KUALA LUMPUR, 4 Dis: Tindakan Umno yang mahu kepimpinan parti itu mengadakan sumpah bai'ah bagi mengelakkan tindakan khianat dan sabotaj oleh ahli sendiri, membuktikan mereka mengakui cara yang digunakan PAS.
Ahli Parlimen PAS Baling, Datuk Taib Azamuddin Md. Taib berkata, Umno yang sebelum ini mengecam amalan PAS mengadakan sumpah bai'ah bagi mengelakkan ahlinya lompat parti akhirnya terpaksa meniru cara tersebut.
"Kalau ini (sumpah bai'ah) lahir daripada hati dan keikhlasan orang Umno, ini menunjukkan apa yang dilakukan PAS selama ini yang dipandang serong oleh Umno telah diakui kebenarannya.
"Usia Umno yang sudah terlalu lama menunjukkan ia sudah jauh ketinggalan. Hakikat sebenarnya ialah apa yang dilakukan oleh Umno itu sebenarnya mengakui pendekatan yang dilakukan oleh PAS.
"Oleh sebab itu, daripada dia meniru (PAS) baik dia menyertai PAS terus," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Sewaktu perbahasan usul di Perhimpunan Agung Umno semalam, perwakilan Umno Terengganu, Komaruldin Omar mencadangkan diadakan sumpah bai'ah dengan merujuk kepada tindakan PAS dan dipersetujui para perwakilan yang lain.
Taib yang juga bekas imam besar Masjid Negara bagaimanapun berkata, sumpah bai'ah hanya terpakai untuk perkara bertujuan kebaikan dan kebenaran, bukan untuk tujuan kebatilan.
Tegasnya, Umno sebagai parti yang tidak meletakkan Islam sebagai dasar tidak wajar mengadakan sumpah bai'ah.
"Bai'ah boleh berlaku di atas sesuatu perkara untuk tujuan kebenaran...kalau bai'ah untuk tujuan kebatilan, bai'ah itu menjadi satu kemungkaran dan tidak termasuk dalam erti kata bai'ah yang sebenar.
"Jadi kalau Umno masih tidak meletakkan Islam sebagai dasar, maka bai'ah itu tidak ada gunanya Jadi tak perlulah orang Islam tertipu dan terpedaya dengan keadaan ini," katanya yang merupakan bekas imam Masjid Negara.
Tambahnya, tindakan Umno itu juga menunjukkan parti itu sudah berada dalam keadaan lemah dan terpaksa menggunakan apa sahaja cara untuk dijadikan 'tongkat' bagi meneruskan pemerintahannya.
"Inilah salah satu bukti yang boleh dilihat oleh masyarakat...dari segi spiritnya, politik Umno sudah memang terkapai-kapai...jadi apa sahaja yang dia rasa dia boleh capai untuk jadikan tongkat nak selamatkan parti, dia akan guna.
"Takkanlah masyarakat nak terima orang yang pakai tongkat untuk memerintah?" katanya.
Sementara itu, menyentuh dakwaan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau berani dan sudah empat kali bersumpah berbanding Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang enggan bersumpah, Taib berkata, Najib masih belum keluar daripada kejahilannya.
"Kalau itu yang Najib mainkan, maksudnya dia masih belum keluar daripada kejahilan dia...walaupun nasihat dan pandangan telah diberi oleh para ulama dan mufti tapi kalau dia main lagi isu itu maksudnya dia orang yang tak sudi keluar daripada kejahilan," katanya.
Najib sebelum ini bersumpah laknat bahawa beliau tidak mengenali dan tidak terlibat dalam pembunuhan wanita Monggolia, Altantuyaa Sharibuu.
RUMAHKU SYURGAKU
-
Bicara Santai Selain Politik. 01
25 Rabiul Awwal 1439 / 15 Dec 2017
*RUMAHKU SYURGAKU*
Oleh : Pendekar Sakti
1. Sebahagian masalah hidup ialah serabut at...
6 tahun yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan