Umno ibarat 'kereta tiada brek'

SHAH ALAM, 5 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Umno sebagai 'kereta tiada brek' kerana tidak mempedulikan suruhan dan larangan Allah SWT.

Ini kerana, katanya Umno berpegang kepada dasar kebangsaan dan membelakangkan Islam dalam perjuangannya sehingga menyebabkan tidak ada kawalan dalam melakukan perkara duniawi.

Katanya, kerana membelakangkan Islam, maka Umno menolak mukallaf iaitu seseorang itu dipertanggungjawab menjalankan perintah dan larangan-Nya setelah mencapai usia dewasa atau akil baligh.

"Mukallaf ini Umno tak peduli. Kerana apa? Kerana Umno ini dasarnya kebangsaan. Agama kemudian. Jadi mana mukallaf? Umno sudah buang satu kerja yang ditetapkan oleh Allah bahawa tiap-tiap manusia bila akil baligh mesti buat ini, dan mesti tinggal itu.

"Dalam Umno, sebab dia singkir Islam dan ambil kebangsaan, maka tidak ada mukallaf. Sebab itu timbul rasuah, timbul dadah, pecah rumah, rompak, jual bayi, timbul macam-macam perkara kerana rakyat di bawah pemerintahan Umno sudah hilang brek. Kereta tak ada brek. Kereta lumba pun ada brek," kata beliau sewaktu berucap di majlis Rapat Rakyat di perkarangan Stadium Malawati, dekat sini malam tadi.

Menteri Besar Kelantan itu menjelaskan, brek bagi seseorang manusia tanpa mengira agama, bangsa dan kaum ialah takwa kepada Allah.

Jika tiada takwa katanya, manusia akan melakukan apa sahaja yang disukainya.

"Brek ialah takwa kepada Allah. Tiap-tiap manusia Allah bekalkan dengan nafsu. Ada nafsu amarah dan nafsu-nafsu lain.

"Nafsu amarah, kerja dia turut nafsu. Apa sahaja yang nafsu nak, kena buat. Breknya apa? Tak ada.

"Sebab itu Allah suruh bertakwa. Melayu ke kamu, Cina ke, India ke, Orang Asli ke, kena bertakwa. Ini brek. Brek ini ialah bila ada rasa sayang kepada Allah.

"Mahu tidak mahu, Melayu khususnya Melayu muslim kena ingat, takwa kepada Allah ialah brek untuk mengikat nafsu amarah," katanya sambil mengingatkan, syurga dan neraka tetap wujud sama ada manusia yakin atau tidak dengan kewujudannya.

"Syurga, neraka ini bukan projek kerajaan, projek Allah," katanya di hadapan kira-kira 10,000 yang hadir.

Rapat Rakyat itu diadakan sebagai menjawab segala tuduhan yang dilemparkan oleh pemimpin Umno sepanjang perhimpunan agung parti itu yang berakhir Sabtu lalu.

Turut berucap ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan ahli jawatankuasa DAP, Teresa Kok.

Jaga tepi kain, bukan suruh selak kain

PENANTI, 5 Dis: Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya menegaskan, Islam melarang sama sekali umatnya menyelak kain saudaranya sendiri sehingga boleh menjatuhkan maruah dan meruntuhkan tali persaudaraan.

Sebaliknya, kata beliau Islam hanya mengajar umatnya menjaga ‘tepi kain’ saudaranya sendiri sebagai teguran sekiranya ada saudaranya yang terbabas terutama membabitkan akidah.

Katanya, kelakuan menyelak kain atau menabur fitnah yang berterusan kepada saudaranya bukan kerja Islam sebaliknya kerja syaitan yang inginkan perhubungan antara umat Islam lebur sekaligus memutuskan pertalian.

"Perbuatan menjagai tepi kain orang memang digalakkan dalam Islam kerana sikap tersebut boleh memperbetulkan semula sekira saudaranya terbabas,  tetapi bukan sampai menyelak kain sehingga terburai semua yang selama ini orang tidak tahu," jelasnya ketika berucap dalam forum Perdana sempena Maal Hijrah anjuran Pejabat Exco Agama Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang (JHEIPP), Briged Keselamatan Permatang Pauh dengan kerjasama Pusat Khidmat Dun Penanti di Kampung Terus semalam.

Bagi beliau jika benar saudara seislam melakukan kesalahan, maka perlu menegur, menasihati dan mendekatinya agar tidak meneruskan tradisi fitnah sehingga boleh menjejaskan persaudaraan yang terjalin.

Hari ini soalnya, kenapa perasaan menjagai tepi kain orang tidak lagi popular tetapi perbuatan menyelak kain orang sampai terburai semua perbuatan yang selama ini tidak diketahui ramai menjadi pilihan.

Turut menjadi ahli panel pada forum bertajuk 'Demi Ummah... Ada Aku Kisah' ialah pendakwah bebas, Ustaz Mohd Hussain Yee dan peguam syariah, Rosidi Hussain yang dipengerusikan oleh Ustaz Abu Bakar Bakilani Abu Hasan.

Mengapa kekurangan minyak masak berulang?

KUALA TERENGGANU, 5 Dis: Bekalan minyak masak di Terengganu dan beberapa negeri dilaporkan habis sejak seminggu lalu dengan ramai pengguna mengeluh.

Pengerusi Lujnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Terengganu, Dr Azman Ibrahim (gambar) berkata, ini kerana mereka terpaksa mencari di banyak premis semata-mata untuk mendapatkan barangan keperluan itu.

Menurutnya, selain itu beberapa negeri lain yang turut terlibat, antaranya tinjauan Lujnah Pengguna PAS Terengganu mendapati pasaraya-pasaraya di Kelantan juga mengalami kekurangan malah hampir ketiadaan bekalan.

“Seolah-olah menjadi fenomena rutin, tinjauan mendapati, ramai pengguna yang kecewa mendakwa, ada pihak bertindak  menyorokkan bekalan barangan itu selepas timbul spekulasi harga akan naik sebanyak 40 sen sekilogram,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, minyak masak adalah barangan terkawal dengan harganya ditetapkan RM3.30 sekilogram bagi sawit tulen, sawit campuran (RM3.60) dan kampit plastik (RM2.50).

Katanya, jika spekulasi itu benar, ia sangat menyusahkan pengguna yang kebanyakan menggunakan minyak masak setiap hari.

Lantas, ujarnya Lujnah Pengguna PAS Terengganu mempersoalkan keberkesanan fungsi agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam mengawal selia perkara itu.

“Lantaran keadaan ini telah berulang beberapa kali dan kita meyakini bahawa ini bukanlah untuk kali yang terakhir,” ujarnya.

Menurutnya, memegang status sebagai negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia, tentunya ketiadaan bekalan minyak masak itu menimbulkan pelbagai persoalan.

“Apakah pihak pengeluar, pengilang, pemborong atau pengedar boleh bertindak sewenangnya demi keuntungan mereka tanpa sebarang tindakan berkesan dari agensi penguatkuasaan berkenaan sehingga rakyat terpaksa menanggung kesukaran?” soalnya.

Beliau menambah, seorang penyelia di sebuah pasaraya di Besut yang enggan dikenali menyatakan kekurangan bekalan minyak masak di pasaran adalah disebabkan  pembekal menggunakan alasan pengurangan bekalan, disebabkan kuota baru yang ditetapkan kerajaan yang mana kuota yang digunakan pula telah berusia hampir empat tahun.

Kata beliau, sekiranya itulah antara sebabnya, maka lujnah pengguna menegaskan bahawa kuota tersebut adalah tidak relevan lagi, ia perlu ditambah.

Menurutnya lagi, mana mungkin kuota yang diberikan sejak empat tahun lepas boleh sama dengan sekarang dengan pertambahan bilangan pasar raya besar dan kedai runcit serta bilangan pengguna.

Katanya, kerajaan juga perlu mengetatkan penguatkuasaan terhadap pembelian bahan kawalan itu bagi mengelakkan penyelewengan selain memastikan hanya rakyat tempatan membeli dan menikmati subsidi yang diberi kerajaan.

“Kita juga sukar untuk mempercayai bahawa alasan penggunaan minyak masak keluaran Malaysia oleh rakyat Selatan Thai menjadi punca kekurangan bekalan di negara ini kerana sebenarnya masyarakat muslim Selatan Thai kebanyakkan mereka telah menggunakan minyak masak keluaran Malaysia sejak zaman berzaman lagi lantaran mereka sebenarnya meragui status kesucian minyak masak keluaran negara mereka sendiri.

“Apatah lagi bila kekurangan bekalan dilaporkan turut berlaku di Lembah Kelang, Kedah dan Pahang,” ujarnya lagi.

Bai'ah: Daripada tiru, baik sertai PAS terus

KUALA LUMPUR, 4 Dis: Tindakan Umno yang mahu kepimpinan parti itu mengadakan sumpah bai'ah bagi mengelakkan tindakan khianat dan sabotaj oleh ahli sendiri, membuktikan mereka mengakui cara yang digunakan PAS.

Ahli Parlimen PAS Baling, Datuk Taib Azamuddin Md. Taib berkata, Umno yang sebelum ini mengecam amalan PAS mengadakan sumpah bai'ah bagi mengelakkan ahlinya lompat parti akhirnya terpaksa meniru cara tersebut.

"Kalau ini (sumpah bai'ah) lahir daripada hati dan keikhlasan orang Umno, ini menunjukkan apa yang dilakukan PAS selama ini yang dipandang serong oleh Umno telah diakui kebenarannya.

"Usia Umno yang sudah terlalu lama menunjukkan ia sudah jauh ketinggalan. Hakikat sebenarnya ialah apa yang dilakukan oleh Umno itu sebenarnya mengakui pendekatan yang dilakukan oleh PAS.

"Oleh sebab itu, daripada dia meniru (PAS) baik dia menyertai PAS terus," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Sewaktu perbahasan usul di Perhimpunan Agung Umno semalam, perwakilan Umno Terengganu, Komaruldin Omar mencadangkan diadakan sumpah bai'ah dengan merujuk kepada tindakan PAS dan dipersetujui para perwakilan yang lain.

Taib yang juga bekas imam besar Masjid Negara bagaimanapun berkata, sumpah bai'ah hanya terpakai untuk perkara bertujuan kebaikan dan kebenaran, bukan untuk tujuan kebatilan.

Tegasnya, Umno sebagai parti yang tidak meletakkan Islam sebagai dasar tidak wajar mengadakan sumpah bai'ah.

"Bai'ah boleh berlaku di atas sesuatu perkara untuk tujuan kebenaran...kalau bai'ah untuk tujuan kebatilan, bai'ah itu menjadi satu kemungkaran dan tidak termasuk dalam erti kata bai'ah yang sebenar.

"Jadi kalau Umno masih tidak meletakkan Islam sebagai dasar, maka bai'ah itu tidak ada gunanya  Jadi tak perlulah orang Islam tertipu dan terpedaya dengan keadaan ini," katanya yang merupakan bekas imam Masjid Negara.

Tambahnya, tindakan Umno itu juga menunjukkan parti itu sudah berada dalam keadaan lemah dan terpaksa menggunakan apa sahaja cara untuk dijadikan 'tongkat' bagi meneruskan pemerintahannya.

"Inilah salah satu bukti yang boleh dilihat oleh masyarakat...dari segi spiritnya, politik Umno sudah memang terkapai-kapai...jadi apa sahaja yang dia rasa dia boleh capai untuk jadikan tongkat nak selamatkan parti, dia akan guna.

"Takkanlah masyarakat nak terima orang yang pakai tongkat untuk memerintah?" katanya.

Sementara itu, menyentuh dakwaan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau berani dan sudah empat kali bersumpah berbanding Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang enggan bersumpah, Taib berkata, Najib masih belum keluar daripada kejahilannya.

"Kalau itu yang Najib mainkan, maksudnya dia masih belum keluar daripada kejahilan dia...walaupun nasihat dan pandangan telah diberi oleh para ulama dan mufti tapi kalau dia main lagi isu itu maksudnya dia orang yang tak sudi keluar daripada kejahilan," katanya.

Najib sebelum ini bersumpah laknat bahawa beliau tidak mengenali dan tidak terlibat dalam pembunuhan wanita Monggolia, Altantuyaa Sharibuu.
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates