Pakatan lancar manifesto sempena konvensyen Sabtu ini

Harakahdaily,
ALOR SETAR, 10 Jan: Pakatan Rakyat akan melancarkan manifesto mereka pada Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-3 yang akan berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar 14 Januari ini.

Pelancaran tersebut akan dibuat pada program 'Rapat Rakyat Perdana' di sebelah malamnya yang akan dihadiri pimpinan utama Pakatan Rakyat, lapor Warta Kedah.

“Ceramah umum akan bermula pada pukul 9.00 malam dan serentak dengan itu juga kita akan mengadakan pelancaran manifesto Pakatan Rakyat pilihanraya umum ke-13,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi merangkap Pengarah Sekretariat Konvensyen.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, Seri Mentaloon semalam.

Rapat Rakyat Perdana adalah program kemuncak konvensyen kali ini yang akan bermula dengan solat maghrib berjamaah, solat hajat, kuliah Datuk Dr. Harun Din sebelum mendengar ceramah dari pimpinan utama Pakatan.

100,000 dijangka hadir


Dalam pada itu juga, Konvensyen kali ini dijangka akan dihadiri 100,000 rakyat termasuk perwakilan dan pemerhati.

Phahrolrazi (gambar) berkata, pemilihan Kedah sebagai tuan rumah untuk program itu kali ini sangat bermakna kepada seluruh rakyat negeri itu.

Pada konvensyen tersebut, semua tokoh-tokoh utama Pakatan Rakyat akan hadir antaranya Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP Lim kit Siang.

“Konvensyen kali ini bertemakan ‘Bersihkan Malaysia’ dan akan dihadiri oleh semua tokoh-tokoh utama Pakatan Rakyat.

“Ucapan pembukaan akan disampaikan oleh (Menteri Besar Kedah) Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak sebagai tuan rumah, kemudian diikuti (Ketua DAPSY) Anthony Loke, (Setiausaha Agung PAS) Datuk Mustafa Ali dan (Setiausaha Agung PKR) Saifuddin Nasution," katanya.

Selain mereka, hadirin juga akan mendengar rintihan suara rakyat dalam slot ‘Suara Hati Nurani Rakyat Malaysia’ yang bakal menampilkan Datuk A. Samad Said sebagai wakil Budayawan, Prof. Dr Aziz Bari sebagai wakil Akademik serta lain-lain termasuk wakil Felda, penjawat awam, NGO, Pemuda & Mahasiswa serta wakil dari Sabah dan Sarawak.

Ucapan penggulungan pula akan disempurnakan oleh pimpinan utama parti-parti dalam Pakatan Rakyat termasuklah Tuan Guru Nik Aziz, Datuk Seri Anwar, Tuan Guru Abdul Hadi, Karpal Singh, Lim Guan Eng dan Azmin Ali.

PAS Selangor tunggu arahan Pusat

KUALA LUMPUR, 10 Jan: PAS Selangor sedang menunggu arahan daripada PAS Pusat untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan status 'Exco' Datuk Dr. Hasan Ali.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Abdul Rani Osman (gambar) berkata, pihaknya tidak boleh mengadakan mesyuarat tersebut sebelum PAS Pusat bermesyuarat.

"PAS Selangor sedang menunggu 'green light' daripada PAS Pusat untuk bermesyuarat bincang isu ini (Hasan Ali).

"PAS Pusat belum lagi membuat mesyuaratnya jadi kita tak boleh buat apa-apa keputusanlah," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menyeru supaya Hasan melepaskan jawatannya sebagai exco negeri itu secara sukarela kerana Hasan tidak lagi mewakili PAS.

Khalid dalam kenyataannya kepada Harakahdaily berkata, beliau telah mendapat nasihat daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri berkenaan status Dr Hasan sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco).

Katanya, Pejabat Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri telah menasihatkan bahawa beliau mempunyai kuasa untuk menggugurkan Dr Hasan sebagai ahli Exco kerana beliau tidak lagi mewakili PAS dalam Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

“Saya berpendapat beliau sebagai seorang 'gentleman' perlu melepaskan jawatan ahli Exco secara sukarela kerana ini adalah untuk kebaikan beliau sendiri dan mereka yang terlibat,” kata Khalid.

Tambahnya lagi, Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri juga berpandangan bahawa meskipun perkenan DYMM Sultan Selangor diperlukan dalam pelantikan Ahli Exco, namun perkenan DYMM Sultan tidak diperlukan untuk pelucutan atau pengguguran jawatan Exco.

Ekoran itu ujarnya, beliau akan mengadap DYMM Sultan Selangor pada Jumaat ini untuk memberi taklimat kepada baginda berhubung perkembangan terbaharu dan berbincang dengan baginda mengenai calon-calon penganti yang sesuai bagi jawatan Exco.

Hasan yang juga Adun Gombak Setia merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan.

Hakim bebas cengkaman politik, bukan kehakiman

Aziz Muda,
KUALA LUMPUR, 10 Jan: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang melepaskan dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tuduhan kes liwat, bukan bermakna bidang kehakiman di negara ini bebas dari campur tangan politik para pemimpin Umno BN.

Sebaliknya, ia jelas melambangkan keberanian hakim untuk membebaskan diri dari cengkaman politik bagi mengembalikan semula era kegemilangan bidang kehakiman di tanah air.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) berkata, berdasarkan beberapa fakta jelas menunjukkan bidang kehakiman di negara ini telah sekian lama dicabuli oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan para hakim di negara ini menjadi begitu terkongkong dan tertekan dalam menjalankan tugas mereka.  

Katanya, realiti itu sudah diketahui dengan jelas oleh seluruh penduduk negara ini, terutama di kalangan masyarakat sivil, parti-parti politik pembangkang dan NGO.

"Perkara itu sudah tidak dapat dinafikan lagi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan para pemimpin Umno BN, walaupun cuba disembunyikan dengan pelbagai cara.

"Malah disebabkan perkembangan yang tidak sihat itulah yang memaksa seluruh rakyat negara ini bangkit menyuarakan pandangan bagi membebaskan bidang kehakiman dari campur tangan politik," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Najib dalam kenyataannya seperti yang dilaporkan media tempatan malam tadi berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Anwar dari kes liwat semalam membuktikan bidang kehakiman di negara ini bebas dari campur tangan politik.

Dengan itu, dakwaan para pemimpin pembangkang mengenai perkara itu selama ini, katanya, jelas tidak berasas dan semata-mata ingin mengelirukan orang ramai.

Kenyataan beliau turut disokong oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seperti yang dilaporkan TV3 menerusi slot Buletin Utama malam tadi.

Menurut Salahuddin, kenyataan Najib dan Mahathir itu sebenarnya bukan boleh membersihkan imej para pemimpin Umno BN, malah ia mengesahkan lagi realiti itu pada pandangan orang ramai.

Selama ini, tegas beliau, sememangnya berlaku campur tangan politik yang melampau dalam bidang kehakiman di negara ini, sehingga memaksa seluruh rakyat termasuk Bersih bangkit menyuarakan pandangan dengan bangkangan yang kuat.

"Jadi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tuduhan kes liwat semalam adalah hasil dari kesedaran baru di kalangan hakim untuk mengubah keadaan, bagi memulihkan kembali imej institusi kehakiman di negara ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Keputusan tersebut, tambah beliau, adalah hasil dari keberanian hakim untuk membebaskan diri dari cengkaman politik bagi melakukan perubahan seperti yang didesak oleh rakyat.

"Manakala ucapan Datuk Seri Najib itu pula adalah manifestasi dari perkembangan yang berlaku di negara kita sekarang yang bukannya berlaku kerana tiada campur tangan politik, tetapi kerana iltizam para hakim ke arah itu," tegas beliau.

Bebas Anwar, kemenangan awal Pakatan Rakyat

SHAH ALAM, 10 Jan: Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar (gambar) menyifatkan keputusan mahkamah terhadap Datuk Seri Anwar semalam merupakan tamparan awal kepada Umno BN menjelang Piliham Raya Umum ke-13 nanti.

Dengan keputusan membebaskan Anwar itu ujarnya, Umno terpaksa mencari skrip baru untuk menutup malu selepas terlebih dahulu meletakkan hukuman bersalah terhadap ketua pembangkang itu sebelum mahkamah membuat keputusan.

"Umno terpaksa menerima keputusan ini dalam keadaan yang sabar kerana keadilan akhirnya terbukti walaupun mereka sebelum ini telah membuat keputusan awal terhadap Anwar.

"Sebelum PRU-13 Umno telah kalah dalam politik kotor mereka yang telah dirancang hampir tiga tahun dan saya pasti hukuman sepenuhnya pada Umno adalah pada PRU13 nanti," jelasnya.

Kamaruddin yang juga AJK PAS Pusat itu juga berkata, hakim menolak pertuduhan fitnah yang dimainkan oleh Umno hanya menggunakan empat hingga lima ayat sahaja walaupun pelbagai perkara telah ditimbulkan.

"Saya harap ini harus menjadi kes politik kotor yang terakhir dalam sejarah negara ini dan rakyat sendiri pun sudah mula muak kepada politik sedemikian," sambung beliau lagi.

Sementara itu beliau berkata, sesi penerangan akan diteruskan oleh Pakatan Rakyat dalam usaha memberi maklumat sebenar kepada rakyat berhubung kes itu.

"Kita akan terus memberi penerangan kepada rakyat tentang apa yang sebenarnya berlaku sebab kita pasti Umno akan memutar belit kenyataan mereka," jelasnya.
Tanpa gangguan, perhimpunan jadi aman

Dalam pada itu, Kamarudin berkata, tindakan polis membenarkan perhimpunan itu berjalan tanpa gangguan membuktikan ia boleh berjalan dengan aman.

Berbanding dengan perhimpunan Bersih 2.0 sebelum ini, perhimpunan 901 berjalan dengan baik tanpa kekecohan dan kesusahan orang ramai.

"Tindakan polis yang membuat sekatan jalanraya dan tangkapan di seluruh negara sebelum, semasa dan selepas perhimpunan Bersih 2.0 yang menyebabkan kesusahan orang ramai. Tetapi apabila polis bagi kerjasama, ia berjalan dengan baik tanpa kekecohan," kata beliau.

Kamarudin mengulas suasana aman yang berlangsung sepanjang perhimpunan 901 semalam.

PAS pecat Hasan Ali

KUALA LUMPUR, 8 Jan: PAS Pusat dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini, telah membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian YB Dato’ Dr Hasan Mohd Ali (gambar) sebagai ahli PAS berkuatkuasa serta merta.

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS


Setelah mempertimbangkan segala pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa PAS Pusat dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini, PAS Pusat telah membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian YB Dato’ Dr Hasan Mohd Ali sebagai ahli PAS berkuatkuasa serta merta.

Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan YB Dato’ Hasan Ali yang menyalahi dan merugikan kepentingan Parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan PAS.

Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS

Pembohongan Najib ‘grand design’ kotor Umno

KUALA LUMPUR, 8 Jan: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berasa cukup kesal dan kecewa terhadap tuduhan dan pembohongan Datk Seri Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia kepada Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor yang dikatakan tidak memberikan kerjasama dan kelulusan terhadap projek-projek yang telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan.
 
Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) beranggapan tuduhan yang dilemparkan adalah tidak berasas serta berniat jahat untuk memburukkan kerajaan negeri.
 
Najib semasa lawatan ke Hulu Selangor baru-baru ini telah membohongi rakyat di Felda Gedangsa apabila menyatakan kegagalan Barisan Nasional menunaikan janji semasa pilihanraya kecil Hulu Selangor lalu untuk membina rumah peneroka Felda generasi kedua adalah disebabkan tidak mendapat kerjasama pihak kerajaan negeri. 

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan balas dengan menyatakan tiada sebarang permohonan yang telah dibuat sama ada oleh pihak kerajaan pusat ataupun Felda untuk sebarang projek perumahan di kawasan Felda terbabit sehingga kini.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor melihat pembohongan demi pembohongan yang sengaja dicipta adalah antara ‘grand design’ kotor Umno untuk merampas kembali negeri Selangor daripada Pakatan Rakyat,” kata Hasbullah kepada Harakahdaily. 

Menurutnya, Umno berasa cukup gusar kerana rakyat Selangor telah melihat kebaikan dan ketelusan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat yang cukup prihatin terhadap rakyat. 

Beliau berkata, agenda ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’ Pakatan Rakyat juga telah menunjukkan hasil yang baik dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Selangor tanpa mengira bangsa, agama dan pegangan politik mereka. 

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menasihatkan supaya Najib dan Umno Selangor supaya menghentikan segala pembohongan dan fitnah terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Selangor kerana ianya akan menjadi cacian dan makian rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional semula akhirnya,” katanya.

Sekitar Program Amanat Terakhir Dato' Seri Anuar Ibrahim Di Padang Majlis Daerah Machang













Bubar sebelum selesai PSC marahkan rakyat

KOTA BHARU, 7 Jan: Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC)  Dr Mohd Hatta Md Ramli yakin mana-mana pihak yang cuba untuk mendahului PSC bagi membubarkan Parlimen lebih awal akan berhadapan dengan kemarahan rakyat.
(Dr Hatta dalam pendengaran awam di Kota Bharu)

Sehubungan itu, beliau berharap, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak membubarkan Parlimen sehingga kajian dan cadangan PSC dilaksanakan.

“Maksudnya, pembubaran Parlimen akan ditakhirkan, dikemudiankan, dan itu bukan saja boleh menyelesaikan tugas kami, tetapi seterusnya untuk dilaksanakan penambahbaikan sistem pilihan raya.  Ini harapan kita," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media sempena sesi Pendengaran Awam Jawatankuasa Khas Parlimen bagi penambahbaikan pilihan raya di Kota Darulnaim di sini tengahari tadi.

PSC dipengerusikan Ahli Parlimen Kota Marudu Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili itu turut dianggotai oleh tiga Ahli Parlimen Pakatan iaitu ahli Parlimen PKR Gombak, Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen DAP Rasah, Anthony Loke Siew Fook.

Dewan Rakyat meluluskan penubuhan PSC pada 3 Oktober 2011 dengan tanggungjawab mengkaji perkara untuk memperkukuhkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta mengkaji proses pilihan raya yang bebas dan adil.

Penubuhan PSC berkuatkuasa selama enam bulan dari tarikh penubuhannya.

Sementara itu, mengulas isu pembubaran Parlimen sebelum tugas-tugas PSC selesai, Pengerusi PSC Datuk Dr Maximus berkata (pembubaran Parlimen) itu kuasa mutlak Perdana Menteri.

“Kita pun terbabit, namun yang penting kita jalankan kerja ini.

“Selesai tugas kita, barulah berjumpa di luar, perjuangan itu secara demokratik.

“Tetapi kita tidak ada kuasa hendak memutuskan perkara itu,” ujarnya.

PAS bangga dengan kecekalan keluarga Adam Adli

PULAU PINANG, 7 Jan: PAS bangga dengan kecekalan ayah kepada Adam Adli kerana begitu konsisten terhadap perjuangan yang digerakkan oleh anaknya walaupun tahu perjuangan Adam Adli (gambar) bakal berhadapan dengan ugutan, tohmahan dan ancaman.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa yang menziarahi keluarga Adam Adli di salah satu kawasan parlimen di Seberang Perai berkata, apa yang dicakapkan oleh bapanya, Abdul Halim Hamid merupakan teras dan boleh dijadikan kekuatan untuk Adam Adli meneruskan usahanya memastikan Akta Univesiti dan Kolej Univesiti (AUKU) benar-benar dihapuskan.

"Mendengar cakap Abdul Halim Hamid saya selaku Ahli Parlimen Pakatan Rakyat terasa bangga terhadap sokongan padunya.  Sebagai ayah beliau sanggup bersama anaknya biar dalam keadaan susah dan senang. Orang politik pun belum tentu boleh buat macam dia, " tegasnya.

Adam Adli adalah palajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah menurunkan gambar datuk Seri Najib ketika mahaiswa berhimpun di perkarangan bangunan Umno di PWTC.

Akibat kesalahan itu beliau dikecam dan dikutuk oleh Umno tanpa batasan sehingga UPSI bertindak ke atasnya.

Tindakan para mahasiswa terlibat, kata Dr Mujahid, bukan ada kaitan dengan desakan mana-mana parti politik pembangkang tetapi sebaliknya atas rasa keprihatinan dan kesungguhan menyelamatkan maruah negara yang sudah tergadai.

Perjuangan mahasiswa selama ini bukanya perkara baru untuk memastikan AUKU ditiadakan bagi membolehkan mahasiswa meluahkan pandangan secara demokrasi serta mewujudkan seorang mahasiswa yang berkalibar tidak hanya menjadi mahasiswa pak angguk.

"Mahasiswa ada hak menentukan masa depan mereka walaupun terpaksa menentang AUKU sebab AUKU melahirkan mahasiswa yang tidak matang dan penakut, " terang Mujahid (gambar kiri)  yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, Perak.

Susah untuk melihat kebangkitan mahasiswa seperti yang digerakan oleh Adam Adli, Muhamad Safwan Anang dan rakanya semata-mata untuk kemakmuran, kesejahteraan, ketelusan dan kebebasan terjamin, jelas beliau.

Sebelum ini hanya orang politik pembangkang menyuarakan pandangan mengenai kebebasan bersuara tetapi kini ia telah menular di kalangan cerdik pandai atau golongan ketiga yang tiada mempunyai kepentingan politik.

Bila golongan terbabit mempunyai kesedaran yang tinggi dan mahukan perubahan ketara terhadap Malaysia itu menandakan satu gelombang kebangkitan anak muda yang sukar dibendung terutamanya ketika negara bakal berhadapan dengan Pilihanraya Umum ke 13.

"BN sebenarnya takut untuk berhadapan dengan golongan muda terutamanya mahasiswa sebab itu apa yang digerakan oleh mahasiswa cuba disekat supaya kemaraan jiwa muda tidak melarat sehingga boleh menggugat kedudukan politik jahat kepimpinan BN, " terangnya.

Turut menziarahi keluarga Adam Adli ialah Pengarah Pilihanraya PAS Pulau Pinang, Rosidi Husein, Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri, Ustaz Soid Mohd Amin dan Bekas Ketua Lajnah Penerangan PAS Negeri, Zulkifly Md Lazim dan beberapa orang aktivis parti.

Pada pertemuan tersebut rombongan turut mengadakan sembahyang hajat di kediamanya sebagai langkah memperkuatkan akidah Adam Adli dan 17 rakanya yang kini berhadapan dengan berbagai kemungkinan.

Pada 31 Disemer 2011 negara terpalit satu lagi peristiwa keganasan pihak polis apabila bertindak kasar menghuraikan perhimpunan mahasiswa di hadapan Univesiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mahukan kerajaan Malaysia menghapuskan AUKU yang didakwa menyekat kebebasan mahasiswa.

Pada perhimpunan itu Adam Adli ditahan bersama rakanya yang lain manakala Saudara Muhamad Safwan Awang terpaksa dimasukan ke hospital akibat tindakan ganas polis.
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates