Ku Li setuju Kelantan tolak sertai Jawatankuasa Wang Ehsan

KOTA BHARU, 29 Jan: Mantan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah turut menyokong tindakan Kerajaan Kelantan menolak penyertaan sebagai wakil kerajaan negeri dalam Jawatan Kuasa Wang Ehsan yang akan dikendalikan Jabatan Kerajaan Persekutuan (JPP).

Bercakap pada sidang media selepas berucap di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi, beliau yang lebih mesra dengan membahasakan dirinya Ku Li menegaskan bahawa 'royalti' bukan 'wang ehsan' dan 'wang ehsan' bukan 'royalti'.

"Baguslah tu, kalau Kerajaan Negeri buat sikap begitu.

“Jangan tanya saya,tanya rakyat Kelantan ,mereka terima atau tidak wang tersebut, yang jelas sekarang rakyat Kelantan telah menolak cadangan mereka yang hendak salurkan wang tersebut pada JPP dan kalau kerajaan Kelantan tak mau terima ia tidak ada gunanya” ujar beliau lagi.

“Itulah saya katakan (bahawa) kita semua walau pun (dianggap) miskin di Kelantan ni, (namun) kita bukanlah tok fakir (peminta sedekah),” katanya yang juga bekas Menteri Kewangan.

Mengulas tindakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed yang menafikan hak Kelantan mendapat royalti dan hanya mendapat wang ehsan, Ku Li berkata, Mustapa hanya pengampu kerajaan.

“Jangan sebut lagi nama Mustapa, bosan saya mendengarnya dan dia tu pengampu” katanya.

Royalti jelasnya adalah hak Kelantan mengikut perjajian yang dibuat kerajaan negeri itu dengan Petronas di bawah Akta Pembangunan Petronas 1974 (PDA) sewaktu beliau menjadi pengerusi.

“Kerajaan Persekutuan tawarkan wang ehsan, sama ada dia nak ambil daripada wang minyak yang dimiliki oleh Petronas atau pun daripada punca lain, itu dia punya pasal.

“Tetapi soalnya, yang utama ialah royalti yang menjadi hak. Ini ‘sovereign rights’ rakyat Kelantan,” katanya.

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga turut menyatakan kesanggupannya menjadi ‘jambatan’ antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan Petronas.

Selain itu beliau turut memaklumkan bersedia menjadi Pengerusi Kaukus Parlimen berhubung perkara tersebut.

“Saya sedia menerimanya, namun saya belum dapat pengesahan daripada Ahli-Ahli Parlimen yang saya telah jumpa untuk ajak bersama dalam Kaukus itu.

Malam tadi puluhan ribu memenuhi stadium bagi mendengar penjelasan Ku Li berhubung tuntutan royalti minyak Kelantan.

Program tersebut anjuran Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) dengan kerjasama kerajaan negeri.

Ku Li dalam ucapannya sebelum ini memberitahu Kelantan berhak mendapat royalti minyak sebanyak RM2 bilion seperti perjanjian yang telah dibuat dengan Petronas.

Ianya sama seperti perjajian yang dibuat antara Sabah dan Sarawak yang memperoleh royalti dari Petronas.

Satu memorandum berhubung tuntutan itu akan diserahkan kepada Pemangku Raja dan Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Hadir sama pada program malam tadi Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan barisan exco kerajaan negeri.

0 ulasan:

 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates