Masjid kecoh, Eskay batal sumpah laknat

KUALA LUMPUR, 29 April: Majlis sumpah laknat yang mahu dilafazkan Datuk Shazryl Eskay Abdullah di Masjid Amru Al-As Bandar Baru Sentul hari ini bertukar kecoh sehingga ianya terpaksa dibatalkan.

Kekecohan berlaku sejurus selesai imam membaca doa selepas solat Jumaat apabila kumpulan menyokong Eskey bersumpah laknat bertembung dengan kumpulan yang membantahnya yang diketuai Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin.

Belum pun kelibat Eskay kelihatan, kedengaran laungan 'Allahuakbar' dan'kami mahu qazaf, bukan sumpah' bergema dalam masjid itu sejurus selesai berdoa.

Ekoran itu, semua hadirin yang baru sahaja keluar, masuk semula melihat apa yang berlaku sehingga ruang solat utama penuh sesak.

Kekecohan yang berlaku diruang solat uatama masjid itu berlarutan hampir 45 minit dengan pelbagai aksi tolak menolak dan berbalas laungan.

Turut kelihatan beberapa individu dipercayaai penyokong trio Datuk T ditarik dan dihalau keluar dari ruang solat selepas berlaku pertengkaran dengan kata-kata kesat sebelumnya.

Selain Shamsul, beberapa pimpinan AMK lain juga turut kelihatan mengedarkan buku bertajuk Qazaf yang diterbitkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) kepada hadirin.

Lebih memanaskan keadaan apabila mereka mendakwa ternampak pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali berada di sebelah mimbar.

Che Mat kemudian kelihatan keluar melalui pintu di belakang mimbar tetapi terdapat seorang penyokong PKR yang cuba mengejarnya untuk menyerah buku Qazaf itu.

Dalam kekecohan itu juga, penyokong Pakatan Rakyat sempat mengadakan solat hajat dan berdoa beramai-ramai memohon pemfitnah diberi pembalasan.

Memandangkan keadaan kecoh tersebut, pengerusi masjid berkenaan, Abdul Razak Husin naik ke atas mimbar untuk menenangkan keadaan.

Beliau meminta semua orang keluar dari masjid bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini.

Abdul Razak berkata, beliau dimaklumkan Eskay tidak hadir dan upacara sumpah laknat itu telah dibatalkan.

Bagaimanapun terdapat sumber yang mendakwa Eskay akan menunaikan solat Asar di masjid itu nanti.

0 ulasan:

 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates