Pemuda PAS bantah konsert Elton John

TEMERLOH, 24 Okt: Dewan Pemuda PAS Pahang (DPPNP) membantah konsert Greatest Hits Tour melibatkan penyanyi gay Elton John di Arena of Stars, Genting Highlands pada 22 November depan kerana dianggap tidak sesuai dengan budaya negara ini.

Ketuanya, Shahril Azman Abdul Halim Al-Hafiz, berkata walaupun mungkin penyanyi yang berkahwin sesama lelaki itu datang sekadar menghiburkan peminatnya, tetapi bimbang ikon muzik dunia itu akan menjadi ikutan negatif kepada generasi muda.

Sebuah akhbar harian semalam melaporkan Elton, 64, “top 10 artis paling terlaris dalam sejarah muzik” bakal mengadakan konsert sulungnya di Malaysia November ini bertempat di Genting Highlands.

“Pihak berkuasa kena sedar bahawa budaya hedonisme atau berhibur secara berlebihan dan melampau kian menular, merebak umpama racun berbisa yang semakin menyerang remaja Islam.

“Sedangkan budaya inilah yang lazimnya membawa kepada kerosakan sebuah masyarakat seperti pergaulan bebas, gejala arak, berzina, anak luar nikah dan melekakan mereka terhadap tanggungjawab beragama selama ini.

“Ini ditambah lagi dengan kemunculan pengamal seks sejenis. DPPNP tidak dapat bayangkan bagaimana penerimaan golongan muda apabila pihak berkuasa tidak menyekatnya dari awal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Tambahnya lagi, sedangkan akta yang digubal oleh jabatan agama peringkat negeri seperti kesalahan orang Islam memasuki premis judi nombor ekor dan meminum arak di khalayak awam pun gagal ditangani pada masa ini.

“DPPNP memandang setiap perkara yang boleh membawa kemudaratan mestilah disekat lebih awal dengan kuasa yang ada demi kemaslahatan umum dan ini tidak boleh dianggap sebagai tindakan yang menyekat hiburan.

“Oleh itu sama ada Jabatan Agama Islam Pahang, Kerajaan Negeri Pahang, Majlis Daerah Bentong dan mana-mana pihak berkuasa, hendaklah menggembeleng tenaga supaya mencegah kemungkaran ini kerana gejala sosial dan kebejatan moral yang ada pada hari ini pun tidak mampu lagi ditanggung.”

“Jadi pihak penganjur tidak boleh berbangga dengan aktiviti yang mungkin dianggap membawa keuntungan tetapi sebaliknya merosakkan institusi mayarakat dalam jangka panjang,” menurut kenyataan tersebut.

Elton yang terkenal dengan lagu hits seperti Candle In The Wind, Rocket Man, Levon dan Your Son" telah mendirikan rumah tangga dengan rakan homeseksualnya David Furnish pada 21 Disember 2005, selepas kerajaan Britain membenarkan perkahwinan sejenis.

Anak mereka, Zachary Jackson Levon John, dilahirkan melalui ibu tumpang pada 25 Disember 2010 di California.

0 ulasan:

 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates