PAS bimbang tindakan UIA hasut rakyat benci raja

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Kegelojohan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung Prof Dr Abdul Aziz Bari dibimbangi boleh mendorong dan menghasut rakyat membenci Raja-Raja Melayu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"Penggantungan kontroversi ke atas Dr Abdul Aziz yang dilakukan oleh UIA itu semakin terbukti amat menyakitkan hati rakyat.

"Tindakan UIA itu akhirnya dikhuatiri mendorong dan secara tidak langsung menghasut rakyat membenci Raja-Raja Melayu," kata beliau.

Malah, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, tindakan UIA itu benar-benar menjatuhkan maruah Raja-Raja Melayu.

"Tindakan UIA itu menggambarkan seolah-seolah Raja-Raja Melayu tidak boleh menerima teguran dan pandangan professional.

"Memberi gambaran bahawa Raja-Raja Melayu tidak boleh menerima teguran dan pandangan professional adalah perbuatan buruk yang benar-benar menjatuhkan maruah Raja-Raja Melayu," tegas Mahfuz.

Malah, katanya, memberikan gambaran bahawa-bahawa Raja-Raja Melayu tidak boleh menerima teguran hakikatnya memberi gambaran bahawa Raja-Raja Melayu tidak mahu mengamalkan ajaran Islam yang sangat asasi yang menekankan amar ma'ruf nahi munkar.

Dr Abdul Aziz sebelum itu memberikan pendapatnya sebagai pakar perlembagaan terhadap tindakan Sultan Selangor.

Beliau berpendapat, tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu pemeriksaan gereja bukanlah suatu tindakan yang lazim.

Dr Abdul Aziz dilaporkan berkata, sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, Sultan Selangor berhak campur tangan, namun ia perlu dilakukan selaras dengan ajaran Islam.

Akibatnya, beliau disoalsiasat oleh polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), diberi surat tunjuk sebab oleh UIA dan akhirnya digantung tugas oleh universiti itu semata-mata kerana memberikan pendapatnya dari segi undang-undang.

Mahfuz melihat tindakan UIA membalas pandangan professional Dr Abdul Aziz dengan penggantungan penuh kontroversial itu sebagai perbuatan "institusi ilmu menghina ilmu".

"Kalaupun benar terpaksa bertindak selaras dengan kehendak dan kepentingan Umno, janganlah sampai institusi ilmu menghina ilmu dan melakukan tindakan yang akhirnya akan membunuh kebebasan akademik.

"Amat buruk kalau institusi ilmu sendiri yang membunuh ilmu dan kebebasan akademik," kata beliau.

Mahfuz juga menyifatkan amat lucu penjelasan Rektor UIA Profesor Datuk Dr Zaleha Kamaruddin kononnya tindakan menggantung tugas Dr Abdul Aziz bukanlah hukuman, sebaliknya bagi memastikan siasatan terperinci dapat dijalankan berikutan kenyataan beliau mengenai tindakan Sultan Selangor.

"Ini kali pertama kita dengar seorang ilmuan yang memberikan pendapat professionalnya perlu digantung tugas untuk membolehkan beliau memberikan penjelasan mengenai pendapat professionalnya itu.

"Ini sudah tentu boleh mencipta rekod dunia sebagai salah satu perkara paling kelakar sepanjang sejarah," katanya.

0 ulasan:

 

Design in CSS by TemplateWorld and sponsored by SmashingMagazine
Blogger Template created by Deluxe Templates