Tiada air sudah cukup untuk tolak BN

TEMERLOH, 27 Feb: Masalah ketiadaan bekalan air bersih sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 53 tahun sudah cukup bagi penduduk Kampung Pulau Mandi Angin untuk menolak Umno BN.
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa berkata, lebih malang lagi bagi penduduk di kampung berkenaan tidak mendapat bekalan air sekalipun hanya berjarak empat kilometer dari loji air Batu Sawar.
Beliau yang meninjau masalah penduduk di kampung hari ini menambah, para penduduk di situ semacam dipinggirkan oleh kerajaan BN untuk mendapat kemudahan asas walaupun dua orang Perdana Menteri adalah dari negeri Pahang.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya sekadar melaungkan slogan ‘rakyat diutamakan’ tetapi nasib rakyat di negeri sendiri terabai untuk menikmati bekalan air bersih.
Baginya, masalah utama mendapatkan bekalan air itu tidak sewajarnya berlaku kepada penduduk berkenaan kerana kerajaan BN hari ini sering mendakwa prihatin terhadap masalah yang dihadapi rakyat.
“Saya difahamkan masalah bekalan air yang dihadapi penduduk itu akan diatasi malam tadi kerana mungkin disebabkan berlaku pilihan raya kecil di kawasan ini,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, rakyat seharusnya tidak termakan dengan janji Umno BN yang hanya berusaha untuk menyelesaikan masalah rakyat apabila tiba pilihan raya termasuk pilihan raya kecil.
Katanya, jika benar Umno BN mahu menyediakan kemudahan kepada rakyat seperti bekalan air, para penduduk di kampung berkenaan sudah lama memperolehinya, bukan sekadar dijanjikan pada kempen pilihan raya kecil ini sahaja. 

Politik kuno Umno semarak kebencian kaum

KEPALA BATAS, 27 Feb: Sistem politik kuno yang diamalkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah bersifat perkauman yang sempit dan menyemarakkan kebencian antara sesama kaum dalam negara ini.
Amalan yang dipraktikkan Umno dan BN ini bukan saja merbahaya untuk diamalkan dalam sebuah negara berbilang kaum, malah ia memberi implikasi negatif yang begitu buruk kepada perpaduan dan hubungan antara etnik dalam negara ini.
Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr.Mujahid Yusof Rawa berkata demikian ketika berceramah di Dewan Millenium, Kepala Batas malam tadi dalam program Penang Harmoni 2, anjuran Lajnah Penerangan PAS Pulau Pinang.
Menurut Mujahid lagi, Pakatan Rakyat (PR) yang bermati-matian untuk mendapatkan kuasa pemerintahan bukannya untuk menggantikan Umno dan BN dengan menjadikan amalan mereka sebagai ikutan.
Sebaliknya kerajaan PR meletakkan kepentingan semua golongan masyarakat berdasarkan kepada keadilan dan keharmonian kaum yang tidak pernah dilaksanakan oleh Umno dan BN semasa memerintah negara ini.
Katanya lagi, berlakunya perpecahan kaum dalam masyarakat negara ini adalah kerana amalan yang dipraktikkan oleh BN dan komponennya seperti Umno, MCA, MIC dan juga Gerakan yang mengamalkan sikap pecah dan perintah.
"Sikap ini jugalah yang menanamkan sifat kebencian yang boleh menggugat keharmonian dan kesepaduan kaum dalam negara. Apabila Umno bercakap mengenai Melayu, MCA pula bercakap mengenai orang Cina dan MIC bercakap mengenai bangsanya sahaja.
"Ini menimbulkan prejudis suku kaum masing-masing dengan menidakkan keperluan yang semestinya diberikan kepada kaum lain yang terpinggir dan memerlukan," katanya.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang mahu rakyat menjadikan kebangkitan di Mesir dan Libya sebagai satu bukti nyata sistem pemerintahan diktator dan tidak adil mampu untuk menumbangkan kerajaan yang ada.
"Umno dan BN juga sudah tidak lama untuk bertahan dalam politik negara ini, setelah dengan jelas memperlihatkan kegagalan mereka untuk membawa reformasi dan keadilan dalam pentadbiran negara selama 53 tahun menjadi pemerintah," ujarnya lagi.
Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Muslimat PAS Pusat dan negeri, Ustazah Noridah dan Ustazah Rahmah Mat Isa.

Calon PAS, media tinjau kedhaifan pekan Kerdau

TEMERLOH, 27 Feb: Calon PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kerdau, Hassanuddin Salim membawa wakil media yang berkampung membuat liputan pilihan raya di sini meninjau sekitar Pekan Kerdau untuk melihat kedhaifan pembangunan di situ.
Kata penyelaras lawatan tersebut, Hashim Abdullah di kesempatan PRK ini, beliau mahu pihak media sendiri menjadi saksi bagaimana tahap pembangunan di kawasan Kerdau yang kononnya dikatakan maju dan tidak ada masalah.
(Gambar: Hassanuddin menyantuni penduduk di sebuah kedai kopi di pekan Kerdau.)
"Saya harap media melaporkannya untuk membuka mata pihak terbabit. Selama ini sudah lama orang Kerdau menagih pembangunan, tetapi tidak langsung di hiraukan," katanya.
Pekan Kerdau merupakan Pekan lama yang terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Temerloh atau 6 kilometer dari susur keluar Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
Pekan yang terletak di antara laluan utama Temerloh-Jerantut ini pernah menjadi penting semenjak tahun 1930-an sehingga 1970-an.
Waktu itu keretapi merupakan perhubungan keperluan utama penduduk berurusan ketika itu.
Bagaimanapun apabila menyaksikan sendiri, pekan ini tidak ubah seperti pekan zaman 40-an, walaupun sudah lebih 50 tahun negara merdeka.
Salah satu lokasi dilawati oleh wakil media bersama calon PAS ialah stesen keretapi Kerdau yang semakin tidak berfungsi dan dhaif.
Sedangkan pernah satu ketika, stesen keretapi Kerdau merupakan antara yang penting kepada masyarakat setempat. 
Kewujudan stesen keretapi yang terletak di laluan yang  menghubungkan Singapura ke Gemas menuju ke Tumpat hingga ke Hatyai ini pada asalnya menjadi pemangkin kemajuan Pekan Kerdau kerana pekan ini menjadi salah satu tempat persinggahan keretapi untuk mengambil dan menurunkan penumpang.
(Gambar: Hassanuddin dan wakil media meninjau stesen keretapi di pekan Kerdau.)
Malah, sejarah juga mencatatkan apabila Jepun menyerang Malaya melalui Kota Bharu pada 8 Disember 1941, menuju ke Singapura, Kerdau menjadi laluan dan persinggahan mereka.
Namun apa yang dilihat hari ini, stesen keretapi Kerdau sudah tidak lagi berfungsi sebagai perhentian utama.
Tiada kuanter jualan tiket di sini, yang ada hanyalah sebuah bangunan seperti pondok menunggu bas dan tandas awam yang tidak lagi boleh digunakan.
Manakala bangunan asal stesen keretapi ini hanya tinggal tapak yang dinaiki semak samun dan kelihatan sebuah rumah kayu terbiar yang dikatakan pernah menjadi kuarters para pekerja keretapi.
Menurut penduduk di situ, tidak ada usaha untuk memulihara stesen tersebut sama ada untuk tujuan memajukannya atau untuk mengekalkan kesan-kesan sejarah di situ.
Wakil media juga dibawa menyelusuri Pekan Kerdau yang sebahagian besarnya deretan bangunan kayu dua tingkat yang amat usang.
Jelas pekan ini amat ketinggalan, malah melihat aktiviti ekonomi  melibatkan penduduk sekitar dan peniaga di situ tidak keterlaluan mengatakan pekan Kerdau tersisih dari arus pembangunan yang diwar-warkan oleh kerajaan kononnya sedang rancak di laksanakan ketika ini.
Walaupun Kerdau hanyalah sebuah mukim dan Dewan Undangan Negeri (Dun), namun dari segi sejarahnya bandar ini pernah menjadi tumpuan utama dan penting kepada penduduk di sini dengan dihuni oleh pelbagai bangsa.
Buktinya di Kerdau pernah diadakan pilihan raya majlis tempatan pada tahun 1959 bagi pentadbiran perbandaran.

Dari segi pendidikan pula, sekolah rendah yang sudah pun dibina oleh pemerintah Inggeris sejak 1906 di situ, menunjukkan masyarakat Kerdau sudah pun dianggap berpelajaran sejak dulu lagi.

Melengkapkan lagi pembelajaran warga tempatan, di situ juga ada pusat pengajian pondok Tuan Guru Haji Ibrahim Mohd Arif (meninggal dunia pada 1978). Beliau merupakan anak murid dan juga menantu saudara Tok Kenali.

Menurut penduduk di situ, pekan Kerdau sebelum ini lebih hidup dan aktiviti ekonominya sangat berkembang.
Antaranya Pekan Kerdau dikatakan pernah menjadi tumpuan orang-orang Kampar yang datang dari Sumatera pada tahun-tahun 1920-an, mereka dikatakan telah membuka gedung-gedung perniagaan.
Selain itu, peniaga-peniaga Cina juga ramai datang menyewa tanah milik orang Melayu tempatan dengan mendirikan deretan kedai.
Pekan Kerdau juga menjadi makin maju selepas Jepun menyerah kalah pada 3 September 1945.
Di deretan kedai itu sudah menempatkan kedai barang keperluan, kedai kopi, tukang emas, tukang besi, tukang zink, tukang jahit mesin padi dan panggung wayang.
Di situ juga terdapat pekan sehari setiap hari Isnin di mana penduduk tempatan dan sekitarnya datang berjual beli dan bertukar barangan.
Bagaimanapun realiti hari ini, Kerdau tidak menunjukkan pernah wujud sebagai sebuah lokasi tumpuan dan maju satu ketika dahulu.
Kebanyakan penghuni di situ hanyalah orang-orang tua, yang banyak meluangkan masa di kedai-kedai kopi.
'Kerdau ini bandar orang pencen, budak-budak semua cari kerja di luar," kata seorang penduduk veteran yang ditemui di pekan itu.
Wakil media juga di bawa meninjau satu-satunya pusat kesihatan yang ada Kerdau.
Bukan sahaja kecil dan usang, sukar bagi sesiapapun untuk memikirkan bagaimana sebuah bangunan kayu yang menjadi tempat operasi pusat kesihatan ini masih di kekalkan untuk menampung hampir lima ribu penduduk di Kerdau.
Selain itu, tiada sebuah pun klinik swasta beroperasi di sini dan juga di seluruh Kerdau.
Kata Hashim, selain daripada pusat kesihatan ini, penduduk terpaksa pergi ke Temerloh untuk mendapatkan sama ada hospital ataupun pusat perubatan swasta di situ.
Di Pekan Kerdau juga, wakil media dibawa ke lokasi pembinaan kuarters anggota polis yang terletak bersebelahan dengan sekolah Cina.
Kuarters polis ini sebenarnya sebuah projek gajah putih di Kerdau, projek untuk membina tiga blok bangunan setinggi empat tingkat itu sebenarnya telah terbengkalai sejak 10 tahun lalu.
Lebih ironis lagi, para penduduk di situ selama ini telah mempersoalkan pembinaan kuarters yang begitu besar di Pekan Kerdau sedangkan anggota polis yang bertugas di situ hanyalah sekitar 13 orang.
Mengulas perkembangan di Kerdau, Pengarah Pilihan Raya PAS PRK Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata masih terlalu banyak masalah rakyat setempat yang perlu dibangkitkan kepada kerajaan.
Malah beliau turut membidas sikap sombong Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang menyatakan tiada isu perlu dibangkitkan di negeri ini.
"Kami akan memberi maklumat ini (masalah-masalah rakyat) kepada Adnan untuk beliau jawab," tegasnya.
Tuan Ibrahim juga mengharapkan di kesempatan ini, rakyat Kerdau membuat pilihan bijak dengan memilih wakil PAS untuk mewakili mereka dalam Dun Pahang.
"Saya percaya Hassanuddin berkeupayaan untuk membawa suara rakyat Kerdau dalam Dun dan beliau akan menjadi suara pengimbang yang berkesan kepada kerajaan.
"Saya yakin beliau akan memikul tangungjawab untuk menegur serta membetulkan kepincangan yang berlaku dalam urusan pentadbiran negeri  supaya kerajaan sentiasa berada dalam landasan yang betul," ujar Tuan Ibrahim.

Hadapi Pilihanraya dengan Akhlak Islami

1. Kita adalah mewakili Gerakan Islam yang menyertai politik berpilihanraya dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Biarpun ruang demokrasi itu kian sempit namun perjuangan untuk meloloskan Islam dari kepungan jahiliyah moden hari ini mesti diteruskan walau dengan apa cara sekalipun selama mana cara dan kaedah itu diizinkan oleh syara' .


2. Justeru itu, penyertaan dan penglibatan kita dalam pilihanraya bukanlah didorong oleh rasa ingin berpilihanraya semata atau didesak keinginan untuk mendapatkan kuasa dan pengaruh semata, sebaliknya ia adalah didokong oleh prinsip untuk menjulang Islam dan segala syariatnya agar menempati ruang yang selayaknya sebagai cara hidup [ way of life ] pula mengatasi kedudukan ideologi ciptaan manusia.

3. Bertolak dari nokhtah ini, partisipasi kita dalam seluruh kegiatan politik tanahair hari ini adalah satu ibadah atau pengabdian diri kita kepada Allah swt. Justeru itulah, kita bertanggungjawab pula untuk memastikan setiap langkah kita dalam sebarang aktiviti politik ini, samaada dalam aspek menggaris matlamat, melakar objektif, merencana strategi dan mengurus operasi, segalanya mestilah berlandaskan syariat dan akhlak Islami.

4. Tindakan yang dihambat emosi, dihasut nafsu dan dirasuk dendam adalah suatu yang mesti dielakkan dalam gerak langkah kita berkempen dan mencari sokongan politik. Bahkan apa yang wajar dan sayugianya ialah setiap pimpinan dan ahli PAS mempamerkan qudwah yang unggul dan uswah yang luhur mencerminkan bayangan akhlak terpuji didikan Rasul saw.

5. Jauhkan diri dari politik maki hamun dan caci nista biapun saat mendepani provokasi luarbiasa dari pihak lawan. Kekalkan rentak berakhlak sekalipun dilatari kebingitan melampau yang mencabar rasa dan cita kita sepanjang tempoh perjuangan, khasnya di saat mendepani detik pilihanraya umum atau kecil.

6. Bukankah Allah swt mewahyukannya kepada kita semua :

فبما رحمة من الله لنت لهم ولو كنت فظا غليظ القلب لانفضوا من حولك فاعف عنهم و استغفر لهم و شاورهم في الأمر فإذا عزمت فتوكل على الله إن الله يحب المتوكلين   

Maka dengan sebab Rahmat [yang melimpah] dari Allah swt [kepadamu Wahai Muhammad], Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka [sahabat-sahabat dan pengikutmu], dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka [mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu], dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah Dengan mereka dalam urusan [peperangan dan hal-hal keduniaan] itu. kemudian apabila Engkau telah berazam [Sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu] maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

Surah Aali Imran : 159

7. Ayat ini sebahagian dari strategi penting yang perlu dilaksana dan dihayati untuk menghasilkan kesan mendalam dalam urusan kempen kita sepanjang  tempoh pilihanraya. Sementara umum mengetahui bahawa pilihanraya adalah  berkait dengan undi yang ingin diperolehi dari rakyat atau pengundi. Maka ia memerlukan satu pendekatan yang lunak dan meyakinkan pengundi untuk mereka hampir dengan kita lalu memberikan undinya kepada kita.

8. Pilihanraya bukan medan peperangan untuk menghunus senjata tajam seumpama pedang guna memenggal leher lawan dan menebas betis penghalang, tetapi pilihanraya adalah gelanggang untuk memenangani hati pengundi agar memberi peluang serta kepercayaan kepada kita untuk memimpin dan mewakili mereka dalam satu - satu kawasan pilihanraya yang ditandingi.

9. Akhlak menjadi senjata berkesan di medan pilihanraya justeru ia berkait dengan usaha konsisten untuk memenangi hati pengundi. Memenangi pilihanraya, kita perlukan undi dari semua pihak sekalipun bukan dari kalangan kita. Maka hal ini hanya boleh dicapai apabila kita berjaya memenangi hati dan meyakinkan mereka untuk memberi sokongan kepada kita. Hanya akhlak mulia [ Islami ] yang boleh memenangi hati manusia. Caci nista pula menjauhkan kita dari mereka dan menjarakkan mereka dari kita.

10. Kawal diri dan kekang emosi terutama saat berdepan provokasi. Marilah kita bina suasana politik baru yang berteraskan politik Rasulullah saw. Terutama pada hari perarakan penamaan calon dan hari akhir sewaktu merayu undi, sekali lagi saya seru agar elakkan diri dari melontarkan kalimah dan slogan yang tidak mencerminkan ketinggian budi dan akhlak muslim. Berwatak matanglah dalam memimpin slogan serta aksi tanpa mencemuh pihak lain. Pilih slogan yang boleh menaikkan semangat juang dengan penuh hemah.

HIMPUNAN 500K BERSIH 2 : June ini

1. Negara kita masih menyaksikan kepincangan ketara dalam amalan demokrasi. Bukan sahaja dipentas politik negara malah kepincangan serupa turut melanda politik kampus. Bermula dari pengendalian sistem demokrasi yang berat sebelah, tidak adil dan tidak telus telah menimbulkan keresahan berpanjangan dari rakyat dalam negara kita. Saya percaya tragedi yang berlaku di UPM baru - baru ini pun bermula dari keresahan serupa yang turut dirasai oleh para mahasiswa.

2. Pada 10 November 2007 yang lalu, rakyat telah meledakkan kebangkitan menuntut sebuah demokrasi yang bersih dalam satu himpunan 100,000 rakyat yang dikenali sebagai himpunan BERSIH. Beberapa tuntutan yang telah dibuat dalam himpunan BERSIH yang pertama tempohari masih dibekukan begitu sahaja oleh pihak berwajib. Antara tuntutan tersebut ialah :
  • Penggunaan Dakwat Kekal kepada pengundi
  • Pembersihan daftar Pemilih
  • Pemansuhan Undi POS
  • Kebebasan media
3. Saya melihat secara dekat perkembangan demokrasi dalam negara kita masih tidak benar - benar telus dan bebas dari sebarang manipulasi seperti undi pos yang masih diamalkan dalam sistem demokrasi negara kita. Malah undi pos benar - benar dijadikan tali hayat pihak pemerintah untuk mengekalkan survival kuasa mereka . Demikian juga kebebasan media yang kian parah.

4. Saya yakin seluruh rakyat dalam negara kita dapat saksikan kepincangan ini, apabila media elektronik dan cetak negara kita seperti RTM dan Utusan Malaysia serta Berita Harian diguna sepenuhnya secara tidak adil untuk berkempen sebelah pihak iaitu pihak UMNO dan BN sedang RTM dan Utusan Malaysia atau Berita Harian ini tidak pula diisytiharkan sebagai media rasmi atau buletin rasmi parti UMNO dan BN .

5. Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia sekali lagi mendesak dan merayu supaya kerajaan memberi perhatian serius terhadap perkara ini sebelum berlangsungnya pilihanraya umum ke 13 akan datang. Hanya keadilan , ketelusan dan kesaksamaan dalam sistem pengendalian demokrasi negara ini akan menjadi rakyat tenang dan akur menerima keputusan pilihanraya, samaada menang atau kalah. Andai sistem pengendalian demokrasi negara masih pincang dan dilihat terlalu banyak kelemahan di sana dan sini, keputusan pilihanraya akan mencetus rasa tidak puas hati dan menganggu kesejahteraan serta keharmonian rakyat .

6. Desakkan dan rayuan ini adalah serius. Kami sudah penat bertolak ansur dan bertarik tali dengan pihak kerajaan dalam menuntut keadilan serta ketelusan dalam sistem demokrasi negara ini. Sungguhpun kerajaan UMNO dan BN benar - benar nekad mahu mempertahankan survival kuasa dan pengaruh mereka , maka pertahankanlah ia dengan bermaruah dan berhemah. Iaitu melalui satu sistem pengendalian demokrasi yang telus, adil dan saksama. Bukan melalui sistem saingan demokrasi yang berat sebelah.

7. Kami memberi tempoh sehingga menjelang 1 Mei 2011 ini untuk kerajaan memberi komitmen lalu memulihkan sistem demokrasi pincang yang kita hadapi dalam negara kita hari ini. Andai desakan dan rayuan ini tidak dipeduli oleh pihak kerajaan, kami dari Dewan Pemuda PAS Malaysia telah memberi komitmen untuk menyahut seruan Yb Al Fadhil Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS bahawa satu lagi rally atau himpunan BERSIH digerakkan.

8. Kali ini, insyaallah saya percaya dan yakin, sekurang - kurangnya setengah juta rakyat [500,000] akan bangkit secara aman namun penuh tegas untuk memohon dan mendesak agar kerajaan mahu atau tidak mesti memastikan sistem pengendalian demokrasi negara benar - benar adil dan telus kepada semua parti yang bertanding dan melibatkan diri dalam pilihanraya.

9. Saya meletakkan jangkaan tarikh awal untuk BERSIH 2 ini ialah pada bulan June 2011 [ sabtu ] jika sekiranya menjelang 1 Mei 2011 ini, kerajaan masih gagal untuk meyakinkan rakyat dengan satu komitmen untuk memastikan sistem pengendalian demokrasi negara benar - benar dipulihkan serta bebas dari sebarang ruang manipulasi serta kepincangan.

10. Saya ulangi tanpa sikap teragak - agak demi kebaikan kepada seluruh rakyat dan negara agar kerajaan benar - benar serius dan memahami tuntutan kami sebagai rakyat dan anak - anak muda khasnya yang mahu menyaksikan perubahan besar berlaku dalam negara ini. Andai tuntutan diterima dan dilaksanakan , kami benar - benar mengucapkan terima kasih namun jika sebaliknya, berbanyak maaf kami pinta bahawa kami khasnya anak - anak muda, dengan Nama Allah swt Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Adil,  akan bangkit sekali lagi menuntut hak kami sebagai rakyat yang merdeka pada bulan June 2011 dalam Himpunan 500K BERSIH 2 kelak .

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan.

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPP Malaysia
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates