HILANGNYA FIKRAH TAJARRUD


Tajarrud bermaksud murni atau tulen, yakni tidak bercampur dengan sesuatu yang asing. Ia merupakan salah satu daripada rukun bai’ah yang lazimnya dilumati oleh setiap anggota gerakan Islam, antaranya ialah Parti Islam SeMalaysia (PAS). Tajarrud mempunyai asasnya dan sumber sandaran daripada al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Tajarrud membawa kefahaman kepada setiap anggota gerakan agar melihat, berfikir, beramal dengan Islam daripada sumbernya yang asli tanpa dipengaruhi atau difahami melalui percampuran unsur-unsur luar daripada Islam. Komitmen terhadap dakwah hingga akhir hayat tidak akan berlaku tanpa adanya tiang tajarrud. Menurut Imam Hasan al-Banna di dalam “Risalah at-Ta’alim”-nya, tajarrud adalah, “Kamu mesti tulus kepada fikrahmu dan membersihkannya daripada prinsip-prinsip lain serta pengaruh orang lain kerana ia adalah setinggi-tinggi dan selengkap-lengkap fikrah.”

Manakala Ustaz Fathi Yakan di dalam kitabnya “Maza Ya’ni Intima’e al-Islam”“Tajarrud bermakna saudara mestilah ikhlas terhadap fikrah yang saudara dukungi.”

Inilah yang difirmankan oleh Allah Taala.

Surah al-Baqarah, ayat 42 yang berbunyi:

وَلاَ تَلْبِسُواْ الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُواْ الْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.”

Surah al-Baqarah, ayat 208 yang berbunyi:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah agama Islam secara keseluruhan; dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan memang  musuh kamu yang nyata.”


Surah al-Ana’am, ayat 82 yang berbunyi:


الَّذِينَ آمَنُواْ وَلَمْ يَلْبِسُواْ إِيمَانَهُم بِظُلْمٍ أُوْلَئِكَ لَهُمُ الأَمْنُ وَهُم مُّهْتَدُونَ

“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman, mereka itulah yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Nabi s.a.w pernah melarang Umar al-Khattab r.a yang ingin beramal dengan kitab Taurat pada bahagian yang dikaguminya. Nabi melarangnya kerana dibimbangi yang benar dirasakan salah dan yang salah dirasakan benar, justeru tidak ramai yang tahu manakah bahagian kitab Taurat yang asli dan manakah bahagian yang diselewengkan. Para sahabat memahami perkara ini dan melaksanakannya dalam diri mereka. Maka kesannya pun turut terserlah dalam perilaku mereka.

Hilangnya sifat Tajarrud cukup jelas apabila kita melihat orang-orang Islam sendiri mencari panduan Timur dan Barat, membuat penilaian terhadap realiti semasa sama ada ia bertepatan dengan Islam ataupun tidak.

Sememangnya anda akan berpandangan, golongan yang menilai praktis semasa dari perspektif Islam adalah Islamik. Jika anda menentang metodologi ini, anda akan dilihat kuno, primitif, konservatif, dan apa jua istilah negatif dan mungkin anda akan dihukum sebagai orang yang tidakup to date. Ya, sememangnya melihat praktis semasa dan membuat penilaian dari perspektif syariat adalah sesuatu yang terpuji. Saya akuinya. Tetapi ada sesuatu yang anda belum menyedarinya, iaitu hilangnya sifat Tajarrud dan anda berada di dalam tempurung pemikiran yang sempit.

Masalah hari ini, golongan yang cintakan Islam tetapi tidak mendalami ilmu Islam, kadangkala mereka boleh tersilap faham terhadap Islam. Cuba anda bayangkan, seseorang  yang tidak pernah belajar solat dan dalam masa yang sama dia sangat mahir tentang sembahyang cara Hindu, Buddha dan kristian kerana ia hidup di dalam masyarakat tersebut. Apabila timbul kesedaran Islam, beliau mula mengkaji pandangan Islam terhadap solat Hindu, Buddha dan Kristian.

Suasana ini menjadikan individu tersebut lupa satu perkara penting, iaitu solat cara Islam. Apabila dia menghabiskan waktunya dengan mempelajari dan mengkaji sembahyang di dalam agama lain dan beliau mahir tentang pandangan islam tentang solat dari perspektif agama-agama lain, maka ia terlupa bagaimanakah solat di dalam Islam? Mungkin ia tahu cara rukuk di dalam solat Islam, kerana rukuk adalah 'bahan' perbandingan dengan rukuk dalam sembahyang agama lain. Jika di dalam agama lain tiada iktidal, maka pengkaji tersebut akan overlook tentang iktidal dalam solat islam kerana ia hanya mengkaji bermula daripada  apa yang terdapat di dalam ibadat konvensional, bukan solat daripada sumber Islam yang asal.

Jika individu ini mula ingin bersolat dan cuba mempraktiskan solat bermula daripada solat agama-agama lain setelah dinilai daripada perspektif islam, sampai kiamat dia tidak akan berjumpa dengan solat yang betul, khususnya apabila tidak mengambil ulama sebagai pemandu di dalam bersolat.

Begitulah juga keadaannya individu-individu yang bergelar pakar ekonomi islam, pakar perundangan Islam, pakar atau pengamal politik Islam dan lain-lain kepakaran yang mempunyai latar belakang pendidikan konvensional, mahir tentang praktis konvensional, tetapi hanya menumpukan kajian dan pembelajaran terhadap praktis semasa dari sudut pandangan Islam. Islam yang dipelajari hanyalah Islam yang berkaitan dengan konvensional, yang ada kaitan dengan praktis konvensional. Islam hanya difahami untuk memahami dan mengukur praktis semasa, bukan dari gambaran Islam yang menyeluruh bagi melaksanakannya sebagai ad-Deen (cara hidup).

Anda mungkin akan mengkaji tentang pandangan Islam terhadap praktis semasa tentang bond dan sukuk, tetapi pada waktu ini anda akan terlupa bagaimana cara Islam memaksimumkan modal individu dan syarikat melalui hukum-hakamnya, bukan melalui bond dan sukuk sahaja.

Anda mungkin akan mengkaji apakah pandangan Islam tentang prosedur penyiasatan polis dalam kes jenayah. Anda akan berjumpa dengan jawapan halal dan haram. Tetapi anda mungkin akan terlepas pandang bagaimana sistem Islam yang sebenar, yang akhirnya prosedur yang hanky panky ini tidak diperlukan di dalam Islam. Tuntasnya, jika tiada konvensional maka tiadalah Islam justeru anda mengkaji Islam hanyalah melalui kewujudan realiti konvensional, jika tiada realiti konvensional, maka tiadalah Islam yang anda akan fahami.



Biodata Penulis

Ustaz Zaharuddin bin Muhammad dilahirkan pada 6 Februari 1976 merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Majlis Syura Ulama PAS. Anak muda kelahiran Kuala Terengganu ini pernah menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Tanta dalam bidang Syariah Islamiyah. Telah berkahwin dengan Asma’ Abdul Hadi, dan memiliki empat orang cahaya mata. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam dan dakwah sebenar di Malaysia.

0 ulasan:

 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates