PAS bimbang tindakan UIA hasut rakyat benci raja

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Kegelojohan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung Prof Dr Abdul Aziz Bari dibimbangi boleh mendorong dan menghasut rakyat membenci Raja-Raja Melayu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"Penggantungan kontroversi ke atas Dr Abdul Aziz yang dilakukan oleh UIA itu semakin terbukti amat menyakitkan hati rakyat.

"Tindakan UIA itu akhirnya dikhuatiri mendorong dan secara tidak langsung menghasut rakyat membenci Raja-Raja Melayu," kata beliau.

Malah, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, tindakan UIA itu benar-benar menjatuhkan maruah Raja-Raja Melayu.

"Tindakan UIA itu menggambarkan seolah-seolah Raja-Raja Melayu tidak boleh menerima teguran dan pandangan professional.

"Memberi gambaran bahawa Raja-Raja Melayu tidak boleh menerima teguran dan pandangan professional adalah perbuatan buruk yang benar-benar menjatuhkan maruah Raja-Raja Melayu," tegas Mahfuz.

Malah, katanya, memberikan gambaran bahawa-bahawa Raja-Raja Melayu tidak boleh menerima teguran hakikatnya memberi gambaran bahawa Raja-Raja Melayu tidak mahu mengamalkan ajaran Islam yang sangat asasi yang menekankan amar ma'ruf nahi munkar.

Dr Abdul Aziz sebelum itu memberikan pendapatnya sebagai pakar perlembagaan terhadap tindakan Sultan Selangor.

Beliau berpendapat, tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu pemeriksaan gereja bukanlah suatu tindakan yang lazim.

Dr Abdul Aziz dilaporkan berkata, sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, Sultan Selangor berhak campur tangan, namun ia perlu dilakukan selaras dengan ajaran Islam.

Akibatnya, beliau disoalsiasat oleh polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), diberi surat tunjuk sebab oleh UIA dan akhirnya digantung tugas oleh universiti itu semata-mata kerana memberikan pendapatnya dari segi undang-undang.

Mahfuz melihat tindakan UIA membalas pandangan professional Dr Abdul Aziz dengan penggantungan penuh kontroversial itu sebagai perbuatan "institusi ilmu menghina ilmu".

"Kalaupun benar terpaksa bertindak selaras dengan kehendak dan kepentingan Umno, janganlah sampai institusi ilmu menghina ilmu dan melakukan tindakan yang akhirnya akan membunuh kebebasan akademik.

"Amat buruk kalau institusi ilmu sendiri yang membunuh ilmu dan kebebasan akademik," kata beliau.

Mahfuz juga menyifatkan amat lucu penjelasan Rektor UIA Profesor Datuk Dr Zaleha Kamaruddin kononnya tindakan menggantung tugas Dr Abdul Aziz bukanlah hukuman, sebaliknya bagi memastikan siasatan terperinci dapat dijalankan berikutan kenyataan beliau mengenai tindakan Sultan Selangor.

"Ini kali pertama kita dengar seorang ilmuan yang memberikan pendapat professionalnya perlu digantung tugas untuk membolehkan beliau memberikan penjelasan mengenai pendapat professionalnya itu.

"Ini sudah tentu boleh mencipta rekod dunia sebagai salah satu perkara paling kelakar sepanjang sejarah," katanya.

Persidangan ICT dan Media Baru 2011





Beri kebebasan ahli akademik berakademik- Nik Aziz

GOMBAK, 22 Okt: Mursyidul AM PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nikmat menyeru semua pihak termasuk universiti, tidak menyekat ahli akademik menyuarakan padangan akademik mereka.

Mengulas isu penggantungan Pensyarah Undang-undang, Profesor Dr Abdul Aziz Bari oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), beliau berkata  ahli akademik perlu diberi peluang mengulas apa jua isu mengikut kepakaran akademik yang dimiliki mereka.

"Aziz Bari ni orang akademik. Berilah peluang orang akademik berakademik," katanya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan ICT dan Media Baru 2011 anjuran Lajnah ICT PAS Pusat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) di Taman Melewar di sini.

"Dia juga pakar perlembagaan, saya tak fikir pakar perlembagaan buat benda bercanggah dengan perlembagaan," katanya sebagai membantah tindakan penggantungan oleh UIAM itu.

Kelmarin UIA menggantung tugas Abdul Aziz sebagai pensyarah undang-undang sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Beliau didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" dan diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawabnya.

Tindakan terhadap pakar perlembagaan itu dipercayai berikutan reaksinya sebelum ini yang mengulas titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama.

Abdul Aziz dipetik berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

"Dua hari lalu dia ada orang tulis dalam surat khabar, ada orang kata 'natang' kepada raja-raja Melayu tapi tak ada apa-apa tindakan pun.

"Rakyat jadi pelik, apa dah jadi ni," soal Tuan Guru Nik Aziz.

Sementara itu Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menasihatkan rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) untuk menarik balik penggantungan kontroversi ke atas Prof Abdul Aziz Bari.

Menurutnya, apa sahaja (sebab-sebab untuk tindakan itu), ia masih
salah dari segi moral dan intelektual (kerana) Aziz belum didapati bersalah.

"Harap tarik balik penggantungan... harap jangan ambil tindakan terhadap mahasiswa yang demonstrasi (semalam)," katanya.

Blogger, pengamal media baru jangan lempar fitnah

GOMBAK, 22 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, setiap blogger mahupun pengamal media baru perlu banyak belajar agar boleh menjadi seorang penulis yang berhemah.
"Setiap blogger serta pengamal media baru perlu terus belajar dan jangan henti untuk kita terus belajar kerana ia akan dapat melahirkan kita sebagai penulis yang lebih berhemah.
"Kita melihat apa yang berlaku sekarang ini kebanyakan blogger memaparkan dengan perkara yang tidak betul dan melemparkan fitnah-fitnah," jelasnya sewaktu merasmikan Persidangan ICT dan Media Baru 2011 di Dewan Datuk Fadzil Noor, Taman Melewar hari ini.
Tambahnya lagi, sebagai seorang blogger perlu mempunyai sifat-sifat yang mulia, bukannya menulis perkara-perkara fitnah.
Beliau juga memberitahu ada penyakit yang perlu diubat dalam dunia blogger yang dilihat sentiasa melemparkan perkara-perkara yang tidak benar malah menjadikan ia satu usaha penyebaran unsur-unsur jahat dengan niat.
"Penyakit menyebar fitnah perlu diubat kerana ini akan menjadikan budaya ytang tidak sihat di negara ini malah ia akan menjadikan budaya penyebaran fitnah yang tidak berhemah.
"Saya tekankan di sini blogger kena belajar dan mempunyai pengetahuan agama yang kuat, cara ini sajalah yang dapat mengubat penyakit penyebar fitnah di dalam dunia media baru.
"Selain itu pembelajaran kesasteraan juga perlu untuk kita mantapkan penulis ayar ayat-ayat yang kita tulis mempunyai nilai tersendiri serta menarik minat pembaca," sambungnya lagi.
Nik Aziz juga meminta blogger serta pengamal media baru mempelajari bagaimanakah cara untuk menjawab setiap isu fitnah dengan menitik berat serta mengambarkan nilai-nilai keIslaman kerana ia juga dapat memberi kesan mendalam kepada penjelasan kepada fitnah.
"Kita perlu belajar untuk menjawab setiap persoalan dan ini akan memastikan untuk setiap soalan atau fitnah dapat kita perjelaskan kembali dengan cara yang baik, ini akan memberi kesan kepada setiap pembaca.
"Di sinilah yang akan dinilai oleh setiap pembaca dan mereka sendiri yang akan menilai siapa yang betul mahupun tidak dan saya pasti penjelasan yang baik Umno juga akan dapat berubah setelah tidak dapat menimbulkan isu baru kerana penjelasan kita berikan itu," tambah Nik Aziz lagi.
Menteri Besar Kelantan itu juga menjelaskan persaingan juga perlu kerana ia mendatangkan kesan kepada apa yang dilakukan dan dapat menimbulkan kebenaran kepada sesuatu perkara.
"Persaingan yang baik akan melahirkan kebenaran kerana isu yang timbul akan dibahas serta pendapat masing-masing dan akhirnya mendatangkan kebenaran yang diterima oleh semua," katanya.
Persidangan yang dianjurkan oleh Lajnah ICT dan Jabatan IT PAS Pusat bersama dengan Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat selama sehari ini meletakkan objektif menyeragamkan pemahaman garis panduan gerak kerja bersepadu facebook atau twitter kepada semua petugas penerangan dan maklumat di semua peringkat.
Ia juga bertujuan mengulangkaji mengemaskini dan mendapat maklum balas status kesediaan keperluan ICT di semua peringkat serta berkongsi pengetahuan berhubung dengan media sosial dan webtv sebagai sumber maklumat alternatif serta mendapat sokongan dan komitmen dari kepimpinan tertinggi PAS untuk melancarkan Jentera Bersepadu Petugas ICT dalam jentera pilihan raya dan penerangan lebih awal sebagai persediaan dalam menghadapi pilihanraya umum nanti.

70 ahli Umno Kelantan masuk PAS

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Seramai 70 orang ahli Umno di Kelantan telah mengambil keputusan keluar dari parti itu dan menyertai PAS, semalam.
Borang keahlian PAS mereka diserahkan sendiri kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada satu majlis di Kota Bharu, semalam.

Menurut Nik Abdul Aziz, kesemua mereka adalah bekas ahli-ahli Umno di kawasan Kota Bharu, manakala kemasukan mereka ke dalam PAS pula melambangkan perjuangan PAS sudah semakin difahami oleh orang ramai.

Katanya, sebelum ini sudah banyak ahli-ahli Umno di Kelantan menyokong PAS, tetapi sebahagian daripadanya berbuat demikian secara sembunyi-sembunyi.

"Perjuangan PAS adalah perjuangan yang benar yang mewarisi perjuangan Nabi Muhammad saw. Umno sendiri tahu kebenaran perjuangan PAS.

"Tentangan mereka terhadap PAS bukan kerana perjuangan PAS tidak betul, tetapi kerana kedegilan mereka sendiri untuk menerima kebenaran," katanya ketika merasmikan Persidangan ICT 2011 Media Baru "Revolusi Teknologi Maklumat Menghadapi PRU Ke-13" di Dewan Datuk Fadhil Noor di Taman Melewar, di sini, hari ini.

Berucap pada Seminar anjuran Lajnah ICT dan Jabatan IT PAS Pusat dengan kerjasama Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat itu, beliau berkata, realiti itu samalah juga dengan tentangan orang-orang kafir terhdap Islam yang bukannya kerana mereka tidak tahu dengan kebenaran Islam, tetapi kerana kedegilan mereka sendiri untuk menerima kebenaran.

Katanya, itulah juga sikap yang ditunjukkan oleh Abu Jahal terhadap Islam ketika hayat Rasulullah saw dulu, namun ia tetap tidak melemahkan perjuangan Islam seperti yang telah ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah saw.

"Setiap ahli PAS perlu faham perkara itu. Jadi, kita mestilah sentiasa bersedia menjawab segala persoalan dan segala bentuk tentangan yang ditimbulkan oleh mereka atau pihak Umno dengan baik dengan ilmu yang kita miliki," katanya.

Dalam konteks media baru, menurutnya, tugas tersebut amat perlu dilaksanakan dengan baik dan berkesan oleh para penulis, bloger-bloger yang menyokong perjuangan PAS dan mereka yang bertugas di bahagian penerangan.

"Setiap jawapan yang kita berikan dalam bentuk penulisan dan termasuklah juga dalam ceramah-ceramah mestilah berasaskan "Al-haq" atau kebenaran iaitu menyebarkan maklumat yang benar sahaja," katanya yang juga Mursyidul Am PAS.

Mengambil contoh pentadbirannya di Kelantan sejak PAS memerintah negeri itu, beliau telah melakukan banyak perubahan ke arah yang lebih islamik berbanding semasa Kelantan berada di bawah pemerintah BN dulu.

"Sebaik memerintah Kelantan, saya telah mengarahkan kesemua wang kerajaan dipindahkan ke dalam sistem perekonomian Islam untuk mengelakkan terjebak dengan riba.

"Walaupun pada awalnya dipersoalkan oleh beberapa pihak, tetapi apabila kita jelaskan dengan betul dan kena caranya, akhirnya mereka sendiri dapat memahaminya dan dapat menerima tindakan kita itu dengan baik," katanya.

Selain itu, beliau juga turut memperkenalkan cuti 2 hari seminggu bagi setiap kakitangan kerajaan di Kelantan yang juga turut ditentang oleh Umno dengan pelbagai dakwaan, termasuk mengatakan beliau mengajar dan mendorong rakyat menjadi malas.

"Tetapi akhirnya langkah yang baik dan turut memberikan keadilan kepada para pegawai atau kakitangan kerajaan itu juga turut ditiru oleh Umno," tegasnya.

Sejak memerintah Kelantan, beliau juga turut mengajar Al-Quran dan menjadi imam solat yang kesemua itu tidak dilakukan oleh pemimpin Umno semasa memerintah negeri itu.

"Maknanya, apabila menjadi ketua kerajaan, kita tak boleh hanya melakukan kerja-kerja pentadbiran sahaja. Sebaliknya kesemua perkara yang dibuat oleh Nabi Muhammad saw mestilah kita lakukan termasuk dalam persoalan memimpin rohani rakyat," katanya.

Menurutnya, pada bulan Ramadhan pula, Kerajaan PAS Kelantan turut berusaha menyedarkan orang ramai dengan tidak memanggil bulan Ramadhan sebagai bulan puasa, tetapi bulan Ramadhan.

Dengan itu, katanya, falsafah bulan Ramadhan akan berjaya diserapkan ke dalam hati orang ramai dengan lebih berkesan dengan tidak hanya melaksanakan ibadah solat dan puasa sahaja pada bulan Ramadhan, tetapi diperkembangkan dengan majlis-majlis ilmu, memperbanyakan bacaan al-Quran, memperbanyakkan amalan-amalan baik dan berzikir.

Cakno Anak Muda Dun Pulai Chondong






















Membaca pertukaran tawanan dengan kaca mata Hudaibiyah

Zulkaedah tahun keenam Hijrah, di atas keangkuhan penguasa Quraisy menghalang rombongan Junjungan Mulia, Nabi Muhammad s.a.w.memasuki kota Mekah, termetrai perjanjian yang dikenali kini sebagai Sulh Hudaibiyah. Dalam pembacaan yang ringkas, beberapa terma yang dipersetujui di dalam perjanjian ini mendatangkan protes senyap di kalangan para sahabat yang mersakan bahawa kaum Muslimin bakal menerima kesan negatif hasil dari perjanjian ini.

Allah Taala, Zat yang Maha Mengetahui, menghantar isyarat sebaliknya dengan firmanNya: 'إِنَّا فَتَحۡنَا لَكَ فَتۡحً۬ا مُّبِينً۬ا'
Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata (Al Fath : 1)

Maha Suci Allah yang memberi beberapa signal kemenangan sebaik perjanjian ini termaktub. Kejayaan awal berlaku pada tahun sesudahnya, pabila kaum Muslimin berjaya menunaikan umrah dengan gandaan kualiti dan kuantiti yang sama sekali memeranjatkan penduduk Makkah. Kehadiran ini, berdasarkan kepada syarat yang telah dipersetujui, tidak boleh langsung dibantah atau dimungkiri oleh kaum Musyrikin Mekah.

Di atas iltizam dan komitmen tinggi Muslimin mematuhi persefahaman ini, syiar Islam terus memenuhi jazirah Arab, merubah sosio-politik hingga menimbulkan rasa cemas yang amat kuat hingga mendorong Musyrikin Mekah merencana tindakan tergesa-tergesa yang mentajikahkan   perjanjian Hudaibiyah dikhianati oleh mereka sendiri. Puak Quraisy bersama Bani Bakr telah meyerang Bani Khuza'ah yang merupakan sekutu pada kaum Muslimin pada ketika itu.

II
Persetujuan Israel dan Hamas melakukan pertukaran 1,027 tahanan Palestin dengan seorang tentera Israel, Gilad Shalit juga berlaku pada bulan yang sama. Sejak 1983, jumlah tahanan ini merupakan yang terbesar membabitkan Israel dan pihak Arab.

Namun, usaha ini sewajarnya dilihat sebagai rentetan kepada kerja utama dan yang paling besar dalam isu Palestin-Israel, pembebasan Al-Quds. Memetik kata-kata Khalid Mash'al "Kemenangan kita dalam pertukaran tahanan Palestin dengan Israel tiada tukar gantinya dengan perjuangan kita membebaskan Baitulmaqdis. Ia tiada tukar gantinya dalam perjuangan kita untuk terus mara bagi mendirikan sebuah negara Palestin yang mnjadikan Al-Quds sebagai ibu negaranya.."

Hasil usaha ini, Hamas dlihat memberi political boost kepada gerakan tersebut setelah Fatah melalui Mahmoud Abbas berjaya membawa euphoria kepada rakyat Palestin berikutan ucapan gesaan kepada pengiktirafan Palestine di PBB. Hamas di sebalik tekanan dari luar dan dalam, dari wilyah sempit dan sesak di Gaza, berjaya mengatasi segala hasil dari cita-cita dan matlamat perjuangan yang jelas. Kata pepatah 'The greatest things started somewhere'

Jika kita mahu membuat pertalian secara langsung pertukaran tahanan ini dengan Perjanjian Hudaibiyah kita mampu menemui pada political will pimpinan Islam yang menerajui kedua-kedua kerajaan ini.

Kewujudan setahun jagung pentadbiran negara Madinah yang diterajui oleh Nabi Muhammad s.a.w berjaya mengheret kuasa besar Tanah Arab ketika itu, kaum Quraisy, yang mengusai kota penting Mekah dari sudut politik dan ekonominya duduk berunding semeja. Jelasnya, membuktikan bahawa, Madinah mempunyai suatu peranan strategik yang digeruni oleh Quraisy. Meski pemerintahan Madinah masih belum lagi mempunyai sejarah kegemilangan seperti Quraisy yang berakar lama melangkaui 600 tahun, Madinah berjaya menggugat status quo tersebut. Begitu juga Hamas, hayat pemerintahannya di Gaza jauh lebih singkat berbanding kuasa besar Israel yang bermaharajelela secara haram di Palestin, namun kewujudan Hamas berjaya merubah pendekatan dan polisi ganas Israel terhadap penduduk Palestin. Israel berjaya dipujuk untuk menyutujui perjanjian dengan nisbah yang begitu besar ini (1:1027) hasil kebijakan dan kepintaran Hamas.

Kelantan bina lebuh raya, Pusat tidak serius

KOTA BHARU, 18 Okt: Kerajaan Kelantan sedang serius menimbangkan pembinaan lebuh raya dari Kota Bharu ke Kuala Krai melalui kerjasama dengan pihak swasta.
Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Azikz nik Mat berkata, ini berikutan sikap kerajaan Pusat yang dilihat tidak serius di dalam memenuhi keperluan rakyat Kelantan yang semakin mendesak termasuklah menafikan keperluan projek ini di dalam Rancangan Malaysia ke-9 dan ke-10.
“Justeru, cadangan membina lebuh raya sepanjang 63 kilometer ini sedang diteliti untuk dilaksanakan,” ujarnya ketika membentangkan Belanjawan negeri 2012 pada persidangan Dun Kelantan, sebentar tadi.
Teks beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa.
Setakat ini, katanya kerajaan Kelantan sudah menerima banyak permohonan pihak swasta yang berminat untuk melaksanakan projek itu.
Beliau  juga memberitahu, sebanyak RM29.65 juta telah disediakan kepada Jabatan Kerja Raya negeri untuk melaksanakan pelbagai projek untuk kesejahteraan rakyat berbanding tahun 2011 sejumlah RM12.0 juta.
Mengenai usahawan, sebanyak RM2.50 juta diperuntukkan di bawah Program Usahawan Berdikari tahun ini berbanding RM2.0 juta tahun lepas yang menggabungkan lima program pembangunan usahawan termasuk Program Galakan Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Gerakan Berdikari Rakyat Kelantan, Program Khas Siswazah, Skim Kerjaya Penganggur, Dana Belia Niaga dan Tabung Usahawan Wanita.

Rais jangan guna SKMM sebagai polis peribadi

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Datuk Seri Rais Yatim diharap tidak menggunakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai polis peribadinya semata-mata untuk membuktikan beliau masih lagi relevan.
Ketika menyatakan harapan tersebut kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) berkata, rakyat tidak ingin melihat mana-mana kementerian atau institusi kerajaan digunakan untuk membodek Perdana Menteri atau membuktikan kononnya seseorang itu masih lagi relevan.
Mengulas tindakan SKMM menyiasat pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari, dipercayai ekoran reaksi pensayarah itu terhadap tindakan Sultan Selangor baru-baru ini, Salahuddin berharap tindakan itu dihentikan serta merta.
"Tindakan itu dilihat umum sebagai penyalahgunaan kuasa yang sangat ketara dan pencabulan kebebasan bersuara yang memalukan negara.
"Ia mesti dihentikan serta merta kerana ia bukan sahaja pencabulan kebebasan bersuara malah pencabulan serta penghinaan terhadap kebebasan akademik," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.
Dr Abdul Aziz, kata Salahuddin, bercakap berdasarkan ilmu dan kelayakan akademiknya dan tindakan SKMM menyiasatnya tanpa menyatakan kepada umum kesalahan beliau di sisi undang-undang adalah tindakan yang dilihat rakyat sebagai menjijikkan.
Beliau juga mempersoalkan adalah SKMM mahu mewujudkan 'profesor kangkung' yang bercakap melalui TV dan media tanpa mengikut fakta sebenar semata-mata mengampu pemerintah.
Sebelum itu, walaupun mendakwa kenyataan Dr Abdul Aziz kurang ajar, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau tidak tahu adakah pensyarah itu melanggar undang-undang atau tidak.
"Sama ada ia melanggar undang-undang, saya tidak tahu, tetapi dari segi moral, ia kurang ajar," Bernama memetik Dr Mahathir berkata.
Setakat ini, kata Salahuddin, tidak ada mana-mana pihak berwibawa yang secara jelas dan terus terang menyatakan Dr Abdul Aziz melanggar mana-mana peruntukan undang-undang kerana kenyataannya itu.
"Yang ada hanyalah histeria dan gelagat tidak tentu arah dan melucukan dari mereka yang hendak membodek atau mereka yang sudah jenuh dilihat umum sebagai gila-gila," kata beliau.
Dr Abdul Aziz sebelum itu menyifatkan tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu pemeriksaan gereja bukanlah suatu tindakan yang lazim.
Aziz dilaporkan berkata, sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhak campur tangan, namun ia perlu dilakukan selaras dengan ajaran Islam.

Penjawat awam Kelantan terima bonus

KOTA BHARU, 18 Okt: Kerajaan Kelantan hari ini mengumumkan pemberian bonus untuk kali kedua dalam tahun ini yang akan dibayar kepada penjawat awam negeri pada Disember ini.
Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, bonus yang diberikan tersebut adalah selari dengan kerajaan Persekutuan yang telah mengumumkan pada pembentangan bajet 2012 baru-baru ini iaitu separuh gaji atau minima RM500 bagi semua penjawat awam.
"Alhamdulillah, sekalipun dikatakan orang kantung negeri Kelantan selama ini kempis, namun kita tetap mampu memberikan penghargaan dalam bentuk bonus kepada kakitangan," ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika membentang Belanjawan 2012 pada persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini. Teks beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa.
Menurut beliau lagi, kerajaan sentiasa menghargai jasa kakitangan di sektor awam dan pentadbiran dan kerajaan akan sentiasa memastikan kebajikan kakitangannya diambil berat.
"Saya juga ingin merakamkan tahniah kepada jentera pentadbiran negeri kerana pada pertengahan tahun 2011 boleh dikatakan semua jabatan telah mengamalkan bacaan ayat suci Al-Quran dan terjemahan pada setiap pagi dan diharapkan dapat diteruskan pada sepanjang masa," katanya lagi.
Katanya, belanjawan yang bertemakan 'Kesejahteraan Bersama Keberkatan' itu, kerajaan berhasrat untuk berbelanja secara bijaksana dan berhemat dengan bermatlamatkan kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Husam berkata, bajet itu menumpukan kepada tiga aspek utama iaitu penjanaan ekonomi untuk semua rakyat, pembinaan insan yang berteraskan Islam serta pembelaan golongan daif dan miskin, orang kurang upaya, anak yatim, armalah dan warga emas serta mereka yang memerlukan.

Berasaskan tema tersebut, ujarnya bajet negeri terus berpaksikan kepada strategi berikut iaitu memastikan hasil tunggakan keraajan negeri dapat dipungut dengan memantapkan jentera kutipan hasil, memberi fokus kepada aspek pembangunan negeri serta mengurangkan ketidakseimbangan sosio ekonomi terutamanya memastikan matlamat membasmikan kemiskinan tegar.

Begitu juga, ujarnya dengan memastikan perbelanjaan berhemah sepanjang masa, memastikan kesejahteraan rakyat dengan mengimbangi pembangunan fizikal dan rohani dalam kerangka pembangunan insan yang komprohensif, memastikan kemudahan infrastruktur diselenggara dengan baik dan mewujudkan urustadbir yang baik dengan berlandaskan ubudiyah, masuliyyah dan itqan.

"Bagi merialisasikan tema bajet ini, anggaran perbelanjaan mengurus tahun 2012 berjumlah RM513.49 juta berbanding RM464.13 juta dalam tahun 2011," ujar beliau.

Sementara itu, katanya anggaran pendapatan negeri bagi tahun 2012 ialah RM430.27 juta yang meliputi hasil cukai sebanyak RM88.49 juta, hasil bukan cukai RM196.24 juta, sementara terimaan bukan hasil sebanyak RM145.54 juta.

Menurutnya, jumlah tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan dalam hasil sebanyak RM19.38 juta atau 5 peratus berbanding dengan anggaran hasil 2011.

Menurut Husam lagi, peningkata hasil itu adalah berpunca dari beberapa penyemakan semula hasi yang dibuat oleh jabatan dan hasil tanah menjadi penyumbang terbesar dengan jumlah RM109.46 juta atau 25.44 peratus dari keseluruhan jumlah hasil.

Hutang negara: Noktah terakhir Umno BN PRU13

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa bimbang dengan trend Malaysia yang suka berhutang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, dalam laporan terbaru yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan menyebut, hutang Kerajaan Persekutuan sehingga 30 Jun 2011 berjumlah RM437.2 bilion atau 52.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Daripada jumlah tersebut pula, hutang Kerajaan Persekutuan dalam negeri berjumlah RM421 bilion atau 96.3 peratus manakala RM16.2 bilion atau 3.7 peratus merupakan hutang luar negara.
“DPPM hairan mengapa negara sanggup menanggung hutang setiap tahun. Negara Malaysia adalah antara negara yang kaya dengan pelbagai kegiatan ekonomi, tetapi masih tidak cukup buat menampung perbelanjaan negara,” katanya kepada Harakahdaily.
Katanya, dengan hasil bumi seperti petroleum yang semakin bertambah, dengan aktiviti pertanian seperti kelapa sawit, getah, padi, nenas dan lain-lain lagi ditambah dengan pelbagai industri yang semakin berkembang, adakah itu masih tidak cukup menampung perbelanjaan negara.
Yang peliknya, kata beliau rakyat Malaysia tidaklah terlalu ramai jika hendak dibandingkan dengan negara besar seperti Indonesia, China dan India, sepatutnya Malaysia menjadi lebih kaya dan maju serta tidak bergantung dengan pinjaman luar mahupun agensi dalam negara sendiri.
Soalnya, apa perlunya Malaysia meminjam sehingga berhutang keliling pinggang setiap tahun.
“Apakah ia kerana kos perbelanjaan bajet ‘one off’ atau ‘gula-gula’ pilihan raya sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Bajet 2012 baru-baru ini menyebabkan Malaysia terpaksa berhutang?
“Ataukah kerana sikap pemimpin Umno BN yang suka projek mega yang membazir dan merugikan negara?
“Adakah juga ia kerana kegagalan pemimpin Umno BN mengurus negara sehingga terpaksa berhutang dalam dan luar negara?” katanya lagi.
DPPM, ujarnya khuatir trend berhutang ituakan menjadikan negara bankrap dan seterusnya memufliskan negara.
Beliau menambah, kesannya terhadap ekonomi negara adalah peningkatan inflasi, jurang pendapatan antara yang berpendapatan tinggi dengan rendah sangat ketara, pelaksanaan cukai yang membebankan rakyat, serta kos hidup yang semakin meningkat.
Katanya lagi, kesan terhadap sosial pula adalah berlakunya penyelewengan kuasa, rasuah, penindasan, kronisme, monopoli dan sebagainya.
“Kenyataan ini membuktikan satu lagi siri kegagalan pemimpin Umno BN dalam memimpin negara ini,” ujarnya lagi.
Menurutnya, meskipun kedudukan ekonomi negara dilaporkan baik dan berkembang dengan sihat, hakikatnya pemimpin negara gagal melindungi ‘kesakitan’ negara ekoran hutang negara yang terlalu banyak.
“DPPM mengharapkan dengan ini rakyat akan meletakkan noktah terakhir buat Umno BN dalam PRU akan datang dan seterusnya memberi peluang Pakatan Rakyat pula memimpin negara ini,” katanya.
DPPM, tegasnya yakin Pakatan Rakyat akan mampu membuktikan bahawa dalam keadaan negara tidak berhutang boleh menjamin kemajuan dan kestabilan negara.
Bahkan, tegasnya Pakatan Rakyat akan pastikan negara bebas dari hutang yang membelenggu selama ini dengan pentadbiran yang cekap, amanah, telus, bebas dan adil.

PAS bina Stadium Sultan Mohamad IV

KOTA BHARU, 18 Okt: Pihak yang memperkecil cadangan kerajaan negeri membina stadium bola sepak berciri reka bentuk unik seperti lupa Stadium Sultan Mohamad Ke IV yang ada sekarang dibina kerajaan PAS selepas pilihan raya 1964.
Stadium itu dibina di kawasan seluas 13 ekar melibatkan kos sebanyak RM1.5 juta dibina secara berperingkat-peringkat. Ia dapat menampung seramai 25,000 penonton.
Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, pihak yang cuba mempersendakan cadangan kerajaan negeri membina stadium baru di Bukit Merbau, Pasir Puteh seperti lupa kejayaan kerajaan PAS sebelum ini.
“Stadium Sultan Mohammad Ke IV yang ada sekarang dibina kerajaan PAS. Maka tidak pelik stadium baru  juga boleh dibina kerajaan negeri yang ada sekarang.
”Pihak-pihak yang mempertikai cadangan membina stadium baru itu seolah-olah lupa sejarah pembinaan stadium di Kelantan,” katanya menjawab soalan Ahmad Baihaki Atiqullah (PAS-Pasir Tumbuh) pada persidangan Dun hari ini.
Pada Mei lalu kerajaan negeri mengumumkan akan membina sebuah stadium baru di kawasan seluas 123 ekar dengan kos bernilai RM159 juta di Bukit Merbau, Pasir Puteh.
Kompleks stadium yang unik tersebut dijangka mampu menampung sehingga 40,000 penonton menyediakan tempat solat di setiap aras bagi memudahkan orang ramai mengerjakan sembahyang.
Selepas pengumuman tersebut ada pihak terutamanya pemimpin Umno mempertikaikan cadangan tersebut dan menganggap kerajaan negeri tiada kemampuan.
Husam berkata, sehingga kini empat syarikat sudah mengemukakan kertas cadangan kepada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen) bagi membina stadium tersebut.
”Syarikat terbabit akan membentang proposal mereka kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat,” katanya.
Menurutnya syarikat yang akan membina stadium tersebut bakal membina projek komersial lain di kawasan berkenaan bagi membolehkan mereka mendapat dana untuk menampung kos.
Kata beliau juga reka bentuk stadium tersebut diilham sendiri Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang akan menggabungkan ciri stadium dan masjid.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, PAS sehingga kini sudah mengemukakan dua kali usul persendirian di parlimen mendesak kerajaan menggubal undang-undang murtad.
Katanya, usul tersebut dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, namun tidak ada menteri dan anggota parlimen Umno menyokong usul tersebut.
”Tanpa ada menteri atau anggota parlimen Umno yang menyokong menyebabkan usul persendirian itu tidak diterima Speaker.
”Ini menggambarkan sudah lama PAS mendesak kerajaan pusat menggubal undang-undang mencegah murtad dan ia bukan perkara baru.
”Undang-undang murtad juga sudah terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II). Jadi tidak berbangkit Kelantan tiada undang-undang mencegah murtad,” ujarnya menjawab soalan tambahan Datuk Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas).

Ucapan YAB Menteri Besar Kelantan Sewaktu Menyokong Usul Junjung Kasih dan Tahniah Kepada KDYMM Sultan Muhammad ke V Hari Ini

Bismiilahirrahmanir rahim

YANG BERHORMAT DATO SPEAKER

Saya bagi pihak batang tubuh dan kerajaan negeri Kelantan memohon untuk menyokong usul yang dikemukakan oleh Kelab Penyokong Kerajaan iaitu usul junjung kasih dan tahniah di atas pemilihan KDYMM al-Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke V sebagai Timbalan Yang Dipertuan Agong bagi tempoh 5 tahun bermula 13 Disember 2011.

Mewakili seluruh warga pentadbiran kerajaan negeri Kelantan, setinggi-tinggi junjung kasih dan tahniah dirafakkan kepada KDYMM Sultan Muhammad ke V, Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri Kelantan Darul Naim yang telah dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertuan Agong. Selaku Menteri Besar, saya melahirkan rasa syukur teramat sangat dengan pemilihan yang telah dibuat oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya di Istana Negara 13 Oktober 2011 yang lalu. Semoga Ke Bawah Duli Tuanku dilimpahkan keberkatan yang berpanjangan serta kesihatan yang berterusan untuk terus menaungi rakyat negeri Kelantan serta berkhidmat sebagai Timbalan Yang Dipertuan Agong. Junjung kasih dan doa tulus ikhlas untuk KDYMM Tuanku al-Sultan Kelantan.

Sesungguhnya DYMM Tuanku adalah anugerah Allah SWT untuk bumi Kelantan yang bertuah ini. Bumi inilah yang dikenali dengan jolokan Serambi Mekah dan bumi inilah yang telah melahirkan ribuan ulama semenjak ratusan tahun yang lampau. Jika ditinjau dari sudut kemasukan Islam ke negeri Kelantan, sejarah mencatatkan bahawa bumi Kelantan mula menerima gema syahadah sebelum abad ke-12 Masehi lagi. Ini dibuktikan dengan penemuan dinar di Kota Kubang Labu, Pasir Pekan, Kelantan. Manakala dalam aspek pendidikan Islam di Malaysia, Kelantan merupakan salah sebuah negeri yang terkenal dengan perkembangan pendidikan yang pesat yang telah melahirkan ulama’-ulama’ yang berwibawa. Di Tanah Melayu, Kelantan dipercayai di antara negeri yang mula-mula mewujudkan sistem pondok. Pondok pertama yang didirikan di Kelantan ialah pada tahun 1820 M oleh Tuan Guru Haji Abdul Samad bin Abdullah (Tok Pulai Chondong) Selain dari pondok Pulai Chondong yang didirikan di Kelantan sebelum 1910 ialah Pondok Tok Bachok pada tahun 1900, Pondok Haji Abdul Malik Tumpat pada tahun 1907, Pondok Haji Yusuf Pulau Ubi, Geting Tumpat tahun 1908, Pondok Kubang Pasu Kota Bharu pada 1900, Pondok Sungai Budor, Pondok Kampung Banggol, Pondok Tuan Padang dan Pondok Tok Semian yang diasaskan oleh Haji Wan Abdul Samad bin Mohd Salleh atau lebih dikenali dengan gelaran Tuan Tabal.

Yang Berhormat Dato Speaker,

Apakah rahsianya sehingga Kelantan berjaya melahirkan para ulama terkemuka ini? Rahsianya ialah pada kehebatan Sultan yang menaungi pemerintahan. Sejarah mencatat bagaimana pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad ke III pada tahun 1890-1891, baginda telah menguatkuasakan pelaksanaan undang-undang syarak dalam acara guaman sama ada jenayah mahhupun mal. Baginda telah menyambung usaha pelaksanaan undang-undang syariah yang telah dimulakan oleh Sultan-sultan yang terdahulu iaitu Sultan Muhammad II dan Sultan Ahmad. Pada zaman pemerintahan Sultan Mansur pada tahun 1891-1900, undang-undang syariah dilaksanakan sepenuhnya di bumi Kelantan termasuklah hukuman hudud ke atas pencuri dan qisas ke atas pembunuh. Baginda juga menguatkuasakan hukum takzir ke atas orang yang tidak berpuasa dan perempuan yang tidak menutup aurat. Komitmen sultan-sultan yang menaungi Kelantan inilah yang membuka jalan kepada perkembangan dakwah Islam dan lahirnya ribuan ulama serta tumbuhnya pondok-pondok pengajian di seluruh negeri Kelantan.

Yang Berhormat Dato Speaker,

Justeru, dengan pemilihan KDYMM Al-Sultan Kelantan sebagai Timbalan Yang Dipertuan Agong, besarlah harapan saya dan seluruh rakyat negeri Kelantan agar KDYMM Tuanku akan terus diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk menanungi rakyat negeri Kelantan serta seluruh negara dengan ruh syariat. Saya yakin insya-Allah, Kelantan yang dikenali sebagai Serambi Mekah akan terus dilimpahi keberkatan oleh Allah SWT dan mencatat sejarah gemilang sebagaimana di masa yang lalu dengan adanya pemerintah yang menaungi negeri seperti KDYMM Tuanku.

Sekali lagi, saya pohon menyokong usul junjung kasih dan tahniah di atas pemilihan KDYMM al-Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke V sebagai Timbalan Yang Dipertuan Agong. Allahuakbar!

Yang Berhormat Dato Speaker, saya pohon menyokong.

Bertarikh : 17 OKtober 2011

'Apa salah saya' - Aziz Bari

KUALA LUMPUR, 17 Okt: Prof Dr Abdul Aziz Bari berasa hairan dengan serangan bertubi-tubi yang dibuat ke atas beliau oleh akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.

"Hari ini sudah lebih seminggu saya diserang oleh akhbar itu. Dan semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pun ikut mengutuk saya. Sedangkan apa yang saya komen begitu ringkas dan tak lari dari peruntukan perlembagaan. Sekurang-kurangnya kalau dibandingkan dengan apa bekas Perdana Menteri itu buat masa beliau berkuasa.

"Kita semua tahu bagaimana dia mengutuk dan menelanjangkan Raja-Raja. Utusan pun dua kali masa itu. Selain menyiarkan pelbagai fitnah untuk menjatuhkan imej Raja-Raja mereka kata negeri-negeri yang tidak beraja - seperti Pulau Pinang - lebih maju dari negeri-negeri yang ada Raja," kata Aziz.

Hari ini profesor undang-undang UIAM dikunjungi oleh pegawai SKMM.
Secara kebetulan dalam kolumnya semalam Awang Selamat mengkritik badan tersebut yang dikatakan tidak peka dengan usaha pihak-pihak tertentu seperti Malaysiakini melalui individu seperti Aziz dalam soal memurtadkan umat Islam.

Aziz berasa kesal kerana kedudukannya dikutuk dan dipertikaikan.

"Ibarat permainan bola mereka bukan nak rebut bola dari kaki saya. Sebaliknya kaki saya pula yang disepak. Dan orang-orang lama seperti mantan Perdana Menteri itu pun ikut sama. Mereka keroyok saya ramai-ramai.

"Kalau tak setuju dengan hujah saya berilah hujah mereka pula. Saya pun nak belajar juga; mungkin mereka lebih betul. Menuduh saya derhaka, biadab, keliru dan ada agenda politik adalah tidak adil. Saya orang kecil, tak ada pengaruh. Apa yang mereka takutkan? Sebab itu saya nak saman mereka," ujarnya.

Bagaimanapun pakar perlembagaan negara itu amat terharu dengan sokongan masyarakat termasuk bekas-bekas pelajar beliau.

"Mereka bersusah payah menelefon menyatakan sokongan dan menyeru saya jangan undur. Itu tidak termasuk yang menulis dalam ruang maya untuk memberi semangat. Saya cukup berterima kasih kepada mereka," tambahnya.

Aziz berkata beliau sekadar mahu berkongsi dengan masyarakat apa yang beliau kaji selama ini.
"Dengan perkembangan terbaru ini saya sendiri terpaksa melihat semula teori saya mengenai kedudukan dan peranan Raja-Raja. Ini sangat berguna dan menarik bagi saya. Sebab itu saya tak minat hendak berpolitik sebab dunia akademik ini sangat mengujakan," ujarnya.

Hutang negara berjumlah RM437.2 bilion

KUALA LUMPUR, 17 Okt: Hutang Kerajaan Persekutuan sehingga 30 Jun 2011 berjumlah RM437.2 bilion atau 52.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Daripada jumlah tersebut, sebahagian besar hutang Kerajaan Persekutuan merupakan hutang dalam negeri yang berjumlah RM421 bilion atau 96.3 peratus daripada keseluruhan hutang, manakala baki RM16.2 bilion atau 3.7 peratus merupakan hutang luar negara.

Dengan jawapan bertulis Kementerian Kewangan kepada soalan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang meminta Menteri Kewangan menyatakan hutang luar negara mengikut negara yang memberi pinjaman kepada Malaysia.

Jawapan itu juga memberitahu sumber hutang, pinjaman dalam negeri diperolehi melalui terbitan Bil Perbendaharaan, Terbitan Pelaburan Kerajaan Kerajaan (TPK), Sekuriti Kerajaan Malaysia (SKM), pinjaman Kumpulan Pinjaman Perumahan dan terbitan Sukuk Simpanan Rakyat serta Sukuk 1Malaysia.

Pemegang instrumen berkenaan terdiri daripada institusi kewangan, syarikat insurans dan pertubuhan keselamatan sosial seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan SOCSO.

Dalam pada itu hutang luar negeri Kerajaan Persekutuan pula diperoleh daripada sumber pasaran modal antarabangsa melalui terbitan sukuk global dan pengeluaran pinjaman projek melalui institusi multilateral seperti Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia dan Bank Pembangunan Islam serta bilateral dalam mata wang asing iaitu Dolar Amerika Syarikat, Yen, Dolar Eura, Dolar Kanada serta Dinar.

Dun Kelantan rakam tahniah kepada Sultan

KOTA BHARU, 17 Okt: Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke V di atas perlantikan baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bermula 13 Disember ini.

Usul yang dibawa oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan yang juga Adun Ayer Lanas, Abdullah Yaakob tersebut disokong sebulat suara termasuk dari kesemua tujuh Adun pembangkang (BN)

Abdullah ketika menyampaikan ucapan berkata perlantikan baginda merupakan satu penghormatan kepada negeri Kelantan dan ia menjadi satu kebanggaan kepada rakyat.

Sementara itu, Adun Pulai Chondong, Zulkifli Mamat dan Adun Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad turut merakamkan ucapan tahniah.

Bagi pihak rakyat pula Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga mengambil kesempatan merakamkan ucapan tahniah kepada Tuanku Al-Sultan.

Persidangan Dun kali ini yang bermula hari ini sehingga 20 Oktober menyaksikan pembentangan Belanjawan negeri 2012.

Najib tidak tahu definisi pilihan raya adil

KUALA LUMPUR, 17 Okt: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan BN tidak pernah memanipulasi pilihan raya umum di Malaysia supaya kemenangan sentiasa berpihak kepada parti itu.
Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor (gambar) menganggap Najib terlupa sejarah pilihan raya umum di Malaysia yang menyaksikan bagaimana BN memainkan peranan bagi memenangi setiap pilihan raya berlangsung.
“Barangkali Datuk Seri Najib tidak mengerti definisi sebenar adil menurut perspektif yang betul,” katanya kepada Harakahdaily.
Untuk itu, ujarnya DPPM ingin menanyakan beberapa persoalan yang perlu dijawab oleh Najib bagi membuktikan bahawa kenyataannnya betul.
Katanya, dalam sejarah pilihan raya umum berlangsung sejak dahulu sehingga sekarang, bilakah media milik kerajaan Umno BN benar-benar bersih daripada kongkongan parti pemerintah Umno BN.
Menurutnya, setahu DPPM, tidak pernah media rasmi negara bebas dalam melaporkan hal yang sebenarnya.
Beliau berkata, PAS dan Pakatan Rakyat sejak dahulu tidak pernah mendapat liputan yang adil daripada media rasmi, malah pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat selalu ditujah dan diserang dari pelbagai penjuru bagi memburukkan imej PAS di mata masyarakat.
“Pernahkah kerajaan Najib memberi kebebasan untuk pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat tampil di media rasmi negara bagi berkempen sebagaimana pemimpin Umno perolehi setakat ini?” tanya beliau.
Dalam soal undi pos, katanya PAS telah banyak mengemukakan bukti serta saksi betapa undi pos digunakan sebagai alat untuk memenangkan parti pemerintah.
PAS, jelasnya pernah membawa beberapa orang bekas anggota tentera yang mengaku pernah mengundi banyak kali dalam sesebuah PRU.
“Adakah Najib mahu menafikan lagi hal ini?” soalnya lagi.
Katanya, memang benar ada tempat yang undi pos memihak kepada PAS, tetapi berapa sangatkah jumlah keseluruhannya berbanding undi yang diperolehi oleh Umno BN.
Ujarnya, DPPM ingin bertanya, jika betul BN sebagai adil, bolehkah undi pos dimansuhkan dan digantikan dengan undi biasa sepertimana rakyat biasa yang lainnya.
Dalam soal berkempen, soalnya apakah Najib lupa bahawa Umno BN selalu bertindak berat sebelah di mana eluruh jentera kerajaan dikerah bagi berkempen dalam sesebuah pilihanraya, sama ada pilihanraya kecil atau umum.
Katanya, para guru, pegawai kerajaan, tentera, polis dan lain-lain digunakan sebagai alat berkempen, seolah-olah pilihanraya kecil atau umum adalah milik Umno BN.
“Adakah Najib mahu menafikan hal ini, dan adilkah sebuah kerajaan melawan sebuah parti pembangkang dalam pilihanraya?” tanya beliau.
Mungkin juga, katanya Najib terlupa takrifan projek ‘mi segera’ setiap kali pilihanraya berlangsung di mana secara tiba-tiba Dun atau Parlimen terbabit bertukar menjadi kawasan yang mendapat projek runtuh, sedangkan sebelum daripada itu tidak pernah kawasan tersebut dijenguk.
Bagi BN, ujarnya lagi ia adalah baik kerana untuk rakyat tetapi rakyat mentakrifkannya sebagai rasuah pilihanraya.
Tambahnya, agensi penting seperti SPR dan SPRM pula seakan buta melihat segala macam kebobrokan yang dilakukan oleh pemimpin BN.
“Mungkin ini adil menurut Najib,” ujarnya lagi.
Beliau menambah, adil yang paling benar bagi Najib adalah merahsiakan tarikh pilihan raya umum, seakan suatu rahsia besar yang perlu dielak dari dikongsikan bersama rakyat Malaysia.
Ujarnya, biarlah pembangkang ‘terkulat-kulat’ membuat persiapan apabila secara tiba-tiba pilihan raya umum dipanggil pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Najib.
Katanya lagi, bagaimana jika Pakatan Rakyat melakukan hal yang sama, dan BN yang menjadi pembangkang pula dalam keadaan tidak bersedia apabila tiba-tiba berlaku PRU.
Riduan berkata, Pakatan Rakyat memenangi banyak negeri di Semenanjung bukan membuktikan BN itu adil, tetapi ia membuktikan bahawa rakyat telah melihat kebenaran.
Katanya, kebenaran tidak boleh disorok, maka kejahatan yang dibuat tidak mampu menenggelamkan kebenaran yang diterima rakyat.
“Ini adalah sedikit dari pelbagai bukti kepincangan yang berlaku dalam pilihan raya era BN,” katanya.
Najib, tambahnya seakan menghidap ‘sindrom penafian’ bahawa BN sejak sekian lama, merosakkan sistem demokrasi dan pilihan raya di negara ini.
“Buat Najib, belajarlah mengenal erti keadilan dari perspektif rakyat dan umum, bukan dari kacamata BN semata-mata!” ujarnya.

Hudud sebagai pendekatan tangani gejala sosial

KOTA BHARU, 17 Okt: Persatuan Pelajar Islam Kelantan (PPIK) merujuk kepada hasrat kerajaan Negeri Kelantan yang ingin melaksanakan sistem berteraskan hudud adalah suatu langkah yang baik.
“Pihak kami mewakili suara pelajar mahasiswa Islam di Kelantan menyambut baik hasrat tersebut,” kata Timbalan Yang Dipertuanya, Mohd Syahiran Muhammad.
Jelasnya, hudud merupakan satu tuntutan syariat dan aqidah bagi umat Islam.
Katanya, perintah perlaksanaan hudud adalah bersifat qati’e atau mutlak iaitu kewajipan yang mesti dilaksanakan yang harus diterima oleh umat Islam negeri ini.
“Pihak kami yakin hudud boleh dilaksanakan di Kelantan atas sebab majoriti masyarakat di negeri ini adalah beragama Islam dan Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukuman Hudud) telahpun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993 hanya tinggal untuk digerakkan sahaja dengan kelulusan kerajaan pusat,” ujarnya.
Beliau mengetuai penyerahan memorandum PPIK yang menyokong hasrat kerajaan Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud kepada Menteri Besar Kelantan yang diwakili Dr Fadzli Hassan, Exco Kerajaan Kelantan, semalam.
Namun demikian, katanya pendidikan serta penerangan mengenai hudud harus dibuat secara kosisten kepada masyarakat terutama kepada yang bukan Islam, agar masyarakat dapat menerima perlaksanaan ini dengan berteraskan ilmiah, bukan sekadar sokongan politik semata-mata.
PPIK, tegasnya mengecam tindakan pihak yang mempolitikkan isu hudud demi kepentingan politik mereka dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menggambarkan hukuman itu zalim dan tidak adil yang turut dimomokkan kepada orang bukan Islam.
Jelasnya, sedangkan perlaksanaan hudud hanya melibatkan orang Islam dan yang bukan Islam boleh diberikan alternatif lain.
Ini, katanya sebagaimana kisah pasangan orang Yahudi yang telah berzina dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w. dan baginda merujuk kepada kitab mereka iaitu Taurat dan didapati dalam itu juga menyatakan hukuman bagi penzina adalah rejam.
“Ini adalah kenyataan atau gambaran perlaksanaan hudud kepada bukan Islam dan pihak kami amat kesal dengan orang Islam yang lebih mementingkan kedudukan politiknya dengan memburuk-burukan agamanya sendiri.
“Pihak kami juga yakin bahawa perlaksanaan hudud ini menjadi satu pendekatan baru dalam menangani kes-kes dan gejala sosial yang berlaku di Kelantan,” katanya.
Ini, ujarnya lagi boleh dijadikan kajian (eksperimen) bagi membuktikan sejauh mana kesan perlaksaan hukuman itu yang akan dirujuk oleh negeri-negeri lain dan seterusnya ke peringkat negara.
“Akhir sekali pihak kami menegaskan bahawa Persatuan Pelajar Islam Kelantan (PPIK) merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berteraskan keIslaman dan pendidikan serta mewakili suara pelajar mahasiswa di Kelantan yang tidak mempunyai pertalian dengan mana-mana parti politik, mendesak agar pihak kerajaan pusat yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agama membenarkan hudud ini dilaksanakan di Negeri Kelantan,” katanya.

Kelantan pinda enakmen emas

KOTA BHARU, 17 Okt: Kerajaan Negeri Kelantan akan meminda Enakmen Kewangan Kelantan 1995 bagi membolehkan negeri itu membeli, menyimpan serta melabur emas dan perak.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata, pindaan itu akan dibuat dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula minggu ini.

“Dengan adanya pindaan ini ia bertujuan mengizinkan Kerajaan Negeri membeli, menyimpan dan melabur logam-logam berharga seperti emas, perak dan lain-lain supaya mata wang ini diguna pakai di Kelantan dan tidak bergantung kepada mata wang kertas yang semakin lemah nilainya," lapor Sinar harian.

Beliau berkat demikian pada sidang media selepas Forum Rakyat di sini, kelmarin.

Beliau memberi contoh negeri Utah di Amerika Syarikat sudah membuat undang-undang seperti ini peringkat negeri itu yang membolehkan mata wang jenis ini diterima kembali.

"Begitu juga Singapura juga sudah melaksanakannya sejak tahun 1965 lagi,” tambahnya.

Menurutnya lagi, Kelantan mahu menjadi perintis memperkenalkan enakmen itu di Malaysia dan menegaskan ia bidang kuasa Kerajaan Negeri dan tidak perlu kelulusan Kerajaan Pusat.

Negara-negara lain juga mengambil pendekatan sama seperti China yang mengalihkan polisi mereka apabila menyedari US Dollar lemah lalu menetapkan 10 peratus simpanan antarabangsa mereka dalam bentuk jongkong emas.

Katanya, langkah itu turut diikuti India dan Korea Selatan tetapi apa yang menghairankan Malaysia masih lagi tidak melakukan sebarang tindakan bagi mengatasi masalah itu.

Husam berkata, lazimnya masyarakat Islam diminta membahagikan simpanan mereka mengikut portfolio yang merangkumi emas, perak, mata wang kertas dan sebagainya.

“Bagaimanapun dalam negara kita sekarang ringgit disimpan dalam mata wang kertas terutama sekali US Dollar dan juga Euro. Dalam sejarah mata wang Islam terdapat dinar, dirham dan fulus.

“Fulus boleh menjadi ringgit Malaysia. Setiap mata wang memiliki kekuatan dan kelemahan masing-masing tetapi apabila ada tiga kombinasi itu ia menjadi kuat,” katanya.

Menurutnya, sebagai komoditi harga emas akan naik dan turun, apabila harga emas turun, fulus boleh berperanan tetapi apabila harga emas naik, dinar pula sebagai ganti.

Dengan cara itu, katanya, kekayaan yang dimiliki dapat diselamatkan kerana kombinasi mata wang jenis itu diguna pakai.
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates