Hutang negara: Noktah terakhir Umno BN PRU13

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa bimbang dengan trend Malaysia yang suka berhutang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, dalam laporan terbaru yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan menyebut, hutang Kerajaan Persekutuan sehingga 30 Jun 2011 berjumlah RM437.2 bilion atau 52.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Daripada jumlah tersebut pula, hutang Kerajaan Persekutuan dalam negeri berjumlah RM421 bilion atau 96.3 peratus manakala RM16.2 bilion atau 3.7 peratus merupakan hutang luar negara.
“DPPM hairan mengapa negara sanggup menanggung hutang setiap tahun. Negara Malaysia adalah antara negara yang kaya dengan pelbagai kegiatan ekonomi, tetapi masih tidak cukup buat menampung perbelanjaan negara,” katanya kepada Harakahdaily.
Katanya, dengan hasil bumi seperti petroleum yang semakin bertambah, dengan aktiviti pertanian seperti kelapa sawit, getah, padi, nenas dan lain-lain lagi ditambah dengan pelbagai industri yang semakin berkembang, adakah itu masih tidak cukup menampung perbelanjaan negara.
Yang peliknya, kata beliau rakyat Malaysia tidaklah terlalu ramai jika hendak dibandingkan dengan negara besar seperti Indonesia, China dan India, sepatutnya Malaysia menjadi lebih kaya dan maju serta tidak bergantung dengan pinjaman luar mahupun agensi dalam negara sendiri.
Soalnya, apa perlunya Malaysia meminjam sehingga berhutang keliling pinggang setiap tahun.
“Apakah ia kerana kos perbelanjaan bajet ‘one off’ atau ‘gula-gula’ pilihan raya sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Bajet 2012 baru-baru ini menyebabkan Malaysia terpaksa berhutang?
“Ataukah kerana sikap pemimpin Umno BN yang suka projek mega yang membazir dan merugikan negara?
“Adakah juga ia kerana kegagalan pemimpin Umno BN mengurus negara sehingga terpaksa berhutang dalam dan luar negara?” katanya lagi.
DPPM, ujarnya khuatir trend berhutang ituakan menjadikan negara bankrap dan seterusnya memufliskan negara.
Beliau menambah, kesannya terhadap ekonomi negara adalah peningkatan inflasi, jurang pendapatan antara yang berpendapatan tinggi dengan rendah sangat ketara, pelaksanaan cukai yang membebankan rakyat, serta kos hidup yang semakin meningkat.
Katanya lagi, kesan terhadap sosial pula adalah berlakunya penyelewengan kuasa, rasuah, penindasan, kronisme, monopoli dan sebagainya.
“Kenyataan ini membuktikan satu lagi siri kegagalan pemimpin Umno BN dalam memimpin negara ini,” ujarnya lagi.
Menurutnya, meskipun kedudukan ekonomi negara dilaporkan baik dan berkembang dengan sihat, hakikatnya pemimpin negara gagal melindungi ‘kesakitan’ negara ekoran hutang negara yang terlalu banyak.
“DPPM mengharapkan dengan ini rakyat akan meletakkan noktah terakhir buat Umno BN dalam PRU akan datang dan seterusnya memberi peluang Pakatan Rakyat pula memimpin negara ini,” katanya.
DPPM, tegasnya yakin Pakatan Rakyat akan mampu membuktikan bahawa dalam keadaan negara tidak berhutang boleh menjamin kemajuan dan kestabilan negara.
Bahkan, tegasnya Pakatan Rakyat akan pastikan negara bebas dari hutang yang membelenggu selama ini dengan pentadbiran yang cekap, amanah, telus, bebas dan adil.

0 ulasan:

 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates