Apapun berlaku, perjuangan mansuh Auku diteruskan

KUALA LUMPUR, 1 Jan: Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Akram Ikrami Taib Azamudden menyelar tindakan pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia yang telah bertindak ganas sewaktu Himpunan Menuntut Kebebasan Berakademik (Bebas) di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di awal sambutan tahun baru.


Presiden Gamis yang dihubungi pagi ini menjelaskan tindakan pihak polis jelas membuktikan suara mahasiswa ingin dikuburkan oleh rejim kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tambah beliau lagi, sepatutnya pihak berkuasa khususnya polis harus bertindak dengan lebih profesional, bukannya menggunakan kekerasan melampau apatah lagi himpun tersebut berlangsung dengan aman.

"Gamis akan bersama seluruh mahasiswa sama sekali tidak akan berundur bahkan akan terus mara memperjuangkan mansuhnya Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) dan akta seumpamanya.

"Himpunan dijalankan secara aman, malah kerjasama baik diberikan oleh mahasiswa tanpa ada provokasi liar, tetapi pihak polis menggunakan kuasa mereka untuk bertindak melebihi dari sifat keperimanusiaan.

"Kita mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman yang dilakukan serta menuntut pembebasan segera ke atas semua mahasiswa yang ditahan dan mesti bertanggungjawab ke atas mangsa kekejaman tersebut," jelasnya.
Sebelum itu, Pengerusi Bebas, Safwan Anang dimasukkan ke hospital kerana dipijak oleh polis, manakala seorang lagi mengalami kecederaan di kepala dah dijahit.

Dilaporkan lebih 20 orang mahasiswa lain di tahan di Balai Polis Tanjung Malim termasuk aktivis Mahasiswa, Adam Adli.

Dimaklumkan lebih kurang 100 orang anggota polis dan FRU berada di UPSI bagi menghalang himpunan tersebut.

Dalam pada itu, mahasiswa telah mula berhimpun di Stesen Komuter Tanjung Malim sejak awal pagi tadi bagi mendesak agar mereka yang ditahan di bebaskan segera.

Akram Ikrami menjelaskan walau apa jua tindakan dikenakan terhadap Bebas, desakan agar memansuhkan Auku tetap diteruskan, malah apa yang berlaku sekarang adalah sebagai cabaran kepada mahasiswa.

0 ulasan:

 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates