KUALA LUMPUR, 18 Okt: Datuk Seri Rais Yatim diharap tidak menggunakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai polis peribadinya semata-mata untuk membuktikan beliau masih lagi relevan.
Ketika menyatakan harapan tersebut kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) berkata, rakyat tidak ingin melihat mana-mana kementerian atau institusi kerajaan digunakan untuk membodek Perdana Menteri atau membuktikan kononnya seseorang itu masih lagi relevan.
Mengulas tindakan SKMM menyiasat pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari, dipercayai ekoran reaksi pensayarah itu terhadap tindakan Sultan Selangor baru-baru ini, Salahuddin berharap tindakan itu dihentikan serta merta.
"Tindakan itu dilihat umum sebagai penyalahgunaan kuasa yang sangat ketara dan pencabulan kebebasan bersuara yang memalukan negara.
"Ia mesti dihentikan serta merta kerana ia bukan sahaja pencabulan kebebasan bersuara malah pencabulan serta penghinaan terhadap kebebasan akademik," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.
Dr Abdul Aziz, kata Salahuddin, bercakap berdasarkan ilmu dan kelayakan akademiknya dan tindakan SKMM menyiasatnya tanpa menyatakan kepada umum kesalahan beliau di sisi undang-undang adalah tindakan yang dilihat rakyat sebagai menjijikkan.
Beliau juga mempersoalkan adalah SKMM mahu mewujudkan 'profesor kangkung' yang bercakap melalui TV dan media tanpa mengikut fakta sebenar semata-mata mengampu pemerintah.
Sebelum itu, walaupun mendakwa kenyataan Dr Abdul Aziz kurang ajar, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau tidak tahu adakah pensyarah itu melanggar undang-undang atau tidak.
"Sama ada ia melanggar undang-undang, saya tidak tahu, tetapi dari segi moral, ia kurang ajar," Bernama memetik Dr Mahathir berkata.
Setakat ini, kata Salahuddin, tidak ada mana-mana pihak berwibawa yang secara jelas dan terus terang menyatakan Dr Abdul Aziz melanggar mana-mana peruntukan undang-undang kerana kenyataannya itu.
"Yang ada hanyalah histeria dan gelagat tidak tentu arah dan melucukan dari mereka yang hendak membodek atau mereka yang sudah jenuh dilihat umum sebagai gila-gila," kata beliau.
Dr Abdul Aziz sebelum itu menyifatkan tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu pemeriksaan gereja bukanlah suatu tindakan yang lazim.
Aziz dilaporkan berkata, sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhak campur tangan, namun ia perlu dilakukan selaras dengan ajaran Islam.
RUMAHKU SYURGAKU
-
Bicara Santai Selain Politik. 01
25 Rabiul Awwal 1439 / 15 Dec 2017
*RUMAHKU SYURGAKU*
Oleh : Pendekar Sakti
1. Sebahagian masalah hidup ialah serabut at...
6 tahun yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan