahirkan erti persahabatan yang utuh dikalangan anggota jamaah . Tamrin , mukhayyam , usrah dan liqa' fikri antara aktiviti tradisi yang diwarisi oleh jamaah sejak berzaman untuk mengekalkan tahap persahabatan yang utuh demi mewujudkan jamaah yang perkasa .

Kita juga biasa dengan istilah dengar dan taat , baiah , wala' , ukhuwwah , thiqah , husnu zon dan sebagainya dalam pelbagai medium pengisian dalaman ke arah pemantapan komitmen ahli dengan amal jamaei . Segala istilah itu juga merupakan tradisi soleh yang kita warisi dari generasi sebelumnya guna mengukuhkan persahabatan antara anggota jamaah dan memastikan perjuangan yang kita dokong ini terus kuat dan gagah meredah cabaran serta menyerap tekanan .

Implikasi mudah bagi Perjuangan tanpa Persahabatan

Sebagaimana saya sebutkan tadi , saya juga percaya semua anggota memahami betapa jamaah yang gersang dari nilai dan erti persahabatan yang dikehendaki oleh Islam ini akan mendorong berlakunya kepincangan dalam pelbagai organ parti . Antaranya :

1. Keputusan yang kedua akan dibuat atas keputusan pertama yang telah di binding oleh mesyuarat yang sah .

2. Wujudnya sub meeting . Mesyuarat dalam mesyuarat atau mesyuarat lepas mesyuarat malah lebih malang mesyuarat "kedua" atau mesyuarat di "luar" itu dibina atas dasar tidak puas hati dan tidak percaya kepada pimpinan dan sebahagian anggota mesyuarat yang lain .

3. Saling curiga mencurigai antara satu sama lain dalam apa jua penampilan dan aktiviti . Lalu mewujudkan suasana suram dan resah dikalangan pendokong jamaah . Salin tidak mempercayai .

4. Hilang wala' atau pudar ketaatan kepada pucuk pimpinan malah lebih parah apabila lahirnya kecenderungan untuk mentaati dan mempercayai pihak lain yang berada di luar jamaah .

5. Tikam belakang ! Cantas karier ! Bocor rahsia dan menjatuhkan imej akan menjadi saraf yang digerakkan sesama sendiri demi survival karier politik kononnya demi jamaah .

6. Multi jamaah dengan maksud boleh sahaja menyertai mana - mana jamaah kerana wala' tidak wajib kepada pimpinan jamaah kecuali hanyalah kepada Allah dan Rasul sahaja . Begitu juga baiah tidak ada untuk pimpinan jamaah sebaliknya baiah hanya untuk khalifah .

7. Pergeseran yang mudah mencederakan perasaan terhasil dari persaingan yang tidak sihat sesama sendiri .

8. Wujud team yang saling bertembung antara satu sama lain dan kemudiannya berlaku tajrih yang tidak wajar sesama anggota jamaah .

9. Berlepas harap dan tidak memberi komitmen yang baik terhadap aktiviti yang diamanahkan malah mudah merajuk serta kecewa kerana tidak berpuas hati dalam pembahagian tanggungjawab kepada anggota . Ianya adalah kesan dari rasa cemburu antara satu sama lain .

10. Mementingkan diri sendiri dan tidak peduli apa yang dialami oleh anggota yang lain biar pun ia satu keperluan yang mendesak . Terkadang jelas dapat dilihat sorotan matanya seperti memandang musuh kepada saudara sejamaah apa lagi ucapan terkadang berbau nista sesama sendiri . Jelasnya mudah berlaku perselisihan faham .

Bagaimana Mengukuhkan Persahabatan .

Persahabatan dapat di bina dan diperkukuhkan melalui aktiviti tradisi warisan generasi terdahulu dengan kepelbagaian pendekatan sesuai di era ini .

Semua anggota janganlah bersifat atau bersikap "kalis Tarbiyah" , khasnya pimpinan biarpun setinggi mana ia menjawat jawatan dalam jamaah . Semua peringkat jamaah mesti sedia kembali ke medan tarbiyah justeru ia suatu yang hidup dan senantiasa memerlukan persegaran merentas zaman .

Beri keutamaan kepada pemantapan wala' , syura , baiah ,taat dan semua prinsip amal Jamaei agar akhlak berjamaah dapat dipupuk .

Persinggahan Seorang Perjuang Islam Di Majlis Usrah Pemuda PAS Dun Temangan


Al Fadhil Ketua Pemuda PAS Machang
(Ust Hatman b. Abdullah)


Antara Ahli Usrah Yang Hadir....


Diri Ini Bersama Sahabat Usrah .....


Sahabat Dan Rakan Seperjuangan....


Bersama Al Fadhil Ketua Pemuda PAS Kawasan Machang
Menjamu Selera Yang Ada.....

5 Starategik Kemenangan Kita



Kemenangan yang diburu tidak mudah untuk dicapai , namun kita tidak boleh putus asa . Kerja kuat dan gigih berusaha adalah ikhtiar yang dituntut sebelum kemenangan dikurniakan oleh Allah swt .

Sebegai sebuah Gerakan Islam , sekurang - kurangnya kita mempunyai 5 strategi utama untuk memastikan kemenangan kekal menjadi milik kita .

1. Taqwa. [ taat ]

Saidina Umar al Khattab Rha pernah mengutuskan surat wasiat kepada Komander Tentera Islam di Iraq iaitu Saad bin Abi Waqqas Rha :

( فإني آمرك ومن معك من الأجناد، بتقوى الله على كل حال، فإن تقوى الله أفضل العدة مع العدو، وأقوى المكيدة في الحرب، وآمرك ومن معك أن تكونوا أشد احتراساً من المعاصي منكم من عدوكم، فإن ذنوب الجيش أخوف عليهم من عدوهم، وإنما ينصر المسلمون بمعصية عدوهم لله، ولولا ذلك لم تكن لنا بهم قوة، لأن عددنا ليس كعددهم، ولا عدتنا كعدتهم فإن استوينا في المعصية كان لهم الفضل علينا في القوة

Sesungguhnya aku memerintahkan engkau dan seluruh tentera yang bersamamu agar bertaqwa kepada Allah swt dalam apa jua keadaan . Sesungguhnya Taqwa adalah sebaik - baik persediaan dan strategi yang paling kuat di dalam peperangan .

Aku perintahkan engkau dan siapa jua yang bersamamu bahawa kamu mestilah benar - benar berwaspada daripada maksiat yang tercetus dikalangan kamu jua dari musuh - musuh kamu . Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh tentera lebih ditakuti ke atas mereka berbanding musuh - musuh mereka .

Sesungguhnya orang - orang Islam diberi kemenangan dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka kepada Allah swt . Jika tidak demikian , tidaklah kita memiliki kekuatan untuk mengatasi mereka . Kerana bilangan kita tidaklah sama berbanding jumlah bilangan mereka dan persediaan material kita jua tidak lah sama berbanding persediaan material yang mereka miliki .

Andai kita juga turut melakukan maksiat sebagaimana mereka melakukan maksiat nescaya mereka lebih kuat dan hebat daripada kita .

Saidina Umar al Khattab .

Berasaskan wasiat Saidina Umar al farouk , petugas parti mestilah memberi perhatian serius agar tiada dikalangan kita terjebak atau terjerumus dalam kancah maksiat dan mungkar . Sebaliknya bertaqwa kepada Allah swt . Melaksanakan apa yang diperintah dan tinggalkan apa yang dilarang oleh Allah swt .

Maksiat dan mungkar menjadi penghalang utama kemenangan dan kalaupun menang , kita bimbang ia hanyalah kemenangan yang rapuh dan menjadi istidraj [ pemberian -kemenangan - yang tidak diredhai oleh Allah swt ]

Semua petugas parti [ pemimpin mahupun ahli biasa ] sewajarnya mempertingkatkan hubungan dengan Allah swt dan senantiasa meletakkan diri dalam situasi beribadah kepada Allah swt. Maksud saya , pastikan apa jua kerja dan tugas yang kita lakukan adalah kerana Allah swt dan ia menjadi ibadah yang soleh walau hanya menampal poster dan memasang bendera .

2 . Juhud [ gigih dan bersungguh - sungguh ]

Tanpa kerja kuat kita tidak akan berjaya . Ini realitinya !

Tiada kemenangan yang boleh dicapai hanya dengan menggosok lampu ajaib aladin . Malah lampu itu pun tiada ditangan kita , apatah lagi aladin tidak wujud dikalangan kita .

Ikhtiar adalah satu kewajipan dan kesungguhan adalah satu tuntutan . Jangan ada mereka yang hanya berpeluk tubuh dan membatu diri menyaksi keperluan yang perlu diselesai dan disempurnakan . Lebih malang kalau hanya banyak cakap , komplen sana sini dan memperhabiskan biskut kopi di markaz sahaja .

Saya percaya , jika kita bersungguh - sungguh kita akan menang . من جد وجد

3. Tawakkal . [ bergantung kepada Allah swt ]

Jangan putus harap kepada Allah swt biarpun kita menghadapi kesukaran dalam perjuangan ini . Sekalipun cabaran yang kita hadapi serta tekanan yang kita alami terlalu getir dan berat , setelah kita kerahkan segala upaya yang kita miliki , kita mesti yakin dan sandarkan keputusannya kepada Allah swt .

Setelah gigih berdakwah berhadapan dengan 1001 ragam manusia jahiliyyah , Nabi saw pernah bersabda [ berdoa ] : اللهم قد بلغت فاشهد - Ya Allah ! sesungguhnya telah aku sampaikan [ kebenaran ini ] maka saksikanlah ! -

4. Munazzamah [ sistematik ]

Jangan bekerja atau bertugas secara rawak atau rambang . Sebaliknya bertindak secara terancang dan berpandukan arahan serta peraturan yang telah ditetapkan oleh parti . Setiap tindakan mestilah melalui syura samaada di peringkat UPU , MTD , Kawasan , Negeri atau Pusat .

Sekalipun kita membawa kebenaran , namun tanpa rencana dan strategi yang terancang pasti sahaja kita boleh tewas . Inilah yang telah dipertegaskan oleh Saidina Ali Karramallahuwajhah . الحق بدون النظام يغلبه الباطل بالنظام

Kebenaran yang diperjuangan tanpa sistematikanya akan dikalahkan oleh kebathilan yang diurus secara sistematik .

Aktiviti dan gerakkerja dalam tempoh yang terhad dan kemampuan kewangan yang terbatas ini mestilah di pastikan bahawa kita tidak membazir masa dan tenaga dengan aktiviti yang tidak menepati sasaran atau gerakkerja yang tidak membawa pulangan besar kepada perjuangan .

5. Istiaanah bissobri was solah . [ mohon pertolongan dengan sabar dan doa ]

Kemenangan yang kita dambakan ini adalah daripada Allah swt , justeru itu kepadaNya kita wajib memohon kemenangan ini . Allah swt mengajar kita agar memohon pertolongan dengan sabar dan solat .

Sabar

Sabar adalah kunci kejayaan dan kemenangan . Tapi ramai yang salah faham dengan menganggap sabar sebagai kalah dan penakut . Bukankah kita mahu Allah bersama kita dalam perjuangan ini ? maka Allah swt telah berfirman : إن الله مع الصابرين - Sesungguhnya Allah bersama dengan orang - orang yang sabar .

Sabar dalam tindakan agar tidak gopoh dan melencong dari matlamat asal perjuangan kita .
Sabar dalam gerakkerja dan tugas . Jangan merungut dan mempersoalkan arahan .
Sabar , agar diri tidak terpengaruh dengan provokasi musuh
Sabar dari panahan fitnah perjuangan yang mungkin dari godaan manusia dan harta
Sabar , moga tidak terlalu excited dengan sorakan ramai dan laungan penyokong yang ramai
Sabar dari terjebak dan terjerumus ke dalam lembah maksiat dan mungkar
Sabar menerima arahan pimpinan biarpun berat dan sukar untuk dilaksanakan
Sabar dengan karenah ahli yang pelbagai ragam
Sabar jua dengan karenah pimpinan
Sabar untuk bertahan dengan akhlak mulia sekalipun berdepan dengan penghinaan musuh
dan 1001 keadaan yang memerlukan kita sabar .

Namun bukanlah makna sabar sehingga membenarkan musuh memijak kepala kita . Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

Wahai manusia ! Jangan sekali - kali kamu bercita - cita mencari musuh sebaliknya mohonlah kesejahteraan daripada Allah swt . Andai bertemu jua dengan musuh , bersabarlah ! Namun begitu , ketahuilah bahawa sesungguhnya syurga itu berada di bawah kilatan mata pedang .

Solat

Membawa maksud munajat dengan memanjatkan doa kepada Allah swt agar Allah memberikan kekuatan kepada kita serta kemenangan yang telah dijanjikan . Serentak itu , agar Allah mengurniakan petunjukNya kepada rakyat atau pengundi dan melembutkan hati mereka untuk menerima mesej perjuangan kita .

Siang kita mengurus organisasi , mengatur strategi dan menggerakkan jentera serta material bagi memburu kemenangan , manakala sebelah malamnya pula kita bersimpuh mengadap Allah penuh khusyu' memohon petunjuk dan kekuatan diri serta memohon nusrah dan maunah buat perjuangan suci ini .

Pakatan Rakyat Ke Gerbang Jaya


1. Konvensyen Pakatan Rakyat yang berakhir petang kelmarin telah memahat sejarah negara yang menyaksikan sebuah dokumen persepakatan gandingan 3 buah parti [ PAS , PKR dan DAP ] telah dimeterai secara rasmi oleh pemimpin tertingginya.

2. Persepakatan berdokumen ini menepati sebuah janji rasmi yang diikrarkan untuk melangsungkan sebuah perjuangan mewakili rakyat berbilang kaum dan berbeda agama ke arah sebuah negara baru yang adil , telus , saksama , toleransi dan berkebajikan .

3. Jika saya analogikan dengan sebuah ikatan perkahwinan di dalam Islam , sebaik sahaja ijab qabul dilafazkan antara pasangan yang berkahwin maka menangis dan bertempiaran lari lah segala syaithan dan iblis dengan penuh kekecewaan setelah gagal memutuskan hubungan mereka serta gagal pula mendorong mereka melakukan zina .

4. Maka ijab qabul dalam tahaaluf siasi [ kerjasama politik ] PAKATAN Rakyat yang telah ditandatangani ini juga membuatkan syaithan - syaithan politik meraung kepedihan dan kekecewaan kerana gagal memecah belahkan kesatuan mereka .

5. Persefahaman semakin matang dan kerjasama semakin erat . Itulah yang boleh saya ungkapkan setelah Konvensyen Pakatan Rakyat yang julung kalinya diadakan , berlangsung dengan jayanya . Kehadhiran seluruh pimpinan utama dari ketiga - tiga parti dan duduk sebaris , turut menjawab segala tuduhan dan tanggapan yang sering dieksploit oleh media kononnya mereka selama ini hanya asyik bercakaran .

6. Selepas ini , menjadi tanggungjawab kepada setiap anggota dari ketiga - tiga parti berperanan untuk memahamkan rakyat berbekalkan satu dokumen oren yang telah ditandatangani bersama oleh ketiga - tiga pemimpin tertinggi parti . Mekanisme penyampaian maklumat mestilah berkesan dan pintar .

7. Sementara itu , anggota parti pula mesti bijak dalam mengurus maklumat yang mereka terima samaada melalui lisan , media elektronik , media cetak dan juga media baru . Kebijaksanaan anggota dalam perkara ini sangat dhoruri [ prinsipal ] agar tidak mengheret mereka ke kancah polemik dan krisis ciptaan sesama kita .

8. UMNO dan BN tentunya cemburu menyaksikan situasi ini setelah mereka terus tenggelam timbul dalam krisis yang tidak tahu dimana dan bagaimana mahu mnegurainya . Parti - parti kompenan mereka saling salah menyalahkan antara satu sama lain .

9. Kini masa berjalan malah pantas bergerak menuju era baru . Harapnya tiada yang masih tidur lena atau asyik khayal dengan gurindam lama sedang semua orang sedang berpaut pada harapan dan tekad baru untuk membina sebuah kemenangan dan kejayaan .

10. Namun kemenangan dan kejayaan pastinya bernilai tinggi dan berharga mahal . Menebusnya memerlukan wang dan kekayaan yang setimpal . Kalau sekadar mengemis di tepian penambang usah memahat cita - cita besar , kerna ia hanya menyenakkan jiwa dan menyakitkan hati .
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates