Pemuda PAS akan berhimpun di IPD Tanjung Malim

KUALA LUMPUR, 1 Jan: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengerahkan seluruh ahlinya yang berada di sekitar Lembah Klang dan Perak untuk turun berhimpun di hadapan IPD Tanjung Malim bagi menuntut pembebasan sekurang-kurangnya 17 mahasiswa yang ditahan polis sejak malam tadi.

Arahan tersebut dikeluarkan ketuanya, Nasruddin Hassan melalui khidmat pesanan ringkas SMS kepada Harakahdaily pagi ini.

"Semua  pemuda dikerahkan berkumpul secara aman dalam tempoh sekarang ke jam 2 petang di hadapan IPD Tanjung Malim Perak untuk menuntut pembebasan segera 17 mahasiswa yang ditahan sejak semalam," katanya.

Insiden malam tadi menyaksikan Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik Muhammad Safwan Anang patah tulang rusuk, seorang lagi Amar Rasyidi cedera di kepala manakala 17 mahasiswa ditahan.

Mereka ditahan secara kasar oleh polis ketika sedang mengadakan protes pada Himpunan Kebebasan Akademik (BEBAS) di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) malam tadi.

Difahamkan, setakat ini, Safwan masih terlantar di Hospital Slim River.

Dalam pada itu, Nasruddin turut menyelas sikap double standard pihak berkuasa yang bertindak secara kasar terhadap mahasiswa tetapi pada masa sama membenarkan himpunan serupa oleh pihak lain termasuk oleh Umno dan Perkasa di UPSI baru-baru ini.

"DPPM menyelar sikap double standard PDRM.  Umno dan perkasa demo depan UPSI tidak diambil sebarang tindakan tetapi  mahasiswa dibelasah separuh mati," katanya.

Sementara itu, difahamkan hampir seratus 200 mahasiswa, NGO dan pemimpin politik sedang berkumpul di hadapan IPD Tanjung Malim bagi menuntut kesemua yang ditahan dibebaskan dengan segera.

PAS sedia khidmat guaman

Dalam perkembangan lain, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memberi jaminan Pakatan Rakyat khususnya PAS akan menyediakan khidmat guaman kepada mahasiswa sekiranya didakwa atas sebarang kesalahan.

"PAS, Pakatan Rakyat akan memberikan khidmat guaman percuma kepada mahasiswa-mahasiswa ini jika berdepan tindakan mahkamah," katanya yang dalam perjalanan dari IPD Tanjung Malim ke Hospital Slim River untuk melawat Safwan.

Beliau berkata, Lajnah Guaman dan Undang–Undang PAS Pusat dan Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia bersedia memberikan khidmat mereka kerana isu ini melibatkan kebebasan mahasiswa.

0 ulasan:

 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates