MB, ribuan rakyat solat hajat bantah kekejaman Israel



KOTA BHARU, 4 Jun: Ribuan rakyat Kelantan menunaikan solat hajat yang diimamkan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai membantah keganasan tentera Israel terhadap umat Islam di Palestin.

Solat hajat diadakan di Dataran Stadium Sultan Mohammad Ke IV pagi tadi turut disertai wakil Palestin, Abdul Hadi HJ Junaidi. Turut kelihatan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, anggota-anggota Exco dan Datuk Mohd Amar Abdullah dan Dr Mohamad Fadzli Hassan serta wakil-wakil rakyat.

Biar pun cahaya matahari panas memancar di atas kepala, orang ramai tidak menghiraukan dan tetap berdiri menunaikan solat bagi memohon kepada Allah Taala melindungi umat Islam yang sedang ditindas di Gaza.

Sebelum itu ribuan yang hadir sejak jam 8.30 pagi mendengar kuliah khas mengenai Palestin yang disampaikan Mohd Amar.

Kehadiran penduduk tempatan yang memenuhi segenap ruang Dataran Stadium kerana simpati terhadap konvoi kemanusiaan pelbagai negara yang diserang tentera Israel ketika membawa bekalan makanan ke Gaza Isnin lalu.

Ekoran serangan itu sembilan rakyat Turki yang menaiki kapal Mavi Marmara milik negara terbabit menjadi korban.

Seramai 12 rakyat Malaysia turut bersama misi kemanusiaan tersebut yang datang daripada 40 negara.

Berikutan tindakan tersebut kerajaan Turki di bawah Tayyed Erdogan memutuskan hubungan diplomatik dengan negara Yahudi itu.

Kerajaan Turki memberi beberapa syarat untuk memulih semula hubungan diplomatik iaitu membayar sejumlah pampasan kepada keluarga sukarelawan yang terbunuh, Israel perlu memohon maaf kepada dunia.

Selain itu mereka yang terbabit dengan jenayah hendaklah dihadapkan ke Mahkamah Antarabangsa.

Perkara itu didedahkan Abdul Hadi ketika berucap di ribuan rakyat Kelantan.

Menteri Besar berkata, kaum Yahudi tidak ada belas kasihan kepada kaum lain kerana menganggap kononnya mereka sebagai anak Tuhan.

”Pegangan yang salah itu menyebabkan mereka sanggup melakukan apa sahaja terhadap orang lain.

”Namun hairannya kezaliman yang serupa juga pernah berlaku di negara ini apabila Ustaz Ibrahim Libya bersama beberapa pengikut ditembak mati di Memali.

”Begitu juga tindakan kerajaan menangkap ulama dengan mengurungkan mereka dalam bilik gelap di Kem Tahanan di Batu Gajah. Ini adalah sebahagian tindakan tidak berperikemanusiaan yang turut berlaku di negara ini,” katanya diikuti laungan takbir orang ramai.

Pada ucapan itu beliau juga menjelaskan kekeliruan sesetengah pihak yang mendakwa tidak ada parti Islam pada zaman Rasulullah saw.

Pelbagai sepanduk mengutuk serangan ganas Yahudi dijulang anak-anak muda yang membantah keganasan Zionis Israel terhadap umat Islam di Palestin. Tabung Cakna Palestin juga dibuka bagi sumbangan orang ramai. Program itu berakhir kira-kira jam 10.45 pagi.

.






NAFSU


Engkau ciptakan Firaun, Haman dan Qarun
Mereka adalah sebesar-besar penderhaka terhadap-Mu
Namun Engkau kurniakan dunia seluruhnya kepada mereka
Itulah tandanya
Dunia ini tidak melebihi sebelah sayap nyamuk pada sisi-Mu
Tapi nafsu kami masih juga terliur
Melihat keagungan Firaun, kepintaran Haman dan kekayaan Qarun
Nafsu kami masih inginkan
Sayap nyamuk yang sebelah itu.
Nafsu sangat sabar menyembunyikan laparnya
Sesekali ia menghantar isyarat
Jika Engkau menjawab ia akan bangun
Di kala itu Engkau akan tertawan.

Nafsu umpama sebuah kenderaan
Enjinnya ialah tamak
Rodanya ialah dengki dan khianat
Seteringnya ialah tipudaya
Bila kenderaan ini berjalan
Ia meninggalkan asap kotor di belakang
Tetapi si pemandu asyik memandang ke hadapan
Tidak pernah melihat pencemaran yang ditinggalkan.

Nafsu adalah sebahagian daripada dirimu
Ia boleh diam dan tidur tetapi tidak berputus asa
Perlulah engkau sentiasa berwaspada

Judi bola: Umno bawa negara mundur ke belakang


Langkah pihak kerajaan ingin memperkenalkan lesen judi sukan dalam negara kita pada masa sekarang ini adalah satu tindakan yang jauh menyimpang dari ajaran Islam dan tatacara kehidupan yang diterima dalam masyarakat Malaysia pada waktu ini.

Ianya menggambarkan bahawa kerajaan pimpinan Umno-BN yang ada pada waktu sekarang ini telah bankrap idea dan sedang membawa negara mundur ke belakang ke arah yang lebih jauh dari ajaran Islam.

Inilah yang dirancang oleh penjajah dan Umno yang menjadi tulang belakang kerajaan yang ada di waktu ini telah membawa semakin banyak perkara-perkara negatif selepas negara mencapai kemerdekaan, malah lebih banyak dari yang dilaksanakan oleh penjajah itu sendiri.

Hasilnya wajah Islam yang cuba dibawa oleh Umno dengan mendirikan masjid, pusat islam dan aktiviti keagamaan ini menjadi topeng dan tempelan kosmetik sahaja, dan dalam masa yang sama mereka merobek Islam dari belakang. Akibatnya Umno juga telah menunjukkan satu wajah yang sangat salah dengan hakikat tasawwur ajaran Islam yang sebenar.

Maka sudah tiba masanya bagi orang melayu beragama Islam untuk memahami bahawa di sana terdapat perbezaan di antara Islam dengan bangsa. Islam adalah agama untuk seluruh manusia tanpa mengira bangsa dan kaum.

Dalam hal ini kita telah mendapat respon yang sangat baik dari kalangan orang bukan Islam, malah kita juga telah berjaya menarik sokongan rakan-rakan dari DAP dan PKR yang bukan Islam untuk menyokong bagi mengharamkan judi. Inilah kejayaan satu anjakan paradigma dalam aspek dakwah apabila kita memberi kefahaman kepada orang bukan Islam untuk menerima apa yang diharamkan oleh Islam.

PAS menyeru kepada penyokong-penyokong Umno yang cintakan agama untuk membuat muhasabah terhadap diri mereka supaya melaksanakan perubahan secara ilmu dan mengkaji kefahaman Islam yang betul melalui sumber-sumber Islam dan bukan melalui media-media yang memberikan maklumat yang salah yang terus menerus menjahilkan mereka dari ajaran Islam.

Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS

Judi bola: Pemuda PAS cabar Perkasa debat terbuka

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mencabar Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berdebat secara terbuka mengenai isu lesen judi bola sepak Piala Dunia 2010 yang diluluskan oleh Kerajaan Umno BN.

Ketuanya, Nasrudin Hassan (gambar) berkata, tajuk yang dicadangkan ialah ‘Kemungkaran Judi Bertambah Dalam Negara: Tanggungjawab Siapa?’.

Beliau berkata, DPPP bersiap sedia untuk berdebat dengan Perkasa dan menyerahkan kepada mereka untuk menentukan tempat dan tarikh asalkan tidak melibatkan tarikh muktamar PAS pada Jun ini.

"Saya cabar Perkasa untuk mengatur satu sesi debat perdana secara terbuka antara Perkasa dengan Dewan Pemuda PAS.

"DPPP bersedia di stadium mana, padang atau dewan mana. Tarikh, DPPP serahkan kepada Perkasa asalkan jangan jatuh pada hari PAS melangsungkan muktamar tahunannya pada 9 hingga 13 Jun ini," katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Harakahdaily.

Perkasa yang dipengerusikan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali sebelum ini mencabar DPPP mendesak Pakatan Rakyat menghapuskan lesen judi di negeri yang ditadbirnya.

Bagaimanapun, DPPP berkata, soal pemberian dan kelulusan lesen judi adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Pusat menerusi Kementerian Kewangan.

DPPP, ujarnya terus konsisten membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak Piala Dunia yang akan bermula Jun ini.

Sehubungan itu, DPPP akan mengadakan himpunan besar-besaran bagi membantah tindakan itu.

Satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong juga akan diserahkan pada himpunan tersebut.

Jumaat lepas, DPP setiap negeri mengadakan bantahan di negeri masing-masing selepas solat Jumaat sebagai protes terhadap kerajaan yang meluluskan judi bola sepak itu.

Persinggahan Di Majlis Makan Malam Bersama Masyarakat Cina Di Temangan


Diri ini ; barisan yang ke 2 (no 4 dari kiri)

Persinggahan Di Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan Tahun 2010







Muktamar Sayap Parti PAS Kelantan



Kepimpinan Amanah yang Berat

Ketika Abu Zarr meminta Rasulullah SAW supaya meletakkan dirinya dalam barisan kepimpinan dan pentadbiran negara, Baginda lantas menyatakan bahawa Abu Zar memiliki kelemahan yang tidak melayakkannya untuk menjawat jawatan sebagai pentadbir negara. Baginda Rasulullah SAW mengingatkan bahawa jawatan sebenarnya amanah yang sangat berat dan amanah ini hanya akan menyebabkan kekesalan dan duka cita semata-mata, kecuali jika jawatan tersebut disandang oleh kalangan yang layak.

Pada ketika yang lain Rasulullah SAW melarang Abdur Rahman bin Samurah r.a daripada meminta-minta untuk menjadi pentadbir negara. Ini kerana penyandangan jawatan atas sebab permintaan adalah suatu tugas yang sukar untuk dilaksanakan. Sebaliknya jika jawatan tersebut disandang atas keperluan negara, tugasan tersebut merupakan sesuatu yang sifatnya lebih mudah untuk dilaksanakan dan ia juga akan menerima bantuan dalam pelaksanaan tugas tersebut.

Kita melihat Sahabat Rasulullah ini hanyalah segelintir dari kalangan yang mendapati bahawa penyandangan jawatan sebagai pemimpin adalah sesuatu yang dipandang hebat dan dihormati. Mereka terlupa di sebalik kehebatan dan penghormatan yang diberi adalah tugas rumit dan sekiranya ia tidak dilaksanakan dengan baik maka menyebabkan kesan yang tidak baik kepada orang bawahan dan juga rakyat. Apabila sampai pada hari pembalasan, maka hanya api neraka yang layak untuk pemimpin yang gagal. Walau bagaimanapun sebagai insan beriman sekalipun teruja untuk menjadi pemimpin, mereka adalah kalangan yang berhati mulia dan berlapang dada kerana tidak menolak teguran atau nasihat yang diberikan.

Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq dilihat secara sepakat oleh Sahabat-sahabat sebagai orang yang paling layak untuk menggantikan Rasulullah SAW yang wafat sebagai pemimpin umat Islam. Walau bagaimanapun sifat tawadu' yang ada pada peribadi beliau menjadikan beliau menerimanya dengan penuh rendah diri. Kesedihan yang masih berkabung di dalam hati atas kewafatan Rasulullah SAW juga sangat memberi kesan kepada perasaan beliau pada ketika itu dan menjadikan beliau tidak teruja dengan apa yang diterimanya.

Dalam ucapan sulung sebagai pemimpin, beliau menyatakan pelantikan beliau sebagai pemimpin tidak memadai untuk menjadi lambang bahawa beliau adalah yang terbaik dari kalangan mereka. Seterusnya, beliau mengharapkan sokongan selagi berada dalam kebenaran dan sebaliknya, sekiranya umat Islam melihat sebarang keburukan atau kebatilan daripada pihaknya, maka beliau meminta supaya ditegur dan dibetulkan.

Harapan yang sama juga dimajukan oleh pengganti Khalifah Sayyidina Abu Bakar, iaitu Sayyidina Umar al-Khattab. Sesuai dengan perwatakannya yang sangat tegas dan bengis, seorang lelaki mewakili rakyat menyambut harapan Sayyidina Umar dengan mengatakan bahawa sekiranya Khalifah melakukan penyelewengan, pihak rakyat akan membetulkannya dengan menggunakan ‘mata pedang'.

Selanjutnya dalam satu peristiwa, Khalifah Sayyidina Umar al-Khattab berlapang dada menerima teguran daripada seorang wanita berkenaan saranan Khalifah supaya kadar mas kahwin yang diletakkan oleh pihak pengantin perempuan haruslah rendah kadarnya. Wanita berkenaan menempelak pandangan Khalifah dan menegaskan bahawa sebarang penetapan kadar mas kahwin sememangnya hak pengantin perempuan dan ia tidak sepatutnya dipertikaikan.

Khalifah tidak menganggap teguran tersebut sebagai perkara yang memalukan bahkan menegaskan dengan kata-katanya, "Perempuan ini benar dan Umar telah bersalah". Penegasan Khalifah seiring dengan doa beliau sebagai seorang pemimpin yang menyebut sebagai, "Semoga Allah merahmati seseorang yang menunjukkan kepadaku tentang keaiban diriku".

Sifat-sifat berlapang dada yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin ulung ini membuktikan mereka adalah kalangan insan yang tinggi taqwanya. Mereka tidak mengejar pangkat dan kedudukan, sebaliknya pangkat dan kedudukan itu digunakan untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Melalui jawatan tersebut mereka membuat keputusan dan dasar-dasar kenegaraan yang memberikan kebaikan kepada agama, rakyat dan negara.

Selanjutnya, sangat menarik untuk kita meneladani keperibadian Khalifah Umar Abdul Aziz yang memerintah dari tahun 717H sehingga 720H, sebagai seorang pemimpin dan ketua negara. Sebelum pelantikan tersebut yang dilakukan oleh Khalifah Sulayman Abdul Malik berlaku, beliau beberapa kali berikhtiar supaya Khalifah Sulayman mengubah keputusannya. Dan apabila beliau menerima pelantikan tersebut, beliau telah merubah budaya dengan meletak jawatan dan memulangkan semula jawatan tersebut kepada rakyat. Memberi kebebasan kepada rakyat untuk memilih calon yang lebih layak untuk memimpin rakyat dan negara.

Akan tetapi, disebabkan beliau sememangnya calon yang paling layak dan amat dekat di hati rakyat, maka beliau juga yang akhirnya dipilih. Ini menunjukkan bahawa kesediaan beliau untuk meletak jawatan dan mengundur diri daripada menjadi pentadbir negara adalah disebabkan ketaqwaannya kepada Allah SWT. Ketaqwaan melahirkan kebimbangan untuk menerima tanggungjawab yang amat berat; bimbang sekiranya pelantikan itu hanya mengundang keburukan kepada rakyat dan negara. Kesediaan untuk mengundurkan diri adalah sebahagian daripada usaha memelihara kemaslahatan rakyat.

Daripada pengalaman pemimpin-pemimpin ulung ini, kesediaan menerima teguran, pembetulan sehinggalah ke peringkat berundur diri, bukanlah sikap yang menjatuhkan maruah peribadi. Pengalaman lampau membuktikan sikap dan tindakan tersebut menjadikan golongan rakyat lebih menghormati dan mengkagumi keperibadian pemimpin sebegini. Kebaikan kepimpinan akan dinilai dan dirasai oleh pihak rakyat, maka sia-sialah sikap sesetengah pemimpin yang terus mendakwa dirinyalah yang paling layak untuk memimpin sedangkan rakyat yang menjadi hakimnya.

Beratnya Amanah Ini....

Majlis Penyerahan Tugas  Setiausaha
Dewan Pemuda PAS Kawasan Machang

Amanah adalah satu patah perkataan yang senang untuk diucapkan atau dilafazkan oleh seseorang manusia dengan menggunakan isi yang tidak bertulang iaitu lidah. Tapi sangat berat dan tidak terperi kesusahannya untuk melaksanakan dan merealisasikannya. Begitulah keadaan diriku yang lemah ini dibebani pula oleh tanggungjawab yang perlu saya pikul sebagai setiausaha baru Dewan Pemuda PAS Kawasan Machang bermula semalam 06 Mei 2010. 

Walaupun diri ini tidak layak memikul dan menerima amanah ini. Namun diri ini terpaksa demi jemaah dan perjuangan yang disayangi. Dua amanah yang menjadi tunjang utama dalam kehidupan setiap insan tidak dapat dielakkan melainkan kita melakukan dalam keadaan suka atau benci, susah mahupun senang seperti mana yang telah disabdakan oleh junjungan besar S.A.W dalam kitab Syarah Nawawi `ala Sohih Muslim:

“Atas seseorang muslim itu adalah dengar dan patuh, walau dalam keadaan suka atau benci kepadanya”

Juga seperti yang termaktub dalam kitab Risalah Ta`alim, As-syahid Hasan Al-Bana ada berwasiat pada rukun Bai`ah yang ke-6 iaitu Taat:

“Menanggung segala arahan, dan melaksanakannya samada dalam keadan susah mahupun senang, benci atau suka”…..

InsyaAllah bebanan yang berat ini akan saya pikul dengan sedaya upaya yang ada. Nabi S.A.W bersabda:

Wahai manusia! Setiap sesuatu ada pemandunya, pemandu kepada manusia adalah akal. Orang paling bijak berdalil dan mengenali hujah ia adalah yang paling baik akalnya”.

”Beristiqamah dan berdisiplin juga adalah tanggungjawab dan amanah, keretakan padanya selain membawa padah kepada diri sendiri juga akan menggoncang keutuhan jamaah dan perjuangan. Setiap kita mestilah berusaha mengelak daripada menjadi beban kepada jemaah, semakin kita berada diatas, semakin besalah kesan daripada perlakuan dan tindakan kita”

Pengerusi DAP Sarawak calon PR di Sibu

Pengerusi DAP Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Assek, Wong Ho Leng, 50, diumumkan sebagai calon DAP mewakili Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu.

Pengumuman rasmi calon DAP itu dilakukan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, pada majlis makan malam di Good Happiness Restaurant di sini, malam tadi.

BN pula menamakan sepupu mendiang Datuk Robert Lau sebagai calon iaitu Robert Lau Hui Yew, 45, yang juga dikenali sebagai Robert Lau Jr.

Dalam pilihan raya umum 2008, Wong (gambar) dan calon PKR Lim Chun Chung tewas kepada calon BN, Datuk Robert Lau Hoi Chew dengan majoriti 3,549 undi. Kini hanya calon DAP sahaja yang akan mewakili Pakatan melawan BN.

Kerusi parlimen Sibu kini kosong ekoran kematian penyandangnya Robert akibat barah pada 9 April lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada 8 Mei dan pengundian pada 16 Mei.

Sibu mempunyai 54,695 pengundi berdaftar termasuk 2,537 undi pos.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, BN menghadapi laluan sukar untuk mengekalkan kerusi Sibu selepas keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor yang memperlihatkan sokongan pengundi Cina yang kuat kepada Pakatan Rakyat. Lebih 70 peratus pengundi Cina Hulu Selangor memberikan undi kepada calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim. Sibu mempunyai 60 peratus pengundi Cina.

"Jika trend pengundi Cina di Semenanjung sama dengan Sarawak, BN akan hadapi laluan sukar di Sibu," kata Mustafa.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penyertai sebuah parti politik dari Sarawak iaitu Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) ke dalam Pakatan Rakyat menjadikan Pakatan kini mempunyai empat anggota iatu PAS, DAP, PKR dan kini Snap.

"Tugas pertama Snap adalah memastikan kemenangan calon DAP dari Pakatan Rakyat di Sibu," kata Anwar dalam satu sessi kempennya di Hulu Selangor.

Pengerusi SNAP kini ialah Edwin Dundang yang menyebabkan penyingkiran dari Barisan Nasional pada 2006 dan telah bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 2006 dengan tiket sebagai pembangkang.

Pertandingan 4 penjuru di Hulu Selangor

Pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor akan menyaksikan pertandingan empat penjuru. Mereka ialah P Kamalanathan (BN), Datuk Zaid Ibrahim (PKR) dan dua calon Bebas VS Chandran dan Johan Mohd Diah.

Demikian seperti yang diumumkan oleh Pegawai pengurus Pilihanraya selepas tamat masa bantahan sebentar tadi.

Penamaan Calon PRK Hulu Selangor





Menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan Machang Selaku Penolong Setiausaha




Pilihanraya Kecil Hulu Selangor : Penamaan 17 April, Undi 25 April


PUTRAJAYA, 2 APRIL- Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof hari ini mengumumkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor ialah pada 17 April manakala hari pengundian ialah pada 25 April ini.

Pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham, yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Selangor, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk G. Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Allahyarham menyertai PKR pada 2005, memperoleh 23,177 undi, manakala Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC, mendapat 22,979 undi

Tok Guru Nik Aziz dahului terima darjah kebesaran

KOTA BHARU, 30 Mac: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) mendahului senarai darjah kebesaran negeri pada pengurniaan kehormatan negeri Kelantan hari ini.

Menteri Besar dianugerah gelaran Dato’ Bentara Setia oleh Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra pada istiadat yang berlangsung di Istana Balai Besar di sini pagi ini.

Turut menerima anugerah tersebut Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria menerima Dato’ Lela Negara.

Manakala Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias dianugerahkan Dato’ Sri Setia Raja.

Sementara anugerah Darjah-Darjah Kebesaran Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K.), mendahului senarai penerima ialah isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor diikuti Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.

Mendahului senarai penerima anugerah Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.J.M.K.) ialah Datuk Tengku Salwani Al-Marhum Sultan Yahya Petra, diikuti Dato’ Tengku Rozan Al-Marhum Sultan Yahya Petra dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan menerima Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.J.M.K.).

Anugerah gelaran Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (S.P.S.K.), mendahului senarai penerima ialah peguambela, Datuk Sukri Mohamed, diikuti Pengelola Istana DiRaja, Datuk Abdul Halim Hamad.

Manakala penerima Anugerah Geralaran Kebesaran Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (S.P.S.K.), mendahului senarai ialah Ketua Polis Kelantan, SAC I Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Penerima Anugerah Kebesaran bagi gelaran Darjah Pahlawan Yang Amat Gagah Perkasa (P.Y.G.P.) ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Anggota Exco kerajaan negeri, Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman mendahului senarai penerima anugerah Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D.J.M.K.).

Selain itu, Speaker Dewan Negeri Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud, bekas pegawai Yayasan Islam Kelantan, Nik Abdul Kadir Nik Mohamad, Adun Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar dan bekas Adun Banggol Judah, Yahya Othman.

Mudir Pondok Pasir Tumboh, Tuan Guru Hashim Abu Bakar menerima gelaran Ahli Yang Kehormat Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D.J.M.K.).

Penerima gelaran Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (D.P.S.K.) seramai 34 orang termasuk Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam, Ahmad Mahmood dan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Ismail Samah.

Selain itu, Pegawai Kewangan Negeri Kelantan, Mohd Faudzi Che Mamat dan Pengarah Pelajaran Negeri, Mohd Ghazali Abdul Rahman.

Manakala seramai 10 orang menerima pelantikan Jaksa Pendamai (J.P.) termasuk Adun Air Lanas, Abdullah Ya’kub.

Keseluruhan penganugerahan tersebut membabitkan penerima seramai 84 orang.

Sementara itu seramai 555 lagi akan menerima penganugerahan pada Majlis Pengurniaan Kehormatan Negeri bagi Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang-Bintang, Pingat-Pingat dan Surat-Surat Kepujiandian pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Tiga anggota Exco, Che Abdullah Mat Nawi, Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Wan Ubaidah Omar pula disenarai penerima Ahli Yang Ketiga (Taulan) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Mulia Amat Mulia (J.M.K).

Senarai penerima tersebut diumumkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Aiseri pada sidang media di Istana Balai Besar semalam.

“Istiadat penganugerahan kali ini bukan merupakan acara perayaan ulangtahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan.

“Ia adalah semata-mata merupakan anugerah daripada Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan kepada mereka yang telah diampuni perkenan oleh baginda sendiri,” katanya

Chua menang presiden, Tiong Lai timbalan

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memenangi jawatan presiden MCA manakala Datuk Seri Liow Tiong Lai pula menang jawatan timbalan presiden.

Empat jawatan naib presiden dimenangi oleh Datuk Ng Yen Yen, Gan Ping Sieu, Datuk Donald Lim dan Datuk Chor Chee Heung.

Chua mendapatkan 901 undi, menewaskan Tan Sri Ong Ka Ting yang mendapat 833 undi manakala Datuk Seri Ong Tee Kiat memperolehi 578 undi.

Bagi jawatan timbalan pula, Liow mendapat 1,171 undi, menewaskan Datuk Kong Cho Ha yang memperolehi 1,106 undi.

Bagi jawatan naib presiden, Dr Ng mendapat 1,528 undi, Donald Lim (1,469) manakala Chor dan Gan masing-masing mendapat 1,202 undi.

Yang paling menarik ialah mereka yang menang, merupakan campuran penyokong kepada Chua, Ka Ting dan Tee Keat.

Liow merupakan regu kepada Ka Ting, manakala bagi naib presiden pula, Dr Ng dikaitkan dengan Chua, Chor (Ka Ting), Gan (Tee Keat) manakala Donald Lim dilihat tidak memihak.

Manakala 25 pemenang jawatankuasa pusat ialah:

1. Tan Ken Ten                                2. Koh Nai Kwong                            3. Loh Seng Kok
4. Tan Cheng Liang                          5. Gan Tian Loo                                 6. Chong Itt Chew
7. Hou Kok Chung                           8. Lee Chee Leong                            9. Wee Jeck Seng
10. Chuah Poh Khiang                    11. Hoh Khai Mun                             12. Heng Seai Kie
13. Kong Sing Chu                         14. Teh Kim Poo                                15. Wong Koon Mun
16. Tee Siew Kiong                        17. Tan Ah Eng                                  18. Ti Lian Ker
19. Tan Chai Ho                             20. Por Choo Chor                             21. Lee Wei Kiat
22. Ong Ka Chuan                          23. Liew Yuen Keong                         24. Yoo Wei How
25. Toh Chin Yaw

Sejumlah 2,318 perwakilan MCA mula mengundi bagi 31 jawatan tertinggi parti, termasuk presiden, timbalan dan naib presiden di ibupejabat parti itu hari ini.

Pemuda: Ini Amanahmu

Pemuda : Masa Depan Ummah ditanganmu.

Dapat diperhatikan secara jelas , bagaimana dunia Islam hari ini sedang dikepong oleh musuh – musuhnya dari segenap arah . Bahkan permusuhan mereka terhadap Islam kian ketara dan mereka seperti tidak sabar lagi mahu melihat Islam ini hancur dan ummahnya musnah .

Saya juga mengharapkan agar pemuda – pemuda Islam tidak memandang remeh akan perkara ini jauh sekali memandang sepi ke arahnya tanpa sebarang reaksi , sedang ummah sangat memerlukan sentuhan pemuda Islam bagi menyelamatkan mereka dan generasi yang mendatang.

Pemuda mestilah peka dan sensitive malah bersikap responsive terhadap pergerakkan musuh yang mungkin sukar dikesan oleh orang awam justeru mereka sering berselindung disebalik peraturan , undang – undang , Ngo , pergerakan kebajikan , hak asasi , kebebasan media dan seumpamanya .

Pemuda jangan lengah untuk bingkas menjawab segala tohmahan yang dilemparkan kepada Islam dan jangan sekali – kali lena di saat musuh bertubi arus mengarahkan serangan pemikiran kepada ummat Islam .

Pemuda sewajarnya bersatu dan jangan sekali – kali pecah hati dan retak solidarity dalam mengumpul segala upaya dan kekuatan berhadapan dengan ancaman musuh yang datang dengan perancangan rapi serta sistematik .

ANTARA TAKTIK MUSUH ISLAM

Al Marhum Abu A’ala Al Maududi rhm. Pernah menyebut di dalam bukunya yang berjudul Tanggungjawab Pemuda Islam Hari ini , bahawa musuh – musuh Islam begitu licik mengatur strategi untuk melemahkan Islam dan ummatnya . Antara taktik mereka ialah :

PERTAMA :

Merombak sistem pelajaran dan pendidikan adalah antara menjadi tujuan penjajahan . Setiap kali berjaya menguasai sesebuah negara Islam, mereka biasanya terus menghapuskan sistem pelajaran dan pendidikan kita jika mereka mampu. Atau mereka akan jadikan orang-orang yang berkelulusan menurut sistem pelajaran kita tidak ubah seperti barang yang tidak berharga dan seperti suatu benda yang hanya layak ditempatkan di dalam tong sampah.

KEDUA :

Menukar dan menghapus bahasa tempatan umat Islam dengan mengunakan cara yang halus. Mereka tidak akan membiarkan bahasa umat Islam yang telah ditawan itu mempunyai nilai yang tinggi. Mereka singkirkan bahasa-bahasa itu agar tidak digunakan dalam bidang pelajaran dan pendidikan.

Mereka juga tidak akan mengekalkan bahasa tempatan sebagai bahasa rasmi dalam sektor pentadbiran negara. Mereka kuatkuasakan bahasa mereka menjadi bahasa rasmi di dalam urusan pendidikan dan pentadbiran negara sebagai pengganti bahasa yang telah dimusnahkan itu. Taktik-taktik yang kotor itu telah pun diamalkan dalam negara-negara Islam oleh semua penjajah barat seperti Belanda, Inggeris, Perancis dan Itali. Begitu juga Russia dan China. Seolah-olah mereka semua telah mengadakan persetujuan bersama dalam mengunakan taktik ini.

KETIGA :

Membentuk angkatan baru yang buta (jahil) Islam. Penjajah barat telah mencipta dalam negara-negara Islam melalui cara yang amat halus suatu generasi baru yang jahil tentang Islam yang suci. Mereka ini jahil tentang asas utama akidah, syariat, sejarah Islam yang agong dan tamaddun mereka yang hebat.

Ini hanyalah satu sudut, manakala sudut lain pula generasi ini telah dicelup aliran pemikiran nya sehingga caracara berfikir dan pandangan mereka terhadap perilaku sesuatu itu mengikut kacamata materialisma barat. Dari generasi yang berhaluan barat ini tumbuh pula generasi baru yang lain, yang sudah dapat dipastikan generasi yang belakang ini akan lebih lemah lagi pegangannya terhadap ajaran Islam dibandingkan dengan generasi sebelumnya.

Mereka lebih kuat dalam mempertahankan tamaddun barat, lebih cinta kepada kebudayan barat dan lebih yakin terhadap falsafah barat yang berkaitan dengan kehidupan manusia.

DI ANTARA KEWAJIPAN PEMUDA ISLAM

ِِAnda semua mestilah benar-benar menjadi muslim , baik dari segi ilmu pengetahuan mahupun dari segi fikiran.

Juga agar anda benar-benar menjadi muslim dari segi hati dan perasaan, supaya anda mendapat sebesar-besar habuan daripada kemampuan yang cukup lengkap dan berada di dalam kelengkapan yang pasti untuk melaksanakan kerja kemasyarakatan di zaman sekarang yang sesuai dengan perundangan dan ajaran Islam.

Anda semua mesti segera memperbetulkan budipekerti yang telah menyeleweng, memperbaiki adat yang telah rosak sehingga anda dapat memperlihatkan perkara secara praktikal bagi Islam seperti mana datuk nenek kita telah memperlihatkannya pada masa lampau.

Hendaklah anda semua mengetahui bahawa percanggahan antara perkataan dengan amalan itu akan menuumbuhkan bibit-bibit nifaq dalam jiwa. Ia akan menghilangkan kepercayaan.

Sesungguhnya kejayaan akan bergantung kepada kejujuran dan niat anda, benar di dalam keazaman dan keselarasan di antara amalan anda dengan perkataan anda. Sesungguhnya seseorang yang berkata apa yang ia tidak lakukan akan mendatangkan kemudaratan besar terhadap dakwahnya.

Firman Allah :

يَاأَيُهَا الَّذِینَ آَمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لا تَفْعَلُونَ *

كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman ! Mengapa kamu berkata barang yang kamu tidak buat. Besarlah kemurkaan di sisi Allah bahawa kamu berkata barang yang kamu tidak buat. ( Surah Al-Sof : 2-3 )

Janganlah anda merasa sayang untuk mencurahkan segala apa yang anda mampu melalui fikiran dan tenaga bekerja yang Allah kurniakan kepada anda untuk berdakwah.

Samada dengan tulisan atau dengan ucapan. Hendaklah anda mengkaji asas-asas tamaddun barat dan mengkritik serta membezakan di antara asas yang silap dengan yang betul. Anda perlu dapat membebaskan fikiran dan jiwa orang Islam dari meniru orang-orang barat.

Anda hendaklah mampu menghancurkan berhala-berhala dan teori-teori barat kerana teori ini telah banyak menipu segolongan orang-orang Islam sejak zaman berzaman. Ini hanyalah satu sudut, manakala sudut yang lain pula hendaklah anda bertugas menyusun dan membentangkan undang-undang Islam yang bersangkutan dengan kehidupan manusia dengan cara-cara yang paling munasabah dan mudah dalam mempraktikan supaya dapat menarik dan meyakinkan generasi baru bahawa undang-undang Islam itu adalah betul dan baik.

Anda hendaklah mampu meyakinkan mereka bahawa jika mereka mengamalkan sistem Islam mereka bukan sahaja akan maju ke depan, malah mereka akan mendahului bangsa lain dalam semua cabang kehidupan.

Sesungguhnya makin luas daerah kegiatan kerja anda dan makin betul dengan manhaj Islam maka makin bertambah banyaklah bilangan pendakwah, bilangan pendokongnya dan bilangan orang yang berpengaruh dengannya di dalam tiap perjuangan hidup.

Dan tugas anda ini hendaklah diteruskan untuk jangka masa yang panjang hingga tiba suatu hari, di mana akan lahir kumpulan manusia yang ramai, yang beriman dengan tugas dakwah dan bergabung di bawah panji dakwah Islamiyyah.

Kumpulan ini sangat kita perlukan untuk mengikat bangunan negara di atas tiang-tiang seri yang berlandaskan Islam. Termasuk di dalam perkara sia-sia sekiranya kita mengira bahawa perubahan Islam secara lengkap dan sempurna boleh wujud dengan tidak didahuluinya oleh persiapan yang cukup. Jika di takdirkan perkara itu berhasil juga dengan tiada persiapan yang cukup lengkap maka perkara itu tidak akan tahan lama dan terasnya tidak akan bertapak kukuh di bumi.

Hendaklah anda gabungkan tiap-tiap orang yang berminat dengan dakwah Islamiyah kepada usrah dan kumpulan anda.

Hendaklah anda menyusun orang-orang yang ada di kalangan mereka dalam satu jemaah yang kuat, yang mempunyai disiplin yang kukuh dan mempunyai perlembagaan yang utuh hingga kelemahan dan kelonglaian tidak boleh menyelit dicelah-celah barisan anda.

Sesungguhnya semata-mata membentuk jemaah di kalangan manusia yang telah bersetuju dengan dasar tertentu tanpa ada penyusunan yang licin, kukuh dan segala gerak kerjanya di tolak oleh perasaan taat dan patuh, maka itu adalah pekerjaan yang cacat tidak akan membuahkan natijah. Ini telah dibuktikan oleh pengalaman dan pengajaran yang telah lepas. Orang yang berpengalaman sahaja dapat menjelaskan kepada anda.

Begitu juga anda mesti bekerja keras menyebar dakwah di kalangan orang orang awam hingga anda boleh menyingkap kabus kejahilan mereka.

Anda jadikanlah mereka itu terang benderang mengenai agama mereka, sehingga mereka dapat membezakan di antara yang buruk dari yang baik.

Demikian juga anda mesti bekerja keras memperbaiki budi pekerti mereka, meninggikan taraf pemikiran dan fahaman mereka terhadap Islam supaya mereka dapat berdiri tegak dan teguh dalam menghadapi serangan ideologi, seruan kepada maksiat dan kefasikan yang sedang bermaharaja lela di negeri-negari Islam, dengan dibantu dan dokongan dari kerajaan yang telah rosak.

Ini adalah penting kerana :

Bumi yang rakyatnya telah mempertuhankan syahwat dan kelazatan hidup tidak boleh menjadi bumi yang baik untuk dibangunkan negara Islam,

Bila lahirnya sikap pura-pura dan merebaknya kejahatan yang menyeluruh di kalangan umum manusia, mustahillah untuk dibangunkan dasar dan undang-undang Islam di kalangan para pendusta, pengkhianat dan orangorang fasik. Sejauh mana mereka boleh hidup dengan dasar dan sistem kafir maka sejauh itulah mereka tidak boleh hidup dengan dasar dan sistem Islam.

Jangan anda cuba membangun dasar-dasar Islam di atas asas yang tidak sihat, di atas tiang seri yang lemah dan di atas tunjang yang bergoyang.

Anda mesti bersabar dahulu di dalam masalah ini, kerana matlamat yang mahu kita capai itu ialah matlamat yang besar, yang bertujuan membaiki nilai-nilai kemanusiaan, memberikan fahaman kepada manusia dan mengembalikan mereka ke kandang Islam sesudah mereka berada di dalam kemurtadan sejak beberapa lama. Kerja-kerja yang baik seperti ini memerlukan keteguhan dan kesabaran dan pemikiran yang matang.

Anda pasti menghayung langkah kedepan dan tiap langkah mesti berwaspada, bijaksana dan berhati-hati. Dan jangan anda terlalu cepat menghayung langkah baru sebelum anda mengulangi hasil langkahan anda dahulu serta menganalisa natijahnya : Adakah langkahan itu berjalan di atas jalan yang telah digariskan, adakah ia memberi natijah yang diharapkan.

Antara hakikat yang mesti diterima ialah gopoh gapah itu adalah suatu perkara yang tidak selamat akibatnya. Contohnya

- kita menyertai di dalam suatu kementerian yang tidak betul dan tidak beriman dengan dengan dasar-dasar kita

- Harapan kita menyertai di dalam kementerian itu akan memberi suatu langkah yang boleh mendekati kepada tujuan-tujuan kita. Tetapi itu adalah perkara yang salah kerana pengalaman lalu membuktikan bahawa usaha yang seumpama ini tidak akan membuahkan natijah yang baik, kerana orang yang memegang teraju pemerintahan, merekalah yang menetapkan polisi pemerintahan dalam dan luar negerinya dan menyelenggarakan polisi pemerintahan itu berdasarkan kepentingan dan nafsu mereka.

Penyertaan kita bersama mereka dengan membawa tujuan yang baik, bersih dan mulia terpaksa berganding bahu dengan mereka dan terpaksa menyesuaikan dengan perjalanan mereka. Ini memberi erti bahawa pada akhirnya kita akan jadi trompet dan alat mainan di tangan mereka, yang boleh mereka lakukan terhadap kita mengikut sesuka hati mereka.
 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates