Bekas Adun dilantik Speaker Dun Kelantan


KOTA BHARU: Bekas Adun Air Lanas, Ustaz Abdullah Ya’kub (gambar) hari ini mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan yang baru.

Manakala Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman pula dilantik sebagai Timbalan Speaker.

Nama kedua-duanya dicadangkan oleh Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, kemudian disokong Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Majlis angkat sumpah itu bermula jam 9 pagi dengan bacaan doa diketuai Setiausaha Dewan, Muhammed Imran Mansoor.

Kemudian Abdullah mengangkat sumpah dan menandatangani watikah pelantikan sebagai anggota tambahan Dun Kelantan.

Beliau kemudian mengambil tempat di kerusi Speaker selepas dipakai jubah khas dan songkok oleh Menteri Besar.

Diikuti pula Abdul Latiff mengangkat sumpah dan dipakai jubah khas sebagai Timbalan Speaker.

Imran turut memberitahu pihaknya sebelum ini telah menerima perakuan untuk berkhidmat sebagai Speaker daripada Abdullah.

“Cadangan perbahasan pemilihan Speaker juga tidak dibenarkan selepas pihak Dewan hanya menerima seorang sahaja calon,” katanya.

Selepas itu majlis angkat sumpah ahli-ahli Dewan dimulakan Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan anggota-anggota Exco.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (PAS-Chempaka) mendahului mengangkat sumpah bagi penyokong kerajaan, manakala Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) pembangkang.

Zulkifli Ali (BN-Selising) merupakan ahli Dewan terakhir mengangkat sumpah hari ini.

Bagaimanapun sebelum itu Speaker mengumumkan tiga ahli Dewan tidak hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Mereka iaitu Datuk Husam Musa (PAS-Salor), Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Wakaf Bharu) dan Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Air Lanas).

Abdullah turut merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri di atas penghormatan diberi sehingga dilantik sebagai Speaker.

“Oleh itu saya berharap mendapat kerjasama sepenuh ahli-ahli Dewan bagi melancarkan perjalanan persidangan setiap kali diadakan,” katanya.

Turut menyaksikan majlis bersejarah itu anggota parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, anggota parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Anak muda dominasi Black505 Kelantan


KETEREH: Paling ramai anak-anak muda yang memenuhi setiap ruang padang Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam malam tadi. Mereka tanpa mengira jantina memakai baju hitam.

Sepanjang jalan menuju ke padang produk baju Blackout505 digantung di bawah khemah bagi menunggu pelanggan. Suasana seperti pasar malam yang menawarkan pelbagai jenama bertulis Blackout 505.

Gadis-gadis juga tidak ketinggalan mengenakan lilitan kepala yang bertulis perkataan Blackout 505.

“Sama seperti di tempat-tempat lain apabila puluhan ribu hadir pada perhimpunan aman itu bagi membantah penyelewengan yang berlaku pada pilihan raya umum baru-baru ini.

“Kalau kita tidak berusaha untuk mengubahnya selagi itulah kepincangan dalam pilihan raya terus berlaku,” kata anggota parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pula menjelaskan perhimpunan itu bukan untuk mengguling kerajaan, seperti didakwa sesetengah pihak sebelum ini.

“Tak kan pula orang ramai yang hadir dengan tangan tangan kosong kalau betullah mereka hendak guling kerajaan.

“Perhimpunan aman ini diadakan bagi menjaga hak rakyat. Kita tidak mahu pada masa akan datang ada kertas undi ditemui di ladang kelapa sawit,” katanya.

Menurutnya juga kaedah undi awal yang diperkenalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ternyata memberi keutungan besar kepada Umno dan BN.

Hadir sama malam tadi Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob; Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa; Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Selain itu Kasturi Patu mewakili DAP; Presiden R, Nazri Deraman; Penyelaras OKU Bangkit, Muhamad Faizal Che Yusoff; aktivis pelajar,

Safwan Anang, Leman Raja Lawak, Chekgu Bard dan wakil-wakil rakyat Kelantan.

Ramai juga anak-anak muda masyarakat Cina dan India yang hadir.

Husam berkata, penipuan dan penyelewengan menghalang Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya pada pilihan raya umum lalu.

Menurutnya, sebabkan itulah ramai rakyat hadir pada perhimpunan tersebut bagi meluahkan rasa tidak senang kepada SPR dan kerajaan BN.

“Semangat anak-anak muda cukup luar biasa sekali. Ini berlaku di seluruh negara apabila mereka beramai-ramai menyertai perhimpunan seperti ini,” kata Anwar.

Petisyen PRU13: Pakatan Rakyat 39, BN 21

KUALA LUMPUR: Petisyen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang tempohnya berakhir semalam, menyaksikan sejumlah 60 petisyen difailkan sekaligus menjadi jumlah paling banyak dalam sejarah petisyen pilihan raya di negara ini.

Apa yang menarik, tindakan memfaikan petisyen yang biasanya hanya sinonim dengan pihak pembangkang, kali ini juga turut dikemukakan oleh BN.

Daripada jumlah keseluruhan 60 petisyen itu, 39 dikemukakan oleh Pakatan Rakyat manakala 21 lagi oleh BN.

Bagi Pakatan Rakyat, 39 petisyen tersebut adalah membabitkan 25 kerusi parlimen manakala 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Bagi BN pula, 21 kawasan yang terlibat adalah masing-masing enam parlimen dan 15 Dun.

Di Kedah, kawasan parlimen yang terbabit dengan petisyen adalah Merbok dan Kulim Bandar Baru yang dikemukakan oleh PKR, manakala tiada bagi kerusi Dun.

Di Kelantan perlimen terlibat adalah Ketereh yang dikemukakan oleh PAS, Machang (PKR), Bachok (BN), manakala bagi Dun pula, Kok Lanas (PAS), Selinsing (PAS), Ayer Lanas (PAS), Jelawat (BN), Mengkebang (BN), Gaal (BN) dan Manek Urai (BN).

Di Terengganu, tiada kerusi parlimen terlibat petisyen, tetapi kerusi Dun adalah Hulu Besut (PAS), Kuala Berang (PAS), Rantau Abang (BN) dan Teluk Pasu (BN).

Di Pahang juga tiada petisyen terlibat bagi kerusi parlimen, namun hanya satu bagi kerusi Dun iaitu Dun Cameron Highlands (DAP).

Bagi Pulau Pinang pula, parlimen terlibat adalah Balik Pulau (PKR) dan tiada petisyen bagi kerusi Dun.

Di Perak, parlimen terlibat adalah Tapah dan dua petisyen bagi Bagan Datok yang dikemukakan PKR, manakala bagi kerusi Dun adalah Selama, Rungkup, Manong, Pasir Panjang, Manjoi dan Lubok Merbau yang kesemuanya dikemukakan oleh PAS.

Bagi negeri Selangor, tiga kawasan parlimen terlibat iaitu Sabak Bernam (PKR), Sungai Besar (PAS), Kuala Selangor (PAS) manakala tiada petisyen bagi kawasan Dun.

Bagi Kuala Lumpur, parlimen terlibat adalah Setiawangsa (PKR), Titiwangsa (PAS), Lembah Pantai (BN) dan Parlimen Batu (BN).

Di Melaka, tiada petisyen yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat, manakala BN memfailkan dua petisyen iaitu bagi kerusi Parlimen Bukit Katil dan Dun Bukit Baru.

Bagi negeri Johor, parlimen terlibat adalah Pulai (PAS), Segamat (PKR), Ledang (PKR), Muar (PKR), Tebrau (PKR), Pasir Gudang (PKR), Labis (DAP), Batu Pahat (BN) manakala bagi Dun adalah Gambir (PAS), Mahkota (PAS), Nusajaya (PAS), Penggaram (BN), Parit Yani (BN), Stulang (BN) dan Puteri Wangsa (BN).

Di Sabah, parlimen terlibat adalah Kota Marudu (PKR), Beaufort (PKR) dan Pensiangan (PKR), manakala bagi Sarawak adalah parlimen Baram (PKR) dan Sarikei (BN).

Menurut Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan, jika terdapat mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan pilihan raya umum lalu, mereka boleh mengemukakan petisyen pilihan raya kepada Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa di tempat pilihan raya itu diadakan.

Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) pula memperuntuk tiap-tiap petisyen pilihan raya hendaklah dikemukakan dalam tempoh 21 hari dari tarikh keputusan dan penyata pengundian disiarkan dalam warta.

Tempoh 21 hari itu dianggap bermula pada 23 Mei lalu dan berakhir semalam.
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates